TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 24 FEBRUARI 2026 SOALAN 2 DAN SOALAN-SOALAN TAMBAHAN

24 Februari 2026

TEKS VERBATIM

YAB PERDANA MENTERI

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA,

PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS

 

 

PERTANYAAN       :       WAKTU PERTANYAAN –  PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

DARIPADA             :        YB DATO’ RASOL BIN WAHID  [HULU TERENGGANU]

 

TARIKH                   :       24 FEBRUARI 2026 (SELASA)

 

 

SOALAN

Minta PERDANA MENTERI menyatakan pendirian rasmi Kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang mengisytiharkan tarif yang diperkenalkan oleh Donald Trump sebagai tidak sah dan apakah implikasinya terhadap hubungan perdagangan Malaysia – Amerika Syarikat.

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Terima kasih Hulu Tengganu. Seperti yang kita tahu, keputusan itu masih awal, itu 20 Februari yang lalu. Ini satu keputusan yang agak serius, yang harus diberikan perhatian. Kerana Mahkamah Agung Amerika Syarikat telah menyatakan bahawa pengenaan tarif timbal balas di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (International Emergency Economic Powers Act – IEEPA) oleh Presiden AS adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Jadi tentunya bagi negara yang mengikuti, bukan sahaja Malaysia, tapi semua negara-negara sedang memantau dari dekat. Cuma kita harus ambil perhatian, iaitu perjanjian ini dengan Malaysia dan Amerika masih belum berkuat kuasa, kerana proses ratifikasi itu kalau dalam undang-undang yang sedia ada, perjanjian yang sedia ada, dia tertakluk pada proses ratifikasi dan sehingga semalam Amerika belum mencadangkan tarikh untuk ratifikasi, jadi masih tertangguh di situ, tetapi kita juga mengambil kira apa implikasi dan kesan sepertimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat.

Tapi sebagaimana kita tahu, perintah eksekutif ini kesan sementara bagi Malaysia itu baik, kerana dia turun ke 10% daripada 19% yang dahulunya. Yang kedua, ini pun, maknanya dia tinggal 15% daripada 19 turun. Jadi, tinggal 15% daripada 19 ini di peringkat awal. Tapi ini berkuatkuasa hanya 150 hari. Jadi, apakah kita tunggu sehingga selesai? Tapi kita sentiasa pantau. Dan kita juga tahu bahawa Amerika Syarikat, Presidennya yang mungkin menggunakan seksian 122 IEEPA ini. Jadi, kita belum tahu. Kemudian, apakah Kongres Amerika Syarikat akan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Agung atau berbeda pendapat, itu pun masih belum dipastikan. Jadi, Perintah Eksekutif tentang tarif global baru ini, bagi saya, harus dipantau dari dekat dan melihat dari segi kepentingan ekonomi Malaysia.

Dari sudut perdagangan, kita terus di peringkat sekarang, kerana apa yang dikenakan sebelumnya itu tidak kepada syarikat Malaysia. Syarikat Amerika yang melabur. Jadi, yang dikenakan itu melibatkan syarikat mereka.

Tetapi setakat ini, seperti mana saya tegaskan, yang bermakna kita hanya mungkin pantau, tapi kita tidak mahu dalam keadaan sekarang ambil keputusan yang gopoh, yang mungkin menjejaskan kepentingan perdagangan kita, kerana eksport Malaysia ke AS adalah RM233.1 bilion, ini terlalu tinggi, dan perdagangan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat itu berjumlah RM367.5 bilion.

Jadi, kita kena lihat kepentingan umum. Walau bagaimanapun, saya setuju gesaan kita harus pantau dari dekat apa kesannya, apa tindakan susulan oleh Presiden, apakah ada lagi peruntukan-peruntukan yang akan digunakan untuk mengelak daripada penafsiran Mahkamah Agung dan bagaimana pendirian Kongres dalam masa terdekat.

 

 

SOALAN TAMBAHAN BAGI SOALAN 2

Terima kasih Yang Di-Pertua,

Semua mengetahui bahawa saya bersama 5 orang Ahli Yang Berhormat Pembangkang: Masjid Tanah, Pendang, Rompin dan juga Grik, akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk menilai tindakan yang dibuat oleh Kerajaan mengikut Perlembagaan atau tidak.

Ini satu sejarah yang tercatat dalam negara dimana pertembungan antara legislatif dengan eksekutif dah ditentukan, kita mahu supaya judiciary yang menentukan, ini isu perlembagaan, kerana apa yang berlaku di Amerika sebenarnya sama dengan berlaku di Malaysia. Itu pandangan kita orang kerana tidak mengikut prosedur, tidak melalui Parlimen, tidak pergi ke Kabinet dan sebagainya.

Jadi persoalan saya Tan Sri Yang di-Pertua, daripada apa yang berlaku dulu kecoh berkaitan dengan ART ini. Di mana November, Disember Ahli Parlimen Kerajaan dan juga pembangkang membahas isu ini. Kemudian 7 November, Tambun memberitahu bahawa pembangkang tidak faham kandungan sebenarnya. Dia kata tak faham. Tapi hari ini terbukti bahawa apa yang berlaku di Amerika tersebut sesuatu yang muktamad. Berertinya, tidak sah perjanjian tersebut.

Jadi persoalan saya ialah oleh kerana kita tunggu justifikasi ataupun ratifikasi. Jadi persoalan saya, apa dilakukan oleh Kerajaan terdahulu ataupun oleh Perdana Menteri dan juga Menteri MITI. Apakah Kerajaan akan mengambil tindakan kerana tergesa-gesa menandatangani perjanjian tersebut bahawa perjanjian tersebut tidak sah, kerana perjanjian antara tindakan kepada Perdana Menteri, iaitu Menteri Kewangan juga dan juga Menteri MITI iaitu Tengku Zafrul kerana melakukan kesilapan dengan menandatangani perjanjian ART yang tidak sahih di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), yang mana kuasa tersebut tidak memberi kuasa kepada Presiden untuk mengenakan tarif kepada Presiden.

Dan satu lagi Tan Sri Yang Di-Pertua, saya membaca artikel daripada Trump Trade Representative yang bernama Jamieson Greer, yang mengatakan bahawa Malaysia dan juga Kemboja yang menandatangani perjanjian tersebut kekal dengan 19%. Apakah ini benar dan terpaksa kita hadapi dengan 19% ini, bukan 10%?. Terima kasih Tan Sri Yang Di-Pertua. Maknanya, Hulu Terengganu buat homework.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI :

Terima kasih.

Kita pasti pertahankan keputusan dibuat peringkat awal oleh Menteri MITI itu mengambil kira kepentingan negara. Kita adalah negara dagang dan dalam peruntukan-peruntukan itu kita boleh pertahankan, termasuk peruntukan menjamin keselamatan dan ekonomi negara. Itu cukup jelas, ikut fahaman saya, iaitu to maintain mana-mana peruntukan yang ada itu tidak akan mengenepikan national security and economic Malaysia, economic interest. 

Jadi bagi saya memadai, tetapi kalau masih dipertikai itu tak ada masalah. Dan sekarang Yang Berhormat dan beberapa Ahli Yang Berhormat bawa ke mahkamah, biar mahkamah tafsirkan. Saya tidak ada masalah sama sekali. Sama ada memihak kepada tuntutan pemula ataupun pendirian Kerajaan sebelum ini kerana bagi kita, semua perjanjian tujuh belas itu diluluskan dan ada peruntukan-peruntukan yang ada persamaan dan ada juga perbedaannya.

Dan dia ada hak mempertikai, tetapi soal Mahkamah Agung Amerika membuat keputusan yang mempertikai bidang kuasa tertentu Amerika, itu harus kita teliti. Ini belum muktamad lagi, muktamad sekadar keputusan Mahkamah Agung, tapi Presiden umpamanya menggunakan beberapa peruntukan lain yang saya baca sebahagian. Ada 7-8 peruntukan dia yang dia rasa itu bidang kuasa dia.

Kemudian yang Mahkamah Agung sebut itu, kuasa katanya kuasa kongres, maknanya boleh buat tapi tidak Presiden, tapi kongres. Setakat ini jawapan awal Trump, Presiden Trump adalah masih ada bidang kuasa dia dalam peruntukan-peruntukan lain. Saya tidak mahu bahas bagi pihak Amerika, itu keputusan dia. Keputusan kita mesti guna apa juga kaedah untuk mempertahankan kepentingan kita.

Dan kalau dibangkitkan umpamanya hanya kita harus bertindak berdasarkan keputusan Mahkamah Agung, saya rasa terlalu awal. Betul keputusan Mahkamah Agung itu Yang Berhormat adalah sudah peringkat terakhir ya, Mahkamah Agung. Tetapi, kalau kita lihat ulasannya, masih ada peruntukan-peruntukan yang digunakan yang akan mengenepikan Perintah Mahkamah Agung. Dan kalau kita lihat sistem di Amerika Syarikat, penafsiran Mahkamah Agung itu adalah bahawa kuasa itu mengenakan tarif adalah kuasa Kongres. Jadi kita tunggu dulu. Itu sahaja. Saya tidak katakan bahawa kita akan melanggar ataupun tidak bersetuju dengan Yang Berhormat. Saya hanya mengatakan, kita tunggu dulu, lihat apa keadaan sebenarnya. Kerana keputusan kita, apapun Tan Sri, saya bimbang kalau menjejaskan kepentingan negara. Yang penting kita itu bukan apa yang diputuskan mereka tapi apakah ia dapat pertahankan kepentingan perdagangan dan ekonomi Malaysia.

 

SOALAN 2 (TAMBAHAN 2): YB TUAN HASSAN ABDUL KARIM [ PASIR GUDANG ]

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Keputusan yang dibuat di Amerika itu terhadap perisytiharan Presiden mereka, Donald Trump, dibuat oleh Supreme Court, Mahkamah Agung. Sistem di Amerika itu, macam di Malaysia juga, separation of power. Menganggap keputusan Trump itu tidak sah.

Di Malaysia kita, kita ada undang-undang kontrak. Dalam undang-undang kontrak Malaysia yang dibuat oleh Parlimen ini, menyatakan apabila perjanjian itu tidak sah dari segi undang-undang, maka ia dianggap sebagai tidak sah sejak semula jadi.

Dalam bahasa Latin ia dipanggil ‘void ab initio’. Jadi adakah kita, Kerajaan Malaysia yang terikat dengan komitmen satu trilion ini mungkin kita akan meneruskan perjanjian yang tak sah ini? Jadi adakah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan bersetuju dengan cadangan saya, untuk selamatkan negara ini supaya perjanjian timbal balik tarif atau dipanggil ARTS ini yang telah ditandatangani pada 26 Oktober tahun lepas, Kerajaan batalkan sahaja. Terima kasih.

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI :

Terima kasih PASIR GUDANG. Gesaan supaya kita nilai semula berdasarkan keputusan mahkamah itu saya setuju, tetapi apa keputusan kita harus dilakukan segera tidak boleh, kita tunggu dulu. Sebab kalau kita teliti umpamanya, pentadbiran Amerika itu masih guna, masih ada ruang guna, Section 232 Tariffs allow for Sub Sector-specific Tariffs after Commerce Department investigation. Section 301 allows for tariffs against countries USTR determines are engaged in unfair trading practices. Jadi, dan terus melulu begitu.

Saya tak mahu pertahankan, kerana kalau kita bincang ini seolah-olah kita ada bahas tentang keputusan Mahkamah Agung. Saya cuma kata, Mahkamah Agung dah buat keputusan dan apa pun keputusan yang dibuat bila dimuktamadkan, kita tak akan pertikai. Sekarang ini dipertikai beberapa peruntukan termasuk yang saya baca tadi dan Section 338 Tariff, Section 201 Tariff, Classified Licensing Fees, Congress Codified Tariff, semua itu masih tergantung.

Dan keduanya, tentang kuasa Kongres. Apakah Kongres akan memperakui atau tidak? Jadi yang saya nak tanya, mengapa kita nak terburu-buru kerana Mahkamah Agung Amerika putuskan 3 hari yang lalu, hari ini kita kena putus ikut keputusan Mahkamah Agung. Saya tidak setuju. Saya katakan apa pun keputusan kita, kita kena teliti, pertama pertahankan kepentingan kita dulu. Apa kepentingan ekonomi dan perdagangan kita. Dan kedua, kita lihat juga tindakan negara-negara lain seluruh dunia Ini, Bagaimana mereka respon. Dan ketiga, tentang kedudukan dalaman, domestic policies di Amerika itu sendiri. Apakah akan selari dan setuju dan tidak dicabar beberapa peruntukan lain.

Saya tak kata saya nak galakkan atau setuju mencabar keputusan Mahkamah Agung. Yang dibangkitkan ialah seksyen-seksyen tertentu yang boleh dipakai untuk negara-negara dalam urusan dagang yang kini tidak termasuk dalam keputusan Mahkamah Agung. Ini peguam-peguam macam Pasir Gudang boleh bahaskan lah. Saya hanya berikan pandangan secara umum, dan sebab itu saya katakan untuk Kerajaan seluruhnya beri sedikit ruang dan masa kerana apa keputusan kita buat hari ini ya mungkin boleh macam kata bunyi gegak gempita hebat, tetapi apa risikonya kepada ekonomi negara?

Kalau soalnya soal maruah dan kedaulatan, itu soal lain. Tapi kalau soalnya soal strategi perdagangan, kita kena ambil kira kepentingan negara. Itu sahaja yang saya minta. Saya tidak makna nak pertikai keputusan atau pandangan Pasir Gudang. Cuma saya nak kata, beri ruang, baru lagi keputusan ini. Mesyuarat Jemaah Menteri hanya hari Jumaat akan datang untuk kita nilai betul-betul dan MITI terutamanya sekarang sedang meneliti semua aspek-aspek secara terperinci. Jadi Menteri ditugaskan untuk berikan semua aspek supaya keputusan kita itu keputusan yang waras.

 

 

SOALAN 2 (TAMBAHAN TIGA) : YB TUAN SYED SADDIQ BIN SYED ABDUL RAHMAN [ MUAR ]

Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. MUAR berharap Kerajaan tidak mengambil tindakan terburu-buru, kerana walaupun sebelum ini kita telah berjaya untuk menurunkan kadar tarif kepada 19 peratus, tetapi apa diumumkan banyak negara-negara lain pun dapat 19 peratus. Tetapi realitinya mengikut kajian Bank Negara, kita punya effective tariff rate sepatutnya jauh lebih baik, iaitu 12% jika nak dibandingkan dengan negara jiran, sebagai contohnya Thailand 17%, Filipina 14%, Indonesia 18%, dengan jelas menunjukkan bahawa our effective tariff rate jauh lebih baik dan ini melalui rundingan yang baik. Saya faham walaupun The Supreme Court telah buat Keputusan, tetapi baru pagi tadi Presiden Donald Trump telah memberikan warning yang sangat jelas, mana-mana negara yang telahpun memeterai perjanjian dengan mereka dan menarik balik perjanjian tersebut boleh dihukum menggunakan pindaan undang-undang yang ada di Amerika.

So, what we may have already gained jika dibandingkan dengan our competitors, bagi contohnya Vietnam kalau kita mengambil tindakan yang terburu-buru mungkin kita dihukum semula dan akhirnya industri semikonduktor kita yang kian berkembang boleh dikenakan tindakan yang lebih teruk oleh pasaran terbesar kita iaitu di Amerika Syarikat. Terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI :

Terima kasih MUAR. Saya tidak ada nak pertikai bahawa apapun keputusan yang berlalu sudah, yang sekarang ini kita ambil kira. Soal Presiden Trump bagi amaran dan sebagainya itu urusan dia. Urusan kita itu nak melihat apa implikasi dari sudut pelaburan dan perdagangan dalam negara kita. Kalau keputusan umpamanya yang kita ambil itu akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat negara, kita terpaksa teruskan.

Tetapi kalau keputusan itu nak dibuat, saya katakan tadi sebab itu tidak boleh gopoh, kita masih teliti. Kalau Ahli Yang Berhormat teliti sekarang perkembangan di Amerika Syarikat, hari-hari ada perbahasan yang sengit tentang peruntukan undang-undang yang menyebabkan Mahkamah Agung Amerika membuat keputusan, seksyen-seksyen yang dibacakan, kemudian perbahasan di Kongres, itu sahaja yang saya minta.

Maknanya, kalau kita buat keputusan, kongres berfikir lain, kemudian Trump buat beberapa keputusan tentang menggunakan peruntukan-peruntukan lain, itu belum terjangkau oleh kita sekarang. Jadi saya hanya minta ruang untuk kajian memutuskan, kalau bunyi lunak sekarang boleh, Tan Sri Yang di-Pertua, tapi saya bimbang kalau kita buat keputusan, setelah kita ada perjanjian, tapi perjanjian itu pun belum dimuktamadkan kerana seperti mana saya sebut. Saya tanya Menteri sebab apa, berapa bulan dah dan belum ada proses ratifikasi. Itu Amerika belum sambut, jadi kita biarlah dulu. Belum. Perjanjian ini belum di-rectify, itu penting.

Yang kedua saya katakan, merujuk kepada perkembangan terkini, perlu kita tunggu sehingga kita bahas teliti semua implikasinya, kerana ini soal ekonomi besar, ini ekonomi yang melibatkan puluhan ribu rakyat dan ratus bilion dana. Jadi kalau kita buat, kalau kita terpaksa ini soal maruah, soal kedaulatan, soal lain, tapi ini apakah dah sampai ke situ? Saya jawab belum. Jadi beri ruang seketika untuk kita, terutamanya Menteri MITI untuk mendapat semua maklumat daripada rakan sejawat dia.

 

Terima kasih.

SOALAN 2 (TAMBAHAN 4): YB TUAN LIM GUAN ENG  [ BAGAN ]

 

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

 

Yang di-Pertua, berkenaan dengan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat, jelas sekali bahawa pemenang paling besar ialah negara China. Yang mengambil pendekatan untuk, dengan izin, stand up to the bully that is Donald Trump. Adakah kita akan menggunakan pendekatan yang sama?

 

Kerana yang dipersetujui ialah satu perjanjian yang sekarang tak sah lagi, jadi diisytiharkan haram. So, kita janganlah berpandang belakang. Kita hanya menuju ke depan dan berpandang ke depan. Adakah kita tidak akan menandatangani sebarang persetujuan dengan Amerika Syarikat kerana keadaan yang amat kabur sekarang dan adakah Malaysia akan mengambil pendekatan di mana kita tidak akan dibuli atau ditekan dan dihimpit oleh taktik-taktik yang kurang munasabah oleh Amerika Syarikat?

 

Yang kedua, yang terakhir ialah apakah kerugian atau kehilangan yang dialami oleh syarikat-syarikat Malaysia berikutan dengan pelaksanaan tarif sehingga sekarang? Adakah Malaysia akan membantu mereka meminta refund tarif itu, sama ada menerusi WTO atau terus secara langsung dengan Kerajaan Amerika Syarikat? Terima kasih.

 

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI :

 

Terima kasih Bagan kerana Bagan punya arif tentang perjanjian ini. Cuma saya nak tegaskan, pertama, isu peruntukan undang-undang, itu keputusan Amerika Syarikat. Apakah ia ada kesan sampingan kepada Malaysia, itu tentu kita harus pantau. Setakat ini, tentunya bukan keputusan Mahkamah Agung yang harus diambil kira sekarang ini. Sebab itu saya katakan kita tengok juga bidang-bidang kuasa dan punca kuasa di Amerika Syarikat. Tapi sebagai satu negara, kita tentu hormatilah keputusan undang-undang masing-masing negara. Jadi saya boleh jawab secara umum, kita kena tunggu dulu, masih awal.

 

Tapi aspek yang kedua itu yang ditanya oleh Bagan, itu penting. Apa kerugian kita setakat ini? Dia tidak. Apa dia tarif ni? Tarif ini dikenakan kepada syarikat Amerika yang beli atau berdagang di sini. Jadi setakat ini, dari tinjauan kita, hampir tidak ada, minima, minima, secara tidak langsung kerana syarikat Amerika itu juga beroperasi di sini, mungkin ada kesan sedikit. Tetapi tarif itu kepada syarikat di Amerika. Syarikat yang berdagang atau melabur di Malaysia. Jadi, tarif itu dikenakan kepada mereka. Sebab itu dia jadi dialog besar juga di Amerika.

Jadi setakat ini, sampai semalam daripada maklumat MITI, belum terkesan syarikat-syarikat tempatan yang terkena, kerana sekali lagi saya tekankan tarif itu adalah pada syarikat Amerika yang berdagang di negara kita. Kerana strategi Presiden Trump ialah memaksa syarikat-syarikat itu melabur di Amerika dan tidak di negara luar. Jadi itu yang setakat yang berlaku hari ini.

 

Share: