KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan kerajaan tidak akan ambil mudah atau berpuas hati dengan pencapaiannya, sebaliknya akan terus berwaspada dalam menghadapi cabaran serantau dan global.
Ketika menegaskan perkara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ini penting walaupun usaha pembaharuan struktur negara telah membuahkan hasil sebagaimana dibuktikan oleh prestasi ringgit yang mengukuh, lonjakan pelaburan serta trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terbabit dalam pencapaian yang diraih oleh negara.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti pelaburan kita, baik asing dan domestik di atas kepercayaan serta keyakinan mereka terhadap ekonomi Malaysia selain tadbir urus, kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik kita,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Forum Megatrend Khazanah 2024 di sini, hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut mengulangi komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia terus berkembang maju dalam persekitaran global masa kini.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan negara untuk memberi tindak balas yang perlu berciri holistik dan diselaras serta mengutamakan kesejahteraan Malaysia bagi jangka panjang.
“Rangka kerja Ekonomi MADANI yang saya perkenalkan tahun lepas, jelas menggariskan bagaimana Malaysia dapat bersiap sedia untuk berdepan dengan ekonomi global yang semakin dinamik dan rumit,” kata beliau.
Selain itu, Anwar juga juga menyifatkan keadaan sekarang sebagai pasca normal dunia yang diselubungi dengan kekalutan.
“Tidak pernah kita melihat pertumpuan tekanan – krisis iklim, ketegangan geopolitik, impak cabaran makroekonomi (dan) jaringan kerumitan serta ketidaktentuan yang menuntut penyelarasan utama.
“Malaysia, sepertimana negara-negara lain, berada di persimpangan yang kritikal – bergerak maju atau menjadi lemah terhadap proses-proses yang membinasakan.
“Jawapannya amat jelas – untuk maju, kita perlu mengutamakan visi untuk masa depan, penyelesaian kita perlu menepati keperluan kesejahteraan rakyat, menangani ketidaksamaan serta memupuk minda tanggungjawab bersama serta berinovasi,” kata beliau.
Berdasarkan kepentingan itu, Malaysia akan terus berpegang kepada semangat keterbukaan dan bersedia menyesuaikan diri, berinovasi dan sentiasa mencabar kemampuan untuk mencapai kemungkinan, kata Anwar.
Sambil menegaskan kepentingan inovasi dan teknologi sebagai pemacu utama pertumbuhan dunia masa kini, Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk meningkatkan pembiayaan modal teroka dalam bidang berkenaan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Mengulas selanjutnya, beliau berkata dalam perdebatan hebat antara kewajaran campur tangan kerajaan serta kapitalisme yang tidak terkawal, kerajaan sedar pada zaman moden ini, kepercayaan konvensional adalah “bukan urusan kerajaan untuk terbabit dalam perniagaan.”
“Mengikut doktrin ini, kerajaan perlu mengelak dan sebaliknya membiarkan kalangan penggerak atau pemimpin, taikun perniagaan dan korporat untuk bertindak bebas dalam memacu kemajuan ekonomi.
“Namun, nampaknya wujud pengecualian terhadap perkara ini. Sebagai contoh, jika terdapat kemungkinan perniagaan besar untuk gagal serta berpotensi memberi impak yang meluas, maka perlu ada ruang untuk membolehkan dasar campur tangan ini, khususnya demi menyelamatkan perusahaan yang bermasalah seperti bank-bank dan syarikat insurans yang besar.
“Bagi saya, tidak kiralah bagaimana anda menanganinya, pendekatan ini lebih cenderung kepada ‘sosialisme untuk yang kaya dan kapitalisme bagi yang miskin’ dengan dasar negara memastikan golongan kaya dan berkuasa menikmati manfaat manakala yang miskin dan tersisih perlu membersihkan sisanya,” kata beliau.
Anwar berkata : “Di sinilah pemenang Anugerah Nobel Ekonomi Profesor Joseph Stiglitz dan saya senada walaupun mungkin berbeza terminologi atau perkataan yang digunakan.
“Profesor Stiglitz menggelarnya sebagai kapitalisme progresif manakala saya melihatnya sebagai ekonomi berperikemanusiaan untuk keadilan sosial.”
Perdana Menteri juga bersetuju dengan pandangan Stiglitz mengenai keperluan membelanjakan wang bagi infrastruktur fizikal, teknologi dan sosial untuk mencapai ekonomi yang produktif.
“Dalam buku saya The Asian Renaissance (Gelombang Kebangkitan Asia), saya berkata walaupun produktiviti menjadi teras pertumbuhan ekonomi mampan, dana awam juga perlu dibelanjakan ke arah pertumbuhan modal insan, terutama menerusi pendidikan dan penjagaan kesihatan,” kata beliau.
— BERNAMA
Similar Posts:
- MALAYSIA SAMBUT BAIK PEMBANGUNAN NUSANTARA – PM ANWAR
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- KERAJAAN AKAN BERI TUMPUAN KEPADA SEKTOR PERKHIDMATAN DALAM BELANJAWAN 2023