TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2024

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA 

SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2024

 

 

16 SEPTEMBER 2024 (ISNIN) | 8.30 MALAM

PADANG MERDEKA, KOTA KINABALU,

SABAH

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.

Wa kafa billahi syahida.

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin,

Yang di-Pertua Negeri Sabah;

 

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima,

Dr. Hajah Norlidah Binti Tan Sri Datuk R.M Jasni;

 

Saudara saya, YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor,

Ketua Menteri Sabah yang juga tuan rumah serta isteri

 

YABhg Datin Seri Panglima Datuk Hjh Juliah Salag;

 

Saudara saya, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg,

Premier Sarawak;

 

Saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Timbalan-timbalan Premier, Jawatankuasa bersama, Pengerusi Jawatankuasa bersama;

 

Menteri-menteri Persekutuan dan negeri, rakan-rakan; dan

 

Yang penting seluruh rakyat Sabah yang berkumpul ramai, panas hujan tidak kira, yang hendak mempertahankan semangat Malaysia MADANI.

 

  1. Saya mulakan tadi dengan menyebut ayat Al-Quran yang bersabit dengan Maulid Nabi Muhammad SAW dan apa kaitannya dengan Malaysia merdeka dan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak? Kerana bagi umat Islam, kelahiran Nabi Muhammad SAW itu terutama dalam penghijrahan adalah untuk memerdekakan; bebaskan Malaysia, bebaskan negara, bebaskan daripada pemahaman kolot, bebaskan daripada pemahaman jumud, bebas daripada perkauman sempit, bebas daripada kebencian di antara satu sama lain, bebas daripada menghukum orang dan menzalimi orang, itu semangat agama dan saya percaya ini juga semangat yang dipupuk oleh agama-agama lain yang pelbagai di negara ini.
  1. Oleh sebab itu, saya kaitkan semangat Maulid Nabi, Maulidur Rasul, Nabi Muhammad SAW dalam konteks ini. Ada relevannya dan ada kebijaksanaan, suatu yang unik. Hari ini, hari Maulid Nabi dan Hari Malaysia, 61 tahun yang lalu, tarikh keramat dan saya terharu mendengar pidato saudara Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor yang menyebut bahawa di sinilah tapak keramat, di sinilah dimeterai perjanjian penting di antara Almarhum Tun Abdul Razak, Tun Datu Mustapha, Tun Mohd Fuad Stephen dan pemimpin-pemimpin Sabah yang lain kerana wawasan mereka, mahu Sabah merdeka bersama Malaysia, mahu Sabah menolak penjajahan Inggeris, mahu sabah menikmati pembangunan, mahu Sabah tanam semangat apa yang disebut ‘Jiwa Merdeka’.
  1. Ini adalah satu tema yang kita harus faham, apakah Sabah sudah merdeka? ya, Sarawak merdeka, Semenanjung Tanah Melayu merdeka tetapi jiwa merdeka itu ertinya bukan sahaja menolak pimpinan Inggeris, pimpinan orang asing tetapi menggantikan dengan pimpinan peribumi, pimpinan rakyat yang punyai jiwa merdeka yang bekerja dan berkhidmat untuk tidak memperkayakan diri mereka tetapi membela nasib rakyat. Inilah yang kita tekankan dalam negara kita. Sebab itu program-program pembangunan mesti diteruskan.
  1. Saya mendengar dan meneliti pidato dari YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor dan sebelum ini dengan sahabat saya Premier Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari di Sarawak, bahawa kita harus lihat seperti mana bapa-bapa, ibu-ibu kita terdahulu di mana negara ini harus mencatat kemajuan, melihat satu kesatuan dan memahami sejarah yang getir, Malaysia itu dibentuk dalam keadaan pertarungan sengit, dua kuasa besar pada ketika itu dan kita tersepit di tengah-tengah Lautan China Selatan dan pada masa itu, berbeza dengan sekarang, kita hadapi negara jiran kita yang kini sahabat karib iaitu Indonesia di bawah Presiden Soekarno melancarkan serangan Ganyang-Malaysia kerana tidak mahu Sabah dan Sarawak merdeka bersama Malaysia kerana cita-cita mereka untuk menjadikan Kalimantan hak milik mereka. Itu adalah sejarah.
  1. Alhamdulillah, semangat persahabatan kita dengan Indonesia telah meletakkan Indonesia sebagai salah satu sahabat yang paling akrab bersama negara Brunei Darussalam tetapi kita jangan lupa tentang kenyataan sejarah itu. Sebab itulah dari awal, peruntukan pertahanan sangat tinggi untuk Sabah dan Sarawak.
  1. Sarawak hadapi umpamanya gerombolan komunis di sempadan. Pertarungan yang sengit, Sabah hadapi sehinggalah peristiwa Lahad Datu baru-baru ini. Di semenanjung dalam pertarungan, anak-anak Iban, anak-anak Dayak, Sarawak turut terkorban. Di semenanjung, beberapa anak Sabah; Kadazan dan Dusun juga terkorban. Di Lahad Datu, anak-anak Semenanjung turut terkorban.
  1. Jadi saudara-saudara, ini negeri kita, rakyat mesti faham, yang menuntut pengorbanan itu adalah semua kaum dari semua wilayah, baru boleh Malaysia bangkit sebagai negara hebat. Saya sengaja menekankan hal ini kerana apabila kejayaan baru-baru ini di pentas dunia, anak Sarawak Bonnie Bunyau Gustin, pemain gusti yang memenangi emas dalam kategori powerlifting lelaki di paralimpik Paris 2024. Kita tidak kira dari mana, semua rakyat bangga anak kita menang pingat emas di Paris.
  1. Begitu juga apabila Eddy Bernard memenangi pingat gangsa 100 meter lelaki, kebetulan anak dari Beluran, Sabah. Kita tidak mempersoal dari mana dia, suku kaum mana dia, agama apa dia, cuma yang kita bangga anak Malaysia mencatat kebanggaan memenangi pingat di paralimpik Paris 2024.
  1. Inilah semangat yang kita hendak hidupkan di kalangan kita dan saya percaya rakan-rakan, generasi pimpinan sini harus ambil iktibar ini. Tidak ada negeri yang tidak bermasalah tetapi seperti mana yang saya sebut, Timbalan-timbalan Perdana Menteri bersama saya, Menteri-menteri dalam Jemaah Menteri tidak pernah kita putuskan bahawa kalau mahu Malaysia ini berjaya, siapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri, siapa sahaja yang menjadi Menteri, siapa sahaja yang menjadi pemimpin, beliau mesti memimpin seluruh rakyat dan bangsa Malaysia.
  1. Keluhan anak kecil di Kundasang ataupun wanita sarat sakit di Kapit atau Manik Urai di Kelantan, itu keluhan yang harus kita dengar. Jadi walaupun saya akui, ada masalah yang harus kita selesaikan tetapi saya bernasib baik. Sebaik menjawat jawatan Perdana Menteri, dua sahabat yang saya menaruh keyakinan penuh, Ketua Menteri. Sabah YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sarawak Premier Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bermuafakat, bicara dengan terang, tegur dengan baik, sebagai sahabat mengeluh, menuntut tetapi dalam semangat persahabatan untuk jayakan Malaysia negara keramat kita.
  1. Saya harap pemimpin-pemimpin lain belajar dari semangat yang mereka tunjukkan. Tidak benar kalau dikatakan mereka tidak pernah menuntut atau tidak mengeluh atau tidak memohon seperti juga saya yang meminta dan memohon dari mereka. Tetapi semangat perpaduan, hidupkan dan jayakan Malaysia itu mesti ada.
  1. Saudara saudari harus ingat Malaysia setelah pahit mengharung zaman COVID-19, sekarang mencatatkan satu prestasi pertumbuhan yang baik, di anggap hub semi-konduktur, di anggap sekarang ini dalam transisi tenaga, Sarawak menjadi pusat di rantau kita dan Sabah sekarang meletakkan asas untuk terus di angkat sebagai satu negeri hebat dalam negara Malaysia.

Saudara-saudara,

 

  1. Oleh kerana kita aman, kerana kita bekerja sebagai satu pasukan, kerana tidak ada kebencian dalam kita, tidak ada fahaman perkauman sempit, fahaman suku-sukuan, fahaman yang menghasut dan mengadu domba, kerana ketiadaan sikap inilah kita boleh bersatu dan menjayakan negeri kita. Jaya Sabah, Jaya Malaysia. Jaya Sarawak, Jaya Malaysia. Jaya Selangor, Jaya Malaysia. Inilah semangat yang kita harus hidupkan di kalangan kita.
  1. Saya tidak berhajat untuk mengumumkan apa-apa projek istimewa. Saya sudah umumkan minggu lalu, saya hanya pantau, dan tadi kebetulan Fakulti Perubatan, Hospital Universiti Malaysia Sabah yang diunjurkan / dianggarkan siap sebelum akhir tahun depan. Kita ada Institut atau Pusat Kanser di Sarawak, maka saya umumkan Pusat Jantung di Kota Kinabalu.
  1. Maknanya kalau ada muafakat, ada perbincangan yang baik, ada cadangan-cadangan akan memudahkan kita dalam urusan kerja kita. Sebab itu saya sebagai bapa ingin menasihatkan rakan-rakan, bekerjalah sebagai satu pasukan, hindarlah fahaman-fahaman terutama kadang-kadang keterlaluan seperti mana yang kita dengar di Semenanjung; fahaman perkauman yang keterlaluan, fahaman agama yang menimbulkan kebencian dan musuh. Kalau dengar ceramah itu tidak ada lain, benci terus. Tidak ada langsung rahmah, compassion dan kasih sayang.
  1. Sebab itu, untuk belajar dari sejarah penubuhan Malaysia, Semenanjung, Sabah dan Sarawak, untuk belajar daripada wawasan bapa-bapa pejuang, sama ada di sini atau juga Sarawak, semua itu kita belajar apa? mereka tidak terlalu canggih dalam perbicaraan mereka, mereka tidak punyai sijil yang berjela-jela tetapi mereka punyai hati nurani, wawasan yang baik untuk anak-anak bangsa mereka masa hadapan.
  1. Inilah yang harus dipupuk dan saya percaya insya-Allah sama ada dalam Perjanjian Malaysia 63 yang terus kita bertungkus-lumus bekerja terutama Jawatankuasa Teknikal di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof ataupun apa-apa program lain, kita harus bersama-sama mengangkat martabat semua negeri-negeri dan terutama kawasan pendalaman atau daerah yang terpencil dan kawasan miskin bandar. Itu tekad kita dan percayalah insya-Allah kita akan lakukan bersama.
  1. Saya akhiri sekali lagi dengan menyatakan penghargaan kepada sahabat saya saudara YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor dan pimpinan jawatankuasa yang menyelenggarakan majlis ini dan semangat anak-anak Sabah yang luar biasa. Hujan lebat tidak berganjak. Inilah sebabnya saya dua minggu sekali datang ke Sabah. Sehinggakan hari ini Wan Azizah kata dia mesti ikut, dia mulai bimbang kerana mengapa Abang Anwar terlalu kerap ke Sabah dan Sarawak (nada seloroh).
  1. Jadi sekali lagi saya mengucapkan terima kasih, di doakan ke hadrat Allah SWT biar negara ini menjadi megah, negara ini menjadi hebat dan dalam Malaysia ini kita boleh catat satu kemajuan yang boleh menjadi contoh yang hebat. Negara pelbagai kaum, pelbagai agama tetapi satu semangat, satu ‘Jiwa Merdeka’.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.