PM ANWAR SEDIH MENYAKSIKAN PANTOMIN TRAGEDI BERDARAH LAHAD DATU
KUALA LUMPUR, 20 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak dapat menahan linangan air mata ketika menyaksikan persembahan pantomin yang mengimbau kenangan tragedi berdarah pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, 10 tahun lepas.
PM Anwar dilihat beberapa kali mengelap air mata sepanjang 30 minit pantomin itu yang dipersembahkan di Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini.
Pantomin itu dipersembahkan oleh 86 pegawai dan anggota polis dari 69 Komando (VAT 69), Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Am dan Muzium PDRM.
Ia dikoreografikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali.
Beberapa waris keluarga pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam tragedi berkenaan iaitu ASP Zulkifli Mamat dan Sjn Sabaruddin Daud, turut mengambil bahagian dalam persembahan pantomin insiden berdarah itu.
Suasana sekitar PULAPOL turut menjadi sebak seketika apabila empat waris insiden itu muncul pada pengakhiran persembahan yang diadakan untuk mengenang jasa pegawai dan anggota polis yang terkorban ketika tragedi itu.
Pantomin tu berkisar kepada peristiwa pertempuran berdarah di Kampung Tanduo yang menjadi detik hitam dalam sejarah Malaysia.
Pada Feb 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh, selain kematian 68 pengganas Sulu. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.
Terdahulu, PM Anwar bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada istiadat berkenaan sekitar pukul 8.40 pagi.
Istiadat itu juga melakar sejarah dengan keberangkatan buaqt julung kalinya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
— BERNAMA










BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA








PUTRAJAYA, 16 Mac — Menjaga akhlak, tidak mengejar kuasa dan kekayaan serta menegur secara berhemah perlu menjadi amalan seseorang pemimpin dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Seri Perdana malam ini, beliau berkata sesebuah tamadun perlu diperkukuh dengan adanya seorang pemimpin yang mempunyai nilai akhlak seumpama itu.
Perdana Menteri berkata beliau telah meneliti dan menghadam pesanan ulama Sheikh Profesor Dr Yusri Rusydi Al-Hasany yang berpesan bahawa tamadun akan runtuh sekiranya seseorang pemimpin gelojoh kuasa, kejar kekayaan, terlibat rasuah dan berhasad dengki.
Anwar berkata konsep Malaysia MADANI diperkenal bagi membina sebuah tamadun yang mempunyai nilai dan akhlak tinggi serta menitikberatkan aspek sama rata dalam memimpin sebuah negara dengan rakyat berbilang kaum.
“Benar, kita perlu ada teknologi yang canggih, sistem pendidikan dan kesihatan yang baik tetapi terasnya masih dengan nilai ini yang disebut MADANI,” katanya.
Pada 19 Jan lepas, Anwar memperkenal Konsep Malaysia MADANI yang berteraskan enam prinsip iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan Ihsan.
Majlis Ilmu MADANI itu dihadiri kira-kira 250 tetamu dari pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan badan bukan kerajaan antaranya Lembaga Tabung Haji, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia serta Pertubuhan Penggerak Dakwah Putrajaya.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum disusuli bacaan selawat serta zikir, tazkirah dan solat Isyak berjemaah.
— BERNAMA









TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN MRT LALUAN PUTRAJAYA
16 MAC 2023 | 4.30 PETANG
DEPOH MRT, SERDANG
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah. Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolil Kareem.
YB Anthony Loke Siew Fook
Menteri Pengangkutan
YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari
Menteri Besar Selangor
Duta Besar Republik Korea
Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri
YBhg Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim
Ketua Pegawai Eksekutif
MRT Corporation
Rakan-rakan dan semua yang terlibat.
- Saya berasa bangga kerana pagi ini kita dapat menyaksikan hasil satu projek pengangkutan awam. Projek ini tidak mungkin berhasil tanpa penyertaan semua kalangan yang bekerja bertungkus-lumus menyiapkan mengikut jadual agar dapat memenuhi maksud dan harapan kita untuk melengkapkan dan meneruskan projek mega ini.
- Saya sangat bersetuju dengan keutamaan yang diberikan oleh MRT Corporation dan Prasarana dalam melaksanakan projek pengangkutan awam ini. Saya juga bersetuju dengan gesaan Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke yang mana kita sedia maklum bahawa beliau sentiasa menyantuni rakyat dan beliau juga di antara menteri yang sentiasa dilihat cuba bersama menyelesaikan beberapa masalah rakyat, dan kerana dinamiknya beliau itu tentunya Menteri Kewangan akan memberikan perhatian lebih kepada tuntutan-tuntutannya.
- Saya imbas sedikit tentang Belanjawan Negara. Tahun ini kita tumpu sekolah dan kesihatan. Dengan kekangan kewangan, hutang begitu banyak dan defisit, tentu kita tidak boleh selesaikan semua masalah dalam masa singkat. Jadi untuk tahun ini kita akan ambil langkah-langkah yang sangat tegas dan berani dengan berbelanja yang jauh lebih tinggi untuk menyelesaikan masalah-masalah asas prasarana sekolah-sekolah daif seperti isu tandas di sekolah, kelengkapan-kelengkapan sekolah, klinik kesihatan dan kelengkapan perubatan. Sebab itu saudara lihat peningkatan yang agak mendadak bagi peruntukan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
- Ini tidak bermakna saya tidak beri perhatian kepada YB Datuk Tiong King Sing, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Sektor Pelancongan juga penting kerana dalam sebulan dua ini, saya telah dilaporkan bahawa kehadiran para pelancong lebih tinggi menerusi hasil pemantauan Jabatan Imigresen. Rentetan itu, terdapat keperluan untuk menambah pegawai Imigresen. Jadi, saudara Saifuddin dan KSN akan melihat perkara ini dan menumpukan kepada bidang-bidang yang dianggap mendesak dan perlu. Saya tidak bermaksud untuk meremehkan atau mengurangkan tekanan tentang aspek ini, tetapi dalam strategi yang kita ambil adalah mengikut kemampuan dan secara berperingkat tahun demi tahun.
- Sebab itu, selain daripada meningkatkan prestasi semua kementerian, saya mahu masalah sekolah di negara kita dan kemudahan kesihatan yang menyentuh kehidupan semua orang itu disegerakan. Tahun depan, seperti saya bayangkan kepada saudara Anthony Loke soal pengangkutan awam dengan kesesakan yang sebenarnya akan menyinggung soal produktiviti serta mengakibatkan produktiviti negara terjejas kerana kesesakan. Masa yang diambil untuk sampai ke tempat kerja itu adalah masa yang menyebabkan hilangnya produktiviti. Satu kajian yang menarik saya lihat di Bangkok beberapa tahun yang lalu, menunjukkan beberapa bilion dolar hilangan dari aspek produktiviti semata-mata kerana kesesakan yang parah. Jawapan kepada penyelesaian masalah ini adalah pengangkutan awam.
- Saya letakkan tanggungjawab kepada Kementerian Pengangkutan dan MRT Corporation untuk menetapkan apa keutamaan-keutamaan selain daripada laluan MRT Putrajaya yang kita luncurkan hari ini serta beberapa keperluan lain yang mendesak. Terkait dengan isu ini juga harus diberi keutamaan soal penyelenggaraannya yang harus lebih telus. Justeru, MRT Corporation dan Kementerian Kewangan telah menetapkan kaedah baru yang sangat telus sebelum meluluskan tender besar.
- Saya pergi mempengerusikan tanpa mengetahui syarikat-syarikat terlibat, yang saya tahu hanya A, B, C, dan D. Segala penilaian dan pengukuran kriteria dan keupayaan syarikat-syarikat seperti kewangan, rekod latar belakang, kapasiti dari segi teknologi, teknikal, kejuruteraan dan kebolehan dalam urusan umum dibincang dengan wakil Kementerian Pengangkutan dan lain-lain yang berkaitan. Kita hanya putuskan A atau B atau C atau D, kita tidak tahu syarikat mana.
- Kaedah ini menyebabkan kita boleh mengendalikan projek dengan lebih telus tanpa ketirisan, tanpa komisen dan rasuah dan dengan itu kos akan lebih kompetitif. Sebab itu dalam meluluskan semalam kita dapat perkenalkan satu kaedah yang sangat baik. Sebab apa saya tekankan begitu? Pengangkutan awam yang menjadi strategi ini akan menelan belanja yang sangat tinggi. Kos MRT laluan Putrajaya, kos RTS itu semuanya mencecah bilion ringgit. Tetapi kalau tidak diurus dengan baik dan telus ratusan juta itu akan bocor ke akaun lain. Sama ada akaun parti politik atau akaun perseorangan yang menyebabkan negara akan mengalami ketirisan.
- Tetapi kalau kita dapat jimatkan dengan pelaksanaan ketelusan, kita dapat bukan sahaja menyantuni tetapi memberi keselesaan kepada rakyat. Jadi ini ada kaitan dengan apa yang ditekankan dalam Kerajaan Perpaduan sekarang, iaitu konsep MADANI yang lebih telus serta penekanan soal good governance atau tatakelola. Saya tekankan ini kerana ia bukan sahaja perlu kepada orang politik tetapi juga penjawat awam yang sekarang dipantau secara lebih kemas oleh Tan Sri KSN serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan termasuk MRT Corporation yang harus dipantau dengan lebih teliti kerana kerosakan ketirisan ini tidak hanya melibatkan elit politik, tetapi juga aspek pengurusan di pelbagai peringkat.
- Sebab itu saya ucap terima kasih kerana telah memberikan suatu pendekatan bersama agar kita dapat menjamin ada ketelusan dan mengelak ketirisan serta kebocoran. Saya tekankan hal ini berulang kali kerana soal kerosakan sistem, kebocoran dan kerosakan ini telah menjadi sistemik, parah di semua peringkat dan sekiranya kita dapat jimat berdasarkan satu sistem perolehan yang lebih telus manfaatnya kepada rakyat.
- Kita ambil contoh Yayasan Al-Bukhari, praktis dahulu wang dari Tan Sri Syed Mokhtar itu masuk ke parti RM200 juta. Pendekatan kita sekarang menerusi aspirasi MADANI kita minta beliau serahkan RM60 juta kepada pesawah padi dan 30% keuntungan kepada pesawah padi termasuk petani, pesawah yang miskin di Kedah atau di utara Seberang Perai atau di Selangor. Kita mahu pilih satu sistem di mana wang daripada syarikat besar dialih daripada diberi kepada individu, tokoh-tokoh politik dan parti politik, sebaliknya wang tersebut diserah langsung kepada pesawah padi yang miskin. Ia tidak mudah kerana ada tokoh politik pembangkang yang menyerang saya kerana kononnya saya ini bertindak ke atas seorang pengusaha melayu yang berjaya. Saudara lihat, untuk bantu pesawah padi pun kita kena serang tetapi bila bantu ratus juta ringgit kepada parti politik cium tangannya. Inilah keadaan yang berlaku yang mesti kita usahakan supaya berlaku perubahan. Satu contoh yang memberikan gambaran tentang 2 dasar yang berbeda.
- Hari ini kita datang ke sini bagi meraikan suatu projek raksasa yang membanggakan kita dan memberi keselesaan kepada rakyat. Sekiranya projek ini dijalankan dengan telus, ini bermakna kita boleh manfaatkan kelebihan dana itu untuk di digunakan bagi pelaksanaan projek-projek kecil yang lain untuk memberikan kemudahan kepada rakyat.
- Saya ucap terima kasih sekali lagi kepada Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke yang kini sedang mempersiapkan satu kerangka dan strategi pengangkutan awam yang lebih menyeluruh yang akan dibentangkan kepada jemaah menteri. Saya berharap isu pengangkutan awam ini dapat ditangani dengan bijaksana demi meringankan beban rakyat.
- Saya setuju supaya mulai hari ini bermula jam 3 petang sehinggalah 31 Mac 2023 tiada sebarang bayaran akan kenakan bagi pengguna MRT laluan Putrajaya.
- Jadi YB Datuk Tiong King Sing boleh bawa pelancong-pelancong naik, pergi balik pergi balik tanpa dikenakan bayaran. Ini juga merupakan di antara tarikan pelancong. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kepada seluruh pasukan MRT Corporation, Prasarana Rapid Transport dan Kementerian Pengangkutan di atas komitmen dan kesungguhan merialisasikan projek ini sehingga siap.
- Dengan lafaz bismillah bismillahirrahmanirrahim. Saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran MRT laluan Putrajaya.
Terima kasih.
KUALA LUMPUR, 16 Mac — Pemerkasaan pengangkutan awam amat diperlukan dalam mengatasi kesesakan lalu lintas, yang dilihat telah menjejaskan produktiviti pekerja sekali gus merugikan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesesakan itu, menyebabkan golongan pekerja kehilangan banyak masa hanya untuk ke pejabat dan ia sangat merugikan.
“Soal pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas itu akan menimbulkan soal produktiviti (dan) produktiviti negara akan terjejas, kerana kesesakan masa yang diambil pekerja untuk ke tempat kerja. Satu kajian menarik yang saya lihat di Bangkok beberapa tahun lalu menunjukkan, beberapa bilion dolar hilang dari sudut produktiviti semata-mata kerana kesesakan yang parah.
“Sebab itu jawapannya apa?, jawapannya ialah pengangkutan awam… jadi MOT (Kementerian Pengangkutan) juga sedang siapkan satu kerangka dan strategi pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, dan akan dibentang pada Jemaah Menteri dan boleh dilaksana mengikut peringkat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran Transit Aliran Massa Fasa Dua (MRT2) Laluan Putrajaya di Depoh MRT Serdang, yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Anwar mahu setiap projek yang dilaksanakan mengutamakan aspek penyelenggaraan yang telus tanpa sebarang ketirisan dan rasuah, seterusnya membolehkan dapatan kos yang lebih kompetitif.
“Kenapa saya tekankan begini, kerana MOT dan aspek pengangkutan awam yang strategik akan menelan belanja yang tinggi, contohnya kos MRT laluan Putrajaya, kosnya cecah bilion ringgit.
“Tapi kalau diuruskan dengan baik dan telus, ia boleh dijimatkan dan kita boleh manfaatkan dana itu untuk membangunkan projek kecil yang lain,” katanya.
Beliau berkata penegasan itu selari dengan apa yang ditekankan oleh Kerajaan Perpaduan menerusi konsep Malaysia MADANI, yang mementingkan tadbir urus yang baik.
Sementara itu, Perdana Menteri ketika ditemui selepas mencuba laluan MRT laluan Putrajaya yang baharu, menzahirkan rasa berpuas hati dengan tahap pengurusan, pemantauan dan pengurusan kebersihan di sepanjang laluan berkenaan.
“Harap pengguna bagi kerjasama pastikan kebersihan dan penggunaan fasiliti dengan baik,” katanya.
— BERNAMA










KUALA LUMPUR, 15 Mac — Pejabat Perdana Menteri (PMO) memandang serius tindakan mana-mana pihak yang secara sengaja menyalahgunakan nama atau kedudukan pejabat itu bagi tujuan tertentu.
PMO dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab sekaligus memberi dampak negatif kepada kredibiliti Pejabat Perdana Menteri dan institusi Kerajaan.
“Justeru, pihak Pejabat Perdana Menteri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan perkara sedemikian,” menurut kenyataan itu.
– BERNAMA
