TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS SANTUNI KASIH KPKT KEPADA PELAJAR PARLIMEN TAMBUN

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

 

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS SANTUNI KASIH KPKT KEPADA PELAJAR PARLIMEN TAMBUN

 

 

25 APRIL 2025 | JUMAAT | 3.15 PETANG

 

SEKOLAH MENENGAH JENIS KEBANGSAAN POI LAM, TAMBUN, PERAK

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera.

 

  1. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana dapat sama-sama pada hari ini. Terima kasih kepada saudara saya Menteri KPKT dan YB Puan Sandrea Ng, EXCO Perak. YB Nga Kor Ming sampaikan pandangan tadi mewakili kita dan tentunya Tan Sri Vincent Tan dan Puan Sri kerana membantu menjayakan program ini, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan rakan-rakan serta anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

  1. Hari ini kita adakan majlis santuni anak-anak kita di sekolah dan dapat sedikit sebanyak sumbangan untuk meringankan beban mereka di sekolah.

 

  1. Anak-anak harus fikir negara kita ini sekarang sudah capai tahap yang lebih maju, pelaburan kian tinggi dan paling kuat kita di bidang semikonduktor, data centre dan Ai. Ini maknanya anak-anak harus tahu kalau mahu berjaya mesti sedia belajar dengan rajin, kuasai ilmu baru selain daripada belajar di sekolah dengan penguasaan bahasa yang lebih baik, Bahasa Melayu – bahasa rasmi, Bahasa Inggeris, penting dari segi perdagangan dan sekarang di rantau kita dan di dunia perkembangan ekonomi negara China meningkat dan penguasaan Bahasa Cina itu juga telah mencatat sesuatu keperluan keadaan di mana lebih ramai anak-anak kita menguasai, bukan sahaja anak-anak Cina kalau anak Melayu, anak India yang bantu menguasai Bahasa Inggeris, Bahasa Cina ini akan membantu mengangkat martabat mereka, keluarga mereka dan masa depan negara kita.

 

  1. Anak-anak dikasihi sekalian, harus ingat kita tidak boleh anggap sekolah kita ini berjalan seperti biasa dahulu. Kita tidak boleh capai kedudukan ekonomi yang lebih baik kalau prestasi kita pada kadar yang lama. Sebab itu, saya telah beritahu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi semua sekolah, Pengetua, Guru Besar, harus ingat bahawa kalau mahu jamin masa depan Malaysia yang lebih baik, mutu pendidikan harus lebih tinggi. Bagaimana? disiplin harus lebih baik.

 

  1. Masih ada laporan-laporan dari semasa ke semasa amalan buruk di kalangan anak-anak; buli, menghina orang, mencaci satu sama lain, menghina kerana warna kulit atau kaum. Ini bukan cara orang yang belajar. Negara ini negara Malaysia, negara Malaysia ini memang betul majoriti Melayu, Bumiputera. Negara Malaysia juga memberikan tempat kepada semua. Sebab itu, saya beritahu, mahu jadi guru yang baik, mahu jadi pemimpin yang baik, mahu jadi Perdana Menteri yang baik, dia mesti ada satu sikap, apa dia? anak Melayu, anak saya, anak Cina, anak saya, anak India, anak saya, anak Orang Asli anak saya.

 

  1. Dan saya hendak ingatkan anak-anak pupuk dari sekarang. Lawan orang-orang yang pandangannya sempit dan bodoh. Orang-orang yang nilai orang dari segi warna kulitnya atau kaumnya. Kita nilai orang dari segi ilmunya, baik atau tidak, orang itu baik atau tidak? ada ilmu atau tidak? bawa kebaikan atau keburukan? dia bekerja dengan baik atau dia bawa jenayah? Kita nilai orang pada perangai dan budi pekertinya.

 

  1. Jadi, saya harap anak-anak ingat itu perkara pertama. Kita tidak mahu dengar sekolah, saya tidak kira sekolah Melayu, sekolah agama, sekolah Tamil, sekolah Cina, jangan ada fahaman ini kerana ia akan memecah dan merosakkan negara kita.

 

  1. Negara kita kuat dan unik, tengok di sini hadir, pelajar Melayu, pelajar Cina, pelajar India, orang Asli. Tetapi kita datang sebagai anak Malaysia yang cinta negara kita. Dan guru-guru harus juga ingat bagaimana mereka bertanggungjawab untuk memberikan pendedahan ini.

 

  1. Yang kedua, saya katakan perlu, upaya angkat martabat pendidikan kita. Kalau dahulu zaman sebelum saya, dia kena 3R sahaja. Maknanya masa itu Bahasa, Matematik dan satu lagi. Ada 3, kalau di sekolah kalau dia kuasai matematik, bahasa dan mungkin masa itu sejarah permulaan. Kemudian meningkat kepada sains, matematik dan sains dipecahkan. Tapi sekarang tanpa kecuali dalam bidang apa pun kita mesti menguasai digital, menguasai Ai and that is the technology of the future. You want to succeed, you master this technology.
  2. Dan sebab itu di universiti-universiti sekarang kita sudah ada fakulti Ai. Setiap universiti ada unit dan jabatan Ai dan dia merentas semua disiplin dan saya harap sekolah juga cepat menanggapi. Kita tidak boleh rancang untuk 5 tahun sebelum mula. Bila saya cadangkan sekolah-sekolah selain berbahasa Melayu mesti cuba tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris ada yang katakan rancangan itu mesti mengambil 3 tahun, saya kata tidak boleh, mulai tahun itu juga. Kalau tidak boleh 100 sekolah, mula dengan 50 sekolah. Dia harus ada keberanian bawa perubahan ini. Jadi saya minta anak- anak faham ini.

 

  1. Dari segi kerajaan kita cuba yang sebaiknya, kita tidak boleh selesaikan semua masalah. Tetapi bila saya jadi Perdana Menteri 2 tahun 1/2 yang lalu untuk pendidikan, apa yang pertama saya lakukan? kemudahan asas. Ini sekolah, anak-anak tahu tak, tahun 2023 berapa tandas yang kita baiki di seluruh negara? Hampir 9,000 lebih. 9,000 pada peringkat awal dan sekarang sudah 12,000 tandas dibaiki. Anak-anak tahu sebab apa saya tekankan hal ini? Kerana kita hendak latih anak-anak disiplin, latih kebersihan, tandas sekolah rosak atau kotor. Jadi pendidikan apa? Kita didik ini ilmu, kita didik juga disiplin, kita didik dan juga nilai kebersihan dan sebab itu kita belanja lebih RM 1 bilion. Jadi anak-anak harus faham. Ada satu sekolah tadi dia kata satu tandas rosak. Nanti ingat nama sekolah itu dan hari Isnin, saya pastikan ada pegawai pergi ke sekolah itu dan cuba selesaikan tandas di sekolah tersebut. Ini saya punya feedback yang baik.

 

  1. Orang kata “PM, mana dapat maklumat ini?” Setiap Jumaat saya pergi masjid, bila solat anak-anak sekolah banyak tunggu. Saya tanya sekolah mana, dia beritahu sekolah. Tingkatan berapa, darjah berapa, tandas sekolah bagaimana? Dia bagitahu ada yang baik, ada yang dah rosak. Kedua saya tanya guru semua datang tak? Ada guru yang tak hadir tak? Ada guru yang ambil cuti tak? Itulah feedback saya dan terus saya text atau telefon Menteri Pendidikan, selesaikan masalah yang saya dengar langsung daripada anak-anak. Pasal apa kadang-kadang dalam majlis seperti ini orang agak segan sikit mahu cerita problem. Tapi kalau tanya anak-anak sekolah, they will tell the truth and I respect them. Tell the truth for your own good. Itu yang kedua. Disiplin, belajar dan nilai yang kita pupuk supaya kita dapat menguasai ilmu dengan baik.
  2. Jadi jangan lupa dua perkara yang saya ingatkan sebab kalau ditanya apa matlamat pelajar? Kalau saya tanya pelajar tingkatan berapa? Tingkatan 4. Kalau saya tanya apa matlamat belajar? Dia jawab nak lulus SPM. Not good enough. Ya betul, ada dia jawab nak cari kerja yang baik. Ada betul tapi tak lengkap. Tapi belajar ini, menimba ilmu, acquisition of knowledge untuk apa? Untuk menjadi manusia yang baik. Itu matlamat dia. Acquisition or assimilation of knowledge untuk apa? Untuk menjadi a good citizen, a good man or woman dan dia ada matlamat, a good man and woman itu akan menyampaikan kebaikan kepada dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan negaranya. Dissemination of truth and justice and goodness for the family, society and the nation. Jadi saya harap anak-anak ingat itu.

 

  1. Saya nak rumuskan sedikit tentang negara kita. Negara kita catat kemajuan yang baik, tapi anak-anak sekolah harus tahu apa masalah kita? Masalah kita perpaduan, masalah kita workforce. Sekarang kita ada syarikat-syarikat AI, digital semikonduktor yang terkenal. Tapi sekarang kalau kita kekal unjuran projection yang ada, kita akan kurang 30,000 jurutera.

 

  1. Ingat, kita ada Infineon, syarikat semikonduktor terbesar dari Jerman yang masuk di sini. Minggu lalu, Presiden Xi Jinping dari negara China datang memberi sokongan yang padu menggalakkan syarikat-syarikat besar melabur di sini. Di Perak termasuk Geely Proton Tanjung Malim; di Johor, data centers; di pelabuhan dia masuk dan semua itu memerlukan tenaga, new talents, qualified professionals and you, anak-anak akan menentukan masa depan kita. Jadi saya harap balik kirim salam kepada keluarga, kepada ibu bapa, boleh ya? Please send my respect, salaam to your parents and your family? Boleh?

 

  1. Jangan lupa anak-anak jadi begitu kerana kasih dan didikan ibu bapa. Belajar, hubungi mereka, tunjukkan kasih sayang kepada mereka dan jangan ikut perangai sesetengah negara, di mana dia agak pandai sedikit, dia rendahkan dan hina keluarga sendiri. Jangan lupa tunjukkan hormat dan salam ibu bapa dan guru-guru. Kata, Uncle Anwar sampaikan mesej, minta sampaikan salam dan terima kasih kerana jasa ibu bapa dan guru-guru kepada pelajar-pelajar sekalian. Boleh? Saya ingatkan. Ini tanda awal anak-anak itu orang baik, terdidik atau tidak. Dia balik, kalau dia tanya apa program? Jumpa ada Menteri, jumpa EXCO, jumpa PM. Ada orang kata PMX. Apa dia cakap? Dia pesan sampai salam, ucap terima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru kerana membantu mendidik mereka. Jadi sekali lagi saya harap anak-anak tunjukkan prestasi yang baik.

 

  1. Perak hari ini punyai 3 projek raksasa; Geely Tanjung Malim, Lumut pelabuhan yang canggih yang baru dirancang, di Kerian kita ada hi-tech green yang pertama di Asia Tenggara. KIGIP, Kulim Integrated itu hi-tech yang pertama. Tiga-tiganya itu di Perak. Jadi kita mahu anak Perak bangkit sebagai pelatih dan profesional yang layak untuk mengisi kekosongan ini. Buat apa ada yang besar-besar? Projek raksasa, tapi tak cukup anak dilatih.

 

  1. Jadi sekian dulu saya ucap terima kasih dan jangan lupa tekun belajar, jaga disiplin, jangan belajar jadi sombong, angkuh dan hina orang serta buli orang, kerana saya tidak fikir sistem negara kita, sekolah kita harus izinkan hal ini berterusan.

 

Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.