TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PERDANA MENTERI
MAJLIS PELUNCURAN
PELAN INDUK KERJASAMA AWAM-SWASTA 2030
(PIKAS 2030)
9 SEPTEMBER 2024 (ISNIN) | 11.30 PAGI
DEWAN TUN CANCELOR, UNIVERSITI MULTIMEDIA, CYBERJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasoolihil kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri;
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Amirudin bin Shari,
Menteri Besar Selangor;
YB Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani,
Menteri Perladangan dan Komoditi;
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
YBrs. Tuan Muhammad Razman bin Abu Samah,
Ketua Pengarah, UKAS,
Timbalan-timbalan Menteri;
Pegawai-pegawai, rakan-rakan dan anak-anak yang dikasihi sekalian.
- Alhamdulillah, kita berjaya meluncurkan Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) sebagai satu petanda, pengarahan yang jelas tentang halatuju kita. Bila kita mulakan penswastaan, kita catat banyak kemajuan, tetapi sering kali kita lupa tentang kerangka asas dan halatuju negara. Sebab itu saya pernah imbau sebelum ini pengalaman dengan Telekom dan sebelum itu Tenaga yang telah diswastakan. Memang mencatat keuntungan yang melegakan pada tahun pertama. Jadi bila mereka melaporkan kepada saya ketika itu, saya bangga dan saya ucap terima kasih, tetapi ada isu yang relevan dalam konteks perbicaraan kita hari ini, dalam membicarakan soal PIKAS. Manakala syarikat itu diswastakan ataupun kerjasama awam-swasta, dia boleh meninggalkan prinsip asas dalam konsep pembangunan apa lagi dengan Ekonomi MADANI.
- Jadi bila dikemukakan laporan tentang kemajuan Tenaga dan Telekom, tentunya sebagai Menteri Kewangan saya bangga kerana ia mengurangkan beban Kerajaan untuk menampung dan keuntungan dicatat membanggakan, tetapi saya tanya bagaimana pertamanya, tentang kadar upah pekerja Telekon dan Tenaga terutama di peringkat bawah kerana pengurusannya tentu naik kerana tanggungjawab yang besar dalam bidang swasta.
- Yang kedua, bagaimana perumahan mereka? Kita tidak boleh umpamanya swastakan, atau sekarang ini PPA kemudian lepaskan tanggungjawab perumahan itu kepada jentera kerajaan. Jadi keuntungan itu tidak boleh diukur dari segi keuntungan syarikat swasta biasa, itu yang pertama. Kadar upah terutama peringkat rendah, kedua, perumahan mereka, ketiga bagaimana dengan pendidikan mereka, pendidikan anak-anak pekerja. Hal-hal itu mesti diberikan perhatian barulah bermakna konsep ekonomi yang prihatin, yang mampan kerana kemampanan ini bukan sustainablitiy dari sudut kekuntungan dan kelestariannya. Kemampanannya ialah kerana ia mengambil kira aspek kognitif yang menyeluruh untuk mengangkat martabat insan itu sendiri. Ini yang pernah dikupas sebagai dimensi manusiawi dalam pembangunan, dimensi keinsanan dalam pembangunan, kalau tidak hanya keuntungan.
- Pada ketika itu, saya syukur Alhamdulillah, kerana mereka terus mengambil langkah-langkah yang perlu walaupun secara berperingkat, dia tidak berbelanja keseluruhan keuntungan kerana dia syarikat dan tentunya bertanggungjawab kepada pelabur dan pemegang saham. Kemudian itulah diusulkan TNB mengadakan universiti dan Telekom mengusulkan kewujudan MMU, kerana itu syarat yang kita kenakan bagi mereka berjaya melaksanakan program penswastaan. Agak menarik MMU itu mulanya dicadangkan di Negeri Sembilan, kerana Negeri Sembilan belum ada lagi universiti, ini kali pertama saya nak sampaikan rahsianya. Saya setuju kerana pada ketika itu,Tan Sri Rahsdan juga adalah anak Negeri Sembilan, kenalan kita kerana ketika saya memimpin belia khususnya ABIM, beliau Naib Canselor, masa itu agak sukar untuk menggunakan universiti, tidak mendapat kelulusan, tetapi Tan Sri Rahsdan orangnya agak toleran, jadi beliau benarkan penggunaan UPM untuk muktamar ABIM. Bila saya usulkan dia bersetuju, saya kata saya nak Kuala Pilah, beliau setuju untuk cari tanah untuk saya bangunkan MMU di Negeri Sembilan.
- Ini berbalik kepada soal tatakelola, ramai orang mempertikaikan, katanya mual dengar masalah tatatekola. Tetapi isu tatakelo dan sikap pimpinan politik yang menyebabkan tidak dapat dilaksanakan ketika itu di Negeri Sembilan. Kerana Tan Sri Rahshan ni pengasas MMU mempunyai prinsip yang tegas untuk tidak bertolak ansur dengan apa-apa bentuk penyelewengan ataupun memperalatkan projek ini untuk memperkayakan satu dua orang.
- Maka saya masih ingat lagi, panggil berunding walaupun dipersetujui tetapi masih ada usaha-usaha yang memerlukan sogokan, jadi Tan Sri Rashdan beritahu kepada saya dia tidak mahu teruskan, lebih baik dipilih tempat yang dianggap alternatif, itu yang berlaku perubahan MMU ini.
- Contoh pengajarannya apa, pertama, dalam projek-projek dalam pelan Pikas ini, kerjasama awam-swasta mesti diterapkan dengan prinsip tatakelola yang tegas dan tidak bertolak ansur. Dan keduanya, mesti memikirkan soal keluarga yang mampu mendirikan syarikat itu dan keperluan keluarga maknanya kadar upah, perumahan mereka dan pendidikan selain daripada kesihatan dan lain-lain mengikut kadar dan keupayaan syarikat. Ini keistimewaan dalam konsep apa lagi harus diperkukuh dalam konsep MADANI. Jadi pengajaran yang saya hendak sampaikan di sini adalah bagaimana harus kita teruskan dalam pelan kerjasama awam-swasta dengan mengambil kira konsep ini. Ya, peranan UKAS seperti mana yang Tan Sri Shamsul Azri lebih maklum kerana bekerja dengan saya hampir setahun kebelakangan ini adalah untuk memastikan kepesatan kelulusan dan tidak terikat dengan kerenah birokratik yang berlebihan, tetapi tidak berganjak daripada prinsip utama tentang tatakelola dan mengelak dari sebarang kecurangan yang telah menjahamkan sebahagian daripada impetus (perubahan) negara kita.
- Kebetulan saya sedikit terlambat tadi kerana mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola yang dihadiri bersama TPM Fadhilah dan juga KSN Shamsul Azri, Ketua Audit, Peguam Negara dan Pesuruhjaya SPRM juga hadir. Iaitu untuk memberi dokongan yang kuat kepada badan-badan penguatkuasaan untuk memastikan negara ini bangkit sebagai negara maju dari segi ekonomi, mampan tetapi berdasarkan prinsip dan tatakelola yang ketat.
- Jadi saudara-saudari yang dihormati sekalian, kita tahu sejak tahun 1991 apabila saya bersama-sama sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu untuk melakar pelan penswastaan, kita merasakan keperluan pada ketika itu walaupun saya akui dari segi tatakelola banyak yang harus diperbaiki. Kita tahu lebih 510 projek PPP yang dijalankan, sebahagian besarnya mengikut kaedah yang ketat tetapi ada juga yang menunjukkan kelemahan kerana tidak dirangka, dilaksanakan atau diselaraskan mengikut kaedah yang ditetapkan.
Saudara-saudara dan saudari-saudari yang dimuliakan,
- Negara ini bertuah sebab pengiktirafannya lebih baik ketimbang lalu, barat dan timur walaupun kita mendekati negara China kerana keupayaan dan kekuatan ekonomi China yang lebih segar bugar sekarang ini, dan mutakhir dengan Rusia kerana keupayaan Rusia dari beberapa bidang teknologi, aerospace, energy, nuklear yang jauh lebih pantas dan kita juga kekal dengan sahabat-sahabat tradisional kita termasuk ASEAN, Eropah dan Amerika Syarikat. Kebetulan pagi tadi saya dapat surat daripada Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat yang menyatakan penghargaan tinggi kepada kita kerana kerjasama membolehkan mereka melabur melalui Syarikat Boeing di Kedah. Itu kerana mereka yakin akan keupayaan dasar kita, walaupun kadang-kadang ada yang bimbang kerana nampak ada sedikit anjakan dari segi dasar luar.
- Saya tekankan bahawa dasar luar negara yang bebas dan merdeka seperti Malaysia harus bebas, ada yang dikatakan, centrality. Centrality ini menjadi tonggak kepada dasar luar kita. Mengambil sikap yang lebih pragmatik, dasar MADANI kita mesti mendirikan keutamaan yang pertama iaitu negara ini harus aman dan selamat, negara ini harus mencungkil bakat yang harus mampu melaksanakan dan negara Malaysia yang tercinta ini harus menggembleng seluruh kekuatan untuk mengangkat martabat kita. Dan lebih utama negara ini harus menyiapkan anak-anak muda kita dalam bidang kemahiran, keterampilan terutama dalam beberapa disiplin baru termasuk artificial intelligence, digital dan mencapai kejayaan dan menguasai beberapa bidang dalam bidang transisi tenaga.
- Soal sumbangan PPP tidak dipertikai. Tadi dilayar, kita lihat umpamanya sumbangan RM50.5 bilion kepada KDNK, dan berjaya memberi peluang pekerjaan kepada lebih itu 698 000 orang. Itu angka-angka yang menyenangkan dan membanggakan, tetapi percayalah angka-angka ini tidak mampu memukau kita, dan melonjak negara in sebagai negara maju. Angka-angka ini hanya permulaan. Jadi oleh kerana kehadiran rakan-rakan terutama KSU-KSU dan KP-KP yang baru dengan sedikit penyesuaian baru-baru ini, saya ingin tegaskan kalau kita mahu menjadi penyumbang utama tenaga penggerak untuk jayakan Malaysia baharu yang berpotensi untuk menjadi negara hebat dan maju, maka cara dan kaedah kerja kita mesti berubah. Negara di era pasca normal (post normal times) menuntut kaedah dan pendekatan yang berbeda, tidak mungkin kita kekalkan pelan 20 tahun yang lalu untuk mencapai kemajuan 10 tahun akan datang. Kerana apa yang disebut post normal times itu menuntut satu perubahan yang pesat seperti mana juga teknologi dengan digitalisation dan AI itu memungkinkan perubahan itu dalam masa sekelip mata, perubahan itu bukan setahun atau dua tahun. Menurut kaedah ini perubahan dari segi perencanaan ekonomi dan pelaksanaan harus begitu juga.
- Sebab itu apabila saya luncurkan baru-baru ini Projek Perumahan MADANI di Kuala Lumpur untuk rakyat M40 dan B40 saya ucap tahniah. Kenapa saya ucap tahniah? Kapasiti kita ada, kelulusan biasa Dewan Bandar raya di antara lapan bulan hingga satu setengah tahun, tetapi bila saya katakan ini keutamaan, kita boleh pacu kejayaan yang membanggakan, negara ini boleh kagum dengan angka-angka yang memukau, pelabuaran yang tinggi, inflasi yang rendah, ataupun pertumbuhan KDNK 5.9%, tetapi bagi rakyat kos sara hidup mereka, rumah mereka, mereka juga lihat apa yang mereka perolehi secara langsung, dan kalau kita hendak luluskan projek secara yang biasa itu mengambil masa setahun setengah, rumah siap empat tahun lagi, jadi 5 tahun keseluruhan. Bila kita asak semangat ini, Dewan Bandar Raya luluskan, tentunya dengan syarat syarikat itu memenuhi semua syarat-syarat kita tidak boleh tolak ansur perkara itu. Dewan Bandar Raya luluskan projek itu dalam tempoh 45 hari, rekod dalam negara kita. Apa mesejnya? Kita berupaya, melainkan syarat-syarat itu tidak dipenuhi, kita harus pastikan syarat ketat, persekitarannya, AIA, longkangnya, segala hal kemudahan bekalan elektrik, air, semuanya disiapkan tetapi mestilah lebih pantas.
- Sebab kita ini agak ketinggalan dalam banyak hal. Saudara bayangkan tahun 90-an dalam banyak indikator pertumbuhan dan kemajuan kita agak ke depan, tetapi kita ketinggalan sekarang. Untuk pacu pertumbuhan sebenarnya kita mampu. Bulan lalu saya dengan Dato’ Seri Fadhilah ke Kerian, Parit Buntar, utara Perak, di sekitar selatan Pulau Pinang untuk meluncurkan KIGIP – Hi-Tech di Kerian yang menekankan teknologi hijau, maknanya di situ kalau dari segi tenaga mesti hijau. Sime Darby Guthrie di bawah PNB, tanahnya di bawah mereka, jadi kita serahkan kepada mereka untuk uruskan. Dan biasanya projek itu untuk take-off mesti setahun, tetapi mereka dapat take-off dengan kerjasama Kerajaan Negeri, kerana tanah itu sudah tanah Sime Darby, jadi kelulusan tanah itu dibuat dalam masa 3 hari.
Saudara,
- We can be a great nation, if we have the entire force in this society from the leaders to the private sector dan the workers having this common resolve to uplift the status of our people, ensure there is peace and security and believe me I have strong conviction that this nation, Malaysia can emerged as the great nation. Tapi kita kena teruskan sebab itu saudara tahu sikap saya dan rakan-rakan saya, kita tidak peduli sangat gangguan-gangguan kecil ini, kita harus hanya menumpukan perhatian dan fokus, dan saya ajak rakan-rakan begitu.
- Dalam PIKAS ini hanya ada satu dalam rencananya yang tentunya melibatkan seluruh jentera Kerajaan. Kalau kita dapat jayakan dengan kaedah-kaedah baru, model bayaran, resepi yang baru, bayaran hibrid yang dapat mengurangkan juga beban kos Kerajaan. Ini adalah kaedah-kaedah yang diperkenalkan dalam PIKAS. Saya percaya saudara-saudara akan baca seterusnya. Maknanya sebahagian daripada kos yang dahulunya dibebankan kepada Kerajaan dipindahkan kepada swasta, itu satu, dan sebahagiannya itu dikurangkan kerana kaedah yang lebih canggih dan efisien.
Saudara-saudara,
- Dalam lawatan-lawatan baru-baru ini juga ada saya sebutkan dengan Presiden Putin, saya syukur Alhamdulillah kerana perhatian yang diberikan kepada negara kita, pengiktirannya, kerana sistem politik yang stabil, rakan-rakan dalam Jemaah Menteri kerja dalam satu pasukan, rakan-rakan penjawat awam, swasta dan tentunya anak-anak mahasiswa yang menjadi harapan kita untuk sama-sama mengangkat martabat terutama untuk masa depan negara kita.
- Jadi kita berdoa kehadrat Allah SWT, mudah-mudahan konsep negara MADANI ini dan Ekonomi MADANI yang cuba diterjemahkan dalam pelan PIKAS kerjasama awam-swasta dapat dijayakan dengan sebaik mungkin dan kita lakukan dalam kepesatan, kelajuan sedaya mungkin. Orang-orang yang kabur mungkin tidak lihat persaingan yang berlaku di sekitar kita, tetapi kalau saudara sentiasa cerdas dan segar melihat bahawa orang lain tidak diam, kita yang kalau kekal cara lembap, bergaduh dalam soal titik bengek, bincang soal-soal yang remeh, itu yang akan menyebabkan kita ketinggalan. Jadi saudara-saudara mari kita tumpukan dan fokus untuk jadikan Malaysia ini negara yang hebat dan cemerlang.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR