GALERI GAMBAR : PRESIDEN FILIPINA FERDINAND MARCOS JR BERTEMU ANWAR


PUTRAJAYA, 26 Julai (Bernama) — Mesyuarat Suruhanjaya Bersama antara Malaysia dan Filipina yang dijadual berlangsung di sini pada Oktober, dijangka menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita (Malaysia dan Filipina) mempunyai MoU tertunggak yang mana kedua-dua kita telah bersetuju untuk mempercepatkan prosesnya dan berusaha mencari jalan untuk menyelesaikannya dan diharap dapat ditandatangani semasa mesyuarat suruhanjaya itu,” katanya pada sidang media bersama dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, di sini, hari ini.

Semasa perbincangan beliau bersama Presiden Marcos sebelumnya Anwar berkata kedua-dua negara telah membincangkan perkara berkaitan isu dua hala dalam pelaburan dan perdagangan yang mencatatkan sedikit peningkatan, namun mempunyai potensi yang besar yang perlu diterokai oleh kedua-dua pihak.

“Kedua-dua komuniti perniagaan (Malaysia dan Filipina) perlu lebih banyak berinteraksi antara satu sama lain dan mengambil langkah bersama-sama untuk meningkatkan hubungan dua hala serta ekonomi dan perdagangan, dan pada masa yang sama membantu memulihkan ekonomi pasca pandemik.

“Kami juga menyentuh mengenai potensi industri halal, bagi kedua-dua negara. Kami sudah pastinya akan melakukan yang terbaik dari segi isu atau pensijilan. Tetapi saya fikir kita perlu bersama-sama mengambil langkah yang efektif untuk memastikan industri halal boleh menembusi dengan lebih berkesan lagi ke Pasaran Timur Tengah khususnya,” katanya.

Sementara itu, Marcos berkata mesyuarat suruhanjaya bersama itu akan menjadi saluran untuk kedua-dua agensi kerajaan membincangkan kerjasama keutamaan secara terperinci, terutamanya berkaitan jenayah rentas negara, pertanian, industri Halal, perbankan Islam, pendidikan, pelancongan, dan kebudayaan, sukan dan ekonomi digital.

“Kami terus mengusahakan MoU yang sepadan dalam bidang pergantungan dan kami akan memeterainya dalam masa terdekat. Berdasarkan kepada hubungan dua hala kita, kerajaan kami komited untuk menyelaraskan usaha membangun kapasiti di wilayah autonomi Bangsamoro di Filipina Selatan di Mindanao Muslim, terutamanya dalam sektor seperti industri halal, perbankan Islam dan jaminan makanan,” katanya.

Marcos berkata Malaysia juga menawarkan kepakarannya untuk melatih kakitangan dan pegawai Filipina bagi memantapkan lagi keupayaan mereka dalam sektor yang semakin penting ini.

“Kami juga bersetuju untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara satu sama lain, dengan Malaysia sebagai salah satu daripada peneraju utama industri halal di dunia. Kerjasama dalam sektor ini akan memberi manfaat bersama kepada pertumbuhan ekosistem masing-masing,” katanya.

— BERNAMA

 

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan “Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” yang merupakan pengemudian dan pengarahan baharu ekonomi untuk menjamin masa depan negara.

Pelancaran hala tuju baharu tersebut akan diadakan di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 9 pagi esok.

“Nantikan, Insya-Allah,” katanya menerusi catatan di laman rasmi Facebook beliau.

Ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 didorong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.

Terdahulu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat itu mengekalkan unjuran untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus.

Beliau berkata permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan dan pasaran kerja kini semakin baik, seterusnya menyokong perbelanjaan pengguna.

Pada 24 Februari lepas, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan belanjawan pertama Kerajaan Perpaduan dengan peruntukan sejumlah RM388.1 bilion, meningkat daripada RM372.3 bilion yang dibentangkan pada Oktober 2022.

Sejumlah RM289.1 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Keyakinan berterusan syarikat semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan fokus di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu iaitu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestik.

“Malaysia ialah hab penting bagi Infineon dalam pembuatan fabrikasi wafer (Kulim, Kedah) dan aktiviti pembungkusan semikonduktor cip (Melaka).

“Ini terbukti melalui jumlah pelaburan sebanyak RM28 bilion yang telah dilakukan oleh syarikat di Malaysia sehingga kini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Infineon, syarikat yang telah beroperasi di negara ini selama 50 tahun (sejak 1973) semalam.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG, Dr Rutger Wijburg turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada syarikat itu.

— BERNAMA

 

PONTIAN, 24 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengimamkan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di Serkat di sini hari ini.

Anwar tiba kira-kira pukul 11 pagi dengan diiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Terdahulu, turut kelihatan beberapa menteri Kabinet, antaranya Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menghadiri solat jenazah.

Beberapa pemimpin politik antaranya Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng, Naib Pengerusi parti Amanah Dr Dzulkefly Ahmad, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat di sini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu meninggal dunia pada umur 61 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam tadi (Ahad), setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak pada usia 61 tahun.

Timbalan Presiden Amanah itu meninggalkan isteri, Datin Seri Fatimah Taha serta empat anak lelaki dan dua anak perempuan.

— BERNAMA

KOTA BHARU, 23 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 bilion bagi menambah baik bangunan sekolah yang daif di seluruh negara pada tahun ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu antaranya untuk menambah baik bangunan sekolah daif seperti di Kelantan sebanyak RM185.37 juta, Terengganu (RM78.93 juta) dan Pahang (RM64.15 juta).

“Peruntukan ini bukan disebabkan nak mengundi (Pilihan Raya Negeri) tetapi disebabkan keperluan. Bayangkan, untuk satu tahun saya tambahkan peruntukan RM1.4 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang guru ketika sesi soal jawab pada Program Cakna MADANI Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan 1,500 warga pendidik dari Kelantan, Terengganu dan Pahang itu, Anwar berkata sebanyak 50,000 unit komputer riba juga telah diluluskan untuk kegunaan sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan, dijangka diperoleh pada Oktober ini.

“Perkara ini sedikit lewat (perolehan) komputer memandangkan ia berkait dengan tender. Kebiasaannya proses tender akan memakan masa hingga enam bulan. Kalau tiada tender, akan berlaku ‘sakau’, bahaya.

“Kalau kes-kes (keperluan) mendesak dan lain-lain projek besar saya akan berunding dengan Kementerian Kewangan untuk beri kelonggaran ikut proses tender terhad dan disegerakan supaya dapat diselesaikan dalam tempoh hanya tiga bulan,” katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan untuk memperkasakan program digitalisasi di institusi pendidikan, sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan untuk Kelantan, RM2.2 juta (Terengganu) dan RM2.9 juta (Pahang).

— BERNAMA