TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERALIHAN PENTADBIRAN DAN REFORMASI INSTITUSI PARLIMEN MALAYSIA
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERALIHAN PENTADBIRAN DAN REFORMASI INSTITUSI PARLIMEN MALAYSIA
14 OKTOBER 2026 | RABU | 1.10 TENGAHARI
DEWAN BANKUET
PARLIMEN MALAYSIA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahirabbil ‘alamin.
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Berhormat Senator Dato Sri Awang Bemee bin Awang Ali Basah,
Yang di-Pertua Dewan Negara;
Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul,
Yang di-Pertua Dewan Rakyat;
Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina Othman Said,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi);
Yang Berbahagia Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA);
Rakan Menteri dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Hari ini tentunya kita melakar satu sejarah penting, bukan sahaja dari memaknai Reformasi Parlimen, tetapi memaknai kebebasan dan kemantapan sistem demokrasi berparlimen. Jadi bagi saya, ini satu perkembangan yang sangat bermakna dari sudut kematangan sistem politik dan juga kematangan sistem demokrasi negara kita.
- Jadi izinkan saya ucapkan penghargaan kepada kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Negeri Rakyat, dan saudari Azalina dan seluruh staf bahagian undang-undang yang banyak membantu melaksanakan dan menyegerakan, dan utamanya Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang yang merestui dan memberikan dukungan menjayakan undang-undang ini.
- Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Simpang Renggam, Beluran dan Kota Bharu yang telah dilantik pagi tadi sebagai Ahli Majlis Perkhidmatan Parlimen sepertimana usul yang telah diluluskan. Tahu pasal apa saya tersasul sedikit. Sepatutnya setelah bentang Ketua Majlis, maknanya Perdana Menteri patut menyampaikan sedikit ucapan, tetapi kerana Yang Di-Pertua Dewan Rakyat begitu semangat dengan kuasa yang baru, dia hentikan saya daripada berucap. Jadi satu permulaan yang sangat bermakna dalam sejarah. Inilah kali pertamanya Yang di-Pertua Dewan Rakyat menghalang Perdana Menteri daripada berucap. Jadi saya usul sahaja terus saya tengok dia tak bagi apa-apa, saya pun duduk. Demikianlah nasib seorang Ketua Majlis (nada seloroh).
- Tapi balik kepada isu ini, kejayaannya itu tentunya terletak kepada kewibawaan kedua-dua speaker, kesediaan ahli-ahli yang saya bacakan tadi, Bukit Gelugor, Simpang Renggam, Beluran dan Kota Bharu bersama dengan ahli-ahli jawatankuasa dan Ahli-ahli Parlimen yang ingin berhasrat menjayakan dan mematangkan proses demokrasi seperti mana yang diidamkan.
- Sepertimana kita tahu, ini satu proses perjalanan demokrasi berparlimen di Malaysia selama puluhan tahun. Ada peringkat awal 1966, undang-undang yang menjamin keupayaan dan bidang kuasa perkhidmatan Parlimen walaupun secara nisbi relatifnya bebas, tetapi masih terlalu banyak kekangan. Kemudian dibatalkan daripada tahun 1992, dan kini kerana semangat dan dorongan kita untuk menjayakan dan mematangkan proses demokrasi, kita kembalikan.
- Bagi Kerajaan tentunya ada kebimbangan kerana kita bersedia dengan satu sistem yang banyak memihak kepada Kerajaan. Reform ini, saya percaya yang telah ditekankan oleh saudari Azalina, ini menunjukkan satu sikap-sikap dan tekad politik yang berani dan tegas. Sedia membawa perubahan walaupun ini bermakna penyerahan sebahagian daripada kuasa yang lazim ditentukan oleh pihak Kerajaan dan Ketua Majlis. Jadi sebab itu, saya anggap perubahan ini dan Akta Perkhidmatan Parlimen ini penting kerana dia, saya tegaskan, memaknai erti demokrasi berparlimen dan kematangan sistem demokrasi.
- Demokrasi itu tentunya satu perjalanan yang panjang, satu proses yang menjamin kejayaannya adalah kesediaan pimpinan untuk melakar prakasa reform dan ahli-ahli parlimen yang menyambut secara positif. Tentunya diharapkan dengan kebebasan dan bidang kuasa parlimen untuk mengangkat keupayaan stafnya sendiri dan tahap professionalismnya, kita juga mengharapkan suatu pengangkatan dan peningkatan mutu perbahasan dan juga adab dalam perbahasan sesuai dengan bidang kuasa yang baru. Ini tentunya memerlukan kerjasama frontbench dan juga backbenchers dan pembangkang.
- Dan saya harap dengan amanah yang diberikan kepada jawatankuasa ini peranan Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan menyentuh hal-hal yang disebut ini. Tentunya saudara-saudara lebih arif bahawa dalam apa juga perubahan dan kelonggaran serta kebebasan ada batas-batasnya dan kita harus pastikan yang bagi saya yang mutlak, yang tidak boleh dimungkiri ialah keperluan mengangkatnya dan memaknai kebebasan yang sesuai dengan kefahaman kita dalam sistem demokrasi.
- Kita telah bahaskan isu Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, jadi saya tidak berhajat untuk mengupas panjang, tetapi untuk handset ini Yang di-Pertua Dewan Rakyat kalau diizinkan, saya terpaksa menyatakan kenyataan untuk memberikan rasional setelah diluluskan. Kerana tadi Speaker Dewan Rakyat telah menggunakan budi bicara dan kuasanya untuk menghalang saya. Jadi saya nak merayu untuk memberikan ruang untuk memberi penjelasan supaya ada rekod dalam handset kerana ini bagi dalam sejarah kematangan Parlimen itu sangat penting.
- Jadi inilah di antara langkah-langkah di antara langkah penting yang saya anggap sebagai tonggak dalam reformasi Negara Madani ini, iaitu melaksanakan, menunaikan janji kita kepada rakyat bahawa Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenal dan diluluskan dan membatasi kuasa yang sedia ada dan lazim ada pada Kerajaan dan terutamanya Ketua Majlis.
- Semoga Allah subhanahu wa ta’ala merestui usaha kita dan saya ulangi penghargaan dan terima kasih kepada semua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
