TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: HIMPUNAN ASPIRASI MADANI AKRAB PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

Image result for logo jata negara transparent | Coat of arms ...

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

HIMPUNAN ASPIRASI MADANI AKRAB PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

 

14 JUN 2024 | 10.15 PAGI

 

DEWAN PLENARY, PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC), PUTRAJAYA

 

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.

Wa kafa billahi syahida.

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Timbalan Perdana Menteri II,

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof;

Rakan-rakan Menteri ramai yang hadir;

Ketua Setiausaha Negara (KSN),

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali;

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA),

YBhg. Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz;

Pengerusi dan keluarga pimpinan AKRAB yang saya muliakan.

  1. Kita panjatkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dapat bersama-sama dalam majlis taaruf, kenal dan juga memberi ruang bagi penjawat awam terutama dalam keluarga AKRAB untuk mengemukakan pandangan sementara rakan-rakan Menteri, KSN dan KPPA turut memberikan penjelasan.
  1. Saya ingin mulakan dengan mengatakan bahawa negara ini tertegak tentunya dengan beberapa tunggak dan sejak merdeka, penjawat awam itu merupakan tunggak yang memastikan pertama, kesinambungan program, dan keyakinan rakyat kepada Kerajaan. Seringkali kita dengar liputan tentang permasalahan. Itu biasa kalau dalam Jabatan Imigresen itu ada puluhan ribu staf, mungkin ada beberapa yang menimbulkan masalah dan itu menjadi liputan, begitu juga di Jabatan Kastam, Pejabat Daerah atau Majlis Perbandaran.
  1. Saya berharap saudara-saudara tidak merasa tertekan dengan hal sedemikian. Negara sekarang lebih bebas, demokrasi kian matang. Jadi kadang-kadang rakyat memilih untuk memberikan pandangan dan suara mereka. Di samping itu, negara juga harus melakukan anjakan. Saya tegaskan berulang kali dalam majlis yang serupa bahawa tidak semua ketika dalam sejarah kita ada peluang untuk melakukan anjakan. Syukur alhamdulillah kerana kestabilan politik dan dukungan parti-parti politik besar, pimpinan KSN serta penjawat awam.
  1. Kita telah memilih untuk melakukan anjakan maknanya kita akui dengan tawaduk, kalau mahu mengangkat martabat negara ini, kita tidak boleh pertahankan dengan cara yang sama atau mengulangi kaedah yang sama. Ada yang baik kita teruskan, ada budaya yang telah terbukti berkesan kita teruskan, tidak kira dari Kerajaan mana, atau parti mana.
  1. Seperti juga seorang Muslim, ilmu itu ada yang baik dari barat, ada dari timur, ada dari warisan leluhur bangsa, ada dari keyakinan agama kita. Semua itu gedung ilmu yang boleh memanfaatkan kita. Jadi dalam konteks yang sama, kalau ada pengalaman lama yang baik, kita ambil tetapi apabila saya katakan peluang atau kesempatan untuk kita melakukan anjakan, bermakna mengekalkan yang baik dan meninggalkan amalan ‘bobrok’ oleh segelintir kecil yang telah mencemar bukan sahaja nama penjawat awam ataupun sistem politik negara yang telah menghalang kecepatan atau kelajuan kita memacu pertumbuhan untuk menyelamatkan bangsa dan negara. Ini tekad saya, apa lagi AKRAB, punyai tekad untuk percaya bahawa dalam sejarah ada ketika di mana kita diberikan kesempatan kalau kita tidak lakukan itu, mungkin kita terhambat dan terkebelakang puluhan tahun lagi.
  1. Kita sebenarnya mampu memacu pertumbuhan yang lebih baik tetapi kita agak ketinggalan dalam sistem pendidikan, kesihatan, peraturan pentadbiran dan dasar-dasar. Sekarang kita memperkenalkan beberapa dasar baharu; transisi tenaga dan transformasi digital. Itu pun kalau kita tidak pastikan tahap kelajuannya, kita akan ketinggalan kerana negara lain tidak tunggu kita. Ada negara yang juga memilih untuk menggesa, mengasak negara mereka untuk memacu pertumbuhan dan ada negara yang agak selesa.
  1. Saya telah ulas tentang apa yang disebut culture of contentment. Kita kadang-kadang menjadi pimpinan, dikelilingi orang yang berkata ‘baik, bagus, baik, bagus’, jadi kita pun rasa memang betul baik dan bagus. Memang ada yang baik dan bagus tetapi tentunya ada beberapa kelemahan, ada tindakan baharu yang boleh dilakukan. Ini terpakai untuk sama ada Ketua Jabatan, Menteri, Ketua Setiausaha (KSU), Ketua Pengarah atau Naib Canselor, semuanya. Apabila kita katakan gerakan masa, gerakan bangsa, maknanya setiap orang harus mengakui ada yang baik kita teruskan dan cari hala tuju baharu dan cari kaedah baharu. Ini yang dikatakan kekuatan masyarakat itu harus dinamik.
  1. Kalau pengalaman Islam termasuk dalam hijratun Nabi Muhammad SAW yang meninggalkan amalan ‘bobrok’ yang lama. Bukan semuanya tetapi membawa perubahan dalam satu transformasi baharu dari segi keyakinan, pemikiran, amalan, sikap dan nilai. Kita tidak boleh berbicara tentang perkara baharu kalau kita diheret perkara yang remeh-temeh seperti mana yang berlaku sekarang. Negara sudah merdeka, tahap kelajuan sudah begitu rupa tetapi kalau kita lihat umpamanya wacana politik, tidak habis-habis dalam isu-isu yang sepatutnya selesai tahun 50-an dan 60-an.
  1. Kita masih lagi bertempur dalam hal-hal yang tentunya akan merugikan bangsa. Oleh itu, saya mengajak saudara para penjawat awam untuk melihat kerangka baharu, kalau ada pandangan-pandangan baharu untuk perbaiki atau melihat daripada kelemahan tentang dasar, silakan dan saya telah gesa dari awal tahun lalu bahawa perjumpaan-perjumpaan Jabatan itu bukan ruang untuk mendengar satu pihak tetapi juga memberikan input dari bawah. Kita tidak boleh melakukan perubahan hanya dengan satu kerangka atau prakarsa baharu yang dibawa yang ditunjukkan dari atas. Jadi kita adakan majlis yang dikatakan dialog dengan mengambil kira pengalaman orang dari pelbagai lapangan.
  1. Apakah langkah-langkah baharu kita dan kerangka baru ini yang dimuatkan dalam kerangka MADANI? Bukan semuanya baharu, ada yang lanjutan daripada yang lama, ada yang terpaksa dilakukan kerana apa yang disebut zeitgeist atau tuntutan zaman. Kalau tidak dilakukan, kita akan ketinggalan.

Saudara-saudara,

  1. Oleh itu, dalam kerangka MADANI ini, saya tidak berhasrat untuk mengulangi kerana saudara-saudara sudah hadam sedikit sekarang ini, kerana dikaitkan bukan sahaja pertumbuhan ekonomi tetapi pemerkasaan ekonomi itu masih fundamental. Kalau tidak diperkuat ekonomi, pertumbuhan tidak meningkat, pelaburan tidak bertambah, inflasi tidak dikawal dan pengangguran tidak dikawal, ini tidak akan membantu kita sebab itu fokus kita seperti yang saya sebut adalah asasi atau fundamental, iaitu masih ekonomi. Kalau tidak kerana ekonomi, tidak mungkin kita fikirkan soal keselesaan hidup, peruntukan tambahan untuk pendidikan, kesihatan atau pelarasan gaji penjawat awam, itu tidak mungkin dilakukan kalau tidak dibetulkan soal ekonomi. Kalau ekonomi itu hanya bergantung kepada hutang piutang yang besar tanpa sikap yang bertanggungjawab, ia tidak berkesan.
  1. Jadi kemampanan yang kita bicarakan ini ialah kemampanan ekonomi, sustainability in the medium and the long term. Kalau singkat, boleh hutang sahaja kerana medium and the long term itu dibayar oleh generasi penerus. Ini bukan suatu pendekatan ekonomi yang sihat. Namun, bezanya kita dalam mempertahankan pertumbuhan ekonomi yang agak fundamental, dan itulah pendekatan sebagai seorang yang beragama.
  1. Apa lagi Pendidikan Islam. Ia tidak boleh terpisah dari sikap ihsan dan rahmah, dan al-adl wal ihsan itu tidak boleh terpisah. Tidak boleh terpisah dengan sikap apa yang disebut compassion, nilai yang baik dan pertimbangan akhlak. Mana mungkin kita lihat umpamanya peribadi Rasulullah SAW, apa yang paling istimewa? wa innaka la`alaa khuluqin `azeem, akhlak yang terbaik dan kalau sebut uswatun hasanah atau contoh terbaik itu kerana akhlaknya dan nilai yang diterapkan. Ya, solat dan ritual dilakukan tetapi untuk apa? Ritual itu sendiri pun bentengnya ke arah memperbaiki akhlak. Kalau ritual dilakukan, rasuah berleluasa, kezaliman diteruskan, bongkak dan angkuh menjadi fe’el, ritual itu tidak memberi kesan kerana solat itu sendiri pun “inna sola tatanha anil fahsya iwal munkar”, solat itu sendiri menjadi benteng terhadap kelakuan perlakuan nilai yang buruk dan kejahatan serta kemungkaran.
  1. Ini yang kita tekankan dalam MADANI bahawa ia ada keyakinan tetapi mesti diterjemahkan, dan dilaksanakan dalam bentuk amal. Pemerkasaan ekonomi tidak cukup tanpa pemerkasaan budaya dan nilai. Ekonomi boleh berkembang hebat tetapi berlaku seperti mana disebut di Amerika “one percent control the nation”. The top one percent yang menguasai ekonomi, yang paling kaya dikumpul kekayaan itu berlegar di kalangan kelompok kecil satu peratus. Sebab itu dalam dasar ekonomi, kalau kita tekankan nilai, kita mesti kurangkan kesenjangan yang terus melebar dan membengkak. Jadi pendekatan pemerkasaan ekonomi itu harus dilaksanakan sekali dengan pemerkasaan budaya kerana kita manusia. Nilai manusia itu tidak pada fizikal dan kesenangan, keselesaan hidup semata-mata tanpa nilai.
  2. Apabila kita lihat umpamanya masih berlaku dengan pembunuhan, penderaan, dan rasuah, ini maknanya kehilangan nilai. Jadi apabila kita perang terhadap rasuah, perang terhadap jenayah, itu sebenarnya bagi fahaman saya harus tercerna dari hati nurani, akal budi yang baik. Jadi saya harap penjawat awam faham dari segi mukadimah itu.
  1. Berhubung penyelarasan gaji, tidak diumumkan hari ini. Sudah umum dan dikatakan melebihi 13 peratus, ada yang kata penyelarasan gaji 13 peratus, itu tidak betul. Pengumuman saya itu melebihi 13 peratus. Ia selari dengan dasar MADANI. Terima kasih kepada KSN, KPPA dan KSP yang dalam jawatankuasa itu dan tentunya JPA sebagai badan induknya kerana mereka juga bekerja kuat tetapi mereka faham tentang pendekatan penyelarasan gaji kali ini tidak sama. Ada perubahannya, pertama, peningkatan itu harus bermakna. Kedua, ia juga harus selari dengan dasar MADANI, mengurangkan suatu jarak yang terlalu tinggi melebar termasuk di kalangan penjawat awam. Maknanya yang tertinggi akan naik terkecil sementara yang terendah akan naik terbanyak dan yang tidak dinaikkan adalah gaji Menteri dan Timbalan Menteri malah pemotongan diteruskan 20 peratus termasuk Perdana Menteri yang tidak ambil gaji.
  2. Baik, seperti mana yang telah diumumkan, saya nak berbicara sedikit tentang penjawat awam kemudian tentang isu-isu nasional iaitu tentang beberapa langkah. Saya ucap terima kasih kepada KPPA dan seluruh jenteranya kerana kita mahu penjawat awam itu meningkatkan prestasi. Kita lebih keras terhadap penyelewengan dan rasuah tetapi dalam masa yang sama, kita tunjuk keprihatinan kita untuk melihat dan memperinci setiap hal yang patut kita bantu selain daripada penyelarasan gaji.
  1. Antara contoh, pemberian award wang tunai dan Gantian Cuti Rehat (GCR). Penambahbaikan pemberian awal award wang tunai dan GCR. Selain itu, umpamanya penambahbaikan kemudahan cuti tanpa rekod untuk aktiviti sukan atau kegiatan yang dianggap terkait dan memberi manfaat kepada kegiatan penjawat awam kerana kita juga ada usaha untuk meningkatkan mutu sukan dalam negara.
  1. Ini termasuk melihat kepada keperluan-keperluan kelompok-kelompok yang tidak biasa kita terima sebagai trend nasional. Umpamanya, cuti tanpa rekod untuk Pesta Keamatan di Sabah atau Pesta Gawai di Sarawak kerana elemen itu penting untuk kita tunjuk prihatin kepada semua kaum dan suku kaum dalam negara kita.
  1. Kemudian, Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam. Itu kita dah umumkan pada awal tahun ini iaitu RM2,000 kepada gred 56 ke bawah. Kelima, bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri. Aidiladha itu tidak payah kerana Aidiladha itu kita kena korban. Jangan menerima korban. Prinsip Aidilfitri itu, dia bagi sumbangan kepada keluarga dan sebagainya. Hari raya Aidiladha ini korban. Kumpul duit buat korban. Ini nak suruh Kerajaan korban sebab apa? (nada seloroh).
  1. Pada 1 Mei yang lalu saya telah mengumumkan kenaikan gaji melalui kajian sistem persaraan pegawai awam yang mencecah lebih dari 15 peratus dan ini kali pertama kita tetapkan untuk penjawat awam iaitu gaji minimum harus lebih daripada keadaan yang sekarang. Maknanya setiap penjawat awam tidak boleh terima gaji kurang dari RM2,000. Ini suatu perubahan yang besar.
  1. Baik, jadi kajian ini saya akan umum kemudian cuma saya nak tegaskan tentang beberapa perubahan yang dilakukan. Pertama, dari segi digital kerana program digital dan artificial intelligence (AI) itu sangat mendesak. Maka harus ada di setiap Jabatan, satu penerangan untuk meningkatkan kefahaman dan keupayaan kita di bidang digital dan AI. Ia harus dijadikan program awam secara raksasa. Jika tidak, kebimbangan saya ialah digital dan AI ini akan menyebabkan kesenjangan lebih meluas.
  1. Disebabkan itu, kepada semua syarikat-syarikat baharu yang masuk, selain diwujudkan centre of excellence atau pusat kecemerlangan, saya wajibkan syarat latihan yang lebih menyeluruh. Latihan itu bukan sahaja untuk elit bandar tetapi untuk masyarakat desa dan penjawat awam di peringkat rendah. Latihan seperti mana yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri I, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi ialah memberikan ruang yang lebih luas dan tidak perlu mengikut jalur akademik. Maknanya selepas tingkatan tiga, boleh terus untuk memilih jalur untuk belajar welding, coding dan sebagainya di bidang TVET terutama bidang digital dan AI. Ada hal-hal lain itu saya serah kepada KPPA, kalau saya umum semua KPPA tidak ada kerja (nada seloroh).
  1. Saya nak tekankan sedikit tentang harapan saya kepada penjawat awam khususnya AKRAB. Kita bawa perubahan tetapi media kini kian bebas. Ada orang kata semua tidak boleh, semua dilarang, MCMC akan batalkan dan padamkan. Saudara, orang panggil saya dajjal pun saya tidak padamkan tetapi kalau dia hasut dari segi kaum, benci kaum lain, hina agama, bawa fatwa sendiri, itu tidak boleh. Kita kena jaga keharmonian.
  1. Apakah ikrar kita sebagai penjawat awam? Apakah ikrar kita dalam Rukun Negara? Jadi ada hal-hal dari segi perlembagaan yang tidak harus dipertikaikan sama ada kenyataan daripada orang Melayu atau orang Cina orang India atau Sabah dan Sarawak, saya tidak peduli kerana ada hadnya. Jangan gugat kekuatan negara, jangan gugat prinsip utama Perlembagaan Negara. Kalau gugat, kita ambil tindakan dan kita dakwa mereka kerana itu bukan kebebasan namanya. Itu akan membawa kepada kerosakan. Kritik boleh kritik, banyak yang kritik MADANI, dasar-dasar dan pelaburan, tetapi kita jawab. Namun, ada bezanya apabila sentuh tentang 3R. Ada yang kata oh maknanya tidak boleh sebut soal kaum, tidak boleh sebut soal agama atau raja, itu tidak betul. Boleh sebut tetapi jangan fitnah.
  1. Jangan sesekali tanam bibit perpecahan ini. Belajar daripada pengalaman negara lain. Pergaduhan di antara kelompok-kelompok mazhab Islam, pergaduhan antara kaum, pergaduhan agama itu akan menghancurkan negara. Saya tidak mahu menjadi salah seorang dalam barisan pimpinan yang mengizinkan kehancuran. Orang berbicara sekarang hak masing-masing, kadang melebihi atau melampaui prinsip Perlembagaan.
  1. Saya nak beri peringatan, boleh berbicara tapi jangan langgar peraturan kerana tanggungjawab kita untuk menjaga negara ini. Ini bukan tanggungjawab Menteri-menteri, ini tanggungjawab kita semua. Itu satu hal yang saya tekankan.
  1. Baru-baru ini Perdana Menteri Lawrence Wong dari Singapura datang dan saya berbincang apa yang pernah saya bincangkan dulu kerana kita beri penekanan dalam bahasa Inggeris. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi bahasa Inggeris juga kita mahu tekankan sekarang. Jadi saya beritahu, adakah terdapat skim bantuan dari Singapura seperti skim bantuan ataupun dari segi hubungan diplomasi antara negara untuk mereka membantu, bukannya kita pilih guru daripada Singapura.
  1. Dengarlah dahulu, bukannya terus lontar di media sosial dan faktanya salah. Apa salahnya? Salahnya ialah bahawa kita sekarang akan melantik guru-guru bahasa Inggeris dari Singapura. Itu Salah. Yang saya bicarakan dengan Perdana Menteri Lawrence Wong ialah mengadakan skim bantuan atau melantik seperti seorang sukarelawan yang dibayar oleh pemerintah Singapura untuk pergi ke kawasan-kawasan terutama di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengajar Bahasa Inggeris.
  1. Sekarang saya hendak jalinkan hubungan yang lebih baik dengan negara-negara jiran kita yang penting seperti Thailand, Singapura, Brunei, dan Indonesia. Selain berbincang soal economic zone di Johor, pelaburan dan perdagangan, saya katakan ambillah inisiatif dan ikhtiar untuk menjalinkan hubungan yang baik. Jadi orang lihat ada siswazah graduan daripada Singapura yang datang dalam skim sukarelawan Singapura untuk mengajar Bahasa Inggeris. Itu cadangan kita. Tetapi yang dikata adalah ‘tidak hormat kaum sendiri’, ‘cuba membawa komunis daripada Singapura’. Sebagai contoh, kalau dia tanya “Anwar Ibrahim apa maksud kamu? Apa maksudnya kamu nak ambil guru-guru Singapura dan tidak ambil guru-guru Malaysia?” Boleh tanya. Kita pergi beberapa negara, di Uzbekistan, ada universiti yang nak hantar pelajarnya ke sini. Saya kata baik juga kalau kita juga hantar pensyarah atau profesor untuk seketika untuk tengok beberapa perubahan yang dilakukan disana.
  2. Di Jepun, saya turut bertanyakan perkara yang sama kepada Perdana Menteri Fumio Kishida, ada atau tidak kerjasama seumpama itu, dia kata ada Tsukuba University branch campus yang beliau nak buat, dan saya bersetuju cadangan itu. Saya tahu juga Waseda University mempunyai fakulti ekonomi yang baik, saya bawa.
  1. Saya berpeluang memberi ucapan di Universiti Keio mengenai peradaban pemikir Jepun yang besar yang saya hormati, Toshihiko Izutsu. Beliau pernah menulis buku tentang ‘Sufism and Taoism’, seorang pakar pengkaji Islam yang sangat mendalam, menterjemah Quran ke bahasa Jepun dengan kualiti yang baik. Beliau menulis tentang ‘Epistemology’ dan ‘God and Man in the Quran’. Siapa dia? Toshihiko Izutsu. Jadi Universiti Keio itu telah melahirkan seorang pemikir. Jadi saya bercadang mungkin dari Bahagian Penyelidikan JAKIM ataupun Universiti Islam Antarabagnsa atau USIM adakan kerjasama. Dunia sekarang menuntut kerjasama begini rupa.
  1. Jadi janganlah cepat sangat celopar untuk menyerang dan salah dalam kritikan itu. Sekarang riuh rendah tentang kes penderaan pemain bola sepak dan pembunuhan seorang anak OKU. Saya kebetulan Perdana Menteri tetapi saya juga manusia. Saya juga nak tahu mengapalah sampai jadi begini? Siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak kecil? Kalau saya, saya mahu polis jawab esok tetapi proses itu kena lalui. Kita tidak peduli siapa tetapi inilah dan saya faham rakyat juga rasa resah.
  1. Apa yang saya dan Menteri Dalam Negeri boleh buat ialah mengarahkan polis menyegerakan siasatan yang rapi. Jangan ada persepsi, ‘fikir mungkin orang ini salah’ ‘tidak, ikut tafsiran hukum saya orang ini salah’, ini tidak boleh. Sebab itu di antara karya, wakil JAKIM ada, karya yang saya minta disebarkan ialah karya seorang pemimpin Islam Mesir, Hassan Al-Hudaibi  iaitu setelah riuh-rendah, perbenturan dan pergaduhan di antara kelompok-kelompok, beliau menulis buku atau berencana panjang Du’atun la Qudah. Kita ini pendakwah, penyeru kepada kebaikan, kita bukan Qadi, maknanya bukan hakim. Du’atun itu penyeru atau pendakwa, la Qudah itu bukan Qadi atau hakim.
  1. Sekarang ini dalam tiktok dua minit, semua jadi hakim. Serang dan hukum terus. “Kita melindungi”, apa yang melindungi itu saudara? Saya pernah panggil Ketua Polis Negara ke pejabat dan saya minta disegerakan. Kemudian semalam saya panggil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, saya tidak boleh campur. Saya tidak boleh kata, “cari jalan, hukum orang ini, bukan”. Saya kata “cari jalan siasat dengan rapi”. Itu yang saya nak jelaskan.
  1. Jadi saudara-saudara dalam AKRAB, harus menjelaskan, ini dasar kerajaan saudara-saudara. Kita biasa kadang-kadang mungkin dulu campur tangan dalam mahkamah, campur tangan dalam pendakwaan, dia ingat kita ambil alih pun begitu juga. Ini masalahnya. Kamu dulu dengan pimpinan kamu begitu, tidak bermakna kita begitu tetapi saya tidak tolak ansur juga.
  1. Saudara tahu, upaya kita nak naikkan gaji itu, sangat melelahkan kita. Dari mana cari wang, bagaimana dapat pertahankan keyakinan, semua difikirkan tetapi orang yang kaut keuntungan bilion-bilion, senang-senang dimaafkan. Ada yang jumpa cium tangan lagi. Saudara-saudara, hal ini tidak boleh diizinkan. Sebab itu dalam isu pembanterasan rasuah ini kita harus tegas. Saya tidak peduli di atas atau di peringkat bawah dan saya nak tegaskan apa yang saya selalu sebut kepada pegawai dan Jemaah Menteri.
  1. Saudara, saya tidak suka. Saya alami, saya tahu apa itu erti hidup dalam lokap, hidup dalam penjara, apa ertinya apabila diaibkan dan dihina. Apabila saya susah, bukan saya seorang tetapi Wan Azizah dan keluarga semua terpalit, terdera dan sengsara. Anak saya yang bongsu umpamanya sewaktu saya ditangkap, belum darjah satu. Saya keluar, dia sudah masuk tingkatan satu.
  1. Saudara bayangkan, walaupun saya kata dizalimi tetapi pengalaman itu mengajar saya bahawa jangan mudah hukum orang kalau tidak ada bukti yang jelas. Jadi saya tidak suka, kalau boleh, tindakan diambil. Sebab itu saya mulakan dahulu dengan seruan dan amaran tetapi sekarang tidak ada pilihan. Baik orang Dewan Bandar Raya, Kastam, Imigresen, Pendidikan atau Kesihatan sekiranya ada, kita akan geledah habis-habisan, tidak akan tolak ansur kerana kita nak selamatkan negara bertuah, Malaysia. Akan tetapi, mesti berdasarkan bukti, dan tentunya ini mengambil masa.
  1. Kemudian kita bawa kepada penyasaran subsidi. Saudara tahu kerana saudara seorang penjawat awam. Berapa kementerian yang terlibat dalam soal subsidi diesel ini? Berapa banyak ketirisan? Kapal-kapal nelayan asing itu menggunakan diesel dari Malaysia. Kenaikan dalam beberapa tahun umpamanya, tiga empat tahun, jumlah kenderaan itu mungkin naik sekitar lapan peratus tetapi penggunaan diesel naik 20 hingga 30 peratus maknanya yang lain itu bocor, tiris. Siapa bayar? negara bayar.
  1. Wang itu sepatutnya di mana? Di pendidikan, kesihatan, untuk orang-orang miskin tetapi hilang kepada ‘penyakau-penyakau’. Ini bukti yang tidak boleh disangkal dan dimungkiri. Jadi sebab itu kita kena buat penyasaran. Siapa lagi dapat untung? 35 atau 38 juta orang asing yang tidak bayar cukai tapi mereka dapat kemudahan ini kerana harga diberi subsidi oleh pemerintah. Jadi kita nak lakukan apa? saudara ingat kita dalam Jemaah Menteri senang-senang nak lakukan, tidak ada hati perut, tidak peduli orang susah, naikkan harga. Tidak.
  1. Kalau saya sendiri berpuluh kali mesyuaratnya, meneliti berulang kali supaya jangan terbeban orang susah. Maka nelayan dikecualikan, subsidi diteruskan tidak ditarik untuk nelayan, pekebun kecil dan bas sekolah. Bas sekolah naik, itu kita bagi amaran kerana jika bas sekolah diberi subsidi minyak dan dinaikkan, kamu jaga.
  1. Saya tidak tahu orang lain tetapi kalau saya, kalau naik juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu dan batalkan syarat kamu. Kalau tidak, anak-anak sekolah kita terbeban. Sekiranya betul belum dapat, tulis dan ambil fleet card dan kita bayar. Ini saudara-saudara kena faham. Ada pilihan atau tidak? tidak ada pilihan, biarlah bocor RM4 bilion biarlah. Ini pengurusan apa? tatakelola apa begini? syarikat paling kaya untung RM800 juta setahun tetapi subsidi diesel kita bagi. Ini yang telah dilakukan.
  1. Baik, dalam pelaksanaan mungkin ada sedikit sebanyak masalah. Bawa dan kita betulkan. Saya tidak katakan ini perfect solution. Ada sedikit masalah, kita cuba selesaikan tetapi saya nak tanya yang ramai-ramai ini, yang pakai kenderaan diesel. Ada tak? tapi kalau ada dan ada alasan, hujahnya tentulah kita boleh berikan.

Saudara-saudara,

  1. Yang kritik, dia tidak memberi penyelesaian tetapi saudara kena ingat ya, setiap Perdana Menteri ke-4, ke-5, ke-6, ke-7, ke-8, termasuk saya yang ke-10, semuanya setuju dengan penyasaran subsidi. Tidak ada yang pernah mengatakan tidak bersetuju, semua setuju malah umum di Parlimen, umum di luar Parlimen tetapi mereka tidak bersedia untuk lakukan kerana mereka tahu masalah yang kita hadapi.
  1. Ada orang cadangkan, “Anwar, kalau boleh tangguh sikit,” “tangguh bila” “lepas Sungai Bakap” “selepas pilihan raya Sungai Bakap, kita jalan”. Saya kata tidak. Kita harus hadapi. Buat apa berikan mesej yang salah, bagi tahu kawan-kawan Sungai Bakap. Kita tidak dera rakyat miskin, setiap sen tambahan, kita pulang balik melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekarang RM10 bilion, berapa orang dapat? sembilan juta orang dapat RM10 bilion direct subsidi Kerajaan. I-Sara, RM700 juta kepada yang paling miskin. Semua bukan sahaja dikekalkan tetapi ditambah peruntukan. Jadi saya bercadang untuk jimatkan daripada kerugian ini. Ketirisan, saudara tengok beberapa syarikat minyak, stesen di sempadan, diesel sudah kurang orang guna kerana diesel itu diambil untuk dijual di negara asing.
  1. Kita nak pertahankan siapa? Nak pertahan orang asing? nak pertahankan kepentingan negara asing dan kita tolong bayar subsidi kepada dia? Ini yang jadi masalah sekarang. Nak biarkan subsidi kepada orang kaya?
  1. Ingat, awal tahun ini kita lakukan untuk tarif elektrik. Tarif letrik, riuh rendah juga tetapi tarif elektrik itu ditarik subsidi kepada 15 peratus terkaya yang tidak ada di dalam dewan ini yang ditarik tarif elektrik. Kalau ada pun mungkin di rumah Seri Perdana kerana guna penggunaan elektrik itu besar. Yang lain tidak. Golongan terkaya bayar berapa peratus? 15 peratus. Saudara-saudara, ini termasuk dalam 85 peratus yang tidak dinaikkan tarif. Tetapi berapa yang kita selamatkan daripada 15 peratus rakyat Malaysia terkaya yang bayar atau yang tidak diberi subsidi dan 3.8 juta orang asing? Berapa kita dapat hasil? RM4.5 bilion. Maknanya tahun demi tahun, puluhan tahun ini RM4.5 bilion diberi kepada orang asing dan orang paling kaya. Salahkah tindakan itu?
  1. Bagi pengapungan harga ayam, setiap tahun RM1.2 bilion untuk kawal harga ayam. Kemudian perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan lalu saya kata tidak boleh macam ini. Jadi panggil kartel-kartel ayam. “Harga ini patut turun, kenapa harga di Thailand terlalu rendah, kenapa kita tinggi?” Maka apa-apa langkah kita, saya tidak boleh beri detail, kita kata saya nak tarik subsidi ayam kerana subsidi ayam ini tidak sampai kepada rakyat tetapi sampai kepada kartel-kartel syarikat-syarikat ayam yang besar.
  2. Saudara bayangkan, tiap tahun dari zaman dahulu ketika saya Menteri Kewangan, apabila dekat dengan hari perayaan, tambah subsidi untuk nak kawal harga. Tahun ini, kita tarik balik subsidi ini, RM101 juta untuk satu bulan, RM2 bilion lebih kurang satu tahun kita tarik dan no, we are not giving this money anymore. Panggil kartel-kartel, beritahu yes, we not giving dan you jaga harga.
  1. Saudara, lepas tarik RM1 bilion, harga ayam tidak naik. Sepatutnya bila tarik, harga naik. Maknanya selama ini yang mendapat faedah itu syarikat-syarikat besar. Harga ayam tidak naik, mungkin di sesetengah tempat sebelum hari raya naik sedikit tetapi pokoknya kita selamatkan RM1.2 bilion. Untuk apa? untuk pendidikan anak-anak kita, untuk kesihatan, untuk beri keadilan kepada penjawat awam. Sebab itu saya mahu saudara sebagai penjawat awam faham, kenaikan pelarasan gaji ini orang kata “oh dalam keadaan ekonomi kenapa tolong?” “saya kata saya tiada pilihan sebab mereka tidak mendapat pelarasan gaji selama 12 tahun.” “oh tetapi wang tidak cukup” “wang tidak cukup kita cari dan kita jimatkan”.
  1. Kalau saya tanya orang yang kritik ini, sama ada ahli Parlimen, pembangkang atau sesiapa, dia kritik, tanya dia kalau dia penjawat awam, kalau anak dia penjawat awam, dia nak biar begitu selama 12 tahun tidak ada pelarasan gaji? Jadi, biar munasabah. Ada pula yang cakap “oh Anwar umum sahaja tetapi Anwar tidak akan lakukan”. Ini pun satu hal.
  1. Perkara ini kita bawa ke Jemaah Menteri, diteliti secara terperinci. Apabila sudah betul-betul diperincikan baru kita umum. Kita tidak mahu kekalkan keadaan yang ada sekarang, hutang RM1.5 trillion.
  1. Tetapi alhamdulillah, apa pun yang berlaku saudara lihat sekarang ini pelaburan bertambah. Malaysia pada tahun lalu, kita memperolehi jumlah pelaburan dalam domestik dan luar negara paling tinggi dalam sejarah Malaysia. Kini dunia mengiktiraf, lihat dalam beberapa minggu ini umpamanya, Google dan Microsoft dari Amerika Syarikat, Mubadala dari UAE, Baladna dari Qatar, Aramco dari Saudi dan dari syarikat-syarikat China, datang ke Malaysia dengan keyakinan yang sangat tinggi. Jadi saya bersyukur. Saya fikir dalam beberapa bulan ini, kita akan saksikan lonjakan kerana kita sudah diiktiraf.
  1. Adakah sebab Perdana Menteri? tidak betul. Sebab Jemaah Menteri sahaja? tidak. Sebab seluruh kekuatan dan kebanyakan juga dari kalangan penjawat awam. Saudara berjasa dalam hal ini. Nak dapatkan lesen bukan pergi kepada Perdana Menteri, tetapi kepada penjawat awam. Nak dapat permit dan sebagainya itu pelbagai prosedur yang ditentukan. Jadi saudara, apabila prestasi penjawat awam bertambah baik, tentunya saya berikan pengiktirafan. Itu tanggungjawab saya sebagai bapa dan sepertinya seorang bapa, saya akan gesa anak-anak lebih kuat disiplin, lebih kuat belajar, lebih kuat kerja kerana saya mahu result yang lebih baik. Ini yang saya gesa pada hari ini dan bagi sokongan kuat kepada bapa, faham ya supaya boleh jalankan kerja dengan baik. Boleh begitu?
  1. AKRAB ini benteng kita. Kita ada penjawat awam tetapi intinya itu adalah AKRAB. Jadi hari ini saya berikan amanah besar kepada AKRAB untuk menjaga negara ini, jaga imej dan integriti penjawat awam. Lapor mana-mana pengkhianat dan perasuah di kalangan kita dan kita serang mereka kerana kita adalah pahlawan-pahlawan bangsa.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.