TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS HIMPUNAN 24,000 HUFFAZ MALAYSIA

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

MAJLIS HIMPUNAN 24,000 HUFFAZ MALAYSIA

 

14 SEPTEMBER 2024 (SABTU) | 8.00 MALAM 

MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR

  

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh,

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb

Alhamdulillahil quail

Waman ahsanu qawlan mimman daAAa ila Allahi waAAamila salihan

Waqala innanee mina almuslimeen

Wa Usolli  Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara saya, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Mokhtar,

Menteri Agama,

Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain @ Abd Rasid,

Ketua Polis Negara;

Saudara-saudara;

Sheikh Zahid yang menyelenggarakan majlis dan membantu; Tetamu-tetamu, tuan imam, tuan-tuan guru, sheikh-sheikh saya pun ada disini dan anak-anak yang dikasihi sekalian.

  1. Alhamdullilah, majlis ini sangat bermakna, mengumpulkan para huffaz untuk menanam semangat dan memberikan harapan, dan untuk itu saya ucapkan penghargaan khusus kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri kerana ini ikhtiar beliau, ini dorongan beliau, ini dipayungi oleh beliau dan sentiasa menggesa saya, terus memberikan sokongan dan dorongan.
  1. Oleh sebab itu, saya terfikir tadi, tatkala mendengar pidato beliau, dengan segala asakan, hentaman, kecaman dan fitnah terhadap beliau, mungkin dengan doa para huffaz, beliau berdiri dengan kekuatan semangat yang kuat dan kental.

Anak-anak yang dikasihi sekalian,

  1. Untuk apa kita anjurkan majlis seperti ini? Untuk menjelaskan bahawa Kerajaan MADANI ini punyai prinsip yang jelas. Jangan hiraukan apa yang diungkapkan di luar. Anak-anak sendiri tahu, pernahkah sebelum ini, sejak negara merdeka tahun 1957, negara memberi perhatian sebegini berat kepada para huffaz? Pernahkah sebelum ini difikirkan, dengan jumlah yang besar iaitu ratusan ribu, ke mana arah mereka dalam bidang pekerjaan dan kehidupan mereka? Mungkin ada, tetapi tidak pernah terurus, terencana seperti mana yang dilakukan sekarang terutama atas ikhtiar saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi.
  1. Diberikan ruang bagaimana setelah diberi Hafiz, bagaimana diberikan peluang? Itu yang dicadangkan beliau tentang TVET. Dan dalam Jemaah Menteri, Menteri-menteri adalah dari pelbagai kaum dan agama tetapi tidak ada langsung halangan, bahkan diusulkan, disokong oleh kementerian-kementerian dan diluluskan sebulat suara oleh Jemaah Menteri untuk mengangkat kedudukan anak-anak huffaz kita.
  1. Sebab itu saya mulakan dengan ayat Al-Quran kerana ianya menyeru kepada dakwah, waaamila salihan -dengan amal soleh, kerana ukuran kita itu bukanlah kelantangan kita bicara, bukan jeritan kita, bukan menanam kebencian tetapi agama itu membawa kepada rasa kasih sayang dan ini yang harus dibawa. Kalau ada lagi kekurangan, sama ada untuk huffaz, ada cadangan lain, sila kemukakan. Kalau ada lagi hal-hal yang patut diperbaiki di JAKIM, sila kemukakan. Ataupun dalam urusan ekonomi, atau pendidikan, harus ada ruang.
  1. Anak-anak yang dikasihi sekalian, kita beri ruang. Disebabkan itu, kita harus ingat, jangan hanya kita hafal, di antara semua hadis awal yang kita kuasai dan hadam, irhamu man fil ardli yarhamkum man fis sama’ – tetapi amalannya, benci dan Islam itu dilihat sebagai satu agama yang menakutkan.
  1. Islam itu agama rahmah, kasih sayang, apa lagi di dalam negara Malaysia ini, ada umat Islam, ada bukan Islam. Apakah contoh yang terbaik yang boleh kita kemukakan? Dasar? ya, program-program? ya, tetapi contoh yang terbaik adalah Qudwah Hasanah. Sebab itu menyeru kepada kebaikan itu adalah satu tuntutan, yaaa aiyuhal lazeena aamanu istajeeboo lillaahi wa lir Rasooli izaa da’aakum limaa yuhyeekum – menyampaikan dengan penghayatan.
  1. Sebab itu soal akhlak itu penting. Dalam Maahad-Maahad tahfiz, pengawasannya bukan soal paritnya, kipas anginnya, tandasnya, ya itu diperlukan tetapi dengan akhlak anak-anak yang dilatih dengan disiplin sebagai contoh, Qudwah Hasanah dikalangan masyarakat kita.
  1. Sebab itu, anak-anak yang dikasihi sekalian harus terus tumpu dalam amalan kita, yakin bahawa masa depan kita insya-Allah cemerlang, tegap dengan pendirian kita, bahawa mesej Islam ini, mesej kebenaran. Risalah Islam ini, risalah keadilan. Risalah Islam ini, risalah yang menyatukan dan penuh dengan rahmah kasih sayang.
  1. Ini harus kita terapkan semasa dalam pendidikan, kepada ibu bapa dengan kasih sayang, dengan saudara-saudari, kawan-kawan kita, apa lagi dengan guru-guru dan sheikh-sheikh kita dan dengan kenalan sahabat handai kita termasuk yang bukan Islam.
  1. Negara ini dalam simpang siur. Di satu pihak, sebaik sahaja disebut Islam, dia terus melenting. Apabila saya sebut JAKIM harus menasihat Kerajaan dalam semua bidang, apa salahnya? Ada yang melenting, maknanya ada usaha untuk menghasut, menyeludup program-program Islam. Di mana salahnya? Bukan kita suruh untuk membuat zalim, kita suruh untuk tegakkan keadilan. Kita faham hak bukan Islam, kita hormati mereka, bukan sahaja setakat tasamuh, kita faham semangat dan roh, laa ikraha fid deen tetapi jangan dia membawa pandangan barat, Islamophobia, sehingga benci dan tidak boleh sebut Islam. Sebaik-baik Islam sudah menjadi seperti ISIS dan Al-Qaeda, itu satu pihak dan kita harus berdepan.
  1. Oleh sebab itu, anak-anak huffaz harus bersedia menguasai Islam yang sebenarnya. Di satu pihak yang lain yang membawa Islam dengan penuh kebencian, orang lain semua buruk, semua kelompok-kelompok jahat ini, kalau nampak YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, tidak nampak yang lain hanya jahat semua, tidak ada kebaikan. Kalau Kerajaan, jahat semua. Yang baik hanya ‘kabilah’ dan kelompok mereka.
  1. Ini jenis ‘assabiyah’ yang akan merosakkan sendi dan kekuatan masyarakat. Jadi kita terpaksa berdepan dengan dua tarikan ini, di satu pihak yang benci – Islamophobia, maknanya tidak boleh sebut langsung Islam. Yang satu lagi, mereka sahaja kelompok Islam, yang lain semua sesat, jahat dan zalim. Padahal jika ditanya pernahkah ada program huffaz seperti ini dan peningkatan mutu Pendidikan Islam seperti mana yang diterapkan dalam Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Pernahkah ada usaha menyekat syarikat-syarikat Israel yang berniaga di Malaysia? Sehingga tahun lalu, masih ada kapal-kapal ZIM Israel yang menggunakan pelabuhan kita. Siapakah yang memerintah semasa itu? Siapa yang memerintah sebelum itu? Mengapa tidak ditanya? Mereka semua jadi baik dan yang jahat kita, kerana kita, Jemaah Menteri memutuskan mulai tahun lalu iaitu 2023, semua kapal yang dibawa dari Israel diharamkan menggunakan pelabuhan di Malaysia.
  1. Saya bawa contoh-contoh ini supaya anak-anak faham, semasa kita belajar, tidak akan terlepas dengan pengaruh-pengaruh ini. Jadi gunakan kewarasan, balik kepada pangkal, apa asas pendidikan dan latihan yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam muzammil muddathir.
  1. Apakah ia? Bangun, kita ini lemah, kita ini lalai, kita ini tidur, kita ini dalam keadaan separuh sedar, itu pengajarannya dalam kalangan ‘muddassir’. Qum fa anzir – bangun dari tidur kita, bangun dari kelalaian kita, bangun dari kejahilan kita. Untuk apa kita bangun? wa rabbaka fakabbir – untuk tunduk, akui kebesaran Allah SWT. Bukan kebesaran penguasa, bukan kebesaran orang berharta, bukan kebesaran mana-mana manusia. Tunduk kepada Allah SWT, wa rabbaka fakabbir.
  1. Kalau benar wa rabbaka fakabbir, wa siyabaka fa tahhir – bersihkan jiwa, rohani dan diri, barulah kita boleh bawa perubahan. Saya percaya ustaz-ustaz dan sheikh-sheikh di Maahad yang pelbagai ini lebih alim dan lebih arif daripada saya. Tetapi sekadar saya menyampaikan, ini hasrat kita, ini hasrat Kerajaan MADANI, ini yang kita usahakan, dalam keadaan keterbatasan yang ada, dan percayalah insya-Allah, sekiranya anak-anak terus berusaha, jangan putus mendoakan supaya negara kita ini dalam landasan yang baik, ekonominya meningkat, ringgitnya kuat, pelaburannya datang supaya kita boleh memberikan peluang pekerjaan dan bantuan yang lebih bagi kebangkitan rakyat termasuk Islam.
  1. Jadi, semua urusan ini penting. Saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi menyebut tentang TVET, mengapa kita perlu TVET sekarang? kerana pelabur datang, kerana Malaysia dijadikan medan terpenting di Asia tenggara untuk semikonduktur, teknologi tinggi. Selepas ini pula, artificial intelligence, ini semua memberi peluang dan kita tidak mahu anak-anak huffaz ketinggalan. Maka sebab itu, beliau menekankan terus-menerus supaya ada kerjasama dengan semua Kementerian, ini saling kementerian, bukan sahaja ada Jabatan Perdana Menteri, bukan sahaja ada JAKIM tetapi untuk anak-anak huffaz, semua kementerian terlibat memberi ruang supaya anak-anak huffaz dapat bertapak pertama, sebagai huffaz, kedua sebagai pekerja yang mahir dalam negara kita tercinta.
  1. Mudah-mudahan ya anak-anak, jangan putus doa, jangan putus doa supaya kita selamat, selamat dalam pertarungan ini, daripada musuh-musuh yang menekan kita sampai tidak boleh bercakap tentang Islam, sampai tidak boleh bercakap tentang Gaza, sampai tidak boleh bicara tentang program Islam, sampai tidak boleh bicara soal kedudukan JAKIM, tidak boleh, itu satu pihak. Dan satu pihak lagi yang menanam Islam melalui kebencian, menolak semua yang lain dan mengisytiharkan jahat dan dajjal kepada semua yang bukan kelompok mereka.

Saudara-saudara,

  1. Selamatkan negara kita dengan membawa mesej dan risalah Islam yang baik, ummatanw wasatal litakoonoo shuhadaaa’a ‘alan naasi wa yakoonar Rasoolu ‘alaikum shaheedaa.

 Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.