VERBATIM: WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KELIMA BELAS

13 November 2025

LAPORAN VERBATIM

WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT

PARLIMEN KELIMA BELAS

PERTANYAAN    :   WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI 

TARIKH             :     13 NOVEMBER 2025 (KHAMIS)

 

 

SOALAN 1: DATO’ INDERA MOHD SHAHAR BIN ABDULLAH     [ PAYA BESAR ]

Minta PERDANA MENTERI menyatakan rasional keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40% hasil dan sebaliknya merayu atas alasan kecacatan dalam isu yang lain. Apakah implikasi keputusan Kerajaan Persekutuan tersebut.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Terima kasih Paya Besar, kerana isu ini saya percaya bukan sahaja diikuti secara dekat oleh rakyat Sabah, tetapi juga seluruh negara Malaysia.

Kerajaan Pesekutuan tentunya terikat dengan Perlembagaan dan Perjanjian, dan menghormati proses perundangan. Sebab itu kita menunggu sehingga 11 November untuk mengadakan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri dan mendengar taklimat penuh dari Peguam Negara serta penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait Pemberian Khas kepada Sabah.

Setelah penelitian dan mengambil kira semua pertimbangan, Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil kerana ini juga termaktub dalam Peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, hari ini Perbendaharaan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri meminta supaya rundingan dimulakan segera. Jadi supaya tidak ada lagi penangguhan.

Jadi saya nak jelaskan, sebelum saya rujuk kepada bahagian kedua, supaya mengelakkan kekeliruan. Ada yang menafsirkan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menfailkan rayuan itu akan juga mengungkit isu pertama.

Saya jelaskan sekali lagi, tidak ada rayuan dalam isu pemberian khas, noktah.

Yang dibangkitkan sekarang ialah apa yang kita maksudkan kekhilafan dalam penghakiman, selain daripada yang perkara pertama tadi, iaitu kerana alasan penghakiman ini pada fahaman kita itu banyak yang terlanjur yang bukan dalam bidang perundangan.

Umpamanya, Alasan Penghakiman antaranya mendakwa Kajian Semula Pemberian Khas Sabah yang dibuat selepas 2021, menyalahi undang-undang dan tidak rasional. Malah mengaitkan kesilapan besar yang dibuat oleh kerajaan sejak 1974. Ini bermakna Kerajaan Persekutuan di bawah almarhum Tun Abdul Razak, almarhum Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir, sehingga sekarang, Kerajaan Negeri di bawah Tun Dato’ Mustafa, Tun Fuad Stephens, sehingga sekarang, ahli-ahli Parlimen yang terlibat dalam kerajaan dahulu, sejak 1974 sehingga sekarang semuanya diputuskan sebagai terlanjur, (“illegal, irrational, procedurally improper, and/or disproportionate“) dan mengabaikan tanggungjawab kepada negeri Sabah.

Ini satu keputusan yang sangat serius dan sebab itu saya harap ahli-ahli Parlimen semuanya membaca alasan penghakiman. Kerana ini berbeda, saya tekankan. Saya tidak mahu ini jadi polemik politik dalam soal 40 peratus, kerana itu tidak dirayu. Tetapi kenyataan-kenyataan yang kita anggap tidak selaras dan tidak tepat, harus dirayu. Kalau tidak, tanpa rayuan ini bermakna hukuman ke atas kerajaan di bawah pimpinan Tun Razak, Kerajaan Persekutuan, sejak 1974, semua anggota kerajaan dan Tun Dato’ Mustafa, Tun Fuad Stephens, sejak 1974 di Sabah semua Kerajaan, semua parti yang terlibat.

Jadi saya harap ini diikuti kerana pada hemat kita boleh kita teruskan rundingan, malah rundingan telah diadakan mungkin prosesnya boleh ditanya, dipersoal. Tetapi dalam pendapat kita, proses rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bagi Mengkaji Semula Pemberian Khas telah dilaksanakan, terutama setakat yang saya ingat, malah semasa Bera jadi Perdana Menteri sekalipun sudah dinaikkan, maknanya naik setelah berunding bukan naik unilateral. Tetapi saya tidak boleh menjawab secara terperinci selain daripada Kerajaan MADANI sekarang kerana peringkat teknikal seperti mana surat yang dihantar hari ini untuk memulakan, laporan itu akan dibawa ke jawatankuasa teknikal tertinggi yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Kedua, kemudian baru diangkat lagi kepada Mesyuarat MA63 yang saya pengerusikan bersama hadir anggota utamanya Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah. Bagi kita adalah sah dan selaras dengan peruntukan 112D di Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, sebab itu persetujuan Sabah menaikkan kadar pada tahun 2022, semasa Bera, 125.6 juta, dan sekarang bila kita teruskan dengan Pemberian Khas 600 juta, itu dipersetujui sebagai interim dan dipersetujui belum dimuktamad oleh kedua-dua, dalam konteks ini Sabah dan Sarawak. Dan ini platformnya ialah Mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPM63).

Itu yang diputuskan. Baik. Jadi untuk sekarang, kita tentu boleh menyegerakan, tapi yang dipertikai ini ialah bahawa keputusan menghukum Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, maknanya seluruh Ahli Parlimen dari 1974 dan Ahli Dewan Negeri di Sabah sejak itu.

Apa yang kita lakukan yang menyebabkan saya menjelaskan terkeluar daripada 40 peratus ini ya, soal hasil 10 bilion, perbelanjaan 17 bilion, itu tidak bermakna kita pertikai 40 peratus. Saya nak tunjukkan pandangan bahawa kita abaikan, itu tidak tepat kerana Sabah mendapat peruntukan tertinggi 17 bilion dan umpamanya.

Perjanjian MA63 menetapkan kawal selia bekalan elektrik mesti menjadi milik Sabah, maka kita sudah serahkan pada Januari 2024, tetapi walaupun dia jadi milik Sabah, kita masih tetap menyediakan 1.2 bilion ringgit, kerana keperluan elektrik Sabah.

Begitu juga 765 juta ringgit untuk Projek Talian Penghantaran Southern Link. Boleh dipertikaikan ini sebagai tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, tapi Kerajaan Persekutuan ada pilihan, ada keutamaan. Banyak negari-negari lain yang punya masalah.

Jadi, begitu juga dalam keputusan memasang solar hibrid MADANI untuk kampung-kampung seluruh Malaysia, kita mulakan di kampung-kampung di Sabah.

Bekalan air bersih 1 bilion telah disediakan. Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dibangunkan SKMM sepanjang 3,190 kilometer, kos 2 bilion dan Lebuhraya Pan Borneo.

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

Saya memilih menyebut ini nak membezakan di antara proses rundingan yang mesti diteruskan dalam kes yang pertama, iaitu 40 peratus yang dimulakan dan sekarang ditingkatkan dengan kenyataan pengabaian yang kita tidak boleh terima sama sekali ataupun keputusan yang mengatakan kita telah mengenepikan perlembagaan negara. Maknanya perlembagaan itu diketepikan. Satu keputusan yang mesti dirayu kerana kita mengharapkan ianya dibatalkan oleh Mahkamah dari sudut tuduhan keras kepada semua kerajaan sejak 1974.

 

SOALAN TAMBAHAN 1:

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua,

 

Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

 

Saya masih ingat pagi 11 November ketika Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjawab dalam sesi PMQT, bayangan telah dinyatakan pagi itu seolah-olahnya macam kerajaan akan membuat rayuan keseluruhan kepada keputusan 17 Oktober Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

 

Tetapi, apabila selepas Mesyuarat Khas berakhir, keluar kenyataan daripada Perdana Menteri, mengatakan kerajaan tidak membuat rayuan ke atas 40 peratus, saya ucapkan taniah dan syabas kepada kerajaan. Kerana ini sebenarnya menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa menjaga hak rakyat Sabah yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Tahniah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

 

Cumanya, saya teliti jawapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebentar tadi mengatakan pihak pemerintahan akan menghantar surat kepada negeri Sabah untuk memulakan rundingan 40 peratus hasil.  Namun, seperti mana yang kita ketahui ketika ini Sabah sedang dalam proses pilihan raya dan justeru itu, siapa sebenarnya Kerajaan Persekutuan berunding dalam tempoh ini dan yang keduanya, adakah rundingan yang dibuat nanti akan diputuskan melalui platform Mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPM63).

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Tan Sri Yang di-Pertua,

Terima kasih Paya Besar.

Memang betul. Bahawa kerajaan sekarang ini kerajaan sementara, interim ya, caretaker maaf. Tetapi, kita tidak mahu dianggap melengah-lengahkan proses yang telah berjalan, sekarang sekurang-kurangnya Ketua Setiausaha Perbendaharaan menulis Setiausaha Kerajaan Negeri mengatakan boleh mula berunding soal-soal teknikal, termasuk apa yang disebut dalam penghakiman. Kemudian dalam Jawatankuasa Teknikal tentunya dibincangkan bahawa untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri tentunya tunggu sehingga selesai pilihan raya dan kerajaan baru dibentuk.

Tapi saya tidak fikir ia menghalang perbincangan teknikal terlebih dahulu untuk memudahkan perundingan. Sebab itu saya terima kasih Paya Besar kerana menekankan perbedaan di antara dua isu ini. Ada orang cuba kaitkan, tapi tidak tepat sama sekali.

Apakah kerajaan boleh berdiam bila dikatakan kita telah bertindak unconstitutional sejak 1974? Satu. Apakah boleh kita diam dan tidak membatalkan Expunged rekod yang menyatakan “illegal, irrational, procedurally improper or disproportionate”. Ini belum pernah berlaku dalam keputusan mahkamah sebegitu keras dan melibatkan seluruh perubahan kerajaan sejak dahulu.

Tanggungjawab kita, ini akhir, adalah sebagai satu negara menjaga hubungan baik antara negeri dan persekutuan. Dan kalau ada kegelisahan yang munasabah, kita harus dengar dan cuba selesaikan.

Ada pihak yang lebih rasional yang sedia mengatur rundingan. Sebab itu kalau menjawab, rundingan itu boleh diadakan bila hubungan itu baik. Dan kalau boleh saya sambung, cari Kerajaan Negeri yang ambil sikap yang agak lebih positif. Jadi rundingan itu lebih baik dan lebih cepat. Kalau ambil sikap bermusuh seolah-olah Kerajaan Persekutuan tidak lakukan apa-apa. Jadi kita tunjukkan projek-projek, kita dah serah kepada negeri macam elektrik masih kita bagi 1.2 bilion. 2 bilion itu tidak termasuk dalam belanjawan awal, tapi saya sebut gunakan wang MCMC iaitu SKMM itu kita lakukan.

Jadi saya harap semangat kesatuan perpaduan ini dijaga, kerana kalau kita tiupkan isu menghasut, isu perkauman sempit ini, dia akan merugikan. Yang untung, hanya kepala-kepala di atas, rakyat bertempur tanpa air, tanpa elektrik dan jalan berlubang.

 

SOALAN TAMBAHAN 2: YB DATUK SERI TAKIYUDDIN BIN HASSAN [ KOTA BHARU ]

Terima kasih Tan Sri Yang DiPertua,

Terima kasih YAB Perdana Menteri yang memberikan jawapan.

Saya kira soalan daripada Yang Berhormat Paya Besar, sahabat saya ini cukup relevan kerana ianya menimbulkan sedikit kekeliruan terutamanya apabila keluarnya Kenyataan Media daripada Jabatan Peguam Negara yang bertarikh 11 November baru-baru ini, yang menceritakan tentang keputusan mesyuarat khas Jemaah Menteri pada 11 November dan sebagainya, dan di akhir kenyataan ini disebut, saya mohon izin untuk baca:

“Selain itu, Alasan Penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.”

Ini penting.

Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.”

Ini yang menimbulkan kekeliruan. Yang saya faham dalam undang-undang, apabila satu-satu parti, satu-satu pihak, satu-satu pihak yang tidak berpuas hati membuat rayuan, rayuannya hanyalah terhadap judgment or order. Never appeal on the ground of judgment. Ini Alasan Penghakiman adalah alasan hakim sehingga dia mencapai satu keputusan, sama ada keputusan dia betul atau tak betul, itu boleh dirayu, tapi bukan terhadap Alasan Penghakiman. Jadi ini yang rakyat nak tahu, pendirian Peguam Negara mungkin yang telah menasihatkan kerajaan. Itu satu.

 

Yang keduanya, soalan saya Yang Berhormat Tan Sri, saya mohon Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan juga menjelaskan kepada Dewan ini, apakah hasil 40 peratus yang telah dikatakan perlu diberikan kepada Negeri Sabah ini mempunyai hubungan silang dengan peruntukan lain yang diterima oleh Sabah atau merupakan dua perkara yang sama sekali berbeza dan tidak berkait. Yang patut diterima oleh Sabah satu, yang 40 peratus ini satu yang lain. Adakah itu maksudnya?

 

Dan yang keduanya, sebagai Menteri Kewangan, saya nak tahu apakah takrif hasil bersih yang menjadi hak sabah ini? Bagaimana formula pengiraannya? Apakah mekanisme audit dan perkongsian data yang dicadangkan? Dan yang penting juga ialah bagaimanakah pelaksanaan penghakiman ini memberikan kesan kewangan kepada Kerajaan Persekutuan dan juga hubungan kewangan antara Persekutuan dan hubungan kewangan antara Persekutuan dengan negeri-negeri. Kesan daripada pelaksanaan ini. Terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua dan YB Kota Bharu,

Saya rasa boleh sentuh secara umum.  Umpamanya kenyataan Jabatan Peguam Negara pada 11 November tidak ada percanggahan, sebab kita nak asingkan keputusan kerajaan menghormati semangat perlembagaan dan penghakiman bersabit 40 peratus.

Tetapi kenyataan bukan sahaja Alasan Penghakiman, hukuman terhadap kerajaan-kerajaan sejak tahun 2004, yang disebut itu “irrational” 2021, itu termasuk semasa YB Kota Bharu Menteri Undang-Undang.

Kita kena ingat ini serius. Apakah YB Kota Bharu nak terima tuduhan itu? Kita rasa tak sesuai kerana dalam menjalankan tugas rasmi kerajaan, apalagi bila disebut tentang “unconstitutional” sejak 1974, sebahagian daripada keputusan yang dikaitkan dalam penghakiman.

Jadi, alasan dan juga substantive order itu kita rasa perlu dirayu dan beberapa rekod itu harus di-expunge kerana dia… yalah kita rasa tak adil, tak tepat kerana menghukum semua kerajaan-kerajaan, itu satu perkara yang dikaitkan.

Yang keduanya ialah tentang apakah berasingan. Setakat ini kalau ikut tafsirannya dikatanya berasingan, tetapi dalam merangka belanjawan, ada yang peruntukan tetap. Jadual persekutuan, negeri dan concurrent dan tanggungjawab itu begitu. Tetapi yang kita lakukan ini banyak yang lebih daripada itu.

Saya sebut tadi elektrik, saya sebut Pan Borneo, saya sebut tentang saluran yang SKMM lakukan. Itu sudah, situ sahaja sudah 7-8 bilion ringgit.

Jadi kalau memikirkan keperluan 40 peratus, tentunya kita kena lihat belanjawan secara keseluruhannya, jadi sebab itu rundingan itu penting.

Jadi supaya Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terima ini bawah schedule negeri atau ini bawah tanggungjawab persekutuan. Jadi bila ini diputuskan, kita boleh kira bagaimana kelebihan 40 peratus.

Tapi tentunya kita setuju pada prinsipnya daripada 26 juta naik 150 juta, dalam 2 tahun saya naik 600 juta. Maknanya bagi saya, bagi kerajaan sekarang, ada munasabahnya untuk meningkatkan seperti mana yang dijanjikan dalam Perjanjian Penubuhan Sabah bersama Malaysia.

Baik, bagaimana takrif hasil? Setakat yang disediakan oleh Kementerian Kewangan, dia tentunya masuk cukai langsung, cukai tak langsung, hasil bukan cukai dan hasil petroleum. Itu sebahagian daripadanya.

Ada orang anggap hasil petroleum 5 peratus untuk negeri, 95 peratus pada kerajaan. Tak betul. Perkiraan itu tak tepat kerana ada pelaburannya, ada hutangnya, ada joint venture PETRONAS nya. Tapi kita terbuka untuk membuka maklumat untuk rundingan.

Berapa cukai langsung? Umpamanya, tahun 2024, 58 bilion. Cukai tidak langsung? 1.5 bilion. Itu semua dimasukkan. Baik. Perbelanjaan yang ditanya juga, ada kita sediakan. Umpamanya, perbelanjaan yang disebut 17 bilion itu, dia dari mana? Itu penambahan.

Kalau tahun 2021, kalau Yang Berhormat ingat, 12 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah. Tahun 2025, 17.3 bilion dan untuk tahun 2026, 17.6 bilion ringgit iaitu seperti yang saya jelaskan, yang tertinggi.

Ini termasuk mengurus agensi persekutuan, pembangunan, Pemberian Khas kepada negeri dan tambahan sepertimana yang saya senaraikan sebentar tadi. Itu 17.5 bilion.

Jadi apakah takrif hasil bersih itu masih dalam perundingan, tapi saya setuju dengan pandangan Sabah bahawa 40 peratus itu mesti daripada hasil. Jadi ini tak diambil kira tentang tanggungjawab langsung kerajaan.

Tapi saya nak bezakan ya. Tanggungjawab tu boleh jadi 10, boleh jadi 14, terpulang kepada semangat rundingan di antara negeri dan persekutuan, cara baik dan semangat muafakat.

 

 

 

Share: