LAPORAN VERBATIM: WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KELIMA BELAS
LAPORAN VERBATIM
WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
TARIKH : 30 OKTOBER 2025 (KHAMIS)
SOALAN 1: TUAN HAJI SUHAIZAN BIN KAIAT [ PULAI ]
Tan Sri Yang di-Pertua,
Pulai ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri kerana telah mengharumkan negara, mengemudi ASEAN dengan jayanya bersama dengan petugas-petugas ASEAN yang lain.
Minta PERDANA MENTERI selain daripada aspek perdagangan, apakah manfaat yang diperoleh hasil daripada pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump termasuk isu kemanusiaan di Gaza dan bidang strategik lain yang berkepentingan bersama Malaysia-Amerika Syarikat?
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih.
Tan Sri Yang di-Pertua,
Terima kasih atas soalan yang tentunya menarik minat ahli-ahli Yang Berhormat dan juga rakyat keseluruhannya. Izinkan saya, Tan Sri Yang di-Pertua, untuk memberi gambaran yang menyeluruh bahawa kehadiran Presiden Donald Trump itu hanya satu aspek.
Umpamanya, kejayaan alhamdulillah besar adalah kerana kita dapat menerima Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, anggota sepenuhnya. Itu mereka cuba telah puluhan tahun dan berhasil kini. Dan sambutan dari rakyat Timor-Leste itu luar biasa.
Yang keduanya ialah memeterai perjanjian yang lebih muktamad di antara Kemboja dan Thailand, dan yang kita kenali sebagai Kuala Lumpur Peace Accord, dan kehadiran Presiden Trump itu memberikan gambaran dan liputan lebih meluas di seluruh dunia.
Tapi dalam kenyataan itu, kita juga menyebut, termasuk dalam sidang ASEAN, tentang peranan ketua-ketua negara ASEAN lainnya, peranan negara China yang membantu logistik, Jepun dan Korea yang juga membantu dalam logistik. Tapi keputusan kita tidak mahu campur tangan ketenteraan luar seperti Amerika atau China. Mereka bantu hanya logistik, tetapi yang berlaku itu atas bantuan dan kerjasama bukan sahaja saya, tapi Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan, terutama Panglima Angkatan Tentera.
Mesyuarat itu mengambil masa yang panjang. Ada pertemuan Menteri Pertahanan di Kuala Lumpur, Menteri Luar Negeri, kemudian Panglima Angkatan Tentera dan General Border Committee di antara Cambodia dengan Thailand.
Berikutnya, soal Myanmar. Myanmar tidak dapat kita selesaikan keseluruhannya, tetapi dalam dua pertemuan dengan Senior General Min Aung Hlaing, Perdana Menteri, dan juga dengan National Unity Government di Thailand, kemudian susuli di Beijing, sekurang-kurangnya pembantaian, pembunuhan, penyerangan ke kawasan-kawasan minoriti dihentikan, termasuk di kawasan Rakhine. Ini berlaku hanya dalam tahun ini, tidak sebelumnya. Kalaupun ada satu dua penembakan, dia tidak sepertimana berlaku dulu, kebakaran, pembakaran dan pemusnahan kampung-kampung yang berlaku di kawasan Rakhine. Ini kerana usaha diplomatik kita dengan wakil kita, termasuk utusan khas Malaysia.
Kemudian ada 20th East Asia Summit Anniversary yang kita lakukan — dua Plenary Retreat dan 12 mesyuarat-mesyuarat yang kita adakan sepanjang dari 7.30 pagi sampai malam.
Satu kejayaan besar juga ialah setelah perjanjian perdamaian dan juga perdagangan dengan Presiden Donald J. Trump, ialah kehadiran Perdana Menteri, Premier Li Qiang, negara China, dan kita manfaatkan dengan menandatangani FTA Upgrade 3.0, yang pertama ASEAN, adalah dengan negara China.
Jadi kita lihat umpamanya perimbangan yang kita dapat pertahankan. Kalau sepertimana ditohmah, seolah-lah kita hanya tunduk kepada negara Amerika, tidak mungkin kita boleh meterai perjanjian dengan negara China — FTA. FTA itu kerangka keseluruhannya lebih besar.
Begitu juga dengan kehadiran Brazil dan South Africa, Afrika Selatan. Brazil ini pengerusi BRICS, Afrika Selatan G20, dua-duanya ada hubungan yang agak tegang dengan Amerika Syarikat. Tetapi kita sebagai negara yang pertahankan prinsip ‘centrality’, masih mampu mengundang mereka dan memberi penghormatan kepada mereka.
Dari segi dokumen persetujuan, 80 keseluruhannya, dan kita juga semasa kepengerusian kita, dapat mengusulkan dengan kerjasama rakan-rakan ASEAN apa yang disebut sebagai Vision 2045 untuk ASEAN, itu di Kuala Lumpur. Kemudian agreement tentang trade in goods (AIGA) itu juga telah dimeterai.
Berbalik kepada soal Donald Trump itu, jemputannya pertama tentunya sebagai pengerusi ASEAN. Setiap pengerusi ASEAN — tahun sebelumnya di Laos atau di Jakarta sebelum itu, tahun depan di Filipina, akan mengundang semua pemimpin negara ASEAN dan rakan-rakan sejawat iaitu Amerika Syarikat dan Kanada.
Saya, selaku pengerusi ASEAN tahun ini, boleh mengundang apa yang disebut sebagai “guest of the chair”, tamu khas pengerusi, dan guest saya itu ialah pengerusi EU, António Manuel de Oliveira Guterre, Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa. Jadi kita kena bedakan, mereka bukan dialog partner tapi hadir sebagai tamu khas pengerusi.
Dengan President Donald Trump hadir, tentunya keutamaan kita ialah perdagangan, tetapi juga hubungan diplomatik, kerana kebijaksanaan diplomatik itu penting.
Saya telah menyampaikan dalam ucapan penghargaan kepada puluhan ribu yang bertugas dan sukarelawan, termasuk ribuan mahasiswa yang bertugas. Saya bagi penghargaan luar biasa, dan itu jangan kita sampingkan. Ini soal perbezaan pendapat sedikit, soal Trump dan lain-lain itu ada, tapi jangan tinggalkan penghargaan kita kepada penjawat awam, sukarelawan dari imigresen, kastam, polis, dan swasta, hotel dan sebagainya, kerana dapat mengawal dan jalankan dengan rapi tugas itu dengan cemerlang.
Baik. Tapi inilah kekuatan diplomasi. Hari Ahad, boleh tandatangan dengan Amerika. Hari Isnin boleh tandatangan dengan China. Dan boleh undang Brazil dan Afrika Selatan yang tidak disenangi oleh mana-mana pihak.
Tetapi saya manfaatkan hubungan dengan Trump ini, sama ada 40 minit dalam The Beast kereta itu, ataupun ada dua lagi pertemuan, iaitu dua hala Malaysia-US, kemudian ASEAN-US.
Dalam tiap perjumpaan itu, dan yang keempat iaitu masa rundingan di mana ada sidang media, kita tentunya nyatakan penghargaan dalam usaha mereka mencari perdamaian dan menghentikan serangan ke atas Gaza dan larangan Israel menakluki mana-mana bahagian Tebing Barat.
Kalau saya katakan bahagian dalam pertemuan empat mata di mobil itu mungkin akan dipertikaikan, tapi saya akan sebut di sini, tentunya kita bincang soal Laut China Selatan. Mengapa saya undang Brazil dan Afrika Selatan, dan apa kekuatan Malaysia dalam ini serta hubungan baik dengan negara China.
Tetapi di antara perkara pokok yang saya bincangkan ialah soal Gaza, dan saya beritahu kepada Presiden, saya pernah bertemu dengan pemimpin-pemimpin Hamas. Tentunya dia agak terkejut sedikit dan tanya saya mengapa?Saya jelaskan, dan saya kata saya gunakan istilah, tidak pernah sebut ‘20-point ceasefire’, ‘comprehensive settlement’ — kerana istilah comprehensive settlement, comprehensive solution itu istilahnya disepakati. Tidak selesai hanya dengan menghentikan serangan tanpa mengiktiraf hak mutlak kedaulatan rakyat Gaza dan Palestin. Tentunya panjang, dan perjalanan itu dengan perlahan, 40 minit.
Kemudian dalam pertemuan perjanjian Kemboja–Thailand, saya ulangi perkara itu. Saya selalu gunakan istilah: “Mr. President, we commend you for this effort. It takes tenacity and courage. But, dengan izin, saya selalu sebut tentang komprehensif. Kalau tidak, tidak selesai.”
Baik. Kemudian dalam United States dan Malaysia, itu juga tersebar. Saya sebut tentang comprehensive solution soal Gaza. ASEAN–US, kita tegaskan hal yang sama.
Jadi, kita manfaatkan peranan kita untuk menyampaikan. Jadi untuk tomahan, kita sekadar tunjuk. Saya tidak tahu kalau ada banyak pemimpin-pemimpin negara lain akan memilih berdepan dengan Presiden Donald Trump dan menyampaikan kenyataan dengan benar dan tegas, dan kita lakukan itu.
Ada yang bangkitkan soal sambutan. Sambutan kalau dilihat umpamanya sambutan kepada Presiden Donald Trump itu sama dengan Presiden Xi Jinping. Dan untuk Donald Trump, tidak ada sambutan di Kompleks Seri Perdana, tidak ada sambutan di PICC, hanya satu. Untuk Brazil dan Afrika Selatan, sambutannya tiga, di lapangan terbang, di Kompleks Seri Perdana, di mana ada kebudayaan dan anak-anak sekolah serta tarian. Dan juga di PICC. Jadi, itu keadaannya.
Ada yang dibangkitkanlah. Kadang-kadang kawan-kawan kita ni dia holy dan dow lah, seolah-olah mereka itu macam keramat. Tak apalah. Jadi, semua kebaikan dia dipadamkan, dia nampakkan tarian. Tarian pun zapin, tarian Melayu, bukan tango.
Tetapi yang berlaku, bahawa ada usaha berdepan dengan Presiden Trump, menyatakan mesti ada comprehensive solution. Tidak ada satu penghargaan bahawa kita pertahankan hak kita untuk mempertahankan dasar centrality. Ya, baik dengan Amerika Syarikat, berdagang dengan Amerika Syarikat, tetapi baik dengan negara China.
Ada yang katakan rare earth tidak boleh, tak betul. Rare earth kita tidak mahu eksport mentah; kita eksport setelah diproses. Sekarang ini ada Singapura–China. Kalau baca betul-betul, dia tidak menghalang. Ongoing commitment itu berlangsung terus.
Jadi, soal itu, Menteri MITI telah jelaskan semalam, dan hari ini Tuan Speaker telah beri izin untuk mereka berhujah lagi. Tak mengapa, saya bawa banyak masalah diplomasi dan engagement serta sekitar isu-isu politik yang ada kaitan dengan ini.
Saya singgung sedikit tentang tafsiran umpamanya. Terjerit-jerit kata kita ni serah Halal kepada Amerika Syarikat. Halal itu serah kepada authoritative body di Amerika.
Saya pernah tatkala di Washington, tinggal di Reston, Virginia. Imam Majid, Pengerusi Imam Masjid Adams Mosque, pengerusi jawatankuasanya Syed Taha Jabir al-Alwani, ulama usul fiqh terkemuka. Penasihat pengurusan bidang kesihatannya, saya tidak ingat nama, tapi asal Mesir, Profesor of Medicine di Harvard.
Jadi bila dapat keterangan begitu, tidak ada masalah. Ini apa yang dok terjerit kata kita terima Amerika punya, dia tidak ada authority, yang ada authority pada badan Islam yang diiktiraf dan sebagainya. Ulamanya ulamak lebih besar daripada ulama-ulama yang sibuk dengan Qunut Nazilah sahaja, maki orang sahaja. Ini ulama seperti Syed Taha Jabir al-Alwani.
Kemudian, yang profesor bahagian kesihatan itu Profesor of Medicine, Harvard. Jadi untuk badan-badan itu, JAKIM sebut tidak payahlah kita pergi dua kali. Dan ini juga berlaku di banyak-banyak negara lain, macam Afrika Selatan, dengan Muslim Judicial Council di Cape Town. Pengesahan dia itu kita terima kerana badan ulama yang menguasai dan memantau itu cukup baik.
Baik. Jadi yang lain itu, dalam perjumpaan saya sebut dengan AS, tentunya peningkatan perdagangan dan pelaburan, termasuk kehadiran benda-benda seperti data center dan juga untuk AI yang kita perlukan untuk mengangkat kedudukan dan produk, keupayaan kita di bidang teknologi.
Tapi yang saya hendak tegaskan di sini, yang paling penting bagi saya, yang sangat melegakan, ialah peluang saya menyampaikan dari hati ke hati tentang permasalahan Gaza dan Palestin kepada Presiden Donald Trump. Dan secara rasmi tiga kali yang mendapat liputan media, yang di dalam The Beast itu memang Four-eyed private conversation. Secara rasmi tiga peluang yang saya sebut “comprehensive solution to the Gaza–Palestinian problem.”
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 1 BAGI SOALAN 1
Terima kasih Tan Sri Speaker. Tahniah kepada Perdana Menteri yang bukan sahaja melaksanakan perjanjian dengan Amerika, tetapi dapat mempertahankan hak kita, mengenengahkan suara kita kepada isu-isu berkaitan dengan Gaza ini.
Soalan tambahan saya adalah, di luar sana ada menyatakan bahawa perjanjian yang kita meterai dengan Amerika Syarikat ini mempunyai unsur-unsur yang boleh menyebabkan negara kita ini tergadai, maruah kita ini tergadai, yang boleh menyatakan bahawa ia menjejaskan kedaulatan negara kita ini.
Setakat mana kebenaran ini yang telah dimeterai bersama dengan Amerika ini? Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Pulai, perkara ini dijelaskan oleh Menteri MITI semalam dan masih ada ruang berdebat lepas ini. Sebab itu, Menteri MITI mencabar provision mana? Ini masalah membaca tidak secara menyeluruh.
Hari Selasa pagi dengan Premier Li Qiang, tentunya apa-apa yang dilakukan oleh Amerika, itu diteliti line by line oleh negara China, kerana kalau adalah yang ditafsirkan oleh sesetengah ahli pembangkang, dia akan menjejaskan hubungan kita dengan China.
Kalau rare earth kita ini monopoli Amerika, tidak boleh dengan negara China. Benda tu tidak berlaku. Jadi kita ini lebih Hamas daripada Hamas, lebih China daripada China. Ini masalah kita kerana politik yang menanam sikap benci begitu sahaja.
Saya kata teliti dulu undang-undang dia, teliti peruntukan dia, umpamanya satu trilion kita order dari Airbus 30, daripada Boeing 30, itu lama sebelum tarif. Bukan saya order, ini Malaysia Airlines (MAS). Begitu juga tentang pesanan daripada Google, Microsoft, di sini, dia pesan daripada part seperti Amerika Syarikat, ini bukan kerajaan.
Begitu juga tentang import gas, mengapa LNG import daripada PETRONAS? Itu tentu PETRONAS ada penjelasan, ini bukan baru. Dia ada satu kejayaan besar. Pelaburan PETRONAS Carigali di Kanada yang dikutuk dulu kononnya kita jual, itu pun satu penipuan. Tetapi tidak berlaku begitu dan sekarang berhasil.
Kehadiran Perdana Menteri Kanada itu di antara lain untuk menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana PETRONAS berjaya di Kanada. Hasilnya besar. Jadi, import dengan margin keuntungan yang kecil bagi Malaysia, kerana Malaysia akan eksport.
Ada hal-hal yang tak boleh saya sampaikan kesemuanya di sini. Tapi Malaysia punyai keupayaan untuk eksport ke mana-mana negara. Jadi kerana pesanan eksport itu tinggi, margin keuntungan itu besar, kita eksport semua. Ada kekurangan, kita import dengan margin yang lebih kecil, tapi untung. Apa jadi masalahnya? Gadai di mana?
Kita perniagaan dengan semua negara, cuma dengan Amerika ini dicerakin. Google import berapa? Microsoft berapa? MAS berapa? Itu yang jadi besarnya. Bukan yang lain yang kita boleh, kita import daripada negara China. Dan sekarang kita gunakan ruang kita dengan Brazil dan dengan Selatan Afrika untuk buka jaringan kita supaya tidak bergantung kepada satu, dua negara.
Peranan kita, Tan Sri Yang Dipertua, apapun masalah mesti pertahankan kepentingan negara dan kepentingan rakyat. Ini yang kita lakukan.
SOALAN TAMBAHAN 2 BAGI SOALAN 1: YB TUAN SYED SADDIQ BIN SYED ABDUL RAHMAN [MUAR]
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, I want to be fair here. Saya kasihankan Perdana Menteri Malaysia, sekejap dilabel pro-China dan pro-Rusia beberapa bulan lepas, kerana berjumpa dengan Presiden Putin, Sergey Lavrov, nampak terlalu dekat dengan BRICS sampai sekatan dagangan dikenakan ke atas Malaysia. Ada juga yang memerli pada masa tersebut, mengapa tidak mendekati Trump, tidak mendapat panggilan daripada Presiden Trump. Tetapi akhirnya bila mendekati, dilabel pro-US pula. Sekejap dilabel terpaling Hamas, hanya salah seorang pemimpin Muslim yang berani berjumpa dengan Ismail Haniyeh pada masa tersebut, menyumbangkan RM200 juta ringgit bagi pelan pembangunan Hamas. Ada satu ketika sampai kita ditegur tiga kali nota diplomatik kerana terlalu bertegas dalam soal Palestine, tetapi pada hari ini, dilabel tidak prihatin tentang Palestine pula. Realitinya sesiapa pun yang menduduki kerusi Perdana Menteri, di Malaysia perlu bijak mengimbangi hubungan diplomatik di antara gergasi-gergasi besar, kalau tidak impak yang teruk adalah kepada negara kita.
Persoalan tambahan saya Tan Sri, sambil US dengan China ada perang dagangnya, tahun ini dicatatkan bahawa eksport China ke United States teruk terjejas, ada penurunan 10.7%, tetapi eksport China ke dunia meningkat 3.5% dan peningkatan tersebut adalah kerana sambil mereka tidak boleh eksport ke United States, mereka eksport pula banyak ke ASEAN dan banyak syarikat-syarikat kecil bukan setakat di Malaysia, di Indonesia contohnya, Thailand teruk terkesan kerana ada strategi dumping, they floor the price, turunkan harga for there to be market capture dan akhirnya syarikat-syarikat kita terkesan, kerana harga barang terlalu rendah dan akhirnya syarikat-syarikat kita tidak boleh compete.
Persoalan saya, saya faham kita perlu rapat dan dekat dengan China, tapi bagaimana kita imbangi hubungan ini supaya akhirnya syarikat-syarikat di Malaysia yang kecil khususnya, tidak teruk terkesan dengan market capture atau dumping yang sedang berlaku. Terima Kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
MemIang betul dulu, wah! riuh Anwar tidak dapat telefon dengan Trump. tu lagi isu besar, saya tidak ada masalah, orang telefon kita terima dah telefon banyak pun jadi isu pula, Perdana Menteri telefon. Ini apa punya perangai, saya tidak faham.
Semalam Perdana Menteri, Giorgia Meloni dari Itali, 7.30 malam lepas Maghrib, dia call, Itali telefon ini bukan perkara biasa Tan Sri Yang di-Pertua, telefon biasa, tapi selalu kita yang minta nak call mereka. Jadi bagi saya, terbukti bahawa akhirnya Malaysia diiktiraf, bukan soal Perdana Menteri, tetapi Malaysia.
Lebuh raya kita hebat, pembangunan kita hebat, itu satu dunia perhatikan. Itu kebanggaan. Saya sebagai anak Malaysia saya bangga kerana liputannya puluhan juta lihat tentang kejayaan kita, jalan raya kita kerana disebut di situ dan juga tentang pembangunan, dan juga jasa kita dalam soal perdamaian Thailand-Kemboja.
Muar ingat dulu, wah! bukan Anwar sengaja claim, sebenarnya orang lain, tapi Presiden sendiri akui. Betul dia ada peranan, betul banyak negara dia ada peranan, tapi dia iktiraf mediation efforts led by Prime Minister of Malaysia. Tapi tentulah kenyataan itu menyakitkan sesetengah yang memang ada hati yang tersakit.
Saudara bayangkan dalam sidang yang sama, selang beberapa hari, hari ini dengan Amerika Syarikat kemudian Brazil, Afrika, kemudian negara China dan kemudian Rusia dan kita layan dalam perbincangan dengan baik sebab kita sebagai negara membangun berkembang dengan relatif kecil harus bekerja untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan semua. Apatah lagi dengan keadaan sekarang di mana nama kita harum, nama Malaysia harum dan ini kalau lihat umpamanya dalam sejarah ini ulung-ulung kali berlaku.
Gunalah kesempatan ini untuk bangunkan negara. Janganlah rasa sakit hati kerana kejayaan negara, ini kejayaan negara. Ya. Perdana Menteri boleh datang dan pergi. Perdana Menteri, saya tegaskan semula Tan Sri, Perdana Menteri boleh datang dan pergi, naik dan jatuh, tapi negara mesti diangkatkan.
Kemudian Muar tanya sebab China, hubungan negara dengan China. China umpamanya bila berlaku ketegangan dengan Amerika Syarikat, China beralih kepada Brazil untuk eksport 90% keperluan soya bean. Jadi, dan ini beri manfaat besar kepada Brazil. Tetapi ada juga masalah dengan negara China, MITI dan beberapa kementerian sedang teliti.
Kalau libatkan soal dumping, itu kita akan ada sekatan. Sekarang ada yang mula bekerja, mengambil alih kerja-kerja kecil yang boleh dikendali oleh syarikat tempatan, terutama SMEs. Ini kita sudah mula ambil tindakan dan Jabatan Imigresen Malaysia dan jabatan-jabatan yang berkenaan telah mula mengambil tindakan menyekat kegiatan mereka, kerana kegiatan ini akan menjejaskan kepentingan ekonomi peniaga-peniaga kecil.
Ini Tan Sri Yang di-Pertua kita ada Anti-dumping laws dan bila ada kegiatan dari negara China untuk meletakkan atau mengeksport barang-barang yang kita rasa tidak munasabah, bukan sahaja pada China, mana-mana negara, kita akan gunakan sekatan supaya tidak akan menjejaskan kepentingan ekonomi negara. Terima kasih Muar.
SOALAN TAMBAHAN 3 BAGI SOALAN 1: YB TUAN SYED IBRAHIM BIN SYED NOH [LEDANG]
Saya setuju tadi dengan Muar bahawa sebenarnya apa yang dilakukan oleh negara, Perdana Menteri juga bukan satu perkara yang mudah dan kita semua faham dan setuju tentang perkara ini. Saya percaya Machang pun setuju sebenarnya. Bukan perkara mudah. Nak jadi kuasa pertengahan, kuasa diplomasi, nak cover sini kiri kanan, bukan mudah saya rasa. Dan kita kena bagi kredit where it’s due. Kita kena bagi pujian apa yang telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Soal yang lebih penting yang saya rasa seterusnya, ialah apakah seterusnya. Sebab itu dalam hal ini, saya lihat kita telah membuat beberapa perkara bagus berkenaan dengan perdagangan, berkenaan dengan isu diplomasi. Tapi dari segi comprehensive solution yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tadi berkenaan dengan di Gaza, saya rasa ini adalah satu perkara yang kita nak kena ada langkah-langkah seterusnya. Khususnya apabila kita ketahui bahawa gencatan senjata di Palestin ini sangat-sangat rapuh. Sejak gencatan senjata dimulakan lebih daripada hampir 100 orang yang telah dibunuh, masih berlaku di Gaza. Jadi kita tak faham apa gencatan senjata sebenarnya.
Soalan saya ialah apakah usaha-usaha langkah-langkah seterusnya untuk kita memastikan comprehensive solution itu dapat terus dilaksanakan dan yang kedua apakah langkah-langkah bantuan kemanusiaan Contohnya menghidupkan semula Ops Ihsan, di mana kita boleh terus berusaha memastikan bantuan-bantuan ini sampai dan bantu rakyat di Palestin. Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih Ledang. Benar, kita tidak boleh mengharapkan langkah awal ini sebagai satu penyelesaian muktamad kerana penyelesaian itu sangat penting dan rapuh dan memerlukan kekuatan dunia. Tetapi seperti mana juga kita tahu kenyataan kita senang suka atau tidak, peranan Amerika Syarikat khususnya Presiden Amerika Syarikat itu yang menjadi faktor penentu. Gencatan senjata ataupun pemberhentian serangan itu dia.
Jadi peranan kita sepatutnya selain dari usaha-usaha lain, kemanusiaan, soal bantuan perubatan dan lain-lain dan kesediaan untuk bersama dalam pasukan ketenteraan damai Itu telah kita beri maklum kepada Presiden Abdel Fattah El-Sisi, dan juga kepada ASEAN baru-baru ini dalam mesyuarat. Tetapi itu, seperti mana saya sebut kepada Setiausaha Agung PBB, itu setelah diputuskan oleh Security Council. Tentera, apa yang dikatakan peace force untuk Gaza.
Jadi apa langkah yang boleh dibuat? Seperti mana saya sebut dua hari yang lalu. kecam sudah kecam, marah dah marah dan tidak setuju dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah kerana hipokrasi mereka. Jadi yang patut kita teruskan ialah bila ada peluang, sampaikan lah dan bila saya sampaikan dengan komprehensif, yang Presiden Trump hanya menyebut kepada saya dan kemudian ditegaskan dalam perjumpaan ialah saya akan pastikan bahawa peace deal ini dan gencatan senjata ini berhasil dan saya akan pastikan begitu.
Jadi setakat itu bagi saya, satu permulaan yang baik. Dua minggu yang lalu, seperti yang telah saya sampaikan, saya berbicara dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi. Dia rasa dia bertanggungjawab sebagai negara jiran untuk meningkatkan laluan melalui Rafah, bantuan kemanusiaan, perubatan dan pembangunan. Yang ini juga disambut oleh banyak negara lain termasuk Qatar, Arab Saudi dan UAE dan Turkiye. Jadi ada cadangan mengadakan pertemuan di antara negara Arab dan negara Islam di Kaherah dalam masa terdekat dan kalau ada kesempatan saya akan hadir, itu diundang. Ada yang kata dulu tak diundang untuk twenty point. Itu tak apalah kita boleh bincang kemudian.
Yang ini khusus untuk bantuan kemanusiaan dan memastikan agenda perdamaian fasa 1. Dia selalu sebut fasa 1. Bagi saya fasa 1 itu permulaan yang baik tetapi mesti komprehensif.
Saya setuju dengan apa yang digesa oleh Ledang.
SOALAN TAMBAHAN 4 BAGI SOALAN 1: YB TUAN WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL [MACHANG]
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terima Kasih Yang Amat Berhormat Tambun. Ada pepatah Amerika yang menyatakan ‘the devils is in the details’ dan bila saya baca Tan Sri yang di-Pertua, dalam perjanjian ini, ada banyak butiran durjana, syaitan dan iblis. Kenapa saya kata begitu Tan Sri Yang di-Pertua? Dalam ini ada 40 klausa yang mengikat Malaysia, Malaysia shall… dan hanya ada satu klausa yang mengikat Amerika terhadap kita. Jadi ini bukan mereka arah kita patuh, ini bukan perjanjian perdagangan, ini penjajahan sama macam British paksa kita dulu zaman tok kaduk dulu. Dan Tan Sri yang di-Pertua, saya tengok kalau kita tengok matematik lah, di sebalik dagangan ini kita anggap 20% eksport bernilai RM238 bilion yang kena tarif, kadar dia beza 50% sahaja bersamaan dengan RM1.19 bilion setahun tetapi konsesi yang kita bagi kepada Amerika berjumlah satu trillion bersamaan dengan 840 kali ganda nilai tarif yang diselamatkan.
Jadinya, satu lagi yang saya rasa ramai tidak tahu, Amerika dakwa kita ada trade surplus lebihan dagang, itu dari segi barangan. Dari segi perkhidmatan, Amerika lebih dari kita dari segi dagangan. Jadi sebenarnya rate deficit Amerika dengan kita ini kecil berjumlah RM16.5 bilion sahaja.
Jadi Tan Sri, kalau yang kita ikutkan inilah dia punya unjuran, saya tidak rasa perjanjian ini menguntungkan Malaysia. Jadi saya ingin merayu kepada YAB Tambun demi negara. Kita bawak balik perjanjian ini ke Parlimen dan kita bahas sampai lumat dan kalau tidak kita batalkan, ini pengkhianatan.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Kata yang Machang sebut ‘kita rasa’, ‘kalau tidak’… kita nak marah pasal apa? Kalau rasa, kajilah dulu. Yang hendak bebal pasal apa?. Baca. Saya bagi contoh ini. Saya dah sebut tadi, saya tak mahu dialog with the deaf. Dialog ini dengan orang yang dengar. Setuju tak setuju tak mengapa. Saya kata, China teliti line by line apakah keputusan semiconductor, rare earth itu. ‘Preclude‘ membatalkan kemungkinan kerjasama, tidak. Ada situ exit clause, security consideration the law of the land, dan bagi kita, kita bagi priority kepada Amerika Syarikat. Hari Isnin kita bagi priority kepada China. Saya akan pergi Selatan Afrika beberapa minggu lagi, saya akan bagi priority kepada Selatan Afrika, apakah masalahnya?
Sebab itu saya kata, baca. Jangan marah saja. Baca dulu, teliti. Exit clause itu dalam kalangan cabinet itu tekan dengan serius. Baik. Sebab berapa jumlah macam disebut dengan lebihan dagang, terima kasihlah. Kalau ikut apa yang ceramah kita, dialog saya semasa dengan Presiden Amerika Syarikat, bukan di sini ya, bukan di Machang, depan Presiden Amerika Syarikat. Saya kata your computation tentang itu, kita tak setuju. Sebab kita masukkan perkhidmatan, kita tak setuju tentang apa yang disebut. Sebab itu, daripada 25 peratus masa dia kali pertama telefon, dia turunkan esoknya kepada 19 peratus. Kita puas hati ke? Kita tak puas hati. Kita setuju? Kita tak setuju, tetapi ini keadaannya.
Jadi soal umpamanya rare earth, semiconductor kita dah sebut. Dia tidak… kalau umpamanya pelaburan Amerika di sini, dia kata pelaburan Amerika ke Malaysia, kami tak mahu you eksport ke China. Tak apalah. Ok? Kenapa? Pelaburan dia. Tapi pelaburan China di sini, dia nak bawa balik ke China, dia bawa ke mana-mana dunia, kita tidak menyekat. Sebab itu saya kata kena membaca. Kalau pelaburan China masuk sini, dia kata kami bagi syarat jangan labur di… itu bukan penjajahan. Dia labur, kalau kita tak mahu, kita jangan laburlah. Tak payah melabur di sini. Tapi dia melabur terutama dalam rare earth. Rare earth ini kita dah batalkan eksport raw, dia boleh buat. Tapi bagaimana nak kita tafsir tak boleh? Negara China boleh. Australia boleh. Jadi sama ada yang sekarang telah sedang dijalankan, tapi saya kata ini dia tak ada clause atau peruntukan yang membatalkan atau melarang. Sebab itu disebut situ National Consideration, Security Consideration kita.
Ok ada bangkitkan maritime, ketenteraan, ini dibuat oleh dulu, menteri-menteri dulu. Check dulu ada tak perjanjian pertahanan dengan Amerika? Ada. Jadi yang itu kita teruskan, apa masalah dia? Tapi apa yang kita tekankan? tidak boleh apa-apa kegiatan dengan Amerika Syarikat yang boleh dilihat sebagai provokatif terhadap negara lain. Makna maksud negara China. Juga dengan China, maritime kita ada dan bagi kita dengan negara China, ini perjanjian dengan Amerika. Ambil ini. Kalau nak gunakan ini untuk perjanjian dengan China, silakah. Itu yang kita bolehkan dan kita bahaskan secara terperinci. Tetapi tentulah pasukan itu, pasukan yang mahir dan pakar daripada penjawat awam. Mereka lakukan pagi, petang, malam berbulan-bulan, Tan Sri. Ini bukan dia bagi draf, kita serah begitu, tidak, Tan Sri. Sebab itu Menteri MITI agak tegaskan perkara ini.
Jadi nak guna jumlah ini, turning half-truth into absolute. Ini problem dia. Dan tak boleh langsung terima apa-apa kebaikan. Satu perkataan bahawa segala yang berlaku dalam ASEAN, sama ada dengan Amerika, dengan China, dengan yang satu baik tak pernah dengar. Yang ada kutuk saja. Ini masalah dia.
Jadi kalau dengan prasangka begitu, ini jadinya. Perjanjian ini menyerah, menggadai. Jadi, penjajahan baru… tak ada Tan Sri. Saya bukan nak kata ini, bukan nak kata saya sebagai Perdana Menteri, tidak. Tetapi bayangkanlah, kita nak kena hadapi Presiden Donald Trump, kalau nak minta bantuan menyelesaikan masalah Gaza, saya tak tahu siapa lagi dah. Kita bercakap dengan Macron, kita bercakap dengan Meloni, Canselor Jerman, habis dah ikhtiar. Saya bercakap berdepan dengan Joe Biden, saya tahu itu bukan… itu berdepan. Dan saya tahu risikonya. Saya bercakap itu di San Francisco, bukan senang.
Saya tak minta saudara-saudara terima kasih, tapi jangan kutuk. Seolah-olah kita ini unta atau boneka Amerika Syarikat. Mana mungkin boleh bercakap di depan Presiden yang begitu rupa? 20-point plan saya tak pernah sebut 20-point plan. Saya sebut, saya sokong langkah fasa 1, ceasefire. Tapi saya tegaskan Comprehensive Plan. Itu yang Ledang sebut tadi. Ini yang kita lakukan. Tapi yang perjanjian perdagangan ini, semua ada exit clause. Ada exit clause. Mengapa kita sign juga? Kerana kita perlu pelaburan dari Amerika Syarikat. Itu saya tidak mahu apologetic. Mengapa kita sign juga? Kerana kita perlu pelaburan dan perdagangan tinggi dengan Amerika Syarikat. Tetapi, soal menyerah tidak timbul. Begitu juga negara-negara China. Dulu bila kita baik dengan China, kita juga diserang. Yang Muar sebut tadi betul. Sekarang nampak baik dengan Amerika pun tak boleh. Jadi nak baik dengan negara mana? Kelantan dengan Kedah saja. Itu pun saya baik. Saya baik dengan kerajaan negeri Kedah, tapi kena dengan semualah.
Jadi, sepatutnya hal ini, saya rayulah rakan-rakan sebelah sini, sebelah sana. Ini soal negara. Saya bukan muda Tan Sri Yang Dipertua, saya kerja sedaya upaya saya untuk dapat perhatian negara yang penting untuk faedah dan masa depan negara kita.
