TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN HARI LANDSKAP NEGARA 2026
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATUK SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
SAMBUTAN HARI LANDSKAP NEGARA 2026
7 OGOS 2026 | JUMAAT | 8.00 MALAM
STADIUM HANG JEBAT, KRUBONG, MELAKA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Nahmaduhu wa nusalli wa nusallimu ‘ala Rasulillahil Karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka;
Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming,
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;
Yang Berhormat Datuk Wira Haji Ibrahim bin Durum,
Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka;
Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar
Ketua Setiausaha Negara;
Setiausaha Kerajaan Negeri dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah, setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, dapat kita sempurnakan acara perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026. Renung ucapan YAB Ketua Menteri, saya imbau pandangan seorang pemikir mengenai keperluan memastikan kota itu bukan sahaja indah, tetapi rancak budayanya. Mark Twain, seorang pemikir, ratusan tahun yang lalu, tatkala Washington DC baharu diasaskan, sampai ke Washington DC. Baila dilihat kota yang baharu itu, dengan bangunan-bangunan tersergam, tetapi dia terkesan kerana ada satu lompongan, kekurangan nyata. Kata dia, kotanya indah, teknologi agak maju, tetapi gersang budayanya. A modern impressive architecture and building but regrettably that it is absence in terms of a dynamic vibrant culture.
- Tadi, bila kita bicara tentang landskap negara, tentunya ia menutup kebimbangan. Kita pacu pertumbuhan ekonomi. Kita ada industri, pelabuhan baharu, kita rancakkan kegiatan pelancongan kerana ini semua akan memberi manfaat kepada rakyat. Tetapi kita membina ini gedung-gedung yang harus menjaga dan mewarnai watak manusiawi. Bukan gedung-gedung kosong. Dan inilah cabaran terbesar kita. Supaya tidak sepertimana yang diungkapkan oleh Mark Twain, culturally barren, jangan gersang budayanya. Tetapi pada masa itu, dia lihat hanya kehilangan kesenian dan persekitaran yang terkait dan terikat dengan kepentingan hidup manusia.
- Tapi kita lihat tadi, dalam beberapa ucapan, termasuk bersama YAB Ketua Menteri tadi di acara MADANI. Kita bicarakan tentang apa yang dimaksudkan dalam keseimbangan yang ditekankan dalam al-Quran. al-Quran al-Karim membicarakan, mengungkap istilah ummatan wasata. Mufassid, maaf ya, sahibus samaha, mufti. Itu menafsirkan sebagai keseimbangan atau balance community ataupun society that maintains an equilibrium. Tetapi dalam ulasan lebih panjang, ayat yang menyentuh tentang keseimbangan itu, balance itu, “wa kazalika ja’alnakum ummatan wasatan li takunu shuhada’a ‘ala al-nas wa yakuna al-rasulu ‘alaykum shahida.
- Itu janji Allah SWT bahawa manusia itu, negara dan umat itu, diangkat martabatnya sebagai umat yang seimbang. Seimbangnya di antara iman dan ilmu, akal dan qalbu, rohani dan jasmani, material dan spiritual. Dan satu aspek yang tidak boleh kita tinggalkan: man and nature. Manusia dan persekitarannya, termasuk landskapnya, yang menentukan wajah dan watak manusiawi dalam hubungan pembangunan.
- Tapi kalau dalam keyakinan Islam, dia lebih tinggi dari itu. Kerana ini janji, manusia itu harus tegakkan kotanya, negaranya, masyarakatnya yang berteraskan umatnya dari sudut keseimbangan, umatan wasata. Dan janji al-Quran itu terkait dengan pembinaan negara, landscape, environment, Sekiranya berjaya kita lahirkan di Kota Melaka, di Kuala Lumpur, Ipoh, Kota Bharu, kalau berjaya kita angkat sebagai kota dan negeri yang seimbang, yang wasatiyah.
- Janji al-Quran ialah litakunu syuhada ala nas. Dengan sendirinya, kita terangkat menjadi contoh kepada manusia. Dengan sendirinya, mesej itu sudah menjadi mesej atau risalah kemanusiaan kesejagatan dan tidak lagi tersekat pada umat Islam sahaja. Mesej itu, kalau kita laksanakan peranan kita dengan baik, dengan adil.
- Menekankan aspek kemanusiaan, merangkul semua kekuatan, menjadikan kita ini sebagai contoh. Contoh itu disebut dalam al-Quran. li taku nu syuhada a’alan nas. Dengan sendirinya, tak payah propaganda lagi. Orang lihat sahaja. Lihat sahaja orang Islam ini, lihat sahaja umatnya, lihat sahaja negerinya. Ia itu dengan sendirinya dikagumi, diminati kerana menjadi contoh. Contoh kebersihannya, contoh keindahannya, contoh landscape-nya, contoh keadilannya, contoh toleransinya. Itulah yang disebut syuhada’ ‘ala al-nas. Dan bagi kita, berdasarkan kekuatan aqidah Islamiah, maka dijanjikan kalau itu jadinya, maka wa yakuna al-rasulu ‘alaikum syahida. Saksi kita nanti, Rasullullah SAW.
- Jadi, bagi saya, dalam hal-hal seperti ini, soal pembangunan, soal keadilan, soal tata negara, soal tatakelola, soal pengurusan, kita tidak boleh lari daripada prinsip nilai dan akhlak kemanusiaan atau manusiawi, iaitu karamah insaniah. Barulah ia dapat tersemat dalam hati sanubari kita. Dan rakan-rakan kerja baik Bandar Raya Melaka ataupun Jabatan Landskap, atau Kementerian KPKT, atau kerajaan negeri, atau Persekutuan, tekad ini harus ada di kalangan kita. Kerana kekuatan kerangka pemikiran ini kadang-kala kita lompong. Ini masalah kita dalam membina negara.
- Ada yang fikir kita compartmentalise. Landscape is landscape, tourism is tourism, dan investments itu satu bidang lain. Jadi, bila kita compartmentalise, kita tidak melihat landscape itu sebagai suatu ciri penting dalam pembangunan, satu sistem yang ada sinerginya dengan keseluruhan pembangunan.
- Jadi saya harap saudara-saudara, kita dapat menangkap maksud saya. Bila ada teguran tentang kota Washington D.C. oleh Mark Twain yang awal tadi, janganlah nampak gagah, indah dan tersergam bangunannya tetapi culturally barren, gersang budayanya. Kita kembangkan daripada asas dan prinsip al-Quran tadi bahawa keseimbangan yang disebut ummatan wasatan itu mestilah merangkul semua aspek.
- Sebab itu kalau kita baca, saya nak kupas banyak, mufti ada, tak apalah. Tetapi kalau kita baca, ada karya penting bagi saya tentang The Relevance tentang landscape, persekitaran, budaya dan memelihara alam sekitar oleh Seyyed Hossein Nasr, seorang pemikir dan sarjana Islam terkemuka dunia. Dia menulis pada tahun 1961 atau 1962. Bayangkan, masa itu belum ada SDG umpanya, masa itu belum ada perbicaraan tentang Only One Earth, ataupun bangkitnya permasalahan tentang persekitaran dan global warming. Belum ada 1961 dia menulis dalam bukunya Man and Nature.
- Beliau mengatakan bahawa negara dan manusia, kalau tidak menjaga keseimbangan, kalau sikapnya itu tamak haloba, memusnahkan persekitaran, belantara, gunung-ganang, bukit-bukau dan pantai tidak dikawal, itu bukan tanggungjawab manusiawi. Dan tanggungjawab manusiawi itu bukan sahaja aspek keindahan. Landscape ini sekarang, yang saya faham, bukan sahaja keindahan, tetapi terangkul seluruh konsep pembangunan MADANI yang harus tersemai dalam olah pemikiran dan arah perancangan.
- Jadi Majlis Bandaran ini dan di semua kota, sama ada majlis, bandar raya, ataupun pejabat daerah, itu menjadi tanggungjawab kerana ia merupakan miniature. Ia tidak boleh, umpamanya, melihat terpencil daripada konsep dan kerangka pembangunan keseluruhannya.
- Sebab itu dalam ucapan seperti ini saya selalu gesa kita berfikir di luar daripada kepompong yang terbatas. Mana kalau jabatan itu melihat umpamanya. Siapa yang boleh mengatakan tidak penting atau boleh kita remehkan usaha menarik pelaburan? Sangat penting, sangat kritikal. Kalau Melaka umpamanya gagal menarik pelaburan, maka ia akan menjadi masalah dalam bidang pembangunan, dalam usaha pembangunan infrastruktur, dalam soal pelancongan, peluang pekerjaan anak-anak muda, latihan TVET dan sebagainya. Jadi itu penting.
- Tetapi professionals dan pegawai yang mengurus soal pelaburan tidak harus mengecilkan atau meremehkan kepentingan ekosistem yang juga melibatkan soal landscape. Sebab itu bagi saya, peringatan ini, dan dalam perbincangan kita, selalu kita lihat dalam kerangka besar. Dalam pengalaman saya singkat, di kementerian, jabatan, kerajaan negeri, saya lihat masalah sistem kita ini kita mewarisi dari sistem Inggeris. Semuanya compartmentalised. Kalau di peringkat pusat, kementerian. Kalau di negeri, jabatan dan majlis daerah. Semua melihat hanya dari yang terbatas. Tak salah umpamanya. Tetapi apabila dilihat tanpa mengenal pasti dan melihat kerangka yang lebih luas, nah, ini masalahnya.
- Mengapa umpamanya daripada awal mukadimah ucapan saya sebut Mark Twain, “A modern city, but culturally barren.” Maknanya, dari awal, orang yang merencanakan pembangunan kota indah Washington D.C. itu dia compartmentalize. Seni binanya modern city. Bukan budaya. Bukan persekitaran. Bukan landskap. Bukan keadilan sosial yang indah. Maknanya, kalau indah, memang rumah-rumah pangsa yang mahal. Rumah-rumah banglo yang mahal. Jadi penduduk dan pekerja tinggal di mana? Di pinggir-pinggir hutan.
- Itu sebabnya kalau di Kuala Lumpur, Nga Kor Ming tahu benar, sikap saya, kita memang kenal dengan mercu tanda yang hebat-hebat, gagah-gagah. Tetapi jangan lupa, majoriti rakyat itu makannya bukan di restoran lima bintang. Majoriti rakyat itu, 80 peratus kalau di Kuala Lumpur, makannya di gerai, di warung, di restoran-restoran kecil. Tetapi fokus kita dalam perancangan itu mengindahkan kawasan yang diduduki ataupun diminati ataupun disertai oleh kalangan yang mempunyai kedudukan dan perbelanjaan tinggi. Berapa banyak tumpuan kita dalam soal pembangunan mengindahkan gerai, membersihkannya, sedangkan jumlah pekerja dan jumlah yang menggunakannya jauh lebih tinggi?
- Sebab itu saya kata dalam perancangan, rosak kita, gagal kalau kita tidak imbangi. Saya tidak bermaksud umpamanya kita bicara soal landskap ini, untuk hanya kalangan gerai dan perniagaan kecil kerana kita fikirkan satu bandar raya. Tetapi saya nak ingatkan bahawa bandar raya Melaka ada aspek sejarah yang tidak ada di banyak kota lain, ada aspek warisan yang patut diberi tumpuan, ada aspek pelancongan. Tetapi jangan kita pinggirkan kepentingan yang saya sebut tadi, gerai, warung yang melibatkan majoriti rakyat negara kita.
- Ini yang saya sebutkan, bahawa biar membicara secara menyeluruh. Kalau tidak, setiap jabatan kita pergi, dia fikir hanya masalah jabatan dia, peruntukan untuk jabatannya dan keutamaan pegawai untuk jabatannya. Tidak melihat dan memahami permasalahan makro dalam negara.
- Jadi mudah-mudahan dalam majlis ini kita tahu bahawa landskap ini maknanya juga keindahan. Landskap juga mengindahkan inovasi dan keindahan, dan hijau. Landskap juga memerlukan keseimbangan di antara keperluan semua kategori rakyat.
- Dan saya ucap terima kasih. Apa lagi kerana saudara Nga Kor Ming ini sekarang sudah menjadi Presiden se-dunia satu badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengiktiraf peranan Malaysia dan KPKT khususnya kerana kejayaan mengindahkan dan mempunyai hala tuju dan pandangan yang jelas. Jadi saya ucap tahniah, terima kasih.
- Dan tentunya sahabat saya, saudara Ketua Menteri, saya ingat dia nyanyi tadi (nada berseloroh). Kerana kerjasama yang sangat baik, saya sambut semangat yang sedemikian kerana kalau tidak, umpamanya ia akan menimbulkan masalah. Sistem negara kita, ini sekali lagi saya cakap soal sistem itu, memerlukan suatu kerjasama yang sangat erat. Kita tidak boleh menghalang pandangan yang agak berbeda, parti yang berbeda, tetapi ia tidak boleh menyekat persahabatan, persaudaraan dan kerjasama yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
- Sebab itu, sambutan di Melaka ini dan kerjasama erat daripada Kerajaan Negeri Melaka dan Bandar Raya Melaka, saya ucap setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih. Saya kalau datang ke Melaka ini memang saya tak pernah tolak. Setuju terus.
- Sekali lagi saya ucap terima kasih dan tahniah. Mudah-mudahan hasrat kita untuk menentukan landskap itu lestari, memenuhi konsep Malaysia MADANI ini, akan dapat diterjemahkan dalam tindakan dan hasilnya dalam masa yang singkat. Sebab itu saya sengaja tekankan MADANI ini, kerana dengan sendirinya orang akan faham. Kita tidak bicara hanya soal pertumbuhan, soal kemajuan, soal GDP, soal inflasi, soal pelaburan. Tidak. Ia mesti menyeluruh. Dan akhirnya, ia membangun manusia. Ia membangun manusia, maknanya soal nilai, soal akhlak, soal moral itu penting.
- Tidak mungkin manusia itu dibangunkan tanpa nilai, akhlak dan moral. Manusia itu tidak hanya maju dengan gedung-gedung besar dan raksasa. Tidak mampu kita saingi gedung-gedung besar membina gunung di tengah padang pasir, seperti yang dilakukan oleh Firaun, tetapi sejarah tidak pernah menganggap itu sebagai Pembangunan Lestari atau MADANI. Pembangunan itu perlu diseimbangkan dengan Kudrat manusiawi.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
