ANWAR-PERODUA KEMASKINI PERODUA PERKENAL EV PERTAMA, QV-E DENGAN KOS PEMBANGUNAN RM800 JUTA OLEH PAKAR TEMPATAN
Hari ini saya amat berbangga sebagai rakyat Malaysia menyaksikan kejayaan syarikat anak tempatan merealisasikan kewujudan Kenderaan Elektrik Pertama (EV) Perodua, yang dikenali sebagai QV-E.
Pencapaian ini lahir daripada kepintaran, disiplin, kegigihan serta keyakinan para jurutera, saintis dan tenaga mahir tempatan lantas membuktikan bahawa bukan sahaja Perodua, tetapi Malaysia mampu mengangkat martabat dan harakat negara.
Walaupun berdepan kekangan termasuk proses pemindahan teknologi yang tidak selalu lancar, kekuatan dalaman Perodua bersama para pendidik dan penyelidik tempatan menjadi pemangkin kejayaan ini.
Perjalanan negara penuh cabaran, namun hari ini kita melihat hala tuju dasar yang jelas, muafakat yang kuat dan disiplin yang utuh, hatta inilah yang memungkinkan kita mencapai kejayaan yang dahulunya dianggap sukar.
Kerajaan MADANI memberikan jaminan dukungan penuh bahawa kita akan membuka ruang lebih luas agar pengalaman dan kejayaan istimewa yang boleh menjadi ilham kepada anak-anak muda untuk terus meneroka dan memacu teknologi baharu negara.

