TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: HIMPUNAN MESRA ALUMNI UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

26 September 2026

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM


YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 


HIMPUNAN MESRA ALUMNI UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA

BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

 

 

 

26 SEPTEMBER 2026 | SABTU | 12.00 TENGAHARI

DEWAN AGUNG TUANKU CANSELOR UiTM SHAH ALAM, SELANGOR

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

  1. Saudara Pengerusi dan Jawatankuasa, Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor yang menyelenggarakan dan membantu. Terima kasih banyak. Dan saya hargai peranan Persatuan Alumni UiTM ini kerana ia merupakan di antara alumni yang gagah hebat dan aktif. Dan tentunya saudara Saiful Azhar merupakan seorang ketua yang berwibawa yang boleh mengangkat persatuan ini.

 

  1. Dan saya ikuti perkembangan persatuan alumni ratusan yang ada, tetapi dengan apa kekangan dan kritikan yang kita dengar, Alumni UiTM masih merupakan dia Sa yang paling hebat yang kita tahu.

 

  1. Timbalan Menteri, Pro-Canselor, KSU dan rakan-rakan yang terutamanya rakan-rakan lama dan baru, termasuk anak-anak yang dikasihi sekalian. Kita sebenarnya hadir dalam satu majlis yang harus menyentuh hati nurani kita. Bapak-bapak kita, pejuang-pejuang kemerdekaan, pejuang bangsa meletakkan harapan yang tinggi pada agensi yang boleh mematahkan, memecah tembok yang menghalang kebangkitan rakyat dalam sistem feudal yang kita warisi ratusan tahun untuk mengangkat peluang mobiliti sosial adalah sukar.

 

  1. Sebagai pemimpin-pemimpin utama negara, khususnya Almarhum Tuan Abdul Razak Husein, adalah di antara yang memikir langkah memastikan memaknai erti kemerdekaan, supaya manfaat itu terus kepada rakyat, maksud apa yang mereka ungkapkan masyarakat desa yang pada ketika itu popular dengan luar bandar.

 

  1. Ini adalah satu agensi MARA dan UiTM yang dianggap ketimbang dengan negara-negara membangun yang lain, yang mampu memecahkan tembok yang menghalang kebangkitan rakyat yang dahulunya tidak diberikan kesempatan dan peluang. Ini yang dimaksudkan affirmative action dan menyebabkan mobiliti sosial yang paling berhasil: anak petani, anak nelayan, anak si miskin pesawah, boleh muncul dalam lapangan profesional melalui gagasan asalnya RIDA, MARA, ITM dan sekarang UiTM.

 

  1. Saudara-saudara yang diberi amanah harus menyingkap lembaran sejarah ini dan jangan sekali-kali lalai dan lupa tentang amanah besar ini. Harapan tinggi menggunung dan tidak dapat disangkal kenyataan, banyak kejayaan yang dicapai. Apapun teguran dan kritikan kita tentang beberapa dasar lalu, tidak boleh kita nafikan jasa pemimpin-pemimpin lalu di semua peringkat yang telah berhasil mengekalkan institusi ini dan tahun demi tahun mengangkat keupayaannya.

 

  1. Kebetulan saya besar di Universiti Melaya, semasa perkembangan ITM dan tatkala menjadi Menteri Pendidikan, merangka masa itu Tan Sri Rahman Arshad, mantan guru saya di kolej Melayu yang menjadi Pegnerusi di sini bersama Marhum Tun Arshad Ayub tentang penubuhan dan mengangkat ITM itu menjadi universiti. Tentunya ramai yang lain yang lebih berjasa, saya cuma hanya menyebut bahawa saya dapat lihat liku-liku perjalanan itu.

 

  1. Pejabat saya sebagai pemimpin mahasiswa, selain dari PBMUM di Universiti Malaya adalah PKPIM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. Tun Arshad Ayub, lapang dada, memberikan ruang di Pejabat Pesatuan Pelajar ITM, PSITM ketika itu, Pesatuan Siswa ITM, di Jalan Othman. Maka saya saban hari ke Jalan Othman, ke ITM Jalan Othman selama 3 tahun. Jadi, saya harus jadi alumni bersekutu. Tak patut kerana Pengerusi tak iktiraf saya sebagai mantan ITM, tapi kerana pimpinan siswa-siswa masa itu ITM, dan Tun Arshad Ayub, maka semua kegiatan PKPIM tahun-tahun itu adalah di Jalan Othman. Saya tak mahu cerita rahsia yang lain, kerana Jalan Othman juga ada tarikan-tarikan lain. Itu saya padamkan sebelum terbongkar kepada Azizah.

 

  1. Tapi, selepas itu, saya ikuti tentunya dari dekat. Kerana, itu nasihat Ayub bagi yang kenal, saya percaya yang senior Itu orangnya, walaupun dikenali sebagai tokoh pendidik Melayu, tapi orangnya, apa yang dianggap, keras, tegas, disciplinarian. Kalau dalam mesyuarat, saya ingat dan saya sudah jadi menteri, dia bagi pandangan itu dengan serius, dia tidak pandang dan ambil ringan, terutama keghairahan atau obsession dia tentang pendidikan, mutu pendidikan dan peluang pendidikan anak-anak Melayu.

 

  1. Sebab itu, sesuai untuk kita, peringkat awal ini, kenang jasa. Dan kalau saya singkap pemikir dan filasuf Perancis yang terkenal Roger Garaudy, yang dia akhir memeluk agama Islam. Roger Garaudy kata, untuk kenang kisah lama, pemimpinan pejuang lama, bukan sekadar nostalgia, aku kenal dia, aku jumpa dia dia cakap begini, tak. Kata dia, not to bury the ashes of the dead but to rekindle its flame. Bukan sekadar mengimbau pengalaman-pengalaman dan jadi debu-debu yang hilang, tetapi harus menyemarakkan api yang mereka mula hidupkan. Not to bury the ashes of the dead, but to rekindle menyemarakkan api perjuangan, seruan dan saranan mereka.

 

  1. Bagi saya, Tun Arshad Ayub itu sesuai dengan peranan begitu. Anak-anak muda mungkin tidak dapat mengimbas, kerana tidak banyak di zaman…zaman yang lalu, ramai yang menjadi jaguh, yang anggap mereka itu champion, yang bicara soal perjuangan Melayu dan sebagainya. Tak ramai yang kekal dengan sikap dan tatakelola dan tidak menggunakan nama atau agensi Melayu itu untuk memperkayakan diri atau memerosakkan agensi.

 

  1. Jadi, kita harus belajar beliau itu bukan mengenai Arshad itu, bukan sekadar dia itu pendiri, penegak sistem, tetapi cara dia mengurus dan bertanggungjawab dalam menetapkan sistem dan tatakelola yang baik. Sebab itu, ITM dan Jalan Othman meningkat. Kerana pengurusan itu cekap dan tidak menghindari salah laku yang boleh merobohkan institusi itu. Kita kadang-kadang kurang pengajaran ini kerana sentimen kita hanya tentang agensi kita dan kaum kita, kita lupa yang menegakkan agensi, yang mengangkat kaum itu adalah orang-orang yang sendirinya merupakan tokoh-tokoh dengan budi pekerti dan akhlak yang baik.

 

  1. Sebab itu, saya mulakan dengan bersetuju dengan saranan rakan-rakan termasuk alumni untuk mengistiharkan Kampus UiTM Jalan Othman Pertaling Jaya kepada Kampus UiTM Tun Arshad Ayub. Dan anak-anak harus ingat, mengenang jasa, not only to bury the ashes of the dead, but to rekindle its flame. Bukan sekadar menebarkan debu-debu si mati, tetapi menghidupkan semula, menyemarakkan semula api perjuangan, saranan dan seruannya.

 

  1. Dan sebagai permulaan sesuai dengan pengumuman ini, saya luluskan segera 2.5 juta ringgit ke Jalan Othman. Ada orang bertanya tentang sikap pendirian Kerajaan MADANI dalam soal agenda Bumiputera. Yang kita dengar dalam simpang siur politik, dan kadang-kadang di sini selit-selit, seolah-olah kita pinggirkan. Saya nak berikan angka. Saudara, Malaysia ini tertegak dengan satu sistem dan perlembagaan yang jelas. Siapa pun jadi pemimpin, apalagi dalam Kerajaan MADANI, tidak boleh merombak dan merongkai prinsip asas perlembagaan negara kita. Cara menyampaikan, cara memahami, tentu ikut juga zaman. Malah, saya ambil masa yang agak panjang, kerana saya lebih bernasib baik daripada saudara-saudara, saya ada banyak masa untuk membaca dan menelaah buku-buku di Sungai Buloh. Saudara kurang. Sebab itu, saya beritahu kepada Shahrin, Naib Canselor, saya kata saya bukan profesor di sini, tapi dalam beberapa hal, saya lebih banyak baca buku daripada profesor di sini sebab saya ada banyak masa, daripada pagi sampai malam baca buku. Tapi saya tak anjurkan anak-anak nak baca buku, baca semasa jadi mahasiswa tak payah masuk penjara.

 

  1. Baik, saya nak bagi contoh peruntukan mengurus dan pembangunan untuk UiTM sahaja dari kurang 2 bilion ringgit sebelum Kerajaan MADANI, meningkat tiap tahun, tahun 2024, 2025, dan untuk tahun ini dari kurang 2 bilion sebelum kita ambil alih, peruntukkan untuk UiTM tahun 2026, 3.08 bilion ringgit. Dan ini adalah minggu-minggu akhir sebelum Belanjawan Negara diumumkan pada sekitar 9 Oktober nanti dan tentunya pandangan-pandangan rakan-rakan, saya tentu ambil kira dan saya beri jaminan, dengar pengumuman, pendirian kita tentang dasar pembangunan Bumiputera dengan agensi-agensi Bumiputera terus diberi perhatian, dan saya nak buktikan bahawa dalam Kerajaan MADANI perhatian kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, sosial, pendidikan Bumiputera jauh lebih tinggi dari mana-mana pemerintahan sebelum ini.

 

  1. Saudara, ini bukan agenda politik serpihan. Dalam agenda politik nasional, tidak boleh kita kesampingkan, pinggirkan kepentingan majoriti kepentingan peribumi iaitu Bumiputera Melayu asal dan rakyat Bumiputera Sabah dan Sarawak. Tidak mungkin kesampingkan. Apa bedanya? Bedanya saya lebih keras dalam memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan kepada agensi Melayu dan Bumiputera tidak boleh dikhianati dan disakau oleh sesiapa.

 

  1. Dan untuk memaknai program ini, saya nak beritahu ini bukan keputusan saya atau Jemaah Menteri saja. Saya telah cadangkan kepada Pengerusi Alumni, ini barisan anak-anak yang lebih pintar dalam semua disiplin, dalam dan juga luar negara, pilih tujuh, sepuluh orang dari alumni, tidak semestinya terikat dengan pemerintahan. Pilih tujuh dan sepuluh dan saya nak beri jaminan pada hari ini kepada alumni untuk membuktikan seriousness Saya akan beri seluruh peluang dan laluan untuk saudara nilai setiap program utama agensi Bumiputera termasuk UiTM supaya dapat diperbaiki dan ditingkatkan. Ayuh tanggungjawab saudara jalankan.

 

  1. Belum pernah dalam sejarah negara ini sejak merdeka, Kerajaan memberi amanah secara langsung pada mana-mana alumni pertama, menilai prestasi peranan. Apa disiplin yang perlu dikemukakan? Mana fakulti yang harus dikembangkan? Kita katakan AI, quantum computing, pendidikan, kesihatan dalam pelbagai kecanggihannya, beri pandangan, beri cadangan dan saya jamin insya-Allah kita akan berikan perhatian sebaik mungkin untuk ditingkatkan keupayaan kita. Sekali lagi saya tekankan, ini bukan keputusan yang mudah. Bukan keputusan yang mudah. Kerana ini akan mengundang pandangan dan kritikan terhadap beberapa kelemahan yang kita lakukan.

 

  1. Saya tidak menafikan dalam hampir empat tahun saya sebagai Pendana Menteri tidak ada kelemahan, ada. Tetapi saya yakin agenda Bumiputera boleh kita kembangkan dengan jaminan keadilan sosial dan tidak melanggar jaminan keselamatan dan keselesaan rakyat yang bukan Bumiputera. Itu beda. Saya sentiasa tekankan itu. It’s not a zero-sum game. I want to help the Malays because they are my people. I am proud of their culture and their heritage. Tapi saya tidak senang dengan mana-mana pandangan yang menghina orang lain, meremehkan peranan orang lain, atau menafikan hak orang lain. Itu pendirian saya.

 

  1. Saya yakin, dengan peruntukan yang ada, malah dalam Belanjawan ini, dengan mengambil kira Putera 23, agenda Bumiputera keseluruhannya, kita mampu tingkatkan. Dan Saiful Azhar, tanggungjawab saudara, bersama rakan-rakan pilih, supaya kita boleh pantau dan kita kerja sebagai satu pasukan. Ini bukan satu kelompok lawan kelompok lain. Untuk menjayakan agenda Bumiputera ini, kita perlu garap seluruh kekuatan. Ada orang-orang lama yang berpengalaman, Tan Sri Jusoh ada, yang boleh kita manfaatkan sebaik mungkin, kerana melihat sendiri kekuatannya, kelemahannya.

 

  1. Kita mahu jadikan UiTM yang berjaya melahirkan anak-anak dan rakan-rakan seperti ini, tetapi mesti ada strive keupayaan untuk mengangkat lagi keupayaan. Jadikan UiTM yang kini dianggap agensi cemerlang, tapi jauh lebih cemerlang sebagai real center of academic excellenc

 

  1. Ada hal-hal yang diprihatinkan. Bila saya masuk di antara soalan awal saya tanya pada Naib Canselor tentang kebajikan anak-anak. Apa saudara ingat kita boleh selesa hidup dan rasa senang bila ada anak-anak yang mengeluh sebagai mahasiswa dari keluarga miskin masih kelaparan, masih makan Maggi tengah hari dan malam. Oleh itu, saya telah minta laporan saudara sampaikan, tapi kita lihat bagaimana boleh kita ringan. Ini yang bagi saya basic, mana mungkin satu Kerajaan dengan pertumbuhan enam peratus dengan pelaburan ratusan bilion ringgit, tapi tak boleh selesai masalah asas makan anak-anak kita yang sedang belajar.

 

  1. Jadi insya-Allah, saya sudah ada beberapa cadangan awal dari Perbendaharaan untuk menangani masalah ini, dan saya percaya Naib Canselor boleh bantu untuk memastikan paling basic anak-anak kita itu tidak merasa tertekan dalam soal pelajaran mereka. Ini maknanya hal-hal yang patut diakui. Kita jangan dengar yang lunak-lunak, yang baik-baik sahaja. Ada orang tanya saya, dia kata Anwar, pelaburan kita tertinggi dalam sejarah dan dalam keadaan banyak negara tersangkut kerana peperangan akibat serangan ganas Amerika dan Zionis Israel yang terus biadab ke atas Iran menyebabkan ketegangan geopolitik Timur Tengah termasuk Selat Hormuz harga melambung.

 

  1. Brent minyak tatkala kita bentangkan belanjawan tahun lalu, USD70 satu tong. Sekarang mencecah rata-rata lebih USD105, ada yang sampai USD115 satu tong. Jadi, kira kalau kita buat belanjawan kos USD70 satu tong, sekarang USD115. Jadi ini memang merunsingkan. Tapi bagi rakyat, bagi petani, nelayan yang terpaksa hidup berdepan dengan masalah harga barang setiap hari, anak-anak di universiti termasuk UiTM yang terpaksa makan untuk ke kuliah. Hal ini mereka faham, tetapi mereka mengharapkan pimpinan negara memikirkan cara-cara menyelesaikan. Kita tidak akan bangga hanya dengan pelaburan tertinggi dalam sejarah, pertumbuhan yang meyakinkan, tetapi mereka juga mahu supaya keselesaan itu sampai ke peringkat bawah. Saya mendengar, saya mengerti. Dan sebagai seorang yang timbul dari bawah, ada orang kata ini saya belajar dari jalanan, tak apalah. Tapi ia juga menyentuh hati nurani kita.

 

  1. Saya luahkan ini di hadapan alumni, kerana saudara mewakili satu kalangan masyarakat dan saudara melalui satu zaman era, ramai daripada saudara itu dari keluarga yang disebut B40. Dan saya sementara bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana ini satu negara yang terus beri jaminan mobiliti sosial membanggakan, tahu bahawa negara ini juga harus menetapkan keutamaannya, bukan pada angka-angka yang menakjubkan, angka-angka pertumbuhan yang membangggkan, tetapi dari usaha yang sungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah-masalah asas rakyat.

 

  1. Saudara, naratif kita harus jelas, ini masalah kita. Bagaimana kita boleh pastikan pertama, kita beri tumpuan pada dasar negara yang menjamin kehidupan rakyat semuanya baik, terutama Melayu Bumiputera. Susulan dari itu, kita harus jamin, orang yang dipertanggungjawab itu urus dengan baik, tidak akan mengaibkan kita. Tidak seperti dari pengalaman Tabung Haji, rugi 12 bilion ringgit. Saya membantu urusan FELDA, Kita warisi satu masalah. Sekarang, saya terpaksa cari dari Kementerian Kewangan, dari wang rakyat. Wang Bumiputera, Cina, India, semua yang bayar cukai untuk bayar kerugian RM980 juta setiap tahun. Agensi FELDA, Bumiputera, yang dahulunya mencatat untung yang baik. Siapa kata orang Melayu tidak berwibawa? Taib Andak, itu tokoh Melayu. Raja Alias, itu tokoh Melayu. Sinonim dengan kebangkitan FELDA. Tapi mereka urus dengan baik, dengan cekap, dengan amanah dan menyebabkan keuntungan agensi itu begitu tinggi. Kemudian, kita letakkan orang-orang lain yang gunakan itu sebagai medan untuk menyakau. Saya tahu istilah sakau ini tidak popular di setengah orang. Tapi akhirnya terpaksa dibebankan.

 

  1. Peneroka mengeluh. Saya ingat baru-baru ini, masa saya berjumpa dengan pengurus-pengurus FELDA, Pengerusi ada sini, juga alumni UiTM. Saya serah tanggungjawab itu kepada dia. Sebab dia kata, dah bebelas tahun rumah yang diduduki itu tidak diperbaiki. Dia tunjuk gambar pada saya, tandas pecah, bumbung, dinding. Jadi, saya minta Kementerian Kewangan kaji, nak minta dari FELDA tak mampu. Sebab pengurusan lama, ini bukan masalah sekarang. Jadi, terpaksa Kementerian Kewangan tambah lagi RM450 juta untuk perbaiki rumah-rumah pengurus FELDA.

 

  1. Apa kaitan dengan UiTM? Ini tanggungjawab kita bersama saudara-saudara. Cari jalan dan kaedah. Hentikanlah amalan begini. Saya tahu saya pun juga diserang kadang-kadang begini, asyik tegur masalah tatakelola dan sakau. Tapi bayangkan, 5 bilion sini, 10 bilion sini. Kalau ini dikumpulkan untuk bantu, banyak yang kita boleh bantu Bumiputera ini. Sebab itu, siapa pun nak ambil alih. Memang orang sebut sekarang, Perdana Menteri dan pimpinan. Pastikan, negara ini harus diatur secara bersih dan hentikan salah guna kuasa dan tatakelola.

 

  1. Kalau dua perkara awal ini kita selesaikan, maka pemikir bangsa yang punyai pengalaman harus kemudian merangka apa lagi yang harus kita lakukan. Ada teknologi lama, ada yang baru. Kita lihat keupayaan negara lain. Nasib baik kita cuba dalam sepolitik kita, baik dengan semua. Saya baru balik dari negara China, dua hari yang sudah. Tun Abdul Razak meneroka sesuatu yang kita rasa menggemparkan untuk bersalaman dengan Mao Zedong itu. Itu memang kalau tahu sejarah kita, mantan-mantan askar Melayu dan tentera itu menangis mereka. Tetapi, ini yang dikatakan negarawan. Dia fikir masa depan Melayu dan Malaysia harus ada hubungan baik dengan semua.

 

  1. Jadi hari ini kita cuba turuskan dan mantapkan, baik dengan Amerika walaupun keras menentang sikap Amerika soal Gaza dan Palestine, baik dengan China, dengan BRICS dan itu menguntungkan kerana bila kita baik dengan Brazil, dengan Afrika Selatan dan Peru mereka beri ruang penuh kepada PETRONAS masuk dan gali minyak, menguntungkan negara. Turkmenistan baru-baru ini setuju berikan telaga gas kedua terbesar di dunia untuk digerudi oleh PETRONAS, kerana hubungan antarabangsa yang baik.

 

  1. Ini yang saya katakan perkara ketiga yang harus kita lakukan dan seterusnya tentu memastikan program-program yang sedia ada itu dia mantap dan ditingkatkan.

 

  1. Terima kasih sekali lagi Persekutuan Alumni UiTM kerjasama yang diberikan dan mereka kemukakan beberapa cadangan lain. Program Tunas Belia EET. Itu Alumni UiTM ya. Dia bagi saya dengan rangka, dengan rajah. Orang pandai-pandai semua ni. Saya kata rumuskan lah. Saya tak baca panjang-panjang tak boleh. Dia rumuskan, jadi oleh kerana ini, maka saya bagilah geran permulaan RM100,000 untuk tujuan itu. Dan kepada alumni juga untuk himpunan hari ini nampak berhasil, mula kita nak lulus RM50,000 tapi oleh kerana sambutan begitu baik, kita luluskan RM100,000.

 

  1. Tapi ingat syarat saya, saya minta persatuan-persatuan tentukan tujuh atau sepuluh orang yang boleh membantu menilai semua program Bumiputera, terutama UiTM dengan maksud mengangkat keupayaannya menjadi center of excellence yang dibanggakan.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SESI SOAL JAWAB BERSAMA YAB PERDANA MENTERI SEMASA HIMPUNAN MESRA ALUMNI UiTM

 

SOALAN 1:

 

Assalamualaikum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, di mata Kerajaan, pimpinan Yang Amat Berhormat, bagaimanakah kedudukan dan peranan UiTM dalam agenda pembangunan negara? Dan apakah harapan khusus kerajaan terhadap UiTM dalam merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI?  Sekian, terima kasih. Terlupa saya nak kenalkan, nama saya Jumailah Johari, naib pengurusi Persatuan Alumni Komander Kesatriaan UiTM SeMalaysia. Terima kasih. (Orang mana?) Orang mana? Dia campur, tapi membesar di Selangor.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

 

Baik, terima kasih. Ini soalan bukan daripada Saiful Azhar ke? atau daripada? Tak. Saya hadir untuk memberikan bukan sekadar sambutan tetapi kerjasama dan harapan yang tinggi kepada alumni. Kerana ini satu agensi atau universiti yang melahirkan paling ramai alumni ketimbang mana-mana institusi di negara kita. Tidak ada sekolah, kolej, universiti, maktab, institut yang melahirkan begitu ramai dengan profesional yang paling tinggi jumlahnya. Jadi tentunya sudah diberi latihan, pikullah amanah itu dengan baik. Dan saya beri pula cadangan yang ulung-ulung kali berlaku dalam sistem negara kita di mana saya akan serahkan semua, dia ada Prime Minister Action Committee (PMAC) yang juga membuat satu kajian tentang pembinaan UiTM yang sekarang ini menjadi satu beban besar dari segi keuntungan kewangan, sebahagian daripada saudara-saudara sedia maklum dan saya minta dikaji semula supaya dapat dikurangkan beban itu dan dikembalikan keuntungan bukan untuk Kerajaan, untuk UiTM.

 

Dan kepada anak-anak yang di sini, dan juga yang ikuti dari kampus-kampus lain saya nak seru, ini satu amanah. Betul, pengajian ini bukan sahaja akademik tetapi kecemerlangan akademik itu harus menjadi satu keutamaan disiplin kita dan sebab itu baru-baru ini saya umumkan dan Naib  Canselor ada, bahawa Akta Universiti itu tentu dipinda, tapi dia melibatkan banyak hal-hal lain pengurusan universiti dan sebagainya. Tetapi hak mahasiswa bersuara, beri pandangan itu kita harus dijamin. Mahasiswa bukan pelajar sekolah rendah atau menengah, biar dia beri pandangan kalau tak betul, kita tegur, kalau dia pukul orang, kita tangkap, undang-undang itu ada. Tetapi, beri dia rasa keselesaan, ruang untuk bercakap, beri pandangan, menegur dengan baik. Dan ini dia maksud saya dengan pindaan Akta Universiti. Saya tidak mahu ada perutukan yang menakutkan atau melarang anak-anak dari berbicara sebagai seorang mahasiswa dengan bebas. Itu juga yang kita sedang sediakan. Terima kasih.

 

 

SOALAN 2:

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Malaysia MADANI. Dato’ Seri. Saya Md. Adi Azim Md. Razali yang di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, singkat sahaja daripada saya Dato’ Seri. Sebagai seorang mahasiswa, saya nak tanya tentang apa yang akan berlaku kepada kami apabila status kami berubah, daripada seorang mahasiswa kepada seorang graduan. Kalau kita tengok sekarang, berkenaan dengan kebolehpasaran graduan memang semakin meningkat, tetapi masih lagi ada graduan yang terpaksa bekerja di luar daripada kelayakan akademiknya. Ada juga yang mendapat pekerjaan tetapi gajinya masih lagi tidak mampu menanggung kos sara hidup. Jadi kalau kita tengok Dato’ Seri, sekarang pun tengah minggu orientasi pendaftaran pelajar baru masuk ke dalam universiti. Kita tengok dalam kalangan keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan B40 dan sebagainya kita tengok mereka ini menghantar anak ke universiti dengan meletakkan hasrat anak-anak mereka ini nanti akan membantu mengubah kehidupan mereka pada masa akan datang.

 

Jadi soalan saya Dato’ Seri, apakah langkah di peringkat Kerajaan untuk pastikan pertama, graduan mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan dan kemahiran mereka dengan gaji yang adil supaya pendidikan ini benar-benar mampu memenuhi hasrat kehidupan keluarga pada masa akan datang untuk diubah?

 

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

 

Baik, terima kasih. Dia dari segi Kerajaan, pertama, tanggungjawabnya langsung bila kita ambil alih, kita minta dikaji semula skim gaji atau upah pegawai-pegawai kerajaan, penjawat awam. Saya lihat bila saya ambil alih tahun 2022-2023, 12 tahun tertangguh. Maka saya ambil langkah, minta KSN, KPPA kaji semula, dalam satu tahun kita telah berjaya kenaikan tertinggi dalam sejarah 15% peningkatan. Dan bagi kalangan pekerja penjawat awam B40 ada saya katakan 33% kenaikan.

 

Kemudian GLIC, syarikat-syarikat milik Kerajaan. Maybank, PETRONAS yang di bawah Khazanah semua dan bawah PNB saya tetapkan mulai tahun lalu gaji minima, minima RM3,100. Dengan harapan sektor swasta juga meningkat. Masalahnya sekarang kita dah naikkan daripada RM1,200, RM1,500, sekarang RM1,700 minima untuk sektor swasta. Bantahan daripada syarikat-syarikat ni keterlaluan. Saya faham kalau dia jaga restoran tepi jalan dia nak bagi kenaikan itu tidak mudah. Tapi ada syarikat-syarikat besar dalam negara kita untungnya 100 juta, ada yang mencecah 1 bilion ringgit tetapi untuk naik gaji pekerja di upah ini sangat sukar. Ini dalam kita mewarisi sistem yang agak kapitalistik ini masalah dia. Jadi saya di peringkat akhir kaji. Kita dah ambil contoh Kerajaan dah naik gaji, GLIC dah naik gaji. 3100 ringgit itu minima. Itu pun kita nak akan categorize kalau minima bagaimana orang yang dah siswazah atau ada post pasca siswazah itu patut diberikan pertimbangan.

 

Jadi saya dalam peringkat akhir dalam belanjawan ini tentu saya terpaksa hadapi permasalahan ini dengan lebih serius sebab kita kata ekonomi meningkat ini kena raise the ceiling. Raise the ceiling itu pelaburan E&E, kehadiran Infineon, NVIDIA, Microsoft, Intel sebagainya itu dengan memerlukan kepakaran khas. Universiti-universiti termasuk UiTM terima kasih telah menyambut cukup baik. Kadang-kadang-kadang bilang engineering tak boleh guna kurikulum 5 tahun yang lalu. Maka kita minta dia bincang secara langsung dengan syarikat. Apa yang diperlukan, ditingkatkan. Ada hal yang bersangkut dengan specialized engineering ataupun AI dalam engineering. Itu semua universiti beri laluan. Jadi terima kasih kerana UITM di antara universiti yang cepat menangkap dan membawa perubahan.

 

Ini boleh jamin peningkatan gaji dan upah dari syarikat-syarikat dan pelabur asing. Tetapi saya masih belum berpuas hati kerana syarikat-syarikat besar. Perdagangan, industri, perkilangan yang untungnya sangat tinggi tetapi kadar upahnya terendah. Saya pernah buat kajian dulu tentang kenaikan produktiviti dan kenaikan upah. Korea, South Korea, produktiviti tinggi, upah pun ikut. Walaupun tak sama, tapi dia meningkat dari segi kadar upahnya. Di Malaysia, produktiviti terus meningkat, tapi kadar upah itu meningkat sangat rendah. Jadi terpaksa kita gunakan kuasa Kerajaan untuk menekan sedikit. Undang-undang tidak membolehkan, kerana mereka boleh kata, kalau begitu kami akan tutup industri atau pindah ke Vietnam atau pindah ke negara lain. Jadi kita harus runding dengan baik.

 

Tetapi saya setuju dengan saranan saudara tadi, anak tadi, bahawa mesti ada langkah yang lebih tegas dan insya-Allah saya akan umumkan pada hari Belanjawan, awal Oktober ini.

 

 

 

 

SOALAN 3:

 

Dato’ Seri, saya Khairuddin Osman. Terima kasih lah kerana satu daripada soalan yang saya nak tanya tadi mengenai peningkatan gaji kerana gaji-gaji CEO sekarang ni sampai 70, 80 ribu sementara graduan sajana muda masih lagi kalau ikut purata Jabatan Perangkaan Malaysia kata average salary bagi pekerja di sini hanya 2 ribu lebih sahaja.

 

Okey, soalan saya ialah kalau boleh saya ingin Dato’ Seri mengarah juga Presiden Alumni supaya melihat tentang tatakelola UiTM, ada satu yang saya masih tak puas hati iaitu berkaitan dengan UiTM Holding yang merugikan hingga lebih 100 juta, tetapi tidak ada kesudahannya lagi. Jadi kalau boleh Kementerian Pengajian Tinggi ataupun Presiden Alumni cubalah tengok dan buatlah laporan supaya kita mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam UiTM Holding. Itu saja. Terima kasih.

 

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

 

Dan laporan tentang pendidikan tinggi ini memang termasuk dan saya ucap terima kasih kerana Naib Canselor berikan kerjasama penuh dalam hari ini dan saya alu-alukan Saiful Azhar, sila melihat tentang UiTM Holding dan cari jalan berkerjasama dengan Naib Canselor dan Jabatan Perdana Menteri, pejabat saya akan berikan kerjasama dan pantau. Terima kasih. Setuju.

 

Soal gaji tadi tentang CEO mengapa terlalu tinggi, dia ialah betul tinggi. Perdana Menteri, elaun ambil, gaji saya tak ambil. Tiba-tiba ada orang marah dan kata, saya tengok di parlimen dia kata, mana boleh gaji tak ambil? Nak hidup macam mana? Dan Nabi pun ambil gaji. Tak pernah dengar ada Nabi yang ambil gaji. Itu dia kata-kata pembangkang lah, Ya Allah, tapi kemudian saya kata saya tak ambil gaji, tapi saya bukan masuk kategori B40. Pertama, elaun saya ambil, kereta percuma rumah Kerajaan ada, di Seri Perdana. Saya pergi semalam naik kapal terbang balik Pulau Pinang, pergi Alor Setar, kapal terbang Kerajaan, cukup lah. Kaya tidak lah tapi tak miskin. Apa yang nak sebut, nak marah pulak orang tak ambil gaji pun marah, yang sakau banyak dia tak sebut pulak. Ini penyakit dia ni. Bila kita ambil tindakan, saya okey, anak-anak saya nak beritahu walaupun tak terkait. Saya kadang-kadang macam mana. Saudara nak suruh percaya, saya tak tahu. Saya ni tahulah hidup-hidup saya memang bukan mudah, susah. Tapi saya tak mahu nak aniaya orang.

 

Kes siasatan RCI Tabung Haji itu sebelum saya jadi Pendana Menteri. Dah keluar. Kemudian bila dah keluar, tanya mengapa lambat? Saya kata lambat sebab Tan Sri Rashid Husin dan Ahli Jemaah Tabung Haji beritahu saya, bagi masa kepada mereka memulihkan dulu, kerana kita bongkar banyak sangat, takut pencarum tarik wang daripada Tabung Haji. Maka kita tangguh 2 tahun. Sekarang dah ambil tindakan. Oh, kata ini dendam. Saya tak tahu siapa yang disiasat, sama ada didakwa atau tidak akan diambil. Siasatan itu urusan pada penyiasat, polis Diraja, LHDN, SPRM. Memutuskan mendakwa itu, Peguam Negara. Memutuskan penghakiman itu, Hakim. Tapi, bila belaku, dia kata dendam, tak betul.

 

Ini macam FELDA, sekarang masalahnya ada dan bukan baru. Kertas putih itu dibuat sebelum Kerajaan saya, tapi kalau tak benar, rugi bukan semestinya kita ambil tindakan sebab dia rugi, tak. Saudara tahu orang yang mengurus syarikat kadang-kadang rugi, kadang-kadang untung. Kita tak hukum orang sebab syarikat itu rugi, kita hukum kalau ada penipuan, ada penyalahgunaan kuasa, ada sakau bukan disebabkan syarikat itu rugi. Banyak syarikat rugi. Jadi saya tegaskan ini kerana ini juga dibangkitkan. Macam kita kaji sekarang UiTM Holdings, jangan kita buat hukuman sekarang, kaji dulu apakah kelemahan biasa, itu diperbaiki, tukar orangnya. Berpuluh agensi kita tukar tapi kalau betul ada kecurangan, mesti ambil tindakan.

 

Saya lebih strict dengan agensi Bumiputera, memang betul. Kerana ini patut jadi contoh. Kita patut jadi contoh. Dan saya yakin, orang Islam yang baik itu, Wakazalika ja’alnakum ummatan wasata, Litakunu syuhada’a alannaas, Wayakunarrasulu alaikum syahida. Itu jaminan al-Quran. Kerana Islam itu, umat yang hebat tapi dia seimbang, maintain equilibrium, dunia dan akhirat, iman dan ilmu, akal dan kalbu spiritual dan material, tetapi hebat dia itu kenapa? Dia jadi contoh kepada umat manusia. Kamu itu diangkat sebagai umat wasata, kamu akan jadi contoh, bukan sahaja kepada umat Islam, tentunya kepada umat Islam. Kerana apa? Kerana iman kamu, kerana akhlak kamu, kerana tatakelola kamu, kerana disiplin kamu, kerana kebaikan kamu, kerana warisan kamu, keadilan kamu. Itu yang sebab menjadi contoh. Contoh kepada siapa? Kepada umat Islam? Tak. Al-Quran sebut, لِتَكُنُوا شُهَدًا عَلَى النَّاسِ kepada umat manusia. Orang bukan Islam tengok ini contoh, urus dengan baik, akhlaknya baik, tidak angkuh, tidak sombong, tidak zalim. Itu contoh. Kerana kalau ini berlaku, maka, di akhirat, saksi kita ini bukan kawan kita, saksi kita Nabi Muhammad SAW sendiri. Litakunu syuhada alal wayakunarrasulu alaikum syahidah.

Mudah-mudahan itu tekad saya dalam soal ini. Jadi sebab itu, bagi saya hal-hal yang kita tumpukan sekarang selain daripada teknologi termasuk contoh dan bagaimana kita boleh angkat yang kita raise the ceiling and raise the floor. Kalau productivity menggunung, pendapatan syarikat berbilion, gaji pekerja masih RM1,700 kita tak raise the floor. Gaji siswazah entaj ke mana kerja tak dapat, semua jadi e-healing semua dan dengan masa depan tidak menentu, itu tanggungjawab yang harus kita fikir bersama.

 

Soal gaji dan upah kadang-kadang CEO yang tinggi itu saya ada keterbatasan, kerana sistem kita ini memang reward CEO yang layak itu dengan kadar upah yang sangat tinggi dan bonus kadang-kadang tinggi. Saya sejak saya jadi Perdana Menteri saya tukar fokus itu, kadang bonus untuk CEO 8 bulan untuk pekerja di bawah 2 bulan, saya tak setuju. Saya dah batalkan sikap itu. Kalau bonus 3 bulan, CEO pun 3 bulan, pekerja tukang angkat sampah pun 3 bulan, sebab gaji CEO RM40,000, yang tukang angkat sampah RM2,000. Dah lah dia gaji dia beda. Ini juga dari segi Kerajaan umpamanya, penjawat awam kali pertama kita buat perubahan ini kalau dulu KSN, KSU, kenaikan 15%. Kemudian yang bawah, naik 7%. Sekarang tidak. Dalam skim perkhidmatan penjawat awam ini, baru ini yang kita umumkan 2 tahun yang lalu, yang peringkat bawah naik 30%, minima 15%, paling tinggi 7%. Baru dia, fair. Sebab itu orang cakap keadilan, keadilan. Betul keadilan. Keadilan ini bukan sama rata. Kadang-kadang orang tanya, kadang-kadang juga bukan Melayu, bangkitkan soal, dia kata pasal peruntukan untuk kawasan, eh untuk Islam, kawasan Melayu tinggi. Saya kata kawasan ini nak banding macam mana? Sekolah. Nak banding. Sekolah Chun Ling dengan di antara kemudahan paling baik, dengan sekolah Manik Urai itu, di Kapit takkan nak bagi yang sama. Tentunya Manik Urai dan Kapit harus diberikan perhatian kerana kawasan itu terpinggir, kawasan miskin, keluarga miskin takkan nak suka PIBG kutip 500 ribu setahun, 5 ribu setahun pun susah.

 

Jadi sebab itu saya kata justice itu bukan persamaan, keadilan itu bukan berikan layanan sama, tetapi mesti layanan yang adil. Justice kata John Rawls, seorang pemikir political science terkemuka, dia kata justice is fairness it’s fair to give more money to Manik Urai than to give to Malay College contohnya, sekolah saya, marah pulak MCKK ni, Old Boys pula nanti. Tapi maknanya yang maksud saya ini ialah bila ada pertikaian di setengah bukan Melayu, tak ramai tapi ada yang suarakan, saya jawab dengan tegas apa yang kita buat? Apa? You tengok masalah-masalah orang Melayu, pendapatan dia, tengok pesawah padi berapa pendapatan, tengok pekerja-pekerja peringkat rendah. Jadi kita harus tentukan bahawa keadilan. Cuma bezanya saya tidak mahu halang kemarahan rakan-rakan kita bukan Melayu.

 

Ataupun sekolah-sekolah, ada sekolah daif orang India di estet, saya bantu. Masuk sekolah baru, membina sekolah baru, saya tak ada masalah. Ada sekolah Cina dengan banyak-banyak, ada yang satu yang saya tengok yang terlalu daif, saya bantu tak ada masalah. Baru-baru ini saya lulus RM50 juta setahun untuk baiki kemudahan sekolah-sekolah Cina, riuh orang attack saya, kritik. Saya kata, saya bagi untuk sekolah-sekolah agama perbaiki ratusan juta ringgit dan untuk sekolah kebangsaan, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Sains itu bilion ringgit. Janganlah nak gaduh soal 50 juta ringgit ini, janganlah tunjuk kita ini begitu racist. Kalau saya berikan ratusan juta ringgit untuk bina sekolah Tamil, saudara boleh tegurlah. Tapi saya bagi bilion, puluh bilion ringgit untuk mengimarahkan Islam dan Melayu. Tapi saya nak jaga supaya harmoni negara ini, beri sedikit peruntukan untuk sekolah Tamil dan sekolah Cina. Itu saya nak kata. Terima kasih.

 

 

 

 

 

Share: