
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2025
PERINGKAT NEGERI PERAK
25 APRIL 2025 | RABU| 8.00 MALAM
STADIUM INDERA MULIA,
IPOH, PERAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabaratuh dan Salam Sejahtera,
Alhamdulillahirabilalamin,
Nahmaduhu Wa Nusolli Ala Rasoolilah Kareem,
Waala Alihi wa sahbihi ajmain.
Saudara,
YB Tuan Nga Kor Ming,
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;
YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir,
Menteri Pendidikan Tinggi;
Speaker;
Setiausaha Kerajaan Negeri;
Timbalan Menteri;
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; dan
Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah dari Putrajaya turut hadir;
Terima kasih, rakan-rakan yang dimuliakan dan saudara-mara yang di luar yang ramai tadi, saya dapat santuni sebahagiannya.
- Terima kasih atas inisiatif ini dan kerjasama Kerajaan Negeri dan YAB Dato’ Seri Haji Saarani, Menteri Besar Perak sampaikan salam. Beliau ada tugas penting, saya kirim beliau dekat DUN Ayer Kuning. Dan rakan-rakan selain daripada Kerajaan Negeri, Persekutuan, rakan-rakan di Tambun, saudara YB Tuan Nga Kor Ming yang membantu menyelenggarakan majlis yang permai pada malam ini.
- Malam ini, seperti mana kita faham, adalah sambutan Aidilfitri, semangat Aidilfitri kerana kita diperingatkan bahawa Aidilfitri itu hanya satu hari, 1 Syawal, tapi semangatnya muhibbah, mengeratkan silaturrahim, mengingatkan semangat Ramadan, kelulusan ujian dalam madrasah tarbiah Ramadan itu, dan kemudian memahami bahawa semangat fitrah itu maknanya mengangkat martabat kemanusiaan kembali sebagai apa yang diistilahkan sebagai “the primordial main”. maknanya, fitrah-fitrah ini dengan kebaikannya, kemurniannya, kemanusiaannya, rahmah dan ihsan dan kasih sayangnya.
- Sebab itu saya lihat tadi ramai pengunjung dari pelbagai kaum, pelbagai agama. Ini keindahan yang kadang-kadang kita dari Malaysia ini anggap sebagai lazim dan biasa, tetapi inilah kekuatan yang membina negara ini kerana kita pupuk semangat ini.
- Kita hadir dalam acara Hari Raya Cina, Deepavali dan juga Pesta Kaamatan, Gawai di Sabah, Sarawak. Itu menunjukkan bahawa kita memuliakan, menghormati lita’arafu, tentang perbedaan. Negara-negara yang pelbagai kaum, pelbagai agama, memang menghadapi ancaman besar. Bagaimana boleh kita santuni agar tidak menimbulkan ketegangan dan perseteruan? Perseteruan itu membawa kepada bencana, jarang berlaku, seperti mana kita lihat di Malaysia ini – negara yang kukuh.
- Anak-anak muda mungkin tidak memahami sepenuhnya semangat dan roh kemerdekaan kita, kerana hampir semua pemerhati politik, penganalisis dunia pada ketika itu, media antarabangsa kalau lihat tahun 60-an sejurus selepas kemerdekaan, ramai yang menganggap kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia itu sangat rapuh. Rapuh kerana budaya yang berbeza, rapuh kerana sentimen kaum yang kuat, maka tidak dapat bertahan. Apa lagi bila tercetusnya tragedi 13 Mei. Tapi alhamdulillah, sejak 1969 tidak ada peristiwa ketegangan dan ini yang menyebabkan negara ini sekarang terangkat, martabatnya, harakatnya, darajatnya sebagai suatu negara yang kukuh.
- Dan ini mengundang keyakinan, kestabilan politik ini memberi rahmat, pelaburan bertambah, ekonomi dapat diurus dengan baik dan saya tekankan pula sejak saya dan rakan-rakan di sini memimpin, isu pertahanan negara dan tatakelola supaya kelemahan-kelemahan, keterlanjuran itu dapat dibanteras, disekat, dikekang dan kita angkat keupayaan kita.
- Dan semua angka pelaburan, inflasi, pertumbuhan, jauh lebih baik. Cuma kita terpaksa hadapi juga beberapa kenyataan geopolitik yang baru. Bila Presiden Donald Trump, Amerika Syarikat menggunakan secara unilateral menolak gagasan multilateral, WTO yang sebenarnya mengikat semua negara kepada beberapa peraturan-peraturan dasar. Dan apakah ia memberikan sedikit kesan? Ya. Setakat ini kesan kita minimal tetapi kesan masih negatif.
- Maknanya kita di Perak Darul Ridzuan di Malaysia ini harus tahu bahawa kita mesti bina kekuatan, daya tahan, daya saing, daya juang kita bahawa kekuatan kita ada, kita bersatu, kita mahu negara kita maju dan kita tidak mahu mana-mana negara mengekang, menghambat, menyekat kemaraan kita.
- Itulah sebabnya mengapa langkah-langkah domestik kita pertingkatkan. Dalam beberapa minggu ini saya sentiasa menghubungi rakan-rakan saya di ASEAN, kerana kita kebetulan mempengerusikan ASEAN tahun ini. Dalam semua hubungan dan perbincangan saya dengan pimpinan ASEAN, usaha bilateral diteruskan, tetapi usaha bersama multilateral ASEAN diperkuatkan, kerana bila kita bicara atas nama ASEAN, ia sudah trilion ringgit. Bila kita berbicara soal ASEAN, ia sudah mencecah 640 juta orang. Jadi dengan kekuatan beberapa trilion ringgit dan lebih daripada setengah bilion rakyat, tidak boleh mana-mana kawasan di negara yang boleh menghalang kemaraan kita.
- Keduanya, kita juga membuka pasaran baru, syukur alhamdulillah, sejak dua (2) tahun lalu, saya bergegas agresif sekali. Sejak masa itu, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir Menteri Luar, dan sekarang untuk Dato Seri Mohammad Hassan bersama dengan rakan-rakan buka peluang, cari pasaran baru; Amerika, Eropah, India, China, Asia, menerobos ke Brazil, hubungan baik dengan selatan Afrika kerana Brazil dan selatan Amerika itu punyai kekuatan ekonomi di benua masing-masing dan ini dapat melegakan sedikit.
- Umpamanya, pertumbuhan perdagangan, termasuk eksport kita ke Mesir, yang agak kecil itu meningkat dalam satu tahun 34%. Proton, yang sukar dulu menembus atau memecah tembok-tembok halangan negara, sekarang sudah pun berupaya untuk mengeluarkan produk Proton di Mesir, dan ini beberapa langkah kita ambil dan kita teruskan.
- Negara China tentunya menjadi rakan dekat, dan bila pemimpin-pemimpinnya; Premier, Speaker, Ketua Angkatan Tentera, Naib Presiden datang dan baru-baru ini Presiden Xi Jinping datang bukan sebagai satu pelawat biasa, tetapi dengan semangat persahabatan yang baik. Ini bagi saya sangat penting hanya untuk menjamin keutuhan ekonomi kita, bahawa tanggungjawab kita ini adalah menjaga kemaslahatan rakyat.
- Jadi saya pun bernasib baik kerana rakan-rakan dalam pimpinan dan Jemaah Menteri dan Kerajaan-kerajaan Negeri macam hubungan Persekutuan dengan Perak sangat baik, yang menyebabkan Perak itu menjadi satu negeri yang mempunyai potensi yang jauh lebih besar dengan Geely-Proton di Tanjung Malim, Pelabuhan Baru di Lumut, dan KIGIP yang juga merupakan satu Hi-Tech hijau satu-satunya di Asia Tenggara, dan kita minta dipesatkan dengan laju.
- Dan saya ucap terima kasih, Datuk SUK pun ada di sini, dalam ketiga-tiga projek ini, tahap kelulusan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak itu adalah di antara rekod yang kita capai dengan cepatnya, dengan berkesan.
- Jadi saudara-saudara, saya tahu Majlis Aidilfitri ini kita santai tapi saya nak ambil kesempatan ini menunjukkan bahawa jangan kita cuai, jangan kita pandang ringan hal-hal ini. Jangan kita digugat dengan celoteh-celoteh seperti di Air Kuning. Kita cakap soal digital sekarang, AI, negara itu terancam dengan tarif, bahawa harus ada kekuatan baru dalam melatih anak-anak kita, talent baru, kecekapan baru, kepintaran baru dalam kejuruteraan, dalam AI (Artificial Intelligence). Tapi yang dibicarakan, takut Kristian, Cina nak telan kita, DAP ini hantu. Tak selesai. Saya tidak mengatakan kita tidak boleh berbicara. Boleh, tapi lihatlah kepada masa depan kita, pandanglah kepentingan anak-anak kita, apakah kita mampu kekalkan tahap ini atau kita lonjak laju? Saya jawab kita mampu. Masalah orang Melayu ini ke masalah orang Cina? Masalah pimpinan yang harus bersih, pimpinan harus tegas, pimpinan harus berwibawa. Kalau kita berwibawa tak berani orang ganggu kita.
- Tapi kalau kita terlalu lembap, mudah korup, mudah dibeli, mudah ugut, cemas mudah, itu tak perlu ada hantu, memang kita akan tewas. Jadi sebab itu saya ambil satu pendekatan yang sangat realistik, negara ini mesti stabil, politik mesti kukuh, dasar dan kerangka ekonomi dan pembangunan harus jelas dan penguatkuasanya, pelaksananya, barisan jentera pentadbiran harus super efisien. Kita mampu saudara-saudara.
- Dan saya mewakili pandangan-pandangan, walaupun saya sudah tua sedikit, tapi saya berpandangan yang agak optimis kerana aspirasi, harapan saya tinggi menggunung. Kerana saya benar-benar cinta kepada negara ini dan melihat anak-anak, melihatkan rakyat, kesukaran mereka, keupayaan mereka, saya yakin kita boleh angkat martabat semua kaum dan semua belia negara kita.
Terima kasih, maaf zahir batin.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PM ANWAR GESA ASEAN LAKSANAKAN USAHA KOHEREN DAN BERSEPADU
- MALAYSIA MADANI ANGKAT SEMULA MARTABAT NEGARA – PM ANWAR
- TIDAK PERLU DARURAT BENCANA, HUJAN SEMAKIN BERKURANGAN – PM ANWAR
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG