Ucaptama YAB Perdana Menteri tatkala meluncurkan Program Memperkasakan Rakyat myimpact SME Hub kelolaan Malayan Banking Bhd (Maybank) petang tadi menyinggung kepentingan industri perbankan untuk bukan sahaja kekal berkudrat tinggi menempuh era pasca-normal ini, malah wajib bagi mereka melindung rakyat daripada ditelan arus peredaran zaman yang kian deras ini.
Bank-bank secara batilnya adalah tunggak utama ekonomi negara dan pemangkin kemajuan rakyat. Mereka tidak boleh menjadi raksasa yang mengutamakan keuntungan sewenang-wenangnya untuk kekayaan orang berkepentingan sahaja. Hatta, YAB Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Maybank kerana mengambil ikhtiar untuk menjulang sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta mempraktikkan sifat manusiawi dalam operasinya.
YAB Perdana Menteri sudah lama mengikuti dekat industri perbankan negara, dan saya akui perubahan baik yang dibawa oleh pemain-pemain industri ini untuk menjadi lebih inklusif.
Kendatipun begitu, umum kita tahu lebih banyak lagi perlu kita ikhtiarkan untuk memajukan ekonomi negara dan mengangkat darjat rakyat. Walhasil, YAB Perdana Menteri menyeru kepada industri perbankan Malaysia untuk membantu Kerajaan menjayakan wawasan kerangka Ekonomi MADANI, sementelahan menjulang industri-industri baharu bagi menguatkan nilai tambah serta kelesterian ekonomi, yakni industri peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan perindustrian nilai tinggi.
#MalaysiaMADANI
Sumber Video: RTM
Similar Posts:
- KERAJAAN AKAN PASTIKAN REFORMASI STRUKTUR EKONOMI YANG TERATUR — PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- KERAJAAN AKAN BERI TUMPUAN KEPADA SEKTOR PERKHIDMATAN DALAM BELANJAWAN 2023
- TIGA PERJANJIAN LIBATKAN EKONOMI HIJAU, DIGITAL, KESELAMATAN SIBER DIMETERAI DI SINGAPURA – PM ANWAR