TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN BULAN
MALAYSIA SIHAT SEJAHTERA
PERINGKAT KEBANGSAAN 2024
(PELANCARAN DASAR LITERASI KESIHATAN
KEBANGSAAN DAN KEMPEN PERANGI
GULA – WAR ON SUGAR)
8 SEPTEMBER 2024 (AHAD) | 11 PAGI
PANTAI BATU 1, PORT DICKSON
NEGERI SEMBILAN
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdullihilladzi Anzala ‘Ala’abdihil Kitaaba Wa Lam Yai’al Lahuu’iwajaa
Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem Wa’ala Alihi Wa Sahbihi Ajma’een
YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun,
Menteri Besar Negeri Sembilan;
Ahli-ahli Parlimen Port Dickson;
Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad,
Menteri Kesihatan;
YB Dato’ MK Ibrahim bin Abd Rahman,
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan;
Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan;
Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad,
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan;
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah kita dapat jayakan kempen ini. Seperti kita tahu, sama ada Kempen Bulan Sihat ataupun Literasi Kesihatan, saya lebih memilih kepada kecelikan kesihatan, kesedaran. Ataupun mengurangkan penggunaan gula yang terlalu berlebihan dalam negara kita. Itu kita hanya akan catat kejayaan sekiranya dapat dilaksanakan.
- Ini soal yang agak serius bukan soal ringan. Kerana kita kadang-kadang cari beban. Penyakit diabetik Malaysia itu di antara yang tertinggi di Asia. Kan aneh itu? Mengapa harus kita undang penyakit? Sebahagiannya memang ujian daripada Allah SWT, tapi sebahagiannya itu pilihan kita. Kita guna tanpa memikirkan kesan kesihatan dan kemudian kerana budaya yang berbeda. Kegiatan fizikal riadah itu terus dikurangkan ataupun kadang-kadang tidak berlaku langsung. Ada teman-teman saya sejak umur 40-an sampai sekarang tak ada exercise atau riadah.
- Manusia dijadikan oleh Tuhan itu untuk mempertahankan keseimbangan. Bila kita sebut umat yang seimbang, ummatan wasata ini dia seimbang semuanya. Makan minumnya, cara hidupnya, kegiatan riadahnya, semua. Rohani jasmaninya, akal kalbunya, fizikal spiritualnya, itu yang dia sebut keseimbangan. Tetapi kadang-kadang kita itu olah Al-Quran, tapi kita tidak pertahankan keseimbangan. Saya tak mahu guna majlis ini nak jadikan satu lagi leteran. Tapi saya bimbang, berapa jumlah peruntukan kesihatan? Pendidikan dan kesihatan itu dapat peruntukan terbesar. Kalau tengok negara membangun, kita di antara yang terbesar dari segi peratusnya. 41% lebih untuk pengurusan, 6% begitu untuk pembangunan, jadi RM48 bilion. Kalau perlu saya tak ada masalah, tetapi ada yang tidak perlu. Tidak perlu kerana tentunya dari segi Kementerian Kesihatan, soal perolehan ubat, soal pengurusannya, soal elak ketirisan tatakelola, itu memang merentas semua jabatan dan kementerian. Yang itu saya nak tegaskan.
- Kita tengok sekarang tiap minggu ada sahaja kisah skandal baru. Ada orang kata kerana “Anwar berdendam”, tak betul. Kita kena hentikan amalan pimpinan yang guna kuasa untuk cari kekayaan peribadi. Saya harap saudara betul-betul faham sebab orang di sana, dia tidak kira. Saya tak kira siapa, saya tak bertanggungjawab dari soal penyiasatan. Ketua polis ada di sini. Siapa salah, siapa ada kes curi motor ke, rompak bank ke, itu kerja polis. Dia tak tanya saya “boleh tak kita siasat?”. Sama juga dengan kes-kes yang lain. Kes-kes yang besar, orang yang kumpul berpuluh-puluh bilion kemudian tak mahu bayar cukai, tak mahu isytihar harta. Jadi nak kutip daripada siapa? Daripada guru? Daripada pegawai-pegawai rendah? Ada yang paling kaya, maha kaya tak mahu bayar. Untuk apa kita kutip dana dari mereka? Untuk bayar bidang pendidikan, jalan, hospital, dan kesihatan. Jadi kalau tak betulkan, beginilah amalannya. Negeri kaya tapi rakyat tak terbela. Jadi kalau nak ubah, saya harap rakan-rakan faham.
- Dia bukan nak dendam apa. Saya tak suka. Saya tak suka duduk dalam penjara, saya tak suka orang lain masuk dalam penjara. Tapi ikut dia ada hukumnya. Ini bila kita siasat, “Oh Anwar ini dendam, dia dengki”, nak dengki apa? Tak ada saya nak dengki, saya dah jadi Perdana Menteri. Alhamdulillah, susah payah pun dah naik jugalah. Terima kasih orang Port Dickson. Saya tak lupa jasa baik orang Port Dickson. Jadi saya nak saudara-saudara faham apa kaitannya ini?
- Ini kempen kesihatan, apa kaitan dengan tata kelola? Apa kaitan dengan BestariNet? Adalah kaitannya. Kerana cara kita urus, kalau belanjanya RM200 juta, maka RM200 juta lah (penggunaannya). Jangan lulus RM200 juta ataupun RM1 bilion projek hospital, tapi kos sebenar RM800 juta ataupun hospital tak siap. Semua ini kena fikir. Saya pernah jadi Ahli Parlimen Port Dickson. Tadi saya bincang dengan saudara Aminuddin, Menteri Besar, sekarang dia Ahli Parlimen. Dulu janji bagi, tak ada. Pencawang dah ada, kemudahan komputer tidak ada. Jadi sebab itu ada laporan ada siasatan. Kalau guru-guru tak faham, saya tak tahu. Apakah kita boleh izinkan keadaan begini berterusan? Kerana kalau kita jimatkan, selamatkan, kita boleh tambah peruntukan. Sebab itu tahun ini kita tambah peruntukan kesihatan. Walaupun hutang besar kita tanggung dan masa itu pertumbuhan ekonomi tidak begitu baik.
- Tapi syukur, Alhamdulillah kerana sejak kita urus Ekonomi MADANI ini, saya lihat pertumbuhan ekonomi sepertimana yang disebut tadi naik tinggi 5.9%. Inflasi terkawal. Saya baru balik dari Vladivostok, Rusia jumpa Presiden Putin. Kerana soal jawab orang tanya pertumbuhan, saya bilang begini, inflasi 2%, ada beberapa bidang makanan 3% atau 3.5% sesetengah. Itu pun jenuh kita nak kawal dan saya jadikan strategi belanjawan bulan Oktober ini, bagaimana nak tangani masalah kos sara hidup. Walaupun rendah berbanding dengan Thailand dan Indonesia. Inflasi kita terendah berbanding dengan Singapura. Presiden Putin, bila saya sebut tentang inflasi kita purata 2%, dia jawab “kami kawal sekarang inflasi Rusia 8%”. Itu pun orang tepuk, dia bangga kerana dapat kawal daripada lebih tinggi. Kita 2% pun orang kata “Tak guna punya Perdana Menteri”. Kawan saya Presiden Erdogan, dia minta Menteri Kewangannya Mehmet Simsek bincang, sebab keadaan ekonomi dia baik, pelancongan tinggi, tetapi inflasi tinggi. Berapa inflasi di Turkiye? 40%. Saya tak cadangkan ke arah itu, ini sebabnya kita kena urus ekonomi ini secara serius.
- Di antara hal yang kita bincang dalam kaitan dengan perbincangan kesihatan ini ialah jangan membazir. Membazir satu hal, dan yang saya sebut tadi contoh-contoh sakau. Tapi pembazairan kadang-kadang dalam kalangan rakyat pun ada juga. Dia tahu dia ada sedikit diabetes, dia telan gula berlebihan. Orang kata makan durian 3 ulas cukup, dia makan 8 ulas. Kemudian di pejabat-pejabat, sebab tu di Jabatan Perdana Menteri, jabatan-jabatan Kerajaan sekarang kita kurangkan pengambilan gula. kalau buat kuih gula mesti dikurangkan kepada 50%. Nak makan, makan. Tak nak makan, sudah. Sebab kita fikirkan keselamatan. Ini yang dikatakan kesedaran, ini yang disebut kecelikan kesihatan ataupun disebut literasi. Literasi ini kecelikan, kefahaman.
- Apa erti Merdeka? Ini bulan Merdeka dan tema Merdeka pula Jiwa Merdeka. Maknanya Merdeka bukan sahaja negara merdeka, tetapi mesti ada kecerdasan, ada kecelikan tentang apa erti kebebasan, apa erti demokrasi, apa erti kesihatan, apa erti mutu pendidikan. Ini yang disebut kecelikan. Kecelikan budaya, kecelikan ekonomi, kecelikan atau cerdik kesihatan. Jangan rasa tersinggung. Saya cuma nak jalankan tanggungjawab saya sahaja. Kalau sakit ya kita bertanggungjawab. Jangan ingat saya hidup selesa tengok Hospital Kajang sampai lobi beratur katil. Saya terus whatsapp dekat Dr. Zul. Tapi beliau pun ada batas. Peruntukan kewangan yang ada sekarang boleh rancang dan mengambil masa. Belanja dah tinggi, pesakit kian ramai. Ada langkah-langkah yang diambil Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan, tapi kalau kita ada kecelikan, kesedaran, kita boleh elakkan. Kesesakan itu boleh kita elakkan.
- Obesiti, apa obesiti? Maknanya berat badan itu jauh berlebihan daripada apa yang dianggap munasabah. Saudara, sebab obesiti itu membawa kepada penyakit. Bagaimana kurangkan obesiti? Saya bukan doktor pakar, tapi saya tahu kurang karbohidrat, kurang gula, lebihkan exercise. Macam jogging tapi takkanlah jogging masa bulan kesihatan sahaja? Umpamanya hari ini sebelum acara malam, saya dah bagi tahu kepada rakan-rakan pengawal saya, cubalah jam 6:00-6:30 petang jogging, lari sikit-sikitlah. Walaupun kita sibuk kerja kerana bukan saja nak bagi contoh, tetapi untuk jaga kesihatan. Ini budaya kita. Semua sibuk tapi alasan sibuk itu alasan-alasan yang sangat remeh. Kita sibuk, tapi kita kena tidur, makan dan solat. Jadi kita sibuk, kita kena exercise. Ini yang saya nak memudahkan kempen ni. Maknanya kalau tidak ada tekad itu, kita datang kempen, kemudian diberi jamuan-jamuan dengan kadar gula banyak pula, jadi saya harap tidak berlaku.
- Jadi saudara-saudara, tolong amalkan. Biar apa pun ‘wa’amila saalihan’, iaitu tidak ada umpamanya cita-cita tanpa amal soleh. Dan amal soleh ini tentunya dari segi iman kita, akhlak kita, amal kita dan juga ciri-ciri kehidupan kita. Saya tekankan ini dan saya harap betul-betul kalau ada komitmen, iltizam daripada pegawai-pegawai kesihatan, doktornya, jururawat, dan seluruh tenaga hospital itu bagi contoh terbaik. Budaya di hospital, waktu kerja, amalan pemakanan, waktu riadah, biar hospital tu memulakan contoh. Kemudian sekolah-sekolah tempat kita latih anak-anak kita. Tapi kadang-kadang kantin sekolah, Dr. Zul bangkitkan perkara ini. Kantin sekolah itu di antara kantin yang menjual bahan-bahan yang paling tidak sihat. Sebab itu sekarang ini dikawal. Orang marah kalau nak berniaga pun dikawal. Tidak, kawal kurang gula, kawal mutu pemakanan supaya anak-anak terjamin sihat.
- Kemudian pemimpin-pemimpin dalam politik, dalam badan-badan awam, masyarakat, NGO semuanya harus buat. Bila cakap soal gula ni saya kata “apa masalahnya”? Bagi tahu rakyat bahawa penyakit kencing manis Malaysia ini rekod nombor satu di Asia. Kita tak harus bangga. Ini menunjukkan tidak ada kecelikan kesihatan. Cakap soal artificial intelligence, industri, pertumbuhan yang hebat, mutu pendidikan, hospital-hospital yang baik. Sekarang ini pesakit-pesakit luar negara ramai yang mendapatkan rawatan ke hospital-hospital di sini tetapi kecelikan kesihatan rakyat masih di tahap yang paling rendah. Obesiti maknanya berat badan berlebihan itu tinggi, kencing manis tinggi. Jadi tolonglah, kita selamatkan negara kita, selamatkan anak-anak kita, selamatkan keluarga dan ibu bapa kita dengan mengawal sedikit. Bukan suruh hentikan terus (pengambilan gula). Kalau saudara tak ada sakit kencing manis, tak payahlah hentikan gula. Tetapi tak perlulah mendoakan untuk dapat kencing manis. Bagaimana doa untuk dapat kencing manis? Makan gula berlonggok-longgok.
- Jadi saya ingin tegaskan, kempen ini, kecelikan kesihatan sama ada bulan kesihatan ataupun dasar literasi yang kita nak perkenalkan ini dan juga kempen kurangkan gula ini hanya akan berkesan kalau mulai sekarang kita kurangkan. Semua gerai-gerai yang menjual barang-barang, saya ingat kita kena pantau sekarang. Saudara-saudara meniaga, ya untuk jaga kebajikan keluarga, tapi jangan korbankan orang lain. Gula berlebihan ini maknanya orang yang menjual itu beri sumbangan ke arah kerosakan badan dan kesihatan pembelinya. Kalau pelanggan kata “boleh tak tambah gula sebab kurang manis”, itu tak apa. Tapi jangan mula macam teh tarik di Pulau Pinang dulu. Teh tarik Pulau Pinang ini dia bagi dalam gelas, satu pertiga (1/3) itu susu lemak manis. Kalau dulu saya pergi, saya kata “mamak kurang manis sikit”, dia kurang sikit. Tapi orang Kedah kata manis melecaih, dia terlalu manis.
- Dulu diabetik kencing manis paling tinggi di Kelantan, kemudian di Kedah, sekarang ini kalau tak salah saya rekod kencing manis paling tinggi di Negeri Sembilan. Menteri Kesihatan, Menteri Besar orang Negeri Sembilan, Perdana Menteri pun menjadi Ahli Parlimen Negeri Sembilan dulu. Eh malu aku (nada seloroh). Jadi mestilah ada kempen besar-besaran dari Pejabat Menteri Besar, di hospital, pejabat daerah, atau mana-mana harus kurangkan gula. Saudara, ini beban, bayangkan kehidupan masa depan kita, keluarga kita. Kita kena faham juga lagu-lagu lama ini. Saya tengok ada lagu Tan Sri SM Salim – “manis bukan manis, manis gula sahaja, tapi manis senyum”. Siapa nak manis, manis senyum itu lebih baik daripada manis gula.
- Sekali lagi saya nak ucap terima kasih. Saya tahu kegigihan Menteri dan pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan dalam menjayakan Bulan Kesihatan dan juga Kempen Perangi Gula, dan telah meletakkan satu Dasar Literasi yang baru untuk memberikan fahaman kemerdekaan. Jiwa Merdeka ertinya manusia yang tingkatkan kesedaran kemerdekaan, pemikiran untuk selamatkan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya.
Terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- TIDAK PERLU DARURAT BENCANA, HUJAN SEMAKIN BERKURANGAN – PM ANWAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM