TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN PAMERAN PERTANIAN, HORTIKULTUR DAN AGRO PELANCONGAN MALAYSIA 2024

 


TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN PAMERAN PERTANIAN, HORTIKULTUR DAN AGRO PELANCONGAN MALAYSIA 2024

 

 

 

14 SEPTEMBER 2024 (SABTU)

 

MALAYSIA AGRO EXPOSITION PARK SERDANG (MAEPS)

SERDANG

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasoolihil kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu,

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;

 

YB Datuk Arthur Joseph Kurup,

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;

 

Menteri-Menteri;

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

YBhg. Datuk Lokman Hakim Bin Ali,

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Saya nak mulakan pertama tentunya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana kita dapat saksikan perasmian MAHA yang sudah mencecah 100 tahun. Dan kejayaan kalau kita lihat persembahan dan pameran itu sangat menakjubkan dan saya ucap tahniah kepada Menteri, KSU dan seluruh keluarga Kementerian.
  1. Keduanya, tentu mengikuti perjalanan Kemnterian, agromakanan, sekuriti makanan secara dekat. Memang benar apa yang disebutkan oleh saudara saya Mat Sabu bahawa saya beri perhatian yang sangat berat kerana saya anggap dalam usaha kita memacu pertumbuhan ekonomi dengan begitu segar dan laju dengan menjadikan Malaysia sebagai hub semikonduktur dengan jumlah pelaburan yang tinggi, kejayaan pengurusan ekonomi, Alhamdulillah walaupun harus diperbaiki lagi kekuatan ringgit dan sebagainya, tetapi tidak pernah mengurangkan tekanan kepada keperluan meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara kita.
  1. Jadi saudara Mat, sebagai sahabat saya perhati dan saya bangga kerana di bawah pimpinan beliau, kementerian ini lebih menjurus dan mampu mengangkat martabatnya. Ini saya sebut berdasarkan fakta, sebab itu saya bisik kepada saudara Lokman, KSU, tentang kejayaan-kejayaan.
  1. Kita tidak boleh hanya mengeluh tentang rekod kita, import makanan dan baja, mungkin terpaksa tetapi tentang pengeluaran makanan, apa yang kurang di Malaysia ini? Negara maritim, kemudian tanah yang subur, kita telah tunjuk keupayaan kita, satu ketika pengeluaran getah di tingkat no.1 di dunia, kelapa sawit tingkat no.1 di dunia, tetapi dari sudut pertanian umpamanya itu masih dalam keadaan merangkak.
  1. Maka tumpuan yang diberikan oleh Kementerian ini, dengan fokus produktiviti padi yang seringkali dikunjungi oleh saudara Menteri dan rakan-rakan. Soal pengeluaran bawang umpamanya, yang dulu hanya tergantung keseluruhannya kepada import dan kita menganggap begitu sukar untuk menghasilkan bawang kerana persaingannya dan keduanya kerana tahap kesuburan tanah yang tidak dapat memenuhi keperluan. Tetapi Kementerian telah mengambil langkah yang berbeda, daripada 0 hektar dan sekarang ini 40 hektar yang khusus mengeluarkan dan menghasilkan bawang. Saya ucap tahniah, dan untuk menyakinkan saya, saudara Menteri telah membawa bawang di mana di tanam ke kabinet. Saya ucap terima kasih kepada Saudara Mat Sabu.
  1. Apa maksud saya menekankan perkara ini? Maka tiidak apa yang tidak boleh kita lakukan. Jika kita fokus dalam satu-satu bidang dan bekerja sebagai satu pasukan dan jentera-jentera jangan anggap mereka boleh ambil langkah seperti dahulu. Kerana kalau hendak jamin produktiviti, maka seluruh ekosistem itu harus teratur, sama ada melibatkan Kementerian Pertanian secara khusus atau melibatkan kementerian-kementerian lain.
  1. Peruntukan, ya kita tambah, kemudian untuk memastikan yang kurang modal diberi tampungan melalui bank, melalui pinjaman-pinjaman yang disediakan. Kemudian benih dan baja tidak boleh melalui kartel yang dimonopoli seperti dahulu. Sebab itu kita perlukan seorang Menteri dan KSU yang tegas dan keras untuk menyatakan bahawa amalan kartel lama, import baja mesti dan wajib dihentikan. Dan yang menentukan adalah keupayaan kita memilih yang terbaik, dan kalau tidak seperti yang kita dengar, ada KSU dan KP yang beritahu saya, kadang-kadang pergi di kalangan penanam padi, kita dapat benih, tetapi mengikut pengalaman mereka boleh memperolehi benih yang mempunyai mutu yang lebih baik di luar. Sebab itu saya bangga, kerana ia memerlukan tekad politik, sudah berpuluh tahun kita bicara soal ini dan sekarang kita ada menteri yang tegas dan keputusan kita mesti berdasarkan fakta, berdasarkan apa yang terbaik untuk petani, nelayan dan pekebun kecil di negara kita dan ini yang dilakukan oleh Menteri dan Kementerian. Saya ucapkan terima kasih.
  1. Ini yang dikatakan ekosistem, harus tepat. Yang lain seperti mana pemasaran, yang tidak harus ditumpukan kepada FAMA. Tetapi FAMA menjadi tunggak, saya tahu dalam beberapa bulan yang pertama memang saya terpaksa menyergah FAMA dengan keras sehingga menteri terpaksa memujuk saya agar lembutkan sedikit nada dan saya akui Alhamdulillah, sekarang prestasi FAMA jauh lebih baik. Sebab itu saya kata ekosistem ini harus berfungsi. Kementerian Pertanian ini sebuah kementerian yang besar, kementerian yang punyai tanggungjawab yang sangat penting, dan strategik bagi negara kita. Jadi kalau kita bicara soal pengeluaran, tidak fikir soal modal, tidak fikir soal pemasaran, soal produktiviti, ia tidak lengkap dan ini teori-teori lama bukan teori baru, pakar ekonomi daripada dahulu memang menekankan hal ini dan saya hafal tesis atau pandangan Profesor DiRaja Ungku Aziz, bila bicara soal kemiskinan, luar bandar, masyarakat Melayu luar bandar, soal modal, soal produktiviti yang rendah, masalah pemasaran yang disebut irregulatis in marketing infrastructure, kemudian, itu menyebabkan kita harus teliti dalam semua aspek ini.
  1. Jadi subsidi yang diberikan itu mesti memberi pulangan yang baik. Ini sebenarnya tugas yang diamanahkan kepada Kementerian, dan saya lihat walaupun kita bergerak pada tahap tahun yang pertama tetapi apabila masuk ke tahun yang kedua di bawah kepimpinan menteri Mat Sabu saya nampak tahap kelajuan itu menyakinkan. Kalau saya lihat pace perubahan dan kemajuan yang berlaku di Pertanian dan Keterjaminan Makanan seperti yang ada sekarang dengan fokus termasuk durian dan pelbagai hal yang lain, saya yakin beri satu dua tahun lagi pastinya landskap pertanian negara kita akan berubah. Jadi saya harap semua agensi seperti MARDI, Jabatan Pertanian dan Perikanan dan lain-lain ambil ini sebagai satu cabaran.
  2. Saudara, ini semua boleh berlaku, kita lihat umpamanya negara Qatar, Qatar pada suatu ketika itu bergantung 90% import makanan sehingga mereka menghadapi sedikit krisis geopolitik dengan negara jiran, dan sekarang menjadi negara pengeluar makanan. Saya baru pulang minggu lalu dari Vladivostok jumpa Presiden Putin, dan lihat ada masalah geopolitik mereka tetapi bila negara itu rasa tertekan, hasil pengeluaran pertanian negara itu meningkat tinggi, tanah sama, pengurusan sama, peruntukan mungkin lebih kurang tetapi ditambah sedikit katanya, tetapi hasilnya melonjak tinggi kerana rakyatnya rasa tercabar, kerana kecintaannya kepada negara dan menganggap soal sekuriti makanan itu sebagai sekuriti negara.
  1. Kita harus tanam di kalangan petani, nelayan, pekebun kita dan seluruh jentera pertanian, Kementerian yang besar ini di antara Kementerian yang besar dalam negara kita ini. Kita mahu tanam ini, this is a major challenge, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh tingkatkan, kalau ada kekurangannya kita lihat kepada kita, apa kekurangan kita, di mana salahnya, dasar kita, jenis baja yang dibeli, pemasaran yang lemah, modal yang tidak cukup tanya kita dahulu. Kalau kita siapkan dan yakin dengan beberapa langkah ini, maka kita tanam semangat dan budaya baru di kalangan petani dan nelayan.
  1. Saudara Mat Sabu selalu bisik kepada saya tentang keperluan memberikan yang sebaiknya, memantau kemudian memastikan ada perubahan sikap dan nilai dalam kalangan kita. Kita tidak boleh harap hasil bertambah tanpa penggunaan dan perubahan teknologi termasuk AI seperti mana saya saksikan di beberapa tempat penggunaan Ai dalam meningkatkan produktiviti, tetapi ia juga memerlukan satu sikap dan budaya baru. Kita tidak mahu negara ini kalah dalam apa bidang jua. Dan kalau kita mahu pastikan menang, dalam bidang teknologi baharu, semikonduktur, AI, industri, maka sektor makanan itu menjadi tonggak utama yang harus kita hasilkan dan berikan tumpuan.
  1. Jadi saudara-saudara, saya tentunya akan bersama-sama saudara untuk memastikan dapat mengecap nikmat daripada hasil-hasil dan melihat sendiri apa yang dilakukan kerana ini juga tujuan MAHA, mendedahkan kepada rakyat tentang apa yang berlaku sepanjang tahun, pengeluaran dan hasil perubahan tetapi saya tidak boleh terlepas daripada menyatakan penghargaan sekali lagi, kerana saya tahu cara saudara Mat Sabu ini bekerja, ramai antara saudara tidak tahu, semalam untuk memantau keadaan, beliau bermalam di sini, ini tidak ramai yang buat begitu.
  1. Jadikan contoh ini dapat memberi inspirasi, semangat dan dorongan kepada saudara yang lain. Percayalah apa pun yang di luar sana yang dikatakan di kalangan tukang-tukang jerit, yang penuh dengan marah setiap hari, bahawa Kementerian Pertanian tidak ada hasil, tidak ada apa pun, pegawai-pegawai semua lembab, malas, Kerajaan tidak ada melakukan apa-apa pun perubahan dua tahun ini, tidak mengapalah, tetapi kita bertanggungjawab dan saya mengiktiraf jasa dan pengorbanan jentera Kerajaan itu.
  1. Saya datang dengan sikap yang sangat kritis, KSN tahu, mantan KSN Tan Sri Zuki juga tahu sikap saya sangat kritis, sangat mendesak, sangat kurang sabar untuk memastikan prestasi yang baik, tetapi setelah kita pantau, enam bulan, setahun, satu tahun setengah, saya lihat perubahan dan langkah jentera Kerajaan. Itu sebabnya saya ambil satu langkah berani di kalangan Jemaah Menteri untuk berikan pengiktirafan memperkenalkan Skim Saraan upah dan gaji yang terbaik dalam sejarah penajwat awam dan harapan supaya kita dapat memenuhi amanah ini.
  1. Saudara-saudara, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh hasilkan. Kita harus terima dua kenyataan, pertama perbaiki apa yang kita rasa lemah, tidak mungkin kita sempurna dalam semua yang kita lakukan, maka ambil sikap yang lebih tawaduk, sentiasa ada minat untuk melakukan perubahan ini, yang selalu kita rumuskan hadis Nabi Muhamad SAW, itqan fil amal (strive for excellence), kerana kapasiti kita ini berubah banyak. Yang kedua, bagaimana kita boleh menggerakkan masyarakat termasuk petani, pesawah dan nelayan untuk juga menerima perubahan ini dan melonjakkan hasil dengan bangga.
  1. Ada projek-projek yang besar yang akan kita perkenalkan termasuk projek raksasa penanaman padi fasa pertama yang akan dimulakan dalam masa singkat, seluruh projek itu menelan belanja lebih daripada RM5 bilion ringgit hanya untuk menumpukan perhatian kepada pesawah dan hasil mereka. Itu berbeda dengan golongan yang memaki hamun tetapi apabila diberi kuasa tidak melakukan apa-apa.
  1. Saya dan saudara Mat Sabu adalah generasi yang berhempas pulas dalam hidup dan dalam perjuangan. Kami yakin dalam membuat sesuatu adalah semasa berkuasa. Jangan sewaktu berkuasa asyik mengumpul harta, asyik dengan kemewahan dan kemegahan, kemudian bila dah bersara atau tersingkir atau tersungkur barulah berleter tidak berhenti-henti, menyalahkan orang. Cabarannya adalah semasa berkuasa, jadi kalau hendak kritik saya kritiklah, tetapi ada satu yang saya tekankan dalam ucapan awal tahun, kita hendak fokus dari Perdana Menteri hingga Menterinya, dari KSN hingga ke KSUnya, dan seluruh jentera, kita hendak fokus bangunkan negara ini, bangkit sebagai kekuatan baru dalam semua bidang dan percaya kalau ada tekad itu dalam kalangan kita, kita akan jadikan Malaysia itu negera hebat di rantau ini.
  1. Jadi MAHA ini sebagai suatu wahana untuk kita pamer, belajar, galakkan serta gerakkan terutama dalam golongan muda untuk tahu bahawa bidang pertanian dan keterjaminan makanan ini adalah satu bidang yang mesti dianggap kritikal dan harus diberikan tumpuan sepenuhnya. Semoga acara MAHA ini menjadi satu ruang, untuk menanam semangat dan juga  memberikan kesempatan bagi rakyat untuk melihat, tetapi bagi jentera Kerajaan adalah untuk merasakan bagaimana rakyat yang banyak itu meletakkan harapan dan akan menunjukkan rasa kagum supaya ada hasil yang lebih baik.
  1. Jadi dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan MAHA 2024.

Terima kasih.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.