DANA KOMUNITI MADANI: RM1 BILION UNTUK MASYARAKAT DESA MULAKAN PROJEK EKONOMI

PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) — Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion tahun depan untuk inisiatif Dana Komuniti MADANI, bagi membantu masyarakat desa mulakan projek ekonomi sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata menerusi inisiatif itu, setiap kampung, desa, rumah panjang mahupun Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan diberikan dana maksimum RM100,000 untuk mulakan projek ekonomi seperti kraf tangan atau hidroponik.
“Wang (dana) diberikan kepada penghulu, penggawa atau tuai rumah, selepas adakan perjumpaan dan putuskan apa projek ekonomi untuk kampung mereka.
“Saya nak tengok orang kampung putuskan dan jalankan (projek ekonomi) dengan kos rendah, uruskan dengan RM100,000 apa boleh dilakukan,” katanya dan menambah dana inisiatif itu mungkin ditambah kepada RM2 bilion jika ia menunjukkan kejayaan.
Berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023 di sini hari ini, Anwar berkata sekiranya masyarakat desa terlibat memerlukan bantuan, mereka boleh berhubung dengan pelbagai agensi kerajaaan antaranya Jabatan Pertanian atau Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Ini pendekatan baharu (kerajaan), (ia) dijangka melibatkan puluhan juta rakyat di semua peringkat iaitu dewasa berusia 18 tahun ke atas.
“Belanjalah dengan berhemah dan ikut peraturan ditetapkan,” katanya serta menegaskan bahawa dana yang diperuntuk itu khusus untuk penjanaan ekonomi dan bukannya untuk pembaikan pagar atau jambatan rosak.
Beliau seterusnya mengajak rakyat untuk menumpukan soal pertumbuhan ekonomi negara serta tidak mempedulikan retorik kosong.
“Program tahun ini di bawah Kerajaan Perpaduan jauh lebih tinggi dan baik dari tahun sebelumnya. (Pedulikan) naratif politik tidak kesudahan dan tingkat usaha bangunkan (negara). Beberapa keutamaan (diberikan) pada 2024 dan masanya kita untuk melaksanakan beberapa program tertangguh,” katanya.
Mengenai Karnival Usahawan Desa, Anwar menyifatkan penganjuran karnival itu sebagai berjaya dan mendapat sambutan luar biasa serta menggalakkan, dan beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan penganjur.
“Ini kesempatan kita untuk dedahkan usaha dilakukan kementerian, dan raikan usahawan supaya diberikan dorongan dan sokongan baik daripada jentera kerajaan dan rakyat,” katanya.
KUD@Putrajaya 2023 diadakan selama lima hari bermula Rabu lepas (22-26 Nov) di Anjung Floria di sini, dimeriahkan dengan pelbagai pameran dan jualan.
— BERNAMA
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL USAHAWAN DESA (KUD) @PUTRAJAYA TAHUN 2023
25 NOVEMBER 2023 (SABTU)
ANJUNG FLORIA
PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi. Wa kafa billahi syahida. Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem. Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
YB Datuk Hajah Rubiah Binti Wang,
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah;
Ketua Setiausaha;
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA);
Rakan-rakan pegawai di persekutuan dan negeri; dan
Hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.
- Alhamdullilah, terima kasih kerana sudi hadir menjayakan KUD di Putrajaya ini dan saya beritahu YB Datuk Hajah Rubiah binti Wang bahawa sambutan ini sangat menggalakkan kerana selalunya acara-acara di Putrajaya ini sambutannya itu luar biasa. Alhamdulillah.
- Ini kesempatan kita untuk menguar-uar usaha yang dilakukan oleh Kementerian serta agensi dan jabatan yang berkaitan serta meraikan usahawan supaya diberikan dorongan dan sokongan baik daripada jentera kerajaan mahupun rakyat terbanyak.
- Sebelum itu saya ingin menyampaikan salam seperti mana juga Timbalan Menteri beritahu tadi, saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang sekarang alhamdulillah telah bertambah sihat dan afiyah.
- Saya sempat bersama beliau sejam tadi di rumahnya dan insya-Allah beliau akan memulakan tugas dalam sedikit masa lagi. Kalau ikutkan dia nak datang tetapi saya memberi arahan supaya tidak perlu hadir sebab beliau perlu rehat yang banyak.
- Saya mengucap tahniah kepada beliau selaku Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha (KSU) dan seluruh jentera di kementerian. Seperti mana yang saya bisikkan kepada KSU sebentar tadi, kementerian ini penting dan kritikal untuk menjamin bukan sahaja penyertaan tetapi kejayaan terutamanya usahawan desa. Jika dengan usaha-usaha kita ini dapat mengangkat, dan memperbaiki kedudukan ekonomi mereka maka ini yang disebutkan sebagai merakyatkan ekonomi. Justeru, saya beritahu kepada YBhg. Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun, harus dipantau seluruh agensi dan jabatan di bawah kementerian ini dengan lebih tuntas.
- Kita sudah setahun dalam Kerajaan Perpaduan ini. Alhamdulillah, stabil dan kukuh sebagai satu kerajaan dengan dukungan lebih dari 2/3 ahli Parlimen. Soalnya untuk apa? Jawab saya, adalah untuk meneruskan agenda perubahan dan reformasi.
- Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana keyakinan pelabur asing itu bertambah. Dua (2) hari yang lalu, saya pulang dari San Francisco. Mesyuarat APEC atas undangan Presiden Joe Biden, Amerika Syarikat dan dihadapan beliau, saya menggunakan ruang itu untuk menjelaskan sikap rakyat Malaysia tentang kemelut politik dan bencana dahsyat yang menimpa rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
- Orang bertanya saya, dari mana datangnya kekuatan untuk menyampaikan dan berdepan dengan Presiden Joe Biden? Ini jarang berlaku. Saya jawab, pertamanya saya terpaksa menyatakan yang haq, “Qulil haq walau kana murran” – Katakan KEBENARAN.. walaupun (kebenaran) itu PAHIT rasanya. Nyawa terkorban, harta dirampas, dan pemilikan tanah yang disebut Maknanya seluruh harta, tanah milik mereka, nyawa dan maruah mereka digadai kerana jenayah yang dilakukan oleh pemerintah Zionis Israel.
- Tidak mungkin sukar untuk kita bercakap dan menyampaikan pandangan supaya dihentikan serangan. Sebab itu saya gunakan peluang tersebut berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat, kuasa besar dunia untuk menyampaikan.
- Jadi apabila ditanya dari mana datangnya keberanian? Saya sebut kerana saya faham denyut nadi, kegelisahan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia mahu pemimpin mereka menyuarakan pandangan mereka dan ini yang saya lakukan bagi pihak saudara-saudara di hadapan Presiden Amerika Syarikat. Kita harus menghentikan segala keganasan terhadap rakyat. Kita harus memberi ruang segera supaya bantuan kemanusiaan, perubatan terutamanya makanan dapat disalurkan dan alhamdulillah bantuan dari Malaysia diberi keutamaan oleh Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi.
- Apabila saya berjumpa dengan beliau pada bulan lalu, saya memberitahu dan meminta kerjasama daripada beliau. Dua (2) minggu yang lalu, apabila bertemu beliau di Riyadh, beliau menyatakan bahawa beliau telah menunaikan janji. Alhamdulillah, Malaysia diberi keutamaan di antara negara yang paling singkat menunggu untuk menyampaikan bantuan perubatan dan makanan ke Gaza.
- Inilah umpamanya kebijaksanaan kita dalam hubungan diplomatik. Terkadang ada yang mengecam, mereka kata Perdana Menteri ini banyak di luar. Saudara-saudara, mesyuarat yang saya hadir di luar itu adalah mesyuarat yang mewajibkan saya hadir, yang sunat saya tidak pergi.
- Umpamanya persidangan di Riyadh, iaitu Persidangan Negara-negara Islam, Ketua-ketua negara Islam dan Ketua-ketua negara Arab. Semua hadir dan kita hadir untuk menyampaikan dan bertemu dengan pemimpin dunia Arab untuk menyatakan pendirian dan itu lebih berkesan kerana mereka adalah jiran dan tetangga kepada Palestin.
- Saya ke San Francisco bagi menghadiri mesyuarat APEC, seluruh Asia dan Pasifik, semua Ketua-ketua negara hadir tetapi seperti mana saya sebut, selain hadir menyampaikan pandangan kita dari sudut ekonomi, perniagaan dan pelaburan, kita sampaikan pandangan tentang masalah yang berlaku, malapetaka yang menimpa umat Islam dan umat Kristian di Gaza dan Palestin.
- Apabila saya sebut ini, ada juga yang dari kalangan luar parti politik menyerang. Sebab apa? Sebab Anwar sebut ini bukan soal umat Islam sahaja, tetapi perkara ini memang betul, hal ini bukan semata isu umat Islam tetapi ini juga isu rakyat Palestin yang bukan beragama Islam. Ratusan masjid dimusnahkan dan tujuh (7) gereja turut dimusnahkan.
- Jadi apalah salahnya kita menyuarakan simpati kita atas nama kemanusiaan dengan mengajak rakyat dan umat Islam bersama kita serta umat Kristian yang juga menerima bencana ini. Kita menyatakan simpati dan pertolongan kepada mereka. Mengikut kefahaman Islam, ia disebut sebagai rahmatan lil alamin. Malangnya kita di caci maki kerana seolah-olah meremehkan peranan Islam. Itu yang pertama.
- Yang kedua, kita juga fikir tentang masalah ekonomi. Jika ekonomi kita tidak berkembang, usaha untuk membantu usahawan desa juga terbatas, ada kekangan. Oleh itu, selain daripada mesyuarat biasa, urusan diplomatik, urusan Palestin, kita gunakan peluang ini untuk berbincang dengan syarikat-syarikat besar di Amerika Syarikat, Google, Facebook, Syarikat TPG dari bidang kesihatan yang besar, dan Tiktok supaya mereka dapat melabur, mengadakan operasi di Malaysia dan memberi ribuan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda kita.
- Jadi ibu bapa yang menjadi usahawan desa, anak-anaknya dilatih melalui kursus di universiti, institut latihan atau TVET untuk memenuhi keperluan pekerjaan dan bidang yang lebih canggih termasuk bidang digital.
- Dengan kerjasama MITI, sepanjang 3-4 hari saya di San Francisco selain mesyuarat APEC, ada sahaja ruang dan masa untuk mencelah, kita berjumpa dengan tokoh-tokoh ini dan mereka bersetuju untuk melabur RM60 bilion di Malaysia.
- Sebelum itu, sepertimana yang saya sebut beberapa bulan yang lalu, syarikat pengeluar cip mikro komputer terbesar di Eropah iaitu Infineon dari Jerman bersetuju untuk menambah pelaburan ke Malaysia.
- Terdapat dua (2) aspek yang kita harus ingat. Kepada ibu bapa, harus memastikan anak-anak itu diberi ruang. Kalau dia mahu masuk universiti bagi galakan, mahu masuk TVET silakan, Giat Mara silakan dan kita harus pastikan jenis kursus dan latihan itu diperbaiki.
- Saya telah meminta YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi mempengerusikan jawatankuasa kabinet untuk menyelaraskan dan meningkatkan keupayaan kerana apabila Infineon, satu syarikat Jerman memutuskan Malaysia sebagai negara pelaburan terbesar luar daripada Jerman berjumlah RM25 bilion. Apa yang kurang? Mereka kata jurutera lulusan TVET semuanya baik namun harus ditingkatkan lagi kemahiran dan keterampilan dalam bidang-bidang tertentu. Maka kita usahakan.
- Kita juga mendapat dukungan dari negara China, yang memberikan perhatian baik kepada Malaysia sekarang ini. China semalam mengumumkan, selain daripada 3 negara Eropah, mereka turut menyebut negara ASEAN, yang mana Malaysia diberikan keistimewaan untuk membolehkan rakyat Malaysia ke negara China selama dua (2) minggu tanpa visa.
Saudara-saudara,
- Ini tidak berlaku tanpa usaha Kementerian Luar Negeri dan rakan-rakan kita yang menyampaikan pandangan kerana Malaysia akan kekal bebas dan merdeka. Kita baik dengan Amerika, kita baik dengan Eropah, kita baik dengan negara China. Jangan ada mana-mana negara nak atur dasar luar kita. Ada orang Amerika kata, baik dengan Amerika, jangan baik dengan China atau sebaliknya. Kita tidak peduli semua itu kerana kita bertanggungjawab menentukan dasar yang akan memberikan faedah kepada negara Malaysia.
- Jadi pelaburan dari negara China juga besar. Geely-Proton di Tanjung Malim itu telah menetapkan kawasan atau kota automotif terbesar selain daripada negara China dengan pengeluaran awal 500,000 kenderaan Geely-Proton setahun. Apa faedahnya kepada kita? Faedahnya ialah peluang pekerjaan kepada anak muda sebab itu saya nak pastikan TVET, Institut Latihan, Giat Mara terutama di sekitar Perak, Selangor dan berdekatan diubahsuai untuk memenuhi keperluan Geely-Proton dari segi automotif.
- Hal-hal ini dilakukan untuk menjamin masa depan yang lebih baik bagi negara kita. Sebab itu saya katakan, setelah satu tahun Kerajaan Perpaduan, sudah sampai ketikanya kita mengajak rakyat menumpukan soal pertumbuhan ekonomi dan negara kita.
- Ada orang berbicara masalah orang Melayu tertekan atau Islam tercabar, itu hanya retorik dan politik kosong kerana kenyataannya di sini adalah pendirian kita. Kementerian ini sebagai buktinya, 70% atau 80% kegiatan memberi manfaat langsung kepada orang Melayu dan bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak dan program tahun ini, di bawah Kerajaan Perpaduan jauh lebih baik ketimbang tahun-tahun sebelumnya.
- Bukan itu sahaja, peruntukan kewangan bagi negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan, jauh lebih tinggi daripada peruntukan diberikan oleh kerajaan dalam tahun yang sebelumnya tetapi yang diuar-uarkan dan difitnah adalah negeri-negeri ini di anak tirikan.
- Islam tercabar katanya. Siapa yang mencabar Islam? Apa program kita yang dikatakan mencemar Islam? Saya hendak bertanya di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ini dan di Program KUD ini, yang mana yang bercanggah dengan Islam? Tetapi inilah yang menjadi naratif politik yang tidak berkesudahan.
- Saya katakan kita akan jawab dengan tegas tetapi tidak mengalih pandangan kita. Kita akan tingkatkan usaha membangunkan baik orang Melayu, bumiputera atau kedudukan Islam dan menjamin keselesaan serta keadilan bagi semua kaum di negara Malaysia ini.
Saudara-saudara,
- Saya sebut tadi kepada Timbalan Menteri dan YBhg. Dato’ Sri Ramlan Bin Dato’ Harun dan sebelum ini kepada Menteri iaitu beberapa keutamaan kita. Bagi tahun 2024, ini adalah masa kita untuk melaksanakan beberapa program yang tertangguh selama puluhan tahun termasuk penyasaran subsidi. Orang akan mainkan naratif apabila kita katakan kita tarik subsidi untuk ayam, riuh rendah akan naik. Namun, apabila kita tarik subsidi rupanya harga ayam lebih terkawal daripada dulu.
- Walaubagaimanapun andai kata naik harga, kita tidak akan tukar dasar penyasaran subsidi tetapi kita boleh berikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), suntikan dana langsung kepada keluarga. Kalau dia kata dia rugi RM30 atau RM50 sebulan dari segi ayam, kita beri suntikan tambahan, itu pendekatan kita, tetapi alhamdulillah sekarang ini harga ayam tidak naik.
- Katalah untuk gula, Laporan Asia, Malaysia mencatat penyakit kencing manis atau diabetes paling tinggi di Asia. Kita tidak boleh biarkan begini. Ini bukan urusan Kementerian Kesihatan sahaja saya nak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah juga Timbalan Menterinya ada sini serta KSU supaya kempen kurangkan pengambilan gula kerana perkara ini telah menjadi masalah besar kepada kita, kita patut jadi negara sihat.
- Islam itu menekankan keperluan menjaga kesihatan tetapi Malaysia adalah nombor satu dari segi penyakit kerana menelan dan menghirup gula berlebihan termasuk teh tarik saya sebentar tadi. Beritahu saya siapa yang buat tu, kurangkan gula, ini nak jaga Perdana Menteri takkan nak bagi dia kencing manis hari ini. Jadi saya tidak boleh habis satu cawan, saya nak minum terlalu manis, tidak boleh (nada seloroh).
- Oleh itu, semua program dan jamuan kementerian, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ada disini, arahan kurangkan gula. Kalau tidak, saya rasa kesal betul kerana Malaysia ini dengan kesedaran Islam, dengan dakwah dan tazkirah tetapi penyakit diabetes paling tinggi. Maknanya kesedaran tentang kepentingan kesihatan tidak dikawal. Jadi usahawan-usahawan yang jual, kejap lagi kalau saya jalan, saya nak rasa gula kurang atau gula lebih.
- Betul juga, kadang-kadang kalau gula kurang, dia kata kita kedekut, kita tipu, bukanlah kurang sangat sampai tidak ada rasa manisnya. Tetapi kena ingat lagu lama dahulu – ‘manis manis manis bukannya gula sayang, manislah lagi senyummu puan’.
- Jadi kita nak hargai manis senyuman itu lebih baik daripada manis gula. Orang Melayu dulu pandai buat lagu-lagu lama ni, dia punya senikata, yang manis manis bukan gula, manis manis manis senyum senyum senyum ya puan. Nasib baik Azizah tidak ada (nada seloroh).
- Untuk kementerian ini, saya sebut tadi kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, dalam belanjawan yang saya umumkan, setiap kampung, desa, rumah panjang, kawasan perumahan PPR, kita akan tetapkan sumbangan daripada kerajaan sebanyak RM100,000 atau paling kurang RM50,000 mengikut keadaan.
- Maknanya kita pergi satu kampung, contohnya Cherok Tok Kun atau kampung Charok Kudung di Kedah atau di mana-mana kampung di Kapit, rumah panjang, bukan pegawai kementerian yang luluskan projeknya. Kita bagi wang, sementara penghulu, penggawa, ketua kampung atau tuai rumah akan mengadakan perjumpaan dan memutuskan apa projek ekonomi untuk kampung itu.
- Ini kali pertama kita cuba di kampung, masyarakat dan jawatankuasa yang putuskan. Ini bukan untuk membaiki jambatan atau pagar masjid, itu peruntukan lain tetapi ini adalah projek ekonomi. Mereka nak buat tanaman sayur, hidroponik, atau kraf tangan, itu keputusan mereka. Asalkan mengikut peraturan. Saya nak tunjukkan bahawa kalau kampung-kampung ini ada kesedaran, dia boleh urus dan tidak akan ada kecurian dana. Kalau ada, kita minta SPRM dan bawa dia ke tempat yang sesuai.
- Tetapi saya percaya insya-Allah dengan program ini yang kita akan luncurkan awal tahun depan secara berperingkat, setiap kampung, desa, rumah panjang atau di bandar khususnya rumah kos rendah atau sederhana itu diberi dana sebanyak RM100,000 dan minima RM50,000, sementara jawatankuasa kampung itu sendiri akan menentukan apa projek ekonomi yang hendak mereka jalankan.
- Ini adalah suatu kejutan yang belum pernah dilakukan di negara kita. Kalau berjaya alhamdulillah, kalau tidak berjaya salah mereka. Kita beri wang kepada mereka dan mereka jalankan. Kalau mereka kata nak bekerjasama dengan Jabatan pertanian, mereka hubungi terus Jabatan pertanian. Semua jabatan baik Kementerian Pertanian, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan semua agensi MARA dan semua mesti mengambil perhatian bahawa dalam kes ini, apa yang diminta oleh kampung itu mesti dibantu oleh jabatan-jabatan berkenaan untuk diperincikan.
Saudara-saudara,
- Di antara kementerian yang saya tugaskan untuk memantau selain daripada ICU adalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, untuk membantu dan memantau supaya projek-projek ini dijalankan. Ini satu perubahan besar. Saya nak lihat, apakah mampu orang kampung sendiri memutuskan dan menjalankan dengan kos yang lebih rendah. Dia menguruskan maknanya apa yang boleh dilakukan dengan RM100,000 itu walaupun projek kecil.
- Kalau dinyatakan nampak ada kejayaannya, maka untuk tahun berikut kita akan beri perhatian. Katalah dia ada projek yang menunjukkan keupayaan yang lebih baik, maka jabatan-jabatan atau agensi yang berkenaan boleh bantu dan ini saya ingat satu pendekatan baharu yang akan melibatkan puluhan juta rakyat di semua kawasan.
- Bermakna setiap rakyat dewasa, 18 tahun ke atas ataupun kalau boleh di kampung dia nak dapatkan input daripada anak muda 16 tahun atau 17 tahun itu terserah pada orang kampung, tidak ada syarat. Syaratnya belanja dengan berhemah mengikut peraturan yang ditetapkan. dan kalau ini direalisasikan bermakna Malaysia mungkin negara pertama yang melibatkan puluhan juta rakyat menentukan projek mereka sendiri dan menjalankan kegiatan atas semangat musyawarah di desa.
- Ini kita panggil Dana Komuniti MADANI. Perbelanjaan peruntukan awal adalah RM1 bilion dan saya percaya tidak akan cukup dan kemungkinan akan ada tambahan RM2 bilion sebelum akhir tahun sekiranya perjalanan ini lancar.
- Jadi saya harap semua jabatan dan pegawai-pegawai memberi kerjasama yang baik dan mengelakkan pertindihan. Yang tadi juga saya sebut kepada KSU, semua kementerian terutama melibatkan soal begini, elakkan pertindihan. Semua jabatan yang terlibat harus diselaraskan.
- Baru-baru ini kita bincang umpamanya Cyber Security, terdapat lima hingga enam jabatan yang terlibat dalam Cyber Security. Jadi kita putuskan hanya satu yang menyelaraskan.
- Yang kedua, beberapa hari yang lalu, saya mengumumkan Digital Network atau IDN yang sekarang diselenggarakan oleh MIMOS, ditetapkan oleh MAMPU sebagai pengawasan dasarnya. Jadi semua kegiatan yang melibatkan usaha memperkenalkan digitalization di jabatan dan kementerian, semuanya wajib dihentikan dan diselaras dengan MAMPU dan MIMOS supaya tidak ada pertindihan. Jabatan-jabatan mempunyai peranan untuk membuat aplikasi tetapi teras prinsip itu ada. Kalau tidak sekarang ini, nak pinjam dari TEKUN ada sistem yang lain, nak pergi ke MARA ada sistem yang lain, nak pergi JPJ sistem yang lain. Ini bukan cara transformasi digital namanya.
- Jadi dalam pendekatan baharu, kita hanya akan ada IDN dengan satu password sahaja, masuk aplikasi IDN sendiri dan di situ keluar. Dia nak pergi ke MARA, RISDA, JPJ, atau Jabatan Pendaftaran hanya dengan satu password. Hal-hal ini yang harus kita perbaiki kerana terlalu banyak belanja untuk jabatan, agensi dan kementerian masing-masing tetapi membuat kerja yang sama dan membazir wang rakyat dan wang Negara.
- Saya kata ini harus dihentikan dan mungkin pada hari Isnin, MAMPU akan mengeluarkan arahan baharu tentang isu transformasi digital atau teknologi digital kepada setiap Jabatan. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kepada semua usahawan yang bersama memberikan kerjasama, terima kasih kepada rakan-rakan pegawai yang membantu dan seluruh jentera yang bersama. Dengan lafaz “Bismillahir Rahmanir Rahim”, saya meluncurkan KUD Putrajaya.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

SHAH ALAM, 23 Nov (Bernama) — Kestabilan politik yang dikecapi bawah Kerajaan Perpaduan selama setahun berjaya mengundang banyak industri gergasi dunia untuk melabur di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ia termasuk syarikat Google, TikTok, Infineon Technologies AG, syarikat automatif China, Geely dan Tesla yang yakin dengan kemampuan Malaysia kerana kini mempunyai dasar jelas.
“Saya tanya mereka apa keistimewaan di Malaysia. Sekarang, alhamdulillah politik stabil. Politik stabil itu membantu memberi keyakinan kepada mereka, ada dasar yang jelas.
“Maknanya dia tahu, dia datang sini, ini dasar ekonominya, ini dasar perindustrian, ini ekonomi MADANI, ini transisi tenaga. Saya bersyukur Malaysia menjadi perhatian semula selepas ketinggalan beberapa lama,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed.
Anwar berkata kerajaan akan lebih agresif dan tegas untuk membawa perubahan bukan hanya untuk menyelamatkan negara malah mengangkat martabat negara di rantau ini dengan membawa lebih ramai pelabur, mengurus ekonomi dengan baik, melatih anak-anak tempatan dan mempunyai tatakelola baik.
“Negara ini tidak boleh lagi dikenali sebagai negara yang senang dan toleransi dengan rasuah serta penyelewengan, setiap dana mesti digunakan dengan baik di semua peringkat, daripada Perdana Menteri hingga ke bawah,” katanya.
Perdana Menteri berkata kestabilan politik sekarang juga akan menyukarkan hasrat segelintir pihak yang “mengidam” untuk mengambil alih kerajaan buat masa sekarang.
Pada masa sama, beliau juga menegur pihak-pihak yang bergaduh mengenai perbezaan agama dan kaum tetapi tidak menghiraukan masa depan anak-anak muda termasuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Sehubungan itu, Anwar meminta Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan agensi berkaitan agar menyediakan latihan kemahiran yang secukupnya khususnya di peringkat kemahiran tertinggi susulan terdapat teguran daripada pelabur yang memaklumkan kemahiran tertinggi pekerja di negara ini perlu dipertingkatkan.
“Geely menganggap nilai prestasi pekerja di Malaysia sangat baik dan memuaskan, tahap profesionalisme baik. Masalahnya satu sahaja iaitu tahap kemahiran tinggi kadang-kadang ada kekurangan,” katanya.
Menyentuh mengenai kelantangan beliau berkaitan isu Palestin, Anwar mengakui beliau menyuarakan isu tersebut di pentas antarabangsa mewakili rakyat Malaysia walaupun ia satu perkara yang sukar.
Beliau juga menyelar tindakan segelintir pihak di negara ini yang Perdana Menteri labelkan sebagai suara-suara sumbang, yang terus menyerangnya dalam hal berkenaan.
“Bukan saya nak minta berterima kasih. Kalau tidak terima kasih pun, janganlah kutuk lagi,” katanya.
Meskipun lantang menyuarakan isu Palestin ketika menghadiri Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, Anwar berkata ia tidak mengganggu keputusan syarikat besar termasuk dari AS untuk meneruskan pelaburan di Malaysia.
Menurutnya, syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) juga telah memutuskan untuk bersama mengambil ekuiti bagi membesarkan pelabuhan-pelabuhan di negara ini termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.
— BERNAMA





















PUTRAJAYA, 23 Nov (Bernama) — Kerajaan Perpaduan akan memulakan corak tadbir urus lebih tegas dan pantas untuk mengemudi negara pada tahun kedua pentadbiran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI di sini malam ini, beliau berkata pada tahun pertama mengemudi negara, Kerajaan Perpaduan dengan tekad barisan Jemaah Menteri telah berjaya menyelesaikan pelbagai masalah asas rakyat.
Antara usaha yang telah diperkenalkan dalam pentadbirannya termasuk Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 selain menyelesaikan isu pendidikan.
“Tahun pertama kita kemudi (Malaysia), pada awalnya terumbang-ambing tetapi Alhamdulillah dasar jelas kita selesaikan masalah rakyat.
Cukup setahun dengan mandat ada… tahun (baharu) ini, kita akan mula dengan lebih tegas dan lebih jelas untuk bangunkan ekonomi negara,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022, lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember 2022.
Pada 19 Jan, Anwar memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia. MADANI itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.
Mengimbau kembali pembentukan Kerajaan Perpaduan, Anwar berkata ia adalah hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta tekad parti politik yang ingin menyelamatkan negara selepas PRU15.
“Bila Yang di-Pertuan Agong sebut bentuk Kerajaan Perpaduan, kita satu semua kekuatan dan ketepikan pertempuran politik lama untuk selamatkan negara.
Ada memilih tangguh dan tolak tetapi kami memilih terima (bentuk Kerajaan Perpaduan),” katanya sambil menambah parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan memberi komitmen kukuh untuk mengangkat martabat rakyat negara ini.
Sementara itu, Anwar turut menzahirkan rasa bangga di atas komitmen barisan Jemaah Menteri menekankan tatakelola yang baik dalam usaha menghentikan amalan rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.
“Alhamdulillah sepanjang setahun, kita pantau melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya bangga kerana keputusan kita yang ikut proses tatakelola, ikut tender dan bagi amaran yang keras, pimpinan tidak boleh guna kuasa untuk kayakan diri dan keluarga.
Seminggu lalu, ditanya laporan SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan polis, pimpinan kita dapat pertahan supaya menghentikan amalan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.
Anwar turut mengingatkan semua pihak agar bersatu padu dan tidak memusuhi antara satu sama lain kerana ia akan merugikan negara.
Pada majlis itu, Anwar bersama-sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan barisan Jemaah Menteri serta kira-kira 5,000 jemaah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat hajat serta membaca Surah Yassin yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.
Ditemui pemberita selepas majlis itu, Anwar menzahirkan rasa syukur dengan Kerajaan Perpaduan menginjak usia setahun dan memberi komitmen agar segala kekurangan kerajaan ini akan ditangani sebaik mungkin.
“Alhamdulillah, kita sedaya upaya seluruh pasukan dan Insya-Allah kita akan perbaiki (kekurangan) dan kekuatan baharu ini, kita (negara) akan lonjak lagi tinggi,” katanya.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Kerajaan akan mengkaji cadangan penambahbaikan ekosistem industri teksi bagi memastikan kebajikan sekitar 40,000 pemandu teksi di seluruh Malaysia terus dipelihara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah dikunjungi oleh ahli-ahli daripada Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) yang diterajui oleh Kamarudin Hussain.
“Dalam sesi di pejabat saya hari ini, saya telah mendengar beberapa cadangan penambahbaikan ekosistem industri teksi termasuk bagi memastikan kebajikan sekitar 40,000 pemandu teksi di seluruh Malaysia terus dipelihara.
Saya telah memberikan komitmen supaya cadangan yang telah dikemukakan ini akan disemak dan diteliti oleh kerajaan agar satu pendekatan yang lebih adil dapat dilaksanakan dalam memastikan kelestarian industri teksi.
“Didoakan agar usaha yang dirancang ini mampu meningkatkan taraf hidup pemain industri teksi dan mutu perkhidmatan teksi kelak, Insya-Allah,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
— BERNAMA




TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS KESYUKURAN SEMPENA SETAHUN PENTADBIRAN KERAJAAN MADANI
23 NOVEMBER 2023 (KHAMIS)
DEWAN SERI SIANTAN,
KOMPLEKS PERBADANAN PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.
Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.
Wa kafa billahi syahida.
Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Saudara YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri;
Menteri-menteri;
YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah, pertamanya kita mengatur syukur kepada Allah SWT, dan bersama-sama bermunajat kepadaNya pada malam ini. Kedua, menambah ikhtiar supaya dapat meneruskan usaha mengangkat martabat umat dan negara yang sesungguhnya kesyukuran itu adalah langkah awal untuk kita meneruskan pengembaraan hidup, Wa iz ta azzana Rabbukum la’in shakartum la azeedannakum wa la’in kafartum inna ‘azaabee lashadeed iaitu Allah memerintahkan supaya kita sentiasa mengingati dan bersyukur atas kenikmatan, kesihatan dan keamanan yang Allah kurniakan kerana mengingkari kesyukuran itu akan mengundang azab yang pedih.
- Kesempatan malam ini saya menzahirkan jazakumullah khairan katsiran kepada imam dan jawatankuasa yang telah membantu menganjurkan majlis ini dan yang turut mendoakan kesejahteraan dan keamanan bagi rakan-rakan kita yang mengalami ujian yang besar, dihina dan dikhianati oleh musuh yang menjadi tunggak pemerintah zalim Israel.
- Saya ingin mulakan dengan menyatakan tentang situasi dunia antarabangsa. Ini merupakan zaman yang kelam dan muram bagi umat Islam kerana seluruh dunia dengan kekuatan dan pengaruh media sosial dapat menyaksikan bagaimana kejam dan ganas serta hilang pertimbangan dan peri kemanusiaan bukan sahaja Israel tetapi dengan dukungan kuasa-kuasa besar lain yang sudah hilang martabat dan maruah kemanusiaannya.
- Seperti mana yang banyak dikupas, tidak mungkin kekuatan Israel sahaja yang dapat meneruskan keganasan tanpa dukungan beberapa kuasa dunia barat lain. Maka, apa yang kita pelajari dan alami dahulu tentang sejarah penjajah dan imperialisme yang kemudian membuka ruang tentang sikap yang disebut pertamanya, orientalisme dan kemudian Islamophobia itu ternyata sangat menebal dalam pemikiran dunia barat.
- Di beberapa tempat lain kita telah berhujah tentang bagaimana usaha itu diteruskan dari zaman penjajahan lagi seperti mana yang kita tahu nota yang ditulis oleh Stamford Raffles di Singapura tatkala mengemukakan minit tentang pendidikan Melayu untuk Tanah Melayu, seperti mana juga Lord Cromer di Mesir dan Macaulay di India iaitu andai kata terdapat kebebasan sekalipun, pemikiran captive mind terjajah itu masih mengekal.
- Seperti juga Dr. Christiaan Snouck Hurgronje, pengkaji Islam Belanda terkemuka yang menulis Mekka in the Latter Part of the 19th Century dan juga The Achehnese. Dengan kefahaman Islam beliau telah merangka bagaimana penjajah Belanda boleh memperkenalkan satu dasar yang boleh memukau inteligensia Indonesia supaya terus kekal kagum dan terpesona dengan fahaman barat lalu meremehkan budaya sendiri dan menghilangkan keyakinan terhadap kekuatan dan keupayaan Islam itu sendiri.
- Bagi kita yang mengikuti perkembangan sejarah pemikiran kolonial, tidak menghairankan kalau ada sebahagian daripada rakan-rakan kita masih terbelenggu dalam pemikiran yang sama. Saya tidak berniat untuk mengupas soal sejarah pemikiran kolonial yang pernah dikupas oleh Edward W. Said dalam Orientalism yang memekarkan kefahaman Islamophobia sama ada di barat ataupun saki-baki mereka di negara-negara yang sudah merdeka. Tetapi inilah natijahnya. Apabila kita merdeka, memaknai kemerdekaan itu bererti bukan sahaja menyingkirkan kuasa penjajah dari negara kita tetapi membebaskan wilayah pemikiran dan jiwa kita. Ini yang disebut oleh Syeikh Muhamad Sl Ghazali sebagai isti’mar ruhi wa fikri, bahawa kemerdekaan yang sebenarnya ialah memerdekakan kita daripada pemikiran dan jiwa penjajahan.
- Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam sejarah Islam dan kebudayaan Melayu menyebut tentang kekuatan Islam sebenarnya adalah memerdekakan berdasarkan tradisi aqliah, akhlak dan jiwa serta pemikiran malah beliau menyebut umpama rupa dan jiwa. Ini di antara hal yang terus dikupas oleh para sarjana. Manakala kita dalam negara MADANI ini perlu meneruskan usaha membebas dan memerdekakan pemikiran kita walaupun kita masih berdepan dengan pemikiran barat yang masih menebal.
- Kita tidak mempertikaikan soal kemanusiaan, universalisme, demokrasi atau hak asasi yang dibicarakan. Sebaliknya yang kita pertikai adalah semua istilah-istilah yang memukau, yang tidak diamalkan, kerana perbezaan layanan bila berbicara soal hak kemanusiaan dan hak asasi di barat adalah berbeza dengan apa yang berlaku di dunia Islam.
- Oleh yang demikian, saya memulakan dengan meminta supaya kita memerdekakan diri dan jiwa kita daripada pengaruh dan saki-baki itu dan kalau kita mahu menjadikan negara ini negara MADANI maka kita mesti mengangkat martabat supaya menjadi manusia yang memaknai kemerdekaan dari konteks rupa dan jiwa.
- Dalam seminggu dua ini, saya membicarakan soal yang disebut oleh Almarhum Malek Bennabi tentang inner struggle of conscience iaitu kemerdekaan dan jiwa merdeka itu mestilah dari hati pancaran nurani dan sanubari kita, barulah ia memberikan makna. Bukan sahaja menciplak tetapi mampu menyaringi secara bijak, secara hikmah dari segi pancaran keyakinan kita sendiri.
- Beberapa hari yang lalu, di Francisco, saya berkesempatan mewakili rakyat Malaysia menerima undangan dari Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. Semua Ketua-ketua negara Asia-Pasifik hadir, maka kita turut hadir membicarakan soal perkembangan dan pertumbuhan ekonomi. Tetapi dalam beberapa kesempatan, dalam sidang, saya menyatakan pendirian kita bahawa Malaysia harus juga mengambil kesempatan mengajak pelabur supaya dapat kita angkat martabat ekonomi negara kita.
- Perbincangan hal-hal lain penting tetapi asas pertumbuhan ekonomi sangat penting untuk menjamin pekerjaan bagi anak kita, menjamin keselesaan hidup rakyat dan kita perlu pelaburan domestik dan pelaburan luar. Alhamdulillah, kita turut mendapat sambutan selain dari negara China, Eropah khususnya Jerman, juga daripada Amerika Syarikat.
- Sungguhpun begitu, tidak harus dikaburi mata kita dan mengalih pandangan daripada isu kemanusiaan. Maka kita sebut di situ perihal yang berlaku di Gaza. Bagi rakyat Palestin adalah hal yang bukan sahaja memedihkan dan dalam beberapa hal membingungkan kerana orang membicarakan soal kemanusiaan, hak asasi dan kemerdekaan itu hanya terpakai untuk satu kelompok.
- Maka saya olah, Malaysia harus kekal sebagai negara yang merdeka dan mengungkapkan mengikut keupayaan kita tentang hal-hal yang perlu kita sampaikan. Syukur alhamdulillah, dari awal apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong menitahkan supaya membentuk Kerajaan Perpaduan, mempersatukan semua kekuatan dan mengetepikan pertempuran politik lama untuk menyelamatkan Negara. Ada yang memilih untuk menangguhkan, ada yang memilih untuk menolak dan kami alhamdulillah memilih untuk menerima baik ihsan dan kebijaksanaan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang juga telah berunding dengan Raja-raja Melayu, tidak memihak kepada sesiapa tetapi hanya memberi perintah yang jelas untuk menyelamatkan negara.
- Wa’tasimu bihablillahi jami’an wa-la tafarraqu – pegang semangat perpaduan dengan tali Allah dan jangan berpecah belah. Kalaupun ada permusuhan lama, memang tidak mungkin saya nafikan pertempuran politik yang panjang itu ada, tetapi haruslah dalam konteks itu, faaslihoo bayna akhawaykum (Al Hujurat Ayat 10) untuk sedia memulakan babak baharu dengan memaafkan asalkan kita membawa hala tuju yang baik.
- Mandat inilah yang saya pikul tatkala diberikan kesempatan berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat dan pimpinan Amerika serta semua ketua-ketua negara lain termasuk Presiden Xi Jinping dari negara China, ASEAN, Australia, Mexico dan Chile. Saya sampaikan ucapan terima kasih atas undangan kepada Presiden Joe Biden dan saya usul untuk terus bekerjasama dalam isu perdagangan dan ekonomi.
- Selain itu, saya mengucapkan terima kasih atas kebijaksanaan beliau mendukung semangat kerjasama dan mempertahankan prinsip hak asasi manusia, dan semangat demokrasi. Saya turut bertanya, mengapa menuntut semua pihak menghukum Rusia kerana menakluki sebahagian daripada wilayah majoriti penduduk Rusia di Ukraine dan menyatakan itu sebagai keganasan, penganiayaan, kezaliman tetapi membisu apabila rakyat Palestin khususnya di Gaza ditindas, dicerobohi, dikhianati. dibunuh, dihina dan dirampas hak mereka?
- Saya terpaksa lakukan begitu kerana saya mewakili semangat rakyat Malaysia. Ada orang kata, hebat Anwar kerana berani bercakap begitu, saya jawab saya berani kerana saya tahu rakyat Malaysia menuntut pimpinan yang menyuarakan kebenaran dan keadilan.
- Saya menyatakan Amerika Syarikat itu sebagai negara kukuh dan besar yang mendukung perjuangan dan kekuatan Israel, harus bertindak segera menghentikan dan saya sebut “end the aggression and stop it now” kerana menangguhkan hanya satu hari lagi bermakna masih ramai yang terbunuh dan terkorban.
- Saya sengaja singkap pengalaman ini beberapa hari yang lalu kerana saya tahu tidak mungkin saya mempunyai keberanian begitu rupa kalau tidak dengan dukungan dan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia baik Islam dan bukan Islam yang mempertahankan prinsip kerukunan hidup damai dan prinsip kemanusiaan.
- Di Parlimen semalam, sejurus selepas pulang dari San Francisco, dalam jawapan soal jawab Perdana Menteri, saya sebut berkenaan isu ini dengan menyentuh dan menyinggung perasaan umat Islam tetapi isu ini juga turut mengorbankan ramai rakyat Kristian termasuk tujuh (7) gereja yang dihancur leburkan oleh tentera Yahudi Israel.
- Oleh itu, bagi Malaysia, kita mengajak rakan-rakan kita yang Islam dan bukan Islam untuk melihat ini sebagai isu kemanusiaan dan kezaliman yang harus didukung oleh semua rakyat Malaysia sama ada Islam mahupun bukan Islam.
Saudara-saudara,
- Kita bersyukur kerana setelah terbentuk Kerajaan Perpaduan yang didukung bukan sahaja oleh Pakatan Harapan, Keadilan, DAP dan Amanah tetapi juga oleh UMNO dan Barisan Nasional di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi yang memberikan komitmen dan dukungan yang kukuh supaya terbentuk Kerajaan yang kukuh, bersatu padu dan boleh mengangkat martabat rakyat dan negara ini.
- Selain itu, Premier Abang Johari dan GPS juga memberikan dukungan secara tuntas sejak awal tertubuh sehingga sekarang, memberikan pandangan bahawa negara ini harus diselamatkan dan tumpu untuk membangunkan ekonomi serta menyelamatkan negara ini daripada penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan.
- Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor mengambil sikap yang sedemikian dan sehingga kini kekuatan kita, yang menentukan kedudukan dan kuasa politik negara ini ialah suara majoriti di Parlimen dan alhamdulillah hari ini dengan dukungan kepada Kerajaan MADANI melebihi dua pertiga di antara yang terkuat.
- Soalan berikutnya yang ditanya, setelah satu tahun, walaupun beberapa bulan terdapat gelombang kerana sentiasa dihantui oleh katanya kemungkinan untuk dijatuhkan tetapi alhamdulillah Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri kita dan Kerajaan-kerajaan negeri yang bersama-sama sebagai satu pasukan telah bekerja merangka, pertamanya ekonomi MADANI, keduanya transisi tenaga, ketiganya, Pelan Induk Perindustrian, transformasi digital dan mendasari semua ini, semua hal-hal yang mendesak dalam negara tetapi kita tidak pernah meninggalkan kerangka dasar MADANI kerana sementara kemampanan ekonomi itu penting, transisi negara itu penting, transformasi digital juga mendesak, soal nilai, akhlak dan jati diri itu harus kita terapkan.
- Ini yang membezakan kita dalam MADANI ini dengan pemahaman pertumbuhan dan kemampanan yang difahami oleh banyak negara dan banyak teori politik. Negara ini harus kekal dengan dasar, nilai dan akhlak yang terikat dengan tradisi dan budaya serta rasa bangga dengan kekuatan dalaman kita sementara menggapai ilmu dan disiplin baharu.
- Ini yang kita katakan menggapai ke langit dengan teknologi, industri, artificial intelligence, transformasi digital, tenaga baharu dan menerima kenyataan bahawa menggapai ke langit tanpa pernah melupakan bahawa kita harus mengakar ke bumi. Inilah kekuatan kita dalam MADANI.
- Kita tidak hanya menggapai langit untuk menuntut perubahan teknologi dan sebagainya tetapi meninggalkan akhlak dan nilai, kita tidak boleh ketepikan kelemahan-kelemahan yang ada dan harus segera perbaiki.
- Apakah kelemahan-kelemahan ini? Di beberapa tempat, saya ulas bahawa mengikut salah satu kajian yang sangat mendalam dan kukuh yang dibuat oleh Boston Consulting Group (BCG) iaitu kajian kedudukan Malaysia selama 20 tahun lalu. Kajian itu meliputi pertumbuhan pelaburan, kesihatan, pendidikan dan semua prasarana, bukan sahaja pertumbuhan dan ekonomi yang disebut Sustainable Economic Development Assessment (SEDA). Sustainable itu kerana merangkul semua aspek penilaian sama ada kekuatan dalam negara kita.
- Jawabnya ya, asas kita kukuh tetapi dari tahun sekitar 2000 sehingga 2020 selama 20 tahun, kekuatan ini tidak berkembang dan dilihat dari SEDA, kita kalah dalam persaingan dengan Vietnam, Singapura malah Indonesia. Oleh kerana kekuatan asal kita, treshold itu agak kukuh, maka ada dalam beberapa bidang mereka belum dapat melangkau dan mengatasi kekuatan kita tetapi ternyata selama 20 tahun kajian SEDA, tidak ada perkembangan yang membanggakan, apatah lagi menakjubkan.
- Maka inilah cabaran kita dalam setahun, konsolidasi menguatkan dan merangka beberapa kekuatan, menyelesaikan masalah asas rakyat termasuk pendidikan dan sekolah daif, kemudahan kesihatannya, prasarana asas seperti rumah-rumah polis dan tenteranya, kelengkapan kawasan perbatasan, sektor keselamatan, semua itu dirangka. Terdapat banyak kelompongan dan kelemahan dan kelemahan yang agak ketara itu ialah kelemahan tatakelola.
- Memang ramai rakan-rakan di sebelah sana yang rasa jemu atau mual, orang Kedah kata cemuih mendengar mengenai tatakelola dan rasuah seolah-olah dua istilah ini cukup menakutkan mereka tetapi percayalah, Malaysia ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk dapat mengangkat atau diangkat martabatnya kalau kita membetulkan isu tatakelola dan kita menghentikan amalan rasuah dalam negara kita.
- Alhamdulillah, rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan pimpinan dalam Perpaduan sepakat untuk menyatakan apa yang berlaku dahulu adalah sejarah lampau. Ada yang kuat, membanggakan dan ada juga yang mengaibkan. Tetapi alhamdulillah sepanjang satu tahun ini, pemantauan melalui SPRM saya bangga dengan keputusan-keputasan yang diperolehi, proses-proses pengurusan dan kewangan mengikut tatakelola, mengikut tender. Saya juga memberi amaran yang keras kepada pimpinan, tidak boleh guna kuasa untuk memperkayakan diri dan keluarga mereka.
- Alhamdulillah, sekadar rekod seminggu yang lalu, laporan dari SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, pimpinan kita dapat mempertahankan supaya menghentikan amalan rasuah dan salah guna kuasa.
- Akan tetapi, masalah ini belum selesai seluruhnya kerana kecurangan-kecurangan ini masih berlaku dan kita harus gempur dengan segala kekuatan yang ada dan saya mohon kerjasama untuk kita melangkah ke depan ini, selain membetulkan pelaksanaan awal, kenal pasti mana arah tuju kita? saya jawab, tahun pertama kita mengemudi bahtera ini pada awalnya sedikit terumbang-ambing tetapi alhamdulillah dengan dasar yang jelas menyelesaikan masalah-masalah asas rakyat, cukup satu tahun maknanya percayalah, dengan mandat yang ada tahun ini, kita akan mula dengan lebih tegas dan lebih jelas untuk membangunkan ekonomi negara dan keras menghadapi sebarang tentangan, rintangan atau percubaan merosakkan sendi negara kita dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
- Maknanya pada tahun ini percayalah, insya Allah dengan semangat yang ditunjukkan oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan, kita akan memulakan satu corak yang lebih tegas dan pantas untuk mengemudi negara ini dengan lebih baik daripada apa yang kita capai dalam tahun yang lalu, itu yang pertama.
- Yang kedua, saya ingin sentuh di sini ialah kesediaan kita untuk membentuk satu negara yang benar-benar bersatu. Kita tidak boleh menjamin masa depan kita dengan selamat dengan negeri-negeri dari Perlis, sampailah ke Sabah dan Sarawak, dengan kaum dan fahaman agama yang berbeza, tidak mungkin negara ini selamat kalau kita izinkan fahaman perkauman yang sempit, memusuhi satu sama lain, fahaman agama yang cuba digunakan untuk menghukum orang sewenang-wenangnya dan menanam bibit kebencian tanpa hikmah, tanpa hasanah yang terus menular dalam kalangan kita.
Saudara-saudara,
- Melihat apa yang sering berlaku di media sosial itu gejala menghukum orang, membunuh orang itu perkara biasa dan apakah negara ini boleh selamat kalau kita izinkan hal ini berlaku? Tidak belajarkah daripada pengalaman negara-negara lain, kita lihat di beberapa negara Arab, Afghanistan dan Rwanda berkecamuk kerana permusuhan antara kaum dan agama. Bukan suatu masalah atau halangan bagi negara ini untuk mengangkat martabat Islam, Tidak ada masalah untuk memartabatkan budaya dan kehebatan tamadun Melayu tetapi jangan sesekali menggunakan ini untuk menimbulkan perpecahan di kalangan kita.
- Negara ini memang majoritinya Islam dan Melayu. Negara ini menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan. Negara ini menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi walaupun di Sarawak dan di Sabah di izinkan penggunaan rasmi Bahasa Inggeris sejak awal kemerdekaan. Negara ini menetapkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja raja Melayu. Hal ini, perkara-perkara ini bukan untuk dirundingkan, tetapi perkara ini menjadi beberapa peraturan keramat dalam perlembagaan dan harus dan wajib dipertahankan.
- Seperti mana yang kita tahu, perdebatan semalam di Parlimen sebagai contoh sahaja, isu Mahkamah Persekutuan dengan undang-undang Islam Negeri Selangor 2021 dan Kelantan 2022, Mahkamah Persekutuan memutuskan pada tahun 2021 bahawa, keputusan Dewan Undangan Negeri, pindaan yang dibuat itu tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. Yang dipertikai oleh Mahkamah Persekutuan itu bukan hukum Syariah tetapi peraturan undang-undang negeri yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Apa ada bantahan masa itu oleh parti-parti politik? tidak ada. Ada tunjuk perasaan? tidak ada. Ada disuarakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang dan beberapa Menteri pada masa itu? tidak ada. Bila? 2021. Pada 20 Mei 2022, Mahkamah memutuskan untuk menetapkan tarikh bantahan daripada beberapa peguam di Kelantan terhadap undang-undang Kelantan, bukan terhadap kandungan undang-undang itu tetapi terhadap proses kelulusan yang dibuat yang pada pendapat mereka bertentangan dengan perlembagaan.
- Perlembagaan Mahkamah Persekutuan, Ketua Hakim Negara menyuarakan pandangan mengatakan keputusan yang bakal dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu tidak berkaitan dengan kandungan syariah tetapi ada undang-undang diberi pinda diperkenalkan di Kelantan itu adakah selari dengan perlembagaan.
- Namun, apa yang disuarakan di luar? Bahawa Kerajaan ini cuba mempertikaikan syariah. Keputusan itu sudah dibuat tahun 2021, itu tidak ada kena mengena dengan saya atau Kerajaan sekarang. Pada Mei 2022, bukan Anwar Ibrahim Perdana Menterinya bukan YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji. Mohd Na’im Mokhtar itu Menteri agama bukan Fadhilah, Timbalan Perdana Menteri.
- Adakah saya salahkan mereka? Tidak tetapi jangan salahkan kita isu ini, tunggu keputusan Mahkamah Persekutuan. Apa keputusan kita? pada bulan Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor yang mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan saya Timbalan Pengerusi serta anggotanya termasuk YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji. Mohd Na’im Mokhtar dan sekretariatnya JAKIM mengemukakan pandangan untuk menyelesaikan masalah ini, kita wujudkan jawatankuasa yang terdiri daripada badan-badan perundangan, pakar undang-undang, orang lama yang pakar hukum Islam mengkaji bagaimana boleh kita pinda supaya memberi sedikit kuasa tambahan di negeri dan juga Persekutuan. Itu telah diputuskan. Siapa yang putuskan? Kerajaan Perpaduan. Apakah ini diputuskan sebelumnya? Tidak. Siapa yang dihukum? Kita. Siapa yang dikatakan menentang Syariah? Kita.
- Sebab itu kita harus terikat dengan fakta. Jangan melakukan tuduhan semberono, sebarangan dan menghukum sewenang wenang. Negeri-negeri tidak boleh membuat pindaan sewenang-wenang. Kalau tidak Kelantan dan undang-undang lain, Sarawak ada undang-undang lain, Pulau Pinang ada undang-undang lain, Sebab itu peranan JAKIM sebagai sekretariat dan MKI ialah menyeragamkan undang-undang ini dan mengambil kira juga hak orang Islam dan hak orang bukan Islam. Orang bukan Islam jangan tuntut kerana pelaksanaan Islam itu tidak boleh ke atas orang Islam. Orang Islam juga jangan paksa Islam dan syariah itu kepada bukan Islam. Itu kefahaman kita daripada awal.
- Siapa yang kemukakan pindaan yang paling kukuh dalam sejarah kita tentang kuasa mahkamah Syariah? Itu perkara 121(1), pada tahun 80-an, saya mengemukakan dengan nasihat Ketua Setiausaha Negara pada masa itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Hashim bin Aman dan kerangka undang-undang yang dikemukakan oleh Allahyarham Emeritus Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim, Dekan Fakulti undang-undang Universiti Malaya kemudian kuliah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa. Mereka berbincang dan saya yakin kerana pada masa itu beberapa keputusan Mahkamah Syariah diketepikan oleh Mahkamah Sivil dan ia dianggap sewenang-wenang tidak adil kerana keputusan Mahkamah Syariah sama sekali tidak dipakai. Oleh itu, kita pinda menjadi 121(1A). Siapa yang kemukakan? Saya kemukakan kemudian dibentangkan di Parlimen dan diluluskan.
Saudara-saudara yang saya muliakan,
- Saya menjelaskan begini supaya negara kita ini lebih terkawal. Saya tidak mengatakan bahawa sentimen perkauman melampau ini kadang-kadang hanya di kalangan orang Melayu, tidak. Ada juga dalam kalangan yang bukan Islam yang kemudian menyindir saya, dia kata Anwar Ibrahim terlalu sibuk mempertahankan hak rakyat Palestin padahal nasib kami tidak terbela. Ini seolah-olah ada sekolah-sekolah bukan Melayu yang dibom, rumah-rumah yang dimusnahkan dan bayi yang dibunuh. Itu tidak ada. Jangan fikir begitu.
- Tanggungjawab kita menyuarakan. Dahulu semasa Nelson Mandela terseksa di bawah apartheid, pemimpin kita di antara yang cukup lantang termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj tetapi tidak bermakna dia tidak pedulikan nasib rakyat di sini. Tidak semua yang setuju kerana kadang-kadang ada yang tidak mengikuti perkembangan dan kadang-kadang ada pemikiran itu lebih putih daripada orang putih.
- Jadi bagi mereka tidak ada kesan Apartheid. Apartheid ini penguasaan orang kulit putih yang menghina dan menghambakan, menjadikan orang kulit hitam itu hamba, menafikan hak seperti mana yang dilakukan oleh Israel terhadap orang Palestin. Di Israel itu sendiri orang Islam tidak ada hak yang sama.
Saudara-saudara,
- Saya harap di kalangan bukan Islam juga harus menerima beberapa kenyataan ini. Ya, kita ada kelemahan kita yang belum diselesaikan. Ya, ada anak India yang cukup pintar yang kadang-kadang tidak mendapat tempat. Kemukakan pandangan dan kita tolong. Tetapi ratusan ribu anak Melayu juga yang pintar dan tidak mendapat kesempatan.
- Jadi harus fikir begini. Kita bersaing tetapi mana ada persaingan yang adil. Sekolah Kapit anak Iban atau Sekolah Kebangsaan di Manek Urai dengan sekolah di Kuala Lumpur itu sekolah-sekolah baik, mana mungkin ada persaingan yang adil.
- Pemikir undang-undang dan filasuf Amerika Syarikat bernama John Rawls, berkata “Justice itu bukannya equality tetapi justice itu fairness. Justice is fairness.” Maknanya kalau sekolah itu tidak ada komputer, tidak ada guru sains yang layak, katakanlah kawasan kapit tetapi umpamanya dan dengan sekolah terbaik, kemudian katanya competition based on meritocracy, we must be given. Saudara, sebab itu dalam dasar kita, kita bagi peluang kepada sekolah dari pedalaman dan luar bandar, anak-anak Melayu majoriti, bagi mereka peluang tambahan kemudahan dan latihan walaupun keputusannya kurang baik.
- Kita semua pernah ke sekolah. Ada sahabat kita yang pintar tetapi tidak sampai ke sekolah terbaik. Jadi saya mengambil kesempatan ini menunjukkan apa arah kita untuk masa depan. Ini semua perlu dijelaskan kerana kita tidak mampu untuk fokus kepada soal ekonomi dan TVET serta energy transition kalau kita hanya simpang siur dengan politik usang zaman silam. Asyik berfikir soal kaum yang sempit padahal tumpulah perhatian kita dengan membaiki kedudukan di sekolah, kemudahan kesihatan, prasarana asas, membina universiti dan pusat pendidikan, memperkenalkan disiplin-disiplin baharu supaya dapat menambah keupayaan latihan yang cukup baik, untuk menjamin pekerjaan yang lebih baik.
- Pagi tadi umpamanya, kita berbicara soal Institut latihan dan TVET. Apa yang kita tekankan adalah menambah mutu mereka. Saudara, 97% daripada lulusan TVET telah mendapat pekerjaan, Alhamdulillah. Akan tetapi, gaji mereka rata-rata hanyalah RM 2,000, tidak mencukupi. Apa yang perlu kita lakukan? Tingkatkan mutu latihan mereka. Sebentar tadi Ketua Pengurus PETRONAS telah berjumpa dengan saya, beberapa cadangan umpamanya di Sarawak itu yang gunakan adalah latihan bagi welding. Beliau mengatakan jika selesai latihan itu, minima gaji-gaji mereka adalah RM3500, biasanya RM4000 hingga RM4500 dan terdapat beberapa latihan yang tidak cukup jentera.
- Jadi saudara, tumpuan kita itu adalah Institut Latihan Industri (TVET) yang patut kita tingkatkan untuk memenuhi keperluan industri yang lebih canggih dan baru. YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin ada di sini, kita telah memperkenalkan Fakulti Artificial Intelligence di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
- Apa masalah dalam Pendidikan? YB Puan Fadhlina Binti Sidek ada di sini. Mutu pendidikan, sekarang ini kita membicarakan tentang mutu pendidikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang mesti dikuasai tanpa tolak ansur oleh semua pelajar tetapi kita harus cuba memikirkan kaedah-kaedah baharu untuk meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris. Jadi mulai tahun hadapan, mutu penguasaan bahasa Inggeris harus ditingkatkan selain daripada mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu.
- Jangan dipertikai lagi seolah-olah dengan memberikan keutamaan dalam bahasa Inggeris, kita meninggalkan bahasa Melayu. Tidak. saya jelaskan, kalau mahu negara ini terangkat keupayaan ekonomi dan kemajuannya, bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu dan bahasa utama yang dikuasai dengan baik oleh semua rakyat Malaysia termasuk di sekolah-sekolah swasta, sekolah-sekolah internasional. Kalau anak itu anak Malaysia mesti dan wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik.
- Di samping itu, semua anak-anak kita terutama di Sekolah Kebangsaan Mesti ditekankan penambahan supaya penguasaan bahasa Inggeris jauh lebih baik daripada sekarang. Semua negara maju sekarang mula memberi penekanan tentang sekurang-kurangnya dwibahasa. Jadi jangan kita pandang ringan hal ini.
- Kemudian saya sebut tadi soal latihan. Pada tahun ini, kita mendapat sambutan pelaburan yang luar biasa. Saya sebut syarikat Jerman yang buat cip mikro komputer terkemuka di dunia memutuskan untuk melabur jumlah terbesar luar daripada Jerman dengan jumlahnya sebanyak RM25 bilion di Malaysia.
- Kalau dulunya pelaburan cip mikro komputer ini untuk back-end, maknanya untuk teknologi yang peringkat rendah, keputusan mereka sekarang menjadikan Malaysia pusat pelaburan terbesar di luar Jerman dengan front-end, maknanya cip mikro tahap yang paling canggih.
- Oleh itu, kita harus melatih anak-anak kita yang ada lulusan TVET, jurutera dan lain-lain dalam bidang Matematik, Sains, Teknologi serta Digital supaya dapat memenuhi keperluan syarikat itu. Kalau tidak, kita akan mengambil kepakaran daripada negara asing.
- Geely-Proton telah memulakan dan mengembangkan kegiatan di Tanjung malim. Pusat automotif yang dikatakan Automotive City, antara projek besar yang lain daripada negara China, memerlukan puluh ribu lulusan TVET dan jurutera. Maka tumpuan kita adalah meningkatkan mutu latihan kita, dan sekarang sudah semakin baik.
- Meskipun dahulu ada yang memperkatakan mutu pendidikan kita terbaik tetapi saya tidak hairan dengan itu semua. Perbandingan dengan dunia di nombor 3 atau nombor 10, itu saya tidak peduli. Apa yang saya tekankan adalah tugas Kementerian-kementerian ini mesti ditingkatkan untuk mencapai kualiti yang lebih baik daripada sekarang supaya semua industri ini akan memanfaatkan kekuatan pelatih dari lulusan Malaysia sendiri. Maknanya kita ada kekurangan dalam bidang kemahiran itu.
Saudara-saudara,
- Semalam saya ke MIMOS kerana kita mahu MIMOS menjadi seperti mana pusat-pusat sains yang lain, pusat-pusat penyelidikan universiti untuk mula diberikan dukungan dan sokongan supaya dapat meningkatkan keupayaan mereka. Saudara Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution, dia sudah renung tengok bila saya nak sebut soal keselamatan dan Dalam Negeri itu sudah arif.
- Kita tahu bahawa semua ini tidak akan bermakna – mutu pendidikan, mutu kesihatan, bahasa kalau negara kita tidak terjamin selamat dan aman daripada pencerobohan asing, menjaga dan mengawal sempadan ataupun pengkhianatan dan jenayah dalam negeri. Maka tugas pasukan tentera dan polis selain badan-badan penguatkuasaan lain mesti kita tingkatkan.
- Sekali lagi, saya sebut di sini, ini secara saya lontarkan cambahan idea tentang tanggungjawab dan tumpuan kita untuk tahun depan dan tahun-tahun berikutnya.
Saudara-saudara,
- Kita harus tumpukan perkara ini tanpa terlalu banyak gangguan. Alhamdulillah politik kita stabil dan doalah supaya empat (4) tahun sehingga pilihan raya akan datang, tidak ada ganggu gugat lagi. Kita menjadi Perdana menteri atau Menteri-menteri ini bukan untuk memunggah kekayaan tetapi kita jadikan ini sebagai kesempatan yang sebaiknya untuk memikul amanah dan berkhidmat sedaya upaya kita dengan sebaik mungkin kerana kita yakin, kita mampu mengangkat martabat Malaysia sebagai negara hebat di rantau Asia.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




