PASUKAN PETUGAS KHAS CARI PENYELESAIAN ISU AIR DI KELANTAN, SABAH – PM ANWAR


PUTRAJAYA, 1 Jun — Pasukan petugas khas diwujudkan bagi mencari penyelesaian isu air di Kelantan dan Sabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penubuhan pasukan itu dipersetujui dalam mesyuarat khas yang diadakan bersama-sama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Nor di Perdana Putra di sini, hari ini.

Beliau berkata pasukan yang dianggotai Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta kerajaan negeri itu berperanan menyediakan strategi segera menangani isu air di kedua-dua negeri itu.

“Tanggungjawab kita adalah pastikan rakyat peroleh kemudahan air bersih sesegera mungkin,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI Dalur di sini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat khas hari ini turut membincangkan mengenai beberapa tindakan segera yang perlu diambil antaranya melibatkan masalah bekalan air yang tidak sampai dan bekalan air tidak bersih.

“(Masalah air ini) perlu langkah awal dan kita akan sediakan sedikit dana… projek ini memerlukan projek besar jangka panjang dan sederhana,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkara yang dibangkitkan semasa mesyuarat khas itu, Anwar berkata Sabah misalnya telah membangkitkan isu keperluan pinjaman mudah untuk satu projek empangan.

Anwar menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan menerima keputusan yang dibuat kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Tidak boleh bekerja secara silo, kita memerlukan dana yang besar dan mesti pastikan kita dapat melakukan dan menyelesaikannya,” katanya.

Anwar sebelum ini berkata masalah air di Kelantan dan Sabah akan cuba ditangani Kerajaan Persekutuan meskipun melibatkan belanja besar.

— BERNAMA

 

PUTATAN, 31 Mei — Kerajaan bersetuju meluluskan pemanjangan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) bagi menggantikan Bayaran Insentif Sabah/Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) kepada anggota perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Julai ini.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Program Mesra Bersama Warga ATM Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi, Sabah di sini, hari ini.

Anwar berkata kelulusan itu akan memanfaatkan seramai 33,586 anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun lepas (2022).

Sebelum ini, katanya pegawai dan anggota ATM yang bertukar wilayah menerima BISS dan BISM, namun kedua-dua insentif diberikan itu adalah lebih rendah berbanding kadar BIW yang diterima oleh pegawai perkhidmatan awam lain.

“Sedangkan, asas pembayaran ketiga-tiga insentif adalah sama iaitu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi serta sebagai galakan pegawai dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan projek baharu melibatkan pembangunan semula 49 unit rumah terbiar untuk dijadikan 47 unit kuarters awam dan sebuah rumah transit Kementerian Pertahanan cawangan Sabah di Taman Lok Kawi bernilai RM25 juta.

Bagi projek sedia ada, Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM213 juta bagi membina Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) tambahan pelbagai kelas di Kem Lok Kawi.

Mengulas mengenai projek pembangunan di Putatan, Anwar berkata sebanyak RM67 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo Ke Sungai Kinarut, selain RM4.8 juta bagi membaik pulih serta menaik taraf aviari di Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

“Kerajaan juga komited membina sekolah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Kawi dengan kos projek bernilai RM23 juta yang akan dibangunkan dalam kadar segera,” katanya.

— BERNAMA

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PROGRAM MESRA BERSAMA WARGA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM) MARKAS 5 BRIGED

DI LOK KAWI, SABAH

 

31 MEI 2023 (RABU)

 

KEM LOK KAWI, PUTATAN, SABAH

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,

Ketua Menteri Sabah;

 

YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan,

Menteri Pertahanan;

 

Timbalan Ketua Menteri Sabah;

 

YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab Rahman,

Panglima Tentera Darat;

 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

 

Pegawai-pegawai dan rakan-rakan saya muliakan.

  1. Saya memilih seperti mana saya memberitahu kepada Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dan Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, dalam lapangan kita, ada bahagian dan pasukan sama ada tentera, polis, perkhidmatan awam, nelayan, petani dan pekerja yang patut diberi perhatian.

 

  1. Tadi terdapat Majlis Perayaan Kaamatan yang menyentuh soal kepentingan masyarakat dan saya hadir kerana semangat masyarakat MADANI. Itu adalah sebagai menghormati perbezaan dalam Islam. Dalam al-Quran terdapat istilah yang disebut lita’arafu dan baru-baru ini seorang ulama terkenal, Syeikh Dr Ali Jum’ah, Mantan Mufti Mesir juga telah mengupas tentang lita’arafu itu, dan sangat mengesankan.

 

  1. Lita’arafu itu maknanya arif tentang yang lain, Allah jadikan kita pelbagai suku kaum, agama tentunya pelbagai keturunan, jantina, bahasa, budaya, warna kulit, untuk apa? syu’uuban waqabaa-ila lita’aarafuu untuk sekadar bukan kenal. Istilah Al-Quran itu “‘aarafuu” maknanya mengenali dengan maksud memuliakan kerana arif tentang orang.

 

  1. Ia tidak ada maksud merendahkannya atau menghina. Justeru, untuk negara menjadi aman, walaupun kita ini majoriti Melayu, perlembagaan kita menetapkan tentang kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam, Raja-raja Melayu, itu memang menjadi paksi atau tunggak perlembagaan yang kita harus terima tapi tidak ada sama sekali maksud mempertahankan prinsip perlembagaan itu untuk menidakkan hak, menghina atau meremehkan pengaruh yang lain. Sebab itu perlembagaan memberi jaminan hak kebebasan beragama, berbahasa bagi kaum yang lain.

 

  1. Oleh sebab itu, saya pilih untuk hadir, Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor memberitahu ini kali pertama seorang Perdana Menteri hadir untuk menyambut Hari Kaamatan untuk ATM. Tujuan saya adalah untuk menunjukkan bahawa sementara saya mahu mempertahankan kedudukan orang Melayu, meningkatkan darjat dan penghayatan Islam seperti mana yang kita lakukan baru-baru ini dengan mengundang ulama ahli jemaah dan juga habib yang terkenal, Habib Umar bin Hafiz dari Yaman. Itu menjadi keutamaan kegiatan kita iaitu meningkatkan kefahaman umat Islam dalam penghayatannya tetapi saya juga ingin memberi mesej yang jelas bahawa negara ini akan selamat dan aman jika pimpinan dan masyarakatnya menerima kenyataan, menjamin keamanan hak semua.

 

  1. Maka apabila saya hadir meraikan, menyantuni golongan Kadazandusun dan Murut umpamanya yang meraikan budaya mereka, ini akan memberikan kekuatan dan bagi saya itu memenuhi juga semangat lita’arafu. Kupasan ahli jemaah itu penting. Dia menyebut lita’arafu ini maknanya menerima kenyataan bahawa perbezaan itu bukan ciptaan kita. Perbezaan itu ciptaan Allah SWT. Warna kulit itu bukan kita tentukan, itu ditakdirkan oleh Allah SWT.

 

  1. Sebab itu dalam latihan budaya Islam dan tradisi Islam, rakan-rakan beragama Islam dan bukan Islam harus faham tentang ini, jangan kita nilai daripada beberapa tindakan-tindakan melampau di kalangan orang Melayu atau orang Islam tetapi pengajaran Islam itu menetapkan penghormatan dan memuliakan orang adalah bukan kerana keturunannya, warna kulitnya, pangkat tetapi darjat ketakwaan “inna akramakum ‘inda allaahi atqaakum”, Allah itu mengangkat orang yang nilainya takwa.

 

  1. Bilal bin Rabah adalah orang kulit hitam yang berasal dari Habasyah dan beliau adalah hamba abdi, berbibir tebal. Dalam perbincangan dengan para sahabat, ada seorang sahabat bernama Abu Dzar Al-Ghifari, sahabat yang baik tapi beliau memanggil Bilal itu “Ibnu Saudah” (anak perempuan hitam).

 

  1. Ada seorang anak saudara saya seorang yang hitam, saya memanggilnya “pak hitam” tetapi bukan maksudnya menghina tetapi apabila saya sedikit dewasa dan belajar, saya rasa walaupun itu gurauan, tetapi dalam Islam itu tidak disenangi. Jadi apabila Rasulullah SAW dengar orang memanggil Bilal “Ibnu Saudah”, Rasulullah SAW membantah tiga kali dan menyebut Bilal itu ‘Ahlul Bait’, itu ahli keluarga aku. Beliau diangkat darjat, seorang bekas hamba berkulit hitam, maknanya darjat yang paling rendah tetapi diangkat darjat oleh Islam kerana kebaikan dan ketakwaan.

 

  1. Saya ada satu lagi kisah mengenai seorang yang bernama Jalaluddin Rumi, menteri-menteri selalu tanya saya bagaimana Anwar Ibrahim ini banyak baca, sewaktu saya di penjara itu lama jadi saya membaca. Saya memanfaatkan waktu dengan membaca. Jadi Jalaluddin Rumi ini seorang ahli Sufi berasal dari Konya, Turkiye. Saya pun senang baru-baru ini sempat bercakap dengan Presiden Tayyip Erdogan, sahabat baik saya, dan mengucapkan tahniah bagi pihak semua rakyat Malaysia termasuk pasukan tentera, tahniah ke atas kemenangan beliau memimpin Turkiye.

 

  1. Dalam hubungan dua hala, kita sangat baik termasuk bidang ketenteraan. Menteri Pertahanan telah berkunjung ke sana pada tahun lalu atau awal tahun ini untuk meningkatkan kerjasama. Tetapi apa yang dikatakan oleh Jalaluddin Rumi? Bilal ini dari Habsyah, jadi laungan azan beliau itu kuat tetapi ada sebutan dia itu tidak sempurna Arabnya. Contohnya sebutan ‘Haiya ‘Alal-Salah’, saya tidak tahu bagaimana beliau sebut, tetapi maknanya kuranglah sempurna. Tidak fasohah (kefasihan dalam sebutan) sebagai mana orang Arab Quraisy.

 

  1. Jadi orang bicara seolah-olah beliau ini azan betul, suara sedap, suara lantang tetapi tidak hebat seperti kami orang-orang Arab Quraisy dan Rasulullah SAW mendengar perkara ini. Apa jawapan Rasulullah SAW? Suara dan azan Bilal, bekas hamba dari Habsyah yang hitam legam itu, suara beliau itu, dengar sampai ke langit Arasy, sedangkan kamu dengan segala sebutan yang indah, tidak mungkin sampai ke darjat itu.
  2. Ini patut mengetuk pintu hati kita. Apabila membicarakan hak, perbezaan warna kulit dan kerja kita kerana nilai kita itu adalah tentang kemuliaan insan di mana Allah SWT mengangkat darjat manusia itu seperti mana yang disebut dalam Al Quran, ‘walaqad karramna banee adam’, Allah SWT mengangkat darjat anak keturunan Bani Adam.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Sebelum saya sentuh soalan-soalan lain, saya sentuh perkara ini, sebab mengapa saya sentuh begini? kerana pasukan keselamatan umumnya, apatah lagi tentera tentera darat, iaitu kelompok barisan hadapan yang sangat penting. Sebab itu dalam beberapa ucapan saya, saya menyebut, orang anggap simpang siur politik, bincang sanalah, NGO lah, tiktok dan sebagainya, tetapi mereka lupa kebebasan yang kita nikmati sekarang, tahap pencapaian ekonomi kita, keselesaan kita berjalan ke sana sini dengan bebas dan kita boleh tumpukan perhatian itu adalah kerana jaminan keselamatan.

 

  1. Keselamatan terjamin itu kerana pasukan tentera yang cekap dan berwibawa. Kalau kita ini mempunyai keselamatan yang sangat lemah dan lembik, kita tidak terjamin. Sejarah kita, Penubuhan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di bawah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, itu dalam keadaan terpaksa bertempur dengan pasukan komunis yang meragut banyak nyawa. Alhamdulillah kita menang dan terjamin keamanan serta kita meningkat terus walaupun pada peringkat awal kemerdekaan masih darurat.

 

  1. Kemudian pembentukan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak, itu pun bukan jalan yang mudah kerana kebetulan ketika itu Almarhum Presiden Indonesia, Soekarno tidak setuju kerana dia kata ini rencana neokolonialisme. Ini rencana Inggeris dan penjajah di imperialisme untuk menawan kawasan rantau Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dan masa itu juga termasuk Singapura dan akan menggugat keselamatan Indonesia. Jadi Indonesia melancarkan Perang Ganyang Malaysia. Saudara, anak-anak harus tahu bahawa penubuhan Malaysia ini pun tidak mudah.

 

  1. Rakan-rakan di Sabah juga harus tahu, siapa yang pertahankan? Tentera-tentera Malaysia, masa itu kebanyakan tentunya dari Tanah Melayu kerana Sabah baru hendak dibentuk, baru hendak dikumpulkan tenaga dari Sabah dan Sarawak. Jadi jangan kita remehkan bahawa tegaknya negara tercinta yang kita anggap mempunyai potensi besar Malaysia ini kerana jaminan, sumbangan kesiapsiagaan pasukan tentera kita. Ini mukadimah saya.

 

  1. Jadi jangan anggap orang-orang seperti saya yang tidak pernah masuk tentera tidak faham. Saya faham walaupun nama saya, Datuk Seri Panglima. Datang ke Sabah, saya jadi Panglima jadi jangan main-main ya saya Panglima (nada seloroh). Baik, maknanya kalau yang belum faham orang-orang politik dan pimpinan, kita terangkan kepada mereka kerana kadang-kadang mereka lupa. Oleh kerana ada kebebasan, bawa masalah kaum, gaduh sana sini bawa masalah sentimen agama sehingga benci orang lain.

 

  1. Kita dengar ulama-ulama besar seperti ahli jumaah dan sebelum itu Mufti Menk daripada Zimbabwe, bicara mereka itu sangat lunak dan membawa nasihat. Apabila ada orang-orang yang silap melakukan apa-apa, mereka nasihatkan dengan baik. Itu pendekatan berbeza. Kalau kita ini, maknanya dihukum terus, tidak sokong ini masuk neraka, tidak ini pecah, kalau begini kamu khianat, kalau Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri jahanam negara ini semua diserah kepada negara China.

 

  1. Tentunya saudara ada dengar tentang perkara ini sebelum ini, tetapi sebenarnya tidak benar, ia menjadi fitnah dan disampaikan atas nama Islam. Oleh yang demikian, rakan-rakan dari pasukan keselamatan tidak harus ikuti atau campur urusan politik kerana sebab politik itu maksud tidak harus masuk ke medan perang dan markas tentera tetapi harus diikuti kerana yang saudara nak selamatkan itu negara. Negara itu harus berada di landasan yang betul dan landasan ini termaktub dalam Perlembagaan tentang kedudukan Islamnya, Melayunya, bahasanya dan hak keistimewaan Raja-raja Melayu tidak boleh dipertikai.

 

  1. Sebab itu saya kata Malaysia ini robah di bawah pentadbiran saya. Lebih demokratik dan lebih bebas tetapi ada syaratnya, kamu langgar semangat perlembagaan, kamu cuba rungkai semangat perlembagaan, kami lawan kamu dan ambil tindakan yang tegas terhadap kamu. Jadi, mudah-mudahan hal ini disambut oleh rakan-rakan kerana tahap dan kesiapsiagaan kita itu harus kita tingkatkan.

 

  1. Saya mengucapkan terima kasih kerana di bawah Menteri Pertahanan baru ini, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, seorang yang Tahniah juga kerana Kementerian Pertahanan bersama Kementerian Pengangkutan menjayakan LIMA’23 dengan cemerlang sekali, belum pernah mencatat begitu rupa. Mengapa saya katakan ia berhasil atau seorang Menteri itu bertanggungjawab? kerana beliau manfaatkan waktu di dalam Jemaah Menteri, menggesa supaya kerajaan, baik Perdana Menteri, Menteri Kewangan atau Menteri tahu apa keperluan daripada Kementerian Pertahanan.

 

  1. Kadang-kadang saya rasa letih juga dengar apa yang beliau katakan sebab tengok jalan, jalannya rosak, pergi sekolah, tandasnya rosak, pergi hospital, kliniknya rosak jadi banyak masalah. Kemudian asyik dengar YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan sedang berkira, kereta kebal tidak cukup, kapal terbang tidak ada, kapal lambat siap, ada senapang, pelurunya tidak cukup dan pelbagai masalah dibangkitkan.

 

  1. Jadi beliau jalankan tanggungjawab betul dan saya hanya boleh bagi jaminan, apa yang saya boleh beri jaminan? Betul saya beritahu kepada pimpinan Kementerian Pertahanan termasuk panglima-panglima kita tetapi saya mahu anak-anak yang bertugas juga harus tahu bahawa pentadbiran kita harus belajar. Maksudnya kekuatan dahulu dan kerosakan dahulu. apa kekuatan dahulu? kita letak asas pertahanan yang kukuh. apa kelemahan dahulu? Membeli kapal dan bayar tetapi kapal tidak sampai. Beli kapal terbang atau kapal selam, sakau sebahagian dan ini Alhamdulillah saya beritahu, sekarang amalan itu tidak diizinkan sama sekali.

 

  1. Siapa yang tentukan untuk membeli kereta kebal yang mana? Kereta kebal mana yang terbaik? Tentera Darat. Mereka bertanggungjawab penuh untuk memilih yang terbaik dan saya tidak mahu campur tangan. Tidak harus ada campur tangan orang-orang luar, mereka pilih terbaik dan Kementerian Kewangan hanya akan tentukan dari segi keupayaan kita membayar. Salah kereta kebal itu tidak berjalan, panglima kita persoalkan. Jadi dengan cara ini kita bagi kuasa kepada mereka. Siapa yang tahu tentang jenis senapang? Jenis kereta kebal yang terbaik? Saya tidak tahu.

 

  1. Saya tahu serba sedikit, dengar sana dengar sini, pergi ke LIMA’23, dia terangkan begitu tetapi orang yang nak gunakan itu harus dengan ikhlas memberikan pandangan terbaik dengan keupayaan kita membeli yang terbaik dan kalau boleh dengan beberapa negara sahabat seperit Turkiye, saya menelefon terus kepada Presiden Tayyip Erdogan, saya katakan boleh atau tidak kita buat government-to-government, tidak perlu menggunakan ejen komisen yang banyak-banyak, semua itu tidak mahu lagi. Dengan ini, kos akan lebih berpatutan tetapi yang lebih penting daripada kos ialah kereta kebal itu yang dipilih yang dianggap terbaik oleh Tentera Darat itu sendiri, itu keputusan kita.

 

  1. Ada orang kata apa faedah menerangkan perkara ini kepada pasukan tentera secara umum? Setiap keputusan dasar kita, saudara harus tahu. Kalau tidak saudara terima sahaja, sokong sahaja, tidak tahu apa yang berlaku selama ini. Mana boleh Malaysia dalam keadaan kekuatan ekonomi begitu rupa, hasil begitu tinggi tetapi kelengkapan ketenteraan begitu rendah berbanding 20 tahun yang lalu.

 

  1. Di mana silapnya? Itu mesti dibetulkan dan dasar kita dengan Menteri Pertahanan yang ada sekarang ialah membetulkan dengan menetapkan pembelian itu cukup telus. Jangan ada usaha khianat kepada keamanan negara, mencari keuntungan sehingga merosakkan yang mencemaskan keupayaan kita dalam keputusan yang bijak untuk keselamatan. Itu pendirian saya dan saya tidak mahu tolak ansur kerana saya juga Panglima. Jadi tidak mahu tolak ansur bab itu. Saya harap saudara-saudara faham itu.

 

  1. Baik, apakah kita boleh selesai semua sekali? tidak boleh. Kita sudah ketinggalan puluhan tahun. Jadi yang kita lakukan ialah untuk menggunakan dengan kekangan kewangan yang ada sekarang. Semasa saya ambil alih, hutang kerajaan adalah sebanyak RM1.5 trilion, tinggi sekali. Kita boleh hutang lagi tetapi siapa yang akan bayar? Anak-anak muda nanti yang akan bayar dan saya tidak mahu mereka terbeban.

 

  1. Jadi kita harus kurangkan hutang dan gunakan belanja yang ada tetapi gunakan dengan berhemah supaya kita tidak korbankan kepentingan pertahanan negara kita. Akan tetapi, tentunya tidak boleh selesai. Apa keutamaan dalam Belanjawan MADANI pada tahun ini? Pertama, menoktahkan kemiskinan tegar. Di Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan beberapa kelompok di Pahang, dan Perak, masih ramai. Bagaimana mahu noktahkan? Saya mahu mencari tiap orang yang paling miskin dan tentukan dia jangan masuk kategori yang nak beli susu anak tidak ada duit, nak makan tidak cukup, anak nak sekolah tetapi tidak mampu, itu yang kita mahu selesaikan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), saya minta selaraskan dan kita ambil tindakan.
  2. Setakat ini Alhamdulillah, banyak kejayaan telah kita kecapi dan juga kejayaan dalam beberapa bulan yang akan datang. Kedua, Sekolah. Anak-anak saudara pergi ke sekolah. Cuba tengok dan semak kedudukan tandas sekolah anak-anak. Kalau ada enam tandas, empat daripadanya rosak, hanya tinggal dua, sehingga perlu beratur. Ini tahun 2023, negara sudah catat kejayaan luar biasa.

 

  1. Jadi saya maklumkan kepada Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Binti Sidek, saya beri peruntukan yang besar, RM1.4bilion untuk semua sekolah-sekolah daif termasuk tandas kita baiki pada tahun ini. Begitu juga bagi klinik-klinik desa yang teruk. Tetapi belanjanya berapa? RM1.4 bilion sebab kita dah cuai bab ini. Kita tidak peka. Kita bersyarah tentang rakyat tetapi kita tidak peduli sekolah anak-anak kita.

 

  1. Saya akui cucu saya tidak masuk ke sekolah di Kampung. Dia bersekolah di Damansara yang tidak ada masalah tandas tetapi anak-anak orang lain, bagaimana? Anak-anak saudara? Sebab itu saya katakan, motto saya, kalau nak jadi pemimpin, anak Melayu, anak Cina, anak Kadazan, anak India, anak Iban itu semua anak saya. Anak di Kuala Lumpur anak saya, anak di Tambunan anak saya. Barulah boleh selamatkan negara ini dan adil kepada semua.

 

  1. Jadi bagaimana tentang perumahan tentera? Baru-baru ini, saya pergi melawat sahabat-sahabat saya yang jaga saya di Sungai Buloh dahulu dan saya lihat perumahan mereka teruk betul. Perumahan Kerajaan ini tidak terkendali begitu lama. Oleh itu, strategi kita, saya ada beritahu kepada Kementerian Pertahanan, untuk tahun depan Belanjawan yang akan kita umumkan pada tahun ini, keutamaan kita ialah perumahan tentera, perumahan polis dan perumahan pegawai Kerajaan.

 

  1. Tetapi oleh kerana Kem di Lok Kawi ini banyak masalah. Saya lalu sebentar tadi, saya tengok ada macam-macam tengah diperbaiki tetapi saya ingat sengaja mereka tunjuk, biar apabila Anwar Ibrahim lalu, beliau akan nampak. Ini memang mereka rancang dan baru semalam mereka buat baik, agak saya lah (nada seloroh).

 

  1. Dalam hidup ini, perjalanan saya banyak derita. Saya muda lagi masuk Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kem Tahanan kerana saya memperjuangkan nasib petani-petani miskin, pekebun kecil di Baling, Kedah. Jadi umur 20-an dah kena tetapi bagi saya, hendak berdendam buat apa? nak marah buat apa? ada atau tidak pengajaran? Ada. Apakan pengajarannya? Masa saya muda lagi, saya didera kerana memperjuangkan nasib petani dan pekebun kecil miskin.

 

  1. Sekarang saya sudah jadi Perdana Menteri, maka buatlah sebaiknya. Allah SWT uji, Allah SWT bagi latihan, Allah SWT bagi pendedahan dan ini harus mendewasakan kita, memberikan kesedaran. Anwar Ibrahim harus lalui ini, tidak ramai orang macam ini, pergi balik, masuk keluar penjara dekat 10 setengah tahun, 11 tahun. Buatlah yang sebaiknya untuk rakyat terutama yang memerlukan pembelaan yang jauh daripada kami. Bukan Tan Sri, Tun atau Dato tetapi rakyat biasa yang memerlukan pembelaan. Jadi itu yang menyebabkan mempengaruhi saya keras dalam perkara ini. Saya tidak ada tolak ansur. Saya tidak peduli kamu Tun atau Tan Sri, jika kamu langgar hukum, kamu curi wang rakyat, aku serang kamu.

 

  1. Baiklah, untuk Kem Lok Kawi, sebelum saya datang di antara sebab yang saya nak bangkitkan, umumkan supaya saudara faham, sepatutnya semua pelaksanaan tahun depan tetapi oleh kerana beberapa kem tentera itu keadaannya tenat, maka kita akan laksanakan segera, tahun ini juga. Apabila saya kata segera, saya minta Kementerian Kewangan tentunya, KPPA wakil akan tolong ingatkan, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pun ada, Setiausaha Persekutuan pun ada, supaya pelaksanaan itu dimulakan segera. Kita akan wujudkan Sekolah Menengah Kebangsaan yang baru di Lok Kawi kerana sekolah sekarang tidak dapat menampung keperluan yang ada dengan peruntukan kos sebanyak RM23 juta akan bermula sekarang. Apabila saya umumkan ini, maka harus terus diambil tindakan.

 

  1. Selain itu, menaik taraf Jalan Raya Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sungai Kinarut Papar dengan kos sebanyak RM67 juta, kerana kemudahan ini banyak saudara gunakan. Membaik pulih dan menaik taraf Aviari di Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Putatan dengan kos projek sebanyak RM4.8 juta. Pembinaan Kem RKAT dengan tambahan pelbagai kelas, menjadikan kos pembinaan Kem Lok Kawi RM213 juta.

 

  1. Kemudian ada juga unit-unit perumahan yang mendesak. Saya minta Panglima beritahu saya, oleh kerana saya hadir, perumahan yang mendesak, sementara nak tunggu projek untuk tahun depan. Kita akan laksanakan yang tidak lebih dari RM5 juta dahulu, khas untuk Kem Lok kawi.
  2. Maka ini semua untuk tentera dan kegunaan saudara tetapi oleh kerana ada juga unit rumah terbiar, terdapat 47 unit rumah terbiar dan kita akan ubah suai sebagai unit kuarters awam untuk rakan-rakan yang bukan tentera tapi bekerja di sini. Jadi untuk perumahan, 47 unit kuarters awam dan sebuah rumah transit Kementerian Pertahanan cawangan Sabah di Taman Lok kawi, dengan peruntukan sebanyak RM25 juta. Maknanya YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan tidak boleh pergi selalu ke kem ini. Kalau asyik pergi ke kem ini, habis wang untuk tempat lain nanti tidak ada (nada seloroh).

 

  1. Baik, saya nak umumkan juga selama ini, pegawai dan anggota ATM yang bertukar wilayah menerima bayaran insentif Sabah Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung. Namun kadar ini rendah berbanding dengan kadar yang diberi kepada pegawai perkhidmatan awam yang lain. Jadi maknanya perkhidmatan awam dapat kadar lebih tinggi daripada tentera padahal kos itu sama, harga barang sama, sewa sama dan harga pakaian sama. Jadi oleh demikian saya tidak fikir ini wajar kita pertahankan. Maka, Kerajaan bersetuju memanjangkan bayaran insentif wilayah menggantikan BISS dan BISM untuk memanfaatkan pegawai dan anggota ATM berkuat kuasa 1 Julai tahun ini juga. Kelulusan ini, untuk Bayaran Insentif Wilayah (BIW) akan memanfaatkan 33,586 anggota ATM. Ini bukan jumlah kecil dan implikasi kewangan tambahan setahun berdasarkan jawatan 2022 Ialah RM87.8 juta.

 

  1. Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih, jangan lupa saya mulakan dengan apa? dengan sejarah Penubuhan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Sejarah Penubuhan Malaysia. Kedua-duanya dalam keadaan tegang dan ada pertempuran. Pertama, dengan Parti Komunis Malaya. Keduanya, dengan pandangan Indonesia ketika itu tetapi sekarang Indonesia adalah negara sahabat karib kita tetapi ketika itu Perang Ganyang Malaysia, jadi jangan kita lupa.

 

  1. Jadi kalau saudara tanya mengapa saya umumkan perkara-perkara ini, pertama, saya mengambil kira juga pengorbanan yang telah dilakukan. Kedua, peranan saudara terutama di perbatasan kawasan perairan itu harus kita tingkatkan. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih setinggi tingginya dan mendoakan, jangan lupa, apa pun kita harus berdoa, kita harus ikhtiar.

 

  1. Kita berunding, berikhtiar dan kita ambil keputusan – “wa shaawirhum fil-‘amr”, kita bersama berunding kemudian kita buat keputusan, “Fa-‘izaa ‘azamta”, kita ambil keputusan dan jangan lupa, “fata-wakkal  ‘alallaah” serah kepada Allah SWT.

 

 Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

PENAMPANG, 31 Mei — Kerajaan Perpaduan berpendirian serius dan memasang tekad bagi menyelesaikan masalah prasarana antaranya melibatkan pendidikan, bekalan air dan jalan raya terutama di Sabah dengan kadar yang segera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dalam usaha menyelesaikan masalah itu, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama dengan padu bagi memastikan gerak kerja serta pelan yang dirancang mampu dilaksanakan dengan sempurna.

Katanya secara peribadi beliau komited dalam membantu Sabah menyelesaikan masalah itu apabila sering datang ke negeri berkenaan iaitu tiga kali sejak memegang jawatan Perdana Menteri dan melihat sendiri situasi melibatkan prasarana di Negeri di Bawah Bayu itu.

“Maka saya buat keputusan esok pagi insya-Allah saya buat mesyuarat tertinggi peringkat Persekutuan dan negeri untuk selesaikan masalah air bersama kerajaan negeri,” katanya berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Pesta Kaamatan 2023 dan Presiden KDCA  Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Anwar berkata tindakan juga sedang dibuat untuk memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo dan kerja-kerja membaik pulih serta penyelenggaraan jalan di Sabah dilaksanakan dengan kadar segera demi manfaat rakyat di negeri itu.

Katanya bagi melicinkan perlaksanaan tersebut, sebahagian kerja-kerja yang terlibat dengan membaik pulih dan penyelenggaraan jalan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan negeri mengikut peraturan dan dasar kewangan negara.

“Baru-baru ini juga peruntukan untuk membaiki jalan ini ditingkatkan, peruntukan tertinggi perbaiki jalan yang diberi adalah untuk negeri Sabah. Kita telah minta tindakan segera,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya juga Menteri Kerja Raya negeri dilaporkan berkata 15 pakej kerja dalam Fasa 1, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, yang pada tahap 79.06 peratus pembinaan, dijadual siap sepenuhnya pada hujung tahun depan.

Dalam ucapannya juga, Anwar memuji usaha dan peranan dimainkan Hajiji dalam menyelesaikan masalah prasarana dihadapi negeri itu, selain menyifatkan ia sebagai teladan yang baik sebagai seorang pemimpin yang komited menyelesaikan masalah dihadapi negeri serta rakyatnya.

Perdana Menteri berkata ketika tiba di Sabah kira-kira 1 pagi tadi, Hajiji begitu bersemangat menerangkan tentang situasi prasarana itu dan bertanya tentang projek yang diperoleh rakyat Sabah, malah secara berseloroh Anwar meminta ruang untuknya tidur dahulu sebelum menyambung perbincangan.

“Saudara Hajiji begitu prihatin. Inilah yang kita mahukan untuk pemimpin-pemimpin kita, bukan pemimpin minta umpamanya ada tak projek untuk saya, ada tak saham untuk saya. Tetapi saudara Hajiji (bertanya) ada tak projek tambahan untuk rakyat Sabah,” katanya.

— BERNAMA

 

KUALA LUMPUR, 30 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan komited untuk meningkatkan dan mempermudahkan lagi aktiviti perniagaan dalam negara dan menyokong pelaburan langsung domestik.

Selain itu, katanya, kabinet juga menumpu untuk mempercepat pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan aktiviti perniagaan antaranya termasuklah permohonan berkenaan ekspatriat yang berkemahiran, dalam usaha menggalakkan pertumbuhan domestik.

“Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memangkin dan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan para usahawan tempatan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi. 

“Ini termasuk langkah Belanjawan 2023 untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion,” katanya  dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Anwar terdahulu hari ini mengadakan sesi dialog dengan pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan ahli ekonomi berhubung langkah-langkah untuk memperkukuh pemacuan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik.

Sesi dialog berkenaan disertai dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan bank-bank.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, petunjuk awal indikator ekonomi memperlihatkan dasar fiskal kerajaan dan langkah Belanjawan 2023 telah membuahkan hasil meskipun menghadapi pelbagai cabaran.

Jelasnya, Malaysia mencapai pertumbuhan Suku Pertama (S1) 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus (berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus) dan mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus (berbanding 5.2 peratus pada Mei 2020).

Selain itu, jumlah pelaburan yang diluluskan pada S1 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada S1 2022.

“Ia disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antaranya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely / Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.

“Pengesahan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s masing-masing pada Februari 2023 dan April 2023 mencerminkan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi walaupun di tengah-tengah situasi global yang sangat mencabar,” katanya.

Pada pertemuan yang sama, Anwar turut menekankan komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tata kelola serta menegakkan keadilan sosial untuk semua rakyat, selaras dengan visi Malaysia MADANI.

Beliau turut menjelaskan bahawa dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023). 

Justeru, katanya, kumpulan perniagaan turut dipelawa untuk mengemukakan input dan cadangan berhubung rancangan ekonomi yang bakal dibentangkan itu.

Orang ramai juga boleh berkongsi cadangan berhubung langkah-langkah bagi mengembangkan lagi ekonomi negara melalui segmen “Suarakan Pendapat Anda” di lawan web rasmi Kementerian Kewangan www.mof.gov.my, tambahnya.

— BERNAMA 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN SEMINAR FIKRAH SIDDIQ FADZIL ‘CINTA BUDAYA DAN PERADABAN BANGSA MALAYSIA’

 

30 MEI 2023

 

BALAI BUDAYA TUN SYED NASIR

WISMA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahilladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq.

Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.

Wa kafa billahi syahida.

Wa nusalli wa nusallimu ‘ala rasoolil kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

YBhg. Datin Dr. Siti Zulaikha Mohd Nor dan keluarga;

 

YB Fadhlina Sidek,

Menteri Pendidikan;

YBhg. Datuk Dr. Awang Sariyan,

Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka;

YBhg. Prof Mohammad Redzuan,

Naib Canselor UNISEL;

Sasterawan-sasterawan Negara;

Gabungan WADAH-ABIM-PKPIM;

Keluarga Dewan Bahasa Dan Pustaka; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Alhamdulillah, kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), UNISEL dan WADAH untuk memanfaatkan peluang yang ada, mengimbau semula dan mendalami fikrah sahabat kami pemikir dan murabbi ummah, Siddiq Fadzil.
  1. Acapkali bila mengingat tokoh-tokoh silam saya terkenangkan apa yang pernah diungkapkan oleh Roger Garaudy, pemikir dan filasuf Perancis mutakhir yang menyatakan kalau benar, kita ikhlas dan faham tentang seseorang tokoh dan sosok penting, ianya bukan untuk menyatakan sekadar keprihatinan, kesedihan, tetapi menggali khazanah dan mewacanakan, menggilap idealisme yang dibawa oleh tokoh atau sosok tersebut. Kata-kata Roger Garaudy, “To be faithful to our ancestors is not to preserve the ashes of their fire but to transit its flame” yang bermaksud mentaati moyang kita bukan sekadar menyimpan abu mereka tetapi menyalakan api keriangan ke dalam kehidupan mereka. Dalam konteks ini, ialah menyalakan fahaman idealisme yang dilontarkan oleh susuk itu. Justeru, wacana seperti ini harus diperluaskan.
  1. Saya tidak bias kerana kebetulan Siddiq itu sahabat karib. Tetapi kerana pemikirannya itu sangat relevan dengan keperluan kita mengangkat masyarakat MADANI ini, kuat berakar kepada budaya Melayu, petah dalam perbicaraan penguasaan bahasanya, mendalami Islam dan terbuka luas minda, penggagas islah atau reform. Tidak terperangkap dengan pemikiran sempit kaum atau jumud kefahaman agama dan juga merupakan seorang demokrat yang memahami erti demokrasi rakyat. Bukan demokrasi, sistem dan institusi seperti mana yang lazim difahami sekarang, tetapi demokrasi itu hanya bererti sekiranya ada kecerdasan di kalangan rakyat.
  1. Ini kesedaran dari kalangan massa yang tempang. Sebab itu tokoh-tokoh politik, parti-parti politik atas apa nama jua, boleh mengheret rakyat untuk mendukung fahaman mereka sama ada dengan wang atau dengan demonologi atau dengan ideologi sempit tidak dengan kefahamannya lebih meluas. Tertarik kerana A. Samad Said ada di sini, kerana bila Ahmad Azam bicara soal kupasan kita dalam muktamar ABIM mengenai islam dalam masyarakat majmuk, A. Samad Said dalam Berita Harian pernah mengupas. Satu-satunya medium pada ketika itu yang memberi ruang kepada kami mengupas dengan kritis dan dengan mendukung hasrat golongan muda, membuka minda rakyat dan mengaitkan kekuatan Islam dalam konteks Melayu dan juga pembinaan negara bangsa. Terima kasih Pak Samad!
  1. Sepertimana yang kita ketahui, terutama rakan-rakan yang mengikuti Tafsir Maudhu’i, Islam dan Melayu serta beberapa keputusan lain dan juga karya tesis kedoktoran yang tidak diterbitkan oleh beliau, Siddiq itu terlalu keras dalam fahamannya dengan mengakar kepada tradisi rantau dan Melayu. Walaupun tidak berganjak dari segi keyakinan tentang Islam dan ini juga harus difahami oleh generasi sekarang. Kadang-kadang bila kita bina ABIM dia tidak menganjurkan satu sikap walak. Mendukung pemikiran satu orang, satu kelompok tetapi mentafsir pada Al-Quran dan Al-Quran dengan tafsir yang pelbagai supaya kefahaman kita lebih mendalam, tafsir yang tradisional yang ala Tassawuf yang moden, yang kuat bahasa Arabnya, kuat bahasa Inggerisnya.
  1. Maka dalam usrah-usrah awal dipimpin oleh Sheikh Razali Nawawi dan Fadzil Noor tentu diikat, terikat dengan tafsir jalan lain tetapi dibawa juga Qurtubi, Maududi Syed Qutub untuk diberikan satu perimbangan kefahaman yang lebih meluas dan mendalam. Tapi yang penting di sini ialah memahami agama dengan tradisi ilmu yang mantap, yang mendalam, tidak memahami Islam dan bentuk penafsiran seorang guru agama. Melainkan hal-hal yang sudah tetap, solat, salam, Ramadan dan lain lainnya.
  1. Kemudian buku-buku dia hebahkan dan sebab itu saya hendak manfaatkan waktu ini untuk menyatakan bahawa untuk berkecimpung dalam gerakan dalam dan mendukung semangat islah dan perubahan, mengangkat martabat negara bangsa, negara MADANI, ia mesti berteraskan kepada keyakinan. Keyakinan yang mendalam dan ilmu.
  1. Sebab itu dalam memahami Islam itu sendiri, kita bawa kupasan yang cukup luas dari pandangan tokoh-tokoh gerakan Islam termasuk Hassan Al-Banna kepada pemikir-pemikir semasa, Abdul Rahman al-Kawakibi, dan kupasan kupasan dalam beberapa karya Sayyid Sabiq, Syaikh Muhammad Al- Ghazali, kemudian Yusuf al-Qaradawi dan juga mengambil kira pandangan-pandangan di rantau ini, Muhammad Iqbal dalam “Reconstruction of Religious Thought in Islam” yang menggagaskan pembaharuan berdasarkan kefahaman lebih mendalam dan keperluan untuk menolak taklid, bukan kesemuanya, tetapi kerana tidak berakar kepada sunnah atau Al-Quran dan menganjurkan ijtihad dengan beberapa prinsip yang ketat.
  1. Kemudian di Indonesia tentunya Buya Hamka, termasuk tafsir Al-Azhar, satu-satunya tafsir gagah dalam korpus bahasa Melayu, dan juga pemikir seperti Mohammad Natsir. Di Tanah Melayu, pejuang-pejuang kebangsaan awal termasuk kupasan Raja Ali Haji, Za’aba dan kemudiannya dari sudut ekonomi kemiskinan kupasan Ungku Aziz. Syed Muhammad Naquib al-Attas bin Ali al-Attas pula seorang pemikir yang lebih kritis tentang fahaman dogmatik Melayu pada ketika itu yang membantah pemikiran usang Revolusi Mental yang menganggap beberapa sentimen Melayu yang agak ketinggalan dan perubahan itu hanya di kalangan rakyat. Tidak menyinggung bahawa beberapa kerosakan besar dalam negara ialah kerana pemikiran jumud dan keterlaluan, keangkuhan kuasa, kegelojohan dan rasuah di kalangan pimpinan itu tidak disinggung kuat dalam karya “Siapa Yang Salah. Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu” serta “Intellectual Masyarakat Membangun” (Intellectuals in Developing Countries). Siapa yang salah menggasak pemikiran yang sedemikian termasuk “The Malay Dilemma” oleh Tun Dr. Mahathir. Satu per satu karya yang dianggap besar oleh sebahagian cendikiawan Melayu, tetapi tidak dapat dipertahankan dari sudut keilmuannya, dari sudut gagasan pembaharuan sebenar kerana fikiran itu masih terperangkap dengan kerangka pemikiran penjajah.
  1. Semua kita ini anti-penjajah tetapi secara tidak sedar kita terbawa diheret dengan pemikiran penjajah termasuk pandangan mitos pribumi malas yang perlu dikupas, yang didukung oleh Revolusi Mental dan juga Melayu Dilema. Mitos yang pernah disanggah lama sebelum itu oleh José Rizal yang saya anggap sebagai the Precursor of Asian Renaissance. José Rizal dalam “The Indolence of the Filipino”. Lembap, malas Filipino ikut pandangan siapa? penjajah Sepanyol dan pendakyah Kristian yang memaksa mereka meninggalkan budaya dan agama yang lalu. Kerana ditanam tebal pandangan dan susuk yang negatif itu. Hal-hal ini kalau saudara-saudari teliti semula karya-karya Siddiq itu sangat tepat untuk kita kaji sama ada relevan pada masa kini.
  1. Sebab itu di acara pesta buku saya tegas menggesa golongan cendiakawan yang harus jadi seperti Siddiq Fadzil. Cendekiawan ini bukan yang terperangkap di gedung universiti, tetapi juga public intellectual yang pernah dikupas oleh Edward Said, dalam “The Reith Lectures” berbeda dengan sarjana dan public intellectual yang mengungkap permasalahan rakyat dan cuba mengangkat tahap kefahaman masyarakat secara umum.
  1. Dalam konteks ini kita harus perbanyakkan, saya bincang dengan saudari Fadhlina umpamanya, memang betul keutamaan sekarang digital teknologi, ilmu mengenai AI dan beberapa kerangka pemikiran ke arah sains dan matematik yang kebanyakan lemah di kalangan masyarakat terutama anak Melayu. Tetapi, kitakan manusia, kita bicara soal karamah insaniah. Maka manusiawi itu tidak mampu dibentuk hanya dengan kerangka teknologi, sains dan digital (digitalization), ia juga turut dibentuk dengan bahasa dan budaya.
  1. Maka, walaupun ada pandangan-pandangan yang serong menganggap bahawa seni, sastera dan budaya itu tidak relevan, kita tidak sekali-kali boleh menerima fahaman cetek sedemikian kerana yang kita bicarakan itu mengangkat martabat bangsa. Tentunya ekonomi masih fundamental, saya tidak nafikan penting dan petang ini saya akan tumpu di situ untuk membincangkan soal ringgit, soal pelaburan, soal keutuhan ekonomi. Tetapi apabila kita bicara soal walaqad karramna bani adam dan kalau karamah insaniah itu, tentunya tekad kepada keyakinan, nilai, akhlak, budaya, manusia, seni, pengucapan hati nurani dalam bahasa yang terindah yang mungkin, dan itu puisi. Sebab itu, bila saya di lapangan, kadang-kadang dalam perbicaraan dengan anak muda, termasuk universiti-universiti, saya rasa bimbang, kerana minat dan kecenderungan ke arah ini sudah tidak ada. Karya-karya penting di sini seperti Anwar Ridhwan, Rahman Shaari, dan tentunya A. Samad Said yang membicarakan soal bumi hijau, soal kemiskinan, yang disebut papa kedana, soal rasa lara, lara ini memang istilah paling disenangi oleh A. Samad Said, soal perjuangan, soal gerakan kebangsaan awalnya, soal penindasan, soal hilangnya nilai demokrasi, semua itu diceriterakannya, dia gubah dan diucapkan dengan bahasa yang terindah mungkin dalam bahasa kita.
  1. Maka kalau generasi baru ini tidak merasai kelazatannya yang disebut oleh. Saidina Ali bin Abi Talib lazatnya kerana keindahan bahasa dan ilmu marifahnya. Maka kita akan rasa kerugian sebab itu wacana seperti ini penting dan sebab itu buku-buku yang kita hasilkan termasuk dari Dewan Bahasa dan Pustaka mesti diwacanakan di sekolah dan di pusat pengajian tinggi. Bagaimana?, itu kerja Awang Sarian dan YB Fadlina.
  1. Baru-baru ini saya minta JAKIM, kerana kecelaruan pemikiran sikap pelampau walak tanpa berfikir yang menganggap satu guru itu sahaja yang paling baik, tidak membaca, tidak menganjurkan pembacaan yang lain. Kalau hendak baca kalau yang menyokong Anwar buku pasal anwar sahaja. Kita tidak boleh angkat masyarakat MADANI begitu. Dalam setiap tajuk itu mesti ada keinginan, keghairahan untuk menimba ilmu, membicarakan dan wacanakan dengan bebas.
  1. Sebab itu di JAKIM beberapa bulan yang lalu saya minta diterjemah buku hasil karya Dr. Taha Jabir Al-Alwani, pengasas and pengerusi the Fiqh Council of North America yang berjudul Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam – Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam. Perbedaan atau berwacana atau berbeda pendapat dalam Islam, menghormati dan memuliakan walaupun ada perbezaan tapi berdasarkan ilmu, bukan berdasarkan parti, bukan berdasarkan tokoh, tetapi mestilah berdasarkan bersandarkan kepada kekuatan ilmu.
  1. Kemudian minggu lalu bila saya dengar ucapan dari dua (2) ulama terkenal dunia sekarang termasuk Dr. Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab ialah merupakan mantan Mufti Besar Mesir dan Habib Omar bin Hafiz mereka menyebut tentang Kitab matan arbain – Imam Nawawi iaitu 40 hadis yang dipilih yang rasanya harus ditelaah, hadam oleh masyarakat. Tetapi saya beritahu Sheikh Dr. Ali Jum’ah bukan sahaja matan hadis itu, tetapi harus dengan syarah yang lebih tepat, kalau tidak dakwah kita itu dakwah pertarungan sengit yang penuh dengan benci dan menghukum tanpa kefahaman. Berbeda dengan semangat Irhamu man fil ardli yarhamkum man fis sama’”– Sayangilah semua yang ada di bumi, maka semua yang ada di langit akan menyayangimu.
  1. Jadi saya harap semangat dan budaya ini harus kita terapkan dalam masyarakat kita kerana saya dan Siddiq Fadzil umpamanya itu juga peminat pemikir Algeria, Almarhum Malik Ben Nabi. Beliau menulis dalam bahasa Perancis dan terjemahan bahasa Arab. Jadi saya mohon Siddiq Fadzil menterjemahkan dan saya cuba hadam kemudian saya ulas. Dia selalu sindir saya, pengulas itu lebih baik daripada yang penterjemah asalnya. Itulah persahabatan kami dan beberapa kupasan di dalam bahasa Inggeris, umpamanya karya awal Seyyed Hossein Nasr sekarang di Universiti Washington, pengasas badan lembaga falsafah Islam di Iran dan “Man and Nature: The Spiritual Crisis in Modern Man” yang ditulis sejak tahun 60-an. Dikupas baru-baru ini oleh Sheikh Dr. Ali Jum’ah tentang ummatan wasata. Saya kagum juga kerana kita bicara tentang ummatan wasata itu puluhan tahun. Tapi dia kupas ummatan wasata ini sebagai umat sederhana. Tapi sederhana bagi beliau itu adalah sederhana ‘Itqan Fil Amal’, excellence dan sederhananya adalah seperti bukit, kita naik mendaki perlahan-lahan sampai di tempat yang tertinggi kemudian ada turun. Jadi di antara 2 mercu bukit itu, itulah kesederhanaan di mercu, hebat begitu.
  2. Jadi kesederhanaan dan Islam itu adalah di puncak tertinggi kerana minat kepada ‘Itqan Fil Amal’. Jadi, ini dasar sama seperti yang dikupas oleh saudara Siqqdiq, selalu kita gunakan tentang bawa perubahan itu kerana keyakinan, seperti kata almarhum Malik Ben Nabi, “Inner struggle of conscience”, keyakinan bukan bikin-bikinan, bukan kerana helah kelompok atau kaum atau politika ataupun tokoh. Tetapi suatu cetusan ikhlas dari hati nurani yang bersih. Pencernaan ini yang menghasilkan suatu kefahaman yang kemudian membina kekuatan. Kata dia, dari inner struggle of conscience, kita membentuk satu kerangka pemikiran yang disebut guiding ideas, dan idea pendorong inilah yang menetapkan hala tuju keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita sendiri. Dan sebab itu saya cuba ungkapkan negara MADANI dalam konteks itu.
  1. Negara tidak boleh berkembang tanpa pembinaan tamadun. Betul ekonomi itu dasar dan teknologi juga penting. Tetapi mesti didasari dengan kekuatan nilai dan akhlak dan keindahan yang dilengkapkan dengan semangat yang disebut manusiawi atau karamah insaniah. Sebab itu Dewan Bahasa itu penting dan saya telah berikan dukungan yang cukup kuat kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, baik penerbitannya, kegiatannya kerana kita mahu lihat dalam bulan-bulan akan datang Dewan Bahasa dan Pustaka itu kembali sebagai gedung budaya yang hebat. Dengan ini saya berikan jaminan untuk kita angkat dan menyempurnakan semangat sepertimana hadis Nabi Muhammad SAW, “addabani rabbi fa ahsana ta’dibi” – Tuhanku telah mendidikku dan dengan demikian menjadilah pendidikanku yang terbaik.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.