TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: SAMBUTAN HARI STATISTIK NEGARA DAN JUBLI INTAN, 75 TAHUN JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA (DOSM)

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

SAMBUTAN HARI STATISTIK NEGARA DAN JUBLI INTAN, 75 TAHUN JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA (DOSM)

 

 

2 NOVEMBER 2024 (SABTU) │12.00 TENGAHARI

 

PENANG INTERNATIONAL CONVENTION

CULTURAL & ARTS CENTRE (PICCA),

PULAU PINANG

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba,

Wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Dan Salam Sejahtera.

Saudara YB Rafizi Ramli,

Menteri Ekonomi;

YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri;

YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang;

YBhg. Dato’ Nor Azmie Bin Diron,

Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi;

Semua rakan-rakan yang dimuliakan; dan

Khususnya kepada,

YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin,

Ketua Perangkawan Malaysia dan seluruh keluarga Jabatan Perangkaan Malaysia pada Hari ini; dan

Rakan saya,

YB Tuan Lim Guan Eng,

mantan Ketua Menteri dan juga Ahli Parlimen Bagan bersebelahan Permatang Pauh.

  1. Saya ucap terima kasih kepada saudara YB Rafizi Ramli dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta keluarga Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kerana diberi kesempatan untuk bersama. Katanya menunggu lama untuk dapat jadual daripada saya, sebenarnya di antara sebabnya kerana kita yakin dengan prestasi yang baik, jadi tidak perlu diganggu oleh Perdana Menteri.
  1. Kita dengar tadi ucapan saudara YB Rafizi Ramli dan kita ikuti tentunya Jemaah Menteri dalam sidang seringkali meneliti laporan-laporan Jabatan yang saudara sedia maklum dalam semua perancangan, unjuran pertumbuhan, dalam pelaburan, kajian kemiskinan dan bantuan baharu, semuanya memerlukan angka dan data. Maknanya nadi kehidupan rakyat dan negara itu bergantung kepada tahap kecekapan kita, integriti kita untuk menghasilkan data dan angka yang meyakinkan.
  1. Satu hal yang tidak boleh dipertikai dalam negara ini, walaupun ramai yang mempertikaikan institusi dan agensi, tetapi DOSM telah letak satu prestasi dan nilai serta integriti yang dihormati oleh semua rakyat negara kita. Dan ini membantu kita kerana bila angka-angka ini diyakini ia boleh membantu negara, tumpu untuk memacu pertumbuhan dan pengagihan yang lebih adil.
  1. Saya menunggu rumusan Banci Pertanian 2024, kerana ini akan membantu kita dalam merangka Dasar Pertanian yang boleh menjamin keterjaminan makanan dan penghasilan serta jumlah petani iaitu nelayan yang sebenarnya, yang patut kita tangani permasalahan mereka.
  1. Jadi saudara-saudara, saya tentunya seperti mana Menteri tadi hadir untuk menyatakan bahawa kita perlu dukung. Saya beritahu tadi kita dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) tahu, ada peruntukan umpamanya untuk memastikan tenaga profesional mendapat latihan terbaik, diberi pendedahan dan di antara jabatan yang diberi keutamaan untuk diberikan pendedahan umpamanya dalam soal digital, dalam soal Artificial Intelligence (AI) itu adalah Jabatan Perangkaan atau Statistic Department.
  1. Jadi kalau ada masalah kekurangan itu saudara perlu bantah kepada KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmantan Awam (KPPA) sebab arahan sudah pun disampaikan. Sebabnya satu yang penting saudara faham, selama ini banyak Jabatan dan Kementerian bergantung kepada pakar-pakar luar, tidak ada masalah sekali-sekali mungkin boleh, tetapi kadang-kadang dia jadi lembap, tidak melatih keupayaan dalaman. Negara ini tidak boleh lagi memacu pertumbuhan, melakukan perubahan dengan ketergantungan kepada pakar-pakar luar. Sebab itu mereka harus belajar juga dari pengalaman DOSM dan DOSM mampu memberikan hasil, angka-angka, data bukan saja peringkat negara kebangsaan, negeri dan sekarang sampai ke daerah dengan apa yang dikatakan angka akar umbi granular.
  1. Dan melalui usaha, keupayaan, kemahiran, kepakaran sendiri, Kerajaan tentunya harus iktiraf ini dan memberikan laluan, peluang latihan yang terbaik bagi rakan-rakan yang dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan angka-angka, data yang terbaik untuk rakyat dan negara. Bagaimana kita boleh merangka umpamanya Dasar Ekonomi? Ekonomi MADANI ke arah menilai mutu pendidikan kita, tahap kemudahan kesihatan kita, keupayaan prasarana kita, tahap latihan dan tahap kecekapan rakyat? Itu melalui angka dan data. Sebab itu kita tidak boleh umpamanya mengharapkan adanya satu hasil yang baik tanpa angka dan data yang memuaskan.
  1. Sebab itu saya katakan tahap profesionalisme dan integriti, dapatan kita itu harus terbaik. Mungkin YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin selain maklumkan bahawa beliau memanfaatkan hubungan antarabangsa melalui pendedahan dan dalam persatuan-persatuan, gabungan sehingga mungkin sekarang ini umpamanya Statistics Big Data Analytics, Statistical Data Warehouse itu hal yang baru dapat digarap dan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
  1. Saya tentunya menunggu supaya perubahan perubahan yang berlaku termasuk langkah-langkah yang baharu diperkenalkan untuk turun sehingga ke peringkat negeri dan daerah. Angka-angka seperti mana yang diusahakan melalui sistem PADU akan membantu kita supaya tidak ada ketirisan, pertindihan dalam penyaluran bantuan kepada rakyat kita.
  1. Saudara-saudara sedia maklum, saudara pakar bab angka dan data, jumlah bantuan pertanian, jumlah bantuan yang disebut subsidi kepada rakyat dan jumlah peruntukan bagi rakyat miskin, itu banyak sekali dan dari kajian baru-baru ini dalam beberapa persidangan termasuk Khazanah Megatrend, ternyata menurut kajian pakar-pakar ekonomi antarabangsa, Malaysia ini dengan hasil kutipan cukai yang paling rendah, tax base yang paling rendah tetapi subsidi kita di antara yang tertinggi di Asia.
  2. Betul, baik beritanya subsidi tertinggi tetapi tanpa di bantu dengan angka dan data yang baik, kita dapati banyak juga subsidi ini yang bocor dan ketirisan ini mesti ditangani. Kalau tidak, kita akan terus menambah perbelanjaan tetapi tidak sampai kepada kumpulan sasar. Ini peranan yang sangat kritikal dan strategik yang harus dimainkan seterusnya oleh Jabatan ini.
  1. Jadi saya tegaskan semula bahawa ada keperluan untuk terus meningkatkan usaha. Saya ucap tahniah tentunya kepada YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan seluruh keluarga DOSM kerana prestasi mereka selama ini tetapi lantaran negara ini melakukan anjakan yang agak ketara dan menuntut perubahan yang cepat dan pantas, maka tentunya harapan kepada DOSM sama, iaitu menuntut supaya mengekalkan prestasi tetapi meningkatkan usaha supaya hasil kita itu sebaiknya, setaraf dengan hasil Jabatan atau angka-angka yang diperolehi di peringkat negara-negara utama di dunia.
  1. Saya menaruh keyakinan dengan keupayaan Ketua Pengarah dan seluruh keluarga Jabatan Perangkaan Malaysia ini kita dapat hasilkan dan melihat umpamanya prestasi DOSM ini yang dikira paling cemerlang di rantau ini, insya-Allah.
  1. Seperti mana juga yang saudara sedia maklum, tahun depan kita akan mempengerusikan ASEAN dan kita mengharapkan dalam beberapa pertemuan, Menteri Ekonomi, Menteri Kewangan ataupun Jabatan Perangkaan sendiri, kita dapat berikan penjelasan dan penerangan tentang prestasi yang kita capai dan boleh menjadi contoh dan teladan terbaik bagi ASEAN bagi rantau ini. Itu harapan saya untuk tahun 2025.
  1. Jadi saudara-saudara mulai bulan November dan Disember ini kerja lebih sedikit supaya laporan dan penjelasan kita, pembentangan kita untuk ASEAN ini juga termasuk daripada DOSM, di antara yang terbaik di rantau kita.
  1. Jadi itu harapan saya dan saya ucap terima kasih kepada YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan seluruh keluarga dan mendoakan kepada Allah SWT, pertama untuk mengiktiraf jasa-jasa baik dan cemerlang oleh bapa-bapa, abang-abang dan kakak-kakak kita sebelum ini kerana kita warisi satu Jabatan yang agak mantap dan tahniah kepada mereka.
  1. Terima kasih dan tahniah kepada keluarga DOSM yang ada, dengan harapan mudah mudahan kita dapat tingkatkan amal jariah kita.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.