TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN MEI TAHUN 2024

Image result for logo jata negara transparent | Coat of arms ...

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

  

SEMPENA

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN MEI TAHUN 2024

  

6 MEI 2024 (ISNIN) | 8.00 PAGI

DEWAN DE’SERI ENDON, PUSPANITAPURI PUTRAJAYA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.

Alhamdulillaahil ladzeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba

Wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa

 

Usolli Wasallim Ala Rasoolil Kareem

Wa’ala alihi wa sahbihi ajma’een

YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri I;

YB Dato’ Sri Fadillah bin Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;

YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

Menteri-Menteri;

Timbalan-timbalan Menteri; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Minggu lalu merupakan minggu yang penuh kegiatan. Pertama, kegiatan sambutan Aidilfitri. Seperti mana saya sebut memang dah sampai akhir Syawal dan saya tengok ada satu dua jemputan selepas Syawal sebabnya nak ambil hujung minggu tu. Tak apa sebenarnya kalau niatnya baik, bersederhana, silaturrahim tak ada masalah.
  1. Saya baru pulang dari Riyadh untuk menghadiri World Economic Forum atas undangan Putera dan Perdana Menteri Mohammad bin Salman. Banyak kegiatan sampingan di situ. Kegiatan halal yang sepatutnya Datuk Seri Zahid hadir. Kemudian perjanjian Suruhanjaya Sekuriti dengan satu institusi kewangan dan juga Bank Pembangunan Islam. Tetapi yang kita fokus ialah pertama, pertumbuhan ekonomi. Saya nampak memang ada minat pelabur asing, baik semasa di Jerman dahulu dan minggu lalu, Microsoft, dan sebentar lagi saya akan berbicara secara online dengan Google.
  1. Di Saudi, selain daripada Aramco yang melabur di Pengerang, ada Aqua satu syarikat gergasi tenaga dan yang besar yang bersetuju untuk melabur. Semalam saya singgung di Pulau Pinang, tengok perubahan dari segi kecekapan Arab Saudi yang dulu di antara yang lembab. Saya jumpa Aqua itu sekitar 9.00-9.30 pagi. Dia beritahu berminat dan saya bagi komitmen bersama dengan Menteri MITI, Menteri Luar Negara dan Pegawai MIDA. Kemudian dia kata, oleh kerana ini syarikat khazanah kerajaan, maka dia perlu persetujuan muktamad daripada Perdana Menteri dan Putera Diraja Mohammad bin Salman. Jadi saya kata tak apa, saya cuba sampaikan. Dan pada jam 8.00 malam hari yang sama sebelum saya berangkat pulang, saya berjumpa Mohammad bin Salman. Dia dah dapat briefing daripada Aqua dan semua proses dilakukan dalam tempoh satu hari. Semua agensi yang terlibat telah bagi lampu hijau dan bila saya bangkitkan isu itu, Mohammad bin Salman kata bagi pihak kerajaan Saudi, bersetuju supaya dapat disegerakan langkah pelaburan.
  1. Dua isu yang kita bangkitkan. Pertama, keyakinan mereka kepada Malaysia. Ini bermakna politiknya stabil, dasar ekonomi jelas dan kecekapan yang mereka lihat dari penjawat awam dan syarikat-syarikat Kerajaan. Yang kedua, yang mengagumkan saya ialah proses kelulusan di Arab Saudi. 9.30 pagi dikemukakan, 8.00 malam Perdana Menteri kata ‘lampu hijau, teruskan’. Sebab itu dari sudut ekonomi, walaupun ada perbincangan tentang isu lain, tapi dari sudut kepantasan kelulusan yang menyebabkan negara itu boleh melonjak tinggi kerana kecekapan dan ini yang saya nak gesa rakan-rakan terutama dari syarikat-syarikat Kerajaan dan penjawat awam agar faham. Dari sudut tanggungjawab Kerajaan, kerjasama Menteri-menteri, Timbalan-timbalan Perdana Menteri, dan Jemaah Menteri kita sangat komited.
  1. Betul, kita ada warisan hutang dan defisit, banyak keterlanjuran, ketirisan, yang kita lihat masih lagi berlaku walaupun skalanya lebih kecil tetapi masih terus berlaku. Tetapi komitmen kita untuk membantu dengan dana yang ada bagi masyarakat miskin majoriti Melayu Bumiputera, ada kelompok-kelompok kecil Cina bandar dan masyarakat India yang relatif miskin terutama di estet dan di pinggir-pinggir bandar. Komitmen itu tidak boleh dipertikai walaupun dalam dunia politik itu terus menjadi perbahasan. Saya tidak ada masalah, tapi tanggungjawab kita, komitmen kita harus diteruskan dan itulah yang menyebabkan kita ambil keputusan yang agak berani dan radikal.
  1. Kalau ikut pertimbangan ekonomi, teori ekonomi biasa, semua kenaikan gaji itu ditangguhkan sehingga ekonomi itu lebih stabil. Maknanya hutang kurang. Tetapi saya lihat dari segi MADANI, ihsan, kemanusiaan, tahap kecekapan, kemampanan. Bagaimana boleh kita bebankan pada penjawat awam kesalahan yang bukan semuanya berpunca dari mereka. Kadang-kadang dari segi pengurusan, dari segi kecuaian pihak lain. Jadi kita pertimbangkan. Oleh itu tidak boleh dibebankan. Jika tidak boleh dibebankan dan ada kewajaran kita sebagai bapa dalam keluarga besar Kerajaan, harus beri pertimbangan. Itulah sebabnya mengapa kita ambil keputusan yang berani.
  1. Perbincangan itu agak teliti dan mendalam. Tan Sri KSN ada, KPPA ada serta KSP, kita nak memberikan pertimbangan bagaimanaharus beri suatu yang betul-betul melegakan. Kalau bagi sedikit-sedikit dia kata macam ala kadar pula. Jadi saya kata bagaimana nak naik kadar yang dia rasa boleh bagi keyakinan bahawa pimpinan Kerajaan MADANI ini serius untuk betul-betul mencari jalan yang sebaik mungkin untuk membantu. Maka itulah sebabnya kita naik keseluruhannya 15% dan bagi kategori yang lebih rendah itu melonjakkannya jauh lebih tinggi iaitu 20-30%.
  1. Ada orang cabar mengapa tak umumkan secara terperinci? Tak boleh sebab ada prosesnya. Prinsipnya kita boleh umumkan, tapi yang terperinci yang kecil-kecil itu kita kena bentangkan dahulu kepada Jemaah Menteri. Dah dipertikai “maknanya belum muktamadlah itu?” Dia kata “mana tahu kalau Parlimen tak luluskan?” Saya nak tanya, Ahli Parlimen mana yang nak bantah ini? Kalau pun bantah, insya-Allah ada majoriti tetap 2/3 untuk meluluskan cadangan kenaikan gaji Sistem Persaraan Baru dengan bergaya. Saya tak mahu naik dengan majoriti kecil, biar ada keyakinan Ahli-ahli Parlimen bahawa ada keyakinan dan kepercayaan kepada keupayaan dan kewibawaan penjawat awam. Tetapi dalam sistem persaraan ini kita kaji secara menyeluruh.
  1. Ada orang pertikai, kalau di sekolah mungkin ada 90% lebih guru-guru yang menjalankan tanggungjawab tapi ada guru-guru yang cuai. Ada yang tidak hadir. Begitu juga dengan masalah di jabatan. Ada golongan kecil yang rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah. Apakah harus kita beri layanan yang sama? Jawab saya tidak. Kita tidak akan memberikan layanan yang sama. Jadi saya minta sementara kita berikan satu anjakan yang agak radikal dari segi memberikan pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta sokongan saudara-saudara untuk mengawal sendiri Jabatan dan rakan-rakan supaya dikenal pasti orang-orang yang merosakkan nama baik penjawat awam. Itu yang pertama.
  1. Yang kedua, semalam saya ke Cherok Tokun di lereng Bukit Mertajam. Saya cuba fikirkan baik kita belanja RM22 bilion lebih untuk tolong orang miskin melalui segala Jabatan dan Kementerian. Kita dapat input daripada ketua kampung, penghulu. Tapi apakah mungkin kita perkenalkan satu kaedah. Kita semua Ketua-ketua Jabatan, Menteri semua sibuk. Tetapi boleh tak kita tugaskan setiap orang itu diberikan amanah. Contohnya Ketua Pengarah MKN ambil satu kampung, sebaiknya kampung asal dia. Pergi ke kampung untuk melihat semua aspek masyarakat di kampung itu. Jadi semalam saya cuba panggil semua jawatankuasa masjid, jawatankuasa surau berdekatan, belia, belia sukarela, belia silat, semua. Sampaikan saya hairan dalam satu kampung itu ada berpuluh persatuan, kita panggil semua dan biar dia kenal pasti berapa orang yang betul-betul miskin tegar. Berapa anak tak pergi ke sekolah kerana tercicir, berapa yang terlibat kes dadah, berapa yang sakit mental. Jadi kita lihat itu sebagai satu keluarga besar satu kampung.
  1. Semalam saya dengar, dan saya nak jadikan ini satu model. Can we do it? Jadi tentunya kita akan selaraskan juga, Pejabat Daerah, Jabatan Pertanian, pelbagai agensi. Tapi saya tengok ada kesan. Kerana kalau seorang itu menjadi Pengarah atau Datuk Bandar, jangan pergi sebagai Datuk Bandar, pergi sebagai anak kampung itu. Kalau ada masalah tulis, orang ini tercicir atau tulis ke Jabatan Pendidikan. Saya percaya Jabatan Pendidikan akan beri perhatian, kefahaman mereka itu lebih baik. Saya cuba pendekatan tersebut, jadi saya dah cuba ke Cherok Tokun.
  1. Hari Rabu ni saya akan lapor ke Jemaah Menteri tentang apa yang dilakukan dan kalau boleh semua Menteri, Ketua Jabatan pilih (kampung). ICU akan sediakan SOP, sedikit kaedahnya dan dengan cara itu kita tahu betul-betul kalau ada katalah 10,000 Pegawai Kanan, kita mulakan dulu, jadi kita berurusan dengan 10,000 kampung. Setiap kampung ada masalah dadah, masalah keciciran, masalah mental, ada masalah orang OKU.
  1. Jadi semua itu bukan semestinya dana daripada kita. Kalau kita boleh, kita tambah sedikit dana kita, tetapi kita selaraskan kegiatan dan kita bantu mereka. Bukanlah maksud saya kena turun setiap minggu, tidak. Kita buat macam kita balik kampung dua tiga bulan sekali. Tetapi ada satu sesi di mana kita panggil mereka, kita adakan seperti mesyuarat khas, satu yang formal dan selainnya yang tidak formal. Itu satu pendekatan baru, saya belum tahu ada lagi pendekatan sebegini yang pernah dibuat di dunia. Jadi saya tak berani jamin ianya sesuatu yang boleh berhasil. Tapi saya fikir bolehkah umpamanya kalau Datuk Seri Fadillah masuk kampung, dan walaupun dia pergi itu sebagai orang kampung, orang lama, sahabat, tapi orang tahu dia tu TPM. Jadi dia bercakap, dia tanya dan dia selaraskan itu akan cukup berkesan dan kampung itu menjadi satu model.
  1. Jadi yang pertama tadi soal integriti penjawat awam, yang kita akan nampak satu dua bulan kesannya. Keduanya soal setiap Ketua Pengarah, Ketua Jabatan pilih kampung siap-siap. Janganlah tunggu sampai tiga empat bulan. Dah tahu yang mana, minggu depan boleh bagi nama kampung. Jadi saya harap kalau boleh dalam kesibukan kita, kita kenalpasti kampung dan kalau sempat, balik. Kalau tak sempat, contact pun tak apa dan bagi tahu siap-siap berapa puluh persatuan ada di situ. Kalau boleh mereka ada perjumpaan dulu dan sama ada antara kita atau pegawai kita seorang yang boleh selaraskan dengan kita.
  1. Itu dua (2) cadangan yang saya nak sebutkan di sini. Tapi percayalah soal keputusan kita yang saya umumkan, sedikit tambahan dan muktamad masa belanjawan bukan mudah saudara-saudara. Saya katakan 2025 dia mencecah lebih RM10 bilion, 2026 lebih daripada itu. Sebab itu masalah rasuah, ketirisan itu saya berat betul. Kita baiki yang ini, kita pulangkan kepada penjawat awam dan kepada rakyat. Jika dibiarkan kesenjangan berlaku, tak mungkin kita bawa perubahan. Jadi ini saya harap dapat dibetulkan. Kadang slow juga kita tengok. Setiap kali saya ke tempat di Pulau Pinang, Kedah, Perlis sebelum ini, saya tanya pengurusan macam mana? Majlis Perbandaran, Jabatan, Imigresen, Kastam. Tapi maknanya harus ada ruang untuk diperbaiki. Jadi saya harap untuk integriti penjawat awam haruslah setimpal dengan pengiktirafan dan keyakinan yang kita berikan. Keduanya, bermula daripada pemimpin-pemimpin kanan dan pegawai-pegawai kanan, tolonglah kenal pasti satu kampung yang sebaiknya kampung asal kita untuk kita selaraskan kegiatan.

Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.