TEKS UCAPAN VERBATIM: PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI 2026

13 Mac 2026

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI

2026

 

 

 

13 MAC 2026 (JUMAAT) | 6.00 PETANG

SARAWAK

 

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatuhallhi Wabaratuh dan Salam Sejahtera, Segulai Sejalai.

 

Alhamdulillah, Alhamdulillah,

nahmaduhu wa nussalli ala rasulihil karim

wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

Qala Allahu ta’ala fil kitaabil mubin,

Syahru ramadaanalladzii unzila fiihil-qur’aanu hudal linnaasi wa bayyinaatim minal-hudaa wal-furqaan.

Wa sallallahu ala sayyidina muhammadin

wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Saudara saya, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg,

Premier Sarawak;

 

Timbalan-Timbalan Premier;

 

Timbalan Perdana Menteri Saudara Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri;

 

Rakan-rakan Menteri;

Speaker Dewan Negara; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Syukur kita kehadrat Allah SWT dapat bersama-sama menghayati Ramadan. Saya mula dengan baca surah al-Quran yang terkait dengan turunnya al-Quran di bulan Ramadan. Bulan Ramadan, bulan turunnya al-Quran. Tapi dia diberikan satu pengajaran kepada kita, hudal linnaas, untuk beri petunjuk kepada manusia, wa bayyinaatim minal-hudaa wal-furqaan untuk beri petunjuk kepada manusia. Supaya daripada ia petunjuk itu memberikan kita kekuatan, kefahaman, membuat penilaian, furqan di antara yang baik dan yang buruk yang membawa ma’ruf dan mengelak daripada kemungkaran.

 

  1. Mudah-mudahan Ramadan Karim Kullu ‘Aam wa Antum bi Khair akan memberikan kita manfaat, menjadikannya sebagai sekolah, madrasah Ramadan, kita latih diri, perbaiki diri masing-masing, tingkatkan ketaatan kepada Allah SWT, La’allakum tattaqun dan mudah-mudahan bulan-bulan berikutnya itu menunjukkan tahap yang lebih baik: dari segi keimanan, dari segi akhlak, dari segi persahabatan, dari segi persaudaraan, dari segi kehidupan bermasyarakat antara kaum, antara agama, secara damai di negara Malaysia yang tercinta ini.

 

  1. Saudara Premier ada menyinggung tentang perkembangan semasa. Jadi izinkan saya memulakannya sedikit. Ini tidak diduga. Dalam keadaan ekonomi kita melonjak kerana keamanan, kerana perpaduan, tetapi muncul suatu kegawatan, seolah-olah satu malapetaka di negara-negara Teluk dan di Iran. Tak semena-mena Israel menyerang dengan kerjasama Amerika Syarikat, menyerang dan terbunuh pemimpin utama mereka Imam Ali Hosseini Khamenei, keluarganya, dan ratusan anak-anak sekolah, anak-anak kecil yang dimusnahkan dan menjadi korban.

 

  1. Maka timbul tempiasannya ke negara-negara teluk. Serang balas dari Iran itu menyentuh kedudukan negara-negara sahabat. Qatar, Arab Saudi, Kuwait dan lain-lain. Apa kaitan dengan kita? Ekonomi tidak menentu. Harga brent minyak hari ini mencecah lebih USD100 satu tong. Dan tentunya akan berkesan kepada kita.

 

  1. Kemudian gas terbatas. Kemudian pengangkutan, 400 kapal minyak dan gas dan kapal-kapal pengangkutan, alat jentera dan sebagainya, tersekat di Teluk Hormuz. Dan oleh yang demikian, kos meningkat. Jadi walaupun kita urus sedaya upaya kita, kita harus juga menggunakan kebijaksanaan merangka dasar program yang boleh menyelamatkan rakyat dan negara kita.

 

 

 

  1. Sebab itu, kita bermesyuarat hari Rabu, biasa, dan pagi tadi mesyuarat lagi Jemaah Menteri. Hari Isnin, sambung dengan Majlis Tindakan Ekonomi. Hari Selasa, Mesyuarat Jemaah Menteri lagi. Maknanya, kita mesti ambil langkah-langkah yang munasabah. Jangan tunggu sehingga bencana datang untuk kita cuba leraikan. Ambil tindakan segera apa yang upaya. Dan di antaranya, ialah memperbaiki sekali lagi tatakelola, mengawal daripada ketirisan, dan mengalakkan hidup yang lebih sederhana.

 

  1. Menteri Pertanian beri angka tadi, tentang pembaziran makanan di Malaysia. Itu di antara yang tinggi di kalangan negara-negara membangun. Dia sebut angka yang mengejutkan kita. Jadi sebab itu, elok kita peringatkan. Dalam surah Yusuf, sama juga dalam Bible, kadang-kadang bila saya bagi contoh itu, ada yang marah saya. Dia kata, “bagaimana nak sabar?” Saya hanya cerita kisah 7 fat years, 7 lean years, itu ada dalam kitab Injil. Ada juga dalam Quran. Tidak semuanya sama, tapi cerita umumnya sama. 7 tahun, ekonomi dan hasil yang melimpah, diikuti 7 tahun gersang ekonomi – 7 fat years, 7 lean years.

 

  1. Itu pengajaran dan peringatannya kepada kita, dalam keadaan kita rasa jenuh, kita harus beringat. Di antaranya saya katakan tadi termasuk apa yang dikatakan penjimatan. Tahun lalu kita turunkan minyak RON95 ke RM1.99, di antara yang paling rendah di dunia dan cuma Brunei Darussalam sahaja yang lebih sedikit rendah daripada kita. Saya lakukan itu kerana saya tidak mahu rakyat di bawah ini terbeban dengan harga minyak yang tinggi kerana dia ada kait dengan pengangkutan dan kos secara hidup umumnya.

 

  1. Alhamdulillah rakan-rakan Jemaah Menteri memberikan sokongan penuh, sehingga dapat kita laksanakan dengan berkesan. Budi95 itu dari segi rekod pelaksanaannya itu di antara yang sangat berjaya dan amat membanggakan kita.

 

  1. Bagaimana sikap kita sekarang? Minyak dah melonjak lebih USD100 satu tong. Pendirian kita sekarang kita akan kekalkan RM1.99. Dan dengan diesel juga terkesan. Dan diesel, saya ada minta tadi Premier Abang Jo, bagi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian, KPDNK-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, untuk menyekat penyeludupan, kerana harga diesel di Sabah Sarawak itu rendah dan penyeludupan kemungkinan akan terus meningkat.

 

  1. Tapi campur subsidi minyak, Budi95 dan diesel, itu akan membebankan negara dengan kadar RM3.2 bilion satu bulan. Minyak sahaja RM2 bilion, maknanya kalau keadaan berterusan sehingga akhir tahun RM24 bilion subsidi minyak sahaja.

 

  1. Sebab itu kita kena doa ke hadrat Allah SWT, selesai cepat supaya kita tidak terbeban. Tapi untuk sekarang, keputusan kita tidak merubah dasar subsidi BUDI95, dan kita cuba juga jalan penjimatan, pengurusan kewangan yang lebih bertanggungjawab dalam bidang-bidang yang lain.

 

  1. Tapi jawapannya itulah apa yang disebut dalam kaedah bahasa Inggerisnya, domestic resilience. Pimpinan kita, penjawat awam, pihak swasta, petugas kita, guru kita, semua mesti kerja dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Supaya madrasah Ramadan itu seolah-olah memberikan kita peluang La’allakum tattaqun dan meningkatkan keupayaan kita. Kalau semuanya bekerja begitu, domestic resilience Ketahanan domestik dengan kerjanya rajin, produktiviti-nya baik dalam semua bidang.

 

  1. E&E (Electrical and Electronics) memang luar biasa, termasuk cadangan pengeluaran cip dari Sarawak. Dalam banyak bidang, bukan sahaja dari segi tenaga, dari segi E&E nampak, bukan sahaja Premier Abang Jo ni kejar, tapi nampak dia melangkau kejayaan mengatasi beberapa negeri lain. Saya ucap tahniah, Alhamdulillah, membanggakan kita semua.

 

  1. Tetapi domestic resilience ini dalam bidang pertanian, dalam bidang pengangkutan, dalam semua bidang dan saya yakin insya-Allah, kalau ada semangat yang sedemikian, ada ujian, tetapi boleh kita selesaikan.

 

  1. Dalam teori ekonomi klasik disebut, Gale of Creative Destruction. Ada masa di mana tak terduga, ada destruction, ada kerosakan, kemusnahan. Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, COVID, itu semua destruction dalam sistem ekonomi. Dalam kemusnahan itu, kita harus cari jalan yang lebih kreatif. Bagaimana boleh menyelesaikan. Manusia ini dengan kepintarannya, ingenuity-nya, ikhlasnya, mampu mengatasi sebahagian. Itu disebut oleh Schumpeter, A Gale of Creative Destruction. Jangan tunggu musnah, cari jalan keluar.

 

  1. Jadi, dia kata ada dorongan menggunakan permasalahan ini, mengangkat martabat dengan kerja lebih bersungguh-sungguh, dengan perpaduan, dengan kegigihan, dengan mencari kaedah-kaedah baru, sentiasa memikir instrumen, ikhtiar baru. Saya bukanlah nak guna kesempatan ini nak puji sahabat saya sebab dia bagi makan malam ni, tetapi saya terlihat dalam kepimpinan di Sarawak ini, Premier telah tiap kali saya datang ada saja idea baru. Dan ditekan begitu rupa. Diasak di kalangan pimpinan Menterinya dan penjawat awamnya dan sektor swastanya.

 

  1. Ini yang kita perlu. Pimpinan negara yang menekankan apa yang dikatakan creative destruction. Dalam keadaan musnah tidak hanya lemah, “Aduh habislah kita, minyak naik, apa nak jadi, nasib badan.” Kalau begitu sikap dia, memang nasib tak baguslah. Tetapi kalau kita lihat umpamanya apa yang Premier Abang Johari fikir, cari jalan-jalan, cari jalur baru, cari ikhtiar baru bagaimana boleh merungkai masalah ini secara kreatif. Atasi destruction yang ada secara kreatif, bangunkan semula. Mudah-mudahan Allah SWT akan memperkenankan usaha kita, amal kita dan sebagainya.

 

  1. Baik, tadi kita bincang dalam mesyuarat. Saya selalu bergurau dengan Datuk Seri Fadillah ni. Saya tahu dia Timbalan Perdana Menteri, tapi dia kuat betul dengan Sarawak ni. Jadi sebelum mesyuarat pagi tadi ni, saya di Putrajaya, dia kata, “Ini ada cadangan baj (benteng air) ini dah rosak jadi kena cari jalanlah luluskan projek tu.” Belum pun saya naik pesawat! Ha itu dia. Jadi saya setuju, dah dengar sekitar RM150 juta untuk segera baiki baj itu dan buatlah. Kemudian insya-Allah mudah-mudahan ada usaha peningkatan.

 

  1. Ada dua tiga yang lain, ada cadangan daripada Kerajaan Negeri Sarawak. Premier Abang Jo bicara tentang pelaksanaan beberapa projek yang tersangkut di peringkat Jabatan Persekutuan. Saya akan maklum kepada TPM Datuk Seri Ahmad Zahid cari jalan. Kerana bagi kita apa dia? Bekalan air atau elektrik itu mendesak bagi rakyat kita. Jangan bagi alasan melengah-lengahkan.

 

  1. Jadi kalau ada cara jalan keluarnya dan ini memerlukan kerjasama yang rapat di antara Persekutuan dan Negeri. Saya berikan jaminan insya-Allah, bagi saya beberapa minggu selepas Aidilfitri, kita akan buat keputusan supaya berikan ruang pelaksanaan lebih berkesan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak. Jadi bekalan air itu lebih terjamin dan lebih cepat. Terima kasih. Nasib baik saya di Sarawak dalam lawatan yang pendek, kalau panjang banyak lagi dia minta.

 

  1. Ada saudara mara kita daripada Maahad Tahfiz dan pondok di negeri Sarawak, dan saya bagi rancangan sekarang ini, iaitu memerhati kedudukan rakan pondok. Tapi dia belajarlah apa yang dia dalam manhaj tarbiah dia kita tak ganggu, cuma saya minta tambah. Di pondok-pondok ni jangan tersisih daripada arus perdana. Belajar bahasa. Kalau tambah Bahasa Inggeris, belajarlah Bahasa Inggeris. Belajar Sejarah. Jangan dia terpisah daripada sejarah kita. Kemudian, kita perkenalkan juga AI (Artificial Intelligence) di sekolah pondok. Jadi, melalui perancangan awal dengan MDEC untuk mendedahkan mereka. Dan oleh kerana kerjasama diberikan oleh tuan-tuan guru, saya setuju luluskan untuk sekolah pondok dan tahfiz negeri Sarawak sebanyak RM2.69 juta.

 

  1. Jadi sekali lagi terima kasih banyak. Doa supaya Ramadan ini La’allakum Tattaqun bawa pembaharuan dan peningkatan keimanan dan roh perjuangan kita. Semangat perpaduan antara agama, antara kaum, suku kaum di negeri Sarawak dan Malaysia tercinta.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: