TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL HARI PENJAJA DAN PENIAGA KECIL PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2024

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

KARNIVAL HARI PENJAJA DAN PENIAGA KECIL PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2024

 

 

 

2 NOVEMBER 2024 (SABTU) │11.00 PAGI

 

PICCA CONVENTION CENTRE,

BUTTERWORTH ARENA, PULAU PINANG

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba,

wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Saudara Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),

YB Datuk Ewon Benedick;

Rakan rakan menteri yang hadir;

Ini tengok betapa pentingnya penjaja dan peniaga kecil, ramai menteri turut hadir di sini.

Timbalan Menteri; 

Ketua Setiausaha Negara,

Tan Sri Shamsul Azri;

Rakan-rakan KSU;

Timbalan Ketua Menteri;

Exco;

Ahli Dewan Rakyat;

Ahli Dewan Undangan Negeri; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin bin Dato’ Haji Abd Majid, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia dan seluruh panglima-panglima penjaja yang hadir.

Terima kasih.

  1. Saya tambah gembira hari ini, tahun lalu kita di Penampang, Sabah. Tapi yang ini di Seberang Jaya, Permatang Pauh, saya jadi rasa macam tuan rumah pada hari ini.
  1. Jadi Datuk Ewon bisik kalau tuan rumah tak kan tidak tambah peruntukan? jadi untuk hari penjaja-penjaja dan peniaga kecil memang peruntukan diberikan melalui peruntukan sedia ada kementerian.
  1. Keduanya seperti mana yang disebut oleh Datuk Ewon Benedick dari RM20 juta yang diperuntukkan, RM1 juta diberi kepada persatuan untuk perjalanan kegiatan mereka. Tapi tidak ada peruntukan khas untuk Hari Penjaja kerana sebelum ini belum ada dasar penjaja peniaga kecil.
  1. Jadi terima kasih kepada KSU Dato’ Seri Khairul Dzaimee kerana sekarang mempersiapkan kerangka dasar penjaja, peniaga kecil yang akan kita luncurkan. Maknanya untuk tahun depan harus ada peruntukan khas untuk hari penjaja dan peniaga kecil. Untuk tahun ini, katanya sedikit sahaja, maka saya tambah RM250,000 untuk majlis hari ini. Kerana menteri sebut pada saya dia kata cukup, cuma kurang sikit je kalau dia kata tidak cukup tadi RM50 juta pun saya lulus (nada seloroh).
  1. Pertama saya hendak jelaskan, mengapa dasar kerajaan dasar MADANI ini menekankan soal rakyat di peringkat bawah dan kalau saudara-saudara lihat seluruh dasarnya penyasaran subsidi 85% tidak dikena, makna tidak ditarik subsidi.
  1. Dalam ucapan-ucapan di Parlimen kita tarik subsidi, tarik hanya untuk 15% yang tertinggi. Itu pun kita hendak kaji lagi. Jangan beban pula T15 kalau pendapatan dia RM13,000, katanya rendah, kita tingkatkan lagi. Jadi sepatutnya orang politik dia patut bela 85% ini, penjaja, peniaga, petani, nelayan. Ini di Parlimen, dia berucap pertahankan golongan kaya dan maha kaya, bila masuk kampung kami pembela Melayu kampung, tidak betul. Tapi bila bercakap di Parlimen kami pembela golongan kaya.
  1. Saudara, kita tidak tambah cukai kalau dari segi penyasaran subsidi, kita hanya tarik subsidi. Apa ada subsidi bantuan? bantuan untuk rakyat susah, subsidi ini umpama sedekah. Kita tarik sedekah. Dia bayar harga pasaran. Dulu kita buat elektrik, elektrik yang di dewan ini siapa tidak bayar, tidak naik peningkatan kerana subsidi tidak ditarik balik, yang ditarik balik hanya untuk golongan atas, berapa? air conditioning di rumah 7, fan 6 bayarlah sikit. Bukan bayar cukai tambahan, bayar ikut kadar pasaran, yang kita tarik itu subsidi.
  1. Subsidi itu mana-mana negara ini sepatutnya untuk rakyat susah atau kelas menengah tapi yang didengar di bawah lain. Sebab itu saya hendak peniaga kecil dengan penjajah tolong jelaskan? dasar ini dasar bantu rakyat dari mana hendak dapat wang? Kalau negara ini orang kaya apa kita bayar? ada yang pendapatannya RM1 juta sebulan subsidi elektrik bagi, subsidi minyak bagi. Munasabah? tidak munasabah. Tidak masuk akal diteruskan. Jadi ini yang saya lakukan. Bila kita tarik subsidi daripada dia, barulah kita bantu penjaja dan peniaga.
  1. Dato’ Zainal kata okay bantu, dari mana saya hendak dapat wang, dari jimatkan belanja negara, jimat dari mana orang kaya janganlah bagi sedekah. Subsidi bagilah orang susah. Jadi saya hendak saudara faham hari ini. Begitu juga bila kita bincang penyasaran subsidi baru-baru ini. RON95, kita tidak naik bagi rakyat. 85% B40, M40 malah T20 pun, jadi tinggal 15 di atas. Itu pun kita kaji, kita bimbang takut bila dikenakan orang itu mungkin gaji RM13,000 pendapatan anak 5, 2 di universiti mungkin terbeban. Itu sedang dikaji supaya bila kita tarik subsidi jangan menyusahkan.
  1. Tapi saya tengok di media, di media sosial parti-parti pembangkang riuh rendah bercakap ini tidak adil, nak adil bagaimanapun kepada rakyat. Kalau orang yang dapat pendapatan RM100,000 sebulan RM100,000 sebulan pun kita bagi subsidi. Jadi tolong faham yang ini sausara-saudara.
  2. Baik berkaitan soal cukai, ada Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen di sini yang kata ini kerajaan MADANI ini apa? cukai orang miskin, orang kaya tidak bayar cukai, kamu mengaji ekonomi apa ni? kamu dengar kupasan Belanjawan. Kamu faham ke dasar, padahal cukai kita ini yang sekarang SST, penyasaran subsidi semua kita kenakan kepada orang kaya. Tapi bila bercakap di kampung, dengan Al-Quran dengan hadis, kemudian bagi kenyataan yang palsu.
  3. Ada orang kata bila saya jawab dia kata mana boleh? Perdana Menteri jawab ini semua, jadi kerja Perdana Menteri apa? harus jelaskan, saya hendak saudara-suadara faham. Kalau tidak kita tidak boleh tadbir dengan adil.
  1. Sekarang ini heboh pasal NAFAS. Itu terpulang pada siasatan. Tapi kita hendak pastikan yang dapat baja, benih ini dapat harga patut, yang import cara betul itu sahaja.
  1. Saya sudah lama marah pada kartel ini. Kartel ini makna apa? maknanya kelompok kecil jaga dia, bukan jaga rakyat. Jadi kena faham mengapa siasatan dilakukan. Siapa saja tanpa kecuali, ada kes SPRM masuk. Kalau kes jenayah Polis Diraja masuk, tidak kira dia jabatan apa, pangkat apa. Syarikat Kerajaan ke syarikat swasta.
  1. NAFAS, betul bebas, tapi di bawah penguasaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Baru ini kes Khanazah. Itu khazanah pengerusi sekarang Perdana Menteri, tapi saya tidak halang siasatan, macam mana kes dulu, yang ini kes dulu. Tapi kalau kes sekarang pun ada sahaja laporan sama ada Perdana Menteri, pengerusi atau tidak, kalau salah, siasat, kalau salah, dakwa, kalau salah hukum. Saya tidak peduli, baru kita boleh perintah dengan adil.
  1. Jadi saya harap rakan-rakan terutama penjaja dan peniaga kecil tahu bagaimana saya nak bela. Rakan-rakan tahu gaji semua naik bagi pegawai-pegawai Kerajaan kerana apa? 12 tahun tidak naik, kerja lebih kuat, saya tegur lagi agar tegas tidak tolak ansur jadi bagilah yang adil kepada mereka.
  1. Menteri dan Timbalan Menteri potong lagi 20 peratus, Perdana menteri tidak ambil gaji lagi, tetapi kata mana boleh tidak ambil gaji, malaikat ke kalau tidak ambil gaji. Tak ambil gaji pun kena marah. Saya bercakap dengan Wan Azizah geram-geram ambillah gaji tahun depan. Tengok hendak kata apa pula, ‘haa dulu tidak mahu ambil gaji, sekarang ambil gaji pula, salah juga’. Ini apa punya perangai huduh sangat ni. Ya ini maknanya cemburu. Saya bukan miskin. Saya tidak ambil gaji saya tidak miskin, elaun ahli Parlimen saya ambil, Wan Azizah pun ada elaun Ahli Parlimen, cukuplah. Rumah ada Kerajaan bagi, naik kapal terbang Kerajaan, naik kereta Kerajaan, dah berjuang lama berkhidmatlah kepada rakyat. Ini yang saya nak lakukan pun kena maki lagi. Itu yang saya boleh sebut lawan tetap lawan.
  1. Jadi saya nak jelaskan sebab mengapa saya berani bercakap depan penjaja dan peniaga? Kerana saya sungguh-sungguh. Tahun pertama semasa saya jaga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), apa saya buat? nak suruh saya buat bangunan mercu tanda yang hebat? Tidak payah lagi dah. Jadi mereka kata tengok Perdana Menteri ini tidak ada bangunan tinggi. Saya kata tidak perlu, kerana bandar raya Kuala Lumpur kita harus dikenali dengan kebersihan, dengan gerai, warung dan restoran kecil yang bersih dan indah. Itu keutamaan saya.
  1. Hari ini banyak perubahan, 70 hingga 80 lebih peratusan yang sudah siap dan sekarang walaupun banyak dilakukan oleh DBKL, KPKT dan ini saya juga telah cadangkan kepada semua Kerajaan negeri. Apabila bercakap pasal kota, gedung-gedung besar, biar sektor swasta yang buat. Dia nak buat bangunan, nak buat hotel dia buat. Kerajaan tumpukan kepada gedung-gedung kecil, warung penjaja. Tidak malu ke, bukan main hebat di mana? Pulau Pinang, mana? Kuala Lumpur, mana? Johor bahru tetapi tengok gerai dan warung yang ramai orang kita makan, 80 peratus pergi ke warung. Tetapi warung nak roboh, lampu tidak menyala, tandas busuk, kotor dan pecah, apa itu kita bangga? Tidak. Sebab itu saya kena tumpu bidang itu. Bukan sahaja di Kuala Lumpur, saya pergi Kelantan.
  1. Saya dengar Pasar Siti Khadijah puluhan tahun bumbung bocor, tandas rosak, lantai pecah. Saya pergi selepas menghadap Tuanku Sultan Kelantan, keperluan RM5.6 juta kita lulus masa itu juga. RM5.6 juta untuk bangunkan semula pasar. Sebab apa? Ada 2,800 penjaja dan peniaga kecil di situ. Itu yang daftar, yang tidak daftar kata mungkin ada lagi mungkin hampir 3,000 peniaga dan penjaja kecil kerana saya mahu Kota Bharu terkenal juga dengan gerai, warung dan pasar yang bersih. Jadi ini dasar kita. Ini baru MADANI, ini baru manusiawi, ini baru Karamah Insaniah. 
  1. Saudara-saudara, saya tidak tolak ansur, rakan-rakan Jemaah Menteri ada, Ketua Setiausaha Negara ada dalam mesyuarat, hal ini kita beri tumpuan sebab itu Kementerian Pembangunan Usahawan Dan KoperasI (KUSKOP) di bawah saudara YB Datuk Ewon Benedick dan Ketua Setiausaha, kita bagi keutamaan, kita bagi peruntukan dan kita bagi gesaan supaya ada dasar dan turun ke bawah dan bantu rakyat di peringkat bawah dan terima kasih saudara YB Datuk Ewon Benedick.
  1. Kemudian dicadang pula gerai dan warung ini di Kota. Bagaimana dengan pekan kecil sebab tidak masuk bawah Majlis Perbandaran. Kalau di Pulau Pinang masuk dua-dua tetapi di kebanyakan negeri, negeri lain di Sabah, di Sarawak, di Pahang, Kelantan, pekan-pekan kecil tidak masuk di bawah Majlis Perbandaran, bukan di bawah Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Jadi projek-projek tidak sampai.
  1. Itulah sebabnya mengapa kita tambah peruntukan dan disebut Tamu Desa MADANI di kawasan-kawasan yang di dalam sikit supaya diberikan perhatian kepada peniaga dan penjaja kecil yang di luar bandar. Yang itu kita luluskan. Dalam Belanjawan kita lulus tambahan RM100 juta yang dibahagikan kepada kementerian-kementerian dan saya akan perhatikan sepertiman yang disebut oleh Menteri bahawa sebahagian peruntukan itu sampai kepada KUSKOP dan diuruskan supaya bantu penjaja dan peniaga kecil termasuk persatuan.
  1. Saudara-saudara, yang saya sebutkan ini penting, kena faham ya kerana kalau kita kata restoran, restoran 5 bintang ada, siapa ada duit pergi lah ke sana. Restoran-restoran ada, tetapi kalau kita tengok, contohnya di Seberang Jaya, yang mengguna atau yang sampai ke warung atau restoran kecil, peniaga kecil beli belah ini lebih banyak rakyat terbanyak, lebih ramai rakyat ke warung, kedai-kedai kecil sama ada kedai makan atau beli belah itu lebih ramai berbanding atau ketimbang restoran-restoran besar, sebab itu peruntukan kita pun harus adil. Kita bagi perhatian kerana majoriti rakyat. Sebab itu saya tekankan di bandaraya, beri perhatian yang lebih oleh Dewan Bandaraya kerana warung-warung itu memalukan sebelum ini. Sebab saya kata 80 peratus rakyat pergi ke situ, yang peringkat atas ke restoran-restoran besar.
  1. Sebab tu kalau saudara tengok, lihat pengalaman saya setiap hari Jumaat, sebelum solat Jumaat, saya sampai ke gerai atau warung atau restoran kecil dan makan dahulu sebelum tunai solat Jumaat. Supaya orang tidak kata bahawa Perdana Menteri ini dekat pilihan raya baru nak dukung anak, baru nak pergi jumpa orang miskin, baru nak pergi gerai sebelum pilihan raya. Saya tidak. Setiap minggu hari Jumaat saya ke warung dahulu, peniaga kecil dahulu, sebelum sampai ke Masjid. Di situ banyaklah complaint, harga gula lah, beras tidak cukup lah ataupun bumbung bocor, ataupun lantai tidak bagus. Jadi kita tengok dan lihat sendiri, kita santuni dan faham masalah rakyat.
  1. Dan ini gesaan kita kepada pemimpin-pemimpin, mesti turun kerana siapalah hendak lihat peniaga kecil ini, tak ada masa kerana ekonomi kita sedang rancak. Kita ada pelaburan berbilion masuk. Baru-baru ini AWS, Google, Microsoft, NVIDIA dan Infineon, ini yang besar-besar, puluh billion pelaburan masuk. Betul, kita kena bagi perhatian, tetapi jangan lupa bahawa pembangunan ini mesti lebih merata, mesti ada pengagihan. Yang golongan atas, pelaburan kita perlu untuk jamin pekerjaan tetapi di sebelah kilang-kilang besar perbelanjaan berbilion, perlu juga ada warung-warung dan pusat peniaga kecil kerana yang bekerja itu bukan semua pengurusan besar.
  1. Apabila Google Chief datang ke Kuala Lumpur, saya makan dengan dia. Saya cerita bab ini. Dia kata bila Google datang, pelaburan RM10 bilion ringgit. Dia bayar gaji jurutera dan pengurusan semua tinggi tetapi saya kata 70 peratus ini di bawah, pekerja kilang dan sebagainya. Mereka tidak akan pergi makan ke restoran besar. Mereka akan pergi beli belah di pusat-pusat peniaga kecil dan makan di gerai dan warung.
  1. Dan inilah sebabnya mengapa kita harus beri perhatian dan sediakan tempat perniagaan yang selesa di kawasan perindustrian dan kawasan perumahan. Ini dasar Kerajaan yang ada sekarang dan saya percaya untuk maksud ini walaupun kementerian-kementerian lain juga terlibat, agensi pun ada sama, ada PERKESO, juga saya tengok ada penyelarasan dengan persatuan dan cadangan persatuan dan koperasi, saya setuju saya minta selaras dengan ANGKASA supaya jangan bertindih. ANGKASA sudah ada pusat-pusat pengedaran hampir setiap daerah. Jadi persatuan penjaja dan peniaga kecil harus ada operasi yang boleh bergabung supaya dikurangkan kos pengurusan dan pentadbiran.
  1. Saya tidak mahu umpamanya bagi berjuta ringgit, kos tinggi. Ini macam saya kritik dahulu mula-mula RISDA. Apakah itu RISDA? Pekebun kecil getah. Pusat bantu pekebun kecil getah dan apa tumpuannya yang pertama? Buat gedung besar di Kuala Lumpur. Saya tidak fikir ini bukan satu pendekatan yang sesuai. Itu dulu cerita dulu tetapi saya nak beritahu pengalaman ini harus kita pelajari. Dan sebab itu kita kena lihat umpamanya badan-badan Kerajaan, syarikat-syarikat besar seperti TNB, PETRONAS, bank dan bawah Khazanah Nasional, PNB yang keseluruhannya itu sampai dah RM1 trilion ringgit. Saya bagi peringatan kepada mereka mesti ada program-program menyantuni rakyat di peringkat paling bawah, juga akan kita selaraskan.
  1. Sekali lagi saya nak ucap terima kasih kepada Menteri dan seluruh keluarga KUSKOP dan semua rakan-rakan terutama penjaja dan peniaga kecil dari seluruh Malaysia yang datang ke sini hari ini. Soal peruntukan saya cakap saya tidak bimbang, yang penting kerja dan kerja jangan bocor, jangan tiris, jangan sakau insya-Allah negara ini akan diberkati Allah SWT dan peruntukan akan bertambah dan melimpah tahun demi tahun.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.