
Majlis Pekerjaan Negara dibentuk bagi merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan selaras dengan matlamat pertama Belanjawan 2021 iaitu ‘Kesejahteraan Rakyat’.
Penubuhan majlis ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam memastikan pemulihan dan rangsangan sektor ekonomi di Malaysia berjaya dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh, berpandukan data dan sepadan dengan permintaan industri semasa, di samping mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara.
Unit LAKSANA, Kementerian Kewangan akan bertindak selaku Sekretariat NEC dan memantau kemajuan pelaksanaan setiap program di bawah inisiatif NEC supaya lebih efektif berpandukan penilaian yang bersesuaian dari masa ke masa.
Selaras dengan penubuhan NEC, warganegara yang terkesan atau sedang mencari pekerjaan boleh mula mendaftar di portal MyFutureJobs.
Portal ini merupakan pusat sehenti dan rujukan utama kepada rakyat bagi inisiatif berkaitan pekerjaan termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula.