GALERI GAMBAR : SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN 2023

















PUTRAJAYA, 19 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14, Zhao Leji.
Pertemuan selama sejam di Perdana Putra itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja tiga hari Zao ke Malaysia bermula semalam.
Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pada perjumpaan itu PM Anwar mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan China di atas layanan hebat yang dberikan kepada beliau semasa melakukan kunjungan hormat kepada Presiden China Xi Jinping dalam lawatan rasminya dari 29 Mac hingga 1 April lepas.
Beliau berkata wujud minat daripada pihak China untuk melabur di Malaysia dalam bidang pelaburan, pendidikan, kerjasama antara universiti serta penyelidikan dan pembangunan.
PM Anwar berkata Presiden Xi dan beliau bersetuju supaya Malaysia dan China meneruskan pertukaran lawatan di peringkat tinggi dengan sasaran untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.
Beliau berkata Malaysia dan China juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) seperti projek berkembar melibatkan kedua-dua negara, iaitu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV).
PM Anwar berkata kedua-dua negara juga terus mempromosikan pertukaran dan kerjasama antara Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Parlimen Malaysia selain terus mempromosikan hubungan antara rakyat kedua-dua negara dengan meningkatkan kesalinghubungan, dengan Malaysia mengalu-alukan ketibaan lebih ramai pelancong dari China.
Kedua-dua pihak juga menegaskan perkongsian kepercayaan mereka terhadap nilai bersama Malaysia MADANI dan wawasan “Community With a Shared Future for Mankind” untuk faedah bersama rakyat dan cadangan Tabung Kewangan Asia adalah selari dengan aspirasi “Community With a Shared Future for Mankind”.
— BERNAMA




KUALA LUMPUR, 19 Mei — Kerajaan komited untuk menambah baik dan memperkasa ekosistem serta landskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara dengan melaksanakan satu inisiatif yang, antara lainnya, akan menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.
“Langkah ini amat penting dalam memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan dari segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap dan teratur.
“Ini juga akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab antara IPA sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan.
“Tadbir urus IPA juga merupakan faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Anwar berkata, perkara ini dibincangkan semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil 1/2023 dipengerusikan beliau yang diadakan buat pertama kali selepas diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lepas.
Anggota tetap Majlis terdiri daripada Menteri Kewangan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Ekonomi; Gabenor Bank Negara Malaysia dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan.
MPN berperanan sebagai badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan sekali gus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan.
Majlis itu juga bertanggungjawab untuk menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek pelaburan, terutamanya yang melibatkan pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tersebut.
“Dalam usaha untuk menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus, penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa,” kata Anwar.
Sehubungan itu, MPN juga bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara, katanya.
Menurut Perdana Menteri, pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemantauan oleh IPA serta pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudahcara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan.
“Hasrat ini adalah selaras dengan teras strategik di bawah Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menggariskan keperluan untuk menilai semula landskap IPA negara agar lebih terancang sekali gus memudahkan perjalanan pelabur,” katanya.
Mesyuarat MPN kali pertama itu juga turut membincangkan mengenai pemantauan projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburan menerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan yang diketuai Anwar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Suku Pertama (S1) tahun 2023 adalah sebanyak RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 59.7 peratus berbanding S1 2022 (RM44.7 bilion), merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia.
MPN dijadualkan untuk bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun agar setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya.
“Kerajaan komited untuk memastikan setiap pelaburan yang diluluskan akan dilaksanakan, dan seterusnya akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Kerajaan yakin dasar dan strategi yang digubal akan memperkasakan ekosistem pelaburan dan merancakkan aktiviti pelaburan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mengembalikan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini,” kata Anwar.
— BERNAMA

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
MESYUARAT MAJLIS PELABURAN NEGARA BIL 1/2023
19 Mei 2023
Kerajaan komited untuk menambahbaik dan memperkasakan ekosistem serta lanskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment – FDI) dan juga domestik (Domestic Direct Investment – DDI). Sehubungan itu, Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil 1/2023 telah bersetuju untuk menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (Investment Promotion Agency – IPA) negara dengan melaksanakan satu inisiatif yang, antara lainnya, akan menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.
Langkah ini amat penting dalam memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan dari segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap dan teratur. Ini juga akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekaligus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan. Tadbir urus IPA juga merupakan faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Perkara ini dibincangkan semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil 1/2023 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan diadakan buat pertama kali selepas diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023. Anggota tetap Majlis terdiri daripada Menteri Kewangan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Ekonomi; Gabenor Bank Negara Malaysia dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan. MPN berperanan sebagai badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan sekaligus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan. MPN juga bertanggungjawab untuk menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek-projek pelaburan, terutamanya yang melibatkan pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek tersebut.
Dalam usaha untuk menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus, penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa. Sehubungan itu, MPN juga bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.
Pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemantauan oleh IPA serta pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu-isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudahcara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan.
Hasrat ini adalah selaras dengan teras strategik di bawah Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menggariskan keperluan untuk menilai semula lanskap IPA negara agar lebih terancang sekaligus memudahkan perjalanan pelabur.
Mesyuarat MPN yang pertama ini juga turut membincangkan mengenai pemantauan projek-projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburanmenerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Suku Pertama (S1) tahun 2023 adalah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 59.7% berbanding dengan S1 2022 (RM44.7 bilion), merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia. Butir-butir lanjut mengenai pelaburan yang diluluskan setakat 31 Mac 2023 adalah seperti di Lampiran 1.
Sehubungan itu, MPN dijadualkan untuk bersidang sekurang-kurangnya empat (4) kali setahun agar setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya. Kerajaan komited untuk memastikan setiap pelaburan yang diluluskan akan dilaksanakan, dan seterusnya akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan yakin dasar dan strategi yang digubal akan memperkasakan ekosistem pelaburan dan merancakkan aktiviti pelaburan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mengembalikan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
ANWAR IBRAHIM
19 Mei 2023










IPOH, 18 Mei — Kerajaan Perpaduan akan terus mencari kaedah bagi memastikan subsidi diberikan secara adil kepada golongan sasaran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan B40 merupakan golongan yang akan terus diberi perhatian dalam pemberian subsidi.
“Minyak misalnya, orang miskin naik motor kita subsidi, orang kaya naik Mercedes pun kita bagi subsidi, kita cari kaedah, yang miskin kita jangan kacau, yang kaya pendapatan RM50,000 sebulan, RM100,000 sebulan, bayar lah, jadi itu tetap jadi dasar kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau Parlimen Tambun di Institut Tadbiran Islam (INTIM) Perak di sini hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, INTIM.
Sementara itu, Anwar mempertahankan keputusan untuk pengenaan caj tarif elektrik sebenar pada pengguna yang menggunakan elektrik berlebihan, yang katanya tidak menjejaskan 80 peratus pengguna.
“Tetapi kalau tak naik sama sekali pun masalah, kerana susbsidi terlalu tinggi kalau kos RM10, kerajaan tanggung RM5.
Jadi kita ambil keputusan jangan ganggu B40, M40, 80 peratus tidak dibebankan, yang kita kenakan hanya T20, itu pun untuk bayar kos sahaja, bukan kerajaan ambil untung,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Anwar berkata selaku Ahli Parlimen Tambun, beliau akan menambah peruntukan bagi masjid dan surau bagi kegiatan penduduk.
“Bagi permohonan untuk besarkan masjid dan surau, saya ingat mudah bawa permohonan bawa ke pejabat daerah biar mereka selaraskan kemudian diangkat ke pejabat parlimen itu jadi mudah,” katanya.
— BERNAMA
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
SEMINAR ANTARABANGSA IMAM AS-SYAFI’I
18 MEI 2023 | 10.00 PAGI
BORNEO CONVENTION CENTRE, KUCHING
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda
Wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.
Wa kafa billahi syahida. Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg,
Premier Sarawak;
Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan,
Timbalan Premier Sarawak;
YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah,
Menteri Bertanggungjawab merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan / Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak;
YB Datuk Snowdan Lawan,
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak;
YBhg Datu Haji Kipli Bin Haji Yassin,
Mufti Sarawak;
Sahibus Samahah, Mufti-mufti;
Dif-dif kehormat; dan
Saudara-saudari yang dihormati sekalian.
- Marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah SWT kerana dapat bersama-sama pada hari ini. Saya mengucapkan sekali lagi jazakallah khairan kepada Premier Abang Jo dan jazakumullah khairan kepada semua terutama yang telah bertungkus-lumus menganjurkan seminar yang amat bermakna ini.
- Ini yang menyebabkan saya selalu mencungkil pengalaman negeri Sarawak. Sarawak seperti mana saya sebut dalam Konvensyen baru-baru ini di Kuala Lumpur, telah mendepani beberapa hal pembangunan seperti ekonomi, teknologi digital dan teknologi hijau. Pada hari ini kita menyaksikan kesediaan pimpinan negeri Sarawak untuk menekankan satu aspek yang sangat penting dalam negara MADANI. Negeri itu harus makmur, harus berkembang maju tetapi mesti berakar kepada keyakinan, mesti meletakkan soal nilai dan akhlak sebagai paksinya.
- Apabila kita dengar sebentar tadi ucapan mufti dan juga Premier Abang Jo, mereka mengulangi prinsip kesederhanaan, wasatiyyah yang tentunya berdasarkan kefahaman dan ilmu. Terdapat beberapa aspek dan saya ingin tekankan mengenai hal kesederhanaan dan ilmu. Tentunya apabila disebut wasatiyyah itu adalah berteraskan Al-Quran. Wa kazaalika ja’alnaakum ummatan wasatal litakoonoo shuhadaaa ‘alannaasi wayakoonar Rasoolu ‘alaikum
- Umat yang seimbang, sederhana itu adalah umat yang mampu maintain and equilibrium. Sederhana itu mungkin kerana adanya keyakinan akidah, kerana adanya ilmu, kebijaksanaan dan hikmah. Wasatiyyah itu bererti kita dapat menekankan kepentingan duniawi dan ukhrawi, iman dan ilmu, akal dan kalbu, material and spiritual dan man and nature.
- Kalau disebut wasatiyyah itu mengikut kupasan Almarhum Al-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi di antara lain menyatakan bahawa selain daripada menekankan tentang iman dan ilmu, dunia without qowiy, material and spiritual, juga tentang man and nature, maknanya kita harus mempertahankan equilibrium itu dalam seluruh nilai dan kehidupan kita.
- Dalam kefahaman kita yang lebih mendalam, kita dapat mengetahui bahawa dalam dunia ini dengan apa yang diciptakan Allah SWT adalah tanggungjawab kita bersama, sama ada kepada keluarga kita, kepada Muslim, kepada manusia keseluruhannya, kepada yang bukan Muslim, kepada haiwan, kepada tumbuh-tumbuhan dan kepada bumi yang kita pijak. Itu sebabnya terdapat keseimbangan atau wasatiyyah dan antara man and nature. Tidak boleh ada kemusnahan sewenang-wenangnya dan tidak harus ada keangkuhan untuk bertapak di bumi ini dan menganggap ia adalah kepunyaan kita, bukan amanah dari Allah SWT.
- Apabila saya menyebut tentang hubungan kesederhanaan dengan kemanusiaan, ia tidak terlepas dengan semangat atau prinsip Lita’arafu. Allah SWT menjadikan kita pelbagai jantina, pelbagai kaum, pelbagai budaya bukan untuk bermusuh. Prinsip Al-Quran itu mengatasi doktrin, ideologi, kefahaman yang sempit kerana lita’arafu itu mengiktiraf tentang wujudnya kepelbagaian dan kemajmukan.
- Untuk apa? untuk mengenali dan saling menghormati. Lita’arafu itu bukan sahaja toleransi tetapi untuk arif atau tahu. Apabila kita tahu, kita akan kenal dan kita hormat. Perbezaan kepelbagaian ini ditekankan oleh Premier Abang Jo dan terima kasih kerana menjadi tonggak di Sarawak yang kita harap akan lebih kukuh di negara MADANI Malaysia.
- Hari ini, sementara kita berbicara tentang 60 tahun Merdeka bersama Malaysia dan menekankan soal pertumbuhan ekonomi, kita memuliakan seorang tokoh agung, Almarhum Al Imam Shafi’i. Seorang imam besar dalam sejarah umat manusia bukan sahaja di kalangan ahli Sunnah Wal Jamaah dan penganut Mazhab Syafii tetapi umumnya dalam sejarah umat manusia. Kerana kekuatan beliau dalam penguasaan Al-Quran, hadis dan sunnah Rasulullah SAW.
- Saya bukan pakar seperti mufti dan ahli ulama tetapi izinkan saya untuk mengupas sedikit. Saya tidak berani sangat menyentuh tajuk ini. Baik, apa keistimewaannya? Kalau ditanyakan kepada saya setelah membaca kupasan Almarhum Al Imam Shafi’i, tidak semuanya tetapi saya membaca risalah kerana ada terjemahan yang sangat baik dalam Bahasa Inggeris.
- Kekuatannya adalah keupayaan meneroka alam pemikiran baharu yang disebut oleh Sahibus Samahah Waqia – realiti masyarakat setempat tetapi berakar kepada Al-Quran dan Sunnah. Sebab itu apabila orang membicarakan yang kita menolak taklid dan membawa ijtihad, dikatakan kita mahu menjadi mujahid. Namun, ada prinsip-prinsip yang tidak boleh kita tinggalkan. Bukan semua orang mampu berijtihad kerana terdapat prinsip-prinsip yang ketat yang harus dipatuhi.
- Jadi sebab itu dalam pengajaran ilmu agama di kalangan masyarakat kita, kadang-kadang mudah untuk kita menganjur anak muda yang kita harus berijtihad, itu benar ya tetapi kita ketepikan prinsip ijtihad, jadinya ijtihad kita jadi lintang pukang. Kita dapat lihat mujtahid menolak beberapa taklid oleh Al Imam Shafi’i.
- Ini kerana kekuatan dan penguasaan beliau tentang ilmu Islam yang sangat mendalam. Sebab itu disebut tadi qaul qadim di Iraq, qaul jadid di Mesir. Walaupun suasana persekitaran berbeza tetapi tidak pernah bertentangan dengan prinsip Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW.
- Penerokaan dalam pemikiran baharu ini adalah cabaran sehingga sekarang. Saya masih ingat semasa saya menjadi Menteri Kewangan dahulu, Suruhanjaya Sekuriti telah mengundang Almarhum Al-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi untuk memberi pandangan. Pada masa itu, terdapat beberapa bidang baharu yang ingin diterokai umpamanya Futures Trading. Apabila ditanya, saya memberitahu yang saya tidak berani hendak mengatakan ya atau tidak kerana pada masa itu belum ada satu badan penasihat syariah dalam sistem kewangan Islam.
- Jadi saya mengatakan lebih baik kita memanggil tokoh alim dan berbincang dengan beberapa mufti dan ulama yang sesuai. Jadi pabila Almarhum Al-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi sampai, beliau memberitahu saya jangan dahulu. Hari pertama beliau mahu dengar sepenuhnya pandangan daripada Suruhanjaya Sekuriti dan pada hari kedua baru dia mula memberi sedikit sebanyak ulasan. Ini bermakna di kalangan para ulama juga terpaksa mendepani beberapa aspek teknologi digital, soal futures trading yang saya sebut tadi, soal beberapa instrumen baharu kewangan yang diperkenalkan.
- Justeru, kita harus mendepani perkara ini dan tidak mudah untuk kita ketepikan. Yang diperlukan adalah penguasaan ilmu asas dari Islam dan juga dari ilmu-ilmu baharu. Inilah yang disebut penerokaan ke alam pemikiran baharu tetapi berteraskan kepada kefahaman.
- Baru-baru ini, saya telah meluncurkan semula Yayasan Karyawan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Yayasan yang pernah saya bangunkan puluhan tahun dahulu kerana tujuannya seperti mana yang dibuat oleh inisiatif Kerajaan Sarawak dan Pejabat Mufti adalah menggali khazanah lama. Kita mempunyai cendekiawan-cendekiawan baharu dan semuanya memberikan keupayaan meneroka pemikiran baharu tetapi tidak berakar kepada khazanah yang besar yang pernah kita lahirkan dan hasilkan.
- Dalam Yayasan karyawan ini, kita meminta supaya pertama, hasilkan karya-karya lama tempatan seperti mana dilakukan di sini, karya-karya dari Sheikh Othman Sarawak. Beliau merupakan seorang ulama besar yang diiktiraf termasuk oleh Buya HAMKA sendiri sebagai guru dan juga Haji Abdul Karim Amrullah bapa kepada Buya HAMKA.
- Jika Buya HAMKA, seorang ulama besar di rantau ini boleh mengiktiraf seorang ulama silam daripada Sarawak, adalah sangat memalukan jika cendekiawan Sarawak sendiri tidak kenal siapa tokoh besar ini. Ini yang saya sebutkan tentang keperluan menggali khazanah dan kemudian tentunya mengupas karya besar.
- Hari ini kita membicarakan soal Almarhum Al Imam Shafi’i. Saudara semua tahu dalam dunia pemikiran ilmu di barat, terdapat buku yang bertajuk Great Books of the Western World yang disunting oleh Mortimer Adler. Ada juga buku yang bertajuk the Great Western Canon oleh Harold Blook. Sebagai seorang sarjana barat, beliau mempunyai rangkaian khazanah yang harus dikuasai atau kebanyakannya dikuasai.
- Tetapi dalam dunia Melayu atau dunia Islam ini tidak ketara. Oleh sebab itu, saya meminta supaya karyawan menggali semula karya termasuk karya Melayu seperti Hikayat Hang Tuah atau Tuhfat Al-Nafis oleh Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji. Termasuk khazanah ilmu Sheikh Othman Sarawak dan Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani, ulama yang besar.
- Ini semua adalah pendukung Mazhab Shafi’i. Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani ialah seorang yang berpegang kuat kepada Mazhab Syafi’i walaupun memberikan sedikit ruang kerana menulis di rantau Melayu, Pattani, Tanah Melayu dan Indonesia. Pernah di beberapa tempat lain saya mengupas, Mufti Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah pernah mendengar kupasan saya sebelum ini. Yang menariknya daripada Almarhum Al Imam Shafi’ umpamanya – penafsiran dari pengajaran tentang solat.
- Kupasan kitab beliau iaitu Munyatul Musalli yang banyak dibaca di madrasah dan pesantren-pesantren. Saya menyebut buku ini kerana saya bernasib baik diberi peluang membaca semasa beristirahat di Sungai Buloh. Yang menarik bagi saya dalam buku Munyatul Musalli itu terdapat dua (2) aspek.
- Yang pertama, karya itu lama dan besar. Yang kedua, ia membicarakan tentang semua jenis solat. Jadi semasa saya masih beristirahat itu, saya mengambil kesempatan untuk menguasai semua jenis solat dan membuat apa yang ketinggalan disebabkan kesibukan dunia di luar.
- Namun, bagi saya sesuatu yang luar biasa itu adalah seorang ulama silam dari Kepulauan Melayu boleh menulis sekitar ratusan tahun yang lalu tentang solat, pelbagai jenis solat mengikut panduan Mazhab Syafi’i. Tetapi pada bab akhir buku itu adalah mengenai “Tatmim Al-Faedah”. Penamatnya itu apa? tentang tatakelola, urus negara, perpaduan dan keadilan, sangat luar biasa ulama ini. Beliau menulis mengenai solat tetapi pengakhirannya itu “Tatmim Al-Faedah”. Bunyi Arab ini betul ke Mufti? Saya macam Premier Abang Jo juga, kami berbahasa Inggeris.
- Tapi ” Al-Faedah” itu membicarakan soal tatakelola dan perpaduan kaum. Bicaranya Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani itu untuk orang Melayu tetapi inilah kekuatan yang saya sebut harus digali. Apakah hubungannya solat dengan tatakelola dan keadilan? Keserasian seperti apabila pimpinan politik dan negeri seperti Premier Abang Jo, Timbalan Premier dan rakan rakan memikirkan soal Sambutan 60 Tahun itu diserasikan tentang kekuatan tunggak, akidah dan islam dengan isu kenegaraan dan pengurusan negara serta tatakelola.
- Termasuklah satu kisah yang sengaja dimasukkan dalam kitab solat Munyatul Musalli iaitu kisah Khalifah Makmum. Kisahnya adalah pengalaman seorang Makmum dengan seorang Yahudi yang datang menemuinya merayu bahawa dia dizalimi kerana tanahnya dirampas. Namun, dia tidak diberi perhatian kerana Khalifah Makmum itu sibuk tidak sempat melayannya. Dia membicarakan bahawa Khalifah Makmum itu tidak mendengar apa yang dibicarakan.
- Kali kedua, dia merayu lagi kepada Khalifah Makmum tetapi masih tidak mendengar. Pada kali ketiga, dia menyebut ayat di dalam Kitab Taurat iaitu ‘dijamin prinsip keadilan’, barulah Khalifah Makmum terdiam dan terus mengambil tindakan membantunya. Khalifah Islam dalam negara yang umat Islam majoritinya besar dan tidak pernah meremehkan tuntutan golongan kecil. Itulah kekuatan Islam yang harus diterima oleh negara kita.
- Jadi berbalik kepada buku Great Books of the Western World tadi, terdapat satu kenyataan daripada Mortimer Adler, seorang ahli intelektual Amerika yang hebat, a scholar, historian and philosopher. Beliau berkata, kelemahan besar dunia barat termasuk di Amerika adalah dari sudut pemikiran dan falsafah. Kegagalan mereka menghubung kait dengan khazanah besar yang diwarisi dari zaman berzaman. Maka itu muncul ilmu dan teknologi baharu dan lain-lain yang penting tetapi telah hilang nilai ihsan, rahmah dan kemanusiaannya.
- Apakah pengalaman atau pengajaran yang saya dapat daripada ini? Jangan kita ulang. Apakah kemahiran yang saya dapat? Kita memanfaatkan teknologi digital sehingga sehingga teknologi hijau dengan sebaiknnya. Apa kelemahannya? Pemikiran baru dan moden itu tidak ada hubung kaitnya dengan khazanah yang luas dan besar. Alhamdulillah, dengan inisiatif dan ikhtiar untuk menggilap semula pengajaran, pengalaman, pendidikan Almarhum Al-Imam Shafi’i, ini menunjukkan bahawa kita mudah-mudahan insya-Allah dapat kembali ke garisan yang betul.
- Kita membawa perubahan, membawa teknologi baharu, meningkatkan penguasaan ilmu dan bahasa, menghormati budaya serta perbezaan budaya tetapi sentiasa kekal dengan tunggak khazanah Al Imam Shafi’i. Setelah mendengan kupasan daripada Premier Abang Jo dan Mufti, saya berasa bangga, alhamdulillah dan tidak perlu lagi membaca teks ucapan saya.
- Kalau bertanya kepada saya apakah rumusan MADANI? MADANI itu tidak terlepas daripada kembali kepada akar keyakinan, tradisi dan budaya kita tetapi sedia berdepan dengan cabaran baharu untuk menjadikan Malaysia ini negara yang maju, mampan dari segi teknologinya tetapi melahirkan manusia yang disebut Karamah Insaniah dan bukanlah melahirkan orang-orang yang meminggirkan khazanah, nilai dan akhlak.
- Sebab itu dalam teras MADANI, tidak terlepas daripada nilai amanah, ihsan dan rahmah yang saya rasa wajar di rangkul dalam membina negara bangsa yang bermakna. Saya bernasib baik alhamdulillah kerana rakan-rakan, Premier Abang Jo ada di sini dan juga negeri Sarawak bukan sahaja mendukung semangat ini tetapi mendukung idealisme yang kita bawa bersama.
- Walaupun ianya berbeza iaitu menyokong kepimpinan Kerajaan sebagai sebahagian suatu jalur politik tetapi yang saya rasa terkesan, sebati dengan jiwa dan hati nurani ini ialah kerana saya lihat dalam pimpinan negeri Sarawak, bukan mereka sekadar mendukung dari sudut kesatuan politik, bekerjasama dan perpaduan tetapi juga mereka mendukung hasrat dan idealisme yang mengangkat martabat negeri Sarawak dan Malaysia sebagai negeri yang maju dan makmur.
- Dengan semangat itu dengan lafaz “Bismillahir Rahmanir Rahim”, saya dengan segala sukacitanya merasmikan Muktamar Antarabangsa Al Imam Shafi’i.
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

