MALAYSIA-SINGAPURA BINCANG HUBUNGAN, KERJASAMA DUA HALA DI HAINAN – PM ANWAR
KUALA LUMPUR, 30 Mac — Hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Singapura, antara yang dibincangkan pada pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Hainan, China pagi ini.
Perkara itu dimaklumkan PM Anwar menerusi catatan di Facebook, di sini hari ini.
“Semoga hubungan akrab kedua-dua negara kian utuh dan subur. Insya-Allah,” katanya.
Pertemuan empat mata bersama Lee diadakan sebelum PM Anwar menghadiri Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023) di Hainan, China hari ini, yang merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri ke China.
Semalam, pesawat khas yang membawa PM Anwar mendarat di Lapangan Terbang antarabangsa Boao pada pukul 5.29 petang (waktu tempatan sama dengan waktu Malaysia).
Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam lawatan berkenaan.
— BERNAMA




KUALA LUMPUR, 29 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini berkata inisiatif tambahan baharu itu melibatkan bantuan Aidilfitri, melanjutkan pelepasan cukai individu dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
“Memandangkan keadaan hidup rakyat ini masih terasa… saya teliti mana kohort yang tidak peroleh manfaat sebelum ini, masih ada masalah terutama pada bulan Ramadan dan Aidilfitri.
“Maka saya bersetuju salurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sebanyak RM200 lagi, tambahan (kepada) apa yang telah diumumkan. Hal ini akan menelan belanja RM170 juta ringgit,” kata beliau.
Anwar berkata penambahan tersebut merupakan bantuan terbesar yang pernah diberikan kerajaan kepada golongan nelayan, pesawah dan pekebun kecil.
Dalam Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan dan RM200 sebulan untuk pesawah padi untuk tempoh tiga bulan semusim serta menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan kepada pekebun kecil getah.
Selain itu, pasukan sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba turut menerima ‘duit raya’ apabila kerajaan bersetuju memberikan sagu hati sebanyak RM300.
“Saya sebut tadi ada kategori tidak dapat manfaat sama, kategori ini ialah sukarelawan… Ia berbeza daripada pekerja tetap, polis bantuan itu tidak termasuk, tapi kategori sukarelawan ini 200,000 orang, sehubungan itu menjelang Aidilfitri ini maka saya setuju beri sagu hati kepada mereka RM300,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Anwar turut mengumumkan pelanjutan pelepasan cukai pendapatan individu, sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga 2024.
“Setelah mendengar keresahan disuarakan dan teguran kepada kerajaan (selepas pengumuman semalam), maka saya bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai SSPN ini. Cadangan ini melibatkan kehilangan hasil kerajaan sekitar RM250 juta setahun, namun memberi manfaat kepada sekitar 400,000 pembayar cukai,” katanya.
Semalam, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim berkata bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.
Anwar turut mengumumkan mulai 1 April tahun ini, kerajaan akan memperluaskan sasaran Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) terhadap golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap, bagi memiliki kediaman pertama yang memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40.
Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 24 Feb lepas, SJKP telah ditambah baik dengan meningkatkan dana jaminan pembiayaan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk membantu pembeli rumah kali pertama, terutamanya mereka yang tidak berpendapatan tetap.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan turut memberi keutamaan kepada pengisian jawatan perkhidmatan awam dalam sektor kritikal khususnya bidang kesihatan serta pendidikan dan hal ini dijangka melibatkan perbelanjaan tambahan sehingga RM800 juta ringgit untuk tahun ini.
Menurutnya Belanjawan 2023 termasuk inisiatif baharu ini adalah bukti komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membawa perubahan kepada negara Malaysia, selain bukti ketegasan kerajaan untuk menambah baik tadbir urus bagi menjamin menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Disebabkan tanggungjawab ini besar, Anwar berkata semua pihak perlu memainkan peranan bagi menjayakannya.
— BERNAMA
HAINAN (China), 28 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan tiba di sini esok bagi menghadiri Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) dan memulakan lawatan rasmi empat hari ke China.
Beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Boao International Airport petang esok, dengan diiringi oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Sebaik tiba beliau dijangka menghadiri majlis berbuka puasa bersama dengan kira-kira 70 anggota delegasi Malaysia yang mengambil bahagian dalam BFA 2023 di Hotel Boao Golden Coast.
Anwar kemudiannya dijadualkan menghadiri mesyuarat bersama dengan kepimpinan tertinggi syarikat China Communications Construction Company (CCCC), yang merupakan kontraktor projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pada Khamis pula Anwar dijadual menyampaikan ucapan di BFA 2023, yang juga akan dihadiri oleh Perdana Menteri China Li Qiang.
Pemimpin-pemimpin lain yang dijangka menghadiri persidangan tahunan itu ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez, Perdana Menteri Ivory Coast Patrick Achi dan Perdana Menteri Kazakhstan Alikhan Smailov.
Turut dijangka hadir ialah Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva.
Anwar kemudiannya dijadualkan berlepas ke Beijing untuk meneruskan lawatan rasminya ke China, yang merupakan lawatan antarabangsa ke sembilan sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 November lepas.
Hubungan diplomatik Malaysia dan China terjalin sejak 1974, dan terus berkembang dengan baik, dengan tahun lepas perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM876 bilion.
Dengan tema “Dunia Tanpa Kepastian: Perpaduan dan Kerjasama untuk Pembangunan di tengah Cabaran”, persidangan empat hari yang bermula hari ini akan berkisar kepada perbincangan serta rundingan berhubung pembangunan dan inklusif, keefisienan dan keselamatan, kerjasama serantau dan global, di samping perbincangan mengenai perkembangan berkaitan isu semasa dan akan datang dengan hasrat memupuk kerjasama antarabangsa dan menyepadu persepakatan.
Dibentuk pada tahun 2001 bagi menggalakkan integrasi ekonomi di rantau ini, agenda BFA tahun ini akan merangkumi empat modul, iaitu Pembangunan dan Keterangkuman; Kecekapan dan Keselamatan; Serantau dan Global; dan Masa Kini dan Masa Depan; dengan matlamat untuk menggalakkan perbincangan yang wajar mengenai hubungan bersama, kepentingan jangka pendek dan jangka panjang, menggalakkan kerjasama antarabangsa dan mengukuhkan konsensus.
— BERNAMA






PHNOM PENH, 27 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan lawatan rasmi sehari beliau ke Kemboja kerana berpeluang membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau serta antarabangsa dengan rakan sejawatannya Hun Sen.
Bercakap kepada media Malaysia di penghujung lawatannya, Anwar berkata beliau sangat menghargai jemputan rakan sejawatannya itu, seterusnya memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik yang terjalin sejak 66 tahun lepas.
“Dalam mesyuarat dua hala, Hun Sen turut mempelawa Malaysia supaya menggunakan produk buluh tempatan di sini, selain saya juga berpeluang berbuka puasa dengan 6,000 orang Islam di Kemboja dalam majlis yang dihoskan oleh Hun Sen.
“Saya juga berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan dari Malaysia di Kedutaan Malaysia di sini,” katanya.
Sementara itu Anwar berkata isu ketegangan di Myanmar yang dibangkitkan oleh Hun Sen lebih sesuai dibincang dan dirundingkan di peringkat ASEAN.
Menurutnya ini kerana isu di Myanmar itu adalah politik dalaman negara berkenaan, dan ASEAN merupakan platform terbaik untuk membincangkannya sebagai satu pasukan.
Anwar tiba di sini pagi tadi bagi memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan negara itu sejak 1957.

Sebaik tiba, Perdana Menteri dibawa ke Peace Palace di sini yang merupakan pejabat rasmi Perdana Menteri Kemboja untuk diberikan sambutan rasmi dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, diikuti acara lintas hormat diiringi Hun Sen.
Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa, disusuli dengan sidang media bersama untuk memaklumkan hasil perbincangan sebelum menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Kemboja.
MoU itu adalah mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi Sektor Domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi Sektor Formal yang akan memperkasakan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam sektor perburuhan.
Anwar turut menghadap Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat Kemboja Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja Heng Samrin.
Selepas bersolat Tarawih dan menyampaikan tazkirah ringkas di Masjid Al-Serkal, Anwar berlepas pulang ke tanah air.
— BERNAMA
PHNOM PENH, 27 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kemboja hari ini untuk lawatan rasmi sehari bagi memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan negara itu sejak 1957.
Lawatan rasmi dan sulung Anwar ke negara itu adalah atas undangan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.
Ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada 9.05 pagi waktu tempatan disambut Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam Datuk Dr Othsman Hassan selaku Menteri Pengiring mewakili kerajaan Kemboja.
Selain Sivakumar, lawatan Anwar itu turut diiiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Selepas tiba, perdana menteri dibawa ke Peace Palace di sini yang merupakan pejabat rasmi perdana menteri Kemboja untuk diberikan sambutan rasmi dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, diikuti acara lintas hormat diiringi Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.
Anwar dan Hun Sen kemudian akan mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa disusuli sidang media bersama untuk memaklumkan hasil perbincangan sebelum menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Kemboja.
MoU itu adalah mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Formal yang akan memperkasakan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam sektor perburuhan.
Selepas itu, Anwar akan menghadap Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja.
Perdana Menteri kemudian dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat Kemboja Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja Heng Samrin sebelum bertemu kira-kira 300 rakyat Malaysia di negara itu di Kedutaan Malaysia.
Dalam jadual yang padat itu, Perdana Menteri juga akan menghadiri majlis iftar khas yang dihoskan oleh Hun Sen bersama-sama golongan ilmuwan dan masyarakat Islam di Kemboja dengan kehadiran kira-kira 6,000 orang di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Chroy Changvar di sini.
Pada majlis itu, Anwar akan menyaksikan simbolik penyerahan 1,500 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Khmer dan bahasa Inggeris dari Malaysia kepada masyarakat Islam di Kemboja dan mengerjakan solat tarawih di Masjid Al-Serkal di sini sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Pada 2022, Kemboja merupakan rakan dagangan ke-58 terbesar Malaysia dan kelapan terbesar dalam ASEAN dengan nilai dagangan US$683.6 juta, peningkatan sebanyak 20.8 peratus berbanding yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Nilai eksport ke Kemboja pula meningkat sebanyak 15.3 peratus kepada US$526.5 juta manakala import dari Kemboja merekodkan peningkatan 43.5 peratus kepada US$157.1 juta berbanding tahun sebelumnya.
— BERNAMA









KUALA LUMPUR, 25 Mac — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Jemaah Menteri dan perwakilan asing di Istana Negara, di sini malam ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pulang daripada lawatan kerja rasmi ke Arab Saudi petang tadi, turut hadir pada majlis itu.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Antara Jemaah Menteri yang hadir ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta timbalan-timbalan menteri.
Individu kenamaan lain yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul serta Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.
Majlis itu turut dihadiri perwakilan asing antaranya dari Yaman, Turkiye, Arab Saudi, Syria, Jordan, Mesir, Senegal, Palestin, Bangladesh, Libya, India dan Brunei.
Seramai 15 penuntut dan seorang guru dari Pusat Tahfiz Darus Syabab Kepong turut menyertai majlis itu.
Seri Paduka berdua juga berkenan menunaikan solat fardu maghrib berjemaah bersama tetamu yang diimamkan Penolong Pegawai Agama Istana Negara Mohd Zuhairee Mohd Yatim di Surau Istana Negara.
— BERNAMA
