TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PELUNCURAN DASAR KASIH KELUARGA NEGARA (DKKN) DAN PELAN TINDAKAN KELUARGA NEGARA 2026-2030

14 Februari 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI MALAYSIA 

SEMPENA 

MAJLIS PELUNCURAN DASAR KASIH KELUARGA NEGARA (DKKN) DAN PELAN TINDAKAN KELUARGA NEGARA 2026-2030

&

JELAJAH SEJAHTERA MADANI – SKIM INSURANS KESEJAHTERAAN RAKYAT (SIKR) 

14 FEBRUARI 2026 (SABTU) | 10.00 PAGI

 

INSTITUT LATIHAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (ILKKM) SULTAN AZLAN SHAH, ULU KINTA, PERAK

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahirabbil ‘alamin

Nahmaduhu wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad,

Menteri Besar Perak Darul Ridzuan;

 

Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri,

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat;

Terima kasih atas kegigihan menjaga kementerian dengan baik.


Saudara rakan-rakan Menteri;

Menteri Pendidikan;

Menteri Kewangan II;

Timbalan Menteri;

KP ICU, SS; dan

Semua yang hadir.

  1. Terima kasih banyak. Sepertimana disingung oleh Saudara Dato’ Seri Saarani, Menteri besar sebentar tadi, kita baru selesai majlis taklimat peringkat daerah Kinta. Ini saya mulakan satu tradisi baru yang dulu pernah dijalankan oleh Almarhum Tun Abdul Razak, iaitu bukan sahaja dengar taklimat di peringkat negeri, tetapi turun ke daerah dan dengar masalah di daerah. Masalah di daerah itu: dari paritnya, dari pembinaan sekolah barunya, kerosakan yang berlakunya, banjir, ini maknanya pimpinan daerah, negeri dan negara itu bukan saja melakarkan dasar yang makro dan indah, tetapi memastikan pelaksanaan di peringkat akar umbi yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung.

 

  1. Dari segi angka pertumbuhan ekonomi kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, La’in shakartum la-azīdannakum, wa la’in kafartum inna ‘azābī la shadīd (Surah Ibrahim, ayat 7) – kita tahu keperluan untuk kita bersyukur atas nikmat yang diberikan. Negara aman, bila sebut aman, peranan apa? Peranan tentera, polis, pasukan keselamatan, penguatkuasaan. Politiknya stabil, Alhamdulillah kerjasama sepertimana yang ditunjukkan dalam pimpinan negeri Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri Saarani dan seluruh pasukannya. Kemudian ekonominya di pacu dengan baik, kerana tatakelola baik. Kalau budaya kita guna kuasa nak cari kekayaan bagi beberapa kerat manusia, negeri tidak boleh di pacu dengan baik.

 

  1. Bila ekonomi kita meningkat dan Alhamdulillah kerana dari angka yang diterbitkan semalam oleh badan statistik DOSM, pertumbuhan ekonomi Malaysia suku tahun keempat itu amat membanggakan, lebih baik daripada yang kita unjurkan. Pelaburan tertinggi dalam sejarah, pengangguran rendah, inflasi rendah. Pendapatan rakyat meningkat, walaupun kita masih hadapi beberapa masalah. Seperti kita tahu dengan kekuatan ekonomi dan pendapatan meningkat kita jaga rakyat. Buat apa dana itu yang kita dapat, untung berpuluh billion kepada siapa? Pertama, kepada rakyat, STR dan SARA itu RM15 bilion ringgit satu tahun, bukan kecil. Maknanya kita gunakan keuntungan itu balik kepada rakyat, kemudian kita gunakan dana lagi RM18 bilion ringgit untuk tambah elaun dan gaji penjawat awam yang telah berkhidmat dengan baik kepada negara.

 

  1. Jadi cara kita terima kasih ialah hargai kerana dah berapa belas tahun, dua belas tahun, tiga belas tahun tak naik gaji. Jadi kali pertama kita naik, mudah-mudahan kerja pun lebih baik saya ucap terima kasih kepada semua penjawat awam. Jadi, bila kita bincang soal ekonomi ini, saya minta kawan-kawan ada Penaga, ada daripada Grik, Keruh semua datang pada hari ni, kita kena faham bahawa negeri ini kalau aman, ekonominya baik, hentikan amalan curi harta rakyat dan sakau atau rasuah ini, kita boleh bangkit. Malaysia ini punyai potensi yang sangat baik. Di ASEAN ini lihat umpamanya, prestasi ekonomi, Malaysia catat di antara terbaik. Ringgit kita prestasinya terbaik di seluruh Asia. Jadi sebab itu, kita harus pertahankan, jangan kita terbawa-bawa dengan masalah-masalah titik bengik nak bergaduh. Pecah belah antara kaum.

 

  1. Ini bila kita sebut keluarga. Jadi Dato’ Sri Hajah Nancy bangkitkan soal ini. Asas dia, didikan itu penting. Dari awal dididik. Sebab itu dalam hadis Nabi Muhammad SAW, itu syurga itu – Jannati, itu syurga Baiti, Rumahku Syurgaku. Maknanya, mesti asal daripada rumah. Bapa, ibu itu menjadi bukan sahaja pendidik dengan kasih sayang, tapi contoh yang baik kepada anak-anak. Mudah-mudahan dengan Majlis Peluncuran Dasar Kasih Keluarga

 

  1. Bayangkan kita bincang soal ekonomi sekarang ini IT- Teknologi Maklumat, Digital Transformation, Energy Transition tetapi pangkalnya masih keluarga. Sebab itu saya menyokong dan memberikan segala dorongan kepada Menteri dan Kementerian untuk fokus dalam soal pembentukan keluarga yang sihat dan murni. Dan Dasar Kasih Keluarga ini satu peringatan kepada kita dalam kita riuh rendah sibuk mencari dana dan membina kekuatan negara dengan segala kecanggihan, sistem pendidikan baharu, kemudahan baharu, kita jangan remeh dan tinggalkan asas pendidikan keluarga dan kasih keluarga sebagai pangkalan dan asasnya.

 

  1. Ini sebab mengapa program ini diluncurkan pada hari ini. Dan saya sekali lagi ucap terima kasih kepada YAB Menteri Besar Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh jentera Kerajaan Negeri yang memberi kerjasama kepada Kementerian dan Kerajaan Persekutuan untuk menjayakannya.

 

  1. Program ini juga mencakupi Jelajah Sejahtera MADANI. Ini beberapa prakasa atau ikhtiar yang kita ambil, cari jalan bagaimana keuntungan besar negara ini boleh dipulangkan kepada rakyat. Pelbagai inisiatif, sekolah, kita tahu sekolah banyak menghadapi masalah-masalah. Tadi di taklimat Pegawai Daerah, kita bincang juga untuk peruntukan sekolah. Terima kasih kepada peranan PIBG, terutama pengorbanan guru-guru, Guru Besar dan Pengetua, kita akui itu. Tetapi kita juga tahu berapa keperluan asas.

 

 

  1. Tahun ini kita mulakan dengan keputusan, iaitu memulakan sekolah ini, kemasukan ke sekolah di peringkat lebih muda, umur 6 tahun. Ada mula-mula orang gelisahlah, 6 tahun dia kata, banyak belum bersedia. Tapi saya kata satu dunia, kebanyakan negara terima kemasukan ke sekolah itu umurnya 6 tahun. Kalau kita ketinggalan 1 tahun, kita tidak boleh bersaing. Dan anak-anak kita umur 6 tahun sekarang, bukan masa saya dulu umur 6 tahun, sudah lebih segar, lebih pintar, lebih terdedah dengan semua bidang ilmu pengetahuan. Jadi kita bagi didikan, bila 6 tahun, maknanya 5 tahun dah kita bagi kemudahan prasekolah. Berapa keperluan tambahan? Hampir RM1 bilion ringgit lagi. Tambah lagi. Untuk apa? Untuk anak-anak kita.

 

  1. Jadi jangan lupa. Dulu tak dipikirkan nak cepatkan. Bila kita cepatkan satu tahun, belanjanya satu bilion ringgit. Tapi, ini satu keperluan. Kalau negara nak maju, keluarga nak maju, bagi dia pendidikan sebaik mungkin. Kalau bagi Darjah 1, mesti mula dengan prasekolah. Bila mula prasekolah dengan Darjah 1, kena tambah guru. Tambah guru, tambah bilik darjah, tambah lagi peruntukan. Ini yang kita lakukan kerana sentiasa fikir soal keluarga, soal anak-anak dan keselesaan ibu bapa yang perlu kita berikan perhatian untuk menjamin kemakmuran negara yang sebenarnya.

 

  1. Kemudian kalau kita perinci sekolah, kita ada didikan dan kita bukan nak bagi pendidikan, sampaikan pendidikan dan maklumat biasa. Kita anak-anak kita itu dididik sebagai anak bangsa yang punyai akhlak, yang punyai nilai, tapi juga kepintaran dan kecelikkan dalam segala bidang ilmu baharu. Sebab itu anak-anak muda, pelajar sekolah rendah sekarang diperkenalkan Bahasa Melayu wajib, diperkenalkan Bahasa Inggeris, ada anak-anak India dan Cina diberikan ruang belajar bahasa mereka masing-masing.

 

  1. Kemudian dasar pendidikan Islam yang lebih mendalam. Maknanya ada bidang TVET, kemudian ada juga peluang untuk mendalami Islam dengan Maahad Tahfiz dan kemudahan-kemudahan Pendidikan Islam. Ini yang kita perkenalkan untuk membentuk keluarga dan keluarga di Malaysia itu keluarga yang punyai pendirian, sikap, peribadi yang menyeluruh, tidak terasing.

 

  1. Kita bukan didik anak Malaysia sepertimana anak di Barat atau di Eropah, kita ada identiti kita sendiri, keperibadian kita sendiri: mesti pintar, mesti celik budaya, mesti celik teknologi dan IT, dan Artificial Intelligence, tetapi masih berakar kepada negeri sendiri, berakar pada budaya, pada agama, ada penekanan prinsip akhlak. Ini yang membedakan kita yang dasar pendidikan yang diluncurkan termasuk Pelan Pendidikan baru ini oleh YB Menteri Fadhlina Sidek, iaitu supaya pendidikan itu memperbaiki, menambah ilmu dan memperbaiki akhlak dan adab. Selalu saya popularkan, adabani rabbi fa ahsana ta’dibi, selalu doa kita supaya perbaiki adab.

 

  1. Perkara ini juga, saya sebut tadi Sejahtera MADANI, kerana ini satu hal yang menarik. Kita tidak mahu masyarakat kita itu ketinggalan. Ini yang saya umumkan sebahagiannya, tapi kita kata kita ada badan korporat, kita ada bank, kita ada pegawai-pegawai kanan yang berpengalaman. Boleh tak kita manfaatkan pengalaman mereka, kepintaran mereka untuk turun ke kampung. Kita asal kampung, tapi kadang-kadang sudah tercabut daripada akar tradisi kampung yang lama. Jadi, ini percubaan kita dalam 2-3 tahun ini untuk minta, kamu siapa? Ketua Setiausaha Negara. Ketua Setiausaha Negara itu nombor satu dalam pentadbiran negara. Kamu siapa? Ketua Pengarah, KSU. Ini orang besar-besar ini tetapi, kita minta dia boleh tak beberapa bulan sekali turun ke kampung. Kampung asal atau kampung pilihan kamu dan kamu cuba selesaikan masalah dengan mencadangkan projek ekonomi ataupun baiki sekolah mereka dan cadangan-cadangan yang lain.
  2. Sejahtera MADANI, Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI supaya pengurus bank yang jaga ratusan juta ringgit itu, bagi pandangan dia tentang masa depan negara dan masa depan ekonomi. Boleh tidak kamu turun ke bawah? Pergi ke Lahar Yooi ke? Pergi ke Cherok Tok Kun ke? dan lihat masalahnya berbeza. Ini yang dikemukakan dan saya kira dalam kerangka membentuk masyarakat yang dikelola oleh Datuk Sri Nancy Shukri ini membina masyarakat dengan pelbagai jentera kerajaan harus selaras dan berikan kerjasama. Ini bukan urusan satu kementerian. Ini urusan negara, ini urusan kita, ini urusan ibu bapa, ini urusan rakyat semua bagaimana boleh kita cuba tingkatkan peranan dan jayakan projek yang telah kita umumkan.

 

  1. Begitu juga dengan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) sepertimana yang disebut tadi, beberapa ikhtiar baru untuk meringankan beban rakyat. Jadi saya minta ibu bapa, rakan-rakan, saudara-saudari yang hadir, faham apa yang dilakukan dan tahu kita sedang ikhtiar sedaya upaya kita – Islah Mastata’tu, makna perubahan sedaya upaya kita untuk memperbaiki nasib rakyat. Apakah kita punya jawapan semua? Tidak. Tapi kita ikhtiar sebaik mungkin dan kalau ada pandangan, maklumat, maklum balas, sampaikan dan kita cuba perbaiki dari semasa ke semasa.
  2. Tapi sepertimana kita rumuskan dalam perbincangan tadi dengan pegawai daerah, yang penting ini projek-projek rakyat. Keutamaan sekarang ini, projek langsung rakyat, kalau banjir kecil. Nak selesaikan banjir besar untuk selesaikan seluruh masalah Sungai Perak, itu belanjanya mungkin berbilion. Hakisan pantai mungkin 3-4 bilion, tapi nak betulkan parit di Ulu Kinta ini mungkin tidak sampai 1 juta, selesai yang itu dulu, kerana itu tepi rumah Pak Cik Mat, tepi rumah Bedah, sebut Bedah Azizah kata Bedah mana pula dah (nada seloroh). Jadi saya harap tumpuan kita daripada sekarang untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat.

 

  1. Jadi, sekali lagi lah saya nak nyatakan penghargaan kepada rakan saya, Menteri Besar. Dia selsema sikit pun datang dengan semangat, bersyarah tadi tak nampak macam selsema pun, bila duduk pakai selsema balik (nada seloroh). Terima kasih. Dan Nancy Syukri, dia anak Sarawak yang pintar dan saya bangga kerana komitmen dia sungguh-sungguh untuk menjayakan program di Kementerian dan untuk melihat kebajikan keluarga dan seluruh jentera Kerajaan yang hadir.

 

 

  1. Hari ini kalau saya tengok semua Menteri-Menteri, semua pegawai-pegawai kanan semua ada ni Negeri dan Persekutuan. Kalau nak minta apa-apa, minta sekarang dan terima kasihlah atas kesudian mereka menjayakan.

 

PENGUMUMAN:

Tadi saya tengok sikit yang kita ketinggalan. Sebab tadi bila dengar rayuan daripada negeri Perak dan terutama di kawasan Kinta ini, dia tak minta projek besar-besar ni, dewan dah ada siap, cantik dah, jadi yang dia minta beberapa program yang kecil yang boleh diselesaikan untuk faedah rakyat sekarang. Yang disebut projek-projek kecil yang boleh diselaraskan. Jadi oleh kerana saya hadir di sini, jadi sementara kita rancang projek besar-besar ini, apa sahaja yang perlu sekarang, parit ke, sekolah bocor ke, kelas tambahan kecil-kecil ini, kalau RM5 juta ringgit kita cuba selesaikan sekarang juga. Kalau lambat pelaksanaan salah Pegawai Daerah. Saya dah umum hari ini, bagi hari Isnin, kita boleh hantar cek ya Amir Hamzah.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Share: