UCAPAN AMANAT TAHUN BAHARU 2026 PERDANA MENTERI

5 Januari 2026

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

 

SEMPENA

 

 

UCAPAN AMANAT TAHUN BAHARU 2026

YAB PERDANA MENTERI

 

 

5 JANUARI 2026 (ISNIN) | 11.30 PAGI

PUSPANITAPURI, DEWAN DE SRI ENDON, PUTRAJAYA

 

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba

Wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa

Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Rakan-rakan Menteri;

 

Ketua Setiausaha Negara (KSN); dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Terima kasih atas kesudian hadir dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, julung-julung kali bagi tahun 2026. Saya lihat kehadiran Sahibus Samahah Mufti dan semua ketua-ketua jabatan dan rakan-rakan. Terima kasih.

 

  1. Saya harap ada yang berkesempatan mengambil cuti akhir tahun dimanfaatkan untuk menambah, menelaah buku-buku dan juga merenung atau menghimbau permasalahan semasa supaya dapat tingkatkan mutu khidmat kita, sepertimana kita tahu semangatnya harus sentiasa untuk mencapai kecemerlangan (striving for excellence) atau yang paling tepat rumusan hadis Nabi Muhammad SAW “Itqan Fil Amal”.

 

  1. Jadi, pada hari ini, tentu saya nak manfaatkan, pertamanya menyentuh tentang kenyataan saya, terkait dengan apa yang berlaku di Venezuela, kerana menunjukkan bahawa Malaysia walaupun negara berkembang adalah negara yang bebas dan berdaulat, tunduk kepada prinsip negara hukum, tatanan kerukunan antarabangsa.

 

  1. Sebab itulah kita mengambil satu pendirian yang tuntas atau konsisten, sama ada di Gaza atau Venezuela atau pernah yang pemimpin-pemimpin utama kita dulu, daripada awal, menentang apartheid di Afrika Selatan dan memperjuangkan kemerdekaan bagi semua negara-negara yang pernah dijajah.

 

  1. Dalam tahun ini, kita akan teruskan. Dan ini rakan-rakan saya, Jemaah Menteri, meneliti sepanjang 2-3 tahun yang lalu, dan pada pagi ini kami juga adakan sidang khas untuk menetapkan hala tuju yang baru, tetapi semua ini berkat keamanan negara kita, perpaduan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan MADANI. Sebab itu jangan kita perkecil atau remehkan keperluan untuk bersatu, bermuafakat, kukuh dan stabil.

 

  1. Kerana kita boleh lakukan hal-hal yang boleh menakjubkan, hanya kerana kita bekerja sebagai satu pasukan yang padu, semua negeri, dan dengan pimpinan rakan-rakan Jemaah Menteri untuk melakar satu hal tujuh yang jelas.

 

  1. Saudara-saudara tidak harus terhirau, beralih daripada pemusatan urusan kerja kita. Kita ada tekad besar, kita ada cita-cita tinggi, kita tahu dan yakin dengan keupayaan rakyat kita dan negara kita, dan kita tahu kekuatan penjawat awam sebagai tunggak melaksanakan cita-cita murni ini. Kerana kalau kita dapat catat terus rekod tiga (3) tahun ini dan menuju terus dengan yakin dan bergaya, saya yakin, insya-Allah, Malaysia dalam 1-2 tahun ini akan terus terangkat sebagai negara hebat di rantau kita.

 

  1. Saya tidak bermaksud membaca semua pencapaiannya, mungkin dirumuskan sedikit untuk mengingatkan kita, kerana kita seringkali akan dipesongkan dengan beberapa peristiwa sana sini.

 

  1. Ini negara Melayu majoritinya, Islam majoritinya, tetapi juga negara pelbagai kaum dan pelbagai agama. Kemajmukan itu bukan suatu perkembangan baru. Jadi kita jangan terlalu tergugat dengan tekanan-tekanan, kadang dari daerah, kadang dari wilayah, kadang dari kaum, kadang dari agama.

 

  1. Selagi kita berpaksikan kepada keyakinan dan jelas hala tuju kita, kenyataan-kenyataan itu akan terus berkembang, kerana ini kenyataan kepelbagaian, kemajmukan negara kita. Tetapi jangan izinkan ia mengalih pandangan kita, teras dan tonggak kekuatan kita dan hala tuju kita.

 

  1. Kita harus ada dan membuat pilihan. Mahu angkat negara ini sebagai negara hebat. Menyatukan semua rakyat pelbagai kaum, menenggelamkan, memadam sentimen yang boleh menghakis kekuatan kita. Itu pilihan kita. Mahu pilih jadi kuat atau memilih untuk jadi remuk berkecai, seperti mana berlaku di banyak negara lain. Saya yakin, melihat kepada semangat yang ditunjukkan dan pimpinan di hadapan saudara-saudara, kita mampu melakukan.

 

  1. Tidak mungkin mengelak daripada kritikan, kadang tajam, kadang keras dan kadang gunakan sentimen semua kaum tertekan, semua agama tertekan, tapi bila tanya, apa faktanya? apa alasannya untuk menyatakan bahawa Islam terpinggir di negara kita? Semua tahu bahawa Islam itu Agama Persekutuan, dan kita harus angkat “Istajibu lillahi wa lir-rasuli iza da’akum lima yuhyikum”: Surah Al-Anfal (8:24) dengan penghayatan sedaya upaya kita.

 

  1. Semua tahu bahawa negara ini juga terikat dengan prinsip Perlembagaannya tentang peranan bahasa dan budaya dan prinsip bumiputera, tetapi jugak semua tahu bahawa tidak boleh digunakan itu untuk menyebabkan sebahagian rakyat kita, anak-anak bangsa kita merasakan terpinggir. Ini yang memerlukan kekuatan, kekuatan dalaman dan kekuatan kefahaman, kerana tanpa kekuatan dalaman dan kekuatan pemikiran yang kukuh, mudah kita terpesong hanyut dengan kenyataan-kenyataan itu.

 

  1. Sebab itu saya sering tanya, bila harus kita ambil langkah yang tegas? Semasa kita berkuasa, semasa saudara jadi Ketua Jabatan, Ketua Pengarah, KPPA atau KSN atau ketua unit atau pegawai-pegawai yang bertanggungjawab. Sementara rakan-rakan saya jadi Menteri-menteri di Jabatan utama. Masa itulah kita harus laksanakan sedaya upaya kita bersihkan negara ini daripada kebejatan dan budaya busuk rasuah yang masih menular seluruh jentera.

 

  1. Dulu kita fikirkan orang politik, sekarang penjawat awam, pegawai tentera, polis, tanpa kecuali. Sebab itu kita berikan dukungan yang kukuh kepada semua badan penguatkuasaan. Kita mampu lakukan itu semua, saudara-saudara. Bila? Semasa kita ada kuasa.

 

  1. Bila sudah bersara, tidak ada kerja, maka berleterlah kita setiap hari. Bila ditanya, apa yang kamu buat untuk martabatkan kedudukan orang Melayu, Bumiputera, atau membersihkan jentera pemerintah? Semasa kamu berkuasa. Sebab itu saya sering mengingatkan, kita bersama, saya dan rakan-rakan. Lakukanlah “Islah mastata’tu” sedaya upaya pembaharuan. Semasa kita berkuasa. Bukan berleter, merengek setelah hilang kuasa. Malah hasil, kekayaan melimpah ranah.

 

  1. Sebab itu di antara hal yang saya selalu tekankan. Kalau benar, orang-orang besar-besar dulu yang kaya-raya ini betul-betul prihatin dengan nasib bangsa, serahkan setengah harta dia kepada rakyat. Setengah harta dalam negara dan luar negara melalui proksi dan melalui nomini, serahkan balik. Kemudian bicara soal rakyat. Bicara soal Melayu atau Islam.

 

  1. Belum ada yang menyerah. Oleh kerana tidak ada yang menyerah, maka SPRM dan badan-badan penguatkuasa harus menyerang supaya membersihkan.

 

  1. Sesuatu yang diperingatkan kepada badan-badan penguatkuasa, PDRM, SPRM, LHDN, agensi sempadan harus juga ingat, sementara kita harus bertindak tegas dan keras menentang penjenayah dan perasuah, kita harus hormat jalur hukum dan kita juga harus lebih bertanggungjawab mematuhi peraturan dan jangan melanggar peraturan itu. Itu peringatan yang telah saya sampaikan dan perlu diulang.

 

  1. Baik, saya tidak senaraikan apa yang kita lakukan dalam langkah reformasi atau reform Di Parlimen, Kementerian Kewangan, penjawat awam, kita lakukan dan bidang perundangan. Tetapi, sebagai hala tuju untuk sesi parlimen akan datang dan tahun ini dan berikutnya.

 

  1. Rang Undang-undang yang pertama yang akan dibentangkan di Parlimen dalam sesi yang akan datang mulai Januari ialah Undang-undang Pemisahan Kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

 

  1. Kedua, semua orang ada had tempohnya. KSN tak boleh sampai 10 tahun dan juga terpakai untuk semua. Kerana kalau diberikan tempoh dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya. Ini juga terpakai kepada jawatan Perdana Menteri. Maka kita akan bentangkan Rang Undang-undang, menghadkan tempoh bagi jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau 2 penggal penuh. Saudara tepuk maknanya tak mahu saya lebih dari 10 tahun lah ini? Saya ingat berasa sedih “jangan, terus, terus. 100 tahun pun boleh lagi” (nada seloroh). Jadi terima kasih kerana bagi tepukan. Tolong ambil nama siapa yang tepuk tadi (nada seloroh).

 

  1. Kemudian yang juga disiapkan oleh YB Menteri Azalina, ialah Rang Undang-undang Ombudsman. Ombudsman ini satu institusi yang diperkenalkan, di zaman Islam dulu disebut Institusi Hisbah, public duties, public accountability. Pernah dikupas oleh Ibn Tamiyyah dan pernah dilaksanakan di beberapa negara di zaman Khalifah, iaitu institusi yang memberi ruang kepada rakyat membangkitkan apa saja permasalahan kerana tanpa kecuali dari Perdana Menteri sehingga ke bawahnya harus dipertanggungjawabkan dan boleh disoal.

 

  1. Berikutnya ialah tentang Akta Kebebasan Maklumat (FOI). Banyak yang melahirkan rasa bimbang, tapi saya nak beri jaminan, soal keselamatan negara, soal risikan, tentunya kita harus beri pengecualian. Tetapi semua soal lain; soal tender, soal kontrak, soal projek, mengelak daripada penyalahgunaan kuasa, Rang Undang-undang kebebasan maklumat akan dibentangkan untuk kelulusan Parlimen pada sesi ini atau sesi akan datang, tahun ini juga.

 

  1. Yang lain itu yang telah dijalankan, biar Menteri-menteri jelaskan untuk menjimatkan masa. Begitu juga tentang pencapaian utama fiskal dan ekonomi. Saudara lihat umpamanya prestasi Ringgit kita, Alhamdulillah. Tahniah kepada semua termasuk swasta, pekerja kerana pertahankan nilai Ringgit kita sebagai prestasi terbaik di Asia.

 

  1. Dan yang lain itu penyasaran subsidi, berjaya. RON 95 melegakan. Pelaburan tertinggi dalam sejarah, malah 9 bulan pertama tahun 2025 kita menambah pelaburan kepada RM285.2 bilion iaitu pertambahan 13.2%. Dagangan pula saudara, Januari hingga November, Dagangan Malaysia itu sudah RM2.8 trilion, peningkatan 5.8%. RM2.8 trilion, Malaysia bukan lagi negara kecil, negara membangun yang punyai potensi yang sangat hebat. Jadi terima kasih juga kepada penjawat awam, KSN di antara tugas besarnya ialah memastikan indeks daya saing kita meningkat. Jadi Alhamdulillah untuk 2025 naik 11 tangga. The S&P Global Ratings of A- Moody’s Ratings A3, jadi Alhamdulillah.

 

  1. Yang lain yang kita ambil langkah-langkah – STR, gaji minima, semua saudara sudah tahu dan kita juga telah mengambil langkah soal MA63. Dia mula-mula jadi perdebatan. Tetapi saya selalu tekankan, bukan sahaja untuk Sabah, Sarawak, tetapi untuk orang-orang Semenanjung. Ini ada kaitan dengan sejarah. Ada kaitan dengan apa yang dijanji oleh Tunku Abdul Rahman, pemimpin-pemimpin termasuk Temenggung Jugah Barieng. Mana YB Alexander Nanta Linggi? YB Alexander Nanta Linggi cucu Temenggung Jugah Barieng.

 

  1. Itu yang kita sudah janji di meterai, tanggungjawab kita setelah puluhan tahun harus dilaksanakan. Sebab saya dalam perbincangan ada mengatakan apa yang kita bagi terlalu lebih keutamaan kepada Sabah dan Sarawak? itu tidak benar. Itu sepertinya Perjanjian Kemerdekaan 1957 dan ini perjanjian Kemerdekaan dan Malaysia 1963. Dan sebab itu kita pastikan pelaksanaan itu lebih teratur. Dia ada 13 tuntutan besar, sembilan (9) yang telah kita jayakan di bawah Kerajaan MADANI. Sekarang AirBorneo dilancarkan, kita ucap tahniah. Pelabuhan Bintulu serah kepada Kerajaan Sarawak untuk mengendali, mengikut perjanjian MA63.

 

  1. Peruntukan pembangunan bagi 2026, itu yang tertinggi ialah Sabah. Ini pembangunan ya, RM6.9 bilion dan Sarawak RM6 bilion. Ini tidak termasuk pemberian khas 40% Sabah yang sedang dalam rundingan. Rundingan pertama yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) telah dijalankan. Dan selain itu, seperti mana kita umumkan, beberapa peruntukan untuk elektrik, air, kabel dasar laut, MADANI RM2 bilion, dan beberapa projek lain.

 

  1. Penjawat awam, jimat sikit belanja. Bila dah naik gaji ini, jangan dok pikir kereta baharu, televisyen baharu dan isteri baharu (nada berseloroh). Kerana tahun ini pertambahan itu melibatkan kos tambahan keseluruhannya RM18 bilion. Jadi jangan ada orang mengatakan tidak lakukan apa-apa. Ini bukan kerana tuntutan penjawat awam. Ia adalah kerana kita lihat tanggungjawab bertambah dan 12 tahun tidak dikaji semula. Ini hanya memenuhi hak, dan sebagai Ketua Keluarga Kerajaan, saya harus mulakan dengan memberikan keadilan kepada rakan-rakan penjawat awam.

 

  1. Ini termasuk baru-baru ini gaji Hakim. Ada yang bertanya mengapa telah naik mendadak 30%? Kerana 10 tahun sejak 2015, tidak ada kenaikan tahunan, tidak ada kajian semula. Jadi kena lihat dalam konteks itu, ya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ya.

 

  1. Jadi sebab itu, saya sudah minta KSN, KPPA pastikan satu pentadbiran yang cekap dan bersih yang mesti dipantau oleh semua Ketua Setiausaha (KSU), Ketua Pengarah (KP), Ketua Unit. Tentu rakyat tanya, dan rakyat berhak bertanya.

 

  1. Kita sudah ketepikan mereka dari segi Sistem Saraan. Kita kini sudah terima kenyataan kita naikkan, dan bukan kecil, saya sebut RM18 bilion tambahan. Jadi harapan rakyat, expectation rakyat adalah kualiti khidmat harus lebih cekap dan pantas. Nak tunggu, nak jawab surat yang panjang, nak isi borang berpuluh-puluh untuk dapat sesuatu hal, nak patah balik daripada satu jabatan ke satu jabatan, semua karenah ini harus dibetulkan.

 

  1. Malah pada hari ini saya nak juga umumkan supaya sistem kita dalam negara digital ini dimulakan dengan serius. Secara serius, bukan yang kita bicarakan tentang paradoks di antara teknologi baru dan digital, dengan penambahan dana tetapi prestasinya tidak seberapa.

 

  1. Jadi KSU, KP pastikan semua urusan online, melainkan yang terikat dengan peraturan undang-undang. Ini termasuk kepada Jemaah Menteri. Kita harus mulakan jawapan-jawapan surat dengan deraf awal itu artificial intelligence (AI). Kemudian kita berikan input peribadi untuk memperbaiki atau membetulkan. Ini akan menjimatkan masa dan juga meningkatkan kualiti.

 

  1. Saudara, ini kali pertama Waran Am Perbelanjaan 2026, selalunya pengalaman saya semasa Menteri Kewangan dahulu, itu dikeluarkan Mac, April. Tapi kali ini, di bawah Kerajaan MADANI, Waran Am Perbelanjaan 2026 telah dikeluarkan pada 31 Disember 2025, supaya pelaksanaan projek-projek dijalankan dengan cepat. Jambatan roboh Kuala Krai. Betul ada masalah berkaitan tanah, tanah itu tanah swasta. Menteri Besar dan Kerajaan Negeri beri kerjasama untuk kita menyegerakan untuk perbaiki. Saya ucap terima kasih. Tetapi jangan tunggu dilaporkan di media sosial.

 

  1. Semua jabatan, kita dari kampung masing-masing, perhati. Sebaik ada sahaja rungutan, hal-hal kecil begini harus segera diselesaikan. Mana mungkin kita bicara soal Twin Tower, kita bicara soal jambatan panjang, kita bicara soal LRT dan macam-macam, kemudian orang yang jambatan robek, anak-anak pergi sekolah itu tidak dapat diperbaiki. Jadi kita telah tentukan supaya Kementerian Ekonomi (KE), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) itu memastikan hal-hal projek-projek kecil ini dilaksanakan dengan segera mungkin.

 

  1. Dan untuk itu, projek-projek kecil untuk G1, G4 iaitu kebanyakan yang dikendali oleh syarikat-syarikat kecil Bumiputera, kontrak Bumiputera, kita peruntukkan RM2.4 bilion harus mula sekarang. Di negeri dan pejabat daerah harus memastikan pelaksanaan mula sekarang dan percepatkan semua proses. Saya fikir cukup tiga (3) tahun dan masa sekarang kita nak tengok dan lihat pelaksanaan cukup lebih berkesan.

 

  1. Semua kementerian diarah memastikan pelaksanaan projek-projek kecil segera, dan seelok-eloknya pada awal Februari kita tahu dan kenal pasti projek-projek ini. Ini termasuklah jalan desa, kuarters, klinik daif dan kita berikan lantikan terus dibenarkan hingga RM200,000 dan sebut harga sehingga RM1 juta. Ini sekali lagi saya tekankan, sekolah daif dibenarkan tender terbuka pra-kelayakan. Yang lain itu jalan ikut jadual, saya tak bimbang sangat dengan projek tebatan banjir yang berjalan ikut jadual. Perumahan awam, ECRL, Pan Borneo, sekarang dah take off, tapi saya tekankan ini projek-projek kecil yang harus dilenggarakan cepat.

 

  1. Kerajaan juga beri kelonggaran untuk kementerian merintis projek dengan kaedah pembinaan alternatif yang lebih pantas dan lebih ekonomik. Tidak semestinya terikat. Menteri Kerja Raya faham bahawa kalau benar satu kementerian itu berikan satu hujah, kaedah pelaksanaan lebih cepat, lebih mudah, lebih bermanfaat, lebih ekonomik atau menggunakan Modular IBS, itu kita beri sedikit kelonggaran. Peruntukan akan disediakan untuk kementerian yang dapat mengurangkan 25% kos atau projek siap 25% lebih cepat daripada tanda aras semasa. Ini beri sedikit kelonggaran bagi jabatan-jabatan.

 

  1. Dalam seminggu dua ini, ibu bapa akan mendapat bantuan awal prasekolah. Projek Kembali ke Sekolah ini RM150 tiap pelajar dan kita tambah dulu sehingga Tingkatan 5, sekarang sampai Tingkatan 6 tiap pelajar. Tapi kita syaratkan ibu bapa harus pergi ke sekolah, sebab kadang-kadang ibu bapa nak kena pastikan wang itu dibelanja untuk anak dan keduanya dia kena dengar daripada guru masalah anaknya. Jangan dia pakai, dia gunakan hanya perwakilan. Bila ada anak nak wakilkan, tak boleh. Sebab itu kita syaratkan dia harus ke sekolah, kerana belanja ini tinggi, RM800 juta untuk satu tahun.

 

  1. Tahun ini juga kita telah tingkatkan seperti mana Timbalan Perdana Menteri I (TPMI) telah tumpu dalam soal TVET, termasuk sekolah Maahad Tahfiz untuk ke TVET beri ruang pekerjaan. Tapi bila kita lihat, dapat laporan bahawa Sekolah Agama Rakyat ini keadaan yang paling daif dibandingkan dengan semua sekolah negara kita. Dan walaupun ia tidak termasuk dalam skim sekolah ikut dasar pelajaran kebangsaan, tetapi ratusan ribu lebih, tiga ratus ribu lebih pelajar di Sekolah-sekolah Agama Rakyat ini.

 

  1. Dulu dibatalkan sama sekali oleh Perdana Menteri dulu, semua bantuan, dan ini sebenarnya mendera anak-anak kita. Jadi kita sekarang minta JAKIM terus runding dengan sekolah-sekolah ini, baiki kurikulum, mutu pelajaran, mutu guru-guru biar lebih terlatih dan kita sediakan dana untuk perbaiki kemudahan di sekolah-sekolah ini mencecah ribuan. Kita sediakan untuk Sekolah-sekolah Agama Rakyat ini dan Maahad Tahfiz dan lain-lain sebanyak RM200 juta peruntukan segera.

 

  1. Dan anak-anak kita juga ada yang ke sekolah Cina. SJKC itu dijalankan dan sekarang ada beberapa sekolah SJKC juga yang turut disertai oleh anak-anak Bumiputera dan anak-anak India. Tapi tanpa kecuali, dulu kita sediakan RM50 juta dan kita naikkan untuk tahun ini RM80 juta untuk SJKC.

 

  1. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil walaupun lebih kecil jumlahnya, tapi ada juga sekolah-sekolah Tamil ini yang kedudukannya daif. Sebab itu kita dah sediakan RM50 juta. Dalam kontrak-kontrak ini, asalkan margin harga itu terkawal, semua kerja-kerja, KKR sedia maklum, kita harus gunakan bekalan produk tempatan. Dan ini kita mulakan masa ASEAN kalau saudara-saudari ingat, semua hadiah-hadiah ASEAN ini dari Selangor, Johor, Sarawak, Sabah, Perlis, Kelantan, kain tenun, pelbagai hadiah itu kita beli daripada syarikat-syarikat kecil tempatan.

 

  1. Saya telah sebut tadi tentang perkhidmatan tanpa kertas dan ini termasuk reformasi kerana birokrasi, itu yang akan diumumkan kemudian oleh KSN.

 

  1. SARA bulanan sehingga RM200 mula dikreditkan ke dalam kad pengenalan secara berperingkat seawal 9 Januari ini. Bayaran STR fasa 1 sehingga RM500 akan dikreditkan bermula 20 Januari ini.

 

  1. Tahun lalu, SARA ini diambil atau digunakan oleh 96% rakyat yang mencecah hampir RM2.1 bilion. Jadi ada orang kata yang kaya pun ambil, tapi yang kaya ambil ada skim dia beri kepada jiran-jiran yang miskin. Saya tak fikirlah Menteri ambil kemudian guna untuk rumah dia, tidak. Tetapi 96% dan kita jimatkan, bukan jimat maknanya yang tidak berbelanja ada RM150 juta. Dan seperti saya janjikan RM150 juta tidak diambil oleh Kerajaan, kita akan serahkan, agihkan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga di bawah Nancy. Pelajar OKU dan keperluan khas di bawah Fadhlina. Pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah Dr. Dzul dan atas rayuan pagi tadi oleh Saudara Zambry, Menteri KPT, dia minta bagi kepada Bank Makanan, Dapur Siswa sebanyak RM15 juta.

 

  1. Baik, SARA tahun ini untuk semua rakyat, yang RM100 ini kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas, kita kreditkan pada 9 Februari 2026. Ini dengan maksud persiapan Ramadan Karim “Kullu ‘am wa antum bikhair” dan juga untuk sambutan Tahun Baru Cina. Ini hebat Malaysia. Hebatnya Malaysia ini. Ikut nawaitu masing-masing. Kita ambil untuk imarah Ramadan atau pun Loke ambil untuk imarah Tahun Baru Cina.

 

  1. Baik, salurannya itu kepada peniaga-peniaga kecil, ramai juga bangkitkan di kampung dia tidak berdaftar. Jadi tahun ini kita nak cuba libatkan pendaftaran baru program SARA kepada peniaga-peniaga kecil, kedai-kedai kecil runcit ini dan target kita ialah 10 ribu peniaga kecil yang terlibat dalam program SARA untuk tahun ini. Maknanya, kita tambah 10 ribu kedai-kedai kecil itu akan bermanfaat.

 

  1. Dan kerana akui ada keresahan tentang harga barang,, maka program Jualan Rahmah MADANI akan dimulakan oleh Armizan pada 9 Januari, 3 kali sebulan di setiap DUN. Lebih 23,000 Jualan Rahmah MADANI akan diadakan yang melibatkan 600 DUN dan juga 40 lokasi/lokaliti di Wilayah Persekutuan. Ini menjamin barang asas lebih rendah berbanding pada harga barangan setempat. 5,000 jualan agro-MADANI dapat menjual 10% hingga 30% lebih murah.

 

  1. Sekarang ini kita berikan pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan bagi semua pertubuhan atau yayasan kebajikan yang tamat sebelum 31 Disember. Jadi kita lanjutkan automatik selama 10 tahun dengan syarat mereka kemukakan laporan audit masing-masing.

 

  1. Kadang-kadang saya tulis, saya tidak boleh baca. Ini masa saya tulis “Rethinking Ourselves”. Banyak nota-nota saya tulis masa di Sungai Buloh, nota itu ditulis dengan begitu kecil supaya pegawai penjara dan special branch tidak boleh baca. Akhirnya, saya pun tidak boleh baca.

 

  1. Kita tidak lupa juga ada anak-anak kita yang terlibat dalam e-hailing dan p-hailing, kita sudah sediakan 800 juta untuk PTPK. 800 juta, tapi ada yang mengatakan masih perlu sedikit jadi saya tambah 100 juta ringgit kepada anak-anak e-healing, p-healing.

 

  1. Konsesi Arahan Bayaran Ansuran CP500, banyak penjawat awam dia isi borang LHDN itu salah. Bonus, elaun dia masukkan, jadi tentunya perkiraannya berbeza. Jadi kita faham macam kesilapan-kesilapan ini akan dipandang ringan. Jadi, kita bersetuju bagi tempoh peralihan untuk memberi kelonggaran supaya tidak dikenakan penalti dalam tahun ini 2026. Jadi, kalau isi, janganlah sengaja isi salah. Tetapi, kalau kebetulan dimasukkan pendapatan itu selain daripada gaji, jadi kita beri kelonggaran 2026. Tetapi cukai kena bayarlah, gaji nak naik, STR nak tambah, SARA nak, cukai tak nak bayar.

 

  1. Ini soal peniaga PMKS yang harus jadi besar. Sebab PMKS ini peranan sangat besar dalam negara dan projek-projek kita ini banyak insentif pada syarikat-syarikat besar. Sebab itu kepada MITI, kepada YB Johari Ghani saya minta diberi perhatian pada PMKS dan juga kementerian-kementerian lain di bawah, YB Ramanan dan juga YB Steven Sim, iaitu beri tumpuan supaya masalah mereka itu dapat ditangani dengan baik. Kita cuba tetapi sepertimana kita tahu, kita umumkan puluh bilion pinjaman. Tetapi kadang-kadang saluran daripada bank itu sangat lembab. Jadi, tindakan-tindakan diambil.

 

  1. Umpamanya, 2026, SJPP (Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan). Nilai jaminan ditingkatkan kepada 30 bilion yang boleh memberi manfaat kepada 30,000 PMKS. Tetapi untuk tahun 2026, kita peruntukkan 10 bilion ringgit khusus untuk PMKS Bumiputera, supaya jangan mereka ketinggalan. Jadi, kadang-kadang orang jerit Bumiputera tiada, Melayu tiada, saya tidak faham. Sama ada dia tidak dengar, dia tidak baca, atau tidak faham. Sebab ketimbang dasar-dasar sebelum ini, dasar bumiputera kita dalam kerajaan MADANI jauh lebih dan kita boleh berikan fakta untuk buktikan bahawa kita terus prihatin dan tetap dengan dasar negara yang jelas.

 

  1. Dana pinjaman Bank Negara Malaysia untuk 2026, Bank Negara akan menambah dana pinjaman mudah PMKS sebanyak RM2.5 bilion tambahan. Seterusnya, Bank Negara akan memperkenalkan Skim Jaminan Pembiayaan PMKS. Ini, Skim Jaminan Pembiayaan PMKS bernilai hingga RM10 bilion.

 

  1. Di bawah TEKUN Nasional ditingkatkan kepada RM500 juta tahun ini 2026. Supaya usahawan wanita, anak muda, lepasan TVET, pasar tamu, dan usahawan sektor pelancongan dapat faedah. Tetapi ada masalah, kita umumkan puluh bilion tetapi tidak sampai. Oleh itu, kita telah syaratkan supaya lebih separuh dana pembayaran PMKS tambahan untuk memanfaatkan syarikat PMKS yang belum menerima kemudahan ini.

 

  1. Untuk 2025, ini soal cukai pendapatan, Kerajaan telah salur bayaran balik cukai pendapatan berjumlah RM22.5 bilion. Ini nak jelaskan bahawa sebenarnya LHDN dulu kutip, kemudian ada lebihan, tetapi seperti biasa, kutip cekap, nak bagi balik, lambat. Jadi, saya telah bagi arahan, tetapi saya ucap terima kasih kepada LHDN dan Perbendaharaan kerana bayar balik cukai ini, bayar balik, bayar balik itu sudah mencecah 22.5 bilion ringgit untuk tahun 2024, iaitu paling tinggi dalam 5 tahun. Ini legacy issue ya, terkumpul lama jadi terbeban dengan kita.

 

  1. Yang telah dibuat untuk tahun 2025 ialah 3.7 juta kes. Jadi tak boleh complaint sangat, orang bayar, bayar lebih. 3.7 juta kes kita selesaikan pada tahun 2025 itu dan untuk taksiran 2022 dan sebelumnya selesai untuk 2025. Untuk taksiran 2023, insya-Allah kita selesaikan suku tahun ini 2026. Dan bagi tahun 2024, seluruh tahun 2024 tertangguh kita selesaikan pada tahun ini keseluruhannya.

 

  1. Jadi kita mendengar pandangan, kegelisahan rakyat terutama syarikat-syarikat kecil. Kalau PMKS ini bayar tertunggak setengah juta itu besar bagi dia sebab itu kita kena selesaikan.

 

  1. Kita bincang dengan Jemaah Menteri tadi tentang pengecualian cukai jualan. Jadi kita limit atau hadkan kepada hanya pengecualian cukai jualan pada kadar kosong peratus itu hanya ke atas input kepada pengilang berdaftar industri makanan ternakan, baja dan racun serangga untuk mengurangkan kos pengeluaran barang pertanian.

 

  1. Dia ada masalah cukai perkhidmatan ke atas sewaan selama satu tahun bagi PKS yang baru ditubuhkan. Itu kita berikan tangguh cukai perkhidmatan setahun lagi. Yang ini untuk syarikat baru, jadi dia nak mula perniagaannya.

 

  1. Tentang cukai perkhidmatan ke atas sewaan, ini memang jadi masalah kerana dari kosong naik 8. Jadi rakan-rakan Jemaah Menteri banyak mengusulkan supaya boleh teruskan cukai tapi minta dikurangkan. Tapi seperti saudara-saudara tahu dalam sistem percukaian negara, minima semuanya 6%. Oleh sebab itu, setakat ini saya hanya mampu mengurangkan kepada 6% dengan kehilangan pendapatan hampir setengah bilion ringgit setahun. Jadi minta ada fahaman tentang perkara ini. Ini penjawat awam dia tidak faham, dia tidak tepuk bab ini. Jadi turun daripada lapan ke enam peratus.

 

  1. Baik, cukai perkhidmatan ke atas sewaan juga dikecualikan atas PMKS. Dulu RM500,000, tapi kita tengok ada syarikat-syarikat kecil itu kenakan cukai itu membebankan perniagaan mereka. Kita naikkan RM1 juta, tapi setelah meneliti semula, kita dengan ini memutuskan supaya dikecualikan atas PMKS dengan nilai jualan tahunan dari RM500 ribu ke RM1 juta dan sekarang yang pengecualiannya sehingga RM1.5 juta ringgit.

 

  1. Baik, pelaksanaan e-Invois, ini pun jadi isu besar juga. Kita nak digital, tapi bila kita laksanakan, ada syarikat-syarikat itu belum bersedia kerana kos penyediaan itu agak tinggi jadi kita telah kecualikan dan tangguh umpamanya. Bagi syarikat dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, yang akan memulakan pelaksanaan e-Invois bermula 1 Januari 2026, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh peralihan tanpa penalti untuk satu tahun lagi untuk e-Invois, untuk menangguhkan pelaksanaan e-Invois kerana banyak mengatakan dia melibatkan kos yang terlalu tinggi.

 

  1. Kita juga bersetuju memperluaskan kemudahan e-Invois bersepadu kepada sektor peruncitan dan bahan binaan.

 

  1. Kerajaan bersetuju melaksanakan program pengakuan sukarela bagi duti setem selama 6 bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026. Ada beberapa isu lain yang saya telah bincang dengan Saudara Johari Abdul Ghani, Menteri MITI, kadang-kadang barang-barang itu naik, kartel ayam dan telur umpamanya, bila kita nak tarik bantuan pengapungan, dikatakan harga naik. Tapi kita runding dengan kartel beritahu kepada mereka kalau dia catat keuntungan dia tidak boleh mengugut Kerajaan untuk tambah peruntukkan.

 

  1. Tiap tahun kita belanja RM1.2 bilion untuk bantu supaya kos ayam terkawal. Tahun lalu kita ambil keputusan berani, kita tarik balik bantuan itu. Alhamdulillah, harga ayam kekal tidak naik. Jadi dengan semangat ini, saya telah maklum kepada menteri-menteri berkenaan, ini termasuk umpamanya harga besi keluli, simen. Kartel-kartel juga kena faham, tidak siapa yang nak menghalang mereka dari mencatat keuntungan. Tapi naik harga besi, keluli dan simen akan menyebabkan naik harga pembangunan, termasuk kos bangunan rumah mampu milik dan kos rendah.

 

  1. Oleh itu, kita harus teliti kalau ini diteruskan, kita terpaksa melonggarkan syarat import. Kalau ada import lebih murah mungkin kerana nak menyelamatkan dan memastikan kos lebih rendah.

 

  1. Jadi, saudara-sudara yang dihormati sekalian, saudara mendengar dengan tekun, terima kasih walaupun sebahagian masalah percukaian tidak difaham. Tetapi inilah kenyataannya, kerana setengah daripada langkah-langkah itu hanya menjurus kepada sektor-sektor tertentu. Jadi, kita cuba nak menjaga, menyantuni dan melayani semua yang kita mampu.

 

  1. Pertahankanlah kekuatan yang ada, kerjalah dengan sebaiknya Lillah Ta’ala. Kerana amal iaitu amal ikhlas al-amalillah untuk mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Dan saya percaya, insya-Allah untuk tahun ini, kita akan dapat terus mencatat kemajuan lebih baik dengan syarat kita kekal menjamin keamanan negara ini membina keutuhan kesatuan kita dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.

 

Terima kasih.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

 

 

 

Share: