TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: KONVENSYEN NASIONAL KERAJAAN PERPADUAN 2023


 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah Nahmaduhu wa nusolli ‘ala rasoolil Kareem.

 

YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob

Menteri Besar Kelantan

 

YB Anthony Loke

Menteri Pengangkutan

 

YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Menteri Dalam Negeri

 

YB Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali

Ketua Setiausaha Negara


Rakan rakan dari syarikat yang terlibat dalam pembangunan ECRL, para pimpinan dan rakan-rakan yang hadir.

 

  1. Alhamdulillah, hari ini kita mencatat satu lagi sejarah, iaitu pelancaran satu projek besar dalam negara yang dinamakan ECRL. ECRL merupakan projek rasaksa yang melibatkan kerjasama penuh Kerajaan Negara China. Dalam rundingan saya dengan pimpinan Negara China baru-baru ini turut membincangkan tentang permasalahan kos tenaga kerja. Justeru, pelan pembangunan ECRL ini sangat penting. Pertama, aspek pengurusan dan keputusan keputusan projek-projek baru yang lain itu harus lebih telus mengikut peraturan-peraturan tatakelola yang ketat.

 

  1. Kedua, mengambil kira peluang penyelidikan R&D dan latihan kepada anak tempatan dan peluang-peluang kontrak yang sederhana atau kecil kepada syarikat-syarikat tempatan. Perkara ini akan ditekankan dalam projek-projek berikut dan saya suka cerita kerana perkara ini telah pun dipersetujui.

 

  1. ECRL ini akan menjadi pemangkin, pencetus perubahan pembangunan bagi negeri yang dianggap terpisah daripada perkembangan pusat pertumbuhan di Lembah Klang. Jadi, oleh itu saya tekankan apa yang dijelaskan oleh saudara Anthony Loke bahawa kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran harus juga bersama bukan sahaja memanfaatkan kemudahan ini tetapi mencari jalan dan kaedah baru bagaimana boleh mencetuskan perubahan melalui pelaburan baharu dengan menggunakan peluang yang ada melalui sistem pengangkutan. Bukan sahaja pengangkutan untuk orang ramai, rakyat tetapi juga pengangkutan dari segi bahan-bahan, pengeluaran, pertanian dan industri. Saya ucap terima kasih kepada saudara saya YAB Ustaz Haji Ahmad Bin Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri, seluruh jentera kerajaan negeri kerana mengikuti perkembangan dan liputan kemajuan peojek ini. Projek ECRL di negeri Kelantan telah mencatat satu rekod yang baik kerana kerjasama yang diberikan khususnya dalam proses pengambilan tanah begitu cepat dan efisyen.

 

  1. Saya begitu tertarik dengan pemilihan Tunjong yang menjadi kawasan tumpuan. Pertama, beberapa Pejabat Kerajaan Persekutuan dan Ibu Pejabat Kontijen Polis akan dibangunkan di sini. Ini akan memberi ruang dan kesempatan bagi daerah ini menjadi perhatian dan mudah-mudahan boleh dimanfaatkan hasil projek-projek pembangunan untuk pertumbuhan sosioekonomi masyarakat setempat kerana kalau kita lihat relatif negeri-negeri Pantai Timur sedikit ketinggalan.

 

  1. Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan terus bertekad untuk menambah peruntukan dan kemudahan kepada negeri-negeri khususnya Kelantan. Beberapa projek telah dikenalpasti untuk membantu membangunkan negeri Kelantan agar tidak ketinggalan dengan negeri-negeri lain. Saya akan menyebut beberapa keputusan baharu lebih daripada apa yang diumumkan dalam Belanjawan MADANI tahun lalu, khususnya projek projek yang saya percaya akan dapat membantu membangunkan negeri Kelantan.

 

  1. Selain itu, amat penting Menteri bagi kita untuk menetapkan kaedah tertentu dalam rangka dua (2) atau tiga (3) tahun sebelum siapnya perjalanan ECRL sepenuhnya. Mesti ada perancangan yang teliti untuk memastikan ada corak perubahan yang lebih ketara di Pantai Timur, khususnya di Kelantan kerana dalam perbincangan kita bersama pelabur-pelabur termasuk Negara China turut disebut tentang kurangnya perhatian diberikan kepada negeri Terengganu dan Kelantan. Jika menyebut soal pelabuhan, keretapi antara pengangkutan yang mudah untuk mengangkut barang-barang hasil pengeluaran dari Kelantan sama ada hasil pertanian ataupun industri.

 

  1. Jadi sebab itu kita harus ada beberapa tindakan segera yang lebih agresif untuk menarik pelabur dengan menjamin beberapa insentif baharu dan proses kelulusan yang lebih cepat. Antara perkara yang dikeluhkan dalam projek ECRL khususnya dari kalangan pelabur merupakan perkara yang sama dibangkitkan dalam rundingan bersama pihak Negara China baru-baru ini iaitu ease of doing Business. Insentif sudah ada, kemudahan sudah ada tetapi kecepatan kelulusan itu yang menjadi masalah kerana terlalu banyak kerenah dan perkara ini boleh diselesaikan sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai jalinan kerjasama yang lebih akrab sudah pasti akan dapat memudahkan segala urusan terlibat.

 

  1. ECRL sendiri telah melibatkan lebih 2100 syarikat tempatan dan ini termasuk syarikat kontrak perunding pembekal sejak 2017. Jadi, andaian yang mengatakan bahawa projek ini dimonopoli sepenuhnya dari Negara China tidak sepenuhnya benar walaupun sepertimana saya sebut tadi dalam rundingan kita dengan Kerajaan China dan syarikat-syarikat semua projek-projek baru kita hendak kekalkan supaya ruang dan peluang kerja sivil, kontrak dan konsultan dan lain-lain dapat diberikan kepada pekerja tempatan. Syarikat Geely umpamanya bersetuju supaya memberikan peluang latihan kepada anak tempatan termasuk anak Melayu. Pada peringkat awal mereka akan membawa 300 yang akan dilatih dalam bidang pengkhususan yang tidak diperolehi di sini.

 

  1. Pendekatan yang diambil oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan adalah lebih jelas dan lebih telus, terutama dalam meningkatkan kos yang munasabah agar tidak terlalu tinggi kerana ini akan melibatkan penambahan kos tambang. Justeru, perlu ambil kira walaupun kemudahan yang disediakan begitu cantik dan canggih, namun sekiranya kos terlalu tinggi tanpa kawalan mungkin akan membebankan rakyat. Sebab itu beberapa dasar yang kita teliti mengambil kira hal-hal yang sedemikian.

 

  1. Jadi, sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan penghargaan bukan sahaja kepada masyarakat di Tunjong tetapi juga di Kota Bharu, Kelantan. Ini adalah suatu berita baik, kerana bukan sahaja soal ECRL tetapi yang saya nak tekankan di sini ialah kesan sampingan ECRL. Saya juga telah serahkan kepada pimpinan pusat untuk mencari jalan dan peluang pelaburan. Sebagaimana saudara Anthony Loke tahu sewaktu lawatan kita di China baru-baru ini, kita sebut keupayaan negeri-negeri supaya mereka maklum bahawa banyak lagi peluang pelaburan ada di Malaysia dan bukan hanya tertumpu di Pantai Barat atau di Lembah Klang sahaja. Justeru, tindakan susulan harus diambil oleh Kerajaan Negeri atau pimpinan negeri. Saya percaya dengan kerjasama yang akrab di antara pimpinan Negeri dan pimpinan Persekutuan kita akan dapat melakansanakan pembangunan yang lebih merata dan lebih adil.

 

  1. Dengan lafaz bismillahirrahmannirrahim saya melancarkan projek pertama pembinaan stesen pertama ECRL Tunjong di Bandar Baharu Tunjong.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian.

 

LABUAN BAJO (Indonesia), 11 Mei — Malaysia berharap dapat meneroka kerjasama dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) dalam bidang tenaga dan perubahan iklim, terutama pembinaan keupayaan dan bantuan teknikal serta ekonomi hijau.

Hasrat itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Presiden ADB Masatsugu Asakawa di luar program Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 hari ini.

Menurut Anwar, pertemuan itu turut membincangkan kerangka perjanjian kerjasama yang melibatkan sektor swasta dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Asakawa pula menyatakan sokongan kepada sasaran Malaysia untuk menjadi negara bebas karbon menjelang 2050 dan menyatakan ADB akan menerbitkan laporan pelan tindakan mengenai perubahan iklim yang boleh Malaysia teroka peluang kerjasama.

Selain itu, beliau turut berpuas hati dengan kerjasama sedia ada antara Malaysia dan ADB dalam bidang bandar hijau, serta pembiayaan mampan dan hijau bagi perumahan untuk golongan berpendapatan rendah di Malaysia.

ADB juga berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan Malaysia melalui Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA).

Asakawa turut merakamkan penghargaan ke atas sumbangan Malaysia kepada Dana ADB selama ini.

— BERNAMA

LABUAN BAJO (Indonesia), 11 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira dengan kemajuan ketara dan daya tahan yang dicatatkan oleh Kawasan Pertumbuhan Asean Timur- Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA) meskipun berdepan halangan akibat daripada impak berpanjangan pandemik COVID-19.

Beliau berkata negara anggota memuji komitmen teguh pemain utama pelancongan BIMP-EAGA dalam menggiatkan semula industri melalui penyelesaian inovatif.

“Sumber tenaga lestari diiktiraf sebagai keutamaan dan pengupaya kritikal dalam peralihan tenaga bersih BIMP-EAGA, selain peranan penting teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam mencapai ekonomi digital,” katanya kepada media Malaysia selepas mempengerusikan Sidang Kemuncak BIMB-EAGA ke-15 bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, hari ini.

Anwar diiringi oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Rafizi dalam satu kenyataan berkata, prestasi ekonomi di rantau BIMB-EAGA melantun semula dengan kukuh apabila mencatatkan pertumbuhan tiga peratus pada 2021 berbanding penguncupan satu peratus pada 2020. 

Gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) BIMP-EAGA pada 2021 berjumlah US$358.6 bilion, berada di landasan untuk mencapai sasaran 20 peratus menjelang 2025 manakala jumlah perdagangan barangan meningkat sebanyak US$65.8 bilion pada 2022.

“Para pemimpin menantikan pemeteraian Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi antara BIMP-EAGA dan Jepun pada 2023,” katanya.

Sementara itu, para pemimpin kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi mereka terhadap usaha pemulihan pelancongan pasca-pandemik dan berbesar hati untuk merasmikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 sebagai kerjasama serantau untuk bersama-sama memulihkan industri pelancongan.

Rafizi berkata industri halal juga telah dicadangkan sebagai bidang tumpuan utama untuk menerajui kerjasama IMT-GT, yang disasarkan menjadi hab halal bagi pasaran global.

“Para pemimpin menyeru tindakan bersama untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan halal rantau ini ke pasaran baharu dengan kerjasama bersama rakan kongsi IMT-GT yang berpotensi,” katanya.

Semasa Sidang Kemuncak IMT-GT ke-15 yang dipengerusikan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo, Rafizi berkata Malaysia menunjukkan sokongan dan komitmen terhadap keputusan negara itu untuk memindahkan ibu negara mereka dari Jakarta ke Nusantara.

Malaysia juga memaklumkan kepada negara anggota mengenai kelulusan peruntukan RM1 bilion kepada Sabah dan Sarawak untuk pembangunan sempadan bagi merangsang aktiviti ekonomi penduduk di kawasan sekitar, katanya.

— BERNAMA

 

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengadakan pertemuan dengan empat pemimpin ASEAN bagi membincangkan hubungan dan kerjasama dua hala. 

Anwar dalam kenyataan di Facebook berkata, beliau menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah dan menyampaikan hasrat untuk  melihat  keterlibatan Bandar Seri Begawan dalam Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) tahun ini di mana Putrajaya menjadi tuan rumah.

“Selain itu, diskusi juga terarah kepada bidang pelaburan, penandaan tanah, kerjasama dalam kebudayaan dan pendidikan untuk dimanfaatkan kedua-dua negara,” katanya.

Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan menyatakan keterbukaan Malaysia menerima kehadiran delegasi mereka ke Putrajaya sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Perbincangan turut menyentuh mengenai bidang pelaburan selain berharap agar isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat ditangani dengan tegas.

“Dalam sidang kemuncak kali ini juga, saya sempat mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat dari Laos, Sonexay Siphandone dan kami sepakat untuk lebih bekerjasama dalam bidang perbankan, program latihan pegawai dan diplomat selain pendidikan serta industri agrikultur.

Arakian, saya juga mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat dari Timor Leste, Taur Matan Ruak dan saya mengulangi sokongan penuh berkaitan permohonan republik itu dalam keanggotaan keluarga ASEAN,” katanya.

Anwar berkata perbincangan bersama Perdana Menteri Timor Leste itu juga menyentuh keperluan meningkatkan peluang kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, agrikultur dan bidang pembuatan makanan yang menuntut kebersamaan serta komitmen berterusan kedua-dua negara.

Perdana Menteri dan pemimpin ASEAN lain menghadiri sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, untuk membincangkan beberapa isu kepentingan bersama kepada perkumpulan serantau tersebut.

Sebanyak lapan ketua kerajaan daripada 10 negara anggota ASEAN menyertai sidang kemuncak itu kecuali Myanmar yang tidak dijemput dan Thailand yang menghadapi pilihan raya pada 14 Mei ini.

— BERNAMA

 

LABUAN BAJO (Indonesia), 10 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi gesaan penubuhan Dana Monetari Asia sejajar dengan inisiatif ASEAN untuk mengukuhkan kebergantungan ekonomi dan jaringan keselamatan di rantau ini.  

Beliau berkata dana yang dicadangkan itu boleh menjadi mekanisme serantau yang dapat memahami lebih baik lagi realiti dan keperluan negara anggota ASEAN serta mencadangkan langkah-langkah pemulihan yang lebih sesuai. 

Menerusi ucapan beliau pada sesi pembukaan dan pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 2023, disini, Anwar menyambut baik deklarasi para pemimpin untuk menggerakkan kesalinghubungan pembayaran serantau dan menggalakkan urus niaga mata wang tempatan.

Inisiatif itu, katanya, akan dapat meningkatkan penggunaan mata wang tempatan untuk menyokong pelaburan dan perdagangan rentas sempadan di ASEAN. 

Mengenai Visi Pasca Komuniti ASEAN 2025, Perdana Menteri berkata, ASEAN perlu dapat mempamerkan keyakinan dan kesediaan yang lebih tinggi untuk merebut peluang bagi membawa perubahan positif kepada rakyat dan rantau ini.  

Rantau ini akan menerima pakai Visi Pasca Komuniti ASEAN 2025 dalam masa dua tahun lagi untuk melakarkan laluan strategik ASEAN bagi tempoh dua dekad akan datang.

“Visi ASEAN pasca 2025 seperti yang dibincangkan oleh kumpulan tokoh-tokoh terkemuka pada peringkat awal perbincangan perlu mengutamakan keperluan dan kesejahteraan rakyat kita dalam agenda penyepaduan serantau,” katanya. 

Anwar berkata, visi itu juga perlu memberikan penekanan kepada keterangkuman, kemampanan, transformasi dan responsif serta menambah baik kapasiti dan keberkesanan institusi ASEAN. 

Selain itu, katanya, ia juga perlu mengukuhkan geopolitik dan geoekonomi ASEAN dan membentuk ketertiban antarabangsa yang adil dan beretika. 

“Saya fikir visi itu nampaknya sangat konsisten dalam apa yang kita panggil di Malaysia sebagai Malaysia Madani,” katanya.

Perdana Menteri dan pemimpin ASEAN lain menghadiri sidang kemuncak itu untuk membincangkan beberapa isu kepentingan bersama kepada perkumpulan serantau tersebut.

Sebanyak lapan ketua kerajaan daripada 10 negara anggota ASEAN menyertai sidang kemuncak itu kecuali Myanmar yang tidak dijemput dan Thailand yang menghadapi pilihan raya pada 14 Mei ini.

Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Horn dan Perdana Menteri Timor Leste Taur Matan Ruak.

— BERNAMA  

 

LABUAN BAJO (Indonesia), 9 Mei  — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutarakan lima agenda semasa mesyuarat dua hala dengan Presiden Indonesia Joko Widodo termasuk lawatan rasmi, rundingan tahunan dan sempadan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dua hari bermula esok, mengulangi jemputan agar Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada bulan Jun 2023.

Cadangan tarikh adalah 19-20 Jun atau 22-23 Jun susulan lawatan rasmi perdana menteri pada 8 dan 9 Januari lepas.

Dalam pertemuan di bandar Manggarai Barat, wilayah Nusa Tenggara Timur itu, PM Anwar turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyokong penganjuran mesyuarat Suruhanjaya Kerjasama Dua Hala Ke-17 (JCBC) dan Rundingan Tahunan Ke-14 (AC) yang akan dihoskan Indonesia bagi merancakkan hubungan dua hala.

Katanya Malaysia juga sedang melengkapkan prosedur-prosedur domestik bagi membolehkan Perjanjian Melintasi Sempadan (BCA) dan Perjanjian Perdagangan Di Sempadan (BTA) ditandatangani semasa lawatan Jokowi ke Malaysia atau semasa Rundingan Tahunan Ke-14.

Kedua-dua perjanjian itu telah dimuktamadkan dan sedia untuk ditandatangani.

Mengenai pembatasan sempadan maritim, PM Anwar menjelaskan Malaysia bersedia untuk memuktamadkan draf Triti Pembatasan Sempadan Maritim di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka dan Triti Pembatasan Sempadan Maritim di Laut Sulawesi termasuk isu ‘full breadth of territorial sea’ di ‘40th Technical Meeting on Maritime Boundaries Delimitation’ yang dijangka diadakan tahun ini.

Untuk sempadan darat, Malaysia turut bersedia untuk menandatangani kedua-dua memorandum persefahaman (MoU) Pulau Sebatik dan Sinapad-Sesai di Sektor Sabah-Kalimantan Utara secara pakej tahun 2024 setelah kerja-kerja pengukuran di lapangan dan dokumentasi selesai.

Semasa pertemuan 30 minit berkenaan, PM Anwar turut menekankan keperluan kedua-dua negara mematuhi pelaksanaan MoU Garis Panduan Bersama bagi menjaga kemaslahatan dan keselamatan nelayan-nelayan di kawasan yang masih dipertikaikan di Selat Melaka.

Perkara ini terkandung di dalam MOU In Respect of the Common Guidelines Concerning Treatment of Fisherman by Maritime Law Enforcement Agencies of Indonesia and Malaysia yang dimeterai pada 27 Januari 2012.

— BERNAMA

 

KUALA LUMPUR, 8 Mei  — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tersentuh dengan filem “Anwar: The Untold Story” yang mengangkat kisah perjuangan politik beliau.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun keseluruhan dialog dan penceritaan tidak 100 peratus sama, namun isu yang dibangkitkan dalam karya berkenaan adalah kejadian sebenar.

“Saya sukar mengulas kerana ada episod yang telah kita lupakan kerana sakit dan menyedihkan. Banyak beban tertanggung adalah Azizah, anak-anak dan rakan-rakan,” katanya.

PM Anwar berkata demikian pada sidang media selepas menonton tayangan perdana filem berkenaan di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang, di sini malam ini.

Turut hadir isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pengarah filem itu, Viva Westi dan pelakon utama, Farid Kamil Zahari.

PM Anwar turut memuji hasil karya sutradara dari Indonesia itu yang disifatkan pintar dan hebat kerana mampu meringkaskan penceritaan selama 23 tahun kepada filem berdurasi kira-kira 90 minit.

“Peristiwa puluhan tahun untuk disingkatkan itu sudah tentu tidak mudah, malah sinematografi filem ini juga sangat baik,” katanya yang turut berpuas hati dengan lakonan Farid Kamil yang membawa watak beliau.

Dalam pada itu, PM Anwar berharap berpeluang untuk mendengar runut bunyi filem berkenaan berjudul “Menjaga Cintamu” nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang tidak sempat diperdengarkan pada sesi tayangan itu susulan masalah suntingan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah bersyukur dan berharap agar filem berkenaan mampu menangkis semua persepsi negatif yang pernah dilemparkan terhadap Anwar.

Filem berlatarkan antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup PM Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.

“Anwar: The Untold Story” yang membabitkan kos RM10 juta itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.

— BERNAMA