TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 19 OGOS 2025: SOALAN YB TUAN KESAVAN A/L SUBRAMANIAM [ SUNGAI SIPUT ]
LAPORAN VERBATIM
WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
TARIKH : 19 OGOS 2025 (SELASA)
SOALAN 1: TUAN KESAVAN A/L SUBRAMANIAM [ SUNGAI SIPUT ]
Minta YAB PERDANA MENTERI menyatakan fokus Kerajaan MADANI melalui MITRA atau lain-lain agensi dalam usaha untuk pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.
Yang DiPertua, terima kasih kepada Sungai Siput yang membangkitkan soal yang juga dibahaskan di luar, bukan sahaja oleh Ahli-ahli Parlimen tapi juga di kalangan masyarakat India.
Tapi saya nak jelaskan pertamanya, soal kerangka Ekonomi MADANI. Dia melihat permasalahan itu secara lebih menyeluruh. Kalau kita sebut kemiskinan tegar, dia merentas kaum, Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Begitu juga program-program kita itu sebenarnya tidak mengkhusus kepada kaum. Walau bagaimanapun, ada beberapa program khas seperti PuTERA35, untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera, satu hal yang sangat membanggakan ialah kerana saya sebut di sini pertama kali kita telah mengambil alih tanah yang telah terlepas kepada penguasaan asing lebih daripada 480 ekar, tanah Sungai Besi yang sekarang menjadi milik Khazanah dan sebahagian besarnya untuk pembangunan masyarakat Melayu di kota Kuala Lumpur. Dan juga pertama kali sejak merdeka tahun 1957, atas nama Kerajaan MADANI telah mengisytiharkan 50 ekar dari tanah prime di Sungai Besi itu sebagai tanah rizab Melayu.
Kemudian pembangunan yang besar lain ialah Subang, yang dulu terlepas kepada yang lain tetapi dipertahankan untuk pembangunan itu mengambil kira kedudukan dan kepentingan kaum termasuk Melayu di bandar. Itu sebabnya dalam belanjawan ini kita juga tekankan soal pembangunan kawasan-kawasan perumahan Kampung Cina dan juga projek-projek yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat Cina, yang miskin dan juga peniaga.
Kalau projek SME umpamanya, bilion ringgit yang diluluskan seperti mana kita tahu, itu penting dari segi penjanaan ekonomi negara tetapi yang manfaatnya tentunya lebih 90% kepada masyarakat Cina, walaupun pekerjanya ramai di kalangan masyarakat Melayu dan India.
Untuk masyarakat India yang kita akan bahaskan secara khusus hari ini, saya nak sebut di sini ya sebelum saya sentuh MITRA, umpamanya bantuan Sumbangan Tunai Rahmah tahun 2022 peruntukan jenis yang kita mulakan untuk masyarakat India, setengah bilion Ringgit. Untuk 2025, 3 tahun berikutnya, sudah mencecah hampir satu bilion Ringgit (972 juta Ringgit). Jadi kalau orang mengatakan bahawa bantuan masyarakat India itu hanya khusus kepada MITRA, dia tidak benar. Satu bilion itu adalah keluar daripada peruntukan MITRA.
Begitu juga tentang Skim Jaminan Kredit Perumahan, tentunya majoriti besar kepada Bumiputera, sebahagian kepada Cina, tapi kepada India itu 1.2 bilion Ringgit, Skim Jaminan Kredit Perumahan.
Kemudian melalui belanjawan tahunan, itulah peruntukan Program Pembangunan Sosioekonomi masyarakat India di bawah MITRA itu kita katakan 100 juta Ringgit.
Tan Sri Yang Dipertua sengaja saya rangkum ini semua untuk mengelakkan pandangan yang dipermainkan seolah-olah tidak dipedulikan. Jadi sebab itu saya sengaja bawa dan terima kasih Sungai Siput kerana soalan itu juga kepada agensi-agensi terkait. Dan untuk peruntukan MITRA dikatakan kita tidak menjalankan tugas ataupun kelulusan cepat, itu juga tidak benar kerana pada tahun 2024 dari 100 juta Ringgit, kita telah belanja 98.9 juta Ringgit yang memberi manfaat kepada 122,082 masyarakat India.
Kemudian untuk bantuan yang berikut ialah Subsidi Pendidikan Awal 9.32 juta, Bantuan Pengajian Tinggi IPT B40 17.63 juta, ini tahun 2024. Bantuan Komputer Riba untuk SJKT, 2.99 juta yang melibatkan 6000 unit komputer secara berperingkat. Program Pemeriksaan Literasi STEM untuk murid SJKT tahun 2024, RM218,306. Program Bantuan Subsidi Dialisis 600 pesakit, 79 juta. Bantuan Sinar Cahaya MITRA, 15.49 juta. Kemudian ada program-program lain, PMKS yang mula dilaksanakan hanya pada tahun 2023, 2.07 juta. Malaysian Indian Entrepreneurship Program (MCEP), bantuan geran pembangunan sehingga RM20,000 yang telah menyasarkan 450 peniaga mikro. Kemudian melalui MARDI Corporation Sdn. Bhd., 38.8 juta, iaitu Program Usahawan Tani bantuan pembangunan pertanian dengan geran bantuan sehingga RM30,000. Bila kita adakan program umpamanya, lesen latihan untuk penerbangan, License Aircraft Maintenance Technicians khusus untuk masyarakat India 6 juta ringgit melatih anak-anak India.
Dan saya akan edarkan secara terperinci kerana dengan ini menjelaskannya tentang tuduhan bahawa ini dipinggirkan. Soal maklumat tak sampai, ini tanggungjawab kita bersama. Saya mohon ahli-ahli Parlimen, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan rakan-rakan untuk menyampaikan keseluruhannya kerana penambahan itu besar, termasuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah KUSKOP, ini tidak dilakukan dulu dimulakan pada tahun 2023 dan biaya di antara mikro kredit di antara RM1000 hingga RM50,000 bergantung pada jenis perniagaan dan perbelanjaan pada tahun 2024, 30 juta dan peruntukan yang sama. Ini adalah peruntukan yang tidak termasuk di bawah MITRA.
Kemudian saya dah sebut tadi tentang STR. Di bawah TPM I diperluaskan kemasukan untuk TVET, 1500 orang yang masukkan sekarang ini di bawah Amanah Ikhtiar yang dulunya khusus untuk Melayu bumiputera diberikan juga kuota kepada masyarakat bukan bumiputera.
Di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat. Itu telah memberikan faedah kepada 61,825 penerima. Baik untuk 2025 ini dibangkitkan apa yang pendekatan kita berbeza. Ini yang dipersoalkan. Kerana kalau KPKT ada projek perumahan. Jadi kita selaraskan dan MITRA itu menambah apa yang kurang. Jadi kalau KPKT belanja 20 juta tambah 5 juta supaya diselaraskan.
Kemudian peralatan makmal ICT di SJKT, kategori bawah sekolah bantuan Kerajaan, 50 SJKT dapat 5 juta dari Kementerian Pendidikan dan disalur sebahagiannya dari MITRA.
200 buah rumah ibadat Hindu dan kuil Hindu yang berdaftar sebagai pusat komuniti setempat, 20 juta Ringgit. Bantuan one-off penambahbaikan dan penyelenggaraan kecil rumah kediaman pekerja ladang 10 juta, itu peruntukan melalui ICU dan ini diselaraskan dengan MITRA dan sebab itu saya rasa perlu ada penyelarasan di antara MITRA dan juga Kementerian-kementerian berkaitan supaya manfaat itu sampai kepada semua. Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 1 BAGI SOALAN 1
Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, di atas penjelasan yang terperinci mengenai dana MITRA khususnya dan juga bantuan- bantuan lain daripada pelbagai agensi Kerajaan untuk masyarakat India.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, masyarakat India meletakkan harapan yang besar di bahu, di mana perhatian yang khusus dalam beberapa soalan yang berbangkit dari semasa ke semasa perlu diberikan keprihatinan. Saya amat setuju dengan pandangan dan juga jawapan Perdana Menteri di mana selama beberapa bulan yang lalu beberapa tuduhan telah dilemparkan kepada Kerajaan Perpaduan khususnya kepada Perdana Menteri kononnya masyarakat India di pinggir terus dari arus pembangunan negara. Saya amat tertarik apabila pembentangan. Rancangan Malaysia Yang Ketiga Belas (RMK13) di mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut menekankan pelaksanaan tindakan pembangunan masyarakat India yang telah digariskan bersesuaian dengan tema “melakar semula pembangunan, tiada masyarakat yang terpinggir ataupun tertinggal dalam arus pembangunan negara”.
Jadi saya juga harap Pelan Tindakan Masyarakat India yang bakal akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun akan datang ini benar-benar memberikan manfaat dan saya mohon perincian dan juga penjelasan kepada masyarakat India secara detail melalui agensi-agensi ini.
Soalan tambahan saya, memandangkan masyarakat India bukan satu kelompok homogen. Adakah MITRA melaksanakan pendekatan khusus untuk golongan yang paling terpinggir, contohnya seperti pekerja ladang di mana mereka tidak ada keperluan asas tempat perlindungan rumah sendiri. Baru-baru ini, minggu lalu, ratusan pekerja estet dari seluruh negara menghantar memorandum di perkarangan Parlimen memohon jasa baik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk memberikan perhatian yang khusus supaya pekerja estet yang paling terpinggir dalam arus pembangunan negara sekurang-kurangnya memiliki sebuah rumah sendiri apabila mereka bersara kelak nanti dan juga belia tercicir. India juga perlu diberikan perhatian. Sekian terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih Sungai Siput. Saya ambil perhatian bahawa isu seperti perumahan estet, saya sendiri ke Selangor berdekatan Tanjung Karang baru-baru ini, di mana dibangunkan projek perumahan, saya ingat 95% masyarakat India di situ. Itu sebagai contoh dan saya umumkan itu sebagai contoh, kita dapat selaraskan dengan pembangunan insitu dengan kemudahan-kemudahan asas yang disediakan termasuk sekolah.
Tapi selain yang saya sebutkan tadi, menyusul soalan Sungai Siput ialah beberapa langkah yang menumpukan kepada masyarakat yang paling miskin. Soal ini umpamanya seperti Pusat Pesakit Dialisis itu yang telah memanfaatkan belanja untuk dialisis sahaja 8.37 juta yang memanfaatkan 13,330 orang. Ini kalangan yang paling miskin yang memerlukan bantuan.
Kemudian kita ada kursus-kursus latihan. Pembangunan Keusahawanan dan Kerjaya masyarakat India, ini 37.16 juta. Ini semua tambahan ikut Kementerian bukan ikut MITRA, tapi saya telah minta supaya diselaraskan supaya rakan-rakan yang mengendali MITRA dan ahli Parlimen dapat ikuti perkembangan itu. Dan ini termasuk umpamanya peranan Bank Negara, stock market, investment and trading, latihan itu 3 juta khusus masyarakat India. Ada latihan TVET di Negara China, di bawah TPM I diperuntukkan peluang 500 anak-anak muda India, 500 orang belia dengan peruntukan 3 juta untuk mendapat latihan intensif di negara China.
Malaysia Indian Skills Initiative, 2730 orang di bawah KESUMA, jadi ini contoh-contoh yang saya sambut pandangan Yang Berhormat Sungai Siput walaupun dalam konteks MITRA tumpuannya lebih banyak dalam bidang pendidikan. Sebab itu pendidikan awal, tadika swasta 4450 kanak-kanak India dari keluarga B40, iaitu subsidi langsung RM200 sebulan kepada 4450.
9622 pelajar India bantuan pengajian tinggi, subsidi IPT RM2,000 seorang. Kemudian, Literasi STEM 698,227 juta Ringgit iaitu buletin sains dalam bahasa Tamil dan bahasa Inggeris di 525 SJKT. Contoh-contoh yang akan saya edarkan sepenuhnya dan saya rasa tumpuannya kemiskinan tegar dan perumahan terutama estet yang telah terbengkalai.
SOALAN TAMBAHAN 2 BAGI SOALAN 1 : YB DR. HAJAH HALIMAH ALI [KAPAR]
Terima kasih Tan Sri Speaker. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kita ini membicarakan tentang 2 juta orang lebih kurang, kelompok masyarakat di dalam negara kita ini iaitu etnik India, di mana 100 juta Ringgit telah pun diluluskan untuk program MITRA ataupun Unit Transformasi Masyarakat India.
Persoalannya, saya juga didatangi oleh beberapa NGO dan beberapa pihak yang mahu melihat, merasakan sedikitlah daripada MITRA ini. Jadi persoalannya Yang Amat Berhormat tadi, Yang Amat Berhormat sebut tentang tahun lepas, tahun ini tidak dapat lagi, mereka katakan yang RM100 juta ini tak dapat lagi.
Jadi soalan saya ialah bagaimana Kerajaan akan memastikan ia disusun secara teratur dan secara terancang sebab apa yang difokuskan oleh MITRA sepatutnya ialah khususnya bagi golongan B40 meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran, itu fokus MITRA.
Jadi oleh kerana ianya agak boleh disusun dengan rapi, jadi jadual pengagihan dana MITRA ini sepatutnya tidak ada masalah. Jadi kita nak jaminan Yang Amat Berhormat bahawa MITRA ini juga tidak terpinggir sebagai projek khas untuk satu kaum, tetapi boleh dihubungkan dengan pembangunan nasional secara adil dalam arus perdana RMK-13 itu sendiri, supaya MITRA kekal relevan.
Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Tan Sri Yang Dipertua, kalau Yang Amat Berhormat Kapar dengar jawapan saya tadi, semua program itu KESUMA, KPKT, Kementerian Wilayah, Kewangan, itu semua dilibatkan. Jadi bukan soal MITRA ini satu 100 juta, yang ratusan juta yang lain saya sebut itu terkeluar jadi kalau Yang Amat Berhormat dengar penjelasan tadi, peruntukan untuk tahun 2025, 60% sudah diluluskan tetapi kelulusannya itu tidak melalui hanya persatuan-persatuan. Jadi saya sudah beritahu kepada MITRA, kita perkemaskan kalau untuk sekolah, seperti mana kita sebut tadi, tadika 10 juta diluluskan, subsidi IPT 20 juta, literasi STEM 698,000 dan ini tumpuannya pendidikan termasuk di SJKT dan rakyat miskin.
Saya setuju, cuma maklumat penyelarasan, selalu MITRA dia tahu program MITRA sahaja, jadi saya kata sekarang ini sepatutnya semua kementerian-kementerian melibatkan pembangunan rakyat yang kita buat secara menyeluruh. Tapi kalau ada beberapa aspek seperti TVET, di sini saya sebut tadi 500 yang pergi ke negara China, tetapi 1,500 dimasukkan di TVET tempatan yang diberikan perhatian khusus, itu semua harus dimaklum supaya tahu. Jadi maknanya pendekatan kita bukan pendekatan kaum yang dilihat khusus dalam soal MITRA, tetapi secara menyeluruh. Dan saya yakin, insya-Allah, kalau diketahui jelas peruntukannya itu jauh lebih besar daripada sebelumnya. Jauh lebih besar dan saya ingat keberkesanannya kerana diselaraskan umpamanya kalau projek sekolah, lebih baik dipantau oleh Jabatan atau Kementerian Pendidikan, kalau projek untuk anak-anak di universiti, dipantau bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 3 BAGI SOALAN 1 : YB TUAN GANABATIRAU A/L VERAMAN [KLANG]
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat, kerana saya nampak keseriusan beliau, keprihatinan beliau sendiri menjawab isu berkenaan kaum India.
Yang Amat Berhormat saya ingin tanya, sebab kita sedar bahawa Yang Amat Berhormat sendiri menyatakan beberapa kali dan juga dengan benar kaum India adalah kaum yang paling termiskin, walaupun disebut miskin maka adalah harapan tinggi masyarakat India dalam RMK-13 ada satu garis panduan yang jelas di mana peruntukan yang jelas untuk membantu dalam isu-isu yang dinyatakan untuk bagaimana mereka boleh keluar dari belenggu kemiskinan, itu satu.
Kedua, kita nampak dalam 2023 dan 2024 program-program yang telah dijalankan seperti tadi kejuruteraan penerbangan yang kita dengar tadi, adakah benar agensi yang telah memantau? benar ke 100 murid itu, 100 anak muda itu dapat training dan adakah mereka telah ditempatkan dalam pekerjaan? Dan satu lagi isu komputer riba yang dibekalkan kepada Sekolah Tamil, saya difahamkan kebanyakan tidak boleh diguna disebabkan second hand. Jadi, isu-isu ini timbul secara mendadak dan ramai yang datang mengadu kepada pihak seperti saya.
Dato’ Seri, bukan kita nak menyatakan kegagalan MITRA ataupun kita nak memberi satu naratif kegagalan. Kita nak Dato’ Seri memang maju kehadapan, kita nak Kerajaan ini dikekalkan, kita nak sokongan rakyat yang telah pilih itu bersama kita terus bersama dengan kita. Maka suara saya adalah hanya menyatakan bagaimana kita memantau segala usaha Dato’ Seri sendiri, Yang Amat Berhormat sendiri yang mana memberi itu dapat disampaikan kepada tangan yang benar-benar diperlukan. Bagaimana apa perjalanan itu dapat dikekalkan.
Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih Klang, dan saya setuju kita kalau lihat kerangka Ekonomi MADANI, pemusatan kita ialah menoktahkan kemiskinan tegar dan kita ada rekod setiap tahun dengan kerjasama negeri dan daerah atau jajahan di Kelantan. Kerjasama di negeri-negeri itu baik, jadi ada penambahan. Dan dalam jumlah itu dia tidak ikut kategori kaum semuanya. Jadi apa-apa daerah, katalah daerah Sentul itu majoriti India dapat. Tapi kita bukan kira soal kaum, jadi saya setuju yang penting ialah menyampaikan maklumat itu kepada semua.
Kalau ditanya soal latihan itu, kita ada nama-nama mereka, latihan dari segi penerbangan ini, iaitu aircraft yang saya ingat diselaraskan oleh WESTAR, itu nama-nama anak-anak India itu ada, jadi boleh disampaikan kepada Yang Berhormat.
Begitu juga tentang masalah komputer diserahkan kadang connectivity tidak ada. Itu bukan masalah Sekolah Tamil sahaja dan banyak sekolah yang tidak punyai connectivity, bukan sahaja Sabah, Sarawak di beberapa daerah di Kelantan, di Pahang itu yang sudah kita selesaikan atau cuba dalam proses.
Cuma saya nak sebut di sini kadang-kadang bila kita sebut ini seolah-olah peminggiran masyarakat India, ini yang saya tak setuju, itu dia. Betul saya sebut di Parlimen ini bahawa jumlah miskin di kalangan Melayu bumiputera itu terlalu tinggi. Majoriti penduduk negara ini Melayu, yang miskin majoritinya Melayu. Maka program tentunya jauh lebih tinggi untuk masyarakat Melayu, tetapi di kalangan masyarakat India walaupun jumlah penduduk kecil, jumlah miskin itu kecil ketimbang jumlah penduduk Melayu tetapi ada kelompok masyarakat India yang relatif lebih miskin, yang termiskin itu harus kita tangani.
Sebab itu saya bagi saya pemusatan program menoktahkan kemiskinan itu perlu ditingkatkan, walaupun ada yang sinis, tapi saya fikir yang kena noktah kemiskinan tegar ini makna yang nak beli susu anak pun tak cukup, pakaian sekolah pun tak ada. Jadi kita selesaikannya itu dulu. Nak selesaikan masalah kemiskinan kadang-kadang dikelirukan, ada ahli-ahli pembangkang, dia sebut noktahkan kemiskinan. Saya tak pernah sebut noktahkan kemiskinan. Saya selalu sebut noktah kemiskinan tegar. Dengarlah betul-betul, itu yang kita mampu. Tapi nak sinis juga tak boleh, tak boleh apa? kalau belajar daripada sejarah Islam penumpuannya itu golongan fakir miskin. Jadi kita tekan begitu, noktah kemiskinan tegar. Tengok teks saya semua. Kemiskinan itu relatif. Kemiskinan tegar itu kita beri jadual yang tepat. Makan, minum, perumahan, pakaian, pengangkutan, itu ada rekod dia, kriteria.
Jadi untuk masyarakat India, saya ingin memberi jaminan ya, ini satu dasar kita jelas dan saya minta Yang Berhormat Klang untuk hadir dalam majlis penyelarasan supaya kita faham, kerana Yang Berhormat Klang tahu juga kerana orang-orang politik dia politikkan isu ini, dia pergi masyarakat India, kami pinggirkan kamu. Pergi masyarakat Melayu, Melayu dah jadi alat DAP. Pergi masyarakat Cina, Cina tidak dilayan. Itu biasa lah, politik hambar, tetapi yang kita nak ini angka, data sebab itu saya baca keseluruhannya tadi bahawa jumlah peruntukan itu berbilion untuk masyarakat India, itu jangan disamakan dengan peruntukan khusus untuk MITRA.
Saya jelaskan tadi, kalau tanya saya pendekatan MITRA oleh kerana sudah dimulakan kita teruskan. Tapi kalau saya tak perlu, kalau kita gunakan ikut selaras mengikut kementerian dan agensi Kerajaan.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 4 BAGI SOALAN 1 : YB DATUK SERI SARAVANAN A/L MURUGAN [TAPAH]
Terima kasih Tuan Yang di Pertua, saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas jaminan beliau bahawa nasib masyarakat India akan dibela. Dan kehadiran Yang Amat Berhormat ke Parlimen ini untuk menjawab menunjukkan keseriusan Yang Amat Berhormat, dan saya percaya kehadiran hari ini akan meyakinkan masyarakat India.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, kalau kita lihat seperti mana Dato’ Seri sedia maklum, pelbagai tindakan telah diambil untuk meningkatkan ekuiti masyarakat India daripada 1.5% ke 3%. Namun setakat ini, 1.5% itu adalah tertakluk daripada beberapa individu seperti mendiang Ananda Krishnan dan sebagainya, maka hampir tiga dekad kita tidak mencapai hasrat untuk meningkatkan ekuiti masyarakat India ke 3%.
Pada tahun 2018, Kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak telah memperkenalkan satu program khas yang dikenali sebagai Amanah Saham Masyarakat India, dengan hasrat meningkatkan ekuiti masyarakat India, dan selepas 2018 program itu tidak diteruskan. Maka saya meminta, merayu, memohon kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, adakah Kerajaan MADANI berhasrat untuk meneruskan semula program seperti Amanah Saham Masyarakat India dengan hasrat bagi meningkatkan ekuiti masyarakat India?
Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih, kalau Tapah bercakap begitu di luar dari majlis masyarakat India, baguslah bagi pandangan yang baik. Terima kasih. Saya ulang, soalan macam itu tidak akan mengelirukan masyarakat India, tapi kalau dikatakan dipinggirkan, ditekan, sekarang tak buat apa, maka masyarakat India pun keliru akhirnya tidak mendapat apa-apa.
Saya jawab di sini, program kesihatan, pendidikan, perumahan itu kita beri contoh jumlah. Kalau cakap soal kemiskinan, peruntukan tahun lalu 2024, sudah mencecah hampir satu bilion ringgit untuk masyarakat miskin India. Itu rekod yang belum pernah dicatat sebelumnya, jadi biar kita terima.
Kemudian, bagi saya perumahan seperti mana yang dibangkitkan tadi, perumahan estet India itu kelompok yang termiskin. Jadi tentang cadangan-cadangan lain itu, kita boleh kaji dan pertimbangkan tetapi kalau sebut soal ekuiti, masyarakat Melayu ekuiti pun belum capai penduduk Melayu 60%, tetapi ekuiti tidak sampai 30% jadi janganlah hanya bincang soal India, orang Melayu bagaimana? orang Cina dari segi ekonomi jauh lebih baik, begitu juga orang Sabah, orang Iban, orang Kadazan.
Sebab itu saya mencadangkan, kalau pimpinan di sini lihat dari segi kerangka keseluruhannya, sebab itu umpamanya program-progra Melayu, ya ada usaha Melayu bumiputera tetapi masih perlu ditingkatkan. Sebab itu saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan Jemaah Menteri bila kita bangkitkan soal pembangunan Sungai Besi rakan-rakan Jemaah Menteri bila kita bangkitkan soal pembangunan Sungai Besi rakan-rakan Jemaah Menteri faham dan mengapa saya mulakan dengan rizab Melayu, mereka faham dan mereka boleh terima dengan baik, itu berbeza daripada telahan di luar, jadi tidak jadi masalah. Cuma biarlah berlaku adil kepada semua yang lain, ada program tambahan untuk masyarakat India, ada juga untuk masyarakat Cina saya katakan tumpuannya macam masalah besar iaitu PMKS, SME’s yang tidak diberikan penekanan sebelum ini bukan kerana mereka itu Cina, tetapi kerana ia boleh menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih baik bagi negara kita.
Jadi ada beberapa cadangan lain yang dibawa oleh Yang Berhormat Tapah kemuka dengan baik dan kita boleh pertimbangkan seperti biasa, kalau dikemukakan cara garang-garang tidak tentu arah, kita tangguhkan sikit.
