GALERI GAMBAR : PM ANWAR TERIMA KUNJUNGAN HORMAT MENTERI LUAR TURKIYE

KULIM, 15 Julai– Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu melicinkan program yang dirangka agensi itu dalam usaha membantu Sahabat Usahawan di seluruh negara.
Beliau berkata ia merupakan peruntukan awal untuk AIM, yang kini memiliki 326,510 Sahabat Usahawan di seluruh negara, sebelum tumpuan lebih khusus kepada agensi itu diberikan dalam Belanjawan MADANI 2024 yang bakal dibentang pada Oktober ini.
“Bagi memastikan kelicinan program AIM sebelum Oktober ini di mana saya boleh kaji secara menyeluruh keperluan AIM dan bagaimana tingkat kegiatannya, menambah jumlah Sahabat Usahawan, saya pada petang ini meluluskan peruntukan RM10 juta untuk AIM,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Karnival Sahabat Usahawan AIM yang menghimpunkan sejumlah 8,000 Sahabat Usahawan Wilayah Kedah dan Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Pengerusi Lembaga AIM Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid.
AIM, yang ditubuhkan pada 17 Sept 1987, telah membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan negara dan berjaya menjangkau empat juta isi rumah menikmati pelbagai manfaat menerusi Skim Pembiayaan Ikhtiar (Ekonomi dan Sosial).
Perdana Menteri berkata fungsi dan peranan AIM dalam membantu golongan wanita, khususnya B40, untuk keluar daripada kepompong kemiskinan sama sekali tidak boleh dinafikan dan sehubungan itu, beliau akan mencari kaedah agar sebahagian dana dalam usaha menoktahkan kemiskinan turut disalurkan melalui agensi berkenaan.
Beliau berkata AIM, yang membolehkan Sahabat Usahawan menjana pendapatan melalui aktiviti ekonomi, amat dekat dan istimewa di hatinya sambil mengimbas kenangan pernah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta kepada agensi itu pada 1990-an ketika menjadi Menteri Kewangan.
“Kemudian bila saya diterajang keluar, 2012 hingga sekarang tiada peruntukan tapi Alhamdulillah, Anwar naik balik jadi Perdana Menteri, jadi saya nak sambung balik kerja dulu bagaimana boleh tingkatkan pendapatan rakyat miskin, bagaimana harus bantu AIM dan Oktober ini, kita ada program khas bangkitkan kemajuan AIM,” katanya.
Anwar bagaimanapun berkata hasrat untuk memajukan AIM perlu mendapat sokongan serta kerjasama kerajaan negeri dan jika beliau terus diberikan mandat, usaha membantu institusi kewangan mikro itu antara yang akan menjadi keutamaannya.
Perdana Menteri berkata dalam masa terdekat, beliau akan meminta pihak pengurusan AIM memberi laporan terperinci mengenai kaedah memperkasakan lagi agensi itu dalam usaha menambah kegiatan ekonomi, meningkatkan jumlah Sahabat Usahawan dan mengurangkan tekanan kos pengurusan serta perkhidmatannya.
Terdahulu, beliau menyerahkan cek berjumlah RM269.3 juta daripada AIM kepada Pengurus Kanan Wilayah Kedah AIM Nor Hayati Hussain dan Ketua Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) AIM Zamarina Samsu untuk disalurkan sebagai modal perniagaan kepada Sahabat Usahawan di seluruh Kedah.
Beliau turut menyerahkan cek berjumlah RM105.7 juta daripada AIM kepada Pengurus Wilayah Pulau Pinang Salina Jaafar serta Ketua LPS Pulau Pinang dan Perlis Zariati Abd Hamid.
— BERNAMA

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
PROGRAM SENTUHAN MADANI
PERINGKAT NEGERI KEDAH
15 JULAI 2023 (SABTU)
IBU PEJABAT MADA, AMPANG JAJAR,
ALOR SETAR, KEDAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.
Saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri I;
YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu,
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;
Ahli-ahli Jemaah Menteri;
YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara; dan
Keluarga MADA dan rakan-rakan yang mewakili petani, penternak, dan nelayan negeri Kedah.
- Alhamdulillah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat kita sempurnakan majlis ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua, khususnya keluarga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Wilayah dan Desa, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan persatuan-persatuan penduduk yang telah berusaha bertungkus lumus menjayakan program ini bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
- Seperti mana yang kita tahu, petani, nelayan, dan pekebun kecil getah di antara kategori yang agak susah. Maka, mana-mana kerajaan harus tumpu, bukan cakap sahaja, slogan sahaja atau janji dan serang menyerang tetapi menumpukan kepada apakah langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki nasib mereka.
- Baru-baru ini saya selesaikan masalah FELDA. Mereka serang kata saya bohong kerana memang rancangan itu sudah ada, sudah diumumkan sekian lama dan betul, lulus sebanyak RM8.3 bilion itu pun sudah lama. Tetapi hanya pada 27 Jun yang lalu, saya menandatangani cek dan menyerahkan kepada peneroka-peneroka FELDA untuk hapuskan hutang mereka. Cek yang pertama saya tandatangan adalah pada 27 Jun 2023 sebanyak RM990 juta. Saya tidak tahu sama ada orang terdahulu tidak buat kerja.
- Dalam Belanjawan Negara 2021 dan 2022, tidak ada peruntukan daripada Kementerian. Yang akan melupuskan hutang itu siapa? Kerajaan Persekutuan. Dari mana peruntukan? Belanjawan Negara. Sebab itu, hanya untuk tahun ini, di dalam Belanjawan 2023, baru kita luluskan dan saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga FELDA yang telah mengurus dan menyelesaikan pelupusan hutang yang saya tandatangani pada 27 Jun 2023.
- Mengapa saya pilih untuk menyebut perkara ini? kerana hal-hal ini senang untuk orang mengeluarkan fitnah, berbohong dengan senang-senang sahaja. Hang siapa yang boleh tuduh orang dengan tidak ketahuan ini? Ini yang saya nak sebut supaya kita boleh fikir, dengar boleh tetapi tidak semua yang didengar boleh dipakai.
- Umpamanya, hari ini adalah hari sabtu. Saya memberi tumpuan ke kawasan-kawasan desa di negeri-negeri, daerah-daerah, esok saya di Pulau Pinang. Pada hari isnin jam 8.00 pagi, saya pulang semula ke pejabat sehingga khamis dan jumaat pagi kerana ada acara-acara. Ada ruang, kita jumpa anak-anak di universiti, mendengar pandangan mereka.
- Anak-anak muda ini kadang-kadang pandangan mereka bernas dan baik. Anak-anak muda dari Universiti Utara bersama wakil-wakil belia, ada anak dari tingkatan 6 dan politeknik, ini anak-anak kita jadi dengarlah mereka. Apa ruginya? Mereka hanya cadang umpamanya bagaimana nasib mereka selepas keluar universiti atau kolej, pekerjaan mereka yang kerja sementara yang dipanggil intern atau latihan indusrti itu, mengapa tidak dibayar?
- Setelah mendengar pandangan mereka, saya balik dan berbincang dengan Kementerian dan syarikat-syarikat. Oleh itu, semalam saya umumkan, walaupun kerja mereka itu dalam bentuk latihan, setelah memperolehi diploma atau universiti, semua syarikat kerajaan diarah memberi bayaran sekurang-kurangnya RM800 sebulan. Sebelum ini tidak ada dan sebab apa RM800? kerana ini hanya elaun sebelum kerja atau elaun semasa latihan. Kita dengar daripada siapa? pelajar tingkatan 6 kerana mereka melalui perkara ini. Inilah manfaat apabila kita mendengar dalam dialog, tidak hanya pakai serang sahaja.
- Kemudian terdapat cadangan lain tentang TVET, kemudahan-kemudahan, dan terdapat satu cadangan mengatakan bahawa tidak ada internet, connectivity di universiti. Jika ada pun, pelajar di universiti itu ramai jadi internet slow. Hendak belajar bagaimana? Maka alhamdulillah semalam, Elon Musk iaitu orang paling kaya di dunia, memiliki Tesla iaitu kereta elektrik yang memakai bateri. Beliau ada Starlink, alat kecil yang boleh terus disambungkan ke satelit untuk mendapatkan Internet. Saya bercakap dengan beliau sendiri semalam, dan saya mengucap terima kasih kerana sebaik saya kata kita memerlukan Starlink ini, terus beliau beri maklum balas bahawa setakat ini stok ada 40, jadi kita beli 40 supaya kita dapat berikan kepada kolej dan universiti bagi membantu keperluan anak-anak.
- Selain itu, sebanyak tiga (3) syarikat Malaysia yang memberikan beberapa keperluan dalam bidang kepakaran masing-masing yang sebenarnya bersama dengan syarikat Space X di bawah Elon Musk ini. Saudara, ramai orang sedang cuba untuk bercakap dengan beliau, pujuk beliau datang ke negara, dan itu begitu sukar. Saya berasa syukur alhamdulillah kerana semalam, beliau memutuskan untuk membuka satu (1) ibu pejabat di Cyberjaya. Kedua, mempermudahkan penyampaian Starlink iaitu internet ke Malaysia. Ketiga, Space X yang mempunyai kepakaran anak-anak tempatan. Saya kata Menteri Komunikasi dan Digital, YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil dan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, saudara YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz akan membantu mereka supaya lebih banyak syarikat masuk dalam arena perdagangan dan teknologi antarabangsa.
- Beliau turut bersetuju untuk melabur lagi ke Malaysia dan menganggap Malaysia sebagai negara penting untuk kita tingkatkan pelaburan dan insya-Allah dalam masa terdekat beliau akan datang ke Malaysia. Saudara, ini bukan mudah. Oleh itu, kita harus kerja betul-betul untuk beri keyakinan, politik negara stabil, pemimpin-pemimpin menumpukan usaha untuk membangunkan negara dan jangan hanya kira hendak mencuri dan sakau. Apabila membuat projek, ambil komisyen banyak-banyak akhirnya negara miskin. Hasil kita banyak, negara ini negara kaya tetapi rakyat miskin.
- Oleh hal yang demikian, saya mulakan perkara ini supaya saudara-saudara faham kerana antara perkara yang dibangkitkan adalah sebab saya bekerjasama dengan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi. Saya cakap apa masalahnya tidak boleh kerjasama dengan beliau? Beliau mendapat mandat daripada parti beliau, beliau ada ahli parlimen yang ramai, beliau ikut syarat-syarat yang kita persetujui bersama.
- Apa syaratnya yang dipersetujui oleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan ini? Pertama, tatakelola yang baik, menghentikan politik fitnah dan sakau. Apa masalah sekiranya saya kerjasama dengan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi? Saya hendak beritahu, selagi rakan-rakan saya dalam Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Golongan Parti Sarawak (GPS) Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sabah, patuh kepada prinsip ini, semangat perlembagaan kita akan tetap memperkuatkan Kerajaan Perpaduan ini. Untuk apa saudara-saudara kita memperkuat perkara ini? Adakah untuk jerit maki orang hari-hari? Adakah untuk memfitnah orang hari-hari daripada raja sampai rakyat? Ataupun kita tumpukan kepada masalah-masalah utama untuk diselesaikan?
- Saya bawa masalah MADA pada hari ini. Siapa tidak tahu pesawah padi ini termasuk dalam kategori miskin? Semua tahu. Ya, kita baru perintah selama tujuh (7) bulan. Pengalaman baru-baru ini tiga (3) tahun termasuk kes harga siling getah. Adakah harga naik pada tiga (3) tahun lalu? Tidak. Siapa naikkan harga? kita Kerajaan Perpaduan naikkan kepada RM2.70. Adakah cukup? Tidak cukup lagi, mesti mengambil beberapa langkah.
- Saya baru duduk beberapa minit, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi terus maklumkan bahawa pekebun kecil getah ini susah. Sebab itu saya boleh kerja dengan beliau. Duduk lima (5) minit, beliau tidak katakan ada kontrak baru atau ada saham baru yang nak diberi kepada saya, tidak, ada kereta baru? tidak, ada modal yang baru nak maki orang? tidak, beliau tanya mengenai perkara ini, kita baru naikkan sebanyak RM2.70 tetapi pekebun kecil getah ini masih menghadapi masalah. Sebab itu saya kata, kita harus memberi tumpuan menyelesaikan apa yang mampu untuk membantu rakyat.
- Saudara YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, kita tahu bahawa beliau seorang penceramah dan pemidato yang handal tetapi beliau memegang portfolio Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, maka beliau terpaksa tumpu bagaimana untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi, sayur, dan membantu nelayan.
- Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, setiap minggu kita bangkitkan perkara ini. Saudara, saya bercakap ini betul-betul, tidak main-main, tetapi bersungguh-sungguh. Saya tidak kata kita saja kerja, orang lain pun kerja tetapi kita nak cari penyelesaian, bukan nak bergaduh atau nak tunjuk hero, tidak. Kita nak bawa perubahan. Apa yang kita buat? Kita tahu masalah, sudah cuba dan Lembaga Zakat di Kedah ini pun sudah tolong, seberang Perak pun buat, di sini di sekitar Pendang pun ada membuat percubaan untuk meningkatkan hasil pengeluaran.
- Maka kita berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MARDI dari segi penyelidikan dan MADA, satu agensi yang sangat penting. Bukan sahaja bagi negeri Kedah tapi untuk seluruh negara. Mereka memberi pandangan, mengatakan kalau hendak menjayakan projek tanaman dua (2) tahun lima (5) kali pengeluaran ini, harus ada beberapa infrastruktur seperti tali air, jalan dan pelbagai yang perlu ditambah.
- Saya kata berapa peruntukan yang diperlukan? Beliau jawab, bukan untuk tahun ini tetapi kita mesti mula untuk dua tiga tahun akan datang, projek dalam tiga empat tahun ini, tiga tahun paling kurang, mesti ada peruntukan RM3 bilion. Itu masalah saya dan bukan kita duduk sahaja tetapi RM3 bilion itu sikit ke banyak? Banyak. tetapi jika negeri ini selamat daripada sakau, tidak pernah boleh kita kata tidak ada, kalau negeri ini kita urus, jangan rasuah, jangan curi duit, jangan curi balak dan jangan curi rare-earth, kita boleh selamatkan negara dan RM3 bilion kita boleh selesaikan. Ini kita membiarkan hasil kita yang beratus-ratus juta lingkup. Sebab itu kena ada orang bukan sahaja yang mampu tetapi dengan pasukannya, jadi saya luluskan hari ini sebanyak RM3 bilion, jumlah yang banyak tetapi saya tidak ada pilihan.
- Kalau betul Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan nak tolong, kena buat lah tetapi larat ke orang tunggu sampai tiga (3) tahun baru nak dapat hasil? sementara itu buat apa? Itulah yang sebabnya sementara menunggu ini semua, saya ambil alih saja dalam berapa bulan. Saya cakap kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu dan YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail yang juga orang Kedah, mereka kata kena buatlah apa-apa dahulu untuk sementara.
- Itu sebabnya apabila kita ambil alih sahaja dan cermat belanja mereka perli. Tidak ambil gaji pun dihina, tidak pakai kereta Mercedes pun dihina, ini apa dia? Saya tidak ambil sebab apa? Sebab saya malu kepada rakyat, rakyat tengah susah, susah-susah saya, kereta ada nak pergi mana-mana kapal terbang ada, pengawal ada tetapi susah rakyat ini, makanan pun tidak cukup. Kalau saya cakap garang ini kerana saya cakap dari hati. Kita kena guna kuasa ini bantu dan di antaranya kita kata RM3 bilion untuk tanaman padi dengan meningkatkan produktiviti tetapi sementara tu macam mana? tahun ini pun, sementara hendak dapatkan hasil sama ada dua (2) kali setahun ke, sekali setahun tu tunggu nak buat apa?
- Sebab itu tahun ini saya beri RM200 sebulan untuk tiga (3) bulan sementara nak ambil tuaian bagi 300,000 pesawah padi dengan belanja sebanyak RM228 juta. Orang lain boleh peleceh tetapi saya nak tanya, kenapa tahun sebelum ini tidak buat? Kenapa dua tahun lalu tidak buat? Kenapa apabila bercakap tentang pesawah, kenapa tidak ditolong bab ini? Ini yang saya katakan kena tumpu kepada kerja untuk bantu.
- Kemudian, bercakap mengenai Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, beliau adalah sahabat saya yang panggil saya abang. Beliau bercerita bagaimana hendak menolong lagi pesawah padi ini lalu saya bertanya, boleh atau tidak, kerana hasil BERNAS itu ada, boleh ke bagi sedikit kepada pesawah-pesawah miskin. Tahun lalu beliau beri RM10 juta dan tahun ini RM50 juta, beri terus kepada pesawah padi hasil daripada keuntungan.
- Saya nak tanya, kenapa dahulu tidak bagi, tidak minta? Saya minta kepada beliau tidak susah pun, beliau kata ‘okay’. Jadi saya fikir kalau boleh dapat RM50 juta baiklah tetapi kalau tidak boleh lepas tu saya bincang balik namun dia kata boleh bagi. Sebaliknya, mereka serang saya, dikatakan saya ini tekan orang-orang Melayu yang kaya, saya tidak sakau duitnya sebab itu saya berani bercakap dengan beliau. Kalau saya kata bagi kepada saya RM10 juta masuk akaun sendiri, bagi RM200 juta masuk akaun parti, bila yang saya nak tolong petani? Macam mana saya boleh tolong pesawah kalau ada RM200 juta tetapi masuk akaun parti saya? Itu kerja hangpa. Kerja saya adalah mengambil duit siapa yang boleh bagi dan beri balik kepada rakyat terutama pesawah-pesawah padi.
- Selepas itu saya bercakap lagi dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, saya mengatakan bahawa BERNAS itu penting, kalau boleh bersama-samalah dengan MADA bantu dalam pengurusan ini, kita dapat tingkatkan hasil. Beliau kata boleh. Maka, untuk diselaraskan semua ini, saya minta YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Kementerian membuat kerja. Mengenai isu pesawah padi ini, bukan sahaja Perdana Menteri dan Menteri, KSN sendiri mempengerusikan jawatankuasa yang hendak menyelesaikan masalah ini. Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada semua termasuk KSN dan Menteri yang membantu dalam hal ini.
- Tetapi sebelum itu saya kata kepada BERNAS kerana banyak perkara yang kita nak urus bersama BERNAS, boleh atau tidak bagi keuntungan BERNAS? 30% balik kepada pesawah padi. Beliau kata boleh. Itulah saudara, saya katakan kalau ketua itu tegas, tahu ekonomi, ketua itu akan selesaikan masalah rakyat. Dia tidak akan ada sentimen bahawa jika itu orang Melayu tidak boleh dikacau. Itu satu kekeliruan dan satu pandangan yang dangkal, yang tidak faham masalah.
- Jadi saya harap saudara faham, apa salah orang seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary itu hendak maju? Biarlah beliau maju, beliau maju dan untung tetapi apabila beliau untung janganlah ambil duit beliau. Ambil duit beliau untuk diberi kepada rakyat. Jangan pergi ambil duit itu untuk diri sendiri.
- Saya sebut tadi mengenai pekebun kecil getah, dahulu ada diberikan RM600 tetapi sudah lama. Jadi saya berbincang dengan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, untuk pekebun kecil getah kita akan bagi sumbangan musim tengkujuh yang dahulunya RM600 untuk mungkin dalam empat (4) bulan. Baru-baru ini saya tambah menjadi RM800. Adakah mencukupi? Tidak mencukupi tetapi boleh menampung sedikit sementara tidak menoreh pada musim hujan.
- Seterusnya, bantuan kepada nelayan, kita tambah RM300 sebulan kemudian sebelum Aidilfitri tahun lalu pertama kali dalam sejarah, dalam keadaan hutang Kerajaan yang banyak dan kita hendak betulkan negara ini daripada kontrak-kontrak yang disakau begitu banyak, terdapat 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan yang kita beri sagu hati sebanyak RM200 untuk menyambut Hari Raya.
- Ini semua kita lakukan, jadi kalau nak kata kita tidak membuat apa-apa itu macam mana? Kita mewarisi satu Kerajaan dengan banyak masalah. Saya sebut tadi adalah hutang. Kalau kita berniaga di rumah, berniaga dan untung dalam RM2,000 sebulan tetapi hutang ada dalam RM50,000. Masalah kan? negara pun macam itu juga, hutang negara sebanyak RM1.5 trilion. Makna lebih daripada 1,000 juta ringgit. Nak kena bayar? kena bayar, hutang itu kalau untuk projek baik tidak mengapa tetapi kadang-kadang jalan itu berharga RM60 juta jadi RM80 juta.
- Sebab itu apabila ada memorandum, tadi Menteri YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu pun sebut tentang baja dan racun. Saya bersetuju tetapi dengan syarat, kita teliti balik bagaimana proses pembeliannya. Kita mesti beli yang terbaik dan kita mesti pastikan proses itu betul supaya jangan hilang dan tiris dan orang sakau di tengah jalan. Berapa banyak minyak yang hilang? Berapa banyak projek-projek yang tergendala tetapi keuntungan diambil oleh orang tengah? Ini mesti kita betulkan.
- Baik, yang akhir sekali yang saya nak sebut disini adalah tentang Dasar Agro Makanan Negara dan penanaman padi yang disentuh oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebentar tadi. Selama ini, di kawasan MADA sekitar 201,000 hektar adalah kawasan jelapang padi terbesar, ia bukanlah masalah menanam padi. Ada orang bercakap, oh ini masalah tanaman padi, kenapa di Kedah ini menanam padi, buatlah industri. Industri ada di Kedah, kita ada Kulim Hi-Tech yang Kerajaan Persekutuan bantu sehingga sekarang.
- Projek Kerajaan Persekutuan di Kedah itu industri jadi tidak ada masalah, tetapi jelapang padi ini miskin. Kalau sudah tahu miskin, kita harus cari jalan untuk bantu bagi menaikkan pendapatan mereka. Ya, terdapat dasar bagi sawah padi kerana kalau orang tidak menanam padi, kesannya adalah kepada negara dan negara tidak boleh import keseluruhannya. Sebagai kesiapsiagaan, kita mesti ada keperluan yang disebut self-sufficiency rate dengan sasaran daripada 50% kepada 65%.
- Bagaimana? Hendak membuka kawasan sawah lagi? tetapi ini tidak boleh lagi di Kedah. Kalau tidak boleh buka, walaupun memang ada yang buka di Sarawak, ada kawasan sawah padi yang baru yang besar, di Sabah kita cadangkan tambah tetapi di Kedah, tidak boleh lagi dibuka kerana soal pembangunan industri, soal rumah, sekolah dan sebagainya.
- Jadi oleh itu, ada rencana yang telah diuji selama ini iaitu program lima (5) musim dua (2) tahun. Jadi, hari ini saya tekankan tentang soal lima (5) musim dua (2) tahun dan minta kerjasama semua pesawah untuk memberikan kerjasama penuh kepada MADA atau BERNAS yang akan selaraskan, bagi peluang untuk kita memperkenalkan satu cara dan kaedah yang boleh meningkatkan hasil kita. Jika sekarang ini, kerja pulunlah teruk macam mana pun, hasilnya memang terhad. Jadi dengan cara ini kita harap boleh meningkatkan pendapatan dengan kerjasama Jabatan Pertanian, MADA dan BERNAS untuk menjayakan program ini kerana program awal rintis telah pun berhasil.
- Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri dan seluruh pasukan kerana membuktikan hasil tetapi lepas itu apa jadi? Kita hendak buat satu lagi peringkat kecil-kecilan tetapi tidak boleh. Jadi kita kena buat skala yang besar dan saya minta kerjasama kawan-kawan dan keluarga di MADA ini kerana kalau tanya apa niat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, saya kata saya nak pastikan dengan kerjasama rakan-rakan saya bahawa nasib pesawah padi ini di bawah pentadbiran kita yang tegas dan cuba bersihkan daripada kerja sakau ini, kita mahu tentukan pendapatan ini betul-betul tinggi, daripada RM1200 naik kepada RM1800 sebulan. Dengan cara sedemikian, kita selesaikan juga masalah negara dari segi keterjaminan makanan atau sekuriti makanan. Fokus utama adalah di Kedah, walaupun program ini akan diselenggarakan oleh Jabatan Pertanian, MADA, BERNAS di Muda, tentunya pada agensi-agensi kerajaan yang lain di tempat lain yang boleh membantu.
- Jadi saya harap dengan beberapa program termasuk Program SMART Sawah Berskala Besar ini, kita dapat memperluaskan, tidak boleh lagi 10,000 hektar atau 5,000 hektar, kita kena perluaskan lagi. Yang saya panggil ramai-ramai ini terutama pesawah padi selain daripada nelayan dan pekebun kecil getah ialah hendak merayu dan memberitahu kita sudah jalankan secara besar-besaran mulai sekarang. Kita akan siapkan. Kerja saya adalah cari RM3 bilion itu, jadi jalankan dan luluskan apa yang diperlukan seperti keperluan infrastruktur. Saya mahu saudara-saudara di MADA ini menjadi contoh dan teladan untuk memberi kerjasama dan menjayakan program ini.
- Jadi inilah sahaja yang saya nak sampaikan. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. Saya berasa senang apabila saya boleh bercakap di Kedah ini bukan sebab apa, sebab saya boleh bercakap dalam loghat Kedah.
- Terima kasih juga kerana saya dapat berjumpa kawan-kawan lama yang memberi sokongan kepada program ini tetapi saya hendak saudara-saudara juga faham, orang yang berjasa ini termasuklah YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu dan pegawai-pegawai kita daripada semua agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terutamanya MADA dan penjawat awam yang memberikan fokus dalam bidang ini yang diketuai oleh Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, KSN. Jadi mudah-mudahan Allah SWT merestui usaha kita.
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

ALOR SETAR, 15 Julai — Kerajaan Perpaduan akan memastikan nasib pesawah padi terbela dengan meningkatkan pendapatan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, beliau berkata beberapa projek rintis bagi penanaman padi lima musim dalam dua tahun telah dijalankan antaranya oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah yang bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran padi.
Anwar berkata sebanyak RM3 bilion diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan sawah padi bagi membolehkan penanaman padi lima musim dalam dua tahun dapat dilaksanakan.
Justeru, Anwar menggesa pesawah untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan program itu bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi yang sekali gus dapat meningkatkan pendapatan pesawah.
“Kalau ditanya apa niat Anwar? Saya kata saya nak pastikan dengan kerjasama rakan-rakan saya bahawa nasib pesawah padi di bawah pentadbiran kita yang tegas… kita nak tentukan pendapatan betul-betul tinggi, daripada RM1,200 naik ke RM1,800 sebulan,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada program Sentuhan MADANI peringkat Kedah bersama Peladang, Penternak, Nelayan, Penoreh dan Pekebun Kecil di Ibu Pejabat MADA di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar berkata antara infrastruktur yang perlu dinaik taraf ialah sistem pengairan dan jalan raya selain perbelanjaan input pertanian.
“Kita bincang bersama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, satu agensi yang sangat penting bukan sahaja di negeri Kedah tapi untuk negara Malaysia.
“Mereka kata kalau nak jayakan projek tanam lima musim dua tahun ini, kena ada beberapa infrastruktur, tali air, jalan dan macam-macam. Saya kata berapa? Dia jawab bukan untuk tahun ini, kita mesti mula untuk dua tiga tahun akan datang, tiga tahun paling kurang, mesti siap RM3 bilion,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata pengeluaran padi dalam negara sangat penting seperti yang terkandung dalam Dasar Agromakanan Negara bagi menjamin sara diri pengeluaran makanan.
“Negara tidak boleh import sepenuhnya, kalau apa-apa jadi kita mesti ada keperluan yang disebut sebagai sara diri daripada 50 peratus, sasarannya 65 peratus,” kata Anwar.
— BERNAMA

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
PROGRAM SENTUHAN KASIH DESA MINI KARNIVAL USAHAWAN DESA (KUD) NEGERI KEDAH
15 JULAI 2023 (SABTU)
DATARAN AMANJAYA MALL, SUNGAI PETANI, KEDAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah,
Alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi
Wa kafa billahi syahida
Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah;
Saudara YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu;
Saudara YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil;
Menteri-menteri;
Tan Sri Ketua Setiausaha Negara;
Kepimpinan dan keluarga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdullilah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana ini acara kedua saya dalam Program Karnival Usahawan Desa (KUD) yang diselenggarakan oleh Kementerian dan saya lihat bagaimana saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi begitu komited untuk mengangkat martabat rakyat, pengusaha kecil terutama desa kerana ini sebati dengan jiwa beliau dan saya ucap tahniah kepada beliau serta seluruh keluarga Kementerian.
- Dalam aspek tata kelola, untuk mengukur peranan Kerajaan dan Jabatan adalah dari segi apa yang dilakukan untuk rakyat. Bukan apa yang dijanjikan dan juga bukan cerca dan maki hamun. Ini bezanya.
- KUD ini sudah direncanakan berbulan yang lalu dan tarikh yang saya berikan atas permintaan saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, awal iaitu untuk memberi ruang dan mengangkat lagi peluang dan martabat menurut upaya dan strategi beliau, diselarikan sinergi dengan kegiatan halal. Kita tahu halal ini sekarang bukan hanya di negara Islam tetapi telah dikembangkan di negara China.
- Saya pergi ke negara China, isu halal saya bangkitkan. Di Eropah juga dan tentunya di negara Arab. Maknanya peluang itu ada, justeru kita minta saudara-saudara yang berniaga selarikan dan dengar pandangan serta nasihat supaya kita dapat tingkatkan mutu pengeluaran, mendapat hasil yang lebih baik serta kita bantu untuk sebarkan.
- Saya hendak beritahu ia tidak mudah, hendak dapatkan Menteri, Ketua Setiausaha (KSU) dan Pegawai-Pegawai Kanan yang begitu prihatin dan cari jalan bagaimana nak tingkatkan pendapatan usahawan-usahawan desa ini bukan mudah. Jadi ambil peluang ini dan janganlah dengar pandangan haprak yang lain. Kita kira dan ukur apa yang dia boleh buat, apa yang dia telah buat. Kerajaan ini ada kesempatan berkuasa dan biasa dalam politik, pimpinan silih berganti tetapi siapa sahaja yang memikul amanah, jalankanlah tanggungjawab itu dengan baik.
- Keutamaan, urus negara dengan baik. Kita pegang amanah. Kalau hendak meniaga itu di luar, bukan dalam Kerajaan atau sebagai tokoh dalam Kerajaan. Kalau hendak cari keuntungan itu di luar dan kita bertanggungjawab untuk bantu. Ini pendirian bukan sahaja saya tetapi saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, saudara YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu dan semua pimpinan, ini pendirian kita sekarang.
- Disebabkan itu dalam tempoh lapan bulan ini, saya semak dengan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ada atau tidak laporan yang melibatkan mana-mana Menteri Kerajaan Perpaduan yang menggunakan kuasa untuk sakau, curi kontrak, ambil komisen berlebihan atau salah guna kuasa. Alhamdulillah, setakat ini kita bersyukur tidak ada satu kes pun, dan belum ada rekod Kerajaan dengan pasukan yang ada.
- Sebab apa saya tekankan hal ini? Kita bercakap soal ekonomi desa. Kalau pimpinannya hanya kira untuk sakau, macam mana hendak menjaga rakyat? Sebab itu saya kata kita ukur bukan sehari. Dari segi ucapan, “lima taqụlụna mā lā taf’alụn”, bukan bicara kerana ada orang yang bicara tetapi tidak mengamalkan.
- Sekarang ini asyik caci maki, hentam, sindir tidak kira siapa, orang politik kena sindir, Perdana Menteri kena balun teruk dan Raja pun kena hentam. Ini tidak boleh kerana kita ada undang-undang. Negara ini negara hukum bukan hukum belantara. Hukum ini maknanya mengikut undang-undang, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh. Semasa kempen kita berselisih faham itu biasa, tetapi takkan nak fitnah Perdana Menteri dan Timbalan Menteri tidak buat kerja. Katanya asyik hari-hari di lapangan. Mana ada hari-hari. Hari Isnin sampai Jumaat itu di pejabat. Sabtu dan Ahad di lapangan. Takkan hanya nak duduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tidak peduli soal rakyat terbanyak yang lain? Bagaimana saya hendak tahu orang berniaga apa, macam mana saya hendak tahu apa keluhan mahasiswa, anak muda, anak-anak tingkatan enam, politeknik, kalau saya tidak berada di lapangan.
- Anak-anak tingkatan enam umpama saya bagi contoh, mereka kata, “Datuk Seri, kami ini tingkatan enam bukan budak sekolah, jadi biarlah caranya lain sikit dan aturannya lain sikit”. Semalam, Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Binti Sidek terus mengumumkan bahawa tingkatan enam tidak dikategorikan sebahagian daripada sekolah tetapi dianggap sebagai pelajar kolej pra-universiti. Maknanya kita dengar, kita dengar siapa? kita dengar daripada anak tingkatan enam.
- Semalam saya umumkan minimum semua syarikat Kerajaan seperti Khazanah Nasional, PETRONAS atau mana-mana latihan yang diberikan harus sekurang-kurangnya diberikan RM800 sebulan bagi anak-anak muda. Ini kerana saya peduli semua masalah, kekangan yang terpaksa ditanggung oleh pelajar dan ibu bapa, terkadang ada yang terpaksa berulang jauh, bagaimana dengan tambang, makan dan minum tetapi sesetengah gaji atau elaun itu sangat rendah. Sesetengah tempat tidak ada elaun sebab dalam latihan tidak disyaratkan untuk memberi elaun kerana mereka hanya diberi latihan pendedahan. Saudara, Siapa yang bercakap? Budak TVET dan budak politeknik, mereka yang bercakap. Kalau ikut saya, hendak ikut cara mereka yang sombong itu, saya bersyarah sahaja dan hendak buat apa saya dengar? Tetapi saya dengar kerana saya fikir betul juga, saya tidak tahu. Jadi saya dengar dan terus ambil tindakan.
- Kemudian saya panggil saudagar-saudagar, ahli-ahli perniagaan bagi peluang untuk anak-anak ini dilatih. Suruhanjaya Sekuriti ada satu program melibatkan 600 anak-anak akan dibawa ke Kuala Lumpur bagi pendedahan. Bagaimana saya tahu? saya dengar daripada anak-anak ini. Jadi jangan peleceh dialog dengan mahasiswa atau universiti.
- Ini contoh, maknanya bukan saya sahaja tetapi semua Menteri-menteri diarah untuk hujung minggu turun dan dengar, sakit telinga tidak apa tetapi dengar perkara yang baik. Sebelum saya sampai ada memorandum bagi harga getah, bantuan nelayan dan pesawah padi, memo tersebut saya baca dahulu baru saya berucap. Kita kena dengar kerana bagi mereka seperti juga kita, “qulil haq walau kana murron” kata yang benar walaupun kadang-kadang sakit di telinga tetapi apabila dah dapat macam saya kata, lapan bulan kita bagi yang tadi saya umumkan, apakah dia? Kita tambah.
- Harga getah umpamanya, RM2.50 telah berapa lama. Kerajaan bertukar ganti, yang sesetengah kata hidup Melayu! tidak naikkan pula atau hidup Islam!, lagi tidak naik. Jadi kita ini tukang sorak dan tukang jerit. Saya tengok kadang-kadang dalam video itu maki, peleceh dan fitnah tetapi dia jawab “Allahuakbar”. Macam mana boleh berlaku sedemikian? Padahal kita perintah hanya dua bulan, daripada RM2.50 naik kepada RM2.70.
- Kemudian saya bercakap dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, orang Kedah marah sangat, katanya Anwar Ibrahim ini tidak kenang budi, ada orang Kedah yang pandai berniaga tetapi ditekan orang itu. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary adalah seorang peniaga Melayu yang berjaya. Saya bersahabat dengan beliau dan runding dengan baik. Saya kata “Syed, pesawah padi ini aku dah pening kepala macam mana lagi hendak tolong.” Belanjawan ini yang saya umumkan tadi untuk tiga tahun bagi infrastruktur. Saya tanya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebab kita betul-betul ambil berat dan ambil sungguh-sungguh tindakan untuk bantu pesawah padi ini.
- Saya minta Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN) sendiri selaraskan dengan semua Kementerian dan Jabatan hanya untuk tolong pesawah padi ini supaya boleh tanam lima musim dua tahun. Jadi berapa belanja? RM3 bilion, saya katakan macam mana saya hendak cari RM3 bilion, tetapi saya tidak boleh kata tidak sebab kalau tidak, RM3 bilion untuk perairan, perparitan dan sebagainya, hasil tidak akan meningkat. Apabila hasil tidak meningkat, pesawah padi macam itu juga. Kita bersyarahlah, pilihan raya tukar Kerajaan itu tukar Kerajaan ini tetapi masih tidak ada perubahan.
- Jadi pada hari ini di Lembaga kemajuan pertanian Muda (MADA), Alor Setar saya lancarkan program besar-besaran dengan meminta kerjasama pesawah padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MADA dan BERNAS dan saya sudah beritahu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kena pulun betul-betul kalau kita sayang orang Kedah, jadi kita kena buat. Jangan bimbang kami tidak sakau, saya minta pada dia duit. Saya kata kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bagi duit, pada tahun lalu sebanyak RM10 juta, tahun ini RM50 juta. Jadi jumlahnya RM60 juta. Hendak beri kepada siapa? Bagi kepada pesawah padi. Dahulu minta duit bagi kepada siapa? Tahu tak? Pernah dengar atau tidak diberikan kepada siapa?, Bagaimana dengan kes-kes Jana Wibawa. Tidak boleh, kita pegang amanah bukan harta peribadi kita. Harta Allah, anugerah dan mesti pulang kepada negara dan rakyat.
- Jadi menerusi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, RM 60 juta diberikan kepada pesawah padi. Kita bagi terus beri kepada pesawah-pesawah padi pada tahun lalu dan tahun ini. Dahulu masuk poket, masuk akaun parti, bolehkah? Sebab tidak minta untuk rakyat. Kalau bersyarah itu bukan main berkata Anwar Ibrahim pembohong, dahulu masuk lokap sama sahaja sebab itu beliau berkawan dengan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, kenalah dua-dua kluster mahkamah. Cepat sangat hendak menghukum orang itu kluster mahkamah. Sekarang ini, hampa sambung (nada berseloroh).
- Jangan sombong dan hina saya, siapa orang Kedah di sini yang tidak tahu saya masuk penjara? Semua orang tahu. Saya tidak bongkak cerita lama, jadi nak sakit hati kita berdamping pasal apa? Bukan kita berdamping, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi dan saya, kita pakat beli? Hang ambil sedikit dan aku ambil sikit. Tidak, kita berpakat untuk cuba sedaya upaya membantu.
- Di desa ini majoritinya siapa? Majoriti orang Melayu. Saya tidak jerit hidup meledak, tidak bercakap tetapi saya tahu kalau kita Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri yang ada tidak membuat sesuatu lebih berani untuk tolong, maka orang Melayu akan susah. Jadi percayalah, dalam negara ini tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa orang Melayu mesti diselamatkan. Meningkatkan pendapatan ekonomi Melayu mesti di pastikan.
- Apabila kita bercakap mengenai pesawah padi, 95 peratus Melayu. Usahawan desa, 90 peratus orang Melayu tetapi janganlah pula guna ini untuk menghentam orang lain atau mempelekeh orang lain. Kalau jadi begitu dan kita bergaduh, apa pun kita tidak dapat.
- Jadi kalau orang Cina hendak berniaga, biarlah dia berniaga tetapi mesti ada rencana tolong. Beberapa bulan yang lalu, seorang peniaga paling kaya di Hong Kong, Richard Lee, menelefon saya, nak datang ke Malaysia pada bulan hadapan kerana kawan beliau hendak tengok Malaysia. Jadi tiga hari yang lalu beliau datang, saya katakan bahawa Malaysia ini politiknya stabil, semasa pilihan raya negeri ini, di Parlimen kita ada lebih daripada 140 iaitu dua pertiga. Tidak perlu dua pertiga pun majoriti sudah cukup kuat.
- Baru-baru ini diadakan mesyuarat, semua Menteri dan pemimpin Kerajaan Perpaduan mempertahan, termasuk Premier Sarawak, Datuk Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Tidak ada sedikit pun goyang, semua kata apa pun yang berlaku, Insya-Allah kami tetap pertahankan Kerajaan Perpaduan sampai akhir penggal Insya-Allah. Biarkan mereka menggelupur di bawah ini, tetapi inilah kenyataannya.
- Jadi kita bawa mesej ini ke Kedah , saya betul-betul nak minta kerjasama bagi peluang Persekutuan dengan Negeri bekerja. Hendak buat apa? Hendak meningkatkan. Kalau tidak betul, tolong beritahu. Nak elok lagi, beritahu. Nak peruntukan tambahan, beritahu. Ini caranya tapi kalau sombong tidak tentu arah, saya pun tidak berkenan hendak jumpa. Kalau jumpa nak marah dan maki sahaja. Kalau nampak silap teruk sangat, minta maaf. Saya tidak mahu begitu sebab itu saya minta saudara faham keperluan kita ambil langkah-langkah seumpama ini.
- Kita baru mendengar tadi YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi sebut kalau kita tumpu usahawan desa, produk itu mesti ada kualiti seperti bersih, dipakejkan dengan sangat baik dan sangat indah. Kita belajar daripada Jepun, benda kecil saja tetapi pakej itu elok kemudian serah ke YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi. “Hang bagi elok, jadi sudah bersih, mutu dah baik, pembungkusan sudah elok, hang tolong jual”. Jadi kalau dia kata “Anwar, saya kena pergi Dubai, ke Istanbul untuk membawa produk itu, saya akan setuju”.
- Kita ada perdagangan, barang-barang industri, kita ada kelapa sawit, minyak dan gas. Saya bersetuju jika Kementerian ini di bawah YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi kata nak bawa promosi besar-besaran di Dubai, dunia Arab atau Eropah untuk menjual produk saudara-saudara, saya kata silakan saya akan beri peruntukan yang cukup, Insya-Allah. Lebih daripada itu saya sudah tidak berupaya. Itu yang saya berupaya buat dan saya tunjuk serius.
- Saya sungguh-sungguh bekerja untuk membawa perubahan. Umpamanya, saya tidak mahu ulang peruntukan-peruntukan kerana Kementerian ini iaitu Kementerian Desa dan Wilayah ini merupakan di antara kementerian yang besar. Disebabkan itu kita ambil pasukannya yang masuk pentadbiran orang-orang kanan. Kita ada MARA, RISDA, KEMAS, FELCRA, KEDA dan banyak lagi. Peruntukannya itu pun besar umpamanya KEDA, kita beri RM4.82 juta untuk 473 penerima, RM3.86 juta untuk RISDA kepada 415 penerima daripada Kedah. Jadi yang lain-lain itu bukan kerja saya kerana Menteri sudah umumkan semuanya.
- Semalam siapa yang menghubungi kita? Saya mendapat maklumat bahawa orang paling kaya di dunia, Elon Musk yang juga merupakan pengusaha teknologi pembuatan kereta elektrik paling besar di dunia, iaitu Tesla, yang buat Starlink untuk connectivity, sebuah mesin yang kecil sahaja tetapi boleh buat connectivity. Kalau letak di sini, tidak ada Internet akan terus ada kerana ia langsung sambung ke satelit. Nama beliau ialah Elon Musk. Kemudian beliau buat Space X. Space X ini adalah yang ke angkasa. Beliau yang minta untuk hubungi bukan kerana Anwar Ibrahim tetapi kerana beliau tahu Anwar Ibrahim ini memimpin Kerajaan yang stabil. Beliau tahu kerana Anwar Ibrahim ini dengan Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GPS dan GRS menjamin Kerajaan yang kukuh dan kemudian dasar ekonominya jelas.
- Kita hendak tuju ke mana? Apa keutamaan kita? Ekonomi desa, keterjaminan makanan atau food security dan pendigitalan. Jadi apabila kita sebut perkara ini, beliau hubungi dan apa yang disebut? Syarikat paling besar dan orang paling kaya di dunia ini mengambil keputusan untuk membuka ibu pejabat di Cyberjaya pada tahun ini juga.
- Selain itu, Starlink, YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil lebih tahu kerana berkaitan Internet. Ketika saya pergi ke universiti semua mengeluh mengatakan nak suruh kami belajar Dato’ Seri tetapi internet sangkut. Jadi macam mana hendak tumpu perhatian dalam pelajaran? Saya dengar dan saya katakan kenapa yang dulu mereka tidak buat tetapi mereka bersyarah lebih kuat daripada kita.
- Jadi saya kata kena buat. Apabila Elon Musk cakap dengan saya, saya kata baiklah dan YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil juga ada semalam, kita beli sekarang ini juga 40 buah dan kita pasang yang mana ada kerana beliau hanya boleh bagi 40 buah. Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan semalam, kalau kita perlu ratusan yang lain, kita akan beli supaya kita boleh pasang di mana-mana kampung atau projek-projek yang perlu, tetapi kita mula dengan universiti, politeknik dan sekolah yang memerlukan akses Internet. Itu dipanggil Starlink. Kemudian Space X ini mempunyai tiga syarikat di Malaysia yang kita akan bantu.
- Yang ketiga, soal kereta elektrik. Saudara, Elon Musk tidak akan bagi perhatian kalau Kerajaan tidak kuat dan bersatu. Jadi jangan ronyeh kerana yang rugi rakyat. Kalaulah umpamanya saya sebagai Perdana Menteri hanya curi duit untuk diri saya. Saya sebagai Menteri Kewangan bagi kontrak kepada anak saya, tidak apa atau saya tidak buat kerja. Mereka kata betul boleh buat kerja tetapi Islam ditinggalkan. Jadi musuh Allah, saya katakan tinggal mana? Peruntukan untuk Islam bertambah, penerbitan buku Islam bertambah, Kompleks Seri Perdana dijadikan tempat untuk Majlis Ilmu, panggil ulama-ulama dunia.
- Empat atau lima hari yang lalu, dua anak Almarhum Syeikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi, datang dengan ucapan beliau dan dikirimkan 112 jilid buku Almarhum Syeikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi kerana sebelum beliau wafat, beliau pesan kepada anaknya, tolong kirimkan satu ini kepada Anwar Ibrahim.
- Sebelum itu kita panggil mantan Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah dan ramai lagi. Kita terbitkan buku-buku Islam, sebarkan di kalangan pejabat kerajaan. Saudara boleh tanya Tan Sri KSN sama ada sebelum ini ada atau tidak buku-buku Islam yang mendalam dikupas dan disebar kepada pegawai-pegawai kerajaan kanan. Ada atau tidak Tan Sri? Tidak ada tetapi kalau bersyarah ini jadi Islam dakwahnya itu apa? Politik.
- Selain itu, kitab Dr. Thaha Jabir Fayadh Al- ‘Alwani, ‘Adabul Ikhtilaf fil Islam’ iaitu Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam. Kita sebarkan kepada semua pegawai dan kepada menteri. Kita bagi supaya semua tahu dan Menteri berbangsa Cina dan India pun kita beri kerana dalam Malaysia ini dia kena tahu apa pendirian Islam, tentang adab, ikhtilaf dan perbezaan pendapat. Ini yang kita lakukan tetapi di bawah ini katakan, musuh Islam dan musuh Allah SWT. Mereka kata hendak selamatkan mesti buang orang-orang ini. Jadi saya tidak jawab tetapi saya jawab dari segi amal, dari segi tindakan, akhlak dan nilai kita.
- Mudah-mudahan saudara-saudara disini dapat memanfaatkan program ini tetapi, yang penting juga yang di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ialah peruntukan bagi rakyat miskin. Saya bagi amanah besar kerana saya kata tahun ini juga, tahun 2023, kita menoktahkan miskin tegar. Kita ada orang miskin, tetapi yang ini jauh lebih miskin, susu anak tak mampu beli, tidak boleh beli pakaian anak bersekolah, ini bukan B40 tetapi yang paling miskin. Saya tidak mahu kita tidur lena dan mereka sengsara, sebab itu ada sahaja senarai miskin tegar, kita terus ambil tindakan untuk bantu mereka.
- Bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), rumah-rumah rakyat miskin akan dibina baharu sebanyak 3,000 unit dengan peruntukan sebanyak RM244.4 juta ringgit. Membaik pulih rumah yang bumbung robek, ‘pelantaq’ pun sudah goyang, kita berikan peruntukan sebanyak RM215.8 juta ringgit untuk 12,242 unit untuk kita baiki. Berapa jumlah keseluruhan? Hampir setengah bilion ringgit, tambahan untuk rakyat termiskin yang sudah diluluskan dan telah dilaksanakan cuma dalam proses untuk ditingkatkan, jadi RM 460.2 juta ringgit.
- Saya berharap dengan penjelasan ini, kita diberi peluang untuk kita terus berkhidmat kepada rakyat dan kurangkan sedikit ketegangan di kalangan kita dan bawa mesej yang jelas. Kirim salam kepada semua keluarga yang tidak hadir dan beritahulah apa yang telah saya sampaikan supaya negara kita ini aman, kita dapat bersatu dan kita gunakan ini untuk majukan negara kita supaya Malaysia kembali sebagai di antara negara hebat di dunia, tidak bertapuk macam sekarang ini.
Terima kasih, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.