PM ANWAR ARAH JABATAN KERAJAAN BANGUNKAN WAHANA UNTUK LAKSANA SUBSIDI BERSASAR
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) hari ini, Anwar berkata Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal, yang turut memanfaatkan golongan maha kaya dan konglomerat, ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.
“Sebagai contoh, Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10 peratus daripada angka itu yakni satu juta pengguna yang meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih daripada 50 peratus subsidi elektrik.
“Jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan ini,” kata beliau.
Mesyuarat NACCOL di Perdana Putra itu turut disertai kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri yang berkaitan serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
— BERNAMA
