TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : FELDA SAHABAT: SANTUNAN BUDI, TAUTAN KASIH, FELDA MADANI

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

FELDA SAHABAT : SANTUNAN BUDI, TAUTAN KASIH, FELDA MADANI

 

 

12 SEPTEMBER 2024 (KHAMIS)

 

 

FELDA SAHABAT, LAHAD DATU

SABAH

 

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuhi dan salam sejahtera.

Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,

Wa nusalli wa nusallimu ‘ala rasoolil kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun,

Menteri Kewangan Negeri Sabah mewakili Ketua Menteri;

Timbalan-Timbalan Menteri;

YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Bin Apdal,

Ahli Parlimen;

YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek,

Pengerusi FELDA

Serta seluruh keluarga FELDA;

Rakan-rakan mewakili Kerajaan Negeri, Tentera, Polis, ESCOMM yang menjadi tumpuan kita;

Pegawai-pegawai dan Pengurus FELDA; dan

Yang penting sekali keluarga dan anak-anak FELDA yang dikasihi sekalian.

  1. Syukur Alhamdulillah saya dapat bersama-sama di kawasan sekitar Lahad Datu ini Wilayah Sahabat, dan memang sebelum datang kita ikuti perkembangan membanggakan dengan banyak sebab dan sebahagiannya telahpun disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek sebentar tadi.
  1. Tetapi bagi negara keseluruhannya, rakyat seluruh negara harus beri penghargaan terima kasih kepada rakan-rakan di sini kerana selain darpada pejuang-pejuang kita di ESCOMM, seluruh jentera dan penguatkuasaan, barisan-barisan pertahanan yang menunjukkan kegigihan dan pengorbanan mereka, FELDA Wilayah Sahabat adalah benteng utama rakyat yang menunjukkan mereka bersama dengan negara menentang pencerobohan.
  1. Jadi saya datang diantaranya adalah untuk mengucapkan terima kasih. Kerana di ESCOMM, Yang DiPertuan Agong yang lalu sudah ke sana, Menteri Dalam Negeri juga sudah sampai, begitu juga dengan TYT dan kini giliran saya untuk menyampaikan kepada rakyat yang sama-sama memberikan sokongan dan pengorbanan mereka.
  1. Untuk ESCOMM seperti saudara sudah tahu, melihat kepada pengorbanan mereka, seperti dilaporkan oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan pada ketika itu, saya segera meluluskan peruntukan. Kita mahu anak-anak kita, pasukan keselamatan berjuang, berkorban mengorbankan bukan sahaja tenaga dan keringat, malah nyawa untuk pertahankan negara. Maka sebab itu Kerajaan mesti berikan perhatian, saya luluskan segera pada ketika itu, saya berikan mereka perumahan yang cukup baik untuk mereka dan luluskan RM40 juta segera untuk ESCOMM. Saya mahu luluskan segera dan siapkan segera, dan Alhamdulillah perkara itu telahpun dapat disiapkan untuk pasukan kita.
  1. Selain itu bagi semua pasukan tentera, polis, badan penguatkuasaan, pegawai-pegawai kerajaan di semua peringkat, kita telah umumkan satu peningkatan hasil pendapatan yang tertinggi dalam sejarah. Ini mengenangkan kerana bahwa 12 tahun, bukan tidak ada perhatian tetapi tidak setimpal, 12 tahun tidak ada kenaikan gaji dan upah.
  1. Tetapi dalam pentadbiran Kerajaan MADANI ini kita lebih keras, tidak ada tolak ansur, kamu curi wang, kamu tekan rakyat, kamu ambil hak rakyat, kamu akan ditangkap dan didakwa, kalau terbukti kesalahan kamu masuk penjara, itu pendirian kita. Kalau tidak kita curahkanlah ratusan ringgit, beri ruang, buat perumahan RM80 juta, kos RM60 juta, RM20 juta sakau, dan ini berlaku dalam negara kita, jadi saya datang turun ke bawah, terang sendiri, jangan salah faham. Saya tidak pilih, bukan kerja saya buat tuduhan, bukan kerja saya buat siasatan, bukan saya yang jatuhkan hukuman.
  1. Dapat laporan Suruhanjaya pencegahan rasuah (SPRM) yang buat siasasatan. Kalau kes jenayah seperti mana Global Ikhwan baru-baru ini, kalau ada laporan, itu urusan Polis DiRaja Malaysia untuk mengambil tindakan dan membuat siasatan. Serah kertas kepada Peguam Negara, kalau Peguam Negara lihat ada kes yang kuat maka ada pendakwaan, dan orang yang dituduh diberi ruang untuk mempertahankan diri mereka, cari peguam yang terbaik, apa juga alasan didengar oleh Hakim dan Hakim yang memutuskan. Ini yang dikatakan ‘negara hukum’. Tetapi sekarang ini bila kita ambil tindakan, orang yang diketahui ambil kekayaan puluh-puluh bilion ringgit atau ratusan juta ringgit, masih ada penyokong hendak pertahan. Saya kata manusia jenis apa begini? kamu curi beratus juta, harta di sini dan New York, di Amerika, di London, kemudian bila kita dakwa mereka kata Anwar dendam, saya dendam rindu hanya kepada Azizah tiada orang lain (nada seloroh).
  1. Jadi mengapa saya sampaikan ini? Saya hendak rakyat faham, kerana orang-orang yang dituduh kadang-kadang dia kaya. Kaya dari mana? Kaya dari curi duit rakyat. Ambil hasil-hasil negeri dan negara. Sama semuanya, saya bukan cerita pasal Semenanjung, Sabah pun sama. Sebab itu kita kena pilih pimpinan yang ada integiriti, yang bersihkan negara ini dan negeri ini, yang jaga kepentingan rakyat.
  1. Jadi saudara-saudara harus ingat ini, kita yang bertanggungjawab, jadi kita pilih orang-orang yang hormat negara hukum dan bila kita jaga negara hukum, jimat negara, hasil negara kita boleh naikkan. Gaji penjawat awam termasuk tentera, polis dan semuanya, berapa yang kita naikkan untuk 2025? kosnya mencecah RM10 bilion. Ada orang tanya Anwar ini mahu popular, jangan tanya soal itu, kamu harus tanya pekerja itu sama ada diberi layanan yang adil atau tidak. Kita tekan mereka, kerja mesti lebih kuat, salah kita ambil tindakan, kita mahu prestasi lebih baik, jadi jangan bangkitkan soal popular atau tidak kerana ini tanggungjawab saya. Saya sebagai bapak, sebagai ayah, ini pekerja-pekerja yang bekerja dengan negara ini dan saya diberi amanah untuk mengetuainya, jadi saya bertanggugnjawab mencari hasil membela nasib mereka dengan harapan mereka akan berikan khidmat, prestasi yang jauh lebih baik dari sebelumnya.
  1. Sebab itu di imigresen, kastam, polis, pejabat daerah dan semua peringkat, saya tidak mahu lagi rakyat terpaksa menunggu berjam-jam, saya tidak mahu lagi rakyat terpaksa mengemis untuk mendapat hak mereka dan sebagainya. Kerana kita mengiktiraf kedudukan penjawat awam, mereka juga harus terima. Kita tidak mahu rakyat gelisah beratur berjam-jam, hal yang boleh kita selesaikan dalam masa dua hari mengapa hendak tunggu dua bulan?. Bulan lalu saya lancarkan perumahan rakyat MADANI di Kuala Lumpur di sekitar Bangsar, selalunya hendak lulus, hendak kaji satu-persatu mengambil masa lapan bulan, orang yang hendak tunggu rumah sampai sekarang tiada rumah, nak lulus lapan bulan, nak siap empat tahun, tapi bila saya ambil tindakan begini, saya kata saya bagi ruang, yang peringkat rendah naik sehingga 30%. Kerana sistem gaji kita yang tinggi sekali naik sedikit, yang rendah naik banyak, baru adil. Kalau tidak yang tinggi naik banyak yang pegawai rendah naik sedikit, ini tidak boleh. Jadi sekarang ini pegawai rendah naik sehingga 30%-35% dan yang paling tinggi naik sedikit. Jadi pegawai tinggi jangan kecil hati. Kerana saya sendiri tidak ambil gaji sudah hampir dua tahun, yang penting kita berkhidmat dengan baik. Tetapi saya nak tunjuk untuk menjadi seorang ketua perlulah menjadi contoh yang baik.
  1. Kemudian sekarang ini kita bangkit soal FELDA. Alhamdulillah FELDA Wilayah Sahabat ini menunjukkan prestasi yang baik. Saudara-saudara, saya begitu senang sekali apabila ditayang dalam majlis-majlis FELDA jasa dan khidmat almarhum Tun Abdul Razak, kerana kita tidak boleh boleh lupa FELDA ini merupakan satu rancangan tanah bagi rakyat miskin, program raksasa yang julung-julung kali dibuat di dunia ini. Rakyat miskin tiada tanah tiada pekerjaan, diberi tanah dan pekerjaan. Masa itu terpaksa pinjam dari bank dunia untuk memulakan projek. Dan peneroka juga tidak boleh dilupakan kerana peringkat awal dia datang, bukan macam ini, tiada jalan, sekolah, padang kemudahan-kemudahan semuanya belum ada, merekalah yang membersihkan hutan belantara sehingga jadi seperti ini. Inilah dia jasa bapa-bapa ibu-ibu yang menjadi pengasas peneroka awal, jadi kita hormat dan terima kasih kepada mereka.
  1. Dan sekarang hasilnya bertambah. Dan di mana-mana kawasan FELDA, syarikat–syarikat milik Kerajaan yang lain Sime Darby, Guthrie, saya tengok tekanan supaya mutu hasilnya harus meningkat. Sebab itu sebagaimana kata saudara Syabery Cheek tadi, saya terpaksa jelajah, siapa pengimport terbesar kelapa sawit. China, negera India, Belanda, Mesir, dan sekarang kita nak minta Rusia. Sebab itu kita pergi dan berkawan dengan mereka. China setuju tambah import kelapa sawit. Saya jumpa PM India baru-baru ini, beliau berkata bahawa, saudara anwar, kita akan tambah import kelapa sawit kei India.
  1. Saya jumpa Presiden Putin, orang kata eh macam mana Malaysia nak berbaik dengan Rusia, apa kata Britain? Apa kata Amerika? Kita ini negara bebas dan merdeka kita putuskan apa yang terbaik untuk negara kita. Amerika penting, 25% dari import produk semikonduktur yang banyak di Pulau Pinang, di Kulim Hi-Tech, di Melaka dan Lembah Pantai itu 26% kita eksport ke Amerika, jadi kita jangan gaduh dengan Amerika, kena berbaik, tetapi jangan ada negara yang tekan kita, kamu boleh kawan dengan kami kamu tidak boleh berkawan dengan dia. Tidak boleh begitu. Siapa yang putuskan? Malaysia. Siapa yang putuskan? Rakyat. Untuk apa? Untuk jaga kepentingan negara kita.
  1. Sebab itu saya ke Valdivostok, di Rusia. Saya ucap terima kasih kerana dia bagi layanan yang sangat baik, Malaysia ini negara kecil tetapi orang bagi penghormatan kerana mereka tahu dasar kita. Saya bincang tentang perdagangan dan pelancongan, kerana di Malaysia ini baru setakat 100,000 pelancong Rusia. Sebab itu kita pergi buat galakan. Jadi saya katakan kepada Presiden Putin, bolehlah kita cari jalan, kita import direct kerana sekarang ini tidak boleh, banyak sekatan-sekatan. Sekarang kita import sekitar USD600 juta (RM2.4 bilion) arang batu dari Rusia, tetapi import melalui Dubai, kita mahu import direct supaya kos lebih rendah. Bila kos rendah harga elektrik boleh lebih rendah, kalau kos import arang batu tinggi, kos elektrik akan jadi tinggi. Kerja saya kena turunkan kos kerana saya tahu orang mengeluh kos sara hidup tinggi. Beliau turut bertanya berapa inflasi di Malaysia? Saya kata 2-3%. Di Rusia 8% sementara inflasi di Turkiye 40%.
  1. Baik, jadi bila kita laporkan begitu saya tanya tentang import kelapa sawit, dan dia setuju. Maknanya persahabatan itu penting. Dengan China, Perdana Menteri Li Xiang, memang ada sedikit masalah, kadang-kadang kapal mereka masuk sikit, tapi kita ambil juga hasil minyak. Sementara di Mesir import kelapa sawit kita itu tinggi. Presiden Abdel Fattah El-Sisi, undang saya ke Mesir, apabila dijemput saya terfikir, ini adalah peluang untuk kita menarik mereka membeli lebih banyak kelapa sawit.
  1. Ketua Menteri sampaikan salam. Beliau memberitahu saya bahawa di kawasan ini ada penduduk yang memiliki tanah adat, dan minta dipulangkan hak milik tanah kepada mereka sekitar 400 hektar, dan tanah itu melibatkan milik FELDA. Ini telah diminta sebelumnya lagi, TYT bangkitkan, Kerajaan Negeri juga bangkitkan. Jadi baiklah, kalua begitu saya setuju untuk diserah balik setelah dibuat ukuran, teliti oelh Kerajaan Negeri dan saya akan bincang dengan FELDA tindakan selanjutnya.
  1. Lihatlah saudara, sudah berapa tahun saudara tunggu, Alhamdulillah Kerajaan MADANI dengar dan terus pertimbangkan. Sementara hal-hal lain yang turut diminta oleh FELDA juga telah saya pertimbangkan, antaranya adalah pembinaan Pusat Dialisis untuk Wilayah Sahabat, kita tambah satu. Syaratnya jangan ambil gula banyak sangat. Minggu lalu saya di Port Dickson, kempen kurang gula. Di Malaysia ini kadar pengambilan gula dan kadar kencing manis adalah di antara yang paling tinggi di Asia. Memang betul Sabah itu tidak terlalu tinggi berbanding Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan. Tetapi saya harap ia dapat dikurangkan. Kalau di Jabatan Perdana Menteri dan agensi Kerajaan kita arahkan, minuman dan makanan kita kurangkan gula 50%. Jadi FELDA D’Saji kena ingat perkara ini, saya tidak pandang ringan perkara ini, sila ambil serius. Jadi, buat masa ini saya luluskan satu pusat dialisis di Wilayah ini.
  1. Bagaimana dengan peruntukan untuk lampu jalan? Saya sudah luluskan dahulu di setiap persimpangan penting kita pasang sebahagian, kalau masih belum cukup kita tambah. Sementara yang lain-lain kita sudah luluskan saya tidak mahu ulang tentang umpamanya aktiviti hijau, kitar semula, Sukarelawan MAYA dan juga bekalan air. Program di negeri ini, saya sudah bincang dengan Kerajaan Negeri keseluruhannya, ia adalah masalah tenaga elektrik dan masalah bekalan air, dan ini memerlukan peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan, jadi jangan dengar hasutan yang bangkang-bangkang ini. Kita perlukan kerjasama dan sinergi yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek ini.
  1. Saya datang puluhan tahun dah ke Sabah, saya tidak minta balak, saya tidak minta habuan, saya nak khidmat dan saya nak rakan-rakan yang ambil sikap yang sederhana. Petang ini kita mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963, yang kita putuskan dahulu sebahagian besar kita luluskan. Hal ini sudah 60 tahun lebih, kemudian apabila saya menjadi Perdana Menteri nak suruh saya selesaikan hari esok memang tidak boleh, sebahagian besar kita selesaikan, caranya bagaimana? kita runding baik dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Bukan dengan maki hamun dan bukan menafikan. Saya nak tanya tanggungjawab ini adalah tanggugnjawab bersama, termasuk Kerajaan Negeri. Orang-orang yang pernah memimpin negeri tahu, kenapa masa perintah dahulu tidak buat secukupnya, berapa ramai menteri-menteri dari Sabah, kenapa tidak buat dahulu. Kalau hendak buat semasa kamu perintah, saya dahulu saya kuat lawan, masa nak buat adalah semasa kita ada kuasa. Jadi tanya saya sekarang kita lakukan sebaiknya, masa kita perintah jangan curi duit negeri, jangan hasut rakyat, kerja khidmat bersama negeri dan persekutuan.
  1. Baik, sekali lagi saya nak ucap terima kasih kepada semua. Di sini saya datang di antara lain kerana kawasan berdekatan Lahad Datu, kita berasa bertanggungjawab untuk menyatakan penghargaan di atas khidmat untuk rakan-rakan kita di pasukan pertahanan dan rakyat keseluruhannya. Di FELDA ini saya nak beritahu sejarahnya, seperti yang dipaparkan tadi, tetapi percayalah kita akan buat sebaik mungkin, tidak mungkin selesai semua. Saudara menunggu tanah adat sudah berpuluh tahun dan kita selesaikan hari ini. Jadi saya luluskan dan saya minta FELDA berunding segera dengan Kerajaan Negeri dan saya hendak disegerakan. Hari ini umum, minggu hadapan harus mula bekerja, dalam tempoh satu dua bulan harus selesai masalah tanah adat di Kampung Tembisan.
  1. Jadi, sekali lagi kepada semua jentera FELDA yang telah berkhidmat saya ucap setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih. Saya bangga dapat bersama-sama walaupun jauh, saya juga berkesempatan dapat melihat suasana sekeliling.

Terima kasih.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.