TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-80 TELEKOM MALAYSIA

26 Ogos 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-80 TELEKOM MALAYSIA

 

26 OGOS 2026 | RABU | 3.30 PETANG

DEWAN TUN CANSELOR, UNIVERSITI MULTIMEDIA CYBERJAYA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah,

Nahmaduhu wa nusalli wa nusallimu ‘ala Rasulihil-Karim,

Wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, 

Dato’ Menteri Besar Selangor;

 

Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil,

Menteri Komunikasi;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Rakan-rakan Yang Berhormat Timbalan Menteri;

 

Yang Berbahagia Dato’ Zainal Abidin bin Putih,

Pengerusi TM;

 

Lembaga serta pengurusan Telekom Malaysia;

 

Rakan-rakan dan anak-anak yang dikasihi sekalian.

  1. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana kesempatan yang permai ini, kita sambut 8 dasawarsa Telekom Malaysia. Sejarah yang diikuti, mengikuti liku-liku pra-kemerdekaan sehingga tertegak Malaysia yang gagah dengan kekuatan digital, teknologi moden dan Artificial Intelligence.

 

  1. Saya tentunya terkesan dengan tayangan video, kerana ia menunjukkan bahawa kejayaan kita itu tidak pernah kita alpa, dengan sumbangan semua peringkat. Pengurusan yang cekap, tatakelola yang baik, dasar yang jelas, pekerja dan profesional dalam pengurusan mereka dan juga kegigihan pekerja di peringkat akar umbi.

 

  1. Kita juga sedang persiapkan untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia dan berikutnya Hari Malaysia. Hari Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September. Kita doakan ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan jerebu lebih terkawal supaya sambutan boleh di padang.

 

  1. Tetapi dalam konteks Jabatan Telekom dan kini TM, kita tidak boleh melupakan sepertimana saya tegaskan, sumbangan lama, lampau. Dia diasaskan jabatan awal ini, zaman penjajah, juga connectivity, tetapi terbatas kepada keperluan penjajah dan penjawat awam di peringkat itu. Tidak difikirkan suatu jajaran yang merentas setiap desa, belantara dan rumah. Dasar penjajah itu sekadar menjadi, mengadakan kemudahan sebagai pemangkin pertumbuhan dan kemudahan pemerintah, tidak semestinya keselesaan rakyat.

 

  1. Keadaan berubah, jadi di bawah kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, kita saksikan satu era baru, iaitu menjadikan tanah Melayu tanah yang merdeka dan memberi keselesaan kepada rakyat, tetapi tanggungjawab ini dipikul oleh semua.

 

  1. Jabatan yang dulunya itu diasaskan hanya untuk memenuhi kelompok kecil, mereka yang di kota, kemudahan-kemudahan asas, berkembang untuk memenuhi keperluan rakyat. Rakyat di negara merdeka menuntut sesuatu yang lebih menjamin keselesaan.

 

  1. Kerana apa erti kemerdekaan? Kemerdekaan itu bukan sekadar mengganti pegawai-pegawai penjajah Inggeris dengan pegawai-pegawai penjajah Melayu dan tanah Melayu. Dia juga menuntut perubahan. Harta milik rakyat dan negara, tidak boleh terus dipunggah untuk memperkayakan negara asing penjajah. Harta itu dijanjikan untuk memberi keselesaan dan faedah kepada rakyat.

 

  1. Jadi, inilah titik tolak satu perubahan, asakan dari rakyat yang mahu melihat kemudahan yang lebih baik kepada semua. Tentu dalam keadaan begitu kita tidak terlepas daripada persaingan, perbedaan pandangan dan beberapa keterlanjuran. Sebab itu, generasi kini harus punyai tekad memperbaiki. Keadaan menuntut perubahan.

 

  1. Lihat sahaja sejarah Telekom Malaysia, dan kini hal-hal yang tidak terduga, tidak terjangkau dalam alam pemikiran kita ketika itu, sudah menjadi beban dan tanggungjawab TM. Jadi, pihak pengurusan harus sedar bahawa Telekom Malaysia bukan lagi sekadar mewarisi Jabatan Telekom, tetapi memenuhi tanggungjawab yang sangat besar.

 

  1. Kalau negara ini mahu kekal dan tambah maju, berdaulat, merdeka dan berhasil, ia mesti melangkah seperti era baru. Era baru yang tidak terfikir dan terduga sebelumnya. Ini bermakna anak-anak kita harus dilatih. Ada pendedahan baru, ada exposure baru pada dunia dan disiplin baru. Hal-hal yang diterokai, yang saya tekankan seolah-olah ”menggapai di langit” kerana hal-hal yang sukar pada peringkat awalnya.

 

  1. Saya bangga dan hari ini saya nak ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Telekom Malaysia kerana bukan sekadar menjadi pengikut dalam arus ini, tetapi telah membantu Kerajaan dan negara untuk mengangkat martabat kita dengan teknologi moden.

 

  1. Saya masih ingat tahun 90-an, semasa saya menjadi Menteri Kewangan, tentunya saya kenal dengan Allahyarham Tan Sri Dr. Mohd Rashdan Baba yang pernah menjadi Naib Canselor beberapa universiti sebelum itu. Dan bila kita ambil keputusan untuk menswastakan Jabatan Telekom, kita kena menetapkan kaedah penswastaan, dan biasanya penswastaan itu menjurus kepada kecekapan, setuju. Keuntungan, setuju. Dan faedah dan peluang kepada syarikat baru, saya setuju.

 

  1. Tetapi kalau itu sahaja menjadi asas pemikiran kita dalam usaha menswastakan syarikat-syarikat kerajaan ataupun jabatan-jabatan, ia sekadar satu peralihan yang kita saksikan di banyak negara-negara Barat. Maka, saya sangat terkesan dengan perbincangan, beberapa perbincangan dengan pengerusi pada ketika itu, Tan Sri Rashdan Baba kerana dia dapat menghayati semangat baru ini. Dan pada masa itu, dengan persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kita telah memutuskan semua badan-badan utama negara, Petronas, TNB, Telekom mesti berikan contoh penswastaan yang agak berbeza.
  2. Fokus keuntungan, kecekapan tidak dipertikai, tapi yang pertama sekali kebajikan pekerja. Kebajikan dan faedah pekerja itu bukan sekadar pengurusan tertinggi. Apakah dengan penswastaan, dengan keuntungan yang jauh lebih tinggi itu, memberi pulangan dan habuan yang baik kepada golongan pekerja. Apakah perumahan pekerja dapat diperbaiki? Apakah upah dan gaji mereka itu lebih lumayan? Apakah nasib anak-anak mereka yang bekerja, anak-anak pekerja itu, sekolah mereka, kebajikan pelajar dan pendidikan tinggi?

 

  1. Bila saya ada beberapa siri perbincangan, saya ingin nyatakan bahawa saya hargai komitmen yang ditunjukkan oleh rakan-rakan di Telekom, kerana cuba sedaya upaya meletakkan asas penswastaan dengan lebih prihatin, lebih MADANI, tidak hanya sekadar membolot kekayaan, memperbaiki kedudukan golongan atasan dan meminggirkan golongan pekerja.

 

  1. Sebab itulah pekerja Telekom umumnya, telah mendapat pengiktirafan yang jauh lebih baik. Ini bezanya di Malaysia ini, dan ini yang kita katakan dalam negara MADANI. Kita mahu pertumbuhan itu lebih rancak, segar, pantas. Tapi kita mahu juga keselesaan rakyat itu dinikmati oleh semua. Dan ini sekali lagi saya tegaskan, Telekom dengan kejayaan sekarang yang amat membanggakan kita semua. Bukan sahaja di Malaysia, tapi di rantau ini Telekom Malaysia memang terkenal.

 

  1. Tapi kita mahu terkenal bukan sahaja kerana gergasi gedung besarnya, bukan sahaja kerana hasil dan catatan keuntungannya, atau teknologi baharunya, tetapi juga kerana ia melambangkan satu syarikat yang peka dan prihatin terhadap nasib golongan pekerja dan masyarakat persekitarannya.

 

  1. Pada ketika itu bila dibincangkan soal penubuhan universiti, pada peringkat awal, Tan Sri Rashdan anak Negeri Sembilan. Jadi dia cadangkan untuk wujudkan Multimedia Universiti ini di Negeri Sembilan, bukan Cyberjaya, bukan Melaka. Tetapi itulah saya kata, tatakelola itu penting. Runding, runding, runding dengan kerajaan negeri dia balik, saya ingat lagi ke rumah saya, dia kata, “I’m sorry”, idaman dia ialah membuat sesuatu untuk bangunkan Negeri Sembilan, khususnya di Kuala Pilah. Tetapi, keadaan dan senario politik, dan permasalahan dan tatakelola dan amalan sakau menyakau menyebabkan beliau rasa sangat sedih dan saya lihat betul-betul dia rasa sangat kecewa.

 

  1. Jadi saya katakan kepada dia, “ini negeri kita semuanya. Saya anak Pulau Pinang tapi di mana sahaja lubuk di Malaysia itu, itu juga kawasan saya dan saya percaya Tan Sri Rashdan boleh memikirkan hal yang sedemikian.” Maka ini sejarahnya saya nak teruskan, jangan kita pandang remeh tentang apa bila saya sebut tentang tatakelola, memperbaiki yang malap. Keputusan itu dibuat akhirnya di Melaka dan Cyberjaya, kerana keadaan dan hambatan yang berlaku pada ketika itu.

 

  1. Jadi maknanya Telekom ini kemudian berkembang sebagai syarikat yang boleh dan mampu mengendali universiti, dan universiti di antara universiti yang gagah dan bermutu ke arah satu pusat akademik cemerlang di negara kita. Sebab, ia dapat dikendali oleh Telekom. Saya tidak mengatakan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi tiada upaya, tetapi kalau kita lihat pengurusan dari Petronas ke TNB ke Telekom itu menunjukkan bahawa kemahiran ada di sini, kepakaran ada di sini, know-how ada di sini, manfaatkanlah supaya pihak pengurusan yang pintar dalam bidang dan disiplin masing-masing boleh melatih anak-anak bangsa kita.

 

  1. Sepertimana yang dihimbau sebelum ini, penerokaan ilmu, saya ungkapkannya seolah-olah “menggapai di langit”, itu satu ujian besar. Tetapi kerana terletaknya di rantau kita, di negeri kita, kampung halaman kita, ia lebih mengingatkan kita tentang keperluan untuk “mengakar ke bumi”.

 

  1. Jadi walaupun kita bicara pada hari ini tentang kecanggihan dan kepintaran baru dalam teknologi maklumat, kemudian digital, kemudian AI, saya sekali lagi bangga kerana Telekom Malaysia ikuti betul-betul dari era semikonduktor ke era digital. Dan bila kita, 3 tahun setengah yang lalu kita bicarakan soal transformasi digital, itu di antara yang cepat menyambut adalah TM dan juga universiti.

 

  1. Jadi, ini satu kebanggaan saya. Dan bila kita bicara soal multimedia dan kemudian AI, saya lebih bangga kerana yang cepat menyambutnya juga TM dan Universiti Multimedia. Kalau kita terus dengan tekad yang sedemikian, saudara kita bukan hanya bicara tentang keterangkuman atau inclusivity, tapi kita bicara tentang tuntutan zaman. Malaysia mesti berhasil, Malaysia mesti berjaya. Dan kita mampu berjaya. Syaratnya ada. Mana negara yang boleh terangkat martabat dan harakat dan darjatnya dengan keadaan mengekalkan situasi yang lama, lembab dan penuh dengan kebobrokan sistem, kemalasan. Tidak mungkin. Maka harus dipacu dengan lebih kukuh, lalu dipastikan tahap kemajuan itu lebih laju dan pantas dari biasa.
  2. Kita manusia dan Muslim umat Islami harus dinamik. Bulan kemerdekaan, kita baru sambut hari Maulud, keputeraan Nabi Muhammad SAW, semuanya itu menekankan apa? Kita sekarang dalam teori pengurusan di MMU ini dibicarakan tentang ‘Striving for Excellence’. Tapi saya belajar daripada pangkalnya dalam tradisi Islam itu, tidak hidup tanpa dinamisme, tidak hidup tanpa pembaharuan, tidak hidup tanpa ‘Itqan fil amal. dalam maksud rumusan hadis dari Muhammad SAW. Striving ke arah kecemerlangan, sentiasa ada tekad untuk menuju apa yang disebut perfection, dan ini yang harus ada bukan sahaja di universiti, tapi tentunya dari budaya Telekom itu sendiri.

 

  1. Jadi kita dengan sambutan ini saya percaya akan memberikan semangat dan dorongan kepada rakan-rakan di sini untuk melakukan sesuatu yang lebih daripada apa yang kita capai. Selalunya kita kalau ikut teori sains politik ini kata, ada budaya selesa – culture of contentment atau complacency. Itu kalau ikut teori Genggal Bright or Galbraith atau sebelumnya, 10 tahun sebelum dulu. Ini maksudnya ada budaya senang, selesa. Gedungnya hebat, catatan membanggakan, jadi negara boleh menjadi lemah malah hambar kalau budaya rasa selesa.

 

  1. Kadang-kadang ada agensi atau syarikat rugi 10 bilion, 12 bilion, tapi kita masih kata, okey, tak ada apa-apa. Biasa pak. Biasa apa? Biasa lingkup. Tak boleh begitu. Ini budaya ini, budaya yang akan menyebabkan kita bukan selesa, rugi. Jadi sebab itu, harus ada tekad, this culture of contentment – budaya selesa. Apa lagi selesa dengan tahap pencapaian, tidak seteruk selesa dan terus tolerant dengan kerosakan.

 

  1. Jadi sebab itu kepada anak-anak, saya anggap anak-anak faham keperluan kita menjadikan universiti ini sebagai universiti contoh, cemerlang yang baik dan Telekom Malaysia itu sendiri menjadi satu syarikat yang boleh dibanggakan sebagai syarikat yang dapat maju ke depan, sesuai dengan semangat telekomunikasi, connectivity dan artificial intelligence yang memerlukan lebih daripada sekadar memasang atau membetulkan tiang elektrik yang kita lihat tadi.

 

  1. Saya percaya saudara dapat bersama-sama, terutama bila TM ini dapat cepat menangkap. Kita bicara baru ini tentang quantum computing yang memerlukan juga suntikan dan pengalaman saudara. Kita tubuhkan umpamanya TM One Cyber Defence Centre (CYDEC), dan ini keperluan pertahanan negara dan TM ini diperlukan bukan saja sekadar merentasi generasi, tapi hampir merentasi zaman.
  2. Saudara lihat umpamanya 8 dekad atau 8 dasawarsa yang kita bicarakan itu, menunjukkan bagaimana perubahan itu dalam kadar yang perlahan: 46, 50, 60, 70, 80 dia kelihatan laju, 90, 2000, 2020-an sekarang sudah menjadi terlalu pantas. Kita, Malaysia ini negara hebat. Malaysia ini punyai potensi yang luar biasa. Maka manfaatkanlah dan jaga dan selamatkan dengan tekad bersama untuk mengangkat martabat, harakat, dan darjat.

 

 

Terima kasih.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Share: