TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERHIMPUNAN KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN BAGI BULAN JUN 2025

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS PERJUMPAAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN & AGENSI BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM, PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN

 

 

20 JUN 2025 (JUMAAT) | 8.00 PAGI

 

 

DEWAN UTAMA

KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillahi rabbil alamin,

Wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Saudari YB Puan Lim Hui Ying,

Timbalan Menteri Kewangan;

Saudara YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,

Ketua Setiausaha Perbendaharaan; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama pada bulan ini dan seperti saudara lihat, memang beberapa langkah yang diperkenalkan itu agak pesat di bulan ini, yang menuntut kita memberikan penjelasan. Tetapi berita-berita yang agak membanggakan umpamanya apabila PETRONAS menganjurkan Energy Asia minggu lalu. Kita lihat penyertaan dari Organization of the Petroleum Exporting Countries (OPEC) dan syarikat-syarikat besar dunia itu sangat mengagumkan.
  2. Syarikat ConocoPhillips yang dulu memberikan satu gambaran yang agak negatif tentang keupayaan mereka untuk melabur, memaklumkan kepada saya dua tiga hari yang lalu, setelah sidang Energy Asia, bahawa mereka setuju untuk teruskan pelaburan besar di Sabah.
  1. Syarikat TotalEnergies, di antara syarikat gergasi minyak, ConocoPhillips dari Amerika, TotalEnergies dari Perancis, itu telah ada persepakatan dengan PETRONAS untuk meneruskan pelaburan berskala besar di Malaysia, di antara yang terbesar yang pernah mereka lakukan dalam sejarah dengan PETRONAS. Syarikat ENI, iaitu berpangkalan di Itali, syarikat yang punyai keupayaan tertinggi dari sudut Carbon Capture, Utilization, and Storage (CSCUS), itu juga telah bersetuju untuk melabur.
  1. Selain daripada itu, syarikat Saudi Aramco meneruskan setelah beberapa isu perselisihan dalam isu di Pengerang, Johor sekarang telah memutuskan untuk meneruskan.

Saudara-saudara,

  1. Berita-berita tidak mendapat tempat kerana tidak banyak negara atau syarikat minyak di Asia yang punyai pengiktirafan seperti mana yang diperoleh oleh PETRONAS. Dan kita lihat ini satu petanda yang baik, yang lebih meyakinkan.
  1. Ryan Lance, iaitu Ketua Pegawai Eksekuti ConocoPhillips, iaitu di antara yang dekat dan berunding dengan Presiden Donald Trump. Jadi ini tentunya, saya ambil kesempatan untuk mendengar beberapa pandangan terakhir tetapi yang penting ialah keputusan beliau. Walaupun dengan isu tarif dan lain-lain, keputusan dia untuk terus menambah dan meningkatkan pelaburannya di Sabah. Selain daripada kegiatan-kegiatan TotalEnergies, PTT Thailand di Sarawak dan CCUS di beberapa kawasan di Semenanjung.
  1. Saya tegaskan hal ini kerana kadang-kadang berita ini tidak menarik. Orang lebih suka terutama dalam media sosial, berita-berita yang menyerang dan menimbulkan sedikit dan meningkatkan sedikit suhu kepanasan, ia lebih sensasi. Tetapi tanggungjawab kita adalah memberi ruang pada siapa juga boleh buat teguran, tetapi tidak adil, tidak munasabah untuk kepentingan negara, menjamin ekonomi kita, untuk mengenepikan berita-berita yang positif ini.
  1. Kita ambil umpamanya World Competitiveness Ranking tahun 2025 oleh IMD yang dikeluarkan minggu lalu. Betul, kita melonjak 11 anak tangga, ketimbang tangga 34 ke 23. Itu secara umumnya tetapi secara spesifiknya, apa? Prestasi ekonomi melonjak empat anak tangga, kedudukan ke-empat 2025, itu agak tinggi. Kecekapan Kerajaan, ini yang melibatkan juga penjawat awam, maknanya keluarga perbendaharaan dan juga beberapa inisiatif diambil oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), termasuk Ketua Setiausaha (KSU) dan semua termasuk Ketua Pengarah (KP).
  1. Jadi keseluruhan ini menyebabkan kenaikan yang agak tinggi, lapan anak tangga dari 33 tahun lalu ke tahap 25. Kemudian kecekapan perniagaan juga melonjak 8 anak tangga. Itu yang boleh kita perinci, kita lihat, satu khidmat bukan saja dari segi dasar fiskal dan kewangan, tetapi juga dari sudut keupayaan penjawat awam kita. Jadi maknanya, saya tidak sia-sialah kita perkenalkan Skim Perkhidmatan Penjawat Awam (SSPA), maknanya itu satu galakan untuk memikirkan soal bonus kemudian.
  1. Baik, pertumbuhan KDNK suku pertama 2025 kekal tahap 4.1%, dalam keadaan ekonomi dunia itu tidak menentu. Jadi kita dapat bertahan dan yang lebih penting bagi saya, yang pernah saya ungkapkan dulu, angka-angka dan data ini boleh memukau, tetapi ukurannya ialah keselesaan kepada rakyat. Sebab itu, kita lihat umpamanya bagaimana kadar penganggurannya, kadar pengangguran kalau kita lihat April 2025 masih kekal di tahap 3%, turun daripada 3.9% pada April 2022, 3.5% pada April 2023, 3.3% pada April 2024 dan 3.0% pada April 2025.
  1. Ringgit, bila ringgit kita turun, kita kena hamput dan balun, gagal begitu begini. Perdana Menteri kita kena turun. Sekarang ini ringgit dah naik, jadi Perdana Menteri kena naik?, itu logik yang tidak masuk akal. Tapi sebab itu, apa yang dalam frasa Inggeris kita katakan stay the course. Jangan tinggalkan dasar. Kita ada kerangka ekonomi MADANI dan langkah-langkah yang kita ambil, kita lakukan sedaya upaya.
  1. Umpamanya, 2023, kita tengok kalau ketimbang Dolar Amerika Syarikat RM4.59, 2024 kukuh sedikit RM4.47. Suku pertama 2025 itu mengukuh RM4.43. Jadi maknanya kalau lihat 18 Jun 2025, Ringgit Malaysia berada pada paras RM4.25, mengukuh 5.2% ketimbang Dolar Amerika Syarikat, maknanya mengatasi mata wang utama dan serantau lainnya. Naik 6.3% berbanding Rupiah, 3.6% berbanding dengan RMB China, 3.2% berbanding Peso Filipina, dengan Australia naik 0.6% dan Baht Thailand 0.1%.
  1. Ini bukan soal Menteri Kewangan sahaja, tetapi yang lebih penting bagaimana Bank Negara menguruskan, bagaimana Perbendaharaan mengatur dan semua agensi yang terlibat. Jadi mudah-mudahan, insya-Allah, kita kekalkan pengukuhan ini.
  1. Tapi yang saya nak bayangkan ini, bila kukuh, senyap sunyi. Tapi bila katalah lemah sedikit, riuh rendah. Padahal kita tidak boleh lihat kedudukan ekonomi begitu. Umpamanya, katalah perang serangan Israel yang dibalas oleh Iran sekarang, katakan merebak ia akan merudum pula. Itu ada beberapa kesan yang luar daripada kawalan kita. Tetapi bila keadaan tenang, pengurusan ekonomi itu penting dan angka-angka ini membuktikan sama ada kita urus dengan baik atau tidak.
  1. Kemudian, bila kita laksanakan pembaharuan fiskal yang mengikut Artikel 4 IMF, ini pun masalah. Saya ingat masa saya Menteri Kewangan dulu, bila saya diberi cuti panjang, saya diserang kerana dia kata mengapa ada rundingan dengan IMF. Padahal rundingan IMF itu satu kemestian mengikut Artikel 4 yang dilakukan oleh setiap Kerajaan sejak kita bersama setelah merdeka dan menjadi anggota IMF. Dia sebut tentang perundingan mengikut misi Artikel 4. Dan dalam rundingan ini, secara positif IMF memberikan suatu kenyataan positif terhadap cara kita mengenali dasar fiskal dalam negara, lebih bertanggungjawab.
  1. Kemudian jumlah hutang, itu dia mungkin seolah-olah kita sekarang ini tambah hutang dan saya tengok dalam media sosial ada kawan saya hantar: “Kita macam mana tambah?” Saya kata “bacalah keseluruhannya”. Apa yang berlaku, yang pertama dalam soal hutang ini ialah soal apa yang disebut defisit. Bagaimana kita kawal defisit negara. Tahun 2022 saya mula ambil alih tugas, defisit itu 5.5%. Kemudian 2025, itu 4.1% unjuran kita turun ke empat daripada 5.5% turun kepada 4.3% untuk 2024 tapi kita berjaya turunkan 3.8%. Yang berjaya tuan-tuan di sini lah, terima kasih. Ini tak sebut tak boleh, tapi Alhamdulillah.
  1. Jadi saudara lihat penyediaan unjuran kita untuk tahun ini 3.8% dan keadaan suka ada orang tanya: “Mengapa nak turun sangat ni? Biarlah boleh kita serahkan dan hulur kepada rakyat.” Tapi kalau tidak begini, keyakinan tidak akan ada. Bagi saya, keyakinan ada dua. Yang pertama, tanggungjawab pimpinan dan pengurusan ekonomi ialah melakukan atau melaksanakan dasar yang kita yakin baik. Itu yang penting. Kedua, dengan itu ada keyakinan, bila ada keyakinan, dia menyelesaikan banyak masalah soal hasil negara, soal peluang pekerjaan, soal pembangunan keseluruhannya.
  1. Pertumbuhan hutang, pelbagai angka diberikan tetapi masalahnya hari ini bukan soal kumulatif jumlahnya. Kumulatif tu kita kena selesaikan mengikut peringkat. Katakan kita hutang satu trilion, dia kumulatif kena interest dia meningkat tapi yang penting bagaimana kita urus, kita kurangkan hutang kita. Hutang tahunan kita boleh kurang jumlah dia besar, tapi lama-lama dia turun dan akan ada graf nanti. Biar KSP pergi kuliah kemudian.
  1. Masalahnya dia orang ini, dia tak mahu dengar penjelasan. Ini penjelasan yang telah dibuat di Parlimen berulang kali. Dia tak mahu dengar. Ini seolah-olah macam ‘dialogue with the death’. Jadi maknanya, dia berdialog, dia tanya kita jawab. Kemudian sesi akan datang dia tanya lagi dan sementara itu dia riuh rendah dan yang dihebahkan itu pertanyaan dia, jawapan itu dipadamkan. Padahal kita tengok, berapa hutang kita pada tahun 2022? RM100 billion. Ini hutang baru ke? Berapa hutang 2023? RM90 bilion. 2024? RM85 bilion dan unjuran untuk tahun ini? RM80 bilion. Maknanya sejak kita ambil alih, kita dah turunkan hutang RM20 bilion. “Tak meyakinkan”. Kalau macam itu susah lah. Tapi kita nak turun juga jumlah hutang keseluruhannya. Perlahan-lahanlah. Dia mana boleh sekali gus begitu tapi kita boleh turunkan.
  1. Kalau kita kata tak mahu tanggung RM80 billion ini, jadi pembangunan, projek pengurusan Kerajaan, itu dia ambil masa. Dia macam seorang yang mengendali syarikat, syarikat dikendali. Bapa dia meninggal dunia, anak dia ambil alih. Hutangnya RM50 ribu. Jadi anak dia esok maknanya ambil satu tahun selesaikan hutang, tak boleh. Dia boleh selesaikan secara berperingkat.
  1. Kemudian bagaimana tentang subsidi yang menjadi isu besar sekarang ini? Kalau dengarnya “Kerajaan membebankan”, “elektrik naik”. Tanya dia, dia bayar ke elektrik naik ni? Tak. Yang naik untuk siapa? Untuk 15%. Jadi kamu ini jurucakap siapa? Jurucakap syarikat kaya dan orang kaya atau jurucakap rakyat? Kalau jurucakap rakyat, kadar elektrik tidak naik.
  1. Pada tahun 2023, penyelasaran subsidi elektrik dilaksanakan dengan 85% rakyat kekal tanpa sebarang kenaikan. Katalah ada yang terlepas, TKSU, KSP kena bayar., terlepas. Dia boleh buat permohonan pembetulan. Katalah mana tahu dalam jutaan orang terlepas satu, saya agak mungkin ada, tapi KSP kata mustahil tak boleh berlaku. Kalau percaya dia okey lah selamat (nada seloroh). Hasilnya apa? Maknanya dari subsidi, you see this principal subsidy, Malaysia ini subsidi kepada semua, orang asing kita subsidize. Yang tak bayar cukai, kita bayar. Orang kaya yang pendapatan dia RM1 juta sebulan kita bayar subsidi elektrik. Yang kita buat ini kita tarik subsidi, dia bayar kos dia atau keuntungan sikit untuk tenaga. Jadi dengan itu kita jimatkan RM4 bilion. Jadi RM4 bilion tu untuk apa? Untuk STR, untuk sekolah, untuk hospital.
  1. Pada tahun 2024, diesel dilaksanakan, tapi kalau riuh, rakyat terbeban. Elektrik, diesel, sejak Anwar ini naik semua naik. Betul naik, tapi untuk siapa? Untuk orang asing dan untuk peringkat tertinggi. Ada dalam celah-celah itu ada traktor untuk petani, katalah terlepas. Maka kita cuba selesaikan. Kita tidak mahu bebankan petani atau nelayan.
  1. Tapi umumnya seperti mana sekali lagi saya sebut di sini, orang asing penyeludupan itu berbilion satu tahun bocor. Penyeludupan ke Thailand, ke Indonesia, penyeludupan. Dia ada sindiket yang berjalan puluhan tahun dan mengaut puluhan bilion ringgit. Mana dia suara nak betulkan ini? Mana boleh negara biar penyeludupan begitu. Sebab itu kita kawal. Itu rasional alasan yang munasabah mengapa kita terpaksa kawal. Orang asing pasal kita nak bagi subsidi? Dia datang dia kerja, dia untung dia tak ada kena cukai. Yang berpendapatan rendah, kalau yang tinggi betul kita cukailah. Jadi melalui pendekatan tersebut, sebab itu inflasi masih terkawal. Sebab dia tak mengesan kepada 85% rakyat.
  1. Kemudian sekarang ni SST. Riuh rendah ada pertamanya perdebatan di antara SST dan GST. Ada kata “dulu Anwar sokong”. Betul. Sebagai Menteri Kewangan saya masih ingat jawapan saya di parlimen, GST itu adalah sistem percukaian di antara yang efisien dan transparent. Yang sebab mengapa semasa itu saya Menteri Kewangan saya tangguhkan. Tapi terpaksa kita tangguhkan kerana threshold pendapatan rakyat itu terlalu rendah, itu rasional. Mungkin ada yang tak setuju, pakar ekonomi dia boleh beza pendapat. It is fair tapi saya rasa pendapat saya pada masa itu kerana orang yang pendapatan RM2,000 walaupun kita bagi beberapa pengecualian tapi banyak yang terkena. Gula tidak kena, beras tidak kena, tapi dia pergi beli barang yang lain dia pergi naik bas semua itu secara tidak langsung GST itu, dia maknanya menyeluruh, transparent, senang, efisien pelaksanaannya. Tetapi saya kata, biarlah pendapatan rakyat naik dulu.
  1. Katalah minima gaji RM4,000, mungkin kita masa itu kita boleh. Sekarang ini orang gaji RM1,700 pun ada, RM2,000 pun ada. Mungkin saya tidak bijak dalam membuat keputusan ni, tetapi niat saya, saya tidak mahu perkenalkan cukai yang memberi kesan menyusahkan rakyat bawahan, itu sahaja.
  1. Kalau dia orang fikir kata “okey, kita boleh perkenalkan GST cara lain,” itu tidak apalah, kita bincang. Tapi janganlah kutuk kita dari segi perlaksanaan SST, kerana SST ini bagi kita, terutama yang telah progresif, bersasar mulai 1 Julai ini, cuba mengenakan kepada atau umpamanya sekarang ini kita kata import buah-buahan menjadi isu besarlah. Kata “Anuar makan avocado, Anwar dulu makan quinoa,” apa bendanya. Saya kata, makanlah buah tempatan. Ini treasury sudah bagi arahan, no imported fruit? Saya tengok orange ada lagi? tidak gurau sahaja (nada berseloroh).
  1. Jadi, kalau seluruh jabatan Kerajaan, umpamanya maknanya peluang petani itu mengeluarkan barang-barang tempatan lebih banyak. Saudara semua ikut, sebahagiannya ikut saya dalam ataupun pergi kunjungi luar negara. Saya ingat Laos, Vietnam, Thailand. Saya belum pernah makan dalam upacara-upacara rasmi jemputan kerajaan-kerajaan ini dengan bahan makanan import. Tidak ada. Secara automatik, dia akan pastikan makanan tempatan. Sebab itu kita bagi arahan seluruh jabatan Kerajaan ini tidak ada barangan import. Hendak makan cod fish, boleh, sendiri-sendiri. Ini kerana saya tengok dulu dan di Seri Perdana masa tetamu luar, cod fish, haii saya kata, tidak payahlah. Tidak mahu bagi ikan keli tidak apalah, sesetengah orang geli. Saya suka ikan keli,
  1. Baik, tapi untuk apa kita cukai-cukai ini, bilion-bilion ini? Saudara tahu, Kementerian Kewangan, kita tahu umpamanya peruntukan STR, SARA. 2023, RM8 bilion. 2025 memanfaatkan 9 juta orang, jumlahnya RM13 bilion. Ini saudara-saudara dalam beberapa tahun, tambahnya beberapa? Daripada 8 hingga 13.
  1. Jadi ini alasan kita, kita ambil cukai ini untuk pulangkan kepada rakyat. Peruntukan Kementerian Pendidikan daripada RM58 bilion sebelumnya (2024), RM64 bilion. Itu sekolah anak-anak kita. Janganlah ingat “oh tak tak, ini Kementerian Pendidikan Malaysia, something abstract,” no, itu sekolah anak-anak kita, sebab keluarga kita, sekolah rakyat kita. Kita hendak tingkatkan mutu pendidikan. Begitulah Kementerian Kesihatan, 2024 RM41 bilion. Kita tambah RM4 bilion setahun, RM45 bilion untuk Kementerian Kesihatan.
  1. Jadi, sebab tu saya kata dalam memutuskan soal ini kita kena lihat dari segi makronya. Tidak ada, kalau saudara lihat belanjawan-belanjawan sebelum ini, ada yang baik. Bukan saya hendak kata nafikan, tapi peningkatan begitu rupa untuk fokus kesihatan, pendidikan — itu keutamaan.
  1. Dan kemudian kita kena pastikan pengurusannya. Sebab itu soal tatakelola penting. Sepertimana saya sebut dalam bidang pertahanan, belanja berbilion tapi tengok kelengkapan dia sangat lemah. Jadi, saya harap, kerana rakan-rakan tolong jelaskan, bila kita ni kadang kita defensive, kita biar je orang yang merapu itu menyerang dan kita tidak jawab.
  1. Saya beritahu tadi kepada Johan, memang kelemahan kita juga tentang menjelaskan. Kerana kita andaikan semua orang faham. Jadi, sebab tu dalam program-program kita, Sejati MADANI, Kampung Angkat macam petang ini, Sekolah Angkat. Ya, berapa? 700? Ya, Sekolah Angkat, kita ambil semua ini, syarikat korporat ini ya. Dan kita ada dah, umpamanya program bantu-bantu ini, tapi kita hendak tambah lagi. Maknanya ada social responsibility, ada keprihatinan, ada kasih, ihsan ambil Sekolah Angkat, detail saya umum kemudian.
  1. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih atas kesabaran saudara-saudara, hujan-hujan ini dan dengar kuliah dhuha, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita dan menyelamatkan negara kita dan di samping itu meningkatkan matlamat, martabat, harakat bangsa dan negara kita.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.