
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
HARI TVET NEGARA 2025
12 JUN 2025 (KHAMIS) | 12.00 TENGAH HARI
MELAKA INTERNATIONAL TRADE CENTRE (MITC)
MELAKA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil alamin,
Nahmaduhu wa nusolli ala Rasulillah karim
Waala ahlihi wasahbihu ajmain.
Saudara saya,
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Dr. Zahid bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri;
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh,
Ketua Menteri Melaka;
Menteri-Menteri, Timbalan-timbalan Menteri, Speaker, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Setiausaha, rakan-rakan dan anak-anak TVET yang dikasihi sekalian.
- Alhamdulillah, bersama-sama kita hari ini dalam Sambutan Hari TVET Negara 2025.
- Keadaan berubah, dan perubahan itu berlaku dengan kepesatan yang sangat membanggakan. Disebut tadi oleh saudara Datuk Seri Zahid, hampir 1/2 juta pelajar-pelajar TVET. Tahun ini sahaja, pendaftaran 140,000. Ini menunjukkan usaha, ikhtiar yang dilakukan oleh semua pihak yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Zahid dalam Majlis TVET Negara itu memberikan kesan dan menunjukkan keyakinan rakyat, ibu bapa dan anak-anak kepada masa depan TVET negara ini.
- Jadi, saya ucapkan pertamanya untuk penghargaan. Kerana kalau kita lihat, umpamanya dua tiga tahun yang lalu tidak begini. Harus ada kempen khas untuk yakinkan pelabur-pelabur datang, dan pertumbuhan ekonomi, terutama sambutan pelaburan rancak semuanya mengeluh. Technical expertise, kejuruteraan, bidang-bidang keterampilan tertentu, specialization itu sangat kurang.
- Dan saya sebut ini, syarikat-syarikat besar — Google, Microsoft, Infineon, Invader dan baru-baru ini AMD. Tetapi yang mereka bimbang ialah kekurangan anak yang terlatih dalam bidang pengkhususan tertentu.
- Sebab itu, usaha ini jangan diperkecil atau diremehkan. Negara kalau mahu maju, mesti ada kesediaan untuk beralih, apa yang kita sebut beralih paradigmanya tentang mutu dan falsafah pendidikan. Pendidikan itu adalah untuk membentuk manusia menjadi insan yang soleh, yang baik. Warganegara yang dapat memberikan sumbangan kepada negara.
- Dan selalu di Kementerian Pendidikan dulu, saya tekankan tentang hadis Nabi Muhammad SAW: “Addabani Rabbi fa- ahsana ta’dibi.” Maknanya pendidikan itu memupuk adab. Manusia ada nilai. Dia mungkin jurutera, dia mungkin orang politik, dia mungkin teknokrat, dia juga pentadbir. Tetapi pendidikan itu harus orang asuh dan mengasak keperibadian berdasarkan nilai dan adab. Dia bertapak, bertahan, ada ilmu, ada pencerahan ilmu. Tidak keterlaluan, tidak cepat menghukum, tidak menghina, tidak memutuskan satu-satu hal tanpa selidik. Itu memang dasar ilmu.
- Tetapi ada juga keperluan untuk mengangkat ekonomi negara, kita mesti ada keterampilan. Dan kita lihat umpamanya kekurangan kita bila negara itu pacu pertumbuhan, mahu jadi negara maju, tapi sistem pendidikan masih kekal lama, itu tidak mungkin.
- Maka dalam tempoh dua tahun, saya salute pada Datuk Seri Zahid dan pasukannya kerana boleh mengangkat kedudukan TVET sampai seperti ini, sekarang ini. Dan saya tertarik dengan ucapan beliau, kerana beliau juga mewakili seorang pimpinan — pimpinan di antara pimpinan utama negara yang tidak hanya mendabik dada, “aku seorang yang berjasa! aku seorang”, tidak. Berulang kali disebut ini kerja pasukan.
- Dalam kerajaan MADANI ini, tidak ada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau menteri atau sesiapa yang boleh mendabik dada mengatakan “aku yang berjaya!”, tidak!. Berjaya kerana kerja kita. Semua kementerian, semua pegawai-pegawai, semua anak-anak angkat martabat negara kita sebagai satu pasukan dan jemaah yang padu. Ini semangat kita dalam negara kita.
- Dan sebab itu kita lihat disiplin-disiplin baru. Dan pelbagai kementerian, saya sebut tadi KPT, Kementerian Pendidikan, Sumber Manusia, MARA, KKDW tentunya, yang menumpukan perhatian, berikan fokus. Dan saya minta pengarah-pengarah dalam bidang ini beri perhatian. Apa kekurangannya, kita cuba perbaiki.
- Kerana kalau pelaburan tu datang dan pelaburan ini tidak seperti dulu. Tahun 70-an, 80-an, itu peringkat yang disebut back end – awal, kerja-kerja teknikal asas. Kalau industri pakaian, kemudahan-kemudahan yang dianggap asas tidak memerlukan kepakaran dan kemahiran. Sekarang umpamanya pelaburan RM26 bilion Infineon itu sudah front end, yang menuntut kemahiran, keterampilan, pengkhususan, bukan sahaja technician, tapi technician yang dapat diangkat mutunya.
- Sebab itu dicadangkan tadi disebut kepada saya tentang satu bidang lain — setelah lulus, bagaimana nak tumpu dalam bidang keusahawanan, dalam bentuk latihan. Dan ini menjadi fokus yang boleh diusahakan bersama dengan badan-badan lain, syarikat-syarikat kerajaan termasuk PERKESO, Petronas, Khazanah dan PNB. Semua akan digabungkan dan saya akan pastikan Datuk Seri Zahid, kita akan bersidang secepat mungkin. Pastikan, pertama, penumpuan mereka supaya ada sinergi di antara syarikat-syarikat ini dengan TVET, sepertimana yang dimulakan.
- Kedua, menumpukan membantu dalam bidang latihan dan keusahawanan supaya dapat dipastikan anak-anak lulusan TVET dapat pendedahan dengan syarikat-syarikat dan industri baru. Dan, mungkin dijangka, untuk keseluruhan ini, peruntukan yang sudah pun ditambah Datuk Seri Zahid tidak sebut tadi. Memang tahun ini ditambah tinggi peruntukan untuk TVET negara.
- Tetapi untuk keusahawanan ini, untuk khusus ini, selain daripada tambahan ini, dan saya pula dibisik berulang kali oleh Ketua Menteri Melaka ini, dan dia kata dulu sudah bagi, sekarang ‘pasaiapa’ saya tidak bagi. Dia tidak bagi kopi kepada saya, saya kata saya luluskan projek. Ini pun satu (nada berseloroh). Jadi, sebab itu salah satu majlis yang saya ada yang tidak disediakan kopi. Sebenarnya hendak tunggu pengumuman dulu. Jadi tidak apalah, untuk Melaka dan program-program TVET, teknikal, keusahawanan yang diselaraskan oleh Majlis TVET, kita tambah RM10 juta untuk Melaka. Dan untuk program itu bersama dengan syarikat-syarikat kerajaan tentu akan mencecah RM150 juta. Tetapi saya hanya tambah RM40 juta khusus supaya dikendali oleh Majlis TVET Negara, selain daripada apa yang diperuntukkan oleh PERKESO dan lain-lain. Jadi untuk ini RM50 juta, tapi dari potong RM10 juta oleh Melaka.
- Saya diminta juga untuk hari ini, untuk menyebut bahawa angka terakhir tentang pelaburan. Kita ini macam ada masalah di Malaysia ini — semua cerita positif itu tidak dihebahkan. Yang ada ini hasutan, dengki. Melaka dengan kejayaan pelancongan, kehadiran syarikat-syarikat besar termasuk Infineon itu tidak dihebahkan. Yang dihebahkan itu semua yang negatif.
- Jadi anak-anak kena guna dan manfaat masa untuk bantu membangun negara, ini TVET. Lihat negara-negara jiran, negara-negara membangun. Mana negara yang capai perubahan atau laksanakan perubahan begitu pantas mengangkat kedudukan TVET, memberikan perhatian kepada mereka seperti yang dilakukan oleh Malaysia. Kalau anak-anak beritahu ibu bapa, inilah Malaysia satu-satu negara yang berikan tumpuan, dukungan, peruntukan untuk beri peluang bukan sahaja anak TVET dan sekarang termasuk anak-anak huffaz daripada Maahad Tahfiz. Bagi tahu saya di mana? negara mana? yang ambil kira nasib anak-anak Maahad Tahfiz itu. Semua orang bercakap soal agama dan Islam, semua orang cakap soal Melayu. Tapi bila kerja, bila program tidak ada, inilah Kerajaan dan terima kasih saudara Zahid Hamidi yang mengambil inisiatif ini.
- Jadi bila kita umumkan soal pelaburan, jangan dikritik begitu sahaja. Sambutan daripada luar negara, saya lihat dalam sejarah sejak Merdeka 1957, tidak ada tumpuan sehebat ini kepada negara Malaysia. Dulu kalau paling banyak, 8–9 orang satu tahun. Kita setiap minggu baru-baru ini — presiden, perdana menteri, raja datang. Paling akhir Presiden Poland. Sebelum itu Perdana Menteri Guinea-Bissau, sebelum itu Turkmenistan yang tunggu ‘queue’ hendak melawat. Bukan sebab saya, sebab pasukan yang ada dalam Kerajaan. Sebab khidmat yang ditunjukkan dan kerja kita. Politiknya stabil, dasarnya jelas. Kalau tanya, di TVET apa dasar kita? Begini. Kalau semikonduktor, apa dasar kita? Ada. Semiconductor Industry, transisi tenaga, ada dasarnya.
- Dan setiap kementerian, tiap jabatan, pegawai-pegawai, penjawat awam itu dikerah untuk melakukan sebaik mungkin untuk angkat martabat. Malaysia ini mampu jadi negara hebat. Bukan dengan cerca orang. Bukan dengan hina orang. Malaysia mampu jadi negara hebat kerana anak-anaknya bangkit bela nasib dan angkat martabat ekonomi negara kita.
- Umpamanya, untuk suku pertama 2025. Dalam keadaan ekonomi dunia gawat. Dalam keadaan Presiden Donald Trump mengusulkan adanya tarif, menyekat kemasukan barang-barang dari negara China, dari India, dari Malaysia, dari Indonesia, semua negara — pertumbuhan ekonomi menguncup. Tetapi Malaysia, suku tahun pertama, pelaburan yang diluluskan: RM89.8 bilion. Maknanya peningkatan. Bayangkan, dalam keadaan orang ini agak ‘handbrake’ sedikit tentang pelaburan, ada peningkatan 3.7%.
- Dua minggu yang lalu, syarikat semikonduktor, pembikin cip terbesar di Amerika — AMD, menghubungi saya dalam telefon, video online bersama dengan YB Menteri MITI, Tengku Zafrul. Dan mencadangkan pelaburan besar, US10 bilion ke Malaysia. Kita setuju. Tapi kita kata, boleh tidak tunggu sekejap, 9 Julai, Presiden Trump akan tetapkan kadar tarif. Jadi kita hendak buat keputusan, kita kena tunggu dan ubah suai sedikit.
- Anak-anak tahu apa dia jawab? Kami yakin bahawa Malaysia mampu dan tidak akan ada sekatan yang akan menggugat Malaysia. Dan kami yakin dengan pelaburan di Malaysia. Dan kami minta Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia luluskan segera kemasukan kami di Malaysia. Ini keadaan kita lebih berhati-hati, tapi pelabur lebih yakin. Kerana kalau kita tanya, sebab apa? Sebab dasarnya jelas, politiknya stabil, tenaga kerja itu profesional. Dan anak-anak kita, pekerja-pekerja di kilang-kilang dan syarikat-syarikat itu cukup baik disiplinnya.
- Saya tanya Pengerusi Google tatkala jumpa di San Francisco. Dia kata kalau pelaburannya di Asia, dia anggap tenaga kerja Malaysia ini di antara yang paling kuat disiplin dan terbaik yang dia alami. Dari jumlah RM89.8 bilion, RM30.5 bilion merupakan pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, melibatkan 207 projek yang dijangka mewujudkan 18,317 peluang pekerjaan. Dan apa kaitan dengan TVET? Kategori pengurusan, teknikal, penyeliaan itu tertinggi iaitu peningkatan dari 44.2% kepada 46.3%. Ini peluang pekerjaan yang kita sebut hanya dari sudut pelaburan yang kita terima bagi suku tahun pertama tahun ini.
- Jadi anak-anak di TVET tumpu perhatian. Jadi manusia yang baik. Pupuk nilai dan akhlak yang baik. Tambah keyakinan dan amalan agama. Dan tambah ilmu. Jadi bukan sahaja orang yang cerdik dan pintar, tetapi orang yang bermoral dan berakhlak baik. Yang tidak menghina sama-sama rakyat Malaysia, yang tidak merendah dan mencaci orang di antara satu sama lain, kaum lain, atau fahaman yang lain. Tetapi menjadikan ini sebagai satu kumpulan keluarga besar negara Malaysia.
- Jadi saudara-saudari yang dikasihi sekalian, saya sengaja tegaskan hal ini, kerana saya rasa bangga hadir bersama-sama pada hari ini kerana saya lihat apa makna sistem politik yang stabil. Apa maknanya dasar yang boleh memberikan peluang pekerjaan yang lebih baik. Dulu kita katakan gaji minimum RM1,700. Datuk Seri Zahid dalam mesyuarat Jemaah Menteri kata, untuk TVET dia tidak setuju. Kalau ada peluang pekerjaan dapat sampai 98%, gajinya RM1,700, kita kata tak cukup.
- Ini sikap kita. Itu gaji minima. Maknanya untuk lulusan TVET, kita hendak naikkan kalau boleh sampai RM3,000 minima permulaannya, supaya ada expertise yang dihargai dan diterima oleh syarikat-syarikat multinasional dan juga syarikat-syarikat tempatan domestiknya ada.
- Jadi saudara-saudara, saudari-saudari yang dihormati sekalian, saya tidak mahu mengulangi penghargaan, tetapi wajar sebagai orang yang lihat sendiri keadaan dan bagaimana tumpuan yang diberikan oleh Majlis TVET Negara, ada cadangan yang harus kita berikan pertimbangan, sama ada boleh angkat kedudukan Malaysia TVET Negara ini menjadi satu suruhanjaya. Jadi kita akan tunggu sama ada apakah kita boleh berikan pertimbangan sesegera mungkin berdasarkan perubahan yang berlaku.
- Bayangkan jumlah pelajar yang bertambah, jenis latihan yang bertambah, saya dan juga Kementerian Kewangan tentunya akan meneliti supaya kemudahan-kemudahan di TVET itu diberikan juga keutamaan. Apakah machineory cukup? Apakah bentuk latihan dan teknikal expertise yang cukup? Dan bagaimana boleh kita adakan sinergi, seperti Malaysia tekankan tadi, di antara syarikat-syarikat kerajaan dan syarikat-syarikat swasta dengan TVET yang sedia ada.
- Jadi sebab itu di antara tugas majlis, dan sekiranya wujud Suruhanjaya ini, adalah ke arah agenda transformasi TVET yang telah dimulakan dengan baik dan meyakinkan. Saudara-saudari, ini berita baik untuk kita.
- Mengapa kita gunakan ilmu, kebebasan kita untuk memberikan gambaran yang sangat-sangat buruk dan remeh? Ada orang menyatakan sekarang ini kita gagal kerana rasuah lebih menular. Saya tanya, rasuah di mana? Menteri mana yang curi wang? Menteri mana yang ambil tanah? Menteri mana yang ambil projek? Kalau berlaku, ini urusan SPRM. Bila kita tanya, tidak ada bukti. Tapi kami percaya. Inilah jenis perangai pemfitnah.
- Kadangkala guna datang nama Islam, kata nama Melayu. Ada pula cuba, dia tak peduli ini TVET. Dia tak peduli nasib anak-anak huffaz. Ini Melayu yang kita cuba, yang dia cakap selamatkan Melayu. Selamat mana? Selamat dengan ucapan? Selamat dengan maki hamun orang? Selamat dengan hanya nak rebut kuasa? Masa kamu ada kuasa, mengapa tidak buat? Itu soalnya. Orang-orang ini semua pernah berkuasa dulu. Masa ada kuasa, kerjanya kaut harta. Masa hilang kuasa, hasut rakyat untuk bangkit.
- Saya nak nasihat anak-anak. Jaga negara ini. Nasihat anak-anak, kerja dengan baik, belajar dengan tekun. Tapi selamatkan negara daripada pemimpin atas atau tengah siapa pun yang mahu sakau. Nak selamatkan Melayu, nak selamatkan negara, bukan dengan cara menghina orang dan mencaci orang dan memfitnah orang. Nak selamatkan Melayu dan negara ialah kerana kekuatan ekonomi kita, kesatuan dan perpaduan kita, dan kepintaran kita, yang Allah berikan untuk tinggikan darjat kita.
- Jadi selamatkan rakyat dan selamatkan negara dengan tanggungjawab yang lebih baik. Saya percaya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Zahid dan rakan-rakan pimpinan akan terus bekerja siang malam, tekun dan jaga tatakelola negara dan selamatkan kita dan negara ini.
- Saya sengaja memilih tekankan hal-hal ini kerana bagi orang-orang yang bebal ini, dia tidak peduli tentang masa depan anak-anak. Kerja dia hanya hasut. “Islam terancam, tak boleh lagi dah cakap Islam. Melayu habis. Semua harta Melayu diambil, dikaut oleh Cina. Tanah-tanah Melayu habis. Selamatkan.” Apa yang mereka mahu kita lakukan? bagi tahu. Kita bukan mewakili satu sistem yang semua sudah sempurna. Saya dan Datuk Seri Zahid sedia dengar bagi pandangan. Jadi saya gunakan peluang ini, minta maaf untuk menjelaskan kepada rakan-rakan di Melaka dan di seluruh negara yang datang. Terutama anak-anak muda, mesti ambil tahu. Mesti ambil tahu dan ada pencerahan dan ada maklumat yang betul.
- Kerana setiap kenyataan kita, setiap ucapan kita, setiap berita yang kita sampaikan melalui media sosial, setiap TikTok kita, kita bertanggungjawab juga kepada Allah. Dunia dan negara tidak pernah selamat dan maju dengan hasutan dan kebencian. Dunia ini selamat dengan ketekunan kita, dengan sikap kita, dengan keperibadian kita. Inilah yang hendak dipupuk di kalangan anak-anak muda. Ya, harus ada keterampilan. Ada kemahiran baru, ada new skills, new technology. Tetapi kita ini manusia. Dalam negara MADANI ini, soal insan, karma insan, soal ihsan, itu menjadi tunggak kepada pemikiran kita.
- Sebab itu saya ingin menyeru anak, dalam keluarga TVET, tenaga pengajar, pengarah, jangan lupa prinsip ini. Kita selamatkan negara dan rakyat sekiranya kita tumpu dan kekal dengan landasan yang mahu kita bina bersama.
Sekian, terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM CADANG KERJASAMA SWASTA, GLC PERKASAKAN TVET
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- KERAJAAN SOKONG PENUBUHAN SYARIKAT INOVATIF DAN BERPERTUMBUHAN TINGGI – PM ANWAR
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- TADBIR URUS YANG BAIK UNTUK TINGKAT KEYAKINAN PELABUR, HALANG GONDOL KEKAYAAN NEGARA – PM ANWAR