WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DARIPADA : DATO’ SERI AMIRUDIN BIN SHARI [ GOMBAK ]
TARIKH : 23 OKTOBER 2025 (KHAMIS)
SOALAN 1:
Minta YAB Perdana Menteri menyatakan senarai pimpinan negara dan pertubuhan antarabangsa yang akan hadir ke sidang kemuncak ASEAN ke-47 mulai 26 Oktober 2025.
Setakat ini, apakah pencapaian utama kepengerusian ASEAN Malaysia dan sejauh manakah persiapan akhir yang diambil oleh Kerajaan dalam menjamin kelancaran keseluruhan program di saat Malaysia bakal menjadi tumpuan dunia?
JAWAPAN:
- Sepertimana kita sudah maklum, petugas-petugas sedang bertungkus lumus di peringkat akhir dan tentunya saya ambil kesempatan ini di Dewan Yang Mulia ini menyatakan penghargaan setingginya kepada rakan-rakan dan petugas-petugas yang puluhan ribu; Kementerian Luar, MITI, Jabatan Perdana Menteri, PDRM, Imigresen, Kastam… semuanya yang telah membuat persiapan dan kita doakan kepada Allah SWT memudahkan persidangan ini berjalan lancar dan akan memberikan gambaran dan imej Malaysia yang lebih baik dan harum. Di antara negara yang akan hadir— kepala semua 11 negara ASEAN termasuk Timor Leste yang merupakan negara yang menyertai atas ikhtiar rakan-rakan dan akhirnya didorong oleh Malaysia sendiri.
- Timor Leste itu, sebagaimana kita sedia maklum, adalah sebahagian dari Indonesia. Jadi, kalau ikut dari segi kedudukan geopolitiknya, memang di rantau ini sebahagian dari ASEAN, walaupun mereka kemudian menjadi negara merdeka.
- Selain itu, suatu yang agak istimewa dalam konteks ASEAN kali ini ialah semua wakil dari semua benua, Asia, Amerika, Eropah, Amerika Latin dan Afrika — itu diwakili oleh negara-negara utama di rantau masing-masing:
- Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese;
- Premier China, Li Qiang;
- Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi;
- Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon;
- Presiden Korea, Lee Jae Myung;
- Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexei Overchuk;
- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump;
- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, António Guterres;
- Presiden Brazil, Lula da Silva;
- Perdana Menteri Kanada, Mark Carney;
- Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa;
- Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa;
- Ketua Bank Dunia;
- IMF Macroeconomic Research Office ASEAN + Three;
- East Asian Business Council;
- Trilateral Cooperation Secretariat.
- Ini selain daripada wakil yang menyertai tapi tidak sebahagian daripada ASEAN termasuk Director-General ILO (International Labour Organization) dan juga Presiden FIFA bola sepak yang akan dibincang dalam mesyuarat ASEAN.
- Hasil kita tentunya atas kelangsungan kerja-kerja ASEAN sebelum ini dan juga atas inisiatif rakan-rakan saya di masing-masing kementerian, terutama Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dari segi keselamatan sempadan, Kementerian Perdagangan dan Pelaburan yang merupakan di antara fokus kita.
- Dan kita dah buktikan bahawa melalui ini ada peningkatan dari sudut inter-ASEAN trade yang kita berikan fokus dan juga penggunaan mata wang sendiri dengan negara-negara berdasarkan inisiatif Chiang Mai sebelumnya dan yang kita dorong terutama dengan Indonesia dan Thailand di rantau ASEAN.
- Tetapi, kerjasama yang dicapai ini sebenarnya merentas isu-isu ini yang saya sebut tadi kerana dia termasuk juga pemeterian Perjanjian Persefahaman dari segi digital. Walaupun akan dimuktamadkan, yang saya sebut tadi, ini kerana dari segi proses akandimuktamadkan dari Sidang Menteri Luar, kemudian berikutnya adalah Ketua-ketua negara ASEAN sendiri, tetapi dari segi digital, dari segi tenaga seperti yang tadi saya sebut dalam sidang itu, dia antara yang paling berjaya memeterai beberapa perjanjian utama yang merentas negara-negara: Vietnam, Laos, Kemboja, Malaysia, Singapura dan daripada Sarawak ke Indonesia, Sabah dan Selatan Filipina.
- Kemudian, soal “extended and expanded ceasefire” di Myanmar, itu memang peranan Malaysia walaupun didukung oleh negara-negara jiran, terutama Thailand, yang membantu untuk mendapatkan persetujuan junta Myanmar menghentikan serangan. Walaupun ada beberapa peristiwa penembakan, tetapi serangan dan juga penindasan yang selama ini disuarakan termasuk terhadap Karen, Arakan, Rohingya terutama, itu secara besarnya telah dihentikan. Dan kita dibolehkan untuk menghantar bantuan kemanusiaan tanpa sekatan. Ini juga yang pertama.
- Saya bertemu dengan Perdana Menteri Myanmar, Min Aung Hlaing dua kali di Bangkok dan Beijing, dan Menteri Luar bersama dengan beberapa rakan sejawatnya sempat menemui rakan-rakannya di Myanmar. Belum ada penyelesaian muktamad, tetapi kemajuan yang besar. Yang berikutnya ialah tentang kejayaan kita membantu dalam menyelesaikan pertikaian sempadan di antara Kemboja dan Thailand.
- Sepertimana yang sedia maklum, bukan saja pertemuan yang saya pengerusikan sekali, tapi sudah berulang kali pertemuan diadakan di Malaysia di antara ketua-ketua pasukan bersenjata Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur, menteri-menteri luar Kemboja dan Thailand, dan baru-baru ini menteri-menteri pertahanan Kemboja dan Thailand untuk memeterai syarat-syarat terperinci. Dan sekiranya disepakati dalam 1 – 2 hari ini, tandatangan ini akan disaksikan oleh saya dan Presiden Donald Trump yang juga mendukung penyelesaian ini.
- Selainnya, seperti yang kita sebut, kekuatan ASEAN adalah di bidang perdagangan, perindustrian dan pelaburan kerana kita lihat kejayaan yang tidak boleh pertikai dari dulu, usaha kerajaan terdahulu dari segi memperkuatkan ASEAN, tetapi yang dirasa kelompongannya ialah bidang perdagangan antara ASEAN dan juga pelaburan. Dan beberapa pengecualian telah diberikan dari segi sektor perkhidmatan, sebab itu kita lihat umpamanya bank-bank utama Malaysia, Maybank umpamanya mempunyai cawangan di hampir semua negara ASEAN. Saya belum pasti tentang Timor-Leste, tapi ke-10 negara ASEAN itu, Maybank beroperasi. Itu menunjukkan satu permulaan yang sangat baik yang telah berlaku sejak dulu dan kita tingkatkan sekarang.
- Ada persoalan tentang mengapa tidak di Putrajaya. Saya ingat Menteri Luar sudah jelaskan kerana logistik tidak cukup: dewan baik, tetapi kemudahan-kemudahan hotel tidak cukup untuk keperluan, kerana beberapa negara seperti China ataupun Amerika Syarikat kalau dia datang, dia ambil satu hotel — dia bukan ambil tiga lantai, dia ambil satu hotel — jadi dua orang itu sudah dua hotel. Jadi, kita tak cukup sebab itu dia ambil di Kuala Lumpur. Dan berdasarkan pengalaman kita kalau ASEAN-GCC yang diadakan, saya rasa kita berupaya melakukan yang sebaiknya, insya-Allah.
SOALAN TAMBAHAN 1:
DATO’ SERI AMIRUDIN BIN SHARI [ GOMBAK ]
Terima kasih Perdana Menteri dan tahniah atas beberapa pencapaian serta fungsi yang telah ditunjukkan selaku pengerusi ASEAN. Soalan saya, dunia telah berubah kepada keadaan unipolar kepada multipolar dan sebagaimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat sebentar tadi, ia telah menimbulkan beberapa pertarungan dan persaingan geopolitik. Dan ASEAN, dalam pada masa yang sama, mempunyai kapasiti ataupun kekuatan dalaman yang harus diperkasakan.
Soalan saya adalah, apakah Malaysia ataupun kita ingin mencadangkan satu framework baru untuk merungkaikan pertikaian, berbanding dengan formula ASEAN sebelum ini yang selalu mengetengahkan non-interference?
Malahan, Yang Amat Berhormat, kira-kira 10 tahun yang lepas pernah mengutarakan agar diwujudkan apa yang dipanggil sebagai constructive engagement ataupun campur tangan secara konstruktif di antara negara-negara ASEAN untuk mengelakkan pertikaian, konflik yang akan menyebabkan beberapa kekuatan kita seperti dagang dan perkara-perkara lain terhancur ataupun musnah.
Apakah framework baru yang boleh dicadangkan kepada ASEAN supaya di masa depan kita dapat merungkaikan ataupun mengurangkan kesan-kesan konflik, selain daripada aspek centrality yang dipertegaskan oleh kepengerusian ASEAN untuk ASEAN bergerak ke hadapan selepas ini?
JAWAPAN:
Benar, saya ingat ASEAN, sebelum ini, saya tidak mengatakan ini ikhtiar saya, tapi sebelum inipun tidak terlalu menekankan tentang isu neutrality, sebab itu diubah dengan menyebut centrality. Neutral ni maknanya seolah-olah tidak memihak sama sekali, tapi centrality ni maknanya masih terus mengadakan hubungan dan interaksi dan di samping itu masih boleh berusaha. Non-interference ini tidak bermakna tidak boleh engage ataupun berunding, sebab itu dalam soal Myanmar, saya minta kebenaran, persetujuan rakan-rakan saya, pemimpin ASEAN untuk memberi ruang kepada saya berbincang bersama Menteri Luar dengan pemimpin-pemimpin Myanmar. Ini tidak dilakukan sebelumnya, kalau dilakukan, tidak dengan kesepakatan ASEAN.
Jadi, bila saya tekankan hal sedemikian, kemudian melaporkan kepada mereka, nampak mereka beri dukungan. Tetapi kita masih terikat dengan Five Point Consensus, maknanya mesti bebas, mesti menghormati hak semua dalam pemilihan pilihanraya dan juga tidak meneruskan agenda ketenteraan serangan terhadap negara, kawasan-kawasan minoriti, tapi saya bersyukur kalau dalam soal Myanmar sekurang-kurangnya kita berjaya menghentikan tekanan terhadap beberapa wilayah termasuk Rakhine yang melibatkan umat Islam Rohingya.
Saya setuju, dia mesti constructive engagement dalam erti kata kita mesti mengekalkan cara kaedah ini. Sebab itu, bila berlaku umpamanya Thailand – Kemboja, kita terus mengambil inisiatif menghubungi mereka dan mereka menyambut dan kita mengajak mereka datang ke Kuala Lumpur dan ada persetujuan.
Tetapi saya tidak katakan ini hanya ikhtiar Malaysia kerana semua negara ASEAN, ada beberapa negara yang juga menghubungi kedua-dua negara ini, dan termasuk juga Presiden Donald Trump — tetapi akhirnya rundingannya itu di sini dan kita sebagai moderator dalam sidang itu yang melibatkan angkatan bersenjata, Panglima Angkatan Tentera, melibatkan Menteri Luar dan pegawai-pegawai yang berkenaan. Tapi bukan semua masalah diselesaikan. Saya katakan tadi, kekurangan dari segi perdagangan antara negara-negara ASEAN masih lagi, pengedaran dadah meluas di beberapa kawasan dan scammer yang juga melibatkan rakyat Malaysia. Dan saya percaya dalam sidang Menteri Luar sebelum ini dan ketua-ketua negara ASEAN, kita masih akan menekankan hal ini bahawa pengedaran dadah mesti dihentikan, soal scammer yang berlaku di beberapa kawasan sempadan di rantau ASEAN ini mesti juga dihalang kerana ia akan membebankan ramai rakyat. Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 2:
YB TUAN SYED SADDIQ BIN SYED ABDUL RAHMAN [ MUAR ]
Terima kasih Tan Sri, tahniah kepada YAB Perdana Menteri kerana tercatat dan merekod di antara pemimpin pertama yang dapat menghimpunkan kedua-dua kuasa besar Presiden Xi Jinping dan Donald Trump di Malaysia di masa ketegangan perang tarif, I think that’s an exceptional feat dan penghormatan yang besar bagi Malaysia yang meletakkan kita dalam kedudukan middle power yang sangat unik. Persoalan susulan saya, tamatnya kepengerusian ASEAN ini, which is one of the most impeccable ASEAN chairmanship, persoalan saya what are the measurable outcomes yang telah berjaya kita capai dan apakah harapan yang YAB Perdana Menteri selepas kita tamat kepengerusian ini, bagaimana… in you own personal reputation dengan pimpinan utama Blok Barat dan juga Blok Timur Tengah supaya kedudukan Malaysia sebagai middle power ini tidak hilang apabila kita tidak lagi menduduki jawatan kepengerusian ASEAN. Terima kasih.
JAWAPAN:
Terima kasih Muar. Sebenarnya memang suatu hal yang agak rumit kita kendalikan terutama dengan kehadiran Amerika, Rusia, China dan negara yang nampak ada hubungan yang agak tegang. China akan diwakili Premier Li Qiang kerana Presiden China baru lagi ke Malaysia tetapi dalam jadual lawatan Presiden Trump yang datang agak awal sedikit, dia akan hanya datang dan ada bilateral dengan saya dan Malaysia, kemudian mesyuarat khas dengan ASEAN dan esoknya dia pulang. Jadi, pertemuan-pertemuan lain itu setakat yang saya lihat jadual Amerika Syarikat, tidak masuk. Tetapi, sekurang-kurangnya dia lihat bahawa Malaysia ini dengan dasar centrality, satu-satunya negara yang boleh mengumpulkan dengan negara yang agak berlainan pandangan dan kita terima mereka itu bukan kerana ASEAN saja, tetapi kerana dasar luar kita juga yang memilih untuk bersahabat dengan semua untuk menjaga kepentingan rakyat Malaysia dari segi perdagangan, dari segi hubungan antarabangsa, dari segi geopolitik dan dari segi investment yang membawa faedah kepada rakyat.
Berikutnya, apakah keupayaan kita? Jaringan kerjasama ini agak mantapnya. Presiden Turki, umpamanya, mohon supaya kalau boleh Turki itu masuk sebagai dialog partner ASEAN dan kita tentunya menyokong dan Menteri Luar akan bawa usul ini, sebagai contoh ya. Dan GCC itu, negara-negara teluk, itu mengadakan sidang hanya di Malaysia, mereka belum menetapkan sidang berikutnya, GCC ASEAN. Tetapi jaringan itu telah kita mantapkan dan hubungan kita dengan beberapa negara teluk juga baik, tetapi kita tidak terikat begitu. Sebab itu, Malaysia adalah satu-satunya negara ASEAN yang masih berurusan dengan Iran, walaupun tidak dipersetujui oleh banyak negara lain. Bagi kita, hubungan kita dengan Iran kita teruskan. Presiden Syria juga, dan Presiden Iran dua-dua kali bercakap dengan saya dan minta supaya ditingkatkan.
Jadi, hubungan kita dengan beberapa negara itu tidak menghalang kita untuk mengambil keputusan yang agak bebas. Apakah kemungkinan kita dapat teruskan peranan seperti yang berlaku pengerusi ASEAN, tentunya tidak, kerana status itu kita terima perubahannya, tetapi hubungan Malaysia dan hubungan antarabangsa, baik dengan Arab, Asia, Amerika, Eropah, Rusia masih baik, umpamanya dengan Presiden Putin itu hubungan langsung dengan kita, walaupun tidak disenangi oleh banyak negara Eropah dengan EU.
Kebelakangan ini, mereka telah percepatkan proses rundingan trade yang terhalang sekian lama, mereka mahu percepatkan untuk selesaikan di akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan. Dengan Afrika, dengan Latin Amerika, dulu bawah mantan Perdana Menteri Tun Mahathir memberi tumpuan kepada Afrika tapi ia ketinggalan sekian lama, kita tingkatkan semula. Sebab itu, kita lihat umpamanya beberapa negara Eropah termasuk Guinea-Bissau, Ethiopia dan Selatan Afrika sudah ke Malaysia dan bila ada mesyuarat G20 di Selatan Afrika, saya akan ambil kesempatan untuk juga melawat 1-2 negara Afrika untuk meletakkan peta dan kepentingan Malaysia di Afrika selain di Latin Amerika kerana Presiden Lula itu adalah antara sahabat dan rakan baik kita.
SOALAN TAMBAHAN 3:
DATO’ SRI TUAN IBHARIM BIN TUAN MAN [ KUBANG KERIAN ]
Terima kasih. Pertama sekali kita harapkan insya-Allah persidangan ini akan membuahkan natijah yang baik. Saya ada dua persoalan, yang pertama sekali yang dibangkitkan tadi adalah soal keselamatan sempadan. Isu besar kalau kita lihat pada 17 Oktober baru-baru ini pun adalah satu tragedi berlaku di mana sebuah kapal tinjau milik Petronas dikepung dan dihalau oleh 100 buah bot nelayan. Dan kita punya masalah persempadanan ini hampir semua dengan negara-negara rantau ASEAN. Pertanyaan saya, apakah Kerajaan berhasrat untuk menubuhkan satu suruhanjaya tetap persempadanan negara-negara ASEAN? Supaya isu-isu persempadanan ini, dia bukan saja mengganggu, tetapi dia boleh mencetuskan suasana yang tidak selamat di rantau ASEAN. Kalau kita boleh wujudkan satu suruhanjaya tetap persempadanan, saya fikir mungkin boleh mengatasi pelbagai masalah yang berlaku, termasuk isu Ambalat dan sebagainya.
Yang keduanya adalah tentang situasi geopolitik rantau ini keadaan yang sangat tidak menentu. Apakah pihak Kerajaan tidak bercadang untuk wujudkan satu sistem pertahanan bersama ASEAN supaya rantau ini bukan saja selamat di kalangan kita tapi tidak diganggu oleh pihak-pihak luar khususnya kuasa-kuasa besar kalau boleh dilihat pada aspek tersebut iaitu sistem pertahanan bersama rantau ASEAN.
JAWAPAN:
Terima kasih Kubang Kerian, dua cadangan yang tentunya baik dan patut diberi perhatian oleh Kerajaan. Peringkat sekarang ini, kita tidak meneruskan dengan suruhanjaya sempadan tetapi kerjasama kita dan perbincangan dengan negeri-negeri jiran itu tentunya menyentuh soal sempadan secara besar, sama ada Thailand ataupun Vietnam dari segi perairan, Singapura, Brunei walaupun ada beberapa kejayaan, masih ada sedikit kawasan yang belum termeterai, dan Indonesia. Saya ambil perhatian apa yang disebut oleh Kubang Kerian tentang gangguan kepada Petronas tetapi tidak sampai ke satu tahap di mana kita harus berhubungi dengan Presiden Prabowo. Kerana umumnya hubungan dengan Indonesia itu baik dan soal sempadan ini kita leraikan sebagai sahabat. Dan Petronas tentunya hanya cari gali di kawasan yang memang tetap milik kita dan tidak menceroboh di kawasan lain. Ada kes-kes pencerobohan nelayan sama ada di Malaysia ke di Indonesia, atau Indonesia ke Malaysia, itu kita cubalah leraikan dengan baik. Perundingan dah dicapai tapi ada beberapa yang masih belum dimuktamadkan termasuk Ambalat seperti yang disebut oleh Kubang Kerian sebentar tadi.
Apakah ada keperluan setiap pertahanan? Memang umumnya kita setuju sebab kita ni centrality. Kita tidak mahu kuasa besar menangguh dari keruh dan kemudian melanggar kedaulatan kita. Cuma belum sampai ke situ. Kerjasama beberapa negara, kita dengan Singapura, kita dengan Indonesia, dengan Thailand, itu memang agak meningkat tetapi tentunya agak terlalu awal untuk mencapai kesepakatan daripada kerjasama sempadan ala NATO yang juga menjadi isu kontroversi sekarang.
Tetapi dua cadangan ini saya percaya rakan-rakan Kementerian Luar akan ambil perhatian.
