Bantuan Kerajaan Kepada Rakyat

Kerajaan Malaysia komited dalam membantu rakyatnya yang memerlukan bantuan. Terdapat pelbagai program dan polisi yang telah diperkenalkan untuk memenuhi keperluan ini. Berikut merupakan di antara beberapa yang telah diperkenalkan:

Bantuan Sara Hidup atau BSH adalah satu bantuan daripada Kerajaan yang ditujukan kepada beberapa kategori penerima yang telah dikenalpasti. Bantuan diberikan dalam bentuk tunai kepada penerima yang layak dan ditentukan melalui satu set kriteria yang telah diumumkan oleh kerajaan. Selain bantuan tunai, mereka yang menerima BSH juga layak untuk menyertai Skim Khairat Kematian yang diwujudkan di bawah BSH ini.

Skim perlindungan kesihatan nasional mySalam adalah inisiatif Kerajaan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada individu B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 berumur 18 hingga 55 tahun serta pasangan mereka.

Program Rebat Bil Elektrik RM40 adalah program bantuan Kerajaan secara bersasar untuk membiayai bil elektrik bulanan sehingga RM40 kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem eKasih. Pengguna yang layak akan menerima bil elektrik percuma sehingga RM40 setiap bulan.

My100 dan My50 adalah pas yang menawarkan perjalanan tanpa had pada rangkaian kereta api dan bas Rapid KL selama 30 hari berturut-turut. Penumpang boleh melakukan perjalanan beberapa kali dalam sehari di mana-mana rangkaian Rapid KL atau bas, dengan tambang yang dikenakan pada bayaran sebanyak RM100 untuk 30 hari untuk perjalanan tanpa had di LRT, MRT, Monorail, BRT, bas Rapid KL dan perkhidmatan bas pengantara MRT ; atau RM50 untuk 30 hari untuk perjalanan tanpa had hanya pada bas Rapid KL dan perkhidmatan bas pengantara MRT, tetapi tidak termasuk BRT.

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dilaksanakan bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga terutamanya pada awal tahun. Bantuan ini diberikan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya dari kalangan keluarga yang berpendapatan Isi Rumah Kasar RM3,000.00 dan ke bawah.

Pelaksanaan Skim KWSP Untuk Suri Rumah (i-SURI) diperkenalkan bagi mewujudkan jaringan sosial dan seterusnya memperkasa hak wanita dan mengiktiraf kepentingan peranan kaum hawa. Kumpulan sasar yang akan mendapat manfaat di bawah skim ini adalah semua yang merupakan suri rumah kepada Ketua Isi Rumah , Ketua Isi Rumah dalam kalangan ibu tunggal, balu dan wanita belum berkahwin yang berdaftar dalam Sistem e-Kasih kendalian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah satu inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD). PeKa B40 ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40. Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka, yang berumur 50 tahun dan ke atas, secara automatik layak menyertai PeKa B40. Tiada pendaftaran khusus diperlukan untuk menyertai PeKa B40.

1,443 total views, 5 views today

Share: