VERBATIM : WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KELIMA BELAS

30 Oktober 2025

LAPORAN VERBATIM

 

WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT

PARLIMEN KELIMA BELAS

  

PERTANYAAN    :   WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

TARIKH             :     30 OKTOBER 2025 (KHAMIS)

 

 

SOALAN 2: DATUK ISKANDAR DZULKARNAIN BIN ABDUL KHALID         [ KUALA KANGSAR ]

 

Minta PERDANA MENTERI apakah kemajuan Kerajaan MADANI dalam menangani isu kemiskinan tegar dan kemiskinan secara keseluruhan.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

Terima kasih, Kuala Kangsar. Saya ingat dah habis tadi, saya nak kena ke Korea sekarang. Soal kemiskinan tegar, kemiskinan relatif memang dibangkitkan oleh ramai juga ahli-ahli Yang Berhormat termasuk Pagoh yang menyerang keras hal ini. Dalam semua kenyataan saya, saya nak noktahkan kemiskinan tegar. Kadang-kadang ahli-ahli Yang Berhormat, saya tengok, ‘mana ada dalam Islam kita batalkan kemiskinan?’ Dengar, baca betul-betul. Kita kadang-kadang kita buat macam ceramah ini biasa. Tak. Saya sebut yang mampu kita noktahkan tu kemiskinan tegar dan kita lakukan.

Sebab itu dalam Department of Statistics Malaysia (DOSM) Report, memang betul dibangkitkan bahawa ada kenaikan kemiskinan relatif yang disebut oleh Pagoh. Daripada 16.6% (2022) kepada 16.7%. Tapi yang tak disebut oleh Pagoh apa dia? Pada tahun 2022, angkanya RM6,338. Pada 2024, angkanya RM7,017. Jadi angka itu relatif kepada paras yang ditentukan oleh DOSM masa itu.

Sebab itu kita juga lihat umpamanya Household Income Survey, Survei Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas Isi Rumah tentang pendapatan yang juga dilakukan oleh DOSM. Saya nak terangkan tentang kemiskinan tegar, umpamanya. Ya, masih ada. Tetapi umpamanya, sejak tahun ini, jumlah kemiskinan tegar dari survei yang dilakukan, perfect? Tidak. Macam saya beritahu dulu, saya pergi jumpa pegawai jajahan Machang dengan Kuala Krai kalau tak silap saya, mereka menyebut kemungkinan ada senarai tak dimasukkan. Itu luar daripada keupayaan saya.

Dari senarai yang dimasukkan itu, kalau tinggal 0.09%, itu kemiskinan tegar. Itu umpamanya angka awal tahun. Sekarang yang jumlah yang senarai itu semua diselesaikan, bukan oleh Kerajaan Persekutuan sahaja, ada kerjasama kerajaan negeri, ada kerjasama Majlis Agama Islam Negeri termasuk negeri-negeri yang saya sebutkan tadi. Kelantan, Kedah bagi kerjasama untuk mengenal pasti, kerana saya minta Menteri Besar, kita clearkan yang ini dulu. Baik, tahun depan mungkin ada angka baru. Itu tentang kemiskinan tegar. Jadi, itu yang saya sebut tadi 0.09%.

Dari data e-Kasih, bilangan isi rumah miskin tegar telah berkurangan dan kita ada keupayaan menyelesaikannya. Apa langkah-langkah yang kita ambil? Kita ambil langkah ialah penambahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang RM15 bilion itu mengambil kira pendapatan golongan miskin. Berapa kita bagi? RM15 bilion tahun ini, Tan Sri Yang di-Pertua. Ini termasuk, umpamanya, inisiatif Payung Rahmah, pada tahun 2026, peruntukannya RM600 juta. Ini keadaan kita untuk mengurangkan kesenjangan kerana Payung Rahmah, Jabatan Kebajikan Masyarakat. Itu Kebajikan Masyarakat 560 ribu isi rumah itu yang dianggap kategori miskin. Berapa tambahan dia? RM31 bilion. Jadi kita ambil STR, kita ambil SARA, kita ambil Jabatan Kebajikan Masyarakat, itu sudah bercecah RM20 bilion.

Jadi, ini sekali lagi saya tegaskan Kuala Kangsar ya, untuk mengurangkan kesenjangan yang kian melebar di antara golongan kaya dan miskin. Umpamanya gaji minimum. Sebab apa kita naikkan gaji minimum dua kali? Dari RM1,200 dulunya, naik RM1,500, naik RM1,700? Itu untuk mengurangkan yang kata miskin relatif tadi yang disebut dalam laporan DOSM.

Dan selain itu, kenaikan gaji penjawat awam. Kerana penjawat awam yang kategori rendah ini masuk dalam kategori miskin, dia tidak miskin tegar, tetapi miskin. Jadi bila kita naikkan 25%–30% yang kategori terbawah, ia boleh melepasi atau mengurangkan kesenjangan, itu yang kita lakukan. Dan saya harap ada upaya lagi untuk meningkatkan sebaik sahaja keadaan ekonomi lebih meyakinkan.

 

SOALAN TAMBAHAN 1 BAGI SOALAN 2

 

Yang Amat Berhormat, soalan tambahan saya, apakah status penggunaan SARA RM100 yang telah dimanfaatkan oleh rakyat sehingga kini dan saya juga dapati terdapat rakyat di luar bandar yang meminta supaya SARA boleh dibelanjakan di kedai-kedai kecil luar bandar. Bagaimana Kerajaan menangani isu ini supaya rakyat di luar bandar boleh membelanjakan SARA RM100 dengan lebih mudah.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

YB Kuala Kangsar asyik tanya soalan susah-susah ya (nada berseloroh). Baik, dia setakat ini 80 peratus lebih telah mengambil, ada 20 peratus yang belum terutama di kalangan golongan kaya termasuk saya harap Menteri-Menteri, Ahli-Ahli Parlimen jangan ambillah. Supaya wang itu boleh dikembalikan kepada rakyat miskin mulai tahun 2026.

Tapi kalau kita ambil dan bagi kepada jiran atau keluarga yang miskin itu saya ingat baik. Bagaimana kita agihkan? Sekarang ini sudah 2,000 kedai-kedai kecil yang dapat manfaat kerana melalui SARA ini kita dapat juga kembangkan kedai-kedai kecil di kampung, daerah-daerah kecil. Itu sebab daripada sekitar 180 sekarang sudah 2,000 lebih kedai-kedai kecil yang boleh digunakan untuk menjana perniagaan mereka melalui SARA. Dan SARA kita tahu tahun ini bermula, tahun 2026 kita akan teruskan dan saya yakin, kalau keadaan baik saya rasa SARA ini di antara program yang disenangi rakyat kerana mereka boleh beli keperluan mereka dan memenuhi keperluan keluarga.

 

SOALAN TAMBAHAN 2 BAGI SOALAN 2: YB TUAN ROY ANGAU ANAK GINGKOI [ LUBOK ANTU ]

 

Terima kasih Tan Sri Speaker,

Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang prihatin dan ketegasan mengenai isu kemiskinan. Soalan saya, apakah langkah-langkah dan usaha yang diambil oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah dan Sarawak terutama pada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman, yang ceruk pedalaman dan juga saya ingin mengetahui status padu sehingga kini sejak dari tarikh pelancarannya pada tahun 2024. Terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Terima kasih, Lubok Antu.

 

Seperti mana kita tahu jumlah kemiskinan di beberapa negeri itu lebih tinggi ketimbang negeri-negeri yang lebih maju di Pantai Barat. Sebab itu kalau kita lihat program Sumbangan Tunai Rahmah (STR), program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) itu lebih banyak ke negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan, Kedah. Itu yang paling tinggi mendapat peluang itu. ini kerana insiden kemiskinan tinggi umpamanya di Sabah, di Kelantan, yang tinggi sikit, Kedah. Ini yang daripada angka Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jadi, saya juga bekerjasama baik dengan Kerajaan-kerajaan Negeri. Beberapa kali bincang dengan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah untuk meningkatkan beberapa kegiatan yang diperlukan. Kerana beberapa pendekatan di Sabah dan Sarawak itu agak lain. Kerana mereka melibatkan kadang-kadang kawasan Rumah Panjang.

Jadi, kemudahan itu tidak semestinya disampaikan kepada Ketua Isi Keluarga seperti mana yang dilakukan di sini. Dan insya-Allah kita akan terus berusaha untuk memperbaiki pendekatan supaya lebih berkesan terutama bagi negeri-negeri di mana kawasannya agak pedalaman seperti Sabah Sarawak atau hulu Kelantan, hulu Pahang dan sebagainya.

 

SOALAN TAMBAHAN 3 BAGI SOALAN 2 : YB TUAN HAJI ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN [KUALA KRAI]

 

Tahniah YAB Perdana Menteri atas azam dan tekad untuk membasmi kemiskinan tegar ini. Cuma, kejayaan membasmi kemiskinan tegar adalah bukan sekadar berapa ramai yang dibantu, tetapi berapa ramai yang berjaya keluar daripada kemiskinan.

Mungkin terdapat kes dengan menambah pendapatan isi rumah melalui bantuan daripada agensi supaya dapat dikeluarkan daripada kemiskinan, yang menatijahkan sifar miskin tegar. Saya bimbang ianya bersifat sementara kerana pendapatan isi rumah akan berubah setiap bulan berdasarkan pekerjaan dan keperluan semasa mereka.

Oleh itu, adakah terdapat indikator baharu yang digunakan oleh kerajaan dalam mengukur kejayaan keluar daripada kemiskinan, memandangkan ukuran pendapatan semata-mata tidak lagi mencerminkan kualiti hidup sebenar rakyat? Saya juga ingin tahu strategi jangka panjang pihak kerajaan bagi memastikan golongan yang telah keluar daripada kemiskinan tidak kembali kepada kemiskinan dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.

Dan bagaimana Big Data, khususnya PADU, digunakan untuk menjejak dan menilai keberkesanan program membasmi kemiskinan agar bantuan tidak bertindih, dan bantuan boleh difokuskan kepada isu lain?

Terima kasih, Tan Sri.

 

Jawapan YAB Perdana Menteri:

Terima kasih, Kuala Krai. Sebenarnya kenyataan itu tepat. Apa dia masalahnya? Masalahnya ialah walaupun tahun ini dilepaskan, tetapi kita lihat ada daripada angka yang diteliti oleh ICU, keluarga yang sama itu kemudian jatuh balik menjadi miskin.

Sebab itu, selain daripada bantuan bulanan seperti yang dilakukan sekarang untuk melepaskan mereka daripada keadaan kemiskinan, ada diusulkan ditambah pendekatan baharu, termasuk seperti yang dilakukan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Amanah Ikhtiar dan TEKUN memberikan dana sama ada pinjaman ataupun bantuan supaya mereka dapat menjana kegiatan ekonomi.

Apakah ada indikator baharu? Setakat ini yang diusulkan ialah kalau ada umpamanya satu program kita melalui MyKAD umpamanya, dan kita senaraikan semua peruntukan kerajaan, termasuk kerajaan-kerajaan Negeri yang juga mengadakan inisiatif melalui zakat dan beberapa program lain. Itu dimasukkan dalam satu portal. Jadi, kita tahu berapa jumlah yang keluarga itu dapat.

Saya ingat betul dalam satu kajian khusus di Sentul, apa yang diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan tidak dimasukkan pada peringkat awal peruntukan daripada zakat dan bantuan-bantuan lain di Wilayah Persekutuan. Jadi, itu kita seragamkan sekarang supaya kita tahu berapa jumlah dapat.

Tapi saya ingat yang penting ditekankan oleh Kuala Krai ialah langkah supaya bantuan ini memastikan kegiatan ekonomi oleh keluarga, supaya mereka dapat lepas daripada kategori kemiskinan tegar. Rakan-rakan di jabatan memang meneliti ini.

Setakat ini, cadangannya ialah meningkatkan program melalui AIM dan beberapa program pinjaman kecil seperti yang dilakukan melalui TEKUN. Namun, saya setuju harus ada langkah-langkah tambahan, kalau tidak kita akan terjebak dengan masalah kemiskinan berterusan daripada kelompok yang sama.

 

Share: