GALERI GAMBAR : AGONG ZAHIR HARAPAN ANWAR PM TERAKHIR DI BAWAH PEMERINTAHAN BAGINDA










KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan harapan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri terakhir yang dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah sejak memegang tampuk pemerintahan negara bermula 31 Jan 2019, baginda telah menggalas amanat berat untuk memilih dan melantik empat perdana menteri berbeza bermula dengan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anwar.
“Beta telah bersemayam di atas takhta singgahsana kerajaan Malaysia bermula pada 31 Jan 2019. Sehingga ke hari ini, beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk beta lupakan.
“Terpahat dalam sejarah negara bahawa beta adalah merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri bersama empat jemaah menteri yang berlainan.
“Beta berharap Perdana Menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah baginda juga tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara mahupun mengatur percaturan landskap politik tanah air.
Namun baginda bertitah pada pengamatan Seri Paduka, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum ke-15 juga akan dapat dielakkan.
“Lebih penting lagi kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya ahli-ahli yang berhormat dan para ahli politik negara bersedia untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu-padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cintai ini.
“Pada usia (kemerdekaan) 66 tahun, kita sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik ini sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang-menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah sekiranya kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, Seri Paduka khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya.
Seri Paduka turut menzahirkan pesanan kepada wakil rakyat agar menjaga nama baik dan kehormatan Parlimen serta berkhidmat setulus hati dengan sentiasa meletakkan rakyat dan masa hadapan negara dalam hati sanubari mereka.
Baginda juga mahu wakil rakyat mengetepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan kerana kestabilan landskap politik harus dijadikan ruang dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang.
Al-Sultan Abdullah turut menitipkan doa agar negara dan rakyat akan terus hidup dengan penuh kerukunan atas dasar perpaduan dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah.
“Pada 30 Jan 2024 kelak, beta akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Makanya ini adalah merupakan kali terakhir yang dapat beta berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen dan bertitah di dalam dewan yang mulia ini.
“Justeru izinkan beta pada kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan di atas taat setia yang telah dicurahkan kepada beta dan negara tercinta oleh semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, petugas perkhidmatan kesihatan serta seluruh agensi kerajaan yang telah berkhidmat dengan penuh profesional dan berkecuali tanpa mengenal penat dan lelah.
“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat beta yang telah hidup dengan penuh kerukunan dan aman damai serta terus gagah menghadapi pelbagai gelora pandemik, kemurungan ekonomi dan kemelut politik yang melanda tanah air,” titah baginda.
— BERNAMA
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN
SKIM KESELAMATAN SOSIAL SURI RUMAH & KARNIVAL KERJAYA MYFUTUREJOBS 2023
11 FEBRUARI 2023
PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR (KLCC)
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem.
YB Tuan Sivakumar A/L Varatharaju Naidu,
Menteri Sumber Manusia;
YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud,
Timbalan Menteri Sumber Manusia;
Yang Berbahagia Dato’ Sri Subahan bin Kamal,
Pengerusi Lembaga PERKESO; dan
Saudara-saudara dari Kementerian dan PERKESO.
- Saya ucapkan terima kasih dan saya amat tertarik kerana kehadiran tokoh-tokoh korporat dan majikan daripada syarikat-syarikat gergasi memberi sokongan kepada projek ini. Rencana kita dalam negara ini tidak mungkin berhasil kalau tidak ada kesepaduan, kebersamaan dan tekad untuk mengangkat martabat negara kita.
- Ini yang dirumuskan dalam konsep negara MADANI. Kalau kita mahu meningkatkan usaha membantu skim-skim seperti Skim Keselamatan Sosial Suri rumah ini serta memberikan ruang kepada anak-anak kita tentang peluang pekerjaan dan masa depan, gabungan tenaga di antara Kerajaan, majikan dan rakyat itu harus disamakan. Negara kita sekarang mula meneroka kaedah-kaedah baharu, kita tidak mungkin mengekalkan kaedah yang lama untuk membawa perubahan dalam negara kita.
Saudara-saudari,
- Sering saya sampaikan pandangan Joseph Schumpeter, apabila ada krisis. Beberapa negara dan dunia dilanda krisis, antaranya Perang Ukraine-Rusia, malapetaka gempa bumi besar di Turkiye dan Syria, perang saudara, beberapa serangan golongan pengganas, ketegangan Amerika dan China, semuanya itu ada tempiasnya kepada negara kita. Lebih-lebih lagi dengan kesan COVID-19. Kalau kita sebut tentang postnormal times, tetapi kaedah kerja kita masih sama, sama seperti 10 tahun atau 20 tahun lalu, tidak mungkin kita akan mencapai apa-apa pembaharuan dan perubahan.
- Saudara-saudara, majikan syarikat-syarikat besar pastinya tahu bahawa ada kaedah untuk membawa perubahan dalam syarikat, untuk berdaya saing dan mampu berjaya dalam bidang masing-masing. Ini yang disebut oleh Joseph Schumpeter, “Gales of Creative Destruction”. Ada seolah-oleh kerosakan yang berlaku tetapi kita manfaatkan itu untuk lebih kreatif, berdaya cipta yang baharu dan berusaha dengan kaedah baharu, di samping merobohkan yang lama dan yang rosak.
- Kalau kita tahu sistem negara kita, tidak mungkin kita pertahankan, nasib pekerja tidak mungkin terbela sekiranya kerosakan rasuah, salah guna kuasa, gunakan kedudukan politik untuk memperkayakan diri dan keluarga. Kalau ini diteruskan, negara tidak mungkin terangkat. Sebab itu saya tegas dan keras dalam perkara ini. Saya tidak peduli kalau ada pandangan sinis atau serangan. Saya mahu bersama dengan rakan-rakan menyelamatkan negara kita. Malaysia punyai keupayaan untuk diangkat semula sebagai negara hebat di rantau kita. Syaratnya, kita mesti bersihkan dan ini memerlukan bukan sahaja tokoh-tokoh politik tetapi juga majikan, penjawat awam dan rakan-rakan dalam penguatkuasaan.
- Kita harus menerima kenyataan. Hari ini kita membicarakan hampir keseluruhannya tentang nasib pekerja, suri rumah dan anak-anak yang belum mendapat pekerjaan tetapi ini terkait dengan sistem negara itu seluruhnya. Dengan keupayaan dan tekad kita, mengasak terus mesej ini, membawa kebaikan dan perubahan. Saya tidak nafikan kita semua ada kelemahan. Saya bukan hanya hendak ungkit soal-soal yang lalu, tetapi saya mahu perubahan itu berlaku sekarang.
- Saya bagi contoh ladang, syarikat-syarikat, dan restoran mengeluh kerana ketiadaan dan kurang pekerja, tunggu sehingga bertahun. Bagi ladang, pengeluaran terhambat. Restoran, ribuan ditutup. Kita masih tunggu keputusan kerana kita kata kita mesti cari pekerja tempatan. Kita harus kaji dan cari pekerja tempatan dan majikan juga bertanggungjawab tetapi ladang mesti dikerjakan, syarikat mesti diteruskan, industri mesti memastikan pengeluaran itu berjalan dan restoran mesti ada pekerja.
- Justeru, sejak bulan lalu, saya mengambil keputusan dan dengan sokongan Kabinet khususnya Menteri Sumber Manusia dan Menteri Dalam Negeri menyatakan, kita batalkan semua syarat-syarat, pekerja-pekerja asing yang tidak ada permit didaftarkan, ambil mereka tanpa ejen, tanpa dikenakan kos tambahan.
- Mengapa seorang pembantu rumah dari Jawa datang bekerja dengan bayaran mencecah RM20 ribu – RM25 ribu? Mengapa dari Bangladesh, kita ambil seorang pekerja gajinya RM2,000 tetapi syarat kemasukan mesti RM25 ribu? Mengapa di Nepal kerajaannya memutuskan dan menetapkan kos hanya RM3,700, termasuk kos perubatan, penerbangan dan semua kos pentadbiran? Mengapa kita tidak ada upaya mempertahankan hak pekerja sama ada pekerja tempatan atau pekerja luar, menghalang dari apa bentuk penindasan ke atas mereka?
- Maka kita ambil keputusan dan saya tahu keputusan itu dibantah oleh segelintir golongan kaya dengan pelbagai ugutan tetapi saudara kita kena ambil keputusan dan alhamdulillah, tanpa proses yang lama dengan kos yang tinggi, Kedua-dua kementerian ini termasuk Jabatan Imigresen Malaysia melaksanakan dan sekarang hampir 200,000 orang pekerja masuk dan didaftarkan tanpa bayar, wang haram, rasuah atau menindas rakyat?
- Saya tidak ingin mengatakan bahawa ada kelancaran dan suasana yang bersih di semua peringkat, tidak. Saya masih menerima laporan di peringkat bawah, penguatkuasaan masih ada dan peranan rakan-rakan untuk melaporkan kerana saya tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri dengan mempertahankan sistem rasuah dan bobrok. Itu adalah contoh dan maknanya kita ada upaya.
- Sekarang kesatuan sekerja meluahkan pandangan yang munasabah iaitu jangan program ini menghambat peluang pekerjaan anak-anak tempatan. Saya beritahu kelonggaran awal ini terpaksa diadakan. Bagaimana satu ladang sama ada besar, kecil atau sederhana yang terhambat pengeluaran dan kita rugi berpuluh bilion ringgit satu tahun kerana kurang pekerja? Di ladang-ladang kelapa sawit, dan pelbagai lagi industri yang daya pengeluaran terhambat kerana kurang pekerja.
- Kita terpaksa lakukan, walaupun kalau tanya pilihan saya, tentunya saya paksa mereka ambil pekerja tempatan dan latih mereka. Kita beri kelonggaran ini dan mesej ini jelas kepada majikan. Apa dia? We will do whatever is necessary to assist the companies to be able to be effective, increase the production and garner as much profit as possible. Tetapi majikan harus faham bahawa dalam konteks MADANI kita perlu jaga program rakyat, dan jaga keselesaan pekerja-pekerja. Takkanlah pula kita sudah bantu, untungnya dari RM500 juta menjadi RM1 bilion tetapi elaun pekerja masih sama terutama bagi pekerja tempatan.
- Sebab itu di ruang lain dahulu saya pernah sebut, jangan kita membangun, gedungnya bangun, penerbangannya lancar, kelapa sawit itu jenuh atau elektronik itu lebih canggih sambil membangun tetapi nasib pekerja dirobohkan.
- Jadi sebab itu saya harap majikan beri kerjasama supaya tidak perlu ada akta baru atau peraturan baru, ini soal conscience, humanity, care and compassion. Ini yang disebut dalam di antara kerangka MADANI. Ya kita mahu kemampanan (sustainability) kerana negara dan rakyat perlukan, tetapi kita kena pelihara persekitaran. Jangan dirosakkan. Kita pelihara dengan ihsan dan rahmah.
- Saya sambung soal pekerja, kerana baru-baru ini saya telah memohon laporan daripada syarikat-syarikat Kerajaan dan tertarik dengan usaha PNB berkaitan ladang kelapa sawit. Sekarang ini kalau kita tanya anak tempatan, anak Melayu tidak mahu kerja di ladang kelapa sawit. Kaedah kerjanya yang sama 20-30 tahun yang lalu. Ada mechanization, ada peranan drones tetapi pengggunaannya masih minimum.
- Jadi saya hendak syorkan, ia terkait dengan mechanization. Bila mechanize, percubaan baru, sekitar 300-350 pekerja yang tetap. Saya diberitahu hanya dua yang berhenti kerana sakit, itu soal kesihatan. Yang lain itu kekal, saya ingat 90 peratus anak Melayu kekal bekerja dengan upah sekitar RM2,800 hingga RM3,000 kerana ditingkatkan mechanization dalam bidang perladangan. Jadi saya harap hal-hal seumpama ini kalau perlu Kerajaan sediakan insentif tambahan untuk mechanization, saya tidak ada halangan. Kalau cepat dibawa kepada saya, boleh umumkan pada 24hb nanti. Kalau lambat, tahun hadapan. Kalau tidak buat, saya akan potong insentif.
- Baik, saya harap semua mendapat dapat mesej yang jelas bahawa pengambilan pekerja asing terlalu ramai itu hanya sementara, tidak ada negara yang wajar mempertahankan dasar ini. Apatah lagi ia akan mengekalkan kita kepada middle income trap. Maknanya kita akan kekal di tahap yang di bawah dan rendah kerana Kerajaan tidak mungkin menyediakan insentif yang cukup mahupun majikan selesa dengan kaedah yang lama. Jadi harus ada perundingan yang lebih rapat dengan kementerian-kementerian yang berkaitan dan kita cuba bawa perubahan ini.
- Saya juga ingin sentuh soal yang terkait dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pekerja. Tentunya tidak mungkin kita menerima semua tuntutan Malaysian Trade Union Congress (MTUC) atau Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tetapi ruang untuk mereka kemukakan dan rasa selesa dengan kaedah rundingan itu harus ada kerana tidak mungkin majikan apatah lagi saya memahami semua masalah pekerja kalau tidak ada ruang untuk mereka sampaikan di peringkat masing-masing. Saya hendak pastikan majikan ada proses rundingan itu tetapi seperti yang kita tahu dalam negara ini kita tidak mahu majikan dictate all issues dan dalam keadaan yang sama, kita tidak mahu kesatuan sekerja dictate all issues.
- Yang perlu adalah rundingan dan kita mencari jalan tengah atau penyelesaian yang tidak akan menyukarkan syarikat itu memperbaiki produktiviti dan mencatat keuntungan kerana saudara percaya kalau tidak ada usaha untuk memesatkan pertumbuhan ekonomi ini, saya tidak percaya nasib pekerja akan terbela dan peluang pekerjaan akan dapat ditambah.
- Jadi harus terima kenyataan bagaimana hendak jaga keseimbangan ini. Keseimbangan untuk memastikan syarikat-syarikat mencatat kejayaan dari segi produktiviti, keuntungan dan dalam masa yang sama, tidak melepaskan tanggungjawab iaitu keprihatinan dan ihsan kepada golongan pekerja dan masyarakat di negara ini.
- Inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia sebentar tadi yang kita dengar secara teliti dan saya tidak perlu mengulas selain daripada menyatakan penghargaan kerana kadang-kadang dalam kesibukan kita ini, majikan dan pekerja, kita lupa tentang suri rumah tangga. Kalau orang tanya “kerja tak?” “tidak kerja” “buat apa?” “buat kerja rumah sahaja”. Itu saya tahu kerana Wan Azizah, beliau memang keras menolak tanggapan bahawa kerja memasak, membasuh, jaga anak, jaga keselesaan rumah tangga dan jaga suami itu dianggap bukan kerja. Sebab itu pandangan kita harus berubah dan kalau kita iktiraf mereka sebagai tonggak dalam keluarga selain daripada suami atau bapa, maka semua agensi dan Kerajaan khususnya harus beri pengiktirafan.
- Oleh itu, skim-skim yang diperkenalkan termasuk skim caruman ini harus disokong. Apakah jenis bapa atau suami yang merasa sukar untuk memberi caruman RM10 sebulan untuk keselesaan isteri pada masa depan itu? Itu adalah bapa yang tidak berguna. Kalau orang lain, majikan harus prihatin, Kerajaan harus prihatin, Perdana Menteri baharu ini tidak cukup prihatin, tetapi kamu RM10 untuk isteri kamu sebulan pun kamu tidak prihatin, apa jenis manusia ini? Nampaknya orang perempuan semua bersetuju dan sepatutnya bapa pun harus setuju. Jadi saya harap kita dapat jayakan, komitmen kesatuan sekerja dan Kementerian harus diperhebatkan lagi.
- Berkait tentang Orang Kurang Upaya (OKU), sebahagiannya akibat kemalangan dan kecederaan, sementara sebahagian itu dilahirkan begitu. Tanggungjawab kita dalam konteks manusiawi (humanity) ini ialah untuk melakukan apa yang sebaiknya. Mereka anak-anak itu tidak berdosa, tidak dipilih buat begitu atau kita dalam kadang kecederaan atau kesakitan tidak juga memilih begitu. Jadi kita tawakal kepada Allah SWT dan kita ikhtiarlah sebaiknya.
Saudara-saudara,
- Itulah sedikit pandangan saya tentang kerangka Ekonomi, pertumbuhan serta pembangunan. Saya harap seperti yang saya sebut dalam mukadimah tadi dari Joseph Schumpeter, “Gales of Creative Destruction” saudara faham, bahawa pentadbiran saya ingin memanfaatkan ujian dan permasalahan yang berlaku serta krisis ini untuk mengajar kita, mengasak dan mendesak kita untuk membawa perubahan yang diperlukan di negara ini.
- Yang pertama yang tidak boleh ditolak ansur sama sekali adalah good governance. Kecekapan dan mesti menolak amalan rasuah yang sudah menjadi sistemik dalam negara kita dari atas sampai ke bawah. Kalau tidak diperangi, jahanam negara ini. Jadi saya harap saudara faham dan kalau buat begini, ia memerlukan kekuatan serta tekad yang luar biasa.
- Bercakap mengenai perubahan, saya berjumpa dengan Menteri Kewangan Tamil Nadu, Saudara tahu Tamil Nadu dalam normal business registration, it takes them fifteen days? I ask everyone here, can you register company fifteen days in Malaysia? Fifteen days probably one file, there are 15 files to fill in. Jadi hal-hal begini yang boleh kita lakukan perubahan. Saya tidak salahkan penjawat awam kerana itu peraturan yang kita telah wujudkan dan patuhi selama ini. Yang perlu sekarang adalah kreatif dari segi destruction.
- Apa destruction kita? Kita kalah dengan Singapura, Vietnam, dan juga Indonesia. Semalam saya pulang dari Bangkok, dalam beberapa hal mereka sudah mengatasi; soal digitalization, EV, modern transportation. Ini adalah beberapa hal yang sepatutnya kita tidak boleh ketinggalan.
- Jadi sebab itu ease of doing business, kecepatan meluluskan itu harus dilakukan sama ada hendak kena, saya tidak kata tidak perlu AIA, saya tidak kata tidak payah semak akaun bank, boleh semua itu tetapi mengapa kita mengambil masa enam hingga sembilan bulan? Saya lihat laporan daripada syarikat-syarikat, bukti proses permohonan dan di dapati dari hari dia daftar dan akhirnya hari yang diluluskan mengambil masa sembilan bulan dua minggu. Walaupun semua peraturan-peraturan itu dipenuhi.
- Jadi sebab itu saya telah beritahu kepada Tengku Zafrul di MITI dan tentunya beberapa kementerian lain yang terikat untuk memperkenalkan kaedah dan dalam masa beberapa minggu ini kita harus lihat perubahan yang jelas.
- Justeru, kita tidak boleh kekalkan kaedah lama untuk mengangkat semula pembangunan negara ini. Saya sangat yakin ya. Orang kata Anwar Ibrahim itu a dreamer, it doesn’t matter what you say, but I am very confident. Kalau kita dapat push agenda ini, kita boleh lihat dalam masa enam bulan atau setahun, kita boleh tengok betul-betul Malaysia baharu, Malaysia MADANI.
Terima kasih, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.













KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) — Mahasiswa dan pelajar di negara ini bebas untuk menyuarakan pandangan mereka termasuk memberi kritikan dan menegur kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini bagi memastikan golongan itu memiliki pemikiran kritikal selain mewujudkan suasana universiti yang lebih segar.
Beliau berkata perkara itu juga telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
“Mereka juga sudah buka ruang terutama Kementerian Pendidikan Tinggi supaya universiti lebih segar dalam membolehkan sesuatu pandangan itu diberikan melainkan hal-hal yang mencerca, (bersifat) perkauman atau fahaman agama yang melampau.
“Selain itu, (mereka) diberi kebebasan termasuk (menyuarakan) teguran atau kritikan terhadap Perdana Menteri iaitu kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman (AISF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata institusi pendidikan di Malaysia harus meninggalkan kaedah lama dan sudah ketinggalan zaman yang menyaksikan para pelajar disekat daripada menggunakan hak mereka untuk menjadi kritikal.
Beliau berkata sekolah dan universiti perlu membenarkan kritikan berdasarkan fakta dan alasan yang munasabah bagi memupuk kreativiti serta pemikiran dalam kalangan pelajar.
“Bagaimanapun, perkara itu perlu dilakukan dengan syarat mereka tidak ambil mudah sebarang isu, kritikan perlu dilakukan melalui wacana berdasarkan logik… Ini bermakna anda perlu memiliki pemahaman, anda perlu belajar dan melihat kritikan lain sebelum melontarkan kritikan anda,” katanya.
Pada majlis itu, Anwar yang juga bekas Presiden UIAM menyaksikan penyerahan sumbangan dana tambahan untuk AISF UIAM daripada keluarga bekas Rektor Kedua UIAM Allahyarham Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Hamid Abu Sulayman.
Turut hadir Rektor UIAM Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sterling Management Group Dr Yaqub Mirza.
Sumbangan bernilai US$300,000 diserahkan kepada Dzulkifli bagi membantu pelajar antarabangsa dari pelbagai negara yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan dalam bentuk wang sara hidup.
— BERNAMA







PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) — Masalah yang dihadapi negara ketika ini adalah dari segi ekonomi dan tadbir urus yang harus diberi fokus dan bukannya ketidaksefahaman antara kaum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, Anwar berkata fokus Kerajaan Perpaduan pimpinannya antaranya adalah untuk mendapatkan kepakaran daripada golongan profesional tanpa mengira kaum dan fahaman politik untuk membangun dan mengurus sebagai satu pasukan.
“Mari kita selesaikan perkara ini, niat dan sasaran kami untuk memastikan reputasi dan keyakinan kepada negara dikembalikan,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang bersama jawatankuasa kuil-kuil di seluruh negara di Seri Perdana di sini hari ini.
Anwar berkata suhu ketajaman politik ketika ini perlu diturunkan supaya negara boleh bangkit semula dan membawa agenda pembangunan itu bersama.
“Apa yang diperlukan orang India, Cina, Sarawak dan Sabah untuk menyelesaikannya ialah keberanian untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan, untuk bangkit melindungi negara dan kepentingan rakyat,” katanya.
Anwar yakin negara dapat bangkit semula lebih kuat dan hebat sekiranya ada kepercayaan, saling hormat-menghormati dan kasih sayang sejajar dengan konsep Malaysia Madani.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) — Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun dipandang sinis, Kerajaan Perpaduan tetap tegas dengan pendirian yang diambil dalam menentang salah guna kuasa dan amalan rasuah.
Menjadikan keputusan kerajaan menghentikan amalan pengambilan pekerja asing menggunakan ejen sebagai contoh, Perdana Menteri berkata walaupun dibantah segelintir pihak berkepentingan, langkah memastikan pekerja terbabit tidak disalahgunakan akan tetap diteruskan.
Beliau berkata dengan kos tinggi dikenakan oleh ejen, ia memberi kesan kepada kemasukan pekerja asing sedangkan negara memerlukan mereka dalam sektor tertentu seperti perladangan dan industri makanan termasuk restoran.
“Kita tahu dalam hal ini, ada pihak membuat keuntungan tinggi dengan mengenakan kos tambahan yang melampau dan kita seharusnya dilihat mempunyai upaya mempertahankan hak pekerja dan menghalang sebarang bentuk penindasan sama ada mereka pekerja tempatan atau pekerja luar.
“Kita tidak mahu hal ini terus berlaku. Sebab itu saya tegas dan keras dalam hal ini dan jika ada yang sinis, saya tidak peduli…saya dan rakan-rakan dalam Kabinet tekad untuk mengangkat negara jadi sebuah negara hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.
Anwar berkata beliau menyedari ada segelintir ‘golongan kaya’ membantah keputusan itu dengan pelbagai ugutan, namun keputusan tegas diambil kerajaan itu menampakkan petanda positif dalam aspek pengambilan pekerja asing.
Perdana Menteri berkata tanpa bayaran wang haram dan amalan rasuah yang menindas, langkah tuntas kerajaan itu menyaksikan hampir 200,000 pekerja asing masuk dan didaftarkan sebagai pekerja di negara ini.
“Ini terhasil selepas kita tetapkan pekerja asing didaftarkan tanpa melalui ejen dan memutuskan kos bagi setiap daripada mereka hanya RM3,700 meliputi kos perubatan, penerangan dan urusan dokumentasi lain,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menggesa pemain industri, syarikat dan majikan untuk bersama-sama memainkan peranan penting menghentikan sebarang unsur rasuah dalam pengoperasian syarikat masing-masing demi menjayakan aspirasi Malaysia yang bersih dan bebas amalan rasuah.
Pada Rabu, Anwar dilaporkan berkata kerajaan mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhenti menggunakan ejen bagi pengambilan pekerja asing kerana melibatkan kos tinggi.
Beliau memberi contoh, kos bagi pekerja Nepal hanya RM3,700, tetapi bagi pekerja Bangladesh dan Indonesia, masing-masing melibatkan kos antara RM20,000 hingga RM25,000 berikutan yuran tinggi yang dikenakan ejen dan menyifatkannya tidak ubah seperti ‘penghambaan moden’.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengambil langkah segera mencari jalan mempermudah urusan permohonan perniagaan kepada syarikat yang berminat memulakan perniagaan di negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata urusan permohonan perniagaan seharusnya dijalankan dengan lebih pantas dan efisien berikutan minat yang semakin positif ditunjukkan oleh pengusaha dan pelabur mengenai perniagaan di Malaysia.
“Saya mahu proses pendaftaran perniagaan dipercepatkan dan MITI perlu perkenalkan kaedah yang lebih pantas dan mudah kepada pemain industri.
“Saya sangat yakin, kalau usaha ini dapat diberi penekanan dan dipercepatkan, kita boleh tengok Malaysia baharu, Malaysia Madani dalam erti sebenar dalam tempoh setahun ini,” katanya.
Berhubung pengenalan SKSSR, Anwar berkata skim yang diperkenalkan sejak 1 Dis tahun lepas itu ialah satu usaha kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam mengiktiraf peranan penting yang dimainkan suri rumah.
Perdana Menteri berkata sebagai tonggak keluarga, peranan suri rumah perlu diiktiraf dan diberikan penghormataan sepatutnya oleh kerajaan termasuk oleh suami dengan membuat caruman kepada isteri masing-masing.
Menurut Perkeso, setakat 31 Jan lepas, 141,144 suri rumah telah mencarum di bawah skim itu dan daripada jumlah itu, 135,281 ialah suri rumah berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum dengan i-Suri KWSP yang caruman mereka ditaja oleh kerajaan selama setahun menerusi peruntukan Bajet 2022.
Dengan hanya RM120 jumlah caruman untuk tempoh 12 bulan yang dibayar secara ‘in-advance’, suri rumah akan menikmati Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Perubatan dan Pemilihan, Elaun Keuzuran, Bantuan Dialisis, Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan ucapan takziah serta doa kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan susulan bencana gempa bumi yang menimpa Turkiye Isnin lepas.
Menurut ciapan dalam Twitter rasminya hari ini, Anwar memaklumkan beliau telah berhubung dengan Presiden Turkiye sejurus tiba dari Bangkok, Thailand selepas lawatan rasmi dua hari ke negara jiran itu yang bermula pada Khamis.
“Kerajaan Malaysia telah mengutus dua pasukan mencari dan menyelamat SMART serta membina satu field hospital (lapangan), selain rakyat yang turut mengumpul dana bagi membantu saudara di sana,” katanya.
Perdana Menteri dalam sidang media pada Rabu memaklumkan Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih US$2 juta (lebih RM8.6 juta) kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.
Sementara itu, Malaysia telah menghantar dua Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu pada Isnin dan Rabu lepas.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah mengatur gerak petugas dan kelengkapan Hospital Medan Malaysia (HMM) Tahap Tiga ke Turkiye untuk tempoh enam minggu bagi memberi bantuan kemanusiaan.
Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria telah meragut lebih 23,000 nyawa di Turkiye dan Syria. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.
— BERNAMA
