KERAJAAN MADANI MENJUNJUNG TITAH BAGINDA TUANKU DEMI MEMPERKUKUH TADBIR URUS, PENGUATKUASAAN DAN KESELAMATAN NEGARA
18 Ogos 2026
Menjunjung kasih atas perkenan menerima patik menghadap bagi menyembah maklum berhubung beberapa perkembangan penting yang menyentuh kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
Titah Baginda Tuanku agar siasatan berhubung Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji dilaksanakan secara menyeluruh adalah selari dengan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap syor dan dapatan disiasat secara tuntas tanpa sebarang kompromi.
Tabung Haji menguruskan amanah yang lahir daripada hasil keringat jutaan rakyat, termasuk petani, penjawat awam dan golongan berpendapatan sederhana serta rendah yang menabung selama bertahun-tahun demi menyahut panggilan haji. Amanah sebesar ini tidak seharusnya dikhianati. Justeru, sesiapa yang didapati menyalahgunakan kepercayaan tersebut hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang.
Baginda Tuanku turut menyentuh perkembangan berkaitan FELDA, dan saya telah menyembah maklum mengenai kemajuan siasatan serta laporan Pasukan Petugas Khas yang sedang diperhalusi Kerajaan agar segala penemuan diteliti secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil menurut lunas undang-undang.
Kerajaan MADANI terus berpegang teguh kepada prinsip tatakelola baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban, dengan memastikan keadilan ditegakkan serta setiap pengkhianatan terhadap amanah rakyat dikenakan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pangkat.
Kerajaan MADANI juga akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara melalui penguatkuasaan yang berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara agensi bagi membendung jenayah rentas sempadan, sekali gus memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
Insya-Allah, saya dan seluruh jentera Kerajaan akan sentiasa menjunjung titah Baginda Tuanku demi memperkukuh tadbir urus, penguatkuasaan dan keselamatan negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya.