TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: ANUGERAH TOKOH SISWA NEGARA 2026

1 Oktober 2026

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

 

ANUGERAH TOKOH SISWA NEGARA 2026

 

 

1 OKTOBER 2026 | KHAMIS  | 8.30 MALAM

MARRIOTT HOTEL, PUTRAJAYA

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.

 

Alhamdulillah, Rabbil ‘Alamin. Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulihil Kareem.

 

Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir,

Menteri Pendidikan Tinggi;

 

Yang Berhormat Tuan Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan

Tinggi;

 

Ketua-ketua Pengarah;

 

Rakan rakan, Naib-naib Canselor, dan yang penting anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

 

 

 

 

 

 

 

  1. Kita syukur, alhamdulillah, dapat menjayakan Majlis Anugerah Tokah Siswa Negara 2026 dan saya tentunya ucap tahniah kepada pemenang-pemenang yang telah diumumkan dan bakal diumumkan. Tetapi sepertimana biasa, penganugerahan itu selalunya mengundang beberapa persoalan dan yang utama bagi saya ialah tentang pertanggungjawaban kita.

 

  1. Kita tahu bahawa mahasiswa ini selalu disebut, menteri pun sebut. Universiti ini bukan lagi dianggap sebagai menara gading yang tersisih daripada permasalahan negara dan masyarakat. Anak-anak yang dilatih pada malam ini dan di kalangan yang telah mencatat kejayaan cemerlang dari bidang akademik dan juga kegiatan kemahasiswaan dan kemasyarakatan, tentunya tercabar untuk memastikan tanggungjawab itu disempurnakan.

 

  1. Saya masih ingat tatkala di universiti, masa itu mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak, dia kirim beberapa tokoh dari penjawat awam yang terkemuka dan berani, dan turun ke universiti dalam beberapa majlis dialog dan mencabar mahasiswa tentang tanggungjawab meningkat prestasi pendidikan, pendedahan dan pencerahan tentang ilmu supaya jangan terlalu terikat dengan bidang khusus dan area of specialization, tetapi untuk juga faham tentang permasalahan masyarakat dan negara.

 

  1. Mahasiswa pada masa itu, seperti saudara tahu lebih, ya pasca kemerdekaan, masalah bahasa, pendidikan, kemiskinan, baru diluncurkan Dasar Ekonomi Baru, jadi suasana itu sangat hangat dan panas. Jadi, tidak mudah berdialog dengan mahasiswa pada ketika itu, tetapi soalan-soalannya tentunya tentang salah guna kuasa, rasuah, sejak itu lagi, saudara bayangkan, tahun 70, 69, setelah peristiwa 13 Mei.

 

  1. Jadi, kehangatan, kesedaran politik itu lebih ketara ketimbang sekarang, tetapi jawapan saya masih ingat salah seorang penjawat awam kanan kerajaan pada masa itu, dia selalu, dia jawab dengan mengemukakan persoalan. Dia kata sebagai mahasiswa, pimpinan mahasiswa, orang tidak menyogokkan apa-apa, paling tidak jamuan makan, beberapa kemudahan kecil.

 

  1. Pada masa itu, kebanyakan mahasiswa, terutama mahasiswa Melayu, itu umumnya mengharapkan untuk menjadi Penolong-penolong Pegawai Daerah, itu laluan pertamanya. Pilihan kedua pada masa itu, bidang perguruan. Jadi dia cabar anak-anak. Dia kata, “ingat, sekarang kita tidak bicara tentang penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewangan, tetapi besok bila jadi pegawai, penolong pegawai daerah di satu daerah, maka datanglah peniaga-peniaga dan mula bagi sogokan. Kerana sudah dilatih dengan semangat dan prinsip, bila sogokan kecil, itu tidak sangat menawan. Maka sogokan dari RM500, naik RM1000. Pada ketika itu kalau naik RM2000, itu iman sudah goncang.”

 

  1. Sebab itu, bagi saya, peringatan ini kalau saudara faham, sangat penting. Maknanya, kesempatan di universiti itu mesti asah bukan sahaja bakat ilmu dan pencerahan, tetapi keimanan, akhlak dan sahsiah, kerana tanpa kekuatan dalaman, apa yang pernah diungkapkan oleh Malik Bennabi, the inner struggle of conscience, ketukan hati nurani yang menginginkan pembaharuan dan perubahan ke arah kebaikan.

 

  1. Tanpa kekuatan itu, kita akan mengetepikan permasalahan-permasalahan apa yang hak dan apa yang batil, apa yang makruf dan mungkar. Ramai cerdik pandai kita. Baca saja skandal-skandal yang terdedah mutakhir ini. Baik 1MDB, atau FELDA, atau Tabung Haji, selalunya yang terlibat itu bukan calang-calang orang, bukan yang kalangan yang tidak terdidik. Hampir keseluruhannya itu siswazah, ada yang Masters dan PhD. Maka, pendidikan dan ilmu sahaja tidak menjamin peribadi dan akhlak yang mulia.

 

 

 

 

  1. Sebab itu, bagi kita, pendidikan itu seperti yang disebut oleh YB Menteri tadi. Betul, kita nak ‘gapai yang di langit’. Tetapi, mesti ‘mengakar ke bumi’. ‘Mengakar ke bumi’ dengan apa? Dengan iman, dengan akhlak, dengan sahsiah, dengan keperibadian dan jati diri.

 

  1. Dan di sini, jika pendidikan itu tidak latih, tiga tahun, empat tahun di universiti tidak ada kesedaran untuk membela nasib rakyat, tidak ada kesedaran untuk membetulkan kepincangan, kerosakan, kebobrokan dalam sistem, sistem itu tidak terjamin. Ini peringatan kepada kita semua. Tenaga pengajarnya, profesornya, apalagi anak-anak mahasiswa.

 

  1. Jadi, harus ada kebangkitan, semangat baru di kalangan Generasi Z ini, Z, iaitu tahap kesedaran yang tinggi, dan saya percaya minat untuk khidmat, membela nasib, senang dengan kebaikan, benci dengan kebobrokan harus ada dalam kalangan orang-orang muda.

 

  1. Saya harap betul, apalagi Tokoh Siswa. Mengangkat kita sebagai satu barisan Tokoh Siswa setiap tahun. Itu mengharapkan mutu, bukan sahaja pendidikan dari segi akademik, tapi semangat, daya juang, dan keinginan membawa perubahan dan menyelamatkan bangsa dan negara daripada kebobrokan yang berterusan.

 

 

 

  1. Saya doakan ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan majlis ini lebih menjurus ke arah tersebut. Ini kesempatan baharu. Terima kasih kepada menteri dan kementerian. Kalau zaman saya di universiti, tidak ada pengiktirafan-pengiktirafan begini. Tidak ada majlis-majlis meraikan pimpinan mahasiswa. Sekarang keadaan berubah. Manfaatkanlah kemudahan ini, bukan untuk diri kita sahaja, tapi keluarga, masyarakat dan negara.

 

  1. Ambillah kesempatan sebaiknya untuk meningkatkan kefahaman dan dengan niat yang baik, selamatkan negara kita. Tengok yang dapat anugerah tadi, daripada pelbagai kaum, daripada pelbagai wilayah. Jagalah perpaduan ini. Negara ini harus terjamin daripada segi keselamatan, tapi negara ini juga harus angkat. Supaya masalah kesenjangan antara kaum, antara wilayah, antara kaya miskin dapat dikurangkan.

 

  1. Saya hadir sebenarnya acara-acara saya untuk satu, dua hari ini semua saya dah batalkan. F1 itu terpaksa kerana kita anjur bersama dengan negara lain. Tapi semua dalam dua, tiga hari ini saya batalkan, sebab saya terpaksa tumpu untuk menyiapkan Belanjawan Negara. Dan seperti saudara tahu, Belanjawan ini membebankan semua, minta dana, semua minta perhatian, ribuan persatuan, ribuan, ratusan jabatan dan puluhan kementerian, dan semuanya ada kemunasabahan dan rasionalnya, daripada pesawah di Kedah dan nelayan di Terengganu, kepada rumah Iban di Sarawak, bidang teknologi, bidang AI, semuanya menuntut perhatian. Insya-Allah, tentunya mahasiswa juga, universiti juga, tergolong dalam yang itu.

 

  1. Jadi, mudah-mudahan saya dapat sampaikan apa yang mampu dalam keterbatasan yang ada. Jadi, untuk itu saya nak sebut di sini, saya batalkan semua acara, tapi acara malam ini saya teruskan. Dan sebab itu saya datang awal sebelum menteri sampai.

 

  1. Jadi, sekali lagi lah, saya ucap terima kasih atas inisiatif sahabat saya, saudara YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir dan rakan-rakan di kementerian menyelenggarakan majlis ini, dan mohon maaf kerana saya agak terburu-buru. Tapi percayalah, program lain esok, Seminar Antarabangsa Syariah, lusa, Perhimpunan Belia, semua saya minta menteri-menteri lain ganti. Tapi untuk mahasiswa ini saya terima.

 

Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: