TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN OGOS 2024

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

PERDANA MENTERI

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN OGOS TAHUN 2024

 

 

5 OGOS 2024 (ISNIN) | 8.00 PAGI

 

 

DEWAN DE’ SERI ENDON

PUSPANITAPURI

PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan
salam sejahtera.

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusolli Ala Rasoolihil Kareem

 

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

Menteri-Menteri;

YBhg Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

Timbalan Menteri

Rakan-rakan yang lain yang saya muliakan.

 

  1. Syukur alhamdulillah kerana kebelakangan ini kita dapat pengiktirafan, catat kemajuan dari segi ekonomi dan pertumbuhan, termasuk pengukuhan ringgit berbanding 14 tahun yang lalu dan juga peningkatan kekuatan terbaik di Asia. Saya bukan hendak bincang soal kejayaan kerana kita harus juga ada sikap tawadduk, maknanya mesti ada ruang, itqan fil amal untuk kita tingkatkan kecekapan dan memperbaiki kelemahan-kelemahan supaya kita menuju kepada yang lebih baik.
  1. Tetapi saya ambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa kejayaan-kejayaan ini tentunya kerana politiknya lebih stabil, dasar dan kerangka dasarnya itu lebih jelas. Tetapi satu elemen yang sangat penting yang saya hendak manfaatkan waktu ini untuk jelaskan ialah kerana kita punyai budaya, tradisi perkhidmatan awam yang banyak berusaha membantu meningkatkan prestasi menjamin kejayaan. Walaupun tidak banyak diwar-warkan tetapi ini kenyataannya.
  1. Saya bersyukur kepada Allah SWT sejak menjadi Perdana Menteri, saya didampingi selain daripada rakan-rakan Jemaah Menteri, ialah tonggak perkhidmatan awam Tan Sri Zuki sebagai KSN dan kebetulan perhimpunan ini perhimpunan terakhir bagi beliau selaku Ketua Setiausaha Negara.
  1. Saya hendak mengambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan dan rasa terhutang budi, walaupun berliau berpengalaman dengan Perdana Menteri terdahulu tetapi menjalankan khidmat benar-benar profesional. Hari pertama nasihat beliau, pandangan dan cadangan yang diberikan kepada saya secara konsisten yang terbaik untuk perkhidmatan dan untuk negara. Jadi saya dalam beberapa keputusan merujuk pandangan beliau termasuklah skim persaraan ini yang banyak di bantu oleh KPPA dan JPA, tetapi kita runding dan peranan KSN itu sangat utama.
  1. Saya panggil beliau tanpa mengira waktu, kadang-kadang kerana kesibukan saya, hari Sabtu malam, kalau saya lapang saya panggil pada hari Ahad, kalau saya telefon itu tidak peduli waktunya, tetapi inilah satu sosok penjawat awam, satu tenaga yang tidak pernah memberi gambaran mengeluh, rasa letih atau memberikan alasan tetapi mencari jawapan sebaik mungkin.
  1. Saya tidak bermaksud memberi pujian berlebihan, tetapi ini kenyataan. Kadang-kadang saya ada dengar beberapa masalah, saya terus telefon atau text waktu malam, dan saudara sudah pastinya secepat mungkin jawapan diberikan untuk membantu saya dan Kerajaan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Banyak hal-hal lain yang boleh saya sampaikan, beliau tidak pernah mengeluh atau susah, tidak ada.
  1. Kerajaan bernasib baik kerana selalu yang dipaparkan di media, yang ditegur itu adalah kelemahan-kelemahan seperti soal lambat, soal ketirisan, betul dan kita tidak nafikan, tetapi apa yang kurang diberikan tumpuan ialah bahawa majoriti memberikan khidmat bukan hanya sebagai penjawat awam mengikut waktu dan tugas tetapi mencurahkan seluruh bakti dan tenaga mereka untuk nusa dan bangsa.
  1. Mungkin ramai lagi yang telah berjasa dan berkhidmat, tetapi pengalaman saya secara peribadi dalam kerajaan mengemudi negara ini, ia tambah meringankan apabila tokoh-tokoh utama dalam penjawat awam itu betul-betul komited mencurahkan segala-galanya, waktu dan tenaga termasuk pada hujung minggu. Saudara-saudara fahamlah terutama yang dekat dengan saya tahu cara saya bekerja, kalau saya ada kelapangan, Sabtu, Ahad, malam saya tidak kira, kadang-kadang saya tidak terfikir, bahkan Azizah kerap menegur katanya, “mungkin mereka ada komitmen keluarga”, tetapi saya jawab “kalau mereka ada komitmen keluarga mereka akan beritahu saya”, takkan saya nak marah. Tetapi itulah Tan Sri Zuki KSN tidak pernah memberi sedikit pun gambaran bahawa beliau susah dengan tekanan dan beban yang saya berikan.
  1. Selain daripada penghargaan, tentulah jasa dan khidmat beliau saya kenang, mustahil saya lupakan tetapi saya mahu rakan-rakan dan terutamanya yang junior lihat dan jangan beralih pandangan dan rungsing kerana pandangan-pandangan serong dan teguran-teguran termasuk diri saya dari semasa ke semasa, tetapi lihat bahawa dalam memberi teguran tidak pernah menafikan sumbangan besar.
  1. Saya tidak fikir negara MADANI ini boleh terangkum, ekonomi MADANI mencatat kejayaan, ringgit diperkukuh, pelaburan datang mencurah dan projek-projek dilaksanakan, mustahil tanpa komitmen dan pengorbanan rakan-rakan penjawat awam. Dan yang lebih utama itu adalah kepada siapa yang mengemudinya. Kalau umpamanya di kalangan kita pimpinan politik memberikan pandangan-pandangan dan tegasan, jika tidak disambut dengan rasa yakin, saya tekankan ini kerana pada peringkat awal tentu sukar penjawat awam untuk menyesuaikan dengan Kerajaan baharu, satu kejutan dalam dunia politik di Malaysia dengan keadaan terawang-awang, terumbang-ambing bertahun-tahun sebelumnya, dan datang dengan saya dengan beberapa pandangan yang tegas dan cara kerja yang keras, tentunya mengambil waktu, dan mengambil masa dalam penjawat awam untuk melihat komitmen dan peralihan itu. Tetapi dari sosok yang disebut Tan Sri Zuki ini, saya lihat komitmennya itu terus menyempurnakan tugas sebagai tonggak penjawat awam yang harus kita banggakan.
  1. Jadi percayalah dalam apa pun tugas kita seterusnya kita tidak mungkin melupakan jasa, pengorbanan, dan khidmat seorang tonggak dalam perkhidmatan awam yang harus kita banggakan. Saya tentunya kehilangan seorang pendamping yang penting dalam perkhidmatan awam. Walaupun beliau bersara dari perkhidmatan awam, beliau telah berjanji yang beliau akan bersedia seperti sedia kala untuk membantu menjayakan negara MADANI ini. Terima kasih Tan Sri.
  1. Mudah-mudahan ia menjadi dorongan dan semangat kepada kita untuk menjalankan tugas dengan ikhlas dan amalu lillahi taala.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.