TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 19 OGOS 2025: SOALAN: YB TUAN AHMAD FADHLI BIN SHAARI [ PASIR MAS ]
LAPORAN VERBATIM
WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
TARIKH : 19 OGOS 2025 (SELASA)
SOALAN 2: TUAN AHMAD FADHLI BIN SHAARI [ PASIR MAS ]
Minta PERDANA MENTERI menyatakan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia dan serantau.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih Pasir Mas. Saya setuju bahawa kedudukan geopolitik tidak menentu. Baru-baru ini timbul umpamanya penambahan kesiapsiagaan ketenteraan Filipina dan Amerika di selatan Filipina yang berdekatan dengan Sabah. Saya hubungi Presiden Bongbong Marcos dan disebut itu kerana menghadapi offensive negara China menurut beliau. Tetapi ini tentunya mengkhuatirkan dan mendesak kita supaya meningkatkan kesiapsiagaan kita di Pulau Bangi dan Sabah untuk menjaga ketahanan kita. Ini isu-isu geopolitik yang telah disinggung oleh Yang Berhormat Pasir Mas tadi.
Sebab itu dari segi perbelanjaan, kita lihat umpamanya dari 2020 umpamanya, 3 bilion. Untuk 2024, sudah mencecah 5 bilion Ringgit, satu pertambahan yang mendadak daripada peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pertahanan khususnya dalam usaha pembangunan dan perolehan. Dan kita juga tahu kemelut dan skandal soal Kementerian Pertahanan ini sudah puluhan tahun, dari satu pembelian helikopter ke soal LCS, soal pesawat. Dan saya telah putuskan sejak tahun 2022 bahawa harus ada satu proses yang lebih telus tender yang terbuka.
Dan dalam beberapa keadaan umpamanya kita runding terus Kerajaan dengan Kerajaan, dengan Korea, dengan Turkiye, sekarang ini Kerajaan dengan Kerajaan. Dengan ini mengurangkan tekanan dari segi komisen oleh syarikat-syarikat ejen yang terlalu ramai dan kita telah sangat berhasil umpamanya.
Selain daripada lokal ini, industri lokal sangat penting. Kita dah belanja puluhan bilion ringgit tetapi keupayaan tempatan sangat kurang. Sebab itu umpamanya, kita telah beri tambahan peruntukan persiapan termasuk di Lumut dan beberapa kegiatan lokal. Dan perolehan umpamanya Fast Interceptor Craft (FIC) untuk TLDM itu banyak kekuatan lokal.
Saya sebut tadi tentang Turkiye, Kerajaan dengan Kerajaan, bila kita bincang terus dengan kerajaan, kos itu terus menurun kerana kos untuk ejen yang melampau tingginya itu telah kita hentikan. Dan sebab itu proses pun sampai. Dulu kalau order mesti sangkut, sekarang ini umpamanya untuk pesawat Unmanned Aerial System (UAS), drones dari Turkiye itu bulan Disember insya-Allah sampai.
Kemudian dua (2) set sistem pelancar surface-to-surface missile jenis Naval Strike Missile TLDM dari Norway sampai bulan ini Ogos 2025.
48 unit surface-to-surface missile LCS untuk TLDM itu 86% sudah siap dan dijadualkan siap 2025. Ini saya ucap terima kasih TLDM dan juga kegiatan di Lumut kerana dah berlarutan puluhan tahun berhempas pulas bawa ke Parlimen, kajian sana, kajian sini, sekarang baru pengurusannya, alhamdulillah lebih teratur dan lebih terjawab.
Kemudian dengan Turkiye tadi saya kata Littoral Combat Ship (LCS) untuk TLDM itu laporan kemajuan sudah hampir 80% dan juga yang ini seperti saudara tahu, Yang Berhormat tahu, begitu lama tertangguh.
Kemudian pesawat dari Korea, kita minta supaya ditingkatkan kerjasama dari segi Kerajaan ini jadi penghantaran pesawat Fighter Lead-In Trainer Light Combat Aircraft untuk TUDM akan sampai insya-Allah mulai Oktober 2026 yang pertama dan akhir Ogos 2027.
Dan yang akhirnya rundingan dengan Itali, kita bincang dengan Perdana Menteri Itali supaya percepatkan dan kita guna G-to-G.
Tan Sri Speaker, G-to-G ini bermakna dua-dua Kerajaan bertanggungjawab dan kos itu jauh lebih rendah. Dan Kementerian Pertahanan ataupun dalam kes TUDM atau TLDM itu boleh terus contact counterpart dia tanpa melalui ejen. Ini unit Maritime Patrol Aircraft untuk TUDM dari Itali itu dijangka siap, project management review Jun 2025 dan pesawat Jun 2026.
SOALAN TAMBAHAN 1 BAGI SOALAN 2
Terima kasih, Yang Amat Berhormat Tambun. Kita menghargai usaha Yang Amat Berhormat Tambun dalam isu-isu perdamaian antarabangsa. Jadi, jika ada yang Yang Amat Berhormat sebut minggu lepas, usaha-usaha untuk memperolokkan peranan Yang Amat Berhormat Tambun di peringkat antarabangsa, saya kira itu berpunca daripada interpretasi yang kurang tepat. Apa pun, Yang Amat Berhormat Tambun, saya ucapkan tahniah di atas apa yang telah disebut tadi.
Cuma barangkali perlu sedikit penjelasan berhubung isu pembelian helikopter Black Hawk yang dititahkan supaya dibatalkan mungkin ada penjelasan di pihak Yang Amat Berhormat, tetapi apa yang saya nak sebut di sini ialah apabila kita menyebut pertahanan, ia bukan sahaja daripada luar tetapi juga melibatkan masalah dalaman.
Saya ambil contoh Yang Amat Berhormat Tambun pada 14 Ogos, dua warga China ditahan ketika menerbangkan dron di kawasan larangan Wisma Pertahanan. Pada tarikh yang sama, SPRM telah melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi oleh pegawai tinggi ATM yang membocorkan maklumat operasi ketenteraan. Ini satu isu yang sangat serius dengan jumlah sogokan dianggarkan antara RM30,000 hingga RM50,000 setiap trip.
Belum lagi kita campur isu penangkapan SPRM yang melibatkan pegawai di Pejabat KDN, malah Menteri KDN sendiri dalam isu permohonan taraf warganegara. Kalau ikut teori Yang Amat Berhormat dulu semasa jadi Ketua Pembangkang, tiada tindakan tegas menyebabkan kes rasuah makin rancak, itu kata Yang Amat Berhormat dulu lah tapi saya fikir sekarang mungkin nadanya sudah berubah.
Jadi ini isu-isu keselamatan yang sangat serius berlaku pada hari ini belum lagi kita cerita tentang isu yang melibatkan anak Ahli Parlimen Pandan yang diserang, dan kata Yang Berhormat Pandan bahawa ia melibatkan skandal yang sedang dalam usaha untuk didedahkan. Saya fikir ini skandal yang sangat-sangat besar, malah paling besar kerana sehingga melibatkan anak sendiri.
Jadi soalan saya Yang Amat Berhormat, apakah Kerajaan telah menaik taraf indeks ancaman daripada fokus external kepada insider threat ataupun hybrid intimidation berasaskan empat insiden mutakhir yang sangat penting ini?
Bila dokumen penilaian risiko akan dibentang dalam Dewan? Jika belum, kenapakah belum lagi dibuat sedangkan pencerobohan di MINDEF sedang berlaku dan kebocoran operasi sudah pun berlaku? Bilakah audit keselamatan MINDEF akan dilengkapkan termasuk audit forensik, keselamatan Wisma Pertahanan, perimeter, radio frekuensi, drone defence, SOP pengawasan?
Bolehkah Yang Amat Berhormat memberikan jaminan ia boleh dibentangkan di dalam Dewan? ini termasuklah mitigasi insider threat yang melibatkan ATM, contohnya melibatkan anggota risikan dan sempadan, screening berkala, rotation berisiko, asset declaration, serta tindakan selain mahkamah tentera berapa lama masa diperlukan untuk kita membersihkan dan mengesan baki anggota atau etnik yang terlibat? Sebab kita bimbang, Yang Amat Berhormat, lima orang pegawai yang ditangkap ini mungkin mewakili angka yang lebih besar. Malah lebih teruk lagi kalau ia mewakili the invisible hands, maksudnya kuasa yang mungkin kita tidak jangkau dan melibatkan suatu masalah yang terpaksa kita hadapi dan sempadan negara ini adalah lambang maruah kita, inilah menjadi perkara yang patut kita tangani.
Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Yang Berhormat Pasir Mas, soal sama ada Black Hawk atau F/A-18 daripada Kuwait yang dicadangkan itu sepertimana yang saya dijelaskan dasarnya, saya dan Menteri Pertahanan jelaskan keputusan itu mesti dibuat oleh Technical Committee TUDM kalau dalam kes pesawat TUDM sendiri dan mereka akan penuh bertanggungjawab tentang kesiapsiagaannya. Kalau tidak dapat dipertahankan, kita tidak akan menandatangani. Itu jelas dasar kita, jadi saya ucap terima kasih.
Keduanya, tentang dakwaan pencerobohan melalui dron oleh dua rakyat China itu sudah ditangkap dan dalam siasatan. Ketiganya, tentang soal tindakan SPRM. Ini saya setuju, ini bukan perkara ringan. Ia melibatkan badan risikan negara tetapi saya hendak beritahu Yang Berhormat. Dalam kajian awal, ini sejak tahun 2020. Perkara ini yang dapat dikenal pasti sejak tahun 2020. Kalau ditanya mengapa sekarang terbongkar banyak, kerana sekarang kita beri laluan sepenuhnya kepada SPRM. Itu beda dia. Hal kes-kes yang lama tertangguh, yang orang boleh kumpul bilion-bilion kadang-kadang Yang Berhormat pertahan pula, itu kita kaji dan buat siasatan dan kalau ada kes akan ada pendakwaan, tapi bila ada kes-kes besar janganlah pertahan. Kesianlah, dendamlah. Dendam apa? Ini dalam kes seperti ini, ini bukan perkara ringan. Saya panggil Panglima Angkatan Tentera (PAT) siasat secara serius. YB Menteri Pertahanan ambil berat perkara ini. Semalam menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dibangkitkan lagi perkara ini, dan kita akan bongkar sepenuhnya kerana ini saya setuju. Ini soal keselamatan negara tidak boleh dikompromi.
Tapi soalnya mengapa sekarang? Kerana kita bongkar sekarang. Kita tidak tutup. Mengapa tidak tahun 2020? Itu Yang berhormat tanya lah ketua-ketua pada masa itu, mengapa tidak mampu dibongkar awal. Ini saya nak sebut di sini. Jangan politikkan. Bagi saya, kalau ada bukti siapa terkait ini termasuk kes anak Yang Berhormat Pandan ataupun kes Zara semalam yang dikupas oleh YB Menteri Dalam Negeri, kita tidak lindungi. Jadi jangan guna ini sebagai senjata politik.
Kalau Yang Berhormat ada maklumat tambahan, tambah, beri maklumat, saya tidak ada masalah. Kalau rasanya besok bila YB Menteri Pertahanan dapat maklumat, YB Menteri Pertahanan kemukakan laporan awal, silakan. Ini soal keselamatan negara. Saya hendak sebut di sini. Ini bukan soal parti, bukan soal Kerajaan, bukan pembangkang. Kalau ada penyeludupan masuk dalam badan risikan itu suatu perkara besar. Ada satu (1), dua (2) kes, pagi tadi saya sebut kalau ada satu (1), dua (2) kes dan semalam pun mesyuarat itu lagi satu (1), dua (2) kes tertentu atau seorang MI5 ke KGB, itu kita pernah lihat, tapi kalau ada sekelompok seperti kartel yang mengambil keuntungan dan menjual rahsia, ini soal besar dalam negara.
Jadi biar ada siasatan awal. Saya ada beri maklumat kepada PAT dan Panglima Angkatan Tentera Udara dan juga semuanya termasuk Pengarah Bahagian Risikan, saya tunggu dulu laporan awal, tapi kita tidak akan berselindung kerana kalau kita mula kompromi dengan masalah pencerobohan dalam badan risikan itu malapetaka bagi negara kita.
Tapi saya tegaskan, jangan tuding jari kepada kita kerana perkara ini berlaku lama sebelum ini dan tidak ada tindakan sebelum ini. Sekarang kita kata no compromise, zero tolerance terhadap corruption apa lagi melibatkan jentera kerajaan yang diamanahkan.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 2 BAGI SOALAN 2 : YB TUAN CHA KEE CHIN [ KOTA MELAKA ]
Tan Sri Speaker. Pertama sekali saya ingin ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tambun dan juga Kerajaan MADANI kerana telah berjaya meneruskan semula projek perolehan aset pertahanan yang sebelum ini mengalami kelewatan dan kita boleh lihat daripada jawapan Yang Amat Berhormat projek-projek tersebut ia telah dijalankan mengikut jadual.
Jadi bila kita bincang tentang bab tahap kesiapsiagaan pertahanan negara, saya ingin tanya, minta pandangan daripada Yang Amat Berhormat tentang bagaimana kita nak mempertengahkan syarikat tempatan dalam industri pertahanan negara ini. Bagaimanakah hala tuju ataupun rancangan Kerajaan melalui Dasar Industri Pertahanan Negara untuk kita melibatkan lebih banyak syarikat tempatan? Dan juga saya lihat kita ada satu Malaysian Industry Council for Defence, Enforcement and Industry. Jadi bagaimana kita nak struktur semula badan ini untuk kita bantu syarikat tempatan dalam industri pertahanan? Itu sahaja daripada saya. Terima kasih Tan Sri Speaker.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI :
Terima kasih Kota Melaka. Saya setuju sebab itu dasarnya sekarang ini setelah puluhan bilion ringgit dibelanjakan, mesti ada beberapa kekuatan, umpamanya drones kita dah sebut dulu. Drones dari segi pertahanan itu kita tidak kuat, tapi drones dari segi sivil itu kita di antara yang juga kuat, yang dijual, yang digunakan oleh Google. Google menggunakan drones buatan Malaysia untuk kegunaan mereka di beberapa negara. Jadi kita harus manfaatkan, kalau boleh mereka mula lakukan penyelidikan dalam bidang ketenteraan atau pertahanan.
Kemudian tentang LCS, LCS yang kita berjaya sekarang ini dengan kekuatan, walaupun ada dari segi beberapa teknikalnya, dari segi Perancis saya lihat, tetapi dari segi kontraktor itu, kontraktor tempatan. Baru-baru ini ada perjanjian di antara Malaysia-Indonesia membeli tank dari Malaysia untuk kegunaan Tentera Darat Indonesia, yang digunakan oleh syarikat Mildef umpamanya. Jadi kita beri perhatian, pantau supaya keupayaan mereka meningkat. Kemudian ada tank juga dari segi Deftech, syarikat peluru, jadi ada beberapa keperluan kita memberikan tumpuan supaya tahap keupayaan mereka itu lebih tinggi, kerana kita sementara kita nak beli dari hasil tempatan, ia tak boleh kompromi tentang standard keupayaan kita.
Tapi saya nak bagi jaminan kepada Kota Melaka memang menjadi dasar sekarang di mana procurement beri tumpuan kepada syarikat tempatan.
SOALAN TAMBAHAN 3 BAGI SOALAN 2: YB DATO’ SERI DR. SHAHIDAN BIN KASSIM [ ARAU ]
Terima kasih di atas jawapan tadi dan ketegasan Yang Berhormat. Saya minta pemikiran yang hebat ini meresap di sanubari semua Menteri-Menteri dan mereka pun tegas. Jangan terbeliak mata pula ya. Okey, Yang Berhormat, saya ingin bertanya ini spesifik, jawab bertulis pun takpa ataupun jawab secara umum.
Berapa biji kapalkah yang berumur 30 tahun? Dalam peraturan negara-negara maju, kapal yang berumur 30 tahun diganti. Malah dua (2) biji kapal yang kita ambil daripada disedekah, dihadiah daripada luar negara, berumur 30 tahun, sekarang dah dekat 15 tahun. Sekarang dah umur kapal ini pun dah 45 tahun iaitu saya tak pasti, bukan KM Bagan Datuk, KM Arau kot dengan Pekan ya, KM Bagan Datuk baru. Jadi saya ingin bertanya apakah Kerajaan bercadang untuk mengganti kapal ini serta-merta, makna kata pembinaan kapal akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga (3) atau empat (4) tahun. Jadi kita jangan tunggu 30, baru kita nak order. Mungkin umurnya 25 kita dah kena order, tempahan.
Jadi Yang Berhormat jawab tentang missile yang akan datang. Yang Kerajaan perlu sekarang ini ialah kapal. Contoh, Yang Berhormat, di Beting Patinggi Ali hanya satu kapal tentera laut yang sudah berusia mungkin dekat 40 tahun, yang duk tunggu sebuah kapal pengawal China yang begitu besar dan panjang, sebesar panjang padang bola. Jadi bagaimana kapal kecil boleh mengawasi kapal yang besar? Dan apakah Yang Berhormat, tuntutan China yang berada di sana itu, mereka kata mereka nak tuntut, tuntut Beting Patinggi Ali. Apakah Yang Berhormat sedar ini adalah pencerobohan, bukan tuntutan bertindih? Dan kenapa Kerajaan mengumumkan untuk kerjasama dengan China, padahal mereka membuat tuntutan, depa menceroboh, bukan tuntutan bertindih. Di Ambalat Sulawesi tuntutan bertindih, tapi di Beting Patinggi Ali ialah menceroboh. Terima kasih, jawab bertulis pun takpa, cukup.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Yang disebut tadi KM Arau, KM Pekan tu bukan tentera laut, itu APMM. Dan disumbang oleh Jepun dan memang dah lama. Tapi dalam kajian, mereka masih boleh bertahan. Pasal nama Arau, dia bertahan lama (nada berseloroh). Baik, kemudian, bagi saya habis dulu.
Tapi sebab tu untuk APMM, bukan untuk Tentera Laut. Tapi untuk yang soalan ini memang betul sebab itu kita beri tumpuan. Pertama, umpama untuk APMM itu dulu RM600 juta ringgit dibelanjakan tak siap-siap, terpaksa diberi suntikan RM150 juta dan alhamdulillah, KM Fatimah itu siap dan boleh operasi.
Sebab itu saya kata dalam hal ini kita strict, kalau tidak tak jalan. Dan jangan lagi guna ejen-ejen terlalu banyak ini. Dan saya lihat bila G-to-G itu (government-to-government) tu lebih berkesan. Bukan saja murah tapi maknanya kita boleh bagi tahu Presiden atau Menteri Pertahanan pantau terus, bukan kepada syarikat.
Kemudian mengenai soalan Yang Berhormat Arau, saya ada sebut tadi LCS ini, 48 unit surface-to-surface missile LCS untuk TLDM, itu dijadual dihantar November 2025. Saya setuju. Saya pergi ke Langkawi untuk lihat kapal-kapal dan dia panggil PM, tunggu-tunggu. Betul, Yang Berhormat Arau, kapal tahun 1976 pun masuk sebab kita kapal tak ada. You bayangkan berapa, saya rasa belanja berbilion ringgit kapal tak ada. 1976 saya masih rehat di Kemunting, kapal tu masih dibawa kerana saya tanya, sebab apa ni? dia kata dah tak ada kapal lain tak ada, jadi letak juga lah bagi banyak.
Ini pengajaran kepada kita. Sebab itu saya katakan soal perolehan ini mesti telus, mesti hentikan pergantungan kepada ejen-ejen yang berlebihan dan mesti sebaik mungkin guna G-to-G. You runding betul-betul, check cost, check expertise dan jangan campur aduk pertimbangan politik atau orang-orang tertentu. Biar betul-betul seperti mana yang dibangkitkan, F/A-18 dibangkitkan sebab dari Kuwait, katanya lama dan sebagainya. Saya panggil TUDM, Panglima Tentera Udara, kamu ambil tanggungjawab sepenuhnya. Kalau technical experty itu ya, baru bawa recommendation. Ada problem, esok kamu pegang tanggungjawab itu. Kalau tidak, sekarang jadi masalah kepada kita. Jadi terima kasih, peringatan baik daripada Arau.
SOALAN TAMBAHAN 4 BAGI SOALAN 2: YB DATUK SERI DR. RONALD KIANDEE [ BELURAN ]
Terima kasih Tan Sri Yang DiPertua. Saya menghargai ketegasan Yang Amat Berhormat untuk membasmi rasuah, kerana rasuah akan mengancam keselamatan negara, sama ada yang berlaku di peringkat Kementerian Pertahanan atau kementerian yang lain, ataupun berlaku di kalangan pegawai-pegawai tentera ataupun individu yang lain. Dan ianya harus dibuat tidak secara selektif tetapi menyeluruh.
Bagaimana dengan kes yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Sabah, di kalangan ADUN Sabah Yang Berhormat? Lapan (8) orang dikatakan mempunyai fakta kes yang sama. Setakat ini dua (2) orang dituduh, enam (6) masih berlegar-legar dan ia sebahagian daripada orang penting di Sabah. Apakah itu juga tidak harus diambil tindakan dan basmi untuk meleraikan ancaman keselamatan dari sudut rasuah di negara kita? Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
Terima kasih YB Beluran, walaupun keluar tajuk tapi dia begini. Lapan (8) yang dikaitkan dengan liputan video tetapi SPRM, bila dia lihat dia tengok kes itu, mesti kes yang kuat untuk didakwa. Saya tidak campur. Saya tanya mengapa dua (2)? Dalam TV itu ada lapan (8). Dia kata kes itu yang dia boleh kesan. Kalau tidak kes itu boleh thrown out in court.
Itu alasan mereka, ambil kes yang substantif, in facts and law untuk prefer a prosecution. Kalau tidak substantif dengar dari segi video sahaja, tidak boleh seperti mana kita tahu, kalau pengalaman saya tahu tentang kalau dari recording dan video itu tidak cukup tanpa back up dari segi fakta dan undang-undang.
Mengikut SPRM, yang didakwa itu yang mereka yakin punyai alasan dan fakta yang cukup. Yang lain itu hanya dari hearsay, termasuk dari suara video yang berkenaan.
Terima kasih.
