TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN SKIM PADURI MADANI 

16 Mei 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN SKIM PADURI MADANI

 

16 MEI 2026 (SABTU) | 12:00 TENGAHARI

DEWAN SERBA GUNA BANDAR BARU TAMBUN,

TAMBUN, PERAK

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq.

Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.

Wa kafa billahi syahida.

Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak;

 

Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP);

 

Ketua Setiausaha Negara (KSN); serta

Semua yang hadir.

 

Dan yang penting yang kita raikan hari ini,

Datuk Seri (Dr.) Syed Hussian Syed Junid,

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Ikhtiar Malaysia; dan seluruh keluarga Amanah Ikhtiar Malaysia dan sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian.

 

  1. Alhamdulillah, pada hari ini dan saya ucap sebelum itu terima kasih kepada Datuk Seri (Dr.) Syed Hussian dan seluruh keluarga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kerana beri kesempatan untuk saya bersama-sama. Dan sepertimana yang disebut oleh pengerusi tadi, saya memang beri keutamaan. Kalau lihat umpamanya, bukan tidak ada usaha yang dulu, ada. Malah Amanah Ikhtiar ini diasaskan, oleh… saya tatkala saya jadi Menteri Kewangan, tapi masa itu tentulah masih kecil.

 

  1. Saya dah beritahu dulu beberapa majlis, saya baca usaha, ikhtiar yang dibuat oleh Bangladesh masa itu, Grameen Bank dan saya masa itu di Dhaka, Bangladesh, saya dengar, dan ada satu gerakan koperasi, Comilla projek. Dia ambil orang-orang susah ini, diberikan pendedahan dan peluang pekerjaan.

 

  1. Kemudian, bila Grameen Bank, saya minta masa itu USM termasuk Dr. Syukor kaji dan teliti untuk panjangkan, mereka kemukakan laporan. Tetapi kita tidak ikut Grameen Bank sepenuhnya, kerana Grameen Bank itu faedahnya terlalu tinggi, kerana tidak ada suntikan dana Kerajaan, dia buat sendiri. Jadi, sebab itu faedah ini sampai mencecah 20% – 25%, tapi masih mencatat kejayaan kerana orang terlalu susah dan terpaksa cermat dan pekin untuk berjaya dalam perniagaan mereka.

 

 

 

  1. Tapi kita Alhamdulillah, pada masa itu kita luncurkan, saya sudah jadi Menteri Kewangan, saya minta ada beberapa perkara pada Kerajaan masa itu. Saya cuba elak Amanah Ikhtiar masa itu di bawah kementerian-kementerian tertentu, kerana nak kawal, susah. Digunakan untuk kepentingan-kepentingan tertentu, atau kepentingan politik peribadi dan sebagainya. Jadi, saya pindahkan sebagai badan yang lebih bebas di bawah Kementerian Kewangan secara langsung.

 

  1. Syed Hussian harus tahu dan kawan-kawan, ia bukan mudah. Saya terpaksa bertegang dengan banyak kementerian-kementerian pada masa itu kerana semua nak kuasai, dia rasa dia ada jalur politik. Sampai saya kata, sudah puluh bilion, terutama sejak Almarhum Tun Abdul Razak, ikhtiar yang dibelanjakan. Ada yang berkesan, ada yang berjaya, tetapi ikhtiar membantu golongan yang kata miskin tegar ini, tak banyak kerana projek-projek berjalan. Kalau di kampung, tentunya lah orang yang miskin tegar itu ketinggalan di bawah. Yang lain miskin, dia bantu dulu, tak salah. Tetapi miskin tegar, dia dapat. Sebab itu, saya ucap tahniah dan syukur Alhamdulillah, kerana kejayaan Amanah Ikhtiar.

 

  1. Dan sepertimana kita tahu, tahun demi tahun, ada ketika ini dan saya dah sebut di sini masa saya di Terengganu. Kadang-kadang tak kawal, teliti, Amanah Ikhtiar pun diikhtiar ke lain, ikhtiar ke laut. Jadi, sebab itu saudara, saya lihat bila saya jadi Perdana Menteri, saya tengok langsung tidak ada peruntukan baru kepada Amanah Ikhtiar. Jadi, tentu saya minta Datuk Johan teliti semula, apa alasannya.

 

  1. Kalau ada masalah kita selesaikan, kalau marah pengurusan kurang cekap, kita tukar. Tetapi projek ini, projek yang saya mulakan dulu yang baik, yang boleh memberi manfaat kepada ramai. Berbeda daripada Grameen Bank dulu, itu faedah tinggi, masa itu kita mula-mula kita turunkan kadar faedah sehingga 2%. Sekarang ini oleh kerana kita nak lebarkan, saya beritahu dua hari sudah dalam perjumpaan Kementerian Kewangan untuk cari jalan untuk turunkan lagi kadar faedah itu. Ini supaya dia tidak rasa menekan kalangan yang susah.

 

  1. Jadi susah juga. Orang kaya pinjam bank 6%. Orang miskin pinjam 10%. Ini bagi saya bukan keadilan. Jadi, kita akan cari ikhtiar untuk selesaikan masalah ini. Tapi kita kena bincang betul-betul supaya jangan terjejas. Projek dan Syed Hussian dan pengurusan baru, wanita agak tegas sikit, supaya kos pengurusan itu boleh dikurangkan. Saudara lihat banyak projek-projek, agensi-agensi Kerajaan dulu dan saya memang ibu-ibu, kakak-kakak, adik tahu, saya juga kritik kuat dulu. Saya kata bagi satu projek, bagi agensi, okey? Katalah 100 juta. 40 juta pengurusan, kereta pengurus, pejabat pengurus cantik-cantik, 60 juta. Projek 100 juta, 60 (juta) pergi ke atas, 40 juta sampai ke bawah. Jadi saya kata tak kena macam itu.

 

  1. Kalau badan namanya, umpamanya badan pekebun kecil kah, pengurusan, takkanlah mula dengan pejabat yang besar-besar dan kos pengurusan yang tinggi. Jadi, ini kita kena bagi juga latihan. Bukan maknanya pengurusan itu tak boleh dapat gaji, gaji yang munasabah, tapi kerja yang cukup baik.

 

  1. Saya pernah bagi tahu banyak tempat. Umpamanya kita masing-masing baru-baru ini, penjawat awam semua kita naikkan gaji, tetapi menteri potong 20%. Sebab saya nak jadi contoh. Orang lain semua naik. 20% potong menteri, kekal. Perdana Menteri tak ambil gaji. Tapi saya ada elaun. Saya datang ke sini naik kapal terbang Kerajaan. Jadi saya tak Saya nak sebut, nak bagi contoh. Negara ini patut bagi contoh, bukan semua orang tamak, setakat ambil gaji, elaun tak salah, dia wajib ambil supaya hidup keluarga dia semua terjamin.

 

  1. Tapi kalau tiris, macam bantu orang miskin, macam saya kata tadi 100 juta untuk kata contoh pekebun kecil, 60 juta pejabat dan pengurusan, sampai 40 juta, maka kita kena cari kaedah baru supaya kurang-kurangnya 80 juta pergi kepada rakyat miskin, 20 juta pengurusan. Barulah betul. Betul tak saya cakap? Kerana orang susah ini saudara-saudari, saya tak cakap teori, kerana saya terima ujian dan saya terima dengan baik ujian itu.

 

  1. Kali pertama saya kena penjara dua tahun hampir. Itu kerana Peristiwa Baling. Betul masa itu kita muda, orang ada yang kata silap sikit ke apa. Saya boleh terima, tak ada masalah. Tapi itu mengajar saya sebab apa? Saya bergaduh. Sebab apa saya kuat tunjuk perasaan? Sebab apa saya bantah? Sebab saya tengok kawan-kawan saya itu miskin teruk sangat dan kurang perhatian. Jadi, bila berlaku Peristiwa Baling, saya kena tahan hampir dua tahun. Kali pertama. Masa itu tak apa, tak kahwin dengan Azizah lagi. Tapi bila saya kahwin dengan dia lagi, sedihlah sikit. Isteri di rumah.

 

  1. Tapi yang saya nak cerita apa dia? Maknanya, kadang-kadang Allah uji kita tu, kita tak tahu. Kita marah, kena tahan. Tapi rupa-rupanya, dia mendidik saya. Saya lebih faham Baling, saya lebih faham masalah kemiskinan. Saya duduk dalam dua tahun di penjara kali pertama, saya kaji sebanyak mungkin buku, laporan mengenai masalah kemiskinan. Macam-macam teori daripada Mesir, daripada Amerika Latin. Saya ingat lagi Paulo Freire daripada Amerika Latin, Samir Amin dari Mesir, Ungku Aziz di Malaysia, Pendeta Za’ba sebelum itu. Boleh-boleh, apa masalah kita? Negara tak miskin. Rakyat miskin. Ini yang kita cuba lakukan.

 

  1. Jadi, sebab itu bila ada cadangan tentang Amanah Ikhtiar ini, saya terus tangkap, saya kata saya nak bawa balik ke Kementerian Kewangan dan kita bantu. Tapi, sepertimana yang kita tahu, Amanah Ikhtiar, dia berkembang-kembang ada sedikit masalah. Saya pun di dalam, saya tak tahu. Tapi, balik-balik masalah itu dapat dirungkai. Bila masalah dirungkai, tahun pertama saya jadi Perdana Menteri, sebelum tu tidak ada peruntukan dah. Saya bagi RM10 juta, sekarang sudah ratusan juta. Kalau prestasinya baik, pengurusannya baik, manfaat kepada sahabat banyak dan ramai yang tunjukkan bukti yang baik, insya-Allah kita akan bantu seterusnya tambah.

 

  1. Maknanya Kerajaan MADANI kena kekal lah, haa gelak (nada seloroh). Mahu bantuan, tapi kena buat cara yang betul. Sebab itu, saudara Syed Hussian dan pengurusan sudah tahu pendirian saya. Kalau pengurusannya baik, saudara, tidak mungkin lah, malah dalam ucapan-ucapan saya yang viral, satu point saya kata Kerajaan silih berganti. Dalam sejarah ada Maharaja, ada Sultan, ada Kings, ada Zaar, pelbagai, Zamindar macam-macam lah sistem orang menguasai i Ada tidak dalam sejarah di mana negara itu jatuh papa kedana, miskin, kerana maharaja itu tolong orang miskin? Saya tak pernah baca. Ada pernah kerana raja ini sangat baik, Khalifah Umar Abdul Aziz, tolong orang miskin, maka negara pun jatuh miskin. Tidak ada.

 

  1. Yang negara miskin tu ada, negara kaya jadi miskin kerana pemimpinnya tamak haloba, tidak pernah cukup. Ratus-ratus juta tak cukup. Bilion-bilion ringgit tak cukup. Dah bagi amanah, khianat amanah. Perang, dia pernah perang. Perang kerana nak takluk negeri. Perang kerana nak rompak emas orang atau paling tidak, perang kerana minang puteri, puteri itu raja tak terima, maka takluki dengan negeri, dengan puteri itu sekali. Itu kita baca cerita-cerita lama.

 

  1. Semalam saya di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan. Saya cakap tentang pengalaman ini berdasarkan kupasan Syeikh Yusuf Al-Qaradawi tentang mendirikan masjid. Ayatnya, mendirikan masjid, memakmurkan masjid itu tuntutan. al-Quran mengingatkan kita.

 

Innama ya’muru masajidallah, man amana billahi walyaumil akhir, wa aqamassalah, wa atas zakah, walam yaksha illallah fa’asa’ulaika an yakunu minal muhtadeen.

(Surah At-Taubah, ayat 18)

 

  1. Allah mengingat kita untuk memakmur, mendiri, makmurkan masjid. Untuk apa? Man amanabillah – beriman, Wal yaumil akhir – ban juga kepada hari akhirat. Lagi? Aqamassalah – Solat. Yang kedua? Zakat. Supaya jangan takut kita selain daripada Allah Ta’ala.

 

  1. Syekh Al-Qaradawi kata, tengok dalam Islam. Solat? Ya. Zakat? Ya. Sebab apa? Kalau kita solat, semua orang jadi warak, tapi rakyat tak jaga, yang miskin tak dipedulikan. Dia bukan melahirkan satu masyarakat dan negara yang baik. Mungkin orang itu baik, tapi negeri, orang yang miskin tidak dipedulikan.

 

  1. Jadi kata Syekh Al-Qaradawi, kali pertama dalam sejarah manusia yang dia tahu, berlaku di zaman Islam, Abu Bakar al-Siddiq R.A. Kata dia, Harba alal fakh. Perang, perang. Perang untuk membela orang miskin, kerana orang tidak mahu bayar zakat. Dia kata tidak boleh. Negeri nak aman, orang miskin dibiarkan, zakat tak mahu bayar, perang. Dia kata, Perang, Al-Harb, atas membela nasib miskin.

 

  1. Pertama kali dalam sejarah. Sebelumnya berebut ni, macam berebut kuasa, pertandingan. Berebut-rebut ni, nak memperkayakan diri, keluarga, parti, tapi ada tak fikir masalah orang miskin dan rakyat? Yang ni, sahabat-sahabat kena fikir betul-betul. Nak selamatkan negara ini, kena fikir betul-betul. Betul, kita ada kambing nak pelihara, itik, anak-anak nak jaga, tapi dia kena ingat. Apa yang kita buat dan lakukan itu akan menentukan masa depan negara kita.

 

  1. Bukan soal nak bergaduh kaum. Ada orang cucuk bergaduh dengan Hindu, bergaduh dengan Cina. Yang Cina pula bergaduh dengan Melayu, bergaduh dengan orang Sabah, Sarawak. Apa untung? Siapa yang untung bergaduh ni? Haa Achi, kalau kita bergaduh siapa untung? Hadi sana, Hadi Yillek. Tak ada untung. Sebab itu, dalam Amanah Ikhtiar ini, memang majoriti besar orang Melayu.

 

  1. Tapi kadang-kadang ada orang India, kita rangkul. Keluarga, masyarakat kita. Baru boleh. Ini kemanusiaan, manusia apa? Tak ada langsung. Tanam kalau ceramah, benci orang. Hukum orang. Ceramah sikit, pakai kononnya atas nama agama, kemudian, serang orang. Saudara, yang penting kita ini adalah untuk membangkitkan kesedaran, tolong menolong. Tolong menolong dalam soal kebajikan itu disuruh dalam agama. Wa ta’awanu alal bir wa taqwa. Itu tolong menolong atas kebajikan dan supaya orang jadi manusia yang baik, bertaqwa. Itulah sebabnya mengapa saya terus beri sokongan.

 

  1. Umpamanya, tadi disebut saudara Datuk Seri Dr Syed Hussian, tahun 2025 hampir dah kosong peratus (0%) yang tak bayar, non-performing loan. Kalau bank ini saya jumpa baru ini dengan Datuk Seri Johan kita tengok bank, berapa peratus yang tak bayar hutang, sekian peratus, sekian peratus, sekian peratus. Lagi kaya lagi susah nak bayar hutang boleh pakai sungguh. Yang bayar hutang ni orang miskin. Tak pelik ke?

 

  1. Sebab itu saya bangga dengan Amanah Ikhtiar Makna siapa kata orang tak ada kesilapan. Memang biasalah orang Melayu ini kalau pinjam mana nak bayar? Bila tengok kamu pasal apa boleh bayar? Bila masuk jadi sahabat Amanah Ikhtiar pasal apa boleh bayar? Cuba ini orang bank-bank besar ini turun belajar pada amanah ikhtiar ini. Jadi jangan ada tak bayar lah (nada seloroh).

 

  1. Dan jumlahnya bukan kecil. Saya tengok, eh saya ingat kalau mula saya mula dulu, saya ingat 5,000 sahabat, 5,000. Saya turun beberapa tempat, bila tengok gambar tu memang itu lama, tapi masa itu muda dan remaja lagi. Sekarang muda jugak. Achi gelak. Macam tak percaya saya muda. Ini MGR. Baik.

 

  1. Tahun 2025 yang mendapat biaya 320,000 sahabat. Ini bukan kecil. Tengok agensi-agensi Kerajaan yang dapat ratus-ratus juta ni, berapa orang yang dia boleh bantu. Ini patut diteliti. Yang saya percaya di Kerajaan Persekutuan, Kementerian Kewangan, supaya teliti, Dato’ Saarani, yang juga sangat prihatin, orang yang berjuang akan tengok. Kadang-kadang agensi ini patut belajar juga.

 

  1. Jadi 320,000 sahabat. Yang tertinggi Sabah, 53,000 orang. Ada orang kata tak peduli Sabah. Ini, ini, i Orang paling miskin di Sabah ini, 53,000 orang dibantu. Sarawak 43,000. Kemudian, pembiayaan, itulah yang saya dah disebut tadi, yang ini tambahan, iaitu pembiayaan 2.5 bilion pada 2023, 2.7 bilion pada 2024, 2.8 bilion pada 2025.

 

  1. Ini saya kena sebut, kalau tak sebut nanti KSP kata saya tak sebut. Dia tawar hati nak bagi tambahan, bantuan. Tinggi sekali bagi 2025, pembiayaan tertinggi, Kelantan RM500 juta, Kedah RM325 juta, Terengganu RM319 juta. Tapi kalau dengar mereka ini bersyarah, tak ada peduli langsung. Ada yang Pasir Putih baru ini, “kerajaan ini zalim. Tak tengok kita langsung. MADANI apa? Ni MADANI Abu Jahal”. Orang cakap. Betul ke ni? Ni tengok, ni satu contoh.

 

  1. Yang lain, tebatan banjir, berbilion kita bagi. Berbilion ringgit. Saya tak kisahlah macam mana nak buat. Dah, tak menang, tak menang lah. Kedah, Kelantan, Terengganu. Kedah. Ingat sikit orang Kedah. Takda orang kedah? Mana orang Kedah? Haa… nampak pun memang ganteng-ganteng bu.

 

  1. Jadi, kita bagi. Jadi, kadang-kadang Sahabat kena terang. Bukankah ada perjumpaan Sahabat. Saya beritahu Datuk Seri Dr Syed Hussian, bagi pengurusan kena bagi fakta. Ini bukan propaganda politik. Bagi fakta. Itu Sahabat, bantuan daripada Amanah Ikhtiar, Kementerian Kewangan, kelulusan Perdana Menteri. Tapi di bawah, z Tak bagi. Jadi Sahabat kena jawab. Tolong jawab. Fakta bukan propaganda. Ini kalau saya suruh tipu jawapan, tak. Ini bagi angka betul-betul. Kelantan RM500 juta, tertinggi. Kedah, RM325 juta. Terengganu, RM319 juta. Yang dengar kenyataan mereka, di anak tirikan, dianiayai.

 

  1. Selama ini Amanah Ikhtiar dah dapat cecah sampai RM1 billion. Baik. Dan Kerajaan MADANI, kita dah bagi pinjaman baru 200 juta. Datuk Johan angguk tu, maknanya ada harapan dalam belanjawan yang akan datang.

 

 

  1. Baru-baru ini dalam beberapa hari yang lalu, saya panggil pengurusan Amanah Ikhtiar, Tekun, syarikat mikrokredit yang lain lah, Bank Rakyat, Agrobank dan beberapa yang lain ya, MARA. Nak cari jalan ni, bantuan banyak, sampai tak di bawah? Ada tak complaint orang? Jadi saya kata, masih ada.

 

  1. Jadi ada kajian baru ini tunjuk bahawa di Bandar Raya Kuala Lumpur, kita kaji pasal pasar malam. Kita tengok Perdana Menteri ni, dia bukan kaji projek-projek besar, dia suruh kaji pasar malam, dia orang meniaga macam mana. Untungkah? Boleh hidupkah? Ni harga barang naik macam mana? Dia kaji-kaji dia kata, pasar malam ini daripada semua badan-badan peminjam ini, 6% sahaja yang pinjam. Yang lain tak ada. Jadi, kebanyakannya masih lagi pendapatan RM1500 ke bawah. Sebahagiannya adalah RM3000-RM4000. Jadi, saya bagi tahu, baik, minggu depan saya kata, kita, Datuk Johan akan selaraskan. Janganlah tunggu orang pergi ke pejabat. Mahal. Dia nak kena tinggal berjam-jam. Kemudian pergi pejabat kena tunggu lagi sejam dua jam. Pasal, pegawai pun dia ada tugas lain juga. Jadi saya kata, kita tetapkan masa minggu depan, saya turun sendiri, minta semua ini, MARA, Agrobank, Amanah Ikhtiar, semua sekali turun di gerai-gerai ni, buka, minta siapa yang ada masalah tolong bagi tahu, mari ke sini. Maknanya kita turun sendiri untuk menyelesaikan masalah-masalah.

 

  1. Bagus tak macam tu? Baik. Ya, saya tak payah cerita banyak pasal Skim Paduri Madani ini, kerana saya percaya sudah diterangkan, cuma nak laksanakan dengan begitu baik. Dan sahabat semua yang dah menerima pinjaman dalam Majlis Peluncuran Skim Paduri Madani ini, Amanah Ikhtiar, tolonglah pastikan, ini buktikan. Saya bangga.

 

  1. Baru ini kita sambut Hari Wanita, Wanita tu siapa? Ibu kita, isteri kita, anak kita, kakak kita, adik kita. Jadi kalau kita faham begitu, selama ini tak ada program besar khusus untuk wanita. Jadi, Amanah Ikhtiar beri galakan supaya wanita buktikan pinjam, bayar hutang. Malu orang lelaki ni tau tak dapat 90% bayar hutang. Pinjam, dia bayar. Sebab apa? Dia tabah. Sebab apa? Dia ada wibawa. Dia ada nilai. Dia ada akhlaq. Aufu bil uqud (أَوْفُوا بِالْعُقُودِ) – kamu pinjam, ada perjanjian, mesti bayar. Itu tuntutan al-Quran juga. Dia tahu tanggungjawab dia. Melainkan, katalah kecederaan, kematian itu soal lain-lain, tapi dalam keadaan biasa, dia ada wanita yang tabah dan ada daya tahan semangat.

 

  1. Kerana mula 2-3 bulan, kadang-kadang hadapi masalah. Tanam. Tanam-tanam baru hujan lebat pula. Jadi tanam sekali lagi. Hujan tak lebat, kemarau pula dah. Dalam kes-kes tertentu, saya percaya kita boleh teliti untuk bantu.

 

  1. Jadi saya sekali lagi lah, nak terima kasih Noor Aeiza. Macam mana? Wanita jagaan dia bagus sikit kan? Boleh? Garang sikit. Tak garang tak boleh pimpin. Ini saya ucap terima kasihlah dan doa, semoga berjaya dan kita harap betul Amanah Ikhtiar. Saya beritahu Syed Hussian, betul Grameen Bank bagus, sahabat saya juga jaga tu, tetapi saya kata kalau banding Amanah Ikhtiar, Amanah Ikhtiar ini dari segi jumlah, dari segi faedah, itu jauh lebih baik! Jauh lebih baik!

 

  1. Jadi, kita kena tengok juga macam mana kita boleh terangkan di peringkat sini dan juga antarabangsa. Biar negara-negara berkembang ini tengok, modalnya sedikit, boleh bagi pulangan yang baik. Jadi, saya nak Amanah Ikhtiar ini jadi contoh dan terkenal bukan sahaja di Malaysia, tapi seluruh dunia, satu contoh terbaik membantu rakyat miskin tegar. Sekali lagi terima kasih.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: