TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PELUNCURAN PERUMAHAN PENJAWAT AWAM MALAYSIA MADANI

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN PERUMAHAN PENJAWAT AWAM MALAYSIA MADANI

 

 

6 OGOS 2024 (SELASA) | 9.30 PAGI

 

BANDAR SRI PERMAISURI

KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusolli Ala Rasoolihil Kareem

 

YB Tuan Nga Kor Ming,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

 

YB Dr. Zaliha Mustafa,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan);

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

 

YBhg. Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

 

KSU-KSU yang hadir;

 

Rakan-rakan dan tidak terlupa

 

YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail,

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

 

  1. Alhamdulillah kita dapat bersama-sama pada pagi ini meluncurkan satu projek perumahan untuk penjawat awam. Saya tekankan sepertimana yang diulas oleh Tan Sri Zuki bahawa dalam negara MADANI ini kita kena pastikan ekonomi mampan. Alhamdulillah seperti mana dilaporkan, kekuatan ringgit yang menjadi masalah kepada kita itu kembali dengan lebih meyakinkan. Kekuatan ringgit hari ini terbaik ketimbang 14 tahun yang lalu. Dari segi kadar peningkatan itu terbaik, bukanlah ringgit itu terbaik di Asia tetapi kadar peningkatan, kepesatan peningkatan itu terbaik. Jadi kita syukur. Jasa siapa ini? Tentunya kerana politiknya stabil, dasarnya jelas, penjawat awam berdedikasi, sumbangan sektor swasta, ini semua mempunyai peranan untuk menjayakan.
  1. Tetapi apa erti kekuatan ringgit, pelaburan yang masuk, kalau tidak memberi faedah langsung kepada rakyat yang dirasai oleh mereka. Sebab itu di Wilayah Persekutuan umpamanya dari awal saya tekankan mesti beri penekanan projek-projek yang menyantuni rakyat secara langsung. Bangunan-bangunan pencakar langit sudah banyak. Kalau ada sektor swasta nak bangunkan, silakan. Tapi Kerajaan tidak menjadikan ini keutamaan lagi. Saya tidak mahu bermegah kerana Malaysia ini atau Kuala Lumpur punyai bangunan-bangunan tinggi dan hebat dan terkemuka di dunia. Saya tidak megah. Saya mahu tumpuan Jabatan Wilayah dan kerjasama semua Kementerian jaga umpamanya kebersihan warung, gerai, restoran kecil kerana itu disantuni oleh majoriti 70-80% rakyat Kuala Lumpur ke gerai, warung dan restoran kecil. Tetapi tumpuan kita tidak setimpal. Sebab itu saya ucap tahniah kepada Jabatan Wilayah Persekutuan, KPKT, DBKL yang berikan tumpuan dan kita lihat puluhan gerai-gerai yang telah dinaik taraf dan kelihatan indah dan bersih. Baru nampak negara MADANI dengan sikap ihsan.
  1. Kemudian hari ini kita lihat umpamanya perumahan. Perumahan rakyat diberi keutamaan dan juga perumahan penjawat awam. Penjawat awam itu punyai tugas dan menjadi satu rangkaian jentera Kerajaan yang membantu. Mesti umpamanya lebih cekap, lebih pantas, halang daripada kebocoran dan rasuah. Itu semua hal-hal yang harus diberi perhatian.
  1. Di Kementerian Kewangan, kita perkenalkan Akta Pertanggungjawaban Fiskal Kewangan. Maknanya Menteri Kewangan menyerahkan kuasa, penilaian pemantauan kepada Parlimen untuk membahas, menentukan apakah unjuran kita itu dapat dicapai atau tidak. Untuk Kerajaan, untuk penjawat awam pun harus sedemikian, harus ada pertimbangan, bagaimana kita ukur kejayaan mereka. Apakah orang yang memohon lesen kena tunggu berjam-jam atau berbulan-bulan? Berapakah masa menunggu yang diambil oleh orang yang hendak perbaharui lesen JPJ atau hendak menunggu daftar di hospital? Semua ini harus diambil kira. Jadi ketua-ketua jabatan harus beri penekanan kerana dari segi Kerajaan, kita beri pertimbangan.
  1. Tan Sri KSN menyebut tentang pelarasan gaji, ya memang betul. Dalam beberapa minggu ini saya akan umumkan beberapa kaedah kasar yang akan membuktikan bahawa dalam sejarah Malaysia, walaupun ada suara-suara pembangkang yang memang tidak pernah reti syukur dan tidak pernah nak terima kenyataan. Tetapi percayalah bila saya umumkan nanti, sebahagiannya bulan Ogos ini dan kemudian lengkapnya sepertimana saya janjikan pada bulan Oktober, Belanjawan Negara dan dilaksanakan mulai 1 Disember. Apa dia skimnya untuk penjawat awam? Iaitu kenaikan gaji paling tinggi dalam sejarah negara sejak merdeka. Sebabnya duan (2), pertama negara membangun. Tetapi selama 12 tahun tidak ada kajian menyeluruh mengenai kenaikan gaji. Kedua, kerana mengiktiraf peranan mereka selama ini. Kerajaan silih berganti, Perdana Menteri silih berganti, tapi penjawat awam punyai tugas secara profesional melaksanakan amanah ini. Ketiga, yang penting ialah dengan pelarasan gaji ini kita mahu supaya khidmat mereka kepada rakyat jauh lebih baik setimpal dengan gaji diberikan itu. Ini insya-Allah kita dapat lakukan.
  1. Jadi sebab itu dalam keadaan perumahan ini saya ucap terima kasih kerana diselaraskan dan khususnya kepada KSN, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan, KPPA, KPKT, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, dan Kementerian Sumber Asli. Kementerian-kementerian bergerak bukan secara silo, perumahan ini bukan kerja KPKT sahaja, gaji penjawat awam bukan Kementerian Kewangan sahaja, perancangan ekonomi bukan Kementerian Ekonomi sahaja. Kalau kita dapat kerja sebagai satu pasukan, percayalah saudara-saudara, kita akan dapat catat kemajuan jauh lebih baik daripada apa yang kita dengar dalam beberapa hari atau minggu yang lalu. Kita harus bersyukur ke hadrat Allah SWT, tetapi syukur itu bererti kita lebih bertanggungjawab melaksanakan.
  1. La’in shakartum la azeedannakum wa la’in kafartum inna ‘azaabee lashadeed. Allah mohon kita supaya mengerti erti syukur. Syukur kepada Allah, syukur atas nikmat, syukur kerana keamanan. Bila aman, syukur ertinya apa? Ertinya terima kasih kepada pasukan keselamatan, kepada polis, tentera, APNM. Syukur kerana kesedaran rakyat tidak difitnah, tidak mudah menerima caci hamun. Syukur kerana ekonomi kita lebih baik. Tetapi kerana orang yang tidak bersyukur kepada Allah SWT, kepada nikmat yang diberikan itu mengundang azab yang pedih. Jadi bukan sesekali mudah saudara-saudara. Syukur ertinya menjalankan yang maaruf, yang sebaik mungkin yang kita dapat lakukan. Saya yakin insya-Allah hala tuju kita lebih baik.
  1. Apakah kita nafikan? Tadi ada perhimpunan bulanan di Kementerian Kewangan saya tekankan kita tak nafikan. Bandar, kota-kota di kampung, masih menghadapi masalah iaitu kos sara hidup. Jadi kita tidak nafikan. Sebab itu dalam strategi belanjawan kita dan perancangan ekonomi kita, kita tidak ketepikan. Cuma janganlah umpamanya gunakan itu menolak semua kebaikan dan menafikan bahawa harga gula, minyak mentah, minyak di Malaysia ini jauh lebih rendah bukan sahaja dari Singapura, saya faham, dari Thailand, rendah daripada Indonesia. Ini kenyataan yang tidak boleh dimungkiri.
  1. Jadi sementara kita cuba sedaya upaya. KSN tahu, Menteri-menteri kita tahu kita elak pembaziran. Majlis-majlis biar sederhana, gaji Menteri-menteri dipotong walaupun gaji penjawat awam akan dinaikkan, Perdana Menteri tak ambil gaji. Sebab saya hendak tunjuk bahawa tidak semua orang ada jawatan itu kerjanya hanya nak pelahap wang orang. Kalau gaji tu hak mereka tak mengapa, tetapi kita harus keras melawan amalan rasuah dan penyelewengan, kerana ini yang menyebabkan kos naik. Di antara lain kartel, salah guna kuasa, ketirisan.
  1. Tengok apabila penyasaran subsidi diesel dilaksanakan, yang tidak pakai diesel pun marah kita. Tapi saudara tahu tak diesel itu menyebabkan orang seludup, orang curi duit kita? Orang yang ambil, orang-orang asing yang tidak bayar cukai dapat subsidi diesel. Siapa yang bagi subsidi? Rakyat. Rakyat mana? Rakyat bayar cukai. Munasabah ke? Saudara bayar cukai, cukai itu diguna untuk bagi subsidi kepada orang asing. Dicuri bawa ke luar negara. Berapa banyak? RM4 bilion satu tahun. Bila kita ambil tindakan, mudah? Tak mudah. Tapi kalau tak ambil, dia jadi kekal begitu. Tiap tahun serah kepada orang RM4.5 bilion. Ini bukan dasar yang baik, tapi bila kita lakukan, ada lagi masalah? Ada. Ada tak yang terkesan terutama peniaga kecil ataupun nelayan, pekebun kecil? Ya. Jadi buat rayuan. Kalau yang mana boleh kita timbang, kita pertimbangkan. Tetapi naik 5-10 sen lebih baik daripada serah kepada orang asing dan negara asing RM5 bilion.
  1. Saudara fahamkan begitu. Pendapat siapa? Semua Perdana Menteri selepas ini, semua parti politik. Masa Barisan Nasional, Pakatan Harapan, PAS, BERSATU semuanya, semasa mereka dalam Kerajaan bersetuju penyasaran subsidi diesel. Tetapi sekarang dia kecam “zalim”, “menindas rakyat”. Jadi saudara-saudara kena teliti dan dengar secara baik.
  1. Saya tidak nafikan memang ada masalah. Tetapi bagaimana? Apa pilihan kita tentang penyasaran subsidi diesel ini? Saya faham bila ada juga kesan-kesan di bawah terutama dulu apabila harga ringgit jatuh. Jadi import gula, import itu meningkat menyebabkan harga naik. Sekarang secara perlahan ringgit menguat, harga import mula kurang. Jadi KPDN itu terpaksa pantau betul-betul. Jangan ambil kesempatan dan mendera rakyat. Ini yang saya nak jelaskan.
  1. Akhirul kalam saya nak ucap terima kasih kerana perumahan ini sangat penting. Di Kuala Lumpur ini puluh ribu, Dr. Zaliha tahu, yang tunggu nak dapat rumah. Jadi saya berterima kasih kepada saudara YB Nga Kor Ming kerana tumpu bukan sahaja pembangunan perumahan biasa, tetapi perumahan MADANI untuk menyantuni kepentingan bukan sahaja penjawat awam, tetapi kelompok B40, M40 yang lebih susah. Orang-orang kaya dia buatlah rumah banyak mana pun, berapa harga puluh juta pun dia buatlah saya tidak peduli. Kita ada tanah kita beri, tak ada masalah. Tetapi rakyat yang lain harus dibantu. Itu sebabnya mengapa jentera Kerajaan harus dikerahkan supaya menyelesaikan masalah perumahan yang sangat rumit ini.

Saudara,

  1. Seramai 60,000 orang queue nak dapat rumah Bandar Raya. Kemudian kita diserang disuruh selesaikan 60,000 dalam satu tahun. Tidak boleh. Hari ini 850 (unit rumah). YB Nga Kor Ming sedang rancang supaya sekurang-kurangnya 3,000-4,000 perumahan disediakan pada satu-satu tempat dan setiap perumahan baharu, saya arahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandar Raya. Buat perumahan baru, dia ada tanah okay kita luluskan, kita boleh bagi kelonggaran, kita boleh percepatkan. Tapi syaratnya mesti ada 1-2 blok rumah MADANI untuk rakyat memanfaatkan daripada ini.
  1. Ini ketegasan sebab itu saya kata kalau tegas pimpinannya, tegas penjawat awamnya, banyak boleh selesaikan. Kalau tak tegas dia dapat 1/2 juta (ringgit), dia tutup kes itu. Sebab tu dulu tak ada penekanan sangat tentang hal-hal ini. Plot ratio ke, syarat-syarat hijau ke, taman ke, tapak sekolah ke itu semua tersakau kerana tidak memikirkan soal kepentingan rakyat. Sebab tu saya kata jangan pandang ringan soal tata kelola dan syarat kemudahan rakyat. Jangan pandang ringan soal rasuah dan ketirisan kerana ini yang menyebabkan rakyat di bawah terdera.
  1. Saya tahu ini sukar difahami, orang tak nampak. Orang yang rasuah sekarang cerdik, dia tak simpan akaun di sini, kadang-kadang di luar negara. Tetapi bila kita ambil tindakan tegas kepada perasuah-perasuah besar yang mempunyai kekayaan puluhan bilion, sesetengah orang dia diam kelu membisu. Cakap pun tak berani sebab dia tauke besar ataupun Tun-tun, terlalu kaya tak berani kita singgung. Saya nak bagi tahu kita pegang amanah saudara-saudara, kita nak jaga negeri ini, kita nak bersihkan negeri ini. Kalau negara ini tak dibersihkan daripada kekotoran jenayah rasuah ini, negara ini tidak mungkin terangkat sebagai negara hebat di rantau ini. Jadi saya harap saudara-saudara faham. Saya sudah lama tak datang ke Bandar Tun Razak ini sebab itu semangat sikit bila Wan Azizah ada (nada berseloroh).
  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih khususnya KSN. KSN ini nak kata bersara tak betul sebab dia ada jawatan tugas lain. Maknanya tidak lagi akan menjadi KSN selepas 10 haribulan, hari akhir 11 haribulan. Jadi saya nak ambil kesempatan itu juga menyatakan bagi pihak Kerajaan yang saya sebut semalam. Kita terhutang budi kerana bukan sahaja kita boleh ada syukur kerana politiknya stabil, dasarnya baik tetapi kerana tonggak kepimpinan penjawat awam yang berkhidmat dengan sesungguhnya, dengan ikhlas dan dengan berkesan. Saya sebut semalam umpamanya di perhimpunan bulanan, cara kerja kadang-kadang saya panggil malam mesyuarat, pukul 9.30 malam hari Ahad, hari Sabtu. Kadang-kadang saya panggil petang jadi kelam kabut dia balik ke sana sini untuk memenuhi kerana memikirkan soal kepentingan negara dan rakyat. Jadi harus kita ucap terima kasih dan doa supaya beliau sihat dan dapat menyempurnakan tugas dengan baik.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.