TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SAMBUTAN HARI PEKERJA 2024 PERINGKAT KEBANGSAAN
1 MEI 2024
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillaahil lazhee nahmahduhu wa nusalli ala rasoolilah kareem.
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri I;
YAB Dato Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;
YB Steven Sim Chee Keong,
Menteri Sumber Manusia;
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri;
Rakan rakan saya pimpinan CUEPACS MTUC;
Ketua-ketua Jabatan;
Rakan-rakan dan wakil wakil pekerja yang saya muliakan.
- Hari ini merupakan hari saudara-saudari dan elok juga jika kita singkap sejarah perjuangan Hari Pekerja sehinggalah kemudiannya mendapat pengiktirafan Hari Pekerja. Tetapi, sebelum itu, izinkan saya berkongsi sedikit hasil pertemuan saya di Riyadh, kerana saya baru kembali malam tadi. Kita bincang mengenai beberapa permasalahan ekonomi dunia.
- Tidak terlepas dalam pertemuan dengan menteri-menteri termasuk, Putera Diraja Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, Perdana Menteri dan Menteri Luar dari Jordan, Mesir, Turki, Iraq, Pakistan berhubung perkembangan mutarakhir di Gaza. Maklumat itu sangat memperihatinkan, menggusarkan kita, dan saya beritahu pada YAB Datuk Seri Zahid tadi bahawa saya, sepanjang malam sehingga ke hari ini, berasa sangat terkesan. Kerana seolah-olah dunia ini begitu menghampakan.
- Bicara soal demokrasi, bicara soal kemanusiaan, sudah menjadi manusia tinggi tamadunnya, mencapai dan menggapai hal-hal yang tidak terduga sebelumnya, dari digital ke AI, tetapi maruah dan nilai masih hambar. Masih tidak memuliakan insan. Jadi sebab itu nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza masih belum terjamin. Kita dipaparkan pembunuhan kejam yang berlaku saban hari. Anak-anak kecil dan kaum wanita seolah-olah tidak berharga.
- Dengan mandat saudara-saudari berikan, saya telah berusaha sedaya upaya berdepan Presiden Biden di Amerika Syarikat, juga di Australia dan di Jerman saya berdepan dengan Canselor Olaf Scholz menyatakan bukan untuk memanaskan dan mempersulit hubungan dua hala. Tetapi menyatakan sikap sebagai seorang manusia. Tentang hipokrisi atau kepura-puraan yang memilih untuk menyokong satu pihak, menghina satu pihak. Saya jelaskan kepada mereka bahawa Malaysia merupakan negara pelbagai kaum, pelbagai agama dan Kerajaan MADANI ini mempertahankan sungguh-sungguh kepada majoritinya Melayu Bumiputera, Islam agama persekutuan.
- Tapi setiap denyut, kesan, yang dihadapi oleh rakyat kita, sama ada kepercayaannya Kristian atau Hindu atau Buddha atau Animis itu menyentuh perasaan kita sebagai manusia dan ini yang saya faham sebagai seorang muslim. Apakah kezaliman itu berlaku ke atas orang Islam atau orang Kristian atau orang Hindu atau Buddha? Namanya tetap kezaliman dan wajib kita pertahan dan bela nasib mereka.
- Akan tetapi, malangnya ini bukan menjadi pandangan dan gagasan negara-negara terutama negara kaya di barat yang boleh memejamkan mata, memekakkan telinga, tidak mendengar jeritan anak kecil, tidak melihat wanita yang dibunuh dan membiarkan bulan demi bulan, hari demi hari, detik demi detik. Saya zahirkan ini kerana apa yang saya dengar semalam di Riyadh itu menyebabkan saya merasa lusuh dan lesu.
- Saya bagi pihak rakyat Malaysia telah lakukan sebaiknya dalam setiap pertemuan sama denga Raja atau Perdana Menteri, Presiden atau Menteri Luar dan juga kepada pihak media. Saya luahkan seupaya saya dan jawapannya masih tidak meyakinkan. Jadi saudara saudarai, saya mohon maaf kerana terpaksa menyampaikan perkara ini sebelum saya singgung soal Hari Pekerja.
- Jadi dari detik hari-hari berikut dan minggu-minggu berikut amat mencemaskan dan menghampakan tanpa memberikan sedikit pembayangan harapan penyelesaian. Saya menyeru semua rakyat dari semua agama untuk terus sedaya upaya mendoakan keselamatan negara kita dan keharmonian suku kaum kita seluruhnya serta belajar dari pengalaman itu. Jangan sekali-kali melayani sifat buruk, menghina mana-mana kaum, mana-mana agama dan menafikan hak mereka. Sebelum kita bicara soal ekonomi mesti diangkat sebagai manusia MADANI yang faham dan menghormati sesama manusia. Dan saya harap rakan-rakan pekerja terutama di kalangan muda, sedap didengar bila kita hina, hamput orang lain, suku kaum lain daripada agama lain. Suka, tapi itulah sebenarnya bibit-bibit yang akan memecah dan meretakkan hubungan kita. Saya harap dan mohon pengertian anak-anak semua, hentikan segera kalau ada suara-suara yang cuba melaga-lagakan kita atau merendahkan darjat sesiapa. Saudara-saudara harus bangkit dan lawan dengan penuh semangat dan kekuatan.
- Menyingkap tentang Hari Pekerja. Ia tidak berlaku dengan sendiri seperti mana merdeka. Merdeka itu menuntut pengorbanan, merdeka itu menuntut keringat darah dan air mata. Begitu juga Hari Pekerja, kerana pada masa itu apabila ekonomi meningkat dipacu dengan begitu baik, golongan pemodal fikir hanya keuntungan mereka dan melihat pekerja-pekerja itu separuh hamba, ditekan, diperas dijadikan perkakas mencatat keuntungan tanpa dilayan sebagai manusia, ini sejarahnya.
- Maka pekerja-pekerja telah bangkit menuntut hak mereka sehingga menimbulkan pertentangan, perbalahan di kebanyakan kota-kota besar. Kerana apa yang disebut sebagai sistem kapitalis yang tidak terkawal, atau unbridled capitalisme itu, yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan tidak memikirkan tentang kemanusiaan, tidak pula memikirkan persekitaran maka rosak bukit bukau. Sungai dan lautan dicemari. Pekerja ditindas sebagai separuh hamba.
- Ini kesan sekiranya tidak terkawal. Sebab itu saudara-saudara, hal ini penting. Kemunculan kesatuan-kesatuan sekerja yang berbicara dan menjadi jurucakap bagi membela nasib pekerja telah mengubah situasi. Sebab itu, pengalaman saya puluhan tahun yang lalu tidak pernah meninggalkan CUEPACS dan MTUC. Jadi mustahillah setelah menjadi Perdana Menteri saya lupakan CUEPACS dan MTUC.
- Peringatan kepada kita kalau sebut MADANI, soal ihsan, soal kemanusiaan, karamah insaniah itu perlu. Kerana kita yakin manusia ini sama ada dia tukang cuci atau kerani atau tukang masak, sama pentingnya dari sudut menjana perubahan dan pertumbuhan ekonomi. Saudara bayangkan situasi di bilik bedah Hospital Kuala Lumpur, pakarnya ada, kelengkapannya ada, tetapi tukang cucinya mogok. Tidak bisa ada pembedahan berikutnya.
- Oleh sebab itu, pemberian bonus mahupun elaun tidak sekali-kali saya meninggalkan mana-mana kelompok pekerjaan termasuklah tukang cuci. Saya juga tertarik dengan moto Hari Pekerja 2024, “Pekerja Kesuma Bangsa” yang telah diperkenalkan oleh Steven Sim. Ini merupakan satu moto yang baik. Kerana ia mengingatkan semua pihak pekerja kerajaan, penjawat awam dan pekerja swasta.
- Jadi saya tegaskan apabila saya tekankan soal tatakelola, good governance ini maknanya. Bagaimana mungkin kita tingkat upah, elaun, bonus pekerja sekiranya tatakelolanya bobrok, pimpinannya jika ada peluang saja tender sapu, badan penguatkuasaannya lesu. Tidak mungkin. Sebab itu saya tahu ramai yang marah pada saya. Sebab mereka kata saya tidak ada kerja lain ke?. Asyik rasuah asyik tatakelola, tidak ada buat kerja ke? Saudara, apakah urus negara dengan tatakelola bukan kerja?, inilah sikap yang masih digunakan dan masih ada pula yang mendengar dan menyokong. Berapa tindakan telah diambil oleh pihak SPRM, PDRM dan LHDN?. Saya tidak tahu, yang saya tahu saya telah arah jangan tolak ansur, jangan korupsi, jangan jahanamkan negara ini kerana tamak haloba kamu, itu arahan saya.
- Dalam situasi yang lain, dilihat kes-kes sebegini turut melibatkan orang-orang besar, cuma kalau dia terkait dengan orang-orang besar, siapa berani sentuh?, Dari Dato’ Seri kepada Tan Sri, dari Tan Sri kepada Tun, kemudian baru dilaporkan. Jadi saudara-saudara bagi saya ini lebih senang, lebih telus. Masing-masing yakin dia ada mandat penuh bahawa kerajaan ini tidak akan tolak ansur, kerana bila negara ini selamat dari ketirisan, dari orang yang mencuri merompak ini kemudian dinaikkan pangkat.
- Menerusi Kerajaan MADANI, saya tidak peduli pangkat, kalau salah tetap salah, kita tetap ambil tindakan. Kerana dengan ini sahaja baru boleh kita atur negara. Saya katakan kepada pimpinan CUEPACS bahawa saya tidak mahu tolak ansur, tegas, tetapi kalau saya tidak lakukan, rakyat akan mengatakan bahawa yang besar-besar dilepaskan, sementara yang kecil-kecil ditekan. Sebab itu saya katakan kita mula dari atas. Bersih dan selamatkan negara ini dan saya percaya kalau kita tuntas dengan tindakan itu nasib 16.35 juta penduduk yang bekerja dapat diberikan layanan yang lebih baik.
- Saudara-saudara, mari kita bicara soal pemacuan ekonomi yang lebih segar. Syukur alhamdulillah, kerana dalam setiap kunjungan kita dan juga kehadiran pelabur-pelabur sangat menggalakkan. Setiap perjumpaan kita dalam majlis-majlis dan kunjungan dari luar ke sini menunjukkan bahawa keyakinan kepada Malaysia itu hebat. Sebab dasarnya jelas, politiknya stabil dan golongan pekerja menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan cemerlang.
- Infineon, sebuah syarikat terkemuka di Jerman hendak melabur sebanyak 5 bilion euro, sementara NVIDIA di Johor. Semalam pagi di Riyadh, ACWA Power, sebuah syarikat besar dalam bidang tenaga hendak melabur 10 bilion. Saya selalu tanya, bagaimana dasar? Oh, dasar baik dan jelas, cuma perlu dipercepatkan proses kelulusan kerana seringkali lambat. Bagaimana pekerja? Mereka mengatakan bahawa Malaysian workers are still first class. Saya juga berjumpa Siemens di Jerman, mereka sebut perkara yang sama, namun, saya juga bertanya tentang perkara-perkara yagng harus diperbaiki?, Upskiling, perlu latihan, kemahiran expertise yang bertambah. Sama ada AI atau digital malah bidang kejuruteraan kerana sekarang kita kekurangan jurutera dan kita perlu melihat latihan tambahan. Cuma saya hendak sebut di sini, walaupun ditegur tentang perlunya kita beri penekanan latihan tambahan dan saudara Steven Sim juga turut menyebut kementerian akan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dan lain lain untuk menjalankan kerja tambahan. Tetapi setakat ini saya dengar belum ada keluhan tentang disiplin dan sumbangan pekerja di Malaysia. Dan dengan ini saya tabik saudara-saudari pekerja sekalian.
- Sebab itu, kerajaan harus secara serius walaupun berhadapan dengan hutang yang besar dan defisit, harus secara serius memikirkan nasib pekerja kerana mereka telah menyumbangkan tenaga dan berkorban. Tidak seharusnya mereka dilayani seperti mana yang dilihat atau tidak diiktiraf kerja mereka. Kalau betul produktifnya lebih baik, disiplinnya baik, mengapa tidak difikirkan untuk perbaiki kadar upah dan layanan terhadap mereka, inilah yang sedang dilakukan oleh Jemaah Menteri dan akan kita putuskan.
- Walaupun keputusan saya pada hari ini lebih menyentuh soal penjawat awam, saya mahu mesejnya jelas kepada sektor swasta yang mencatat untung yang baik sama ada bank atau syarikat-syarikat yang mendapat faedah sendiri sebanyak daripada kerajaan ataupun kelulusan insentif dari kerajaan. Saya hendak beritahu apa yang saya umumkan hari ini patut didengari oleh sektor swasta supaya sektor swasta juga dapat memberi layanan yang sewajarnya.
- Semasa Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya pada 2 Mac 2024, saya telah mengumumkan bahawa Kerajaan Madani akan menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi menjaga kebajikan terutama kadar upah para pekerja gig di Malaysia. Di peringkat Kerajaan, kita akan memberi penekanan aspek-aspek yang kita rasa tertinggal atau tiada dalam kesatuan. Sebab itu kita tekankan keperluan untuk menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig Malaysia. Penjawat awam misalnya, ada KPPA dan KSN, Kesatuan CUEPACS dan MTUC, tetapi ada entiti pekerja yang tidak diwakili secara langsung. Sebab itu Suruhanjaya Pekerja Gig Malaysia itu perlu dan kita sudah minta untuk disegerakan.
- Pekerja yang tidak diwakili ini melibatkan juga pemandu-pemandu teksi yang sudah lama memberi sumbangan tetapi kadang-kadang ketinggalan. Selain itu, kerajaan juga sentiasa prihatin dengan golongan rentan yang berada di negara ini seperti Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, bekas banduan, warga emas dan pesara yang juga mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Jadi kita harus berikan perhatian kepada golongan ini. Sebab itu kadang-kala orang sindir saya, Perdana Menteri sekarang bekas banduan, saya tidak tersinggung, kerana itu kenyataan. Kerana itu pahit perih berjuang mempertahankan prinsip-prinsip termasuk soal pekerja. Jadi pekerja jangan lupa, petani miskin di Baling jangan lupa bahawa di antara sebab adanya pementoran saya dengan penguasa itu kerana saya cuba mewakili derita dan nasib pekerja dan kalangan miskin.
- Kerajaan juga melihat kepentingan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) dalam membangunkan tenaga kerja mahir negara. Dari sudut latihan TVET, kita akan luncurkan Fakulti AI yang pertama dalam negara dan rantaian dengan semua universiti, pusat pengajian tinggi awam dan swasta pada minggu hadapan.
- Sekarang saya hendak beri perhatian kepada perkhidmatan awam. Saya tegaskan sekali lagi dengan mengingatkan bahawa pengumuman ini walaupun tidak menyinggung secara langsung swasta, saya mahu dan memberikan tempoh kepada mereka memberikan perhatian. Ada syarikat-syarikat swasta yang untung berlipat kali ganda. Dari mana untungnya, kerana produktiviti, dari mana produktiviti, produktiviti itu dari pekerja. Jadi berilah sedikit kalau syarikat itu untung beratus juta, berilah beberapa ratus ringgit kepada pekerja secara munasabah.
- Kedudukan Malaysia dalam Subindeks Kecekapan Kerajaan bagi kajian IMD World Competitiveness Yearbook telah meningkat pada kedudukan tangga ke-29 pada tahun 2023, ketimbang 2022 kita masih ditangga ke-38. Pada tahun 2023 kerana tekanan ini dan pimpinan penjawat awam, maka kedudukan kita naik ke tangga ke-29. Maknanya kita berharap akan mencapai kedudukan dalam unjuran kita ke tahap ke-20. Sehubungan itu, kalau tumpu perhatian ini, jangan laga-lagakan, jangan ambil semua pandangan negatif dan merosakkan, saya yakin kita boleh naik ke tahap ke-20 teratas di dunia.
- Sudah 12 tahun dan pimpinan silih berganti, belum ada kajian yang secara serius terhadap skim perkhidmatan awam. Jadi kepada semua rakan dari KSN, KPPA dan JPA saya ucapkan terima kasih dan tahniah kerana bekerja bertungkus-lumus untuk membantu. Tahun lalu saya telah beri arahan, saya jumpa dengan setiap jabatan, setiap profesion, saya tidak mahu mana-mana yang tertinggal nanti bila kita umum kata kami tidak runding. Jadi saya ucap terima kasih kerana beban mereka, tanggungjawab mereka bertambah tetapi hasilnya itu pasti baik. Oleh itu, sistem saraan perkhidmatan awam melihat aspek secara menyeluruh, dan minggu lalu saya sebut ini terpakai untuk semua.
- Kalau rekod kerjanya itu tidak membanggakan, malas, sering lambat datang bekerja dan tidak memberikan tumpuan yang baik, mereka itu akan dipantau supaya tidak diberikan ganjaran sepertimana kita janjikan. Jadi tanggungjawab kita bersama baik kesatuan dan rakan-rakan di jabatan, pastikan 2-3 orang yang lembap ini biar diketepikan, biar dia kekal jawatan itu selama-lamanya.
- Sekarang ini pendapatan menyeluruh minimum penjawat awam ialah RM1,795. Jadi pada tahun ini, penjawat awam dan sistem saraan ini akan memulakan suatu kriteria ukuran yang baharu yang harus diteliti juga oleh swasta iaitu pendapatan menyeluruh, gaji dan elaun tetap mesti lebih dari RM2,000. Maknanya bila dia naik, yang lain itu tentunya naik.
- Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sabah dan Sarawak yang telah bersetuju untuk membuat pindaan ke atas Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 955 yang hanya terpakai di Semenanjung pada ketika ini. Jadi nampak dari segi kepentingan pekerja Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu garisan yang sama. Ini termasuk umpamanya cuti bersalin dari 60 hari ke 98 hari, cuti paterniti 7 hari, peruntukan aduan diskriminasi, peruntukan fleksible working arrangement, perlindungan dari sexsual harassment dan peruntukan mengenai aduan.
- Saudara-saudari, gaji dan elaun ini hanya satu bahagian. Jadi kenaikan yang bagaimana, paling tinggi dalam sejarah kenaikan di negara ini adalah 13%. Pada tahun ini saya akan umumkan bahawa kenaikan itu lebih tinggi dari 13% dan cuma yang memeningkan ialah bahawa untuk tahun depan bila kita mulakan pelaksanaan ini peruntukan akan mencecah lebih dari RM10 bilion. Kerana jumlahnya besar dan kenaikannya itu agak lumayan dan merupakan kenaikan terbaik dalam sejarah oleh Kerajaan MADANI.
- Jadi untuk hari ini saya hendak tekankan dua aspek. Bila kita tekankan gaji minima pendapatan maknanya kenaikan itu juga berurutan. Presiden CUEPACS dengar baik-baik, kenaikan paling baik dalam sejarah ini maknanya jasa semua termasuk jasa Presiden CUEPACS diiktiraf. Saya akan umumkan kerana kita teliti dari segi kewangan dan bagaimana kita boleh tampung supaya jangan hutang. Saya tidak mahu lebih hutang, mesti kurang defisit, tetapi gaji kena naik dan ini sememangnya memerlukan kepakaran luar biasa. Tetapi saya lega, susah bagaimanapun, letih bagaimanapun, saya lega kerana kita tunaikan amanah ini kepada rakyat termasuk pekerja.
- Walau bagaimanapun, dalam perkiraan ini, tidak termasuk umpamanya peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah yang naik lagi ke RM10 bilion untuk 2024. Sumbangan Tunai Rahmah ini kepada 9 juta rakyat. Maknanya 60% penduduk dewasa Malaysia ini kita agihkan dan RM10 bilion ringgit untuk maksud ini.
- Jadi kalau orang kata ini hanya upah gaji tidak benar, kerana 60% rakyat 9 juta rakyat itu dapat. Bagi yang paling miskin, Sumbangan Asas Rahmah kita sudah naikkan 5 kali ganda berbanding atau ketimbang tahun lalu. Untuk tahun ini, kita beri kepada 700,000 rakyat yang di bawah paras kemiskinan dan menambah nilai bantuan maksimum RM1,200 ketimbang RM600 sebelumnya.
- Bantuan murid sekolah, bantuan awal persekolahan kita beri dari darjah satu sehingga tingkatan 5, RM800 juta.
- Saudara-saudari saya bincang dengan banyak kerajaan-kerajaan lain, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Menteri-Menteri dan saya juga diberi penghormatan dalam majlis sambutan 50 tahun Bank Pembangunan Islam Sedunia di Riyadh. Bank itu sebenarnya diasaskan oleh Raja Malik Faisal bersama Perdana Menteri Malaysia ketika itu, mantan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj. Mereka menggagaskan penubuhan Bank Pembangunan Islam dan 50 tahun kemudiannya PMX telah diberi penghormatan untuk meraikan penubuhannya.
- Pasti ada yang bertanya apakah Perdana Menteri hanya fikirkan soal perkhidmatan awam, tidak rakyat lain. Ini pun suatu pendekatan ataupun apa yang dikatakan celoteh, merengek dan tidak benar. Ini penjawat awam bekerja dengan kerajaan dan kerajaan itu dipimpin oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Jadi saya mesti beri perhatian secara langsung. Harus ingat 12 tahun tidak ada kenaikan. Jadi orang yang hendak kritik keputusan ini tolong dengar baik-baik tanya gaji dia berapa.
- Jangan sesekali begitu senang melemparkan tomahan, fitnah sesuka hati, tidak ada modal lain. Oh! Anwar sudah luluskan kasino di Johor. Tidak pernah saya dengar dan tidak pernah orang usulkan mengenai perkara tersebut. Memang keterlibatan Forest City dan yang ada kepentingan itu adalah Yang Dipertuan Agong. Namun, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Dipertuan Agong tidak pernah pun menyebut kepada saya minat hendak adakan perjudian di sana. Sebenarnya ini fitnah dari penjahat-penjahat. Jadi mereka ini sepatutnya ganti bilik-bilik saya di Sungai Buloh. Kritik tidak mengapa.
- Kamu singgung dan kritik Perdana Menteri, saya kata baik saya boleh jawab saya ambil dan jawab. Kamu singgung raja-raja, raja-raja itu sebuah institusi negara yang kita sanjung dan muliakan dan sudah ada dalam perlembagaan. Sistem beraja tidak boleh disamakan dengan orang politik, boleh diserang sesuka hati. Kerana institut raja itu, merupakan paraphernalia. Maknanya ada caranya, cara kita bercakap lain, sebagai contoh, kita makan dia santap, kita mati dia mangkat, kita sakit dia gering. Mengapa, kerana budaya Melayu dan juga sudah termaktub dalam perlembagaan ada siri, cara, kaedah dan kita hormati.
- Jadi kalau salah serang, apa lagi fitnah? jawapannya pendakwaan, hukuman dan penjara. Jangan marah saya kata Anwar ini tidak demokratik dan keras, kuku besi. Saudara, undang-undang ada, saudara-saudara boleh pilih, hendak pertahankan institusi raja atau hendak tukar sistem presiden. Negara sudah pilih dan kita pimpinan pilih sistem dan institusi raja. Kalau pilih institusi raja inilah caranya. Dan saya harap saya sengaja singgung hal ini kerana ini juga masalah pekerja, hendak negara ini aman, hendak negara yang mempertahankan sistem yang memuliakan raja-raja melayu, ini cara dia dan dukung sistem yang dipertahankan dengan cara ini.
- Yang lain pula mengatakan, bagaimana pekebun getah, pekebun kecil getah? bagaimana dengan nelayan?. Saudara, kita tambah insentif pengeluaran getah, dulu RM2.50. Tahun 2023 saya naik RM2.70, tahun ini naik lagi RM3.00.
- Adakah masih tetap mengataka kita tidak jaga Melayu, tidak jaga pekebun kecil, tidak jaga orang miskin, diuji di mana?. Dulu kamu riuh rendah bercakap soal hidup Melayu, tapi ini Melayu yang ramai pun tidak jaga. Sekarang kita naikkan, senang? tidak, kerana saya warisi hutang RM1.5 trillion. Saya tidak mahu hutang baru dan di samping itu saya hendak jaga kepentingan. Sebab itu badan penguasaan, penguatkuasaan mesti tegas, jangan ada bocor, jangan ada tiris. Kalau ada izinkan tindakan keras termasuk kepada penjawat awam yang cuai dan leka.
- Kemudian, subsidi harga padi, ramai kita dari kawasan sawah dan ayah kita dari keluarga penanam padi. Saya sebutkan di sini, berapa puluh tahun tidak pernah naik subsidi padi. Mereka ini juga adalah di kalangan kelompok paling miskin dalam negara kita. Sebaik sahaja jadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan bulan berikutnya, saya naikkan pada tahun 2022. Dan sekarang RM500 satu metrik tan pada tahun 2023.
- Saudara saya sengaja singgung ini cuma hendak tengok kita balance. Jadi, adalah tidak benar kita cuai terhadap yang lain. Kita hanya berikan perhatian kepada penjawat awam. Tanggungjawab kita beri perhatian kepada penjawat awam, kerana itu anak-anak kita di bawah jagaan kita secara langsung. Di samping itu anak-anak kita, keluarga kita dikalangan petani, nelayan, pekerja swasta, pekerja kilang itu pekerja kita yang kita jaga dan kita tidak sesekali pinggirkan.
- Jadi saya harap saudara-saudara faham hal ini. Pengumuman berikutnya adalah pelaksanaan hanya mulai 1 Disember tahun ini. Saya janji tahun ini, kita kira-kira patutnya laksanakan 1 Januari tapi oleh kerana saya sudah janji mula tahun ini, maka kita akan laksanakan apa yang saya sebut kenaikan lebih 13% dan sebagainya itu mulai Disember 2024.
Terima kasih, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- RAKYAT MAIN PERANAN BERTERUSAN PELIHARA KEAMANAN, SEMANGAT BERSATU PADU – PM