GALERI GAMBAR : HARI PENJAJA DAN PENIAGA KECIL (HPPK) PERINGKAT KEBANGSAAN 2023 DI BUHAVAN SQUARE, PENAMPANG










PENAMPANG (Sabah), 7 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembangunan warung, gerai serta restoran yang bersih dan indah diberi tumpuan agar ia menjadi mercu tanda untuk setiap negeri dan bandar di seluruh negara.
Beliau berkata semua majlis perbandaran di seluruh negara diminta untuk menentukan keutamaan berkaitan termasuk dalam aspek bekalan air, elektrik dan perpaipan bagi membolehkan aspirasi itu direalisasikan.
Katanya dengan cara itu ramai rakyat akan memilih untuk pergi ke gerai, warung dan restoran berbanding hotel lima bintang, sekiranya aspek kebersihan dan keindahan premis itu dititikberatkan.
“Tumpu pembangunan warung dan gerai, biar bersih dan indah kerana majoriti rakyat kita gunakannya. Tanggungjawab rakyat pula menjaga kebersihannya. Ini tugas penting untuk Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, bukan hanya minta peruntukan, tetapi ada misinya. Ini kerajaan julung kalinya bagi penekanan.
“Nak bangunkan kota, bangunkan gerai dan warung (yang bersih dan indah) dulu. Esok nak kenal Kota Kinabalu atau Penampang, pastikan gerai, warung dan restoran diurus dengan baik dan indah,” katanya berucap merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat Kebangsaan 2023 di Buhavan Square di sini hari ini.
Bertemakan “Penjaja dan Peniaga Kecil Nadi Ekonomi MADANI”, karnival itu dianjurkan sebagai tanda pengiktirafan kerajaan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di negara ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Mengulas lanjut, Anwar juga berkata beliau mahu ibu negara Kuala Lumpur dikenali dengan warung, gerai dan restoran bersih sebagai mercu tanda, tidak hanya bangunan pencakar langit atau hotel lima bintang semata-mata.
Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI pimpinannya turut memberi tumpuan kepada keindahan landskap taman di setiap bandar, selain mengekalkan nilai bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka bagi menjadikan ia sebagai kota warisan.
“Ini penting bagi terus mempertahan nilai sejarah dalam setiap projek raksasa yang ingin dijalankan, selain memastikan pelan pembangunan dirangka dengan baik demi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
— BERNAMA










KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) — Kerajaan Perpaduan berlandaskan Ekonomi MADANI dengan menumpukan kebijakan ekonomi untuk meningkatkan pertumbuhan telah membawa hasil terutama dalam sektor baharu seperti digital, tenaga hijau dan tenaga boleh baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertumbuhan ekonomi negara turut dibuktikan menerusi peningkatan kemasukan pelaburan asing dengan nilai yang lebih tinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kestabilan politik negara dan dasar ekonomi yang jelas turut menjadi pemangkin dalam menyuntik keyakinan pelabur asing untuk melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menguntungkan.
“Dalam pendidikan masyarakat, hal-hal (berkaitan) tata kelola harus ditegaskan…saya ambil alih kuasa (pentadbiran) dengan satu mandat tanpa bertolak-ansur (terhadap kesalahan tata kelola).
“Saya bersyukur, (dalam tempoh) pentadbiran satu tahun ini, belum ada walau satu sanggahan terhadap mana-mana pemimpin yang mengaut kekayaan secara haram. Ini satu rekod yang tidak boleh dimungkiri kenyataannya,” katanya dalam wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan MADANI: Tiwikrama Perdana Menteri terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung malam ini.
Perdana Menteri berkata kemasukan pelaburan langsung asing memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam kalangan anak muda, selain peningkatan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka.
Beliau menegaskan walau bagaimanapun, terdapat cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan iaitu menyediakan bentuk latihan dan kemahiran yang lebih sesuai serta memenuhi kehendak pasaran.
“Tumpuan kerajaan adalah pertumbuhan ekonomi, mutu pendidikan, kemudahan kesihatan yang lebih baik dan sosioekonomi yang lebih baik seperti menokhtahkan kemiskinan tegar dan sekolah daif.
“Melalui pelaburan yang jauh lebih tinggi dan dalam bidang yang dianggap berteknologi tinggi seperti digital dan tenaga boleh baharu, ini akan memberi jaminan untuk pekerjaan yang lebih banyak,” katanya.
Beliau memberi jaminan tumpuan kerajaan pada masa ini adalah menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda, dengan pendapatan tidak tersekat pada kadar RM2,000 sebulan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan penganggur pada September 2023 menurun 0.6 peratus kepada 573,700 orang berbanding 577,300 orang pada bulan sebelumnya.
Kadar pengangguran pada September kekal pada 3.4 peratus seperti angka pada Ogos.
Baru-baru ini, Anwar memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa Malaysia berjaya meraih komitmen pelaburan dengan nilai RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan yang diadakan di luar negara.
Beliau berkata pelaburan tersebut diraih di China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) — Kerajaan mempunyai peranan penting dalam menggubal dasar yang jelas dan bersepadu bagi menarik serta mengekalkan pelabur di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan libat urus bersama industri juga perlu diterapkan agar dasar dan inisiatif yang diwujudkan selari dengan keperluan semasa serta masa akan datang.
Perkara tersebut antara yang dikongsikan beliau ketika kunjungan hormat Naib Presiden Dasar Global, Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) Mary Thornton dan delegasinya hari ini.
“Dalam pertemuan ini, ahli-ahli SIA mengambil kesempatan memaklumkan kepada saya mengenai perancangan industri serta cadangan-cadangan dalam memperkukuh tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing terutamanya pada peringkat rantaian yang bernilai tinggi.
Antara lain saya terangkan pendekatan penting kerajaan yang menggalakkan sektor swasta menerajui pusat-pusat kemahiran sebagai langkah mengatasi isu ketidaksepadanan tenaga kerja baharu dengan keperluan industri,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Selain itu, Anwar juga memaklumkan mereka sependapat bahawa ekosistem perusahaan kecil dan sederhana yang menyumbang kepada rantaian pengeluaran syarikat-syarikat utama dunia perlu sentiasa diberi penekanan dan sokongan.
SIA telah menjadi suara industri semikonduktor Amerika Syarikat selama lebih dari empat dekad selain ahli SIA mewakili lebih daripada 99 peratus industri semikonduktor Amerika Syarikat dari segi pendapatan dan hampir dua pertiga daripada firma cip bukan Amerika Syarikat.
— BERNAMA





TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
HARI PROFESION TEKNIKAL NEGARA 2023
5 DISEMBER 2023 (SELASA)
DEWAN DAMAR SARI, PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Rakan saya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi,
Menteri Kerja Raya;
YB Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Haji Mohamad,
Timbalan Menteri Kerja Raya;
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara;
Ketua Setiausaha Kerja Raya;
Ketua Pengarah Kerja Raya; dan
Rakan-rakan serta mantan-mantan Ketua Pengarah dan pimpinan pengurusan kerajaan yang kita muliakan dan banggakan. Terima kasih kerana sudi hadir bersama.
- Pertama, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat kita bersama pada hari ini yang di antara sebabnya kerana saudara saya YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi (Menteri Alex) mendesak bertubi-tubi dan beliau berkata program ini adalah amat penting kerana ia merupakan pengiktirafan kepada profesion teknikal dari semua kementerian. Oleh itu, Kerajaan seharusnya menunjukkan sikap yang positif kerana peranan mereka yang dianggap sangat kritikal bagi memacu pertumbuhan negara.
- Selain itu, saya ingin menyatakan bahawa Menteri Alex ini ialah seorang Menteri yang menyantuni pegawai dan pengurus. Pengalaman saya dalam Kerajaan terdahulu dan sekarang adalah perkara biasa apabila pengiktirafan itu diberikan kepada Ketua Pengarah atau pun Pegawai yang bersara tetapi luar biasanya Menteri Alex ini adalah beliau meminta kita untuk memberi pengiktirafan khas kepada mantan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool.
- Saya ingat sudah empat (4) kali beliau mengingatkan saya, selepas mesyuarat Jemaah Menteri, semasa makan tengah hari dan bila-bila masa kami berjumpa, beliau berulang kali mengingatkan supaya saya perlu datang untuk mengiktiraf profesion teknikal yang dilihat sangat penting untuk negara dan seterusnya memberikan satu penghormatan kepada Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool yang akan bersara.
- Kisah ini dilihat kecil tetapi ia menggambarkan semangat dan nilai yang penting. Allah SWT takdirkan kita sebahagiannya menjadi Menteri, sebahagian menjadi Pengurus Bahagian, sebahagian menjadi Ketua Pengarah atau sebahagian menjadi Juruteknik pelbagai tugas tetapi apa yang dikatakan kekuatan dalam MADANI itu adalah Kemampanan.
- Kita membicarakan tentang transisi tenaga atau peralihan tenaga yang diperlukan dan sekarang sedang berlangsung Persidangan COP28 iaitu satu persidangan besar di Dubai. Kita membicarakan tentang transformasi digital dengan cabaran-cabaran baharu seperti Artificial Intelligence (AI) dan lain-lain. Kita membicarakan Pelan Perindustrian yang menekankan tentang mission, sektor yang menentukan mission untuk mengangkat martabat negara ini.
- Kita mengkaji semula Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan mengambil kira beberapa elemen penting dalam MADANI tetapi semua ini bagi saya adalah keistimewaan. Dalam isu MADANI, ia meletakkan ciri ehsan dan kemanusiaan dan menekankan soal nilai dan akhlak kerana dalam perkerjaan, kita membicarakan semangat dan hadis Nabi Muhammad SAW iaitu Itqan Fil Amal – usaha untuk Strive for Excellence kerana kita harus meletakkan nilai dan martabat manusia itu di kedudukan yang tinggi kerana Allah mentakdirkan begitu rupa – Wa Laqad Karramna Bani Adam iaitu Allah mengangkat darjat manusia anak cucu Adam.
- Dengan kata lain, nilai kemanusiaan itu penting bagi orang Islam, Kristian dan pelbagai agama yang lain kerana ia melatih kita supaya bekerja dengan lebih teratur, menjadikan cita-cita kita itu lebih murni dan mulia serta rasa hormat sesama manusia dapat ditingkatkan, walau dalam apa jenis profesion sekalipun.
- Apa hubung kaitnya kemanusiaan dan nilai dengan profesion teknikal? Teknikal ini adalah seperti peranan jurutera termasuk dalam bidang digital, AI, IT dan lain-lain. Jika kita membangunkan jambatan, ia memerlukan kepakaran teknikal tetapi jambatan digunakan oleh manusia. Maknanya dari aspek manusiawi dan keinsanan itu harus ditekankan. Sama ada jambatan itu dibina mengikut spesifikasi dengan teknokrat dan dapat disiapkan itu kerana nilai dan etika kerja.
- Jadi, saya ingin menggesa rakan-rakan untuk memahami bahawa konsep ini bukan sahaja hanya slogan kosong, ianya berbeza daripada pendidikan terdahulu yang tentunya ada baiknya kerana tidak ada masalah cita-cita atau slogan digunakan dengan niat yang baik tetapi yang ditokok tambah dengan aspek kemanusiaan itu kadang-kadang terhapus.
- Apakah maksud Transformasi Digital? Transformasi Digital bermaksud terdapat kemahiran, kecanggihan dan kepakaran yang lebih untuk mengangkat darjat manusia. Darjat manusia itu terdiri daripada akhlaknya, moralnya, sikapnya, disiplinnya dan yang menolak kebejatan sosial dan rasuah serta penyelewengan kerana tidak mengiktiraf keangkuhan. Inilah nilai yang kita harus tekankan.
- Apakah ertinya kita membangunkan gedung-gedung dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk keselesaan rakyat dan negara tetapi kita tidak mempertahankan nilai upaya manusia supaya lebih beradab dan berakhlak. Ada yang menyatakan bahawa sebenarnya ianya soal akal dan budi yang rendah dan bukannya kesalahan profesion teknikal, guru atau ibu bapa. Kadang-kadang amalan menghina sesama manusia, merendahkan martabat mereka, mencaci dan maki hamun ini dikaitkan dengan profesion politik.
- Akan tetapi, tidak kiralah profesion yang mana sekalipun tetapi adalah tanggungjawab saya memperingatkan anda semua. Mudah-mudahan kita tahu bahawa jika kita mahu mengangkat martabat manusiawi, kita tidak boleh menghina kerana perbezaan kaum, darjat, pangkat atau agama. Ia tidak pernah dianjurkan apa lagi oleh agama Islam kerana Islam itu agama Persekutuan. Meskipun amalannya itu berbeza, ia tidak semestinya serasi atau selari dengan anjuran agama.
- Saya berharap semua dapat memahami mukadimah saya bahawa peranan kita sekarang jauh lebih penting dari dahulu. Kalau dilihat dalam sejarah, susur galur, kita mengimbau dan menyingkap lembaran sejarah, tamadun kita dimulai dengan revolusi pertanian berbanding profesion teknikal yang amat rendah. Seterusnya revolusi industri yang dilihat sebagai satu anjakan dan lonjakan keperluan, kepakaran dan kemahiran. Kemudian IT dan digital serta soal profesion teknikal itu semakin meningkat. Malahan, lebih daripada yang pernah diunjur dan difikirkan oleh manusia.
- Oleh yang demikian, dalam perbelanjaan belanjawan negara, jumlah peruntukan bagi bidang TVET sahaja adalah sebanyak RM6.8 bilion dan ada kesannya. Jika kita lihat dahulu, latihan teknikal bagi bidang kejuruteraan di universiti jauh lebih menarik daripada bidang TVET kerana penekanan negara dan persepsi rakyat yang berbeza.
- Namun, keadaan sekarang telah berubah, umpamanya diploma institut pendidikan tinggi bagi bidang TVET yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi:
Pendaftaran bagi pelajar baharu dan keseluruhannya pada tahun 2021 : 45,400 orang.
Pendaftaran bagi pelajar baharu dan keseluruhannya pada tahun 2022 : 85,000 orang.
- Ini bermakna kita telah memenuhi satu keperluan dan satu lagi kita dapat lihat bahawa persepsi rakyat sudah berbeza dan berubah. Bagi TVET di peringkat rendah yang diuruskan di IBKLN, pusat-pusat TVET, institut latihan dan GIATMARA, kita sedang cuba melakukan beberapa anjakan kerana latihan itu perlu ditingkatkan.
- Siapa yang mampu melatih TVET ini sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan di Kementerian Pertanian, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Komunikasi dan Digital dan lain-lain? Oleh itu, kita mencadangkan supaya GLC dan syarikat swasta mengendalikannya bersama. Syarikat Geely dan Proton mengadakan projek raksasa : Automotive City di Tanjung Malim dengan jangkaan pengeluaran kenderaan Geely-Proton sekitar setengah juga satu tahun. PETRONAS dengan penglibatan Saudi Aramco, syarikat minyak terbesar di dunia dari Arab Saudi yang telah bersetuju menjadikan Malaysia sebagai hub minyak dan gas.
- Sekitar 3 atau 4 bulan yang lalu, Infineon, sebuah syarikat besar di Jerman yang membuat cip mikro telah memutuskan untuk menambah pelaburan terbesar Infineon bagi luar daripada negara Jerman dengan pelaburan sebanyak RM25 bilion. Jadi jika kita gabungkan beberapa syarikat besar ini sahaja selain daripada pertemuan saya di San Francisco baru-baru ini tentang keputusan Syarikat Amazon, Facebook, Tiktok dan Google yang bukan sahaja akan membina pusat data yang besar tetapi juga pusat latihan dan kegiatan penyelidikan di Malaysia.
- Ini bermakna latihan profesion teknikal telah menjadi suatu bidang yang sangat kritikal dan patut diangkat dan dipertingkatkan. Saya telah nyatakan tadi untuk TVET di peringkat bukan IPT dan peringkat lebih rendah itu harus diperbaiki kerana 97% lulusan TVET itu sekarang telah mendapat pekerjaan. Namun, majoriti gajinya masih sekitar RM2,000. Oleh sebab itu, saya jelaskan keperluan bersama dengan GLC.
- Semalam saya telah bermesyuarat panjang bersama Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk menekankan keperluan Khazanah, Telekom Berhad, TNB, Axiata dan yang lain untuk membuat penglibatan langsung dengan latihan TVET.
- Dengan cara itu Telekom Berhad umpamanya akan tahu keperluan syarikat sendiri atau jenis latihan yang patut diberikan dan sebaiknya membantu dalam menguruskan dan memberitahu keperluan-keperluan untuk melatih anak-anak TVET ini. Setakat ini, sekitar 64 syarikat swasta dan GLC yang terlibat.
Saudara-saudara,
- Sememangnya RM2,000 itu tidak cukup untuk hidup pada zaman sekarang tetapi jika diberi latihan tambahan seperti mana yang dilakukan oleh PETRONAS di Sarawak, Pusat Latihan di Sabah dan Batu Rakit di Terengganu umpamanya itu dengan sendiri selepas lulus, peningkatan gaji permulaan naik mendadak dari RM2000 kepada minimum RM3500 hingga RM5000. Bagi kerja welding, menurut PETRONAS, telah mencecah RM7,000 gaji permulaan setelah mendapat latihan.
- Oleh itu, kita patut berusaha meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu dan mengapa saya menyentuh perkara ini kerana saudara yang terlibat dalam profesion ini sudah tahu betul-betul apa kekurangannya dalam aspek latihan kerana sebahagian daripada saudara melalui latihan itu dan pastinya dapat mengenal pasti jenis atau bentuk latihan dan kelemahan yang ada untuk kita perbaiki.
- Jadi saya percaya Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool, dalam masa 2 bulan beliau bercuti ini sudah dapat menyiapkan kertas cadangan tentang bagaimana kita boleh meningkatkan latihan. Jangan beliau ingat selepas bersara tidak perlu membuat kerja. Umpamanya untuk sebulan atau 2 bulan itu beliau membuat kerja Pro Bono, tidak diberi elaun dan kita akan fikir apa tugas-tugas yang lain.
- Oleh yang demikian, dengan cara begini, maka kita dapat bekerja sebagai satu pasukan yang kasih dan cinta akan negara. Kita tahu bahawa anak kita tidak boleh mendapat latihan yang terdahulu, kita mesti membuat anjakan, mesti ada lonjakan dan latihan yang lebih canggih dan orang-orang yang mempunyai pengalaman ini boleh menentukan bidang apa yang mereka mahukan.
- Kalau tanya saya, saya hanya tahu secara am sahaja kerana saya tidak ada kepakaran itu, tanya kepada saya tentang bagaimana untuk membina jambatan, saya akan jawab letak kayu sahaja kalau sungai sempit tetapi kalau ditanyakan mengenai falsafah pendidikan atau soal tatakelola, itu kerja saya. Jadi orang-orang yang punyai kemahiran itu patut dimanfaatkan.
Saudara-saudara,
- HPTN 2023 ini tentunya untuk mengiktiraf. Namun yang demikian, pengiktirafan dalam keadaan sekarang, dalam dunia yang serba berubah, dengan golongan profesion teknikal kian bertambah dan kepentingan mereka dalam membina nama memacu pertumbuhan negara juga harus diiktiraf dan tentunya bagi pihak kerajaan harus melihat keadaan yang sedemikian.
- Maka kita menubuhkan Jawatankuasa Pelarasan gaji. Kita sedia maklum bahawa sudah 10 tahun belum ada penyelarasan gaji. Oleh itu, saya telah memulakan dan mengadakan pertemuan serta meminta Jabatan Perkhidmatan Awam menyiapkannya tetapi saya ingin memberi satu jaminan di sini iaitu dalam kita sedang menilai keseluruhan sistem pelarasan gaji ini, soal profesion teknikal itu mesti diberikan keutamaan.
- Bentuk pemikiran lama itu memerlukan anjakan. Jika dahulu umpamanya profesion teknikal termasuk profesional seperti kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya itu merasakan mungkin ada alasannya terutama bidang teknikal itu agak tempang sedikit perhatiannya.
- Saya ingin memberi jaminan insya-Allah, kita dalam proses mengkaji semula gaji penjawat awam ini dan mungkin akan mengambil masa agak panjang sedikit. Badan-badan profesional yang hadir pada hari ini harus berikan input yang cukup. Janganlah meminta lebih pula, minta yang munasabah tetapi tentunya perlu kita akan memberi perhatian.
- Kita telah boleh menerima kenyataan bahawa bidang TVET sekarang sudah berbeza. Bidang kejuruteraan, teknikal, IT, digital dan teknologi amat diperlukan dalam negara kita tetapi pengiktirafan dari segi Kerajaan dan dari segi pelarasan Gaji tidak berubah dan tidak munasabah. Jadi, anjakan itu perlu.
- Semua perkara memerlukan anjakan tetapi apakah maksud anjakan ini? Anjakan itu ialah paradigm shift tetapi selalunya kefahaman tentang paradigm shift ini tidaklah mendalam.
- Orang yang mula menyebut tentang paradigm shift ini ialah seorang pemikir dan sosiologis bernama Thomas Kuhn. Apabila beliau menyebut paradigm shift ini, beliau tidak menganggap macam kita hendak membuat pindaan sedikit-sedikit, tidak. Apabila dikatakan anjakan itu, ia melibatkan perubahan yang drastik seperti pelarasan gaji. Bukan perubahan sedikit seperti memberi elaun tambahan bagi teknikal, tidak, ia mesti melihat bagaimana keperluan negara masa kini ketimbang dengan keperluan negara pada 20 tahun dahulu mengenai pelarasan gaji.
- Maka keutamaannya adalah untuk mengangkat bidang profesion lain termasuklah perkhidmatan awam yang umumnya sangat diperlukan. Akan tetapi, penekanan terhadap golongan dan profesion teknikal juga sangat mendesak.
- Ini yang disebutkan paradise shift. Kalau tidak, kita masih menggunakan istilah-istilah ini tetapi dengan menggunakan cara yang lama. Lantaran itu, kadang-kadang, rakan-rakan saya berasa kurang senang dengan asakan dan gesaan saya. Negara ini tidak boleh diangkat jika sikap lama umpamanya kalau jadi pemimpin harus kaya atau jika jadi Perdana Menteri mesti bagi projek kepada anak menantu.
- Kalau tidak ada ketegasan untuk perubahan ini, ia tidak akan ada anjakan dan reformasi. Sebab itu saya berasa bangga bukan sahaja kepada Menteri Alex dan Timbalan Menteri Rahman tetapi sekurang-kurangnya Ahli Jemaah Menteri sekarang tahu bahawa apa-apa sahaja projek atau apa-apa sahaja keputusan yang dibuat tidak boleh dilakukan tanpa langkah yang telus iaitu melalui proses tender yang transparent.
- Ini kita hendak tekankan. Is it easy? No. Kerana telah puluhan tahun kita terbiasa dengan cara lama ada orang kata kepada saya buat apa jadi Perdana Menteri kalau tidak ambil duit dan tidak ada akal kerana baginya cerdik itu maknanya kaya.
- Nilai itu telah rosak padahal kalau kita meminta anak kita berkorban dan berkhidmat dengan ikhlas – Al-Amalulillah. Bagaimana pemimpin boleh cuai sebegitu tetapi kadang-kadang orang tidak bernilai itu tidak penting bagi dia, apa yang penting bagaimana cara dia bercakap. Maknanya dalam negara kita, saya katakan profesion teknikal kena ingat cakap, sakaulah banyak mana pun. Asalkan dia memberi duit kepada kita, cium tangan dia juga.
- Jadi nilai kita ini sudah rosak dan runtuh. Kita membicarakan soal anjakan paradigma, soal reformasi, soal kemegahan negara, mengangkat martabat harakat dan darjat negara tetapi kita masih terperangkap dengan pemikiran lapuk dan jumud dan merendahkan martabat manusia serta akal budi.
Saudara-saudara,
- Saya memohon rakan-rakan di semua kementerian di kalangan penjawat awam. Fahamilah dan tidak semestinya perlu bersetuju dengan saya dan semua perkara tetapi satu perkara, dengan umur saya dengan pengalaman saya dengan liku-liku, pasang surut, naik turun, lebih banyak turun dari naik, lebih lama di penjara dari di luar, apa yang saya pelajari? dan apa yang harus saya lakukan?
- Selamatkan negara ini daripada amalan jijik menyakau hak rakyat dan ini harus kita selamatkan. Itu kalau kita boleh lakukan. Mengapa saya tekankan di sini? kerana komuniti teknikal itu berada di tangan saudara. Apabila saya menyebut ini, tidak bermakna kita patut lambatkan. Saya selalu tegaskan kepada Menteri Alex, saya berkata kena cepat dan segerakan. Tetapi jika amalan itu tidak telus dan amalan rasuah dan penyelewengan itu berlaku, ia akan menjadi sistemik.
- Apa maksud sistemik? Ia melibatkan terlalu banyak kategori. Apabila amalan rasuah dan kuasa itu sudah sistemik, ia akan mengambil waktu untuk menyelamatkan. Kita menekankan begitu keras tetapi masih lagi ada penyeludupan dadah dari Pelabuhan Klang. Kita menekankan perlunya ketelusan dan anti-rasuah tetapi masih ada kutipan untuk mendapat lesen, ya saya tidak nafikan.
- Namun percayalah, Allah SWT memberikan kekuatan kepada saya dan dengan kekuatan dan kestabilan politik yang ada, insya-Allah akan terus berperang dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Saya tidak peduli pangkat mereka sama ada Tun, Tan Sri atau Datuk insya-Allah dengan sokongan saudara saya akan meneruskan kerja ini dengan sebaik mungkin.
Saudara-saudara,
- Kita hadir atas cadangan dan gesaan Menteri Alex sahabat saya ini untuk yang pertama, mengiktiraf peranan golongan profesion teknikal dan ingin saya nyatakan sesuai dengan keadaan dan pertumbuhan ekonomi negara sekarang, kedudukan golongan ini dengan sendirinya terangkat dan sangat kritikal.
- Yang kedua, sesuai dengan pengiktirafan itu, saya telah memberi komitmen iaitu dalam pelarasan gaji, peranan golongan profesion teknikal itu harus diberikan tempat yang sewajarnya. Kalau tidak jalan, salahkan KSN (nada seloroh).
- Terima kasih, dan dengan lafaz “Bismillahir Rahmanir Rahim”, saya melancarkan Hari Profesion Teknikal Negara.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kebimbangan orang ramai dengan pelaksanaan Identiti Digital Nasional atau Digital ID seperti rekod peribadi serta perbankan akan terbocor dan cip diimplan dalam tubuh individu, adalah tidak berasas langsung.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam membicara soal transformasi digital, rakyat harus menerima kenyataan bahawa negara harus maju seiring dengan perkembangan semasa termasuk penggunaan teknologi.
“Apa takut isu peribadi? Bank Negara Malaysia tidak akan lepaskan rekod personal perbankan peribadi. Jadi yang itu dikawal.
“Kemudian juga kata kononnya ada cip masuk dalam badan dan sebagainya, itu semua tengok banyak sangat filem Hollywood,” katanya kepada pemberita selepas membuat pendaftaran Digital ID di sini hari ini, menjadikan beliau individu pertama memiliki Digital ID berkenaan.
Turut membuat pendaftaran Digital ID selepas Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.
Antara Jemaah Menteri yang turut mendaftar ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar berkata sebelum membuat sebarang komentar, seharusnya dengar dahulu penjelasan daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhubung Digital ID supaya ia tidak menjejaskan keyakinan rakyat.
Menegaskan bahawa kerajaan buat masa ini tidak memaksa mana-mana individu untuk berdaftar dengan Digital ID, Anwar bagaimanapun menggalakkan penjawat awam keseluruhannya untuk mendaftar kerana pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan segala bentuk penyasaran subsidi akan disalurkan melalui Digital ID tersebut.
Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Tanpa menggantikan sistem MyKad, Digital ID merupakan platform yang dipercayai dan selamat serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.
— BERNAMA

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendaftarkan diri dengan Identiti Digital Nasional atau Digital ID, menjadikan beliau individu pertama di negara ini yang memiliki kemudahan Digital ID tersebut.
Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Tanpa menggantikan sistem MyKad, Digital ID merupakan platform yang dipercayai dan selamat, serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.
Dengan Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mendaftar dengan Digital ID, ia bakal memberi keyakinan kepada rakyat mengenai keselamatan serta ketelusan sistem berkenaan.
Pada 21 Nov lepas, Anwar mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM80 juta kepada agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mimos Bhd, untuk menyegerakan pelaksanaan Digital ID dan memperkasakan transformasi digital, serta membangunkan inisiatif digital khususnya melibatkan urusan dengan kerajaan.
Anwar juga dilaporkan berkata pendaftaran Digital ID juga merupakan langkah awal dalam pemberian subsidi bersasar, serta pelbagai kemudahan lain oleh jabatan kerajaan dan pihak swasta.
— BERNAMA




